21 March 2010

Bayar kepada kerajaan negeri: Kenyataan Tun Musa disambut baik

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 20 Mac: Kenyataan bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam yang menegaskan, pembayaran wang royalti atau wang ehsan dari Petronas perlu dibuat kepada kerajaan negeri bukannya pihak-pihak yang lain terus menekan Umno dan kerajaan negeri Kelantan menyambut baik kenyataan itu.

“Memang hak kerajaan negeri. Menurut Tun Musa, bahawa perjanjian mengenai royalti minyak Kelantan itu adalah jelas.

“Bagi saya, kenyataan Tun Musa itu adalah satu pandangan yang baik,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Karnival Bola Sepak Terbuka Kelantan di Padang Perdana di sini pagi semalam.

Tun Musa dalam wawancara yang disiarkan melalui Astro Awani menegaskan bahawa pembayaran wang royalti atau pun wang ehsan seharusnya diserahkan kepada kerajaan Kelantan untuk diuruskan selaras peruntukan undang-undang yang ada.

Wang tersebut mesti dikendalikan kerajaan negeri dan bukannya oleh Kerajaan Persekutuan dengan mewujudkan jawatankuasa khas mengenainya.

Kerajaan Pusat melalui Pengerusi Perhubunga Umno Negeri Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad memberitahu, satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengendalikan pengagihan wang ehsan. Ekoran itu, kerajaan negeri Kelantan dijemput menghantar wakil untuk menyertai jawatankuasa itu namun ia ditolak oleh kerajaan negeri kerana tidak mengiktirafnya.

Kenyataan Tun Musa sekali lagi memberikan tekanan hebat terhadap Umno yang terus berkeras tidak mahu menyerahkan wang royalti petroleum kepada kerajaan negeri dan mahu mengendalikannya melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan yang dibentuknya.

Sebelum ini, anggota Parlimen Umno dari Gua Musang yang merupakan bekas pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan, mengikut perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri Kelantan yang beliau sendiri tandatangani, wang tunai lima peratus dari hasil minyak yang diperolehi dari perairan Kelantan perlu dibayar kepada kerajaan negeri. Perjanjian itu pula tidak menghadkan tiga batu nautika sahaja tetapi seluruh perairan Kelantan.

Ini kerana, mengikut konsep persekutuan, tanpa negeri dimanalah persekutuan dan seluruh laut berdepan dengan sesebuah negeri dikira perairan negeri.

Namun sehingga kini, Umno bertegas tidak mahu berbuat demikian dengan alasan ia perlu dibayar jika petrol itu diambil di atas tanah atau sehingga tiga batu nautika sahaja dari pantai Kelantan. Pun begitu, ia berubah setiap masa. sebelum ini, tidak ada minyak diperolehi di perairan Kelantan. Kemudian ia berubah dengan ada dan Kelantan akan menerima wang ehsan bukan royalti.

Mula-mula RM20 juta diumumkan sebagai jumlah wang ehsan yang akan dibayar. Baru-baru ini, jumlah itu berubah pula kepada RM26 juta.

Harakahdaily/-

Presiden bangga MP, Adun PAS tidak terjun dari bahtera

Mohd Sabri Said

SEBERANG JAYA, 20 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berbangga dengan prestasi semua ahli parlimen (MP) mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu seluruh negara kerana tidak gopoh terjun daripada bahtera yang sedang belayar.

Ketika menyampaikan amanat di Dewan Perpustakaan Negeri di sini, pagi tadi beliau menambah, berbanding parti lain dalam Pakatan Rakyat, PAS ternyata ke hadapan sebagai sebuah organisasi yang mantap

"Walaupun bahtera kadang-kadang terumbang ambing namun PAS berjaya menunjukan prestasi yang baik tidak mudah terjerat dengan mainan politik yang dicipta oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Sikap tidak gopoh menghadapi sebarang rintangan, " jelasnya dalam program anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang.

Oleh itu, beliau menggesa semua organisasi PAS harus mengatur program dengan lebih berkesan dan agresif supaya muncul formula baru yang dapat mendekatkan lagi PAS dengan masyarakat.

“Di sinilah kekebalan PAS menerusi baiah, usrah dan pertemuan dapat menghindarkan tanggapan buruk serta memperjelaskan kedudukan sebenar sekaligus dapat membersihkan tohmahan musuh.

