04 May 2010

Awas jika dia datang

18 Jamadil Awal 1431 H
Email : Xian nasa

Saya seorang guru bertugas di Kuala Pilah, Negeri Sembilan (Tel: 06-4889726 di pejabat dan 019-6078917). Saya mendapat maklumat dan sempat mengenali seorang yang mendakwa dirinya pendakwah bebas. Dia dikenali sebagai Hashim (gambarnya saya sertakan jika diminta). Dia mendakwa dia pernah belajar di beberapa pengajian pondok di utara Semenanjung (saya tidak sebutkan nama pondok-pondok itu untuk kebaikan), kelahiran darah campur Melayu, Cina dan Siam, mempunyai pertalian dengan kerabat di Raja, pernah bertugas dengan Jakim dan beberapa orang pemimpin politik peringkat persekutuan dan negeri dan pemimpin-pemimpin agama peringkat negeri.

Saya menjemputnya datang dan menyampaikan sumbangan wang ringgit rakan-rakan kepadanya untuk menyokong usaha dakwahnya. Madrasah tempat saya mengaji juga memberi peluang kepadanya menyampaikan cerita pengalaman dan cabaran yang dihadapi dalam kerja dakwah di tempat kami. Saya turut membawanya ke sebuah perkampungan Orang Asli untuk meninjau peluang berdakwah di sana. Selain daripada itu, sahabat-sahabat saya sudah mula merangka kerja untuk mendapat kerjasama beliau berdakwah kepada masyarakat Cina kerana beliau boleh berbahasa Cina (ada rakan-rakan Cina saya mendakwa Encik Hashim mengguna bahasa Cina ala Taiwan. Saya tidak pasti kerana saya tidak boleh berbahasa Cina).

Beberapa lama kemudian, kami hilang kepercayaan terhadapnya dan saya tidak berhasrat untuk membuka aibnya. Memadai saya beri satu contoh: dia keluar dari rumah saya ketika saya keluar bekerja tanpa pengetahuan saya dan membawa bersama sebuah komputer riba dan tidak dipulangkan sehingga hari ini, 27 April 2010. Saya sudah menghubungi pondok pengajian dan beberapa orang yang pernah dikunjungi beliau. Ternyata, saya patut mencurigai beliau.

Berdasarkan pengamatan dan maklumat yang saya peroleh, beliau suka "membuat aktiviti" seperti ini di tempat-tempat pengajian agama.

Tujuan saya menghantar email ini ialah saya merayu agar pihak yang menemui beliau agar memulangkan komputer riba kami kerana di dalamnya terdapat banyak maklumat penting seperti buku penulisan saya mengenai iman dan pendidikan. Isteri saya, seorang guru memerlukannya untuk mengajar di sekolah.

Tujuan kedua saya ialah untuk mengingatkan agar kita lebih berhati-hati.

Email ini tidak berhasrat untuk memburukkan imej beliau. Saya percaya Allah adalah sebaik-baik Maha Pengadil, Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

Panduan asas menulis teks ucapan

18 Jamadil Awal 1431 H
Emel : studio perintis

Dalam apa-apa juga penulisan, pasti ada cara dan formatnya. Begitulah juga dengan teks ucapan. Teks ucapan mempunyai formatnya yang tersendiri. Anda telah mengetahui bahawa kandungan teks ucapan terdiri daripada empat bahagian, iaitu:

1. Kata alu-aluan
2. Pendahuluan
3. Isi-isi
4. Penutup

Dalam menghuraikan panduan penulisan ini, saya akan menerangkannya mengikut bahagian teks ucapan.

1. Kata alu-aluan

Dalam bahagian kata alu-aluan, senarai panggilan mestilah mengikut protokol. Bahagian ini selalunya dimulakan dengan ucapan terima kasih kepada saudara Pengacara Majlis dan kemudiannya tamu kehormat barulah diikuti senarai nama yang lain. Panggilan hormat bagi tamu kehormat bergantung pada gelaran atau pangkat individu tersebut. Jika tamu kehormat merupakan Perdana Menteri, maka panggilan hormat yang sesuai ialah Yang Amat Berhormat. Namun, jika tamu kehormat merupakan pegawai kerajaan yang berjawatan atau berpangkat, maka panggilan hormat yang sesuai ialah Yang Berbahagia. Begitu juga sekiranya majlis yang diadakan bertujuan meraikan pegawai bawahan, maka panggilan hormat yang digunakan ialah Yang Diraikan. Senarai panggilan hormat yang lain akan dibicarakan dengan lebih mendalam dalam Bab 3 buku ini.

