17 March 2010

Bukti kukuh Kelantan berhak dapat royalti

1 Rabiulakhir 1431H
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Surat Petronas kepada kerajaan negeri Terengganu dan perjanjian di antara Petronas dengan Menteri Besar Kelantan antara dua dokumen penting yang mampu menyangkal alasan tiga batu nautika untuk tidak memberi bayaran royalti kepada Kelantan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub berkata, penemuan bukti terbaru itu merupakan hujah yang kukuh untuk dibawa ke Parlimen, bagi memperjuangkan hak rakyat negeri Kelantan.

"Saya telah dapat beberapa penemuan baru selepas Parlimen ditanguhkan akhir tahun lepas dan kita tetap tidak bersetuju sama sekali dengan jawapan Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri tentang isu tiga batu nautika dan di sini saya telah membawa dua dokumen penting," katanya yang juga naib presiden PAS.

Petronas dalam suratnya kepada kerajaan Terengganu bertarikh 16 September 1978 menjelaskan bahawa anggaran bayaran royalti minyak petroleum iaitu sebanyak RM3.2 bilion disebut sebagai bayaran royalti dan tidak menyebut langsung mengenai isu di luar tiga batu nautika.

"Kalau isu tiga batu nautika itu dipertikaikan dan di Terengganu itu memang melebihi tiga batu nautika dan dalam surat petronas kepada pegawai kewangan negeri Terengganu menyebut dengan jelas bahawa anggaran bayaran royalti minyak petroluem 3.2 bilion.

Ini disebut sebagai bayaran royalti. Tidak timbul sama sekali tentang bayaran wang ehsan, isu tiga batu nautika, ataupun isu untuk menafikan fakta mana-mana telaga yang dijumpai di luar pantai,," katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi ini.

Mengenai perjanjian di antara Petronas dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasir yang dibuat pada 19 Mei 1975 pula katanya juga tidak disebut mengenai isu tiga batu nautika.

"Sekiranya kita meneliti keseluruhan perjanjian itu tidak langsung menyebut tentang isu tiga batu nautika.

"Di sini jelas memperuntukkan bahawa Petronas sebagai balasan kepada apa yang dikatakan keistimewaan mengenai petroleum yang diletak hakkan pada petronas ialah dengan ini dimeterai. Tidak timbul langsung soal tiga batu nautika, tapi yang penting selagi mana ia diletakkan dalam perairan tersebut," jelasnya.

Namun malangnya usul beliau mencadangkan Dewan Rakyat membincangkan isu berkaitan hak negeri Kelantan dan negeri-negeri lain dalam Malaysia untuk mendapatkan royalti petroleum yang dihantar pada 10 Mac lepas, telah ditolak Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi tadi.

"Ini sebenarnya hujah yang kuat untuk saya bawa usul ini ke Parlimen dan untuk dimasukkan sebagai usul tergempar bagi meyakinkan Parlimen bahawa jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri dalam perbahasan yang lalu aadalah sama sekali tidak menepati syarat-syarart peundangan dan perjanjian yang telah ditandatangani di antara Petronas dan kerajaan negeri," katanya.

Beliau memberitahu, Pandikar menolak usul tersebut atas alasan ianya tidak perlu disegerakan.

Namun tegasnya, penolakan usul itu tidak akan mematahkan semangat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk terus membawa isu itu ke Dewan Rakyat.

"Usul ini ditolak sebab tidak perlu untuk disegerakan. Namun kita berjanji sebagai ahli parlimen akan terus membawa topik ini sebagai topik yang penting dalam perbahasan titah diraja dan semua daripada kami akan mengambil bahagian," katanya.

Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri dalam sesi Dewan Rakyat yang lepas berkata, Kelantan tidak berhak mendapat royalti petroleum kerana telaga minyak terletak di luar tiga batu nautika dari perairan negeri.

Harakahdaily.net/-

Pampasan RM37 juta : Zambry diminta hormati Perlembagaan

1 Rabiulakhir 1431H

IPOH, 16 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak berharap Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tidak berhelah berkaitan pampasan pengambilalihan tanah berjumlah RM37 juta yang diminta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kuala Sepetang, Taiping.

