07 May 2010

Muslimat Lenggong dekati masyarakat dengan pertandingan memasak

22 Jamadil Awal 1431H.
Khairul Azman Sakri

Dr Siti Mariah diiringi Hajjah Hapipah sampaikan hadiah kepada pemenang pertama pertandingan masakan Tepung Talam.



LENGGONG: Pertandingan masak tepung talam, puding dan gubahan daripada tuala anjuran Dewan Muslimat PAS kawasan baru-baru ini meriah dengan kehadiran Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang diberi penghormatan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Ketua Penerangannya, Hajjah Mariam Abdul Latif, berkata program bermula jam 2.30 petang itu juga berjaya menarik penyertaan wanita bukan ahli PAS yang turut memenangi pertandingan.

Katanya, program yang turut diisi majlis bacaan yasin dan zikir munajat itu dirasmikan oleh Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Haji Zakaria sebelum motivasi disampaikan Dr Siti Mariah.

"Penyertaan amat menggalakkan, malah ada beberapa wanita termasuk dari Umno turut menyertai pertandingan masak tepung talam, puding dan gubahan.

"Muslimat PAS Lenggong amat berterima kasih kepada semua yang terlibat, termasuk yang belum meyertai PAS yang tidak segan silu untuk bersama dalam majlis PAS," katanya.

Turut hadir pada program bertempat di pekarangan rumah Hajjah Mariam itu Ketua Dewan Muslimat PAS Lenggong, Hajjah Hapipah Seman.

Hajjah Marian berkata, program-program seumpama itu akan diadakan lagi pada masa-masa depan dengan penyertaan lebih terbuka dan hebahan yang lebih meluas lagi.

Katanya, program itu bersambung dengan program ceramah umum pada sebelah malamnya, di mana Dr Siti Mariah sendiri sebagai penceramah utama dan dua yang lain, iaitu Timbalam Pengerusi Dewan Perhimpunan penyokong PAS Perak, Richard Wong dan Haji Razman.

Dahsyatnya Azab Kubur

21 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Batapihanand

Salam mesra kepada semua, sedikit tazkirah ringkas dalam blog saya ini untuk memperingati kepada diri saya dan semua akan azab kubur yang amat pedih dan dahsyat. Suatu azab yang cukup hebat kepada hambanya yang melakukan maksiat dan dosa. Azab kubur merupakan intro sebelum menempuh azab neraka kepada orang yang menderhakai Allah dan RasulNya.

Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus bila keluarnya nyawa dari tubuh kita. Orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa ada kehidupan yang abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia ini. Kehidupan inilah menjadi fokus utama orang-orang yang beriman.

Kerana itulah, persoalan akidah merupakan perkara yang paling asas dalam Islam. Islam diibaratkan sebagai bangunan, manakala akidah pula diibaratkan sebagai asas atau tapak kepada binaan tersebut. Jika rosak akidah seseorang maka rosaklah semua amalan yang dibina diatasnya. Atas dasar inilah Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar tentang hukum syariat Islam.

Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait dengan perkara-perkara ghaib yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia yang sangat terbatas.

Istilah “kubur” hanyalah berdasarkan kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan. Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?. Sudah pasti tidak, kerana kadang-kadang terdapat manusia yang tidak diketahui di mana kuburnya, seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang di laut dan sebagainya.

Namun menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam di antara alam dunia dengan alam akhirat.

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pembatas antara dua benda sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.

Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi kita tetap meyakini kewujudannya. Contohnya beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada di antara mereka bermimpi indah dan ketika ia bangun, jasadnya merasai nikmat yang dirasakan oleh rohnya ketika bermimpi. Demikian sebaliknya, orang yang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan sahaja rohnya terseksa tetapi badannya juga rasa terseksa. Sedangkan mereka yang tidur berhampiran pula tidak mengetahui apa yang dirasakan oleh rakannya. Jika perkara seperti inipun diakui hakikat kewujudannya maka demikianlah dengan alam barzakh, malahan alam barzakh lebih hebat dari itu.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita imani dan yakini kewujudannya walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara nyata tetapi ia termasuk dalam perkara “sam’iyyat” yang wajib kita yakini. Kerana Rasulullah SAW memerintahkan agar kita berlindung dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa seperti berikut:

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”

Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat nanti. Sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Pernahkah kita terfikir bagaimana bentuk azab atau nikmat kubur?. Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Apabila salah seorang di antara kamu mati, akan ditunjukkan kepadanya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya. Bila ia penghuni syurga, akan ditunjukkan kepadanya kenikmatan syurga, dan bila ia penghuni neraka, akan ditunjukkan kepadanya keazaban neraka. Lalu dikatakan kepada mereka : “itulah tempat tinggalmu, sampailah Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut nyatalah bahawa azab dan nikmat kubur pasti akan terjadi. Bagi mereka yang mempunyai keimanan yang mantap, ilmu Agama yang cukup, yakin akan kudrat dan kuasa Allah yang tiada tandingannya pasti akan yakin dengan adanya siksaan dan nikmat kubur. Hanya orang yang jahil dan sesat serta suka mendustakan Rasulullah SAW akan meragui dan mengingkari adanya azab kubur.

Sebenarnya di dalam Al-Quran terdapat lebih kurang 300 ayat yang menyatakan tentang kematian dan keadaan-keadaan kehidupan selepas daripada mati seperti di alam barzakh dan di akhirat. Nas-nas Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah saw menerangkan bahawa roh itu kekal, ada roh yang mendapat nikmat kerana amalannya di dunia dahulu baik dan ada roh yang terseksa lantaran amalannya di dunia dahulu jahat.

Atas sebab itulah, gambaran tentang azab seksa dan nikmat kubur wajib kita imani dan yakini. Apa lagi hadis-hadis yang menerangkan tentang azab seksa dan nikmat kubur sebagaimana yang dinyatakan adalah hadis sahih dan kuat darjatnya.

Apabila kita mengingati tentang kewujudan azab yang ditanggung selepas mati oleh orang-orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut akan azab Allah yang menggerunkan dan insyaAllah akan mendekatkan diri kita kepada-Nya.

Justeru, kita boleh kasihkan harta tapi tidak lupakan soal hisab, kita boleh kasihkan rumah tapi tidak lupakan soal kubur, kita boleh kasihkan hidup tapi tidak lupakan soal maut, kita boleh kasihkan dunia tapi tidak lupakan soal akhirat.

Untuk itu, tidak ada jalan pintas melainkan kita wajib mematuhi segala yang diperintahkan Allah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Patuh segala perintah Allah adalah syarat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi kekasihnya.

Dengan mengingati azab kubur juga insyaAllah kita akan menjadi semakin takut untuk meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak mengeluarkan zakat, merosakkan harta awam, melanggar batas-batas hukum syariat dan sebagainya. Dengan yang demikian akan memberi rangsangan kepada kita ke arah melakukan kebaikan yang sangat dituntut oleh Islam. Firman Allah yang bermaksud :

“(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab api neraka.” (Surah Ali-Imran ayat : 16)

Gelombang sokongan bermula sejak 2006 - Wan Rahim

21 Jamadil Awal 1431 H

KOTA BHARU, 5 Mei: PAS yakin, calon Pakatan Rakyat di Sibu mempunyai peluang cerah untuk menang dalam pilihan raya kecil (PRK) itu kerana kebangkitan rakyat negara ini menyokong PR bermula di Sarawak iaitu dalam pilihan raya negeri 2006.

Timbalan Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (gambar) berkata, dengan perkembangan yang berlaku dalam PRK Bukit Gantang dan Hulu Selangor yang memperlihatkan sokongan kuat pengundi Cina, peluang PR di Sibu cerah.

Beliau yang akan berangkat ke Sarawak bersama hampir 30 petugas PAS dari Semenanjung esok berkata, PAS akan memastikan calon PR dari DAP akan mendapat sokongan jentera yang terbaik.

"Paling kurang, kami akan pastikan kita membekalkan cukup agen pengundian dan agen pengiraan undi untuk kawasan Melayu," kata Wan Rahim yang juga anggota Parlimen Kota Bharu.

Kerusi Palimen Sibu mempunyai kira-kira 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 pengundi pos.

Mereka termasuk 5,740 Melayu (10.5 peratus), 36,389 Cina (66.7 peratus), 12,050 Iban (22.1 peratus), 54 India (0.01 peratus) dan kaum lain 289 (0.53 peratus).

Dalam pilihan raya Sarawak 2006, DAP telah mendapat enam kerusi DUN dan PKR mendapat satu kerusi. Ia dimenangi di kawasan majoriti Cina.