2. Pendahuluan

Terdapat pelbagai cara untuk memulakan ucapan. Ucapan bukan sahaja boleh dimulakan dengan rasa kesyukuran, tetapi juga boleh dimulakan dengan imbasan pengalaman, kisah berunsur ringan, latar belakang sesebuah institusi dan pantun.

i. Pendahuluan dengan rasa kesyukuran

Banyak antara kita memulakan ucapan dengan memanjatkan rasa kesyukuran terhadap limpah kurnia Ilahi. Sebagai contohnya;

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul beramai-ramai pada malam ini bagi menjayakan program Makan Malam Negeri sempena Perhimpunan Perpaduan dan Integrasi Pemimpin Murid Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia.

ii. Pendahuluan dengan imbasan pengalaman

Pendahuluan dengan imbasan pengalaman selalunya dibuat oleh seseorang tokoh berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui oleh beliau. Pendahuluan dengan imbasan pengalaman ini sebenarnya dapat mendekatkan diri seseorang dengan khalayak. Sebagai contohnya;

Apabila saya masuk ke dalam dewan ini dan melihat cikgu-cikgu, saya teringat pada zaman saya berkhidmat sebagai guru kira-kira 30 tahun yang lalu. Saya mula berkhidmat di SMK (P) Jalan Bunga. Pada ketika itu, saya diminta mengajarkan Sains sedangkan opsyen saya ialah Bahasa Malaysia. Namun, hal itu tidak melunturkan semangat saya. Saya sahut cabaran tersebut. Pada tahun pertama, saya memang macam budak baharu belajar, tetapi cabaran ini menjadikan saya lebih berusaha menjadi seorang guru.

iii. Pendahuluan dengan kisah berunsur ringan

Pendahuluan dengan kisah berunsur ringan pastinya amat menarik jika digunakan. Pendahuluan ini sebenarnya bertujuan untuk menarik perhatian khalayak agar mendengar ucapan yang akan disampaikan. Sebagai contohnya;

Saya berasa serba salah untuk berucap di hadapan ini kerana pada pagi ini, salah seorang tetamu kita merupakan pakar dalam bidang penampilan. Dari pagi tadi, saya membelek diri saya di hadapan cermin dan bertanya-tanya pada diri sendiri sama ada tudung yang saya pakai pada pagi ini sesuai atau tidak dengan baju yang saya kenakan. Takut juga saya ketika ini beliau sedang menilai penampilan saya di hadapan ini.

iv. Pendahuluan dengan latar belakang

Pendahuluan berbentuk latar belakang merupakan pendahuluan yang kerap digunakan apabila menulis teks ucapan bagi majlis perasmian bangunan, institusi dan pertubuhan, dan majlis perpisahan. Sebagai contohnya;

Kepada tetamu yang pertama kali menjejakkan kaki di Sekolah Perintis, selamat datang saya ucapkan. Untuk makluman semua, Sekolah Perintis ditubuhkan pada tahun 2000 yang pada mulanya hanya mempunyai 120 orang murid dan 12 orang guru. Pada ketika itu, Sekolah Perintis hanya mempunyai sebuah blok pentadbiran dan sebuah blok bilik darjah. Kelengkapan untuk proses pengajaran dan pembelajar-an juga tidak seberapa lengkap. Dalam keadaan yang serba terhad ini, Sekolah Perintis mula beroperasi untuk mendidik anak bangsa.

v. Pendahuluan dengan pantun

Pantun merupakan puisi Melayu tradisional yang boleh digunakan untuk memulakan sesuatu ucapan. Pantun yang biasa digunakan ialah pantun empat kerat. Sebagai contohnya;

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara;
Selamat datang kami ucapkan,
Awal bismilah pembuka bicara.

Maklumat lanjut berkenaan buku Koleksi Contoh Teks Ucapan Berserta Panduan Asas Penulisan Teks Ucapan ini boleh didapati di www.books.perintis. com.my atau sila berhubung dengan Cik Nor di talian 03-9019 5303.

Dua anak halau ibu

18 Jamadil Awal 1431 H
Harian Metro

apa nak jadi dengan masyarakat kita??????

KLANG: Keluarga tunggang terbalik. Itu gambaran boleh diberikan terhadap sebuah keluarga apabila suami bersama dua anak lelakinya sanggup bersekongkol menghalau ibu kandung dari rumah, semata-mata kerana membela perempuan simpanan bapa mereka.

Tidak cukup kata-kata kesat dan cacian, mangsa turut mendakwa dipijak, ditendang di kepala, perut dan kemaluan oleh suami berusia lewat 40-an bersama perempuan simpanan terbabit ketika mahu mempertahankan rumah tangganya daripada musnah.

Difahamkan, mangsa yang enggan meninggalkan rumahnya, dibelasah lebih empat jam dengan disaksikan kedua-dua anaknya di hadapan rumah mereka di sini.

Namun, harapannya untuk mendapat pembelaan daripada kedua-dua anak kandung berusia 14dan 12 tahun turut lenyap apabila mereka menyebelahi bapa dan perempuan simpanan lelaki terbabit, membuatkan ibu berkenaan terpaksa mengalah sebelum meninggalkan rumah sehelai sepinggang.

Difahamkan, perempuan simpanan berusia awal 30-an itu mempengaruhi kedua-dua anak mangsa yang sudah tidak bersekolah itu dengan melaburkan wang ringgit dan kekayaan dimilikinya selain pasangan kekasih terbabit dikatakan ‘menyihir’ kedua-dua remaja berkenaan supaya membenci ibu mereka.

Semuanya bermula apabila mangsa yang mahu dikenali sebagai Puspa, 47, mendakwa mengetahui suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori mempunyai perempuan simpanan sehingga mengabaikan kebajikannya dan anak-anaknya.

Menurutnya, setiap kali dia mempersoalkan perubahan sikap suaminya selepas memiliki perempuan terbabit, dia akan dibelasah.