Naib ketua pemudanya, Salman Saleh berkata hak penduduk di kawasan itu sewajarnya didahulukan dan bukannya beralasan untuk tidak memberi pampasan.

"Kami akan mempertahankan dan juga akan terus memperjuangkan hak penduduk Kuala Sepetang, Taiping berkaitan pampasan bagi tanah rizab seluas 94.5 hektar mereka. Hak mereka harus di dahulukan dan bukannya mencipta pelbagai alasan untuk tidak memberikan pampasan sepertimana yang telah di peruntukan oleh Perlembagaan Persekutuan," katnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, pentadbiran Zambry yang sebelum ini mengatakan telah banyak menerima pelbagai pelaburan yang besar sudah tentu tidak akan mengatakan bahawa tuntutan tersebut sebagai keterlaluan.

"Jangan mencipta pelbagai alasan untuk menidakkan hak rakyat yang perlu di jaga. Jika sebaliknya, kami berharap rakyat sedar akan kemampuan pentadbiran Datuk Seri Zambry yang masih bergelut dengan kemelut kelembapan ekonomi negeri," ujarnya.

Harakahdaily.net/-

UCAPAN TAKZIAH DARI PAS PERAK

1 Rabiulakhir 1431H
Email : mohd hafez sabri

Saya bagi pihak Pimpinan dan ahli-ahli PAS Perak, saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Panthiyan a/l Patchamuthu atau lebih dikenali sebagai Siva , Ketua Pemuda Himpunan Kelab Penyokong PAS Negeri Perak, merangkap Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pasir Salak di atas kematiannya pada hari ini.

Bagi PAS Perak, mendiang merupakan seorang yang bertanggungjawab dalam memikul amanah sabagai Ketua Pemuda Himpunan Kelab Penyokong PAS Negeri Perak, juga sebagai Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pasir Salak, selain itu mendiang juga dikenali sabagai pemuda yang mempunyai akhlak yang baik dan disenangi oleh masyarakat setempat, beliau juga banyak
berperanan dalam menarik minat masyarakat bukan Islam untuk bersama menyertai Himpunan Kelab Penyokong PAS Perak.

Kami berharap agar seluruh ahli keluarga mendiang bersabar di atas kematian mendiang. Kami menyifatkan kematian mendiang sebagai satu kehilangan yang besar serta amat dirasai didalam arena politik negara. Khususnya dalam Himpunan Kelab Penyokong PAS Perak

Sekian, terima kasih.

Yang Benar;

Al fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
( PESURUHJAYA PAS PERAK )

KELEBIHAN SURAH SURAH PENDEK

30 Rabiulawal 1431H
Email : dsj

(1) BISMILLAH (Dengan Nama Allah)
Barang siapa membaca sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, nescaya terpelihara dari godaan dan gangguan syaitan, dari bencana manusia dan jin, daripada kecurian dan kebakaran, dan daripada kematian terkejut. Dan barang siapa membaca sebanyak 50 kali diahadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada pembaca

(2) SURAH AL-FATIHAH (Pembukaan)
Barangsiapa membacanya sebanyak 41 kali diantara sembahyang sunatnya, nescaya
permintaannya di perkenankan, jika sakit lekas sembuh dan nescaya dikasihi oleh
makhluk dan ditakuti oleh musuh. Barang siapa membaca 20 kali sesudah tiap-tiap
sembahyang fardhu, nescaya rezkinya dilapangkan oleh Tuhan dan bertambah baik keadaannya, serta bercahaya rohaninya.

(3) AYAT AL-KURSI (Kekuasaan Allah)
Barangsiapa membacanya sekali selepas setiap sembahyang fardhu, nescaya terpelihara dari tipudaya dan ganguan syaitan. Dengan membacanya, seorang yang miskin akan menjadi kaya, dan jika dibaca ketika hendak tidur nescaya akan terselamat dari kecurian, kebakaran dan kekaraman. Barangsiapa sentiasa membaca ayat Al-Kursi, nescaya Allah akan kurniakan kepada ahli rumahnya kebaikkan yang tidak terhitung banyaknya. Barangsiapa berwudhuk lalu membaca sekali, nescaya Allah Akan meninggikan darjatnya setinggi 40 darjat dan Allah akan mendatangkan para malaikat menurut bilangan hurufnya, seraya berdoa untuk sipembaca sehinggalah ke hari Qiamat. Dan tersebut dalam hadith yang lain :