Sejak itu, ia terus berkembang dengan sokongan pengundi Cina kepada Pakatan semakin meningkat.

Dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang, PAS mendapat 82 peratus sokongan di kawasan yang mempunyai Cina yang ramai iaitu di Kuala Sepetang. Dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor pula, calon PKR mendapat 80 peratus undi di Kampung Rasa iaitu kawasan yang mempunyai pengundi Cina yang ramai.

Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng sekali lagi dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat (PR) untuk pilihan raya kecil ini. BN pula memilih Robert Lau Hui Yew sebagai calon.

Dalam pilihan raya umum 2008, Wong dan calon PKR Lim Chun Chung tewas kepada calon BN, Datuk Robert Lau Hoi Chew dengan majoriti 3,549 undi.

Kerusi parlimen Sibu kosong ekoran kematian penyandangnya Robert akibat barah pada 9 April lalu.

Sementara itu, sehingga kini tiga calon dijangka akan bertanding dalam pilihan raya ini termasuk seorang calon bebas berbangsa Melayu, Narawi Harun, 60 tahun.

Namun, bagi Pengerusi DAP Sabah yang juga calon PR dalam pilihan raya ini,
Wong Ho Leng lebih senang kalau PR akan berdepan satu lawan satu dengan calon BN dalam pilihan raya ini.

"Ini negara demokrasi. Walaupun kita mahu satu lawan satu, kita tidak boleh sekat dia jadi calon," kata Wong kepada wartawan selepas mengambil borang pencalonannya.

Dalam tahun 1995, Narawi pernah bertanding calon bebas dalam parlimen ini. Dia hanya mendapat 975 undi. Dalam pilihan raya negeri 2006, dia memberikan laluan kepada sepupunya, Abang Ariffin Abang Shebli dari PKR untuk bertanding di Dun Nangka, dalam parlimen yang sama.

"Saya sudah bersedia untuk bertanding lagi," katanya.

Harakahdaily/-

KOS MAJLIS RM1 JUTA: KENAPA BERLAKU PEMBAZIRAN?

21 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Safarizal Saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) cukup bimbang dengan pendedahan yang di buat oleh Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) berhubung laporan bahawa agensi dan jabatan kerajaan membelanjakan lebih RM1 juta untuk beberapa perasmian majlis setelah siasatan yang dijalankan tahun lepas oleh PAC baru-baru ini.

DPPN Pk amat menyokong penuh pendedah tersebut atas sifat menyelamatkan wang rakyat supaya ianya disalurkan bagi tujuan rakyat dan bukannya menguruskan perasmian majlis agensi atau jabatan kerajaan semata-mata. DPPN Pk tidak mengetahui motif sebenar pendedahan Datuk Seri Raja Ahmad yang banyak menimbulkan persoalan-persoalan setelah komen yang di buat oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semalam.

DPPN Pk difahamkan bahawa semua majlis perasmian agensi atau jabatan kerajaan tersebut sudah semestinya yang di hadiri sendiri oleh Datuk Seri Zambry. Ini bermakna terlalu banyak perasmian majlis diadakan pada tahun lepas yang di hadiri oleh Datuk Seri Zambry yang menyebabkan kos majlis meningkat sepertimana yang didedahkan. Datuk Seri Raja Ahmad seolah-oleh memberikan gambaran buruk krebiliti Datuk Seri Zambry di dalam perkara ini.

DPPN Pk menjangkakan bahawa Datuk Seri Raja Ahmad tidak mungkin akan dilantik sebagai Exco kerajaan negeri malah Pengerusi PAC mungkin akan ditukar. DPPN Pk bukan ingin mencampuri urusan Barisan Nasional (BN) tetapi jika Datuk Seri Raja Ahmad yang sanggup kehilangan jawatan-jawatan penting di atas mendedahkan pembaziran wang rakyat adalah seorang yang berintegriti walaupun Datuk Seri Zambry dan media memahami sikap sebenarnya.

SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
http://dppperak.blogspot.com/

Serah telaga minyak: Husam ajak saman awam terhadap kerajaan

21 Jamadil Awal 1431 H

KOTA BHARU, 5 Mei: Exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa mencadangkan satu 'saman awam warga negara Malaysia' (citizen civil suit) dibuat ke atas kerajaan Malaysia kerana mengeluarkan blok M dan L dari peta Malaysia dan di serahkan kepada Brunei.