“Bukan sekali atau dua, saya diperlakukan sedemikian lebih setahun. Saya hanya mampu berdoa supaya suami berubah.

“Disebabkan itu juga, saya mendiamkan diri bagi mengelak suami berang,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, semalam.

Puspa berkata, awal bulan lalu dia mendapatkan nombor telefon perempuan terbabit dalam telefon bimbit suaminya dan menghubungi wanita itu.

“Kami bertengkar lebih 30 minit. Mana tidaknya, perempuan itu mendakwa akan menghalau saya keluar dari rumah saya.

“Malah, dia juga memberitahu akan menjadikan rumah saya sebagai ‘banglo’ barunya,” katanya.
Tindakannya menghubungi perempuan itu mengundang padah apabila wanita terbabit melaporkannya kepada suami mangsa.

Berikutan itu, suami mangsa berang lalu membelasah Puspa.

Puspa berkata, pada awal bulan ini kira-kira jam 10 pagi, wanita terbabit datang ke rumah sebelum menghalaunya keluar.

“Ketika itu saya cuba mempertahankan rumah tangga sebelum suami masuk campur. Suami bukan saja menampar, malah turut memijak kepala, menendang kemaluan dan perut saya.

“Biarpun diperlakukan sedemikian lebih empat jam, saya masih cuba mempertahankan rumah tangga, namun mengalah selepas kedua-dua anak turut mengarahkan saya keluar “Saya tak tahu apa yang terjadi kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Klang.

Sehingga kini, mangsa sudah membuat lebih 10 laporan polis membabitkan perbuatan keji suaminya selain beberapa kes ugutan dilakukan lelaki terbabit.

Difahamkan, Puspa juga sudah membuat banyak aduan di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai dakwaan suaminya bersekedudukan dengan perempuan terbabit, namun tiada tindakan diambil sehingga kini.

Puspa berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap suaminya dan perempuan simpanan itu supaya kejadian sama tidak berulang.

“Saya juga berharap kedua-dua anak sedar mengenai perbuatan mereka,” katanya.

Tahniah Azizul Hasni

18 Jamadil Awal 1431 H
Naninu sakun

Tanggal 27 April 2010 merupakan detik bersejarah bagi pelumba basikal negara iaitu AzizulHasni kerana telah dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan tahun 2009. Beliau digelar THEPOCKETROCKETMAN oleh para pelumba basikal antarabangsa dengan kemampuannya memecut walaupun bertubuh kecil sahaja. Berbagai kejayaan telah diraih oleh beliau di arena antarabangsa sepanjang tahun lepas dan tahun ini sehingga memenangi perak didalam kejohanan dunia yang belum pernah diraih lagi oleh sebarang anak Malaysia diperlumbaan lumba basikal ini.

Selain itu beliau juga antara ranking utama dunia untuk acara keirin.Syabas diucapkan kepada seorang anak MELAYU kerana berjaya memahat nama dipentas dunia selaku jagoan diarena antarabangsa. Namun begitu adakah segala pengorbanan beliau terpahat di mata para menteri dan kerajaan Malaysia serta PERKASA yang kononnya berjuang untuk MELAYU. Saya mencadangkan kepada mereka bagilah gelaran Dato` pada beliau sebagai membalas kejayaan yang beliau lakukan walaupun baru di arena lumba basikal ini. Lee Chong Wei boleh dapat, Nicol David boleh takkanlah MELAYU XBOLEH??????anak komando rejimen 1.

Hadiah atas jasa mereka : Palanivel, Ezam angkat sumpah sebagai Senator

18 Jamadil Awal 1431H.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel dan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara, sebentar tadi.

Mereka adalah antara empat Senator baru mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Perlantikan mereka bagi saya sangat tepat sesuai dengan pengorbanan dan jasa mereka kepada BN dan UMNO.

Dua lagi ialah Pengerusi Eksekutif Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Noriah Mahat.

Palanivel ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ezam yang keluar daripada PKR dan kembali ke pangkuan Umno pada 2008 apabila beliau menyerahkan borang keahlian kepada Presiden UMNO pada masa itu, Datuk Seri Abdullah Ahmada Badawi. Beliau juga juga adalah bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sekitar Mesyuarat Agung PAS Kawasan Lenggong

18 Jamadil Awal 1431H.
Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG:Mesyuarat Agung PAS Kawasan Lenggong kali ke-7 baru-baru ini menyaksikan sebanyak 190 ahli baru menerima sijil keahlian masing-masing yang disampaikan Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Ustaz Misbahul Munir Masduki. Sijil keahlian diterima oleh ketua PAS cawangan masing-masing yang disampaikan sebelum mesyuarat dimulakan.

Mesyuarat yang diadakan di Dewan Sekolah Agama Hidayatul Quran, Kota Tampan Air dekat sini yang juga adalah mesyuarat agung pertama bagi Haji Razman Zakaria selaku Yang DiPertua baru PAS Kawasan Lenggong, turut menyaksikan kehadiran kira-kira 400 perwakilan dan pemerhati.

