09 March 2010

Nama Allah ;Ramai ingin jadi juara bukan membela kesucianNya.

22 Rabiul Awwal 1431H.
Muhammad Nuruddin Bashah

Suatu masa dahulu saya pernah mengarang satu tulisan panjang berkenaan Allah bukan nama tuhan Yahudi dan Kristian. Pendekatan penulisan itu adalah berasaskan retrospektif iaitu menelusuri rekod penggunaan nama Allah dalam kitab Bible dan Old Testament (Taurat) di mana bahasa Inggeris yang banyak digunakan dalam kitab tersebut dipertikai oleh saya.

Saya menilai mengapa Kristian dan Yahudi gemar menggunakan bahasa Inggeris dan kalimah God berbanding kalimah asal bahasa Ibrani bagi Yahudi dan Aram bagi Kristian. Jelsnya Aram adalah bahasa proto Syiriac iaitu bahasa suryani kuno yang menjadi asas bagi ketamadunan Bani Israel dahulu.

Ibrani dan Aram adalah kelompok bahasa yang sama. Lantaran itu kalimah Ellah, Ela, Abba, Elohim dan sebagainya digunakan dalam Old dan New Testment. Manakala kalimah ini semua jika diterjemah ke dalam bahasa Arab, ia adalah Allah. Namun begitu saya persoal mengapa di Malaysia ingin digunakan kalimah Allah sedangkan terlalu lama mereka gemar menggunakan bahasa Inggeris iaitu God dalam Bible di Malaysia. Malah Inggeris seolah menjadi bahasa rasmi Kristian di Malaysia bukannya Aram atau Ibrani.

Penolakan saya terhadap signifikan kalimah itu dalam Bible serata dunia adalah berasas. Namun saya tidak boleh menafikan Allah yang mereka percayai adalah Allah saya juga walaupun Allah yang saya fahami adalah Allah yag tanzih dan tasbih daripada sifat makhluk dan kekurangan malah ia adalah Esa dan satu.

Dalam keceramukan pandangan dan pegangan masyarakat terutama berbangsa Melayu terhadap isu ini, suka untuk saya petik pandangan YAB Tuan Guru NIk Abd Aziz Nik Mat terhadap isu ini.

“ Pada asasnya saya sudah jawab, memang boleh guna kalimah Allah. Bagaimanapun kerana ada mainan di belakang, jadi untuk menyekat perkara tidak betul maka menurut usul fiqh ia harus disekat. Benda harus, jika bahaya boleh disekat”.

Pandangan Ustaz Taib Azamuddin (Bekas Imam Masjid Negara) dan Ustaz Abd Ghani Shamsuddin (bekas YDP Persatuan Ulama Malaysia) pula ialah pentingnya dialog dan interaksi untuk berkongsi pengalaman dan fahaman antara Kristian dan Islam di Malaysia berkaitan hakikat nama Allah. Mereka guna nama Allah, kita juga gunakannya. Inilah peluang untuk kita perjelaskan pendirian kita bahawa Allah itu suci daripada triniti. Bukankah ini metod Rasulullah dalam menerangkan bezanya Allah yang diyakini oleh Abu Jahal dengan Allah yang difahamkan oleh Jibrail kepada Baginda? Bukankah ini lebih efisien.

Dr Yusuf Al Qaradhawi juga menyatakan dalam khutbah beliau di Masjid Saidina Umar Qatar 22 januari 2020 yang lalu, bahawa Allah adalah tuhan semua manusia. Tetapi agama lain merosakkan nama Allah dan sifatnya dengan menambah sifat jismiyyah dan kemanusiaan kepada Allah SWT. Inilah bezanya aqidah Islam dengan pegangan agama lain. Adakah perbezaan ini menyebabkan kita membakar gereja, meletupkan kuil?

Tentu tidak!

