06 April 2010

Ujian sakit.

Antara pelawat yang datang ziarah menjenguk keadaan kesihatan saya kelmarin ialah Setiausaha Kerja PAS Perak, Sdr. Khalilul Rahman Abd. Samad yang sekarang telah mempunyai blognya sendiri, http://dengantenang.blogspot.com, tahniah dengan prestasi beliau yang dapat menyaingi zaman . Semasa berada diwad sekitar setengah jam beliau sempat memaklumkan sebuah posting terbarunya untuk ana buka dan sekali lagi dia ingatkan sebelum menamatkan ziarahnya. "jangan lupa YB ya..".

Pagi ini sesudah solat subuh saya sebagaimana rutin harian sayamengadap komputer riba yang dibawa untuk persiapan bahan blog untuk diselesaikan oleh Setiausaha Peribadi di pejabat hari ini. Kesempatan itu saya gunakan untuk melayari blog Sdr. Khalilul dan tulisan yang bertajuk " Ujian Sakit" dan bersumberkan dari Cangkul Hijau Blog serta beberapa tambahan dari beliau saya baca sehingga habis dan memilihnya untuk tatapan dan tazkirah untuk semua.

Terima kasih saya ucapkan kepada Sdr. Khalilul dan blogger Cangkul Hijau...

Buat renungan kita bersama,InsyaAllah.

Kami doakan YB segera sembuh

Ada orang kata, ketika sakit barulah kita tahu akan nikmat sihat. Bila kita kesempitan barulah kita menyedari akan nikmat keluasan masa yang ada. Bila kita keseorangan, ketika itu baru disedari akan nikmat hidup berteman.

Saudara, kadang kala kita jarang terfikirkan tentang nikmat yang diberi oleh Allah swt kepada kita. Kita sering lupa dan alpa dengan bermacam nikmat yang dikurniakan tatkala ingin mengejar kemewahan dunia semata. Dalam Islam, kita tidak disuruh untuk meninggalkan atau melupakan dunia seperti mana firman Allah yang bermaksud:

“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”(surah Al-Qasas 28:77)

Jelaslah saudara, dunia perlu dicari dan akhirat pun perlu dicari. Mencari dunia bukan untuk melupakan akhirat dan mencari akhirat bukan bermakna melupakan dunia. Yang perlu kita fahami ialah bukan persoalan dunia yang menjadi masalah tetapi soal dosa.

Apabila kita gagal menghubungkan kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, maka di situlah menjadi punca segala kerosakan dan kebobrokan. Manusia yang hidup tanpa panduan akan hidup sesuka hati dia tanpa mempedulikan soal dosa dan pahala. Seolah-olahnya kehidupan di dunia ini adalah segalanya.

Kalau dia rasa nak rasuah, dia akan rasuah untuk komisen ratusan juta. Kalau dia nak bunuh orang, dia akan upah untuk membunuh. Kalau dia syok mengumpat dan fitnah orang, habis semua orang jadi mangsa. Kalau nak zalimi orang dengan kuasa yang ada, yang jadi hak pun akan dinafikanya.

Banyak lagilah perangai manusia yang tak sedar diri ni dek kerana lupa bahawa segala yang dilakukannya sepanjang hidup bakal dihitung oleh Allah di akhirat nanti. Firman Allah yang bermaksud:

“Pada hari ini, kami tutup mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada kami, dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.”
(surah Yasin36: 65)

Berbalik kepada isu nikmat tadi, ternyata Allah taala itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang kerana terus menerus mengurniakan pelbagai macam nikmat sama ada kita sedar mahupun tidak. Tetapi, ada kalanya Allah taala menarik sedikit nikmat tersebut sebagai contoh dengan memberikan kita sakit seketika.

Kesakitan itu bukan bermakna Allah taala membenci kita, sebaliknya sakit itu sebenarnya adalah sebagai satu ujian bagi membuka minda dan hati kita untuk mengkoreksi diri dan seterusnya menginsafi bertapa kerdilnya kita di dunia ini.

Ingatlah saudara, kalau sakit itu adalah ujian untuk membawa kita kepada erti kesabaran dan keinsafan maka, nikmat pula adalah ujian untuk mengajak kita ke arah makna kesyukuran dan ketundukan.

Gambar kami sekeluarga

Saya dan anak kedua, Khairul Anwar Lim bergambar pada jam 6.00ptg tadi di wad 97 Hospital Columbia Asia dengan isteri dan dua anak yang lain, Khairul Azri Lin(kanan sekali) dan Khairul Aiman Lim (paling kecil)

Lawatan ADUN Aulong.