Husam (gambar) yang juga AJK PAS Pusat, dalam kenyataannya berharap semua pihak menyertai beliau dalam saman awam ini.

"Semua pihak, termasuk ahli-ahli Parlimen, para peguam, NGO, dan orang perseorangan termasuk dari Sabah dan Sarawak, boleh bersama saya nanti memfailkan kes ini di mahkamah," kata beliau dalam kenyataannya.

Husam juga berkata, beliau akan menulis surat kepada semua ADUN Sabah dan Sarawak untuk mencadangkan kepada mereka agar menyatakan pendirian mereka dalam isu ini dan memanggil satu sidang DUN khas untuk membahaskan isu ini.

"Sesiapa yang berasakan bertanggungjawab ke atas keputusan-keputusan sewenang-wenangnya menggadai wilayah negara ini, boleh menghubungi saya atau pembantu saya menerusi alamat emel gadailautmalaysia@gmail.com This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it ," katanya dalam kenyataan itu.

Husam berkata, kedaulatan wilayah adalah penting untuk setiap negara. Sepanjang sejarah, banyak perselisihan wilayah berlaku antara negara-negara yang telah mengakibatkan perang.

Pengasas negara Malaysia memberikan penghormatan yang tinggi untuk melindungi wilayah kita dengan menyediakan peruntukan dalam Artikel 1 dan 2, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara ini.
Berasaskan latarbelakang ini, pendedahan tentang urus keluar wilayah Malaysia kepada Brunei adalah memeranjatkan, katanya.

Tidak kira betapa berkuasanya seseorang Perdana Menteri itu, namun Perlembagaan Persekutuan tidak sekali-kali membenarkan seseorang Perdana Menteri Malaysia menyerahkan sesuatu wilayah Malaysia kepada negara lain samada di daratan atau lautan.

"Perbuatan demikian adalah sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataanya itu.

Menurut beliau, artikel 2 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan hanya dengan persetujuan Parlimen melalui rang undang-undang yang dibentang dan diluluskan oleh Parlimen sahaja sempadan negara boleh diubah.

Bertolak dari peristiwa penyerahan sempadan laut Malaysia kepada Brunei, beliau menuntut tindakan berikut ini dari Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Mohd Najib:

1) Mendedahkan kepada awam semua perhubungan antara Putrajaya dan Brunei, Sabah, Sarawak dan Petronas sehingga berlakunya penyerahan ini;

2) Pendedahan semua keputusan Kabinet mengenai perkara ini atau ;

3) Menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas dan telus untuk menyiasat isu ini.

"Peristiwa penyerahan sempadan seperti ini dak pernah berlaku dalam sejarah moden negara. Peristiwa penyerahan pulau dan wilayah hanya berlaku sewaktu zaman penjajahan dulu kala dan telah menjadi lipatan sejarah. Kenapa ia diulangi lagi seperti kita sudah berdaulat?" soal beliau.

Bagi beliau, tindakan mengeluarkan sempadan negara, kemudian mengeluarkannya tanpa mengikut tatacara berperlembagaan dan bersifat unilateral dari Kerajaan Pusat, akan mengakibatkan terlalu banyak implikasi kepada negara kita.

Satu darinya ialah integriti dan kedudukan Petronas sendiri sebagai badan multinasional yang terpaksa membatalkan kontraknya dengan pihak lain yang akan menunjukkan kontrak-kontrak dengan Petronas adalah tidak terjamin sekaligus akan melemahkan Petronas.

"Selepas satu tempoh yang memuaskan berlalu tanpa sebarang tindakan seperti yang saya cadangkan di atas, saya mencadangkan sebilangan rakyat Malaysia memfailkan saman awam warga negara Malaysia (citizen civil suit) ke atas Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan pengisytiharan penyerahan ini adalah tidak sah dan bertentangan dengan kehendak Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan seperti yang saya sebutkan," katanya.

Harakahdaily/-

Pekerja kontrak Petronas bakal hilang kerja

21 Jamadil Awal 1431 H

KUALA LUMPUR, 5 Mei: Warga pekerja kontrak Petronas seluruh negara bakal berdepan dengan potongan gaji dan kehilangan kerja bermula 1 Jun depan.