Malah Islam menggalakkan kita terlibat dengan kaum Kristian dan mendekatkan mereka dengan kefahaman tanzih (menyucikan) Allah dari segala sifat triniti yang salah dalam aqidah Islam.

Dr Yusuf juga memiliki ramai sahabat baik yang sama-sama berjuang isu sosial, perjuangan bembela rakyat yang dizalimi serta kemanusiaan seperti Dr George Ishaq, Dr Rafiq Habib, Azmy Basyarah Dr Ataillah Hana (Palestin) dan sebagainya. Dr Yusuf juga bersahabat dengan pejuang keamanan dan hak asasi Kristian dari Palestin. Inilah interaksi Islam yang diajar oleh Nabi.

Namun begitu saya juga tidak menolak usaha beberapa NGO untuk mendesak Gereja berfikir semula sensitiviti kaum melayu di malaysia di mana kaum melayu Malaysia canggung dengan kalimah Allah digunakan oleh orang Kristian. NGO tertentu juga mengambil pendekatan menolak kemudaratan lebih besar kerana penggunaan ini akan mengelirukan anak muda dan belia di malaysia yang jahil tetang Allah. Ia bersifat diterrence (pencegahan) awal untuk mengelakkan gejala murtad di Malaysia yang kian barah kerana perlembagaan persekutuan melarang sebarang perancangan dan usaha menyebar dakwah agama lain kepada kaum muslim. Menurut Perkara 3 perlembagaan negara, Islam adalah agama rasmi persekutuan. Namun agama-agama lain bebas diamalkan di mana-mana bahagian persekutuan tanpa boleh disekat. Ini bermakna kebebasan beragama sebagai sebahagian hak asasi manusia dijamin di sisi perlembagaan negara.

Namun berbanding agama-agama lain, Islam mendapat keistimewaan dan perlindungan di bawah undang-undang. Perkara 11(4) menegaskan bahawa penyebaran agama bukan Islam kepada khalayak Islam adalah dilarang. Pengecualian diberikan kepada penyebaran syiar dan dakwah Islam.

Jika perkara 11(4) dijalankan dengan jayanya, tidak ada masalah dalam penggunaan nama Allah oleh gereja Kristian selagi mana ia dikawal.

Saya suka untuk memetik kenyataan Peguam Hanifa Maidin,

“Kalimah God telah diterjemah sebagai Allah dalam “Istilah Agama Kristian Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia” yang diterbitkan pertama kali oleh Catholic Bishops Conference of Malaysia pada tahun 1989 . Kamus Melayu-Latin yang diterbitkan sejak tahun 1631 telah menterjemah perkataan “Deus” (Kalimah Latin untuk God ) sebagai “Allah” dalam terjemahan Melayu. Dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia, kalimah “Allah” telah digunakan secara terus menerus dalam edisi Matthew’s Gospel di Malaysia pada tahun 1629 dan dalam Bible Melayu pertama yang lengkap pada tahun 1733 dan Bible Melayu yang Kedua Lengkap pada tahun 1879 sehingga sekarang. Munshi Abdullah yang dianggap bapa kesusasteraan Melayu telah menterjemah Gospels ke dalam Bahasa Melayu pada tahun 1852 dan beliau telah terjemah perkataan “God” sebagai “Allah”. Telah ada Bible yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu yang wujud sebelum 1957 yang mana terjemahannya telah dibuat oleh British and Foreign Bible Society di mana kalimah “Allah” telah digunakan”. Jika sebelum merdeka kaum melayu berjuang menghalang penggunaan nama Allah dalam dokumen-dokumen di atas mungkin kuat untuk umat Islam melarang gereja hari ini (dalam konteks Malaysia).

Pendirian saya ialah, saya skeptikal kepada pihak Kristian yang mungkin ingin menggunakan kalimah Allah untuk tujuan murtadkan kaum melayu (jika ada). Namun dalam isu ini saya lebih cenderung dengan dialog dan pertukaran pandangan serta wacana yang sihat sepertimana amalan Ahmad Deedat dan sebagainya. Dengan dialog, insya Allah , Allah akan lebih dikenali ramai secara absah dan tepat.