ADUN Aulong dalam Parlimen Taiping, YB. Yew Tian How bersama dengan rombongan termasuk 2 rakan media akhbar Cina yang datang sekitar jam 2.30 petang untuk menemuramah saya. YB. Yew menyerahkan bingkisan buah-buahan dari Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.

6 YDP PAS kawasan jenguk saya di hospital pagi ini.

YDP PAS Padang Rengas yang juga ADUN Lubok Merbau,YB. Zainuddin, YDP PAS Bagan Serai yang juga ADUN Gunung Semanggol YB. Ramli, dan YDP PAS Bukti Gantang, Ust. Nordin yang datang menziarahi sebentar tadi.
YDP PAS Lenggong, Hj. Razman, YDP PAS Ipoh Barat, Ust. Norazli dan YDP PAS Kuala Kangsar, Hj. Ibrahim yang juga datang menjenguk dan bertanya khabar mengenai kesihatan saya tadi.

SATU FAKTOR SAHAJA BN BOLEH TUMBANG SEKALI LAGI DI HULU SELANGOR

Oleh: WFAUZDIN NS

WALAUPUN PRK Parlimen Hulu Selangor dilihat tiada bezanya dengan beberapa PRK sebelum ini, tetapi bagi Najib PRK kali ini sama pentingnya dengan Pilihanraya Umum. Maruah sekujur batang tubuh Najib terletak di tangan pengundi-pengundi di Hulu Selangor dan KPI Najib selaku Pengerusi Perhubungan Umno Selangor akan diuji di sini. Keputusan samada PR menang atau kalah tidak memberi kesan besar kepada PR kerana Bn masih berkuasa di Parlimen walau apa jua keputusannya nanti. Tetapi, jika Bn tewas sekali lagi di Hulu Selangor kesan besar adalah terhadap Najib,

Sehubungan itu, Najib memilih Hulu Selangor sebagai tempat menyambut ulang tahun pemerintahannya di bawah konsep 1 Malaysia. Bermula dengan isu Altantuya, Najib menerajui pemerintahan di negara ini dengan menyambut ulang tahunnya dengan isu APCO/Israel pula. Ternyata dasar baru iaitu MEB yang kununnya untuk merealisasikan keadilan untuk semua kaum menjadikan rakyat semakin keliru arah perjuangan Umno di bawah Najib. Dasar baru yang di`klon' dari dasar PR ini ternyata hanya `madah berhelah' dari Najib kerana asas untuk merealisasikan dasar ini tidak wujud di dalam pentadbiran Najib. Masalah rasuah, kronisme, kezaliman, sistem kehakiman yang pincang dan berbagai lagi perkara mudharat masih berleluasa di waktu ini. Masalah-masalah tersebut masih gagal ditangani oleh Najib dan ini menunjukkan apa jua dasar yang diperkenalkan oleh Najib tidak releven lagi. PERKASA, sebuah pertubuhan yang kununnya berjuang untuk orang-orang Melayu sendiri pun naik pening dengan dasar MEB ini. Memang mereka akan pening kerana Presiden mereka sendiri pun `pening'.

Jika tidak percaya, cuba kita tanya pemimpin MCA, MIC atau Gerakan tentang apa yang mereka faham tentang MEB ini. Saya pasti sudah tentunya kita akan mendapat jawapan yang berbeza dari jawapan yang kita perolehi dari pemimpin Umno. Jangan ditanya kepada pimpinan bawahan dari MCA, MIC, Gerakan atau Umno di peringkat akar umbi kerana mereka hanya tahu dan kenal MEB ini melalui akhbar Utusan atau TV 3 sahaja. Dulu Umno menuduh DS Anwar pengkhianat Melayu kerana ingin menghapuskan DEB kununnya itulah senjata pusaka zaman berzaman orang-orang Melayu seperti keris telanjang logo Umno itu. Maka, pencacai-pencacai Umno seperti Ezam pun berkokok menuduh DS Anwar pengkhianat Melayu. Pemuda-Pemuda Umno pun menaikkan sepanduk, " Jangan Sentuh DEB". Profesor kangkung pun turut bersuara kununnya untuk mempertahankan Melayu. Sekarang di mana suara Ezam dan Pemuda Umno? Di mana suara Profesor kangkung?