Kehadiran yang paling menggalakkan dalam sejarah tujuh tahun PAS Kawasan Lenggong itu membuktikan sokongan padu terhadap saf kepimpinan baru diterajui Haji Razman yang sejak awal terpilih tidak menoleh ke belakang lagi untuk membawa PAS Lenggong berada di depan. Hasilnya, PAS Kawasan Lenggong kini tidak lagi ketinggalan di belakang, sebaliknya telah jauh berada di depan setanding kawasan-kawasan yang telah sedia aktif di Perak khususnya.

Mesyuarat agung kawasan kali ini turut menyaksikan penyampaian derma kepada seorang wanita mangsa kebakaran rumah di Kampung Padang, Gerik baru-baru ini selain kutipan derma untuk membantu dua Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Lenggong.

Sementara itu, mesyuarat agung kali ini terpaksa dipindah tempat apabila permohonan mendapatkan Dewan Merdeka Lenggong ditolak pihak berkenaan dengan alasan bangunan akan dibaik pulih dalam masa segera. Mesyuarat bermula jam 10 pagi yang dirasmikan oleh Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Ustaz Misbahul Munir Masduki itu berakhir jam 2 petang.Tamat.

Seorang perwakilan sedang bahaskan usul.

Ustaz Misbahul Munir Masduki sedang berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Lenggong.

Sebahagian perwakilan muslimat.

Misbahul Munir sampaikan sijil ahli baru kepada salah seorang ketua PAS cawangan.

Haji Razman sampai sumbangan kepada mangsa rumah terbakar - sumbangan dikutip semasa Mesyuarat Agung PAS Lenggong baru-baru ini.

Ekspo Dunia 2010 dalam Lubuk Hati Umat Islam di Shanghai


18 Jamadil Awal 1431H.

Ekspo Dunia 2010 sedang berlangsung di Shanghai. Pelbagai etnik penduduk Shanghai termasuk umat Islam menceburkan diri secara aktif dalam temasya ini. Penduduk yang terdiri daripada umat Islam semuanya menganggap diri mereka sebagai "sukarelawan" yang bertanggungjawab untuk membentuk imej bandar raya Shanghai yang baik.

Beberapa persoalan pernah terlintas dalam fikiran ramai penduduk Shanghai seperti mengapa China menganjurkan Ekspo Dunia? Bagaimana Shanghai dipilih sebagai bandar tuan rumah Ekspo Dunia? Apakah manfaat yang akan didatangkan oleh Ekspo Dunia terhadap pertumbuhan ekonomi Shanghai khususnya dan China amnya?

Adakah taraf hidup penduduk Shanghai dapat ditingkatkan setelah Shanghai menjadi tuan rumah Ekspo Dunia 2010? Dan yang paling menarik perhatian umat Islam ialah bagaimana mereka boleh menyumbang kepada Ekspo Dunia dan melakukan tindakan konkrit mengikut ajaran agama Islam. Untuk menjadikan ramai penduduk Islam Shanghai lebih mengetahui dan memahami tentang Ekspo Dunia ini, Persatuan Agama Islam Shanghai dan Persatuan Etnik Minoriti Shanghai telah mengadakan pelbagai ceramah khas mengenai Ekspo Dunia.

Pegawai dari Biro Ekspo Dunia Shanghai telah dijemput untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Better City, Better Life" atau "Bandar yang Lebih Baik Memberikan Kehidupan yang Lebih Baik" iaitu slogan Ekspo Dunia 2010 di Shanghai ini.

Pelbagai ceramah yang diadakan telah menarik perhatian ramai penduduk Islam. Selepas mendengar ceramah, mereka dengan sepakat menyatakan "barulah kami mengetahui kandungan yang begitu luas Ekspo Dunia. Ini memang meluaskan pandangan kami." Orang Islam yang berkerja dalam masjid-masjid Shanghai juga dengan gembiranya berkata, "seiring dengan projek pengubahsuaian bandar Shanghai menjelang Ekspo Dunia, masjid kita pun perlu diperbaiki. Selain itu, Ekspo Dunia ini juga merupakan peluang keemasan bagi kita sendiri. Maka sebagai tuan rumah, kita perlu menyertai kerja-kerja persiapan secara aktif dan memberi perkhidmatan yang baik kepada para pengunjung semasa Ekspo Dunia berlangsung di Shanghai."

Lebih 70 juta pelancong dijangka akan mengunjungi Shanghai semasa Ekspo Dunia berlangsung. Sebanyak 57 buah negara Islam yang menyertai Ekspo Dunia Shanghai. Maka sudah pasti sejumlah besar pelancong asing adalah orang Islam. Sehubungan dengan itu, makanan halal yang bermutu tinggi dan selaras dengan piawaian perlu disediakan kepada para pengunjung Islam. Badan berkenaan kerajaan Shanghai telah mengambil berat terhadap perkara tesebut.

Imam dari masjid-masjid di Shanghai dengan aktif menyertai peninjauan terhadap rangkaian makanan halal di Shanghai. Mereka mengeluarkan banyak cadangan yang amat berharga kepada pihak penganjur Ekspo Dunia. Dengan usaha mereka yang bersungguh-sungguh itu, kedai dan restoran makanan halal akan dibuka di pelbagai pusat lalu lintas yang sibuk seperti lapangan terbang dan stesyen kereta api agar umat Islam lebih senang untuk mendapat makanan halal yang bermutu. Selain itu, pengawasan terhadap kualiti dan keselamatan makanan halal yang disediakan juga akan ditingkatkan semasa Ekspo Dunia berlangsung di Shanghai.