Kepada pihak melayu yang ekstrim dalam politik sekular, namun berubah fikiran untuk taksub dalam isu nama Allah tanpa sebarang wacana dan fakta yang benar, sila matikan hasrat anda kerana anda hanya menjadi punca jauhnya sinar hidayah dalam diri kaum Kristian di Malaysia serta melambakkan lagi sikap curiga antara kaum di Malaysia.

Anggota Parlimen Kulim dipecat satu pengajaran

22 Rabiul Awwal 1431H.
Ahmad Baei Jaafar

Melihat perkembangan terbaru apabila Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), saya dapati banyak iktibar yang boleh diambil oleh parti dan ahli termasuk komponen Pakatan. Maka beruntunglah mereka yang mahu menilainya dengan hati yang ikhlas.

Menyingkap kisah YB Zulkifli, 48, seorang peguam yang banyak menyelesaikan kes di mahkamah juga yang gagal terutama dalam membela Datuk Seri Anuar Ibrahim, beliau bukanlah selayaknya untuk menjadi seorang ahli politik. Sebenarnya bukan semua peguam mampu menjadi ahli politik. Mungkin Karpal boleh mengesahkan pandangan saya ini.

Peguam yang pandai menyelesaikan kes dengan hujjah yang logik walaupun mengelirukan hingga meyakinkan hakim, mungkin boleh menjadi ahli politik yang baik. Hal ini kerana dalam politik 2 x 2 bukan semestinya memberi jawapan 4, begitu juga 5 + 3 bukan semestinya memberi jawapan 8. Inilah yang dikatakan strategi dalam perjuangan.

Sebaliknya orang yang lurus bendul, bercakap dan berhujjah mengikut fakta dan kenyataan yang sebenar adalah watak hakim yang baik. Mereka ini tidak layak menjadi ahli politik tetapi amat sesuai jika menjadi pembela kepada ahli politik. Maka apa-apa isu yang membabitkan undang-undang, mereka boleh membantu menyelesaikannya dengan mudah.

Merujuk kepada isu pemecatan YB Zulkifli, saya difahamkan pemecatannya kerana disiplin parti bukan isu Allah seperti yang didakwanya. Saya bersetuju kerana saya sering memerhatikan perkembangan Zulkifli dari awal pembabitannya dalam politik. Beliau sering bercanggah pendapat dan menungkah arus daripada perjuangan parti apatah lagi Islam.

Saya tidak pasti adakah semua wakil rakyat yang terpilih dalam pilihanraya lalu telah diberi tunjuk ajar tentang dasar parti, adab, dan disiplin sebagai wakil rakyat. Pada saya tidak mungkin mereka dilepaskan begitu sahaja tanpa akujanji yang ditandatangani pada hari penerimaan tugas itu. Agak malanglah kalau mereka ambil tidak kisah kerana dengan sikap itu boleh merosakkan dirinya dan partinya.

Dalam Islam, sesuatu isu rumah tangga perlu diselesaikan dalam rumah tangga sama ada dengan berbincang antara suami dengan isteri secara hati ke hati, atau dengan mengadu kepada ibu bapa supaya dinasihatkan yang terbaik untuk mereka. Dan jika itupun tidak mampu diselesaikan barulah dibawa kepada pejabat agama untuk diberi kaunseling sebelum ke mahkamah.

Begitulah hal dengan isu yang membabitkan orang politik, perlu diselesaikan dalam parti, cari penyelesaian yang boleh menguntungkan pihak yang bertikaian. Jika isu itu dibincangkan di khalayak ramai, dan maklumat itu diambil oleh media, nescaya isu yang kecil dijadikan besar apatah lagi kalau isu besar akan dibesarkan lagi. Ketika itu, sudah tidak boleh dinafikan apatah lagi kalau pekung sudah dibuka seluas-luasnya.