Demikian dinyatakan oleh seorang pekerja Petronas yang mahu dikenali sebagai Hopeless Bapak dalam satu surat kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pekerja yang bekerja hampir 25 tahun langsung tidak dihargai dan berdepan dengan potongan gaji kira-kira 40 peratus atau bermula pada gaji pokok walaupun telah bekerja lama sehingga ada yang menjangkau 25 tahun.

Ada pekerja di sesetengah bahagian tidak disambung kontrak walaupun telah lama bekerja dengan Petronas.

“Adakah ini yang dikatakan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan oleh DS Najib yang mewar-warkan ke arah negara berpendapatan tinggi?

“Ke mana keuntungan Petronas yang beratus billion dibelanjakan. Tiadakah sedikit penghargaan kepada pekerja yang telah menaikkan nama syarikat,” soalnya.

Baginya, alasan mereka pekerja kontrak dan mengurangkan kos tidak dapat diterima sama sekali.

Justeru, katanya berkemungkinan piket akan diadakan pada 1 Jun nanti di seluruh negara sekiranya kezaliman itu diteruskan.

Harakahdaily/-

Rasmi majlis lebih RM1 juta bazir wang rakyat

21 Jamadil Awal 1431 H

IPOH, 5 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak cukup bimbang dengan pendedahan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang negeri (PAC), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar mengenai pembaziran wang rakyat.

Ini berhubung laporan PAC bahawa agensi dan jabatan kerajaan membelanjakan lebih RM1 juta untuk beberapa perasmian majlis setelah siasatan yang dijalankan tahun lepas.

Naib ketuanya, Salman Saleh berkata pihaknya amat menyokong penuh pendedahan tersebut atas sifat menyelamatkan wang rakyat supaya ianya disalurkan bagi tujuan rakyat dan bukannya menguruskan perasmian majlis agensi atau jabatan kerajaan semata-mata.

“Pemuda PAS Perak tidak mengetahui motif sebenar pendedahan Datuk Seri Raja Ahmad yang banyak menimbulkan persoalan-persoalan setelah komen yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semalam,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Pemuda PAS negeri, katanya difahamkan bahawa semua majlis perasmian agensi atau jabatan kerajaan tersebut sudah semestinya yang dihadiri sendiri oleh Zambry.

Ini, katanya bermakna terlalu banyak perasmian majlis diadakan pada tahun lepas yang dihadiri oleh Zambry yang menyebabkan kos majlis meningkat seperti mana yang didedahkan.

“Datuk Seri Raja Ahmad seolah-oleh memberikan gambaran buruk kredibiliti Datuk Seri Zambry di dalam perkara ini,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menjangkakan Raja Ahmad tidak mungkin akan dilantik sebagai Exco kerajaan negeri malah Pengerusi PAC mungkin akan ditukar.

Tegasnya, Pemuda PAS Perak bukan ingin mencampuri urusan Barisan Nasional (BN) tetapi jika Raja Ahmad yang sanggup kehilangan jawatan-jawatan penting di atas mendedahkan pembaziran wang rakyat adalah seorang yang berintegriti walaupun Zambry dan media memahami sikap sebenarnya.

Harakahdaily/-

Kempen di Sibu bermula dengan pembohongan

21 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Abdul Aziz Mustapha

KUALA LUMPUR, 5 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kempen pilihan raya kecil Sibu bermula dengan pembohongan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa bahawa Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang mahu bertemu dengan beliau, dan bukan sebaliknya.

"Kenyataan Najib bertentangan dengan dengan jawapan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri) Nazri Aziz di Dewan Rakyat yang memuji perkhidmatan dan lobi firma Yahudi Zionis, APCO Worldwide yang menggasak wang rakyat negara ini hampir RM77juta sehingga Najib mendapat peluang yang diidam-idamkannya untuk mengadap Obama.

"Walaupun Nazri berusaha memperbaiki kenyataannya yang memuji jasa APCO yang membolehkan Najib mencapai idamannya untuk bertemu Obama, tetapi di kalangan pemimpin Umno, kenyataan pertamalah yang biasanya benar.

"Kenyataan susulan untuk memperbaiki kenyataan pertama hanyalah untuk mengawal kerosakan (damage control) akibat kenyataan pertama," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Bagi Mahfuz, jika benar dakwaan kononnya Obama yang mahu berjumpa Najib, "ia tidak ubah seperti guru besar memanggil pelajar bermasalah untuk berjumpanya".