Bermula awal tahun ini, jabatan pengurusan melibatkan agama dan etnik minoriti, wakil kawasan kediaman umat Islam serta masjid-masjid di Shanghai telah mengadakan pengajaran bahasa Inggeris dan Arab di kalangan penduduk Islam. Imam-imam dari masjid-masjid di Shanghai memikul tugas sebagai guru untuk mengajar bahasa Arab secara sukarela. Kawasan perumahan Huamu Pudong yang berhampiran dengan masjid Pudong, Persatuan Etnik Minoriti Daerah Luwan dan Masjid Xiaotaoyuan dan Huxi telah menawarkan kuliah pelajaran bahasa Arab dengan menggunakan masa lapang dan percutian menjelang Ekspo Dunia Shanghai. Ramai penduduk Islam sama ada berusia atau muda, lelaki atau perempuan menyertai kuliah-kuliah tersebut dengan begitu bersemangat. Dialog yang diajar amat berguna dalam kehidupan harian terutamanya ketika orang asing bertanya tentang bagaimana untuk pergi ke hotel, masjid atau untuk mendapatkan makanan halal.

Sebenarnya, jumlah penduduk Islam tidak begitu ramai dan mereka tinggal berselerak di bandar raya Shanghai. Namun, pada tahun-tahun kebelakangan ini, jumlah penduduk Islam bertambah ramai kerana ramai penduduk Islam yang berhijrah dari barat laut termasuk Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, provinsi Gansu dan Qinghai. Ada di kalangan mereka yang berniaga, ada yang melanjutkan pelajaran di Shanghai. Masjid Huxi di daerah Luwan, di bahagian barat Shanghai merupakan kawasan kediaman penduduk Islam yang paling ramai di bandar Shanghai. Ramai orang Islam dari dalam dan luar negara akan berjemaah secara beramai-ramai di masjid tersebut sama ada hari Jumaat atau hari raya Aidilfitri dan Aidil Adha. Sehubungan dengan itu, satu pasukan sukarelawan yang terdiri daripada orang Islam telah diwujudkan oleh Jawatankuasa Pengawalan Masjid Huxi. Mereka ditugaskan mengawal keadaan dan memastikan jemaah yang bersolat di masjid mengikut peraturan terutamanya semasa berlangsungnya aktiviti keagamaan seperti solat Jumaat. Selain itu, mereka juga membantu kakitangan masjid membersihkan kawasan masjid atau menyediakan jamuan dan juadah makanan halal.

Seorang sukarelawan lelaki yang sudah berusia lebih 60 tahun menyatakan:

"Kami semua dengan sukarela memberi sumbangan dan bantuan kepada masjid dan juga para jemaah. Kami datang ke masjid lebih awal untuk membuat persiapan seperti menyapu sampah dan membentang hamparan tikar di halaman."

Imam Masjid Huxi, Jin Hongwei memberitahu wartawan, ramai orang asing yang tinggal, bekerja atau belajar di Shanghai kerana ia bandar raya antarabangsa. Ramai daripada mereka yang beragama Islam selalu bersolat dan menyambut hari raya di masjid ini. Mereka berkawan baik dengan orang Islam tempatan. Beliau menjangkakan lebih ramai sahabat Muslim yang melancong di Shanghai ketika Ekspo Dunia berlangsung. Walaupun kehadiran mereka tidak lama hanya untuk melancong sahaja, namun mereka mengharapkan perkhidmatan yang memuaskan dan bersolat dengan hati yang tenang dalam masjid. Beliau berkata:

"Masjid kami mengalu-alukan kedatangan tetamu yang beragama Islam dari pelbagai negara. Sama ada penduduk Islam tempatan ataupun para sukarelawan yang memberi layanan mesra tentu akan menjadikan mereka merasa senang dan selesa ketika bersolat di masjid."

Terdapat beberapa sukarelawan dari etnik minoriti di luar bandar Shanghai dalam pasukan tersebut. Ayisha, sukarelawan dari etnik Uygur, Xinjiang pandai menari dan menyanyi. Beliau telah membuat persembahan yang menarik semasa aktiviti sambutan kira detik ke-600 hari perasmian Ekspo Dunia 2010. Pasukan sukarelawan tersebut telah mendapat sanjungan tinggi daripada pihak kerajaan bandar Shanghai atas sumbangan besar mereka.

Usaha persiapan Ekspo Dunia memainkan peranan yang besar dalam mendorong projek pengubahsuaian masjid-masjid di Shanghai. Projek tersebut bukan sahaja dijalankan untuk membaiki kemudahan dalam masjid, malah kemudahan dan situasi lalu lintas di sekitar masjid juga telah dilaksanakan. Misalnya, Masjid Jingxinglu pada asalnya terletak di lorong yang sempit. Sekarang bangunan masjid tersebut telah diruntuhkan dan dibina semula di sebuah kawasan yang luas berhampiran Stadium Jiangwan. Masjid yang baru itu dijangka akan siap dibina menjelang penghujung bulan April ini. Masjid tersebut mempunyai tiga tingkat dengan keluasannya mencapai lebih 2,000 meter persegi. Lebih seribu orang jemaah dapat bersolat di masjid ini pada satu-satu masa.