"Sebenarnya baiah, usroh dan pertemuan dalaman memberi kelebihan pada PAS sendiri. Kita dapat membina kekuatan dalaman dan mengawal tindak tanduk yang boleh mengancam kestabilan politik parti sendiri," tegasnya.

Katanya, sikap sedemikian dapat membentuk jati diri yang kuat di samping bersatu hati dalam sebarang isu dan bersama memantau jika timbul persoalan yang sukar diselesaikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PAS tetap memilih jalan demokrasi untuk menawan Malaysia walaupun tahu ia datang dari barat.

Melaluinya, kata beliau PAS berpeluang menyampaikan dakwah dan penerangan dengan lebih baik asalkan bijak mengatur isi penyampaian samada di masjid, surau ataupun medan ceramah sempena hari kebesaran Islam dan sebagainya.

Tambahnya, PAS adalah wadah politik yang perlu dipertanggugjawabkan bukan untuk main-main, maka apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan telah mengambil kira semua risiko.

"Kita bukan berperang yang mahu membunuh musuh tapi kita berdemokrasi yang mana perlu mengintai peluang agar terus berjaya menonjolkan PAS ke arah yang lebih tinggi, " tambahnya.

Harakahdaily/-

Catatan Perjalanan : Sekarang saya di Bandar Cardiff, Wales.

Alhamdulillah perjalanan yang panjang dan mencabar dalam rangka lawatan ke Timur Tengah dan UK sudah hampir sampai dipenghujungnya. Sejak kelmarin saya sudah sampai dengan menaiki bas di Bandar Cardiff sebuah pelabuhan lama di Wales. Katanya peranan bandar ini sebagai pelabuhan utama telah dipindahkan ke pelabuhan baru namanya Newport.

Sebelum ini saya telah berada di Nottingham dan Sheffield dalam program yang telah diatur. Perjalanan dari Sheffield ke Carddif memakan masa selam 4 jam. Bas sempat singgah sekitar sejam di bandar Brmingham dan saya makan tengahhari disana dengan bekal nasi goreng yang disediakan oleh sahabat di Sheffield.

Bagi saya bas yang saya naiki sangat selesa dan semua penumpang malah diwajibkan memakai tali pinggang keledar. Lebuhraya dan jalan yang dilalui setakat ini tidak ada yang bertol. Dengarnya di UK hanya ada dua lebuhraya yasng mengenakan tol.

Satu keunikan yang terdapat dibandar ini ialah banyaknya mesjid yang dibukan dan bercambah seperti cendawan tumbuh sehingga setakat ini telah terdapat sebanyak 14 mesjid.

Semalam saya sempat berada disalah satu mesjid yang terletak dalam bandar ini yang merupakan asalnya dari dua rumah teres ala Inggeris bersaiz besar yang diubah suai dan diperluas sehingga saya jangkakan boleh menampung sekitar 500 orang jemaah dalam satu-satu masa.

Menurut maklumat yang saya dapat ianya diusahakan dan dibeli oleh kerajaan Arab Saudi. Terdapat seorang imam berketurunan Arab yang bertugas secara tetap dan mengendalikan kelas agama di Mesjid yang bernama "Al manar " itu.

Selain itu dibandar ini tidak jadi masalah untuk mencari makanan halal malah terdapat puluhan restoran halal yang dibuka oleh orang Lubnan, Arab, India ,Paskitan dan banyak lagi.

Saya dibawa untuk makan tengahhari kelmarin disebuah kedai yang menjual mee goreng ala mamak dan sebelah malamnya saya makan dikedai Lubnan nama nya LILO yang menghidangkan makan yang lazat dengan berbagai pilihan. Saya pilih kambing bakar dan itulah kegemaran saya selama ini.

Hari ini saya akan bergerak ke London dengan menaiki bas. Perjalan yang akan ditempuh selama 3 jam dengan bas. Setelah selesaia program yang diatur di London petang ini saya akan ke Dublin untuk berada disana sehingga Isnin ini.

Catatan pada jam 7.15 pagi waktu UK.

Saat-saat kematian

http://akhisalman.blogspot.com

MUKADDIMAH

Baru2 ini kita dikejutkan dengan beberapa kematian. Bermula dengan kematian syeikh Azhar syeikh Tantawi di airport arab saudi, kemudian dengan kematian pelajar perubatan tanta Ahmad sarhan bin Ahmad khan dan semalam saya dijemput utk baca tahlil, yasin dan sedikit peringatan di imarah junior perubatan kerana kematian ayah seorang pelajar.Oleh itu saya menulis beberapa kisah kematian pemaksiat dan orang yamg mulia untuk dijadikan pengajran bersama. Semoga ini menjadi titik keinsafan kepada kita semua.