"Kalau pelajar bermasalah dipanggil berjumpa guru besar, biasanya dia dipanggil untuk dirotan.

"Kalau pemimpin negara angkuh seperti Amerika Syarikat memanggil pemimpin negara kecil mengadapnya, biasanya pemimpin negara kecil itu dileteri dan diberi amaran mengenai pelbagai perkara antaranya mengenai perbuatan memperdagangkan manusia (human trafficking)," katanya.

Beliau juga kesal dengan dakwaan Najib yang dianggapnya cuba memperbodoh-bodohkan rakyat Malaysia.

"Perdana Menteri juga cuba menggambarkan kononnya Obama mahu berjumpa dengannya supaya beliau memberi penjelasan mengenai Model Ekonomi Baru (MEB).

"Najib jangan ingat rakyat negara ini bodoh sangat untuk mempercayai dakwaannya itu. Kalaupun Obama mahu bersikap diplomatik atau mengambil hati tetamu, adakah sehingga ke peringkat meminta Perdana Menteri menjelaskan mengenai MEB?

"Kerja mencari maklumat mengenai MEB hanya kerja pegawai Amerika yang berpangkat rendah sahaja," kata Mahfuz.

Ketika berkempen di di majlis pemimpin bersama rakyat di SK Bandaran Sibu No 3 di Kampung Bandong, Sibu baru-baru ini, Najib mendakwa bukan beliau yang mahu berjumpa Obama tetapi Obamalah yang mahu berjumpa beliau.

"Hakikatnya, Presiden Obama mahu berjumpa saya. Dalam pertemuan kami, beliau meminta saya menjelaskan mengenai Model Ekonomi Baru negara," dakwa beliau.

Harakahdaily/-

Pak Andak Manaf meninggal

21 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Hashim Abdullah

TEMERLOH, 5 Mei: Aktivis PAS Temerloh Mohd Manaf Mohd Arif, 79 telah kembali ke rahmatullah di rumahnya sekitar jam 11.20 pagi tadi. Allahyarham yang lebih di kenali sebagai Pak Andak Manaf adalah Pengerusi Tetap PAS Cawangan Kampung Buntut Pulau.

Semasa hayatnya Allahyarham pernah menjadi Ketua PAS Cawangan Kampung Buntut Pulau yang sangat aktif .Menurut anaknya Amiruslan Abdul Manaf yang juga Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Temerloh berkata Allahyarham bapanya menghembuskan nafas terakhir dirumahnaya akibat sakit tua.

Penasihat PAS Pahang, Tuan Guru Haji Mohd Baqi Othman telah mengimamkan solat jenazah. Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan kampung tersebut petang tadi.

Turut mengziarahi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Cabang PKR Temerloh, Ahmad Nizam Abdul Hamid, Adun Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed serta pimpinan Pakatan Rakyat Temerloh.

Harakahdaily/-

PM dituntut perjelas serah Wilayah pada Brunei

21 Jamadil Awal 1431 H

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dituntut mendedahkan kepada awam semua perrhubungan antara Putrajaya dan Brunei, Sabah, Sarawak dan Petronas sehingga berlakunya peristiwa penyerahan sempadan laut Malaysia kepada Brunei.

Ketika membuat tuntutan tersebut, pemimpin PAS yang juga exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa juga meminta perdana menteri mendedahan semua keputusan kabinet mengenai perkara itu.

"Atau menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja yang bebas dan telus untuk menyiasat isu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Husam berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negara ini kejadian yang sama berlaku selepas negara merdeka.

"Maka, demi kepentingan negara dan kepentingan awam, kejujuran, keterbukaan dan ketelusan oleh kabinet dan perdana menteri adalah sangat diperlukan," tegasnya.

Katanya, tindakan mengeluarkan sempadan negara, kemudian mengeluarkannya tanpa mengikut tatacara berperlembagaan dan bersifat unilateral dari kerajaan pusat, akan mengakibatkan terlalu banyak implikasi kepada negara.

"Satu darinya ialah integriti dan kedudukan Petronas sendiri sebagai badan multinasional yang terpaksa membatalkan kontraknya dengan pihak lain yang akan menunjukkan kontrak-kontrak dengan Petronas adalah tidak terjamin sekaligus akan melemahkan Petronas.