Barangsiapa membacanya ketika hendak tidur, nescaya Allah akan membuka pintu rahmat baginya hingga kesubuh, dan mengurniakan kota nur menurut bilangan rambut dibadannya. Jika sipembacanya meninggal dunia pada malam itu, ia dikira mati syahid. Hadith yang lain mengatakan: Barangsiapa membacanya selepas setiap sembahyang fardhu, nescaya akan terpelihara dari kekerasan malakul-maut, dan Allah sendiri yang mencabut rohnya, dan dia akan dibangkitkan bersama para Mujahid yang berjihad beserta para Anbiya hingga ia gugur mati Syahid. Imam Jaafar Shadiq r.a. mengatakan: Barangsiapa membaca sekali, nescaya Allah akan menghindar darinya 1,000 kesukaran duniawi, yang terkecil sekali ialah miskinan dan kepapaan, dan 1,000 kesukaran ukhrawi, yang terkecil sekali ialah azab neraka.

(4) SURAH AL-BAQARAH (Sapi Betina)
Barangsiapa membaca dua ayat terakhir dari surah ini (Amanarrasulu) sebelum tidur, ia akan terselamat dari segala bala bencana dan mara bahaya.

(5) SURAH ALI-IMRAN (Keluarga Imran)
Barangsiapa membaca tiga ayat yang pertama dari surah ini, Nescaya ia akan mencapai kesihatan dari segala penyakit dan terselamat dari gangguan jin.

(6) SURAH AN-NISSA' (Perempuan)
Barangsiapa yang membaca ayat yang ke 75 dari surah ini, nescaya ia akan terselamat dari kejahatan para penjahat.

(7) SURAH AL-MAIDAH (Hidangan)
Barang siapa membaca ayat yang ke 7 dari surah ini, sebanyak yang mungkin selama 3 hari berturut -turut, insya Allah akan terselamat dari was-was semasa wudhu dan sembahyang. Barang siapa membaca ayat 89 hingga ayat 101 dari surah ini, keatas air lalu diberi minum kepada orang yang bercakap dusta, nescaya ia tidak akan bercakap dusta lagi.

(8) SURAH AL-AN'AM (Binatang Ternak)
Barang siapa membacanya sebanyak 7 kali, nescaya akan terhindar dari segala bala bencana. Jika ayat 63 dan 64 dari surah ini,dibaca oleh penumpang kapal, ia akan terselamat dari karam dan tenggelam.

(9) SURAH AL-A'RAAF (Benteng Tinggi)
Barang kali membaca ayat 23 dari surah ini, selepas tiap-tiap sembahyang fardhu, lalu beristighfar kepada Allah, nescaya akan terampun segala dosanya. Barang siapa membaca ayat 47 dari surah ini, ia akan terpelihara dari kekacauan para penzalim serta ia akan mendapat rahmat Allah.

(10) SURAH AL- ANFAL (Rampasan)
Barang siapa membaca ayat 62 dan 63 dari surah ini, nescaya dia akan di cintai dan dihormati oleh sekalian manusia.

(11) SURAH AL-BARAAH (AT-TAUBAH) (Pemutus perhubungan)
Barangsiapa membacanya, nescaya akan terselamat dari kemunafiqan dan akan mencapai hakikat iman. Barang siapa membaca ayat 111 dari surah ini, dikedai atau ditempat-tempat perniagaan, nescaya akan maju perniagaannya itu.

(12) SURAH YUNUS (Yunus)
Barangsiapa membaca ayat 31dari surah ini, ke atas Perempuan yang hamil, nescaya ia melahirkan anak dalam kandungannya itu dengan selamat. Barangsiapa membaca ayat 64 dari surah ini, nescaya ia akan terhindar dari mimpi-mimpi yang buruk dan mengigau.

(13) SURAH AL-HUD (Hud)
Barang siapa membaca, nescaya ia akan mendapat kekuatan dan Kehebatan serta
ketenangan dan ketenteraman jiwa. Barang siapa membaca ayat 56 dari surah ini, pada setiap masa, nescaya ia akan terselamat dari gangguan manusia yang jahat dan binatang yang liar. Barang siapa membaca ayat112 dari surah ini, sebanyak 11 Kali selepas tiap-tiap sembahyang, nescaya akan mencapai ketetapan hati.