Oleh sebab itu, dalam Islam pemimpin yang mewakili rakyat perlu diberi kefahaman Islam sepenuhnya. Mereka perlu diberikan tunjuk ajar tentang adab dan panduan menjadi pemimpin. Walaupun pemimpin bukan Islam, mereka juga perlu didedahkan perkara yang sama. Malah dalam keadaan ini saya nampak mereka yang bukan Islam lebih beradab daripada orang Islam sendiri.

Sebenarnya isu Allah yang dibesarkan oleh YB itu pada saya amat kecil malah boleh dimaafkan atas kejahilannya dalam soal agama. Tetapi yang menjadi besar pada isu ini ialah perdebatannya secara terbuka yang sepatutnya cukup diselesaikan dalam rumah tangga. Kesannya, bukan sahaja ahli parti menjadi begung, orang luar parti juga kabur. Orang bukan Islam juga keliru sedangkan mereka mahu berpaut dengan parti tersebut.

Jadi, iktibar yang boleh diambil oleh umat Islam sama ada ahli parti atau tidak, pemimpin atau tidak, belajarlah ilmu Islam sepenuhnya agar setiap gerak kerja kita terpandu dengan panduan yang jelas. Selain itu, jika kita ditegur dengan nasihat yang baik, ubahlah ke arah yang baik itu. Ingatlah tiada teguran yang berniat jahat. Sebaiknya dalam keadaan ini, bertaubat dan kembali kepada jalan yang lurus.

Perjuangan Umno sangat sesat

22 Rabiul Awwal 1431H.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS menolak perpaduan dengan Umno kerana perjuangan parti Melayu itu sebenarnya amat sesat (dhalalah) disebabkan menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama yang menyebabkan banyak pihak tidak faham Islam termasuk bukan Islam.

Mursyidul Am PAS itu berkata, sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Dalam perutusan sempena dua tahun Pakatan Rakyat hari ini, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menambah, meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam.

Berikut ialah perutusan penuh beliau

Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya:

1. Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.

2. Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.

3. Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

4. Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.

5. Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.

Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.

Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.

Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.

Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.

Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.

Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum. Firman-Nya, maksudnya, "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).[al-Hujuraat, 49: 13]

Semoga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.
22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010.

Meriah : Hampir 5000 hadir Rumah Terbuka Hari Raya Cina ADUN Titi Serong

22 Rabiul Awwal 1431H.


Selamat Tahun Baru Cina, ADUN Titi Serong bergambar bersama Isteri.

Drs. Khalil bersama Isteri sedang mengagihkan Angpau kepada seorang anak kecil yang hadir bersama ibunya.


PARIT BUNTAR, 7 Mac :- Kemeriahan Sambutan Hari Raya Cina pada tahun ini dikongsi bersama oleh seluruh Warga DUN Titi Serong dalam sambutan Rumah Terbuka yang diadakan di sini. Sambutan tersebut yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN dengan kerjasama Dewan Himpunan penyokong PAS Parit Buntar telah manrik kehadiran yang mencecah hampir 5000 orang itu dan membuktikan bahawa sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat masih kuat.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah ADUN Kuala Kurau, YB. Yunus Jamhari, ADUN Selingsing, YB. Hussin DIN , ADUN Gunung Semanggol, YB. Ramli Tusin, YDP PAS Lenggong, Hj. Razman Zakaria dan Pimpinan PAS Kawasan.

Semasa menyampaikan ucapan ringkas dalam majlis tersebut ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim melahirkan rasa kegembiraan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat yang hadir dalam rumah terbuka tersebut.

"Saya telah memeluk agama Islam sejak 23 tahun yang lepas dan saya masih cina dari dulu sampai sekarang, oleh itu saya berhak untuk merayakan Tahun Baru Cina." jelasnya kepada yang hadir.

Ucapan Drs. Khalil menarik