"Selepas satu tempoh yang memuaskan berlalu tanpa sebarang tindakan seperti yang saya cadangkan di atas, saya mencadangkan sebilangan rakyat Malaysia memfailkan saman awam warga negara Malaysia ke atas Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan pengisytiharan penyerahan ini adalah tidak sah dan bertentangan dengan kehendak Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan seperti yang saya sebutkan.

"Saya berharap ahli Parlimen, para peguam, NGO, dan orang perseorangan, termasuk dari Sabah dan Sarawak, boleh bersama saya nanti memfailkan kes ini di mahkamah.

"Saya juga akan menulis surat kepada semua ADUN Sabah dan Sarawak untuk mencadangkan kepada mereka agar menyatakan pendirian mereka dalam isu ini dan memanggil satu sidang DUN khas untuk membahaskan isu ini," tambahnya.

Menurut Husam lagi, kedaulatan wilayah adalah penting untuk setiap negara dan sepanjang sejarah, banyak perselisihan wilayah berlaku antara negara-negara yang telah mengakibatkan perang.

'Pengasas negara Malaysia memberikan penghormatan yang tinggi untuk melindungi wilayah kita dengan menyediakan peruntukan dalam Artikel 1 dan 2, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara ini," tegasnya.

Berasaskan latarbelakang ini, tambah Husam, pendedahan tentang urus keluar wilayah Malaysia kepada Brunei adalah memeranjatkan.

"Tidak kira betapa berkuasanya seseorang perdana menteri itu, namun Perlembagaan Persekutuan tidak sekali-kali membenarkan seseorang perdana menteri Malaysia menyerahkan sesuatu wilayah Malaysia kepada negara lain sama ada di daratan atau lautan.

"Perbuatan demikian adalah sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan hanya dengan persetujuan Parlimen melalui rang undang-undang yang dibentang dan diluluskan oleh Parlimen sahaja sempadan negara boleh diubah," tegas Husam lagi.

Malaysiakini/-

Saksi utama kes Aminul dipanggil kali ke-3

21 Jamadil Awal 1431 H

Saksi utama kes Aminulrasyid Amzah hari ini dipanggil lagi memberikan keterangan bagi kali ketiga di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Peguam N Surendran memberitahu, Azamuddin Omar (kiri) - yang berada bersama arwah ketika pelajar terbabit ditembak mati oleh polis minggu lalu - dipanggil bagi menjalani proses tersebut pada jam 4.30 petang ini.

Pelajar tingkatan tiga itu bagaimanapun hanya kelihatan sampai di IPK itu pada jam 5.20 petang dan keluar kira-kira 30 minit selepas itu.

Beliau turut diiringi seorang lagi peguam Latheefa Koya, rakan-rakannya dan wakil Persatuan Ibu-bapa dan Guru (PIBG) sekolahnya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Surendran berkata kebanyakan soalan yang ditanya kepada saksi utama itu hanya mengulangi perkara yang telah ditanya sebelum ini.

Katanya, tindakan tersebut tidak diperlukan sedangkan Azamuddin telah tiga kali dirakamkan kenyataannya.

"Proses soal jawab itu profesional, bagaimanapun kita rasa ia sudah mencukupi. Apa yang pihak berkuasa patut lakukan sekarang? Mereka patut mendakwa pihak yang terlibat," katanya.

Sebelum ini, polis telah merakamkan kenyataannya Azamuddin pada 28 April dan 2 Mei lalu, tambah peguam yang terkenal memperjuangkan isu-isu hak asasi manusia itu.

Isnin lalu, Azamuddin tampil pertama kali dalam sidang media menceritakan pengalamannya berhubung insiden tragis melibatkan rakan sekolahnya itu.

Beliau dilaporkan berkata, setelah kereta yang dinaikinya bersama Aminulrasyid berlanggar dengan sebuah tembok setelah ditembak polis pada pagi 26 April lalu.

Azamuddin yang cedera pada bahagian lengan dan belakangnya juga dilaporkan mendakwa lima anggota polis kemudiannya membelasahnya selepas dia keluar dari kereta untuk menyerah diri.

Kesan kejadian tersebut, pelajar tersebut dilaporkan ketakutan dan terpaksa menjalani rawatan trauma.

Malaysiakini/-