(14) SURAH YUSUF (Yusuf)
Barang siapa membacanya, akan di murahkan rezekinya dan diberikan kemuliaan kepadanya. Barang siapa membaca ayat 64 dari surah ini, ia akan terhindar dari kepahitan dan kesukaran hidup.Barang siapa membaca ayat 68 dari surah ini, nescaya Allah akan mengurniakan kesalehan kepada anak-anaknya.

(15) SURAH AR-RA'D (Petir)
Barang siapa membaca ayat 13 dari surah ini, ia akan terselamat dari petir.
Dan barangsiapa membaca ayat 28 dari surah ini, nescaya Penyakit jantungnya akan sembuh.

(16) SURAH IBRAHIM (Ibrahim)
Barang siapa membaca ayat-ayat 32 hingga 34 dari surah ini, nescaya anak-anaknya akan terhindar dari perbuatan-perbuatan syirik dan bida'ah.

(17) SURAH AL-IIIJ'R (Batu Gunung)
Barang siapa membaca 3 ayat yang terakhir dari surah ini, ke atas perempuan yang selalu anak kandungannya gugur, nescaya anak kandungannya itu akan terselamat, dari gugurnya.

(18) SURAH BANI ISRAIL (anak-anak Israil)
Barang siapa membacanya ke atas air, lalu diberi minum kepada orang yang bercakap gagap insya Allah akan hilang gagapnya itu. Barang siapa membaca ayat 80 dari surah ini, ketika ia pulang dari perjalanan, nescaya dia akan dimuliakan dan dihormati oleh orang-orang yang setempat dengannya.

(19) SURAH AL-KAHF (Gua)
Barang siapa membacanya, akan terhindar dari kemiskinan dan kepapaan. Barang siapa membacanya pada malam Jumaat, nescaya dia akan mendapat rezeki yang murah.

(20) SURAH MARYAM (Maryam)
Barang siapa membacanya, nescaya akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

(21) SURAH THAAHAA (Hai Manusia)
Barang siapa membacanya, nescaya Allah akan mengurniakan kepadanya ilmu pengetahuan dan akan tercapai segala maksudnya. Barang siapa membaca ayat-ayat 25 hingga 28 sebanyak 21 kali, tiap-tiap hari selepas sembahyang subuh nescaya otaknya akan cerdas dan akalnya akan sempurna.

(22) SURAH AL ANBIYA (Nabi-Nabi)
Barang siapa membaca ayat 83 dari surah ini, nescaya dia akan mendapat sebesar-besar pangkat di sisi Allah s.w.t .

(23) SURAH AL-HAJ (Haji)
Barang siapa membacanya, Allah akan membinasakan musuh-musuhnya.

(24) SURAH AL-MU'MINUN (Orang-orang Mukmin)
Barang siapa membacanya ke atas air, lalu diberi minum kepada orang yang selalu minum minuman keras,nescaya dia tidak akan meminumnya lagi. Barang siapa membaca ayat 28 dari surah ini, nescaya perahunya akan terselamat daripada karam dan rumahnya akan terselamat dari kecurian dan serangan musuh.

(25) SURAH AN-NUUR (Cahaya)
Barang siapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari mimpi-mimpi yang buruk. Barang siapa membaca ayat 35 dari surah ini, pada hari Jumaat sebelum sembahyang Asar, nescaya dia akan disegani oleh orang ramai.

(26) SURAH AL-FURQAN (Pembaca)
Barang siapa membacanya sebanyak 3 kali ke atas air yang bersih, lalu air itu dipercikkan di dalam rumah, nescaya rumah itu akan terselamat dari gangguan binatang-binatang yang liar dan ular-ular yang bisa.

(27) SURAH ASY-SYU A'RA (Ahli-ahli Syair)
Barang siapa membaca ayat 130 dari surah ini, sebanyak 7 kali dengan senafas ke atas orang-orang yang digigit oleh binatang-binatang yang berbisa nescaya akan hilang bisa-bisa itu.