Penduduk Islam yang selalu berjemaah di masjid Jiangwan yang lama itu semuanya berasa amat teruja. Mereka tidak sabar menanti-nantikan untuk bersolat di masjid yang baru ini. Menurut mereka, Ekspo Dunia yang akan diadakan di Shanghai tidak lama lagi akan menjadikan harapan mereka menjadi kenyataan.

Dewan pameran Ekspo Dunia 2010 yang akan siap dibina terletak di kedua-dua belah tebing Sungai Huangpu. Pudong, kawasan di bahagian timur Shanghai, sebagai kawasan kewangan yang baru selepas pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka di Shanghai, sedang berkembang pesat. Masjid Pudong terletak di kawasan tersebut yang merupakan kawasan yang sibuk. Jumlah jemaah semakin bertambah ramai. Ramai warga asing yang beragama Islam seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Pakistan, India dan beberapa negara Arab bersolat di masjid itu kerana kedudukannya tidak jauh daripada kawasan pembinaan taman Ekspo Dunia dan kawasan pusat kewangan Lujiazui di Pudong. Maka, dewan sembahyang yang lama itu tidak boleh memenuhi keperluan para jemaah. Kalau hujan turun, jemaah terpaksa bersolat di ruang halaman dan basah oleh hujan. Pihak berkuasa daerah Pudong dan Persatuan Islam Shanghai selepas mendengar seruan dan cadangan para penduduk Islam telah mengambil berat terhadap perkara tersebut. Mereka telah menyediakan peruntukan untuk menjalankan projek pengubahsuaian masjid tersebut. Keluasan Masjid Pudong yang baru ini mencapai hampir 3,000 meter persegi apabila siap dibina semula.

Para jemaah dengan gembira berkata: "Kami bersyukur dapat bersolat di masjid yang luas dan terang ini. Ini memang merupakan rahmat yang dibawa oleh Ekspo Dunia kepada kami penduduk Islam."

Selain itu, masjid-masjid lain di Shanghai seperti Masjid Xiaotaoyuan, Masjid Muslimat, Masjid Fuyoulu dan Masjid Huxi juga sedang diubahsuai agar dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih sempurna kepada para jemaah semasa Ekspo Dunia berlangsung di Shanghai.

Ekspo Dunia 2010 di Shanghai merupakan peluang paling baik untuk memperlihatkan pencapaian rakyat China dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan, sains dan teknologi. Ia juga menyediakan wahana interaksi kepada rakyat China dengan negara lain di dunia.

Umat Islam di bandar raya Shanghai sudah bersiap sedia untuk menyambut kedatangan pengunjung dari seluruh dunia dan memainkan peranan yang sewajarnya untuk menjayakan temaya Ekspo Dunia di Shanghai ini.CRI/-

Chen Yu Luo Yan : Membuatkan Ikan Tenggelam ke Dasar Sungai, dan Angsa Yang Terbang Jatuh ke Tanah


18 Jamadil Awal 1431H.

Asal Usul:

Dalam sejarah China, terdapat empat orang jelitawan yang sangat terkenal. Mereka ialah Xi Shi, Wang Zhaojun, Diao Chan dan Yang Yuhuan.

Xi Shi hidup di negeri Yue pada zaman Chunqiu, iaitu antara tahun 770 hingga tahun 476 Sebelum Masihi. Kononnya, pada suatu hari, beliau bersama-sama dengan beberapa orang kawannya, pergi mencuci sapu tangan di tebing sebatang anak sungai. Ikan dalam sungai itu terlihat wajah Xi Shi. Kesemuanya terpesona dengan kecantikannya, sehingga lupa untuk berenang, lalu tenggelam ke dasar sungai.

Wang Zhaojun pula hidup pada zaman Dinasti Han, iaitu antara tahun 202 sebelum Masihi hingga tahun 220 Masihi. Pada suatu hari, maharaja pada ketika itu mendapat berita bahawa sebuah negeri di bahagian utara sedang merancang untuk menyerang negerinya. Untuk mengelak daripada berlakunya perang, baginda terfikir satu cara yang bijak, iaitu mengahwinkan Wang Zhaojun, salah seorang gundiknya, dengan raja negeri tersebut. Maka, dengan perintah baginda, Wang Zhaojun, bersama beberapa orang pengiringnya, pun berangkat, menuju ke negeri itu. Menurut ceritanya, dalam perjalanannya itu, seekor angsa liar terbang lalu di atas kepalanya. Burung itu amat terkejut melihat kecantikannya, hingga terlupa untuk terbang, lalu jatuh ke tanah.

Selepas itu, jika mahu memuji kecantikan seseorang gadis, orang ramai pun mengatakan bahawa gadis itu memiliki wajah yang membuatkan ikan tenggelam ke dasar sungai, dan angsa yang terbang jatuh ke tanah.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Chen Yu Luo Yan" ini membawa erti, ikan yang berenang dalam sungai dan angsa yang terbang di angkasa pun terpesona dengan kecantikan seseorang itu. Peribahasa ini digunakan untuk menggambarkan kecantikan wanita yang amat luar biasa.CRI/-

Ekspo Dunia 2010 Shanghai China Berjalan Lancar pada Hari Pertama

18 Jamadil Awal 1431H.

Ekspo Dunia 2010 Shanghai China berjalan dengan lancar pada hari pertama 2 Mei kelmarin. Mengikut data yang disediakan, setakat pukul 7 malam tadi, lebih 204 ribu pelawat telah memasuki Taman Ekspo Dunia ini.