Berbalik kepada PRK Hulu Selangor yang pastinya penting buat Najib untuk membuktikan kata-katanya bahawa Bn sebenar lebih baik dari PR diterima atau tidak oleh pengundi-pengundi di Hulu Selangor. Najib tidak berfikir panjang lagi untuk meluluskan apa jua peruntukan atau projek yang diminta oleh penduduk di Hulu Selangor buat ketika ini. Tanpa diminta pun, kerajaan pusat akan luluskan walaupun sekadar membuat gimik pecah tanah. Penghuni-penghuni di felda tiba-tiba mendapat durian runtuh. Lebih dari itu nanti akan ada Menteri yang sanggup memikul penjolok buah sawit masuk ke ladang-ladang sawit.

Seandainya Bn tumbang sekali lagi di dalam PRK Hulu Selangor ini nanti, maka Najib wajar letak jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor. Mengikut lojik akal, Bn tidak akan tewas apabila seluruh jentera kerajaan telah mula digunakan termasuk media. Bn akan tewas hanya dengan satu faktor sahaja iaitu dengan kecerdikan pengundi di Hulu Selangor./wfauzdin.blogspot.com

Vietnam Bersiap Sempurna untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-16

20 Rabiulakhir 1431H

Kerja persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-16 telah berakhir. Demikian dinyatakan oleh pegawai Kementerian Luar Vietnam.

Berdasarkan agenda yang diumumkan oleh Vietnam, pihak penganjur sidang kemuncak kali ini, sidang kemuncak tersebut akan dirasmikan pada 8 April di Hanoi dan ditutup pada petang 9 April. Pada 6 hingga 7 April sebelum perasmian sidang kemuncak itu, pelbagai perbincangan antara pegawai pelbagai negara anggota ASEAN dalam bidang kebudayaan dan ekonomi juga akan diadakan.

Sebagai Pengerusi Bergilir ASEAN pada tahun ini, Vietnam menetapkan "Hadapi Komuniti ASEAN: dari Hasrat hingga Tindakan" sebagai tema sidang kemuncak kali ini. Pelaksanaan "Piagam ASEAN" dan kerjasama pasca krisis kewangan antara pelbagai negara anggota merupakan topik penting dalam sidang kemuncak kali ini.

CRI/-

Kerajaan Pakatan terbukti mendahulukan rakyat

20 Rabiulakhir 1431H
Mohd Nor Yahya

PENGKALAN CHEPA, 4 April: Negeri-negeri Pakatan Rakyat ternyata mendahulukan rakyat dalam setiap program, biar pun slogan itu menjadi motto utama kepada Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Beliau berkata, banyak dasar dan gerak kerja di negeri Pakatan Rakyat ternyata mendahulukan rakyat.

Di Kelantan ada skim Takaful Kifaalah yang memberi wang saguhati sebanyak RM1,500 kepada setiap warga emas berusia 60 tahun apabila meninggal dunia.

Begitu juga di Selangor ada skim mesra usia emas dan Tabung Warisan Anak. Manakala di Pulau Pinang setiap warga emas menerima RM100.

“Pelbagai program di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan jelas menunjukkan rakyat benar-benar didahulukan,” katanya pada satu program di Putik semalam.

Perdana Menteri melancarkan slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan pada 5 April selepas menduduki kerusi perdana menteri.

Idris juga berkata, bagi memastikan rakyat tahu kegagalan Umno dan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan, program penerangan di peringkat akar umbi perlu diperhebatkan.

Katanya, kegagalan itu berpunca amalan rasuah politik menjadi darah daging mereka.

Kata beliau amalan memberi wang kepada perwakilan ketika pemilihan parti sudah menjadi kelaziman kepada pemimpin Umno.

“Dan sekarang makin teruk lagi apabila kerajaan BN sanggup menjadi agen kepada Yahudi apabila sanggup menggunakan khidmat Apco Worldwide. Ini boleh mengancam keselamatan negara,” ujarnya.

Pada majlis itu beliau juga berharap petugas parti di semua peringkat perlu mengembeleng tenaga menerangkan kepada masyarakat pelbagai isu yang berlaku dalam negara sekarang.

Katanya, PAS mempunyai jentera penyebaran maklumat agak terhad untuk menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai.

“Kita perlu mendekati golongan atas pagar atau di luar pagar supaya mereka faham terhadap apa berlaku,” ujar beliau.

Hadir sama pada program berkenaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yakub dan Datuk Husam Musa.