(28) SURAH AN-NAML (Semut)
Barang siapa membacanya nescaya nikmat-nikmat Allah akan kekal kepadanya.

(29) SURAH AL-QA-SHASH (Cerita)
Barang siapa membacanya ke atas pekerja-pekerjanya, nescaya Mereka tidak akan mencuri dan mengkhianat. Barang siapa membaca ayat-ayat 51 hingga 55 dari surah ini, Nescaya otaknya akan cergas, akalnya akan sempurna dan budi pekertinya akan halus.

(30) SURAH AL-ANKABUT (Labah-labah)
Barang siapa membacanya, nescaya demamnya akan sembuh. Barang siapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari gelisah dan keluh kesah.

(31) SURAH AR-RUM (Rum)
Barang siapa membacanya, nescaya Allah akan membinasakan orang yang hendak menzaliminya.

(32) SURAH LUQMAN (Luqman)
Barang siapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari segala-gala penyakit terutama dari penyakit-penyakit perut. Barang siapa membaca ayat 31 dari surah ini, nescaya akan terselamat dari bencana banjir.

(33) SURAH AS-SAJ DAH (Sujud)
Barang siapa membaca ayat-ayat 7 hingga 9 dari surah ini, ke atas kanak-kanak yang baru lahir, nescaya ia akan terhindar dari segala- gala penyakit ruhani dan jasmani.

(34) SURAH AL-AHZAB (Golongan-golongan)
Barang siapa membaca ayat-ayat 45 hingga 48 dari surah ini, nescaya ia akan
mendapat kemuliaan dan kehormatan sejati. Dan barang siapa membaca ayat-ayat 60 hingga 66 dari surah ini, nescaya Allah akan membinasakan musuh-musuhnya.

(35) SURAH SABA' (Saba')
Dengan membacanya, terselamatlah ia dari segala-gala bala bencana, terutamanya dari rosaknya tanam-tanaman.

(36) SURAH FAATHIR (Pencipta)
Barang siapa membaca ayat-ayat 29 dan 30, nescaya Allah akan memberkati perniagaannya.

(37) SURAH YAASIIN (Hai Manusia)
Nabi kita Muhammad s.a.w bersabda : "Tiap-tiap sesuatu Mempunyai hati dan hati Al-Quran ialah surah Yaasiin." Yaasiin kerana Allah, nescaya akan terampun segala-gala dosanya kecuali dosa syirik.." Dalam satu hadith yang lain Baginda s.a.w bersabda: "Hendaklah kamu membaca surah Yaasiin ke atas pesakit-pesakitmu yang menghadapi sakaratul- maut, nescaya Allah s.w.t akan meringankan kekerasan sakaratul-maut itu."Dalam satu hadith yang lain pula Baginda s.a.w bersabda:

"Aku ingin benar, agar surah Yaasiin ini dihafaz oleh tiap-tiap umatku."
Barang siapa membacanya sebanyak 41 kali, pasti akan tercapai segala hajat dan cita-citanya.

Barang siapa membacanya sebanyak 21 kali pada malam Jumaat, Lalu berdoa istghfar untuk kedua ibu bapanya, nescaya dosa kedua ibu bapanya akan diampunkan oleh Tuhan. Barang siapa membaca sekali ketika membuka kedai atau perniagaan, nescaya akan maju perniagaannya itu.

Barang siapa membacanya sekali pada awal malam, andaikata ia mati pada malam itu, mesti ia mati syahid. Barang siapa membacanya sekali selepas tiap-tiap
sembahyang Jumaat, nescaya ia akan diselamatkan dari siksa kubur. Jika dibacanya oleh seorang askar, ketika ia hendak turun kemedan peperangan, Allah akan mengurniakan kepadanya keberanian dan kegagahan, serta naiklah ketakutan pada musuh-musuhnya. Hikmat-hikmat dan khasiat-khasiat surah Yaasiin ini banyak benar didapati di dalam kitab-kitab hadith tetapi cukuplah setakat ini untuk iamal oleh anda sekalian.

(38) SURAH ASH-SHAAFFAAT (Yang Berbaris)
Barang siapa membacanya, insya Allah in akan terpelihara daripada gangguan jin.

(39) SURAH SHAAD (Shaad)
Dengan membaca ayat 42 dari surah ini, nescaya akan mendapat kebahagian sejati.

Insyallah rakan- rakan semua akan mendapat ?Sayangilah Diri Anda Sebelum Menyayangi Insan Lain"


Media pro Umno wajib henti laporan perkauman

30 Rabiulawal 1431H
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyeru akhbar rasmi Umno/Barisan Nasional khususnya Utusan Malaysia agar lebih profesional dalam melaporkan berita dan menghentikan laporan bersifat perkauman.

Beliau ketika diminta mengulas mengenai titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang dukacita terhadap pengabaian kebebasan yang dilakukan oleh media baru berkata, titah itu harus diberi perhatian oleh semua pihak, termasuk media milik Umno/Barisan Nasional.

"Saya kira yang terkesan sekali bukan sahaja media baru tapi yang paling penting iaitu lidah rasmi yang ditawan parti Umno, kerana banyak siaran Utusan Malaysia itu begitu rasis dan memang membangkitkan sentimen kebencian dan perkauman.

"Saya fikir selepas perutusan (Tuanku Mizan) hari ini, Utusan Malaysia wajib melaksanakan tugas dengan profesional, jangan lagi wujud serangan yang jahat yang mampu membangkitkan kebencian kepada orang Melayu dan bukan Melayu," katanya kepada pemberita di lobi parlimen tengah hari ini.

Tuanku Mizan ketika merasmikan Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 hari ini bertitah bahawa fitnah, pembohongan dan pemesongan fakta masih berterusan dengan merujuk kepada kandungan media baru.

“Semua pihak yang terlibat perlu sedari, tiada agama yang merestui tindakan sedemikian. Kami menggesa mereka supaya menghentikan segera perbuatan itu,” titah Tuanku Mizan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, Umno/Barisan Nasional sering kali menggunakan saluran tertentu untuk kepentinagn mereka.

"Hakikatnya itulah Barisan Nasional, sering berselindung di sebalik pihak-pihak lain untuk kepentingan mereka," katanya.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen akan bermula esok dan berakhir 15 April.

Harakahdaily.net/-

Istisqa: MB Kelantan ikut sunah Nabi

30 Rabiulawal 1431H
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 15 Mac: Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Ustaz Mohd Azhar Abdullah berkata, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meneruskan amalan solat sunat yang diteruskan oleh para nabi termasuk Nabi Muhammad s.a.w. sebelum ini.

“Andainya itu ajaran baginda Rasulullah, maka Tuan Guru telah mengikut amalan berkenaan yang telah diajarkan oleh baginda sewaktu musim kemarau berlaku di zamannya,” ujarnya lagi.

Katanya, memandangkan agama itu hidup di negeri Kelantan, menyebabkan pemimpinnya mengamalkan amalan sunnah tersebut termasuk dalam memohon hujan apabila negara ini dilanda panas dan kemarau baru-baru ini.

Tambahnya, setiap ujian yang melanda itu ada hikmahnya yang tersendiri, iaitu sebagai bala terhadap pendosa-pendosa yang dikenali sebagai kifarat Allah.

Sambungnya, selain itu juga ianya sebagai suatu peringatan kepada mereka agar tidak melakukan perkara yang dilarang Allah, kerana bala Allah akan menimpa mereka walaupun bukan melakukan dosa.

Kejadian hujan lebat yang turun pada rakaat pertama pada program solat sunat istisqa Jumaat lalu disifatkan sebagai Allah telah memperkenankan doa-doa setiap hamba, khususnya mereka yang paling hampir denganNya.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohammad Fadzli Hassan, ketika diminta mengulas berhubung solat sunat tersebut memberitahu Allah ingin menunjukkan kebesaran-Nya, apabila hamba memohon, Allah terus memperkenankannya.

“Kita sepatutnya rasa bersyukur kerana mempunyai seorang Menteri Besar sepertinya yang begitu sukar dicari. Saya juga ingin peringatkan pada pihak tertentu yang sering memfitnah serta mengadu-domba Tuan Guru, takutlah dengan doa-doanya,” ujarnya lagi.

Katanya, sejak Tuan Guru dinobatkan sebagai seorang pemimpin Islam berpengaruh dunia, tekanan terhadapnya begitu hebat.

“Jadi saya ingin mengingatkan, berhati-hatilah dengan doa tok guru jangan sekali-kali diambil mudah,” ujarnya lagi.

Jumaat lalu, hujan tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat istisqa sewaktu Menteri Besar itu mengimamkan solat tersebut.

Akibatnya ribuan yang hadir untuk solat tersebut termasuk anggota-anggota Exco kerajaan negeri, dan lain-lain pimpinan basah kuyup terkena hujan.

Harakahdaily.net/-

GST bukti kerajaan lemah, pentadbiran tidak efektif

30 Rabiulawal 1431H

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Penangguhan pembentangan kali kedua rang undang-undang cukai barang dan perkhidmatan (GST) membuktikan kerajaan tidak efektif dalam pentadbirannya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akibat ketirisan kewangan oleh kerajaan, mereka cuba mencari jalan untuk mendapatkan semula kewangan.

"GST melambangkan kelemahan kerajaan mengemukakan kebejatan kewangan yang besar dan penting tapi tidak jelas kepada rakyat.

"PR membantah keras pengenalan ekonomi yang leceh dan lembap tanpa penjelasan dan oleh kerana ketirisan dan rasuah tidak dikendali dengan baik, maka ada percubaan untuk menyelamatkan RM1 bilion dan ini tidak dapat dipertahankan," katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pre-council Pakatan Rakyat petang semalam.

Ketua Umum PKR itu juga berkata, kempen yang dibuat PR mengenai bantahan GST membuahkan hasil apabila kerajaan membuat keputusan menangguhkan pembentangannya di parlimen.

"Oleh kerana Pakatan melaksanakan kempen yang berkesan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menangguhkan pembentangannya," katanya.

Kerajaan memberi alasan tidak membentangkan bacaan kedua rang undang-undang perlaksanaan GST kononnya kerana mahu mendapatkan input daripada rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bagaimanapun berkata, ianya hanya alasan yang diberikan kerajaan.

"Sepatutnya mereka dapatkan input dari rakyat sebelum bentang bacaan kali pertama lagi. Bukan bila kita bantah, baru nak dapatkan feedback rakyat," katanya.

Harakahdaily.net/-

MP Bebas dicabar kosongkan kerusi

30 Rabiulawal 1431H
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh mencabar kesemua ahli parlimen Bebas mengosongkan kerusi parlimen bagi mendapatkan mandat baru daripada pengundi kawasan masing-masing.

Menurutnya, sekiranya mereka takut tidak dapat bertanding lagi sebagai calon jika meletak jawatan, mereka boleh memilih satu lagi kaedah iaitu dengan tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan berturut-turut.

Menurut peruntukan di bawah perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan, jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen tidak hadir pada tiap-tiap sidang Majlis Parlimen selama tempoh enam bulan tanpa kebenaran Majlis Parlimen itu, maka Majlis Parlimen itu boleh mengisytiharkan bahawa kerusinya kosong.

"Ada peruntukan 52(1), jika seseorang ahli parlimen tidak menyertai persidangan dalam enam bulan, kerusi dia kosong dan dia masih boleh bertanding sebagai calon," katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Beliau berkata demikian semalam ketika diminta mengulas lima wakil rakyat yang kini berada di blok Bebas di parlimen.

Empat daripada mereka adalah bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim, Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Baharu), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Zahrain, Tee Beng dan Mohsin sebelum ini mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi ahli parlimen Bebas, manakala Zulkifli dipecat daripada PKR.

Seorang lagi ahli parlimen Bebas adalah Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas) yang bertanding dan menang atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Tindakan beliau kemudian dilihat sering menentang pendirian PAS dan Pakatan Rakyat sehinga beliau didesak meletak jawatan.

"Jadi lebih baik kelima-lima yang bebas ini meletak jawatan (tidak hadir parlimen), kembali ke kawasan masing-masing untuk dapatkan mandat baru," tambah Karpal.

Harakahdaily.net/-

Kecewa Peguam Negara beku siasatan SPRM

30 Rabiulawal 1431H
Rusli Yasmin

PUTRAJAYA, 16 Mac: Dewan Pemuda PAS Pusat melahirkan rasa kecewa dengan beberapa hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah dihantar kepada Peguam Negara dibekukan.

"Contohnya, kes rasuah Pasir Raja pada tahun 2004 melibatkan Ahli Parlimen Tenggara, YB Halimah Sadique yang di tangkap melakukan kesalahan rasuah tetapi tidak ada perkembangan hingga ke hari ini," kata ketuanya, Nasrudin Hasan.

Sehubungan itu, ujarnya, Pemuda PAS meminta supaya setiap kertas dan hasil siasatan yang diserah kepada Peguam Negara hendaklah segera dibawa ke mahkamah.

Katanya, Pemuda PAS juga menegaskan supaya SPRM dapat dilihat telus dapat melaksanakan aspirasinya bagi meningkatkan keyakinan dan memperbaiki persepsi masyarakat Malaysia dan antarabangsa ke atas keberkesanan SPRM.

Beliau menyatakan demikian pada kunjungan hormat ke SPRM petang semalam selepas pelantikan Datuk Abu Kassim Mohamed sebagai pesuruhjaya pada 4 Januari yang lalu.

"Ini adalah satu kunjungan untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang peranan dan juga fungsi SPRM dalam menggerakkan usaha memerangi rasuah, sejauh mana keberkesanan dan tindakan yang dilakukan," katanya lagi.

Nasrudin berkata beliau berpuas hati dengan segala maklum balas yang diberikan oleh Datuk Abu Kassim dan SPRM selepas perbincangan selama dua jam itu.

"Alhamdulillah kita mendapat maklum balas yang positif dan DPPP bersikap positif dengan komitmen yang diberikan oleh beliau (Datuk Abu Kassim) untuk membanteras rasuah.

Harakahdaily.net/-

Ketua Pemuda Penyokong PAS mati ditembak

30 Rabiulawal 1431H

TELUK INTAN, 16 Mac: Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, Panthiyan a/l Patchamuthu mati ditembak di hadapan kedai mencuci kereta miliknya di Langkap, sebentar tadi.

Dua das tembakan dengan satu mengenai kepala dan dada mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian jam 3 petang semalam.

Difahamkan, suspek menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran palsu datang ke kedainya lalu melepaskan tembakan dari jarak dekat.

Mangsa yang berusia 34 mengalami kecederaan parah di kepala mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Hilir Perak untuk bedah siasat.

Difahamkan, ahli keluarga mangsa yang berada di kedai itu tidak dicederakan.

Dalam pada itu, pihak Polis Daerah Hilir Perak meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi talian 05-6212222 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abu Bakar Husain bagi pihak pimpinan dan ahli-ahli seluruh negeri merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang atau lebih dikenali sebagai Siva.

Katanya, bagi PAS Perak, mendiang merupakan seorang yang bertanggungjawab dalam memikul amanah sebagai Ketua Pemuda Himpunan Kelab Penyokong PAS negeri, juga sebagai Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pasir Salak, selain itu mendiang juga dikenali sebagai pemuda yang mempunyai akhlak yang baik dan disenangi oleh masyarakat setempat.

Mendiang juga, katanya banyak berperanan dalam menarik minat masyarakat bukan Islam untuk bersama menyertai Himpunan Kelab Penyokong PAS Perak.

"Kami berharap agar seluruh ahli keluarga mendiang bersabar di atas kematian mendiang. Kami menyifatkan kematian mendiang sebagai satu kehilangan yang besar serta amat dirasai didalam arena politik negara khususnya dalam Himpunan Kelab Penyokong PAS Perak," ujarnya dalam satu kenyataan.

Dewan Pemuda PAS negeri pula mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam terhadap Siva itu.

Naib ketuanya, Salman Saleh merakamkan rasa yang amat sedih dengan berita yang telah dilaporkan kerana cara pembunuhan tersebut amat kejam dengan dua das tembakan yang mengenai kepala dan dada mangsa.

Oleh yang demikian, beliau meminta pihak polis membuat siasatan menyeluruh terhadap pembunuhan kejam tersebut.

Pihaknya juga, kata beliau meminta ahli keluarga mendiang dan semua Ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak bersabar serta tenang dan berhati-hati dengan suasana yang berlaku itu.

Harakahdaily.net/-