Menurut Ketua Jabatan Penyelarasan Urusan Ekspo Dunia 2010 Shanghai, Hong Hao, para pelawat berbaris dengan teratur untuk mengunjungi pelbagai pavilion pameran walaupun terdapat 10 pavilion pameran yang dibanjiri ramai pelawat. Lalu lintas dalam taman bertambah lancar selepas pihak penganjur mengubahsuaikan sistem laluan dan kedudukan perhentian bas.

Kecuali 7 bavilion pameran yang masih belum selesai dihiaskan, semua pavilion pameran yang lain telah dibuka kepada pelawat semalam.CRI/-


RM2 untuk sepotong ikan sardin!

18 Jamadil Awal 1431H.
Iskandar Abdul Samad

Saya amat terkejut pagi tadi apabila mendapati sepotong ikan sardin berharga RM2. Bukan setin tapi sepotong!

Saya telah bersarapan di sebuah restoran berhampiran dengan bangunan Maxisegar, Pandan Indah.Saya ambil sepinggan mee goreng dan apabila hendak membayar diberitahu sepotong ikan sardin lebih kurang 2 inci panjang berharga RM2.

Kata pelayan kedai itu, setin ikan sardin RM4. Tapi saya semak di kedai RM3.80. Dalam setin katanya ada 4 potong. Jadi sepotong RM1. Oleh itu, mereka jual RM2 sepotong setelah dimasak.

Dengan mee goreng harganya RM4.Lebih murah bersarapan Koko Krunch atau Honey Stars. Sekotak besar dalam RM12 boleh makan 20 orang. Krimer RM2.80setin besar. Bermakna kurang RM1 sekali makan.

Syaitan dalam kehidupan manusia

18 Jamadil Awal 1431 H
http://akhisalman.blogspot.com/

MUKADDIMAH

Allah swt telah menyuruh kita menjadikan syaitan sebagai musuh. Firman Allah swt:


إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوّاً


Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), (6 : 35 al-Fatir)

Boleh kata semua manusia akan mengakui syaitan sebagai musuhnya. Namun tidak ramai yang mengetahui bagaimana cara untuk menghadapi syaitan dan manakah ruang-ruang yang mana syaitan akan masuk pada diri insan. Ini adalah sebahgian dari ruang-ruang yang perlu seorang manusia tutup agar syaitan tidak memperdayanya.




SYAITAN BERMALAM DI DALAM HIDUNG

إذا استيقظ أحدكم من منامه فليستنثر ثلاث مرات فإن الشيطان يبيت على خياشيمه


“ Apabila seseorang kamu bangun dari tidurnya hendaklah dia memasukkan dan mengeluarkan air dari hidungnya tiga kali. Sesungguhnya syaitan bermalam di dalam lubang hidungnya.”


Hadis riwayat Bukhari dan Muslim


SYAITAN KENCING DI DALAM DUA TELINGA

Apabila diberitahu kepada Nabi saw tentang seorang lelaki yang tidak bangun tahajud dan bangun ketika watu sudah subuh. Nabi saw bersabda:


ذاك الرجل بال الشيطان في أذنيه


“ Lelaki itu telah dikencing syaitan di dua telinganya.”

Hadis sahih Bukhari dan Muslim.


SYAITAN MASUK DALAM MULUT YANG TERBUKA MENGUAP


إذا تثائب أحدكم فليمسك بيده على فيه فإن الشيطان يدخل


“ Apabila seseorang menguap hendaklah dia menutup dengan tangannya. Sesungguhnhya syaitan masuk ke dalam mulutnya yang terbuka.”


Hadis sahih Muslim.

SYAITAN KETAWA MELIHAT MANUSIA YANG BERKATA “AAAAAH “ SEMASA MENGUAP

Nabi saw bersabda:


ولا يقل آه آه فإن أحدكم إذا فتح فاه فإن الشيطان يضحك منه


“ Dan janganlah seseorang itu berkata “aaaaaaaa” semasa menguap. Syaitan akan ketawa bila dia membuka mulut semasa menguap.”

Hadis riwayat Ahmad.


MEMAKI ORANG MEMBANTU SYAITAN UNTUK MEROSAKKAN MANUSIA

Seorang lelaki mencela seorang yang dikenakan hukuman sebat kerana minum arak. Nabi saw bersabda:


لا تقولوا هكذا لا تعينوا عليه الشيطان


“Janganlah kamu berkata sedemikian kepada orang yang dihukum. Janganlah kamu membantu merosakkan dia.”

Hadis sahih Bukhari.

Moral: Oleh itu janganlah kita memaki walaupun orang yang sudah jelas kesalahannya. Memaki hamun dalam apa jua keadaa adalah dilarang. Mudah2an maki hamun yang ada pada ceramah, dakwah, shoutbox dan sebagainya dapat dielakkan.