Harakahdaily.net/-

Tiada syarat syarikat ingin dapat konsesi balak

20 Rabiulakhir 1431H
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 4 April: Kerajaan Kelantan tidak pernah mengenakan apa-apa syarat kepada syarikat yang ingin mendapatkan konsesi balak di negeri ini seperti memberi derma kepada kerajaan, kata Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata, bukan menjadi dasar kerajaan meminta mana-mana syarikat yang mendapat konsesi balak memberi derma kepada kerajaan.

“Ini tak ada dalam pengetahuan saya," katanya selepas melakukan pelepasan konvoi 1,300 motosikal berkuasa tinggi di perkarangan Stadium Sultan Mohammad ke-IV di sini, hari ini. (Gambar sebelah)

Sebelum ini sebuah blog mendakwa kononnya setiap pihak yang memohon kawasan balak dan tanah hutan bagi tujuan perladangan perlu menderma kepada PAS.

Menteri Besar menyifatkan penulis blog terbabit sengaja cuba menimbulkan isu bagi mengelirukan orang ramai.

Katanya, penulis blog diibaratkan sebagai kedai kopi bergerak yang membincangkan segala perkara sama ada untuk kebaikan dan keburukan sesuatu pihak.

Berucap sebelum itu katanya, Islam sentiasa menggalakkan umatnya berada dalam keadaan sihat dengan melakukan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada diri sendiri.

“Kita di Kelantan tidak pernah menyekat aktiviti sebegini tetapi ia mestilah berlandas kepada peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Beliau berkata, Kelantan ingin menunjukkan kepada dunia bahawa Islam tidak menganjurkan keganasan atau peperangan.

Menurutnya program bermotosikal sesuai untuk menggambarkan Kelantan sebagai sebuah negeri yang aman damai.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana persatuan yang ingin menjadikan Kelantan sebagai tempat penjelajahan bermotosikal.

“Alhamdulillah setakat ini perhimpunan motosikal berkuasa tinggi dapat diadakan bagi kali keempat di Kelantan.

“Dan ia akan dijadikan sebagai acara tahunan. Perhimpunan kali ini juga berjaya menghimpun peminat motosikal besar dari negara Asean dan asing,” katanya.

Seramai 1,500 peserta dan sebanyak 1,300 motosikal berkuasa tinggi termasuk dari Argentina, Thailand, Brunei, Pakistan dan Singapura menyertai program berkenaan.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie Ismail, Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Ahmad Mahmood dan Pengerusi Bersama Kelantan Bike, Dr Nik Omar Nik Daud.

Harakahdaily.net/-

Dakwaan isu balak tidak berasas

20 Rabiulakhir 1431H
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 4 April: Dakwaan bahawa kerajaan Kelantan mengenakan bayaran kepada syarikat yang mahukan konsesi balak, tidak berasas sama-sekali.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, laporan yang tersiar dalam sebuah blog itu sengaja mehu menimbulkan isu dan mengelirukan orang ramai.

“Ini tak ada dalam pengetahuan saya," katanya selepas melakukan pelepasan konvoi 1,300 motosikal berkuasa tinggi di perkarangan Stadium Sultan Mohammad ke-IV di sini, hari ini.

Berucap sebelum itu beliau berkata, Islam sentiasa menggalakkan umatnya berada dalam keadaan sihat dengan melakukan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada diri sendiri.

“Kita di Kelantan tidak pernah menyekat aktiviti sebegini tetapi ia mestilah berlandas kepada peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Beliau berkata, Kelantan ingin menunjukkan kepada dunia bahawa Islam tidak menganjurkan keganasan atau peperangan.

Menurutnya program bermotosikal sesuai untuk menggambarkan Kelantan sebagai sebuah negeri yang aman damai.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana persatuan yang ingin menjadikan Kelantan sebagai tempat penjelajahan bermotosikal.

“Alhamdulillah setakat ini perhimpunan motosikal berkuasa tinggi dapat diadakan bagi kali keempat di Kelantan.

“Dan ia akan dijadikan sebagai acara tahunan. Perhimpunan kali ini juga berjaya menghimpun peminat motosikal besar dari negara Asean dan asing,” katanya.

Seramai 1,500 peserta dan sebanyak 1,300 motosikal berkuasa tinggi termasuk dari Argentina, Thailand, Brunei, Pakistan dan Singapura menyertai program berkenaan.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie Ismail, Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Ahmad Mahmood dan Pengerusi Bersama Kelantan Bike, Dr Nik Omar Nik Daud.

Harakahdaily.net/-

Sidang DUN Perak adalah sidang Polis – V. Sivakumar

20 Rabiulakhir 1431H

KEMAMAN, 4 April: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sah, V Sivakumar menyifatkan siding DUN yang berlangsung di negeri Perak baru-baru ini bukan sidang ahli-ahli yang berhormat, tetapi adalah suatu sidang polis.

(Gambar - Sivakumar menunjukkan buku 'perintah tetap' yang dibawa bersamanya, kepada semua hadirin)

Beliau berkata demikian kerana katanya, kerajaan Umno/BN Perak sekali lagi telah membawa masuk beratus-ratus orang polis ke dalam dewan yang mulia itu.

Selain itu, beliau mendedahkan, bagaimana kerajaan Umno/BN Perak telah membisukan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat, memekakkan telinga mereka sendiri dan membutakan seluruh rakyat dalam negara ini.

"Mereka telah mematikan pembesar suara ADUN-ADUN Pakatan Rakyat, menyebabkan kami tidak boleh bersuara,

"beberapa orang dari kami telah mengangkat buku ‘perintah tetap’ DUN Perak, namun ‘speaker haram’ Ganesan tidak peduli, dan memekakkan telinga mereka,

"dan mereka telah membawa masuk hanya media yang menyokong mereka, menutup segala komunikasi, dan hanya menyiarkan berita yang ‘membuta’kan seluruh rakyat, dari mendapat tahu berita sebenarnya,”kata Sivakumar dalam ucapannya di majlis Perasmian Festival DUN Chukai, Khamis 1 April, 2010.

Oleh itu, katanya, apa guna semua ADUN-ADUN Pakatan Rakyat terus berada dalam sidang DUN, sedangkan tidak boleh berbuat apa-apa, tidak boleh bersuara.

Justeru, semua ADUN mengambil tindakan untuk keluar dari Sidang DUN Perak pada 31 Mac, Rabu lalu.

Harakahdaily.net/-

Warga emas banjiri bank dapatkan RM100 seorang dari kerajaan negeri

20 Rabiulakhir 1431H
Ali Hashim

PERMATANG PAUH, 4 April: Kira-kira 4,000 warga emas telah menyerbu Maybank cawangan Desa Murni, Sungei Dua bagi mendapatkan wang yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bermula sejak semalam sehinggalah ke hari ini kebanyakan cawangan Maybank yang dikhususkan bagi pembayaran wang RM100 seorang tersebut telah dibanjiri oleh warga emas mengikut kawasan pilihan raya masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Mohd Salleh Man (gambar bawah) juga terpaksa berada di pusat pungutan tersebut bagi membantu warga emas yang mempunyai masalah semasa proses pembayaran dibuat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang terpaksa berada sejak awal pagi sehinggalah proses pembayaran tunai berakhir pada petang ini.

Menurut Mohd Salleh warga emas yang mendapat surat untuk menerima wang daripada Kerajaan Negeri masih boleh menunaikan wang tersebut sehingga 16 April yang akan datang.

"Oleh kerana itu mereka tidak perlu untuk tergesa-gesa atau bersesak-sesak untuk mendapatkan wang tersebut kerana tarikh yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah mencukupi bagi mereka mendapatkan wang yang dijanjikan.

"Proses pembayaran berjalan lancar dengan kerjasama yang begitu baik diberikan oleh pihak bank kepada semua warga emas yang ingin menunaikan wang tersebut.

"Kehadiran semua petugas daripada pusat khidmat Dewan Undangan Negeri dan juga JKKK juga adalah bagi membantu petugas dan kakitangan bank untuk melicinkan proses pembayaran wang tersebut,"katanya semasa ditemui di Maybank cawangan Desa Murni, Sungei Dua.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain terpaksa berhadapan dengan 5 ribu warga emas bagi kawasan Parlimen Kepala Batas yang turut membanjiri Maybank cawangan Bertam, Kepala Batas untuk membantu mereka yang menghadapi masalah dalam proses pembayaran tersebut.

Pembayaran yang dilakukan sejak semalam sehinggalah ke hari ini secara tunai telah menyebabkan warga emas terpaksa beratur panjang bagi mendapatkan wang tersebut.

Rosidi berkata, kehadiran yang begitu menakjubkan membuktikan bahawa pemberian yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi proses pembayaran wang RM100 ini adalah sesuatu yang amat diharapkan oleh warga emas sebagai menghargai mereka selama ini.

"Proses pemberian ini merupakan salah satu tindakan terbaik yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi menghargai warga emas yang ada dalam negeri ini walaupun jumlahnya tidak begitu banyak.

"Namun begitu setidak-tidaknya ia dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tersebut,"katanya.

Harakahdaily.net/-