KEMATIAN SEORANG PEMAKSIAT

Seorang lelaki telah terlibat dengan eksiden. Datang seorang lelaki yang lain , mendapatinya dia dalam keadaan nazak. Lalu diajar mengucap dua kalimah syahadah tetapi jawapannya:

“AKU DALAM SAQAR, AKU DALAM SAQAR…” DAN TERUS MATI

Lalu lelaki tadi bertanya kepada ahli keluarga si mati tentang si mati. Mereka menjawab “ Dia tidak sembahyang.”

Benarlah Firman Allah swt:


مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ


"Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)?" Mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan shalat.” (42 – 43 : al-Muddathir)

Ulasan: Oleh itu kepada pemaksiat2 tegar bertaubat. Walaupun kecik dosa tadi cthnya chating tak syarie, sembang laki pempuan tak syarie tapi boleh membawa kpd dosa besar. Ulama kata:
لا صغيرة مع الإصرار Bukannya dosa kecik lagi kalau dah buat sokmo2 (selalu)
Ada dua orang yang nazak masih menyanyi walau diajar mengucap di Arab saudiNak ke kita mati tengah bergayut laki pempuan.

KEMATIAN SYEIKH KANDAHKLAWI

Pada malam kematian seorang ulama hadis Muhaddis Muhammad Ilyas al-Kandahlawi bertanya kepada para hadirin “Adakah hari ini hari khamis?” Mereka menjawab “Ya” Beliau bertanya lagi “ Cuba kamu lihat pakaianku adakah ia bernajis?” Mereka menjawab “ Ianya bersih.” Lalu beliau pun turun dari katil, berwuduk dan solat isya berjemaah dalam bilik. Beliau berwasiat kepada hadirin supaya memperbanyakkan doa dan menjampinya. Beliau berkata:


ليكونن اليوم عندي أناس يميزون بين فعل الشيطان وفعل ملائكة الرحمن


“Hendaklah pada hari ini orang-orang yang berada di sisiku orang-orang yang dapat membezakan diantara perbuatan syaitan dan perbuatan malaikat.”

Pada tengah malam dia dalam keadaan tidur-tidur ayam dan sentiasa mengucapkan lafaz Allahu Akbar.

Ketika waktu sahur, beliau meminta anaknya Muhammad Yusuf datang. Beliau berkata kepada anaknya:

“Marilah duduk bersamaku hai yusuf, aku tidak dapat hidup selepas malam ini dan aku akan pergi beringkat.”

Akhirnya beliau meninggal dunia sebelum azan subuh pada malam tersebut. Ia adalah pada 21 Rejab 1363 hijarah.

AKIBAT SUKA BERBOHONG DALAM CERAMAH

Abul Fath Muhammad bin Muhammad bin Ali al-Harimi (tahun 514 h)seorang pemberi kuliah, nasihat dan tazkirah yang sangan sedap penyampaiannya. Namun banyak yang disampaikan itu benda yang salah dan bohong. Ketika dia hampir mati, dia telah mengerang sakit yang amat sangat. Lalu ada yang berkata kepadanya “Berjumpa memang amat sukar.” Lalu as-Safdi berkata:


لا سيما قادم يكذب على الله تعالى وعلى جبريل


“Lebih-lebih lagi orang yang berjumpa Allah itu berbohong atas nama Allah dan Jibril as.”

Ulasan: Bentuk2 pembohongan yang biasa dalam tazkirah dan kuliah agama yang amat berleluluasa sekarang adalah:
1. Mengeluar hukum sendiri .
2. Berkata dosa dan pahala tanpa dari sumber ulama muktabar.(contohnya dlm surat kabar, ada ustaz kata dosa besar pegang babi)
3. Mentafsirkan ayat atau hadis ikut kefahaman sendiri tanpa merujuk tafsiran ulama muktabar.
4. Menukilkan hukum dengan syak. (cthnya saya rasa, agaknya boleh kot)
5. Menyatakan pandangan agama dalam semua aspek mengikut pikirang sendiri.

AKU BERSEDIA SEJAK 50 TAHUN

Diceritakan bahawa Malaikat Maut datang kepada seorang lelaki soleh untuk mencabut nyawanya. Lalu lelaki itu berkata:


مرحبا أنا والله منذ خمسين سنة أتأهب لك


"Selamat datang , demi Allah aku menanti bersedia untuk menemui mu sejak 50 tahun lepas.”

PESANAN TERAKHIR SAIDINA ALI

Suatu hari Hasan cucu Nabi saw bertemu dengan ayahnya saidina Ali ra yang sedang sakit nazak. Ini menyebabkan Hasan mengeluh. Ayahnya pun berkata “ Adakah engkau mengeluh?” Lalu Hasan menjawab “Wahai Amirul Mukminin bagaimana aku tidak mengeluh sedangkan ini adalah hari terakhir mu di dunia dan hari terawal mu di akhirat.” Saidina Ali ra pun berpesan:


ألا أعلمك أربع كلمات إن حفظتهن ففيهن غناء الدهر وإن ضيعتهن ففيهن فقر الأبد؟ يا بني لا غناء مثل العقل ولا فقر أشد من الجهل ولا وحشة أشد من العجب ولا أنس مثل حسن الخلق


“ Adakah engkau hendak aku ajarkan empat ayat yang mana jika engkau menjaganya pasti engkau akan kaya selamanya dan sekiranya engkau sesiakannya pasti engkau akan faqir selamanya? Wahai anak ku tidak ada perkara yang lebih mengayakan dari akal fikiran dan tidak ada yang memfakirkan lebih dari kejahilan. Tidak ada yang lebih menggelisahkan dari sifat perasan(rasa hebat) dan tidak ada yang menyeronokkan lebih dari akhlak yang baik.”

SYEIKH AHMAD YASIN : KAMI MENUJU KE ARAH SYAHADAH (MATI DI JALAN ALLAH)

Anaknya Muhammad telah menceritakan bahawa tiga jam sebelum serangan ke atas beliau, beliau telah memaklumkan kepadanya terdapat pesawat peninjau kepunyaan Israel di udara. Namun bapanya membalas:


نحن نسعى إلى الشهادة وإنا لله وإنا إليه راجعون


“Kami menuju kepada syahadah , kami berasal dari Allah dan akan kembali pada Allah.”

Beliau adalah pengasas kepada gerakan HAMAS di palestin. Ketika beliau hendak menunaikan solat subuh berjemaah di masjid (beliau yang buta dan lumpuh) , pihak tentera Israel telah membunuhnya melalui serangan udara. Ini berlaku pada bulan safar tahun 1425 hijrah.

Ulasan: syeikh yang sudah tua, buta dan lumpuh namu bersemangat untuk solat subuh berjemaah di masjid. Namun mahasiswa2 islam hanya sedikit sahaja yg mampu ke masjid dan memenuhi saf hadapan. sebab apa? sebab pemuda2 sekarang sudah tua imannya, buta hatinya dan lumpuh amalannya. Yang lebih menyedihkan orang yang tak mampu berada di saf hadapan pada waktu subuh ni adalah orang yang bercakap dan berkerja utk Islam. Apa tujuan mereka sebenarnya?

KESIMPULAN

Marilah bersama merenung bagaimana saat akhir kematian kita. Inilah persediaan yang perlu kita buat. Segala apa yang kita rancang di dunia adalah perkara yang tak pasti tidak kira urusan study, kerjaya, perkahwinan, sukan dan lain-lain. Yang pasti kita akan mati. Oleh itu marilah kita sama-sama menginsafi diri dan kembali pada tuhan. Masanya belum terlambat selagi nyawa belum sampai ke leher. Janganlah bertangguh kerana kita tidak tahu bila saat kita dicabut nyawa.

Rujukan: Lahzat qablal maut oleh Muhammad Khair Ramadan.

Bukan Islam perhati buruknya perangai pemimpin politik Melayu

Harakahdaily

KOTA BHARU, 19 Mac: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, masyarakat bukan Islam memerhatikan bagaimana buruknya perangai pemimpin politik Melayu.

Ini kerana pemimpin politik Melayu begitu buruk sekali perangai mereka apabila bertelagah sesama sendiri sehingga sanggup mendedahkan perkara yang tidak sepatutnya

Kata beliau, sepatutnya apabila seseorang ahli parti yang tidak suka kepada pemimpinnya, dia menggunakan saluran parti untuk mengemukakan pandangan.

“Ia boleh diselesaikan di peringkat dalaman mengikut prosedur sebagai sebuah pertubuhan sama ada melalui mesyuarat agung atau program lain.

"Namun dengan mendedahkan keburukan bekas pemimpin kepada orang lain di khalayak umum, perbuatan itu jelas tidak berakhlak dan tidak bertamadun," katanya selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendedahkan kepincangan membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen, setelah keluar dari parti terbabit.

Bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu juga mendedahkan nama lapan anggota Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti bagi menjayakan rancangan pembangkang mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, rakyat sepatutnya mencontohi cara berpolitik pemimpin MCA apabila mereka menggunakan saluran parti bagi melantik atau menjatuhkan seseorang pemimpin.

Menurutnya, anggota parti mempunyai saluran tertentu untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin yang mereka tidak suka.

Agen Israel dalam sistem komunikasi PDRM

http://chegubard.blogspot.com

Keseluruhan tender pembinaan sistem komunikasi yang akan ditukar dari analog kepada digital telah pun diserahkan secara rasmi kepada Asiasoft (M) Sdn. Bhd. (no. Syarikat : 150529-H).

Syarikat ini adalah milik penuh kepada syarikat tunggalnya iaitu Asiasoft Pte. Ltd. Yang berpengkalan di Singapura. Nilai penuh tender yang diberikan kerajaan Malaysia ialah RM1 billion tetapi dikecilkan menjadi RM42 juta.

Apa yang mencurigakan ramai penyelidik ialah ‘individu’ yang bertanggungjawab membina sistem itu. Individu tersebut dikenalpasti sebagai bekas tentera Israel yang berkhidmat sebagai programmer semasa di Israel.

Programmer yang bernama Izhak David Naskar yang memegang pasport Israel bernombor 10902695 itu masih lagi warganegara Israel. Jadi, bolehkah kita menganggap ini suatu kebetulan?

Paling membimbangkan ialah Izhak bukanlah tentera atau programmer biasa, beliau adalah ‘pakar’ sistem komputer yang telah memenangi anugerah daripada Kementerian Pertahanan Israel. Malah beliau juga bertanggungjawab membina sistem risikan berteknologi tinggi untuk pasukan pertahanan Israel sekitar 1970 hingga 1987.

Seorang lagi rakan Izhak yang bertanggungjawab membina sistem komunikasi PDRM ialah Ido Sccheschter yang memegang pasport Israel bernombor 56626252. Ido pula lebih mencurigakan kerana selaku ahli pasukan yang bertanggungjawab membina sistem komunikasi untuk PDRM bersama-sama Izhak, hingga saat ini beliau masih lagi seorang tentera Israel yang sah bukannya tentera pencen.

Apakah yang menyebabkan PDRM mengambil orang-orang Israel ini? Adakah kerana terdesak atau didesak?

Bukankah lebih baik jika melantik programmer-programmer dari kementerian pertahanan Iran yang sememangnya lebih pakar dari Israel.

Harakahdaily.net/-

Mulut Zahrain buat beberapa menteri dan pemimpin UMNO panas.

http://wfauzdin.blogspot.com

Mulanya Umno menyangka dengan serangan Zahrain terhadap DS Anwar dan PKR di Parlimen sehari dua ini akan membantu Umno untuk bernyawa kembali di arena politik tanahair. Justeru itu, media-media haprak mereka mula memberi keutamaan terhadap ucapan Zahrain di Parlimen mengalahkan ucapan Najib sendiri. Tetapi tidak sempat isu pendedahan Zahrain yang banyak dengan cerita `nasi tambah' itu dihadamkan oleh rakyat, beberapa pemimpin Umno mulai rasa resah gelisah dan kepanasan.

Serangan Zahrain terhadap DS Anwar tidak sampai dua hari disambut oleh pejuang-pejuang di dalam PR terutamanya dari PKR. Wira pertama yang menyambut serangan Zahrain adalah YB Saifuddin Nasation. Jika Zahrain `melemparkan taik', taik yang sama dipulangkan kepadanya. YB Saifuddin mendedahkan bagaimana Zahrain begitu rakus kepada pangkat dan gelaran sehinggakan tidak segan silu memohon pingat melalui KM P.Pinang Lim Guan Eng. Beliau juga pernah memohon projek dari KM berkenaan namun ianya tidak diluluskan. Maka, timbullah isu KM P.Pinang sebagai komunis dan diktator. Di sini jelas terbukti betapa Zahrain selama ini berada di dalam PKR semata-mata untuk `menanti' habuan sekiranya PR berjaya menawan Putarajaya bukannya berjuang untuk rakyat. Sebab itu Zahrain amat kecewa apabila plan 16 September itu gagal, dan beliau lebih kecewa apabila apa yang diinginkan untuk kepentingan dirinya tidak dilayan oleh DS Anwar dan kerajaan negeri P.Pinang.

Pendedahan Zahrain di Parlimen baru-baru ini hanya satu sahaja yang benar iaitu plan 16 September serta beberapa MP dari Bn yang sanggup melompat. Pendedahan itu sebenarnya tidak menjadi rahsia lagi kerana DS Anwar sebelum ini telah menjelaskan kepada kita di dalam beberapa ceramahnya mengapa plan tersebut gagal. Cuma, beberapa `nasi tambah' telah dihidangkan oleh Zahrain untuk menyedapkan ceritanya. Zahrain secara tidak malu mengaku kununnya beliau rakan yang amat rapat dengan DS Anwar sebab itu beliau tahu segala-galanya perancangan DS Anwar manakala yang lainnya tidak tahu. Benarkah begitu? Jika beliau kawan paling rapat masakan kesemua keinginannya tidak dipedulikan oleh DS Anwar. Mustahil DS Anwar terlalu rapat dengan Zahrain sedangkan sewaktu era reformasi Zahrain tidak dikenali pun. Jika kita lihat, kesemua yang melompat dari PKR semua mengaku kawan paling rapat dengan DS Anwar. Mereka terpaksa jual nama DS Anwar agar `kelentong' mereka dipercayai rakyat.

Hasil dari mulut celupar Zahrain, yang merasa tidak senang duduk sekarang adalah beberapa pemimpin Umno termasuk beberapa Menteri. Sebagaimana kata YB Saifuddin, ada beberapa Menteri yang datang kepadanya `slow talk' agar beliau memperlahankan `rentak' menyerang pemimpin Umno secara peribadi. Pusingan pertama bak kata YB Saifuddin, adalah kisah jamuan pemimpin Umno yang dihidangkan arak dan kisah pemimpin Umno yang tertidor disisi mesin slot judi. Nama pemimpin tersebut mungkin akan disebut oleh YB Saifuddin jika mereka mahukan Parlimen dijadikan tempat serangan peribadi dan `peperangan selak kain'. Mungkin kita akan mendengar cerita skandal perempuan, kisah khalwat di Hotel Port Dickson atau kita akan didedahkan siapakah pemimpin-pemimpin Umno yang kaki tuang arak. Mereka jangan lupa DS Anwar, Azmin, Saifuddin dan beberapa orang lagi pimpinan di dalam PKR adalah datangnya dari Umno dan mereka banyak tahu kisah-kisah pemimpin Umno yang ada sekarang ini.

Mulai sekarang Umno mesti bersedia untuk menghadapi serangan secara peribadi oleh PKR kerana mereka telah memulakannya. Di dalam ucapan Zahrain, beliau tidak bercakap tentang kepentingan rakyat di kawasannya tetapi masa banyak dihabiskan dengan membaca skrip Umno. Awal mula pertama mula rakyat telah melihat Zahrain gagal untuk menjadi MP yang bebas yang kununnya mampu berjuang untuk membela rakyat. Ketakutannya untuk memberi laluan kepada DS Anwar menjawab hujahnya di Parlimen menunjukkan beliau seorang dayus dan bacul yang hanya berani bercakap sendirian. Tindakan DS Anwar keluar dari dewan kerana beliau tidak diberi laluan untuk menjawab hujah Zahrain satu tindakan tepat kerana sebagai pemimpin bermaruah adalah tidak wajar mendengar ucapan semurah itu dari orang yang sebodoh itu.

Kepada pimpinan PR, di samping menyerang balas Umno di Parlimen kita jangan lalai untuk menyuarakan masalah rakyat di kawasan masing-masing. Apa yang utama adalah masalah rakyat, dalam masa yang sama serangan balas untuk menelanjangkan pemimpin Umno wajar juga dibuat. Selepas ini kita akan menanti pula apakah MP-MP Bebas yang lain akan mengikuti kebodohan Zahrain berhujah./mandor.blogspot

Hadits pilihan.

Sabda Rasulullah saw "Saya sungguh telah meninggalkan sesuatu kepadamu yang apabila hal itu kau pegang teguh kamu tidak akan sesat selamanya, iaitu kitab Allah dan sunnah RasulNya" (AlHakim)