SYAITAN TIDAK MASUK RUMAH YANG DIBACA SURAH BAQARAH

Nabi saw bersabda:


لا تجعلوا بيوتكم مقابر فإن الشيطان ينفر من البيت الذي تقرأ فيه سورة البقرة


“ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca surah al-Baqarah.”


Hadis sahih Muslim

Faedah: Siapa yang baru masuk rumah atau rumahnya diganggu maka digalakkan utuk dibaca surah al-Baqarah beramai2.

SYAITAN MAKAN DARI MAKANAN YANG TIDAK DIBACA BISMILLAH DAN BERMALAM PADA RUMAH YANG TIDAK DIMASUKI DENGAN BISMILLAH


إذا دخل الرجل بيته فذكر الله عند دخوله وعند طعامه قال الشيطان : لا مبيت لكم ولا عشاء وإذا دخل فلم يذكر الله عند دخوله قال الشيطان : أدركتم المبيت وإذا لم يذكر الله عند طعامه قال : أدركتم المبيت والعشاء

“ Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya dan menyebut nama Allah semasa masuk dan menyebut nama Allah semasa makan. Syaitan akan berkata kepada kuncu2nya “Kamu tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam.” Apabila dia masuk kerumahnya tanpa menyebut nama Allah syaitan akan berkata “ Kamu semua mendapat tempat bermalam.” Apabila dia tidak menyebut nama Allah semasa makan , syaitan akan berkata “ Kamu mendapat makan malam dan tempat bermalam.”

Hadis sahih Muslim (2018).


MAKANAN JATUH YG DIBIARKAN ADALAH HABUAN SYAITAN


إذا سقطت لقمة أحدكم فليمط عنها الأذى وليأكلها ولا يدعها للشيطان


“ Apabila jatuh sebahgian suapan makanan kamu. Hendaklah kamu buang kotoran yang melekat pada makanan dan hendaklah dia makan. Jangan biarkan ia dibiarkan untuk dimakan oleh syaitan.”

Hadis sahih Muslim (2034)


SYAITAN PENGGANGGU SOLAT

Suatu hari Amru bin abi al-As mengadu Rasulullah saw:

“ Ya Rasulullah sesungguhnya syaitan telah mengganggu ku solat dan menimbulkan was-was dalam bacaanku.”

Rasulullah saw pun menjawab:

ذاك شيطان يقال له خنزب فإذا أحسسته فتعوذ بالله واتفل على يسارك ثلاثا


“ Itulah syaitan yang dipanggil khinzab. Apabila engkau merasai gangguannya hendaklah engkau minta perlindungan dari Allah dan ludah ke kirimu tiga kali.”


Amru berkata:


“Aku melakukan apa yang Rasulullah sarankan , lalu Allah menghilangkan segala gangguan syaitan tersebut.”

Hadis sahih Muslim.


MINUM BERDIRI BERSAMA SYAITAN


Nabi saw bertanya kepada orang yang minum berdiri:


“Adakah engkau suka minum bersama dengan kucing?”

Dia menjawab “Tidak”


Nabi saw bersabda:




قد شرب معك من هو شر منه الشيطان

“Sesungguhnya kamu telah minum dengan mahkluk yang lebih teruk dari kucing iaitu syaitan.”

Hadis Ahmad –sahih.

SYAITAN SEMAKIN BESAR BILA DIMAKI


Seorang sahabat Nabi saw telah memaki syaitan apabila binatang tunggangannya terjatuh. Nabi saw bersabda:


لا تقل تعس الشيطان فإنك إذا قلت ذلك تعاظم حتى يكون مثل البيت ويقول : بقوتي ولكن قل : بسم الله فإنك إذا قلت ذلك تصاغر حتى يكون كالذباب


“ Janganlah kamu berkata “ Celaka syaitan.” Kalau kamu berkata begitu syaitan akan berasa besar diri seperti rumah dan berkata “ mendapat kekuatan ku.” , tapi hendaklah kamu berkata “ Dengan nama Allah.” Apabila berkata sedemikian syaitan akan jadi hina sehingga seperti lalat.”

Hadis Abu daud (4982) – sanad sahih

PENUTUP

Terdapat ratusan lagi ruang-ruang syaitan utk memperdaya manusia seperti yang Nabi saw masuk kepada manusia. Ini adalah sebahgian yang saya sempat tulis. Ingatlah bahawa syaitan akan cuba menyesatkan manusia selagi nyawa manusia itu dikandung badannya. Rasulullah saw bersabda:

إن الشيطان قال : وعزتك يا رب لا أبرح أغوي عبادك ما دامت أرواحهم في أجسادهم. قال الرب : وعزتي وجلالي لا أزال أغفر لهم ما استغفروني


“ Sesungguhnya syaitan berkata “ Demi kemulianmu hai tuhan. Aku akan sentiasa menyesatkan hamba-hambamu selagi mana nyawa berada di tubuh mereka.” Tuhan menjawab “ Demi kemulian dan keagunganku aku akan sentiasa mengampunkan mereka selagimana mereka meminta ampun kepadaku.”

Hadis riwayat Ahmad – sanad hasan

Rujukan: Al-Idoh wat Tabyin oleh Muhammad Abdullah al-Imam.

Posted by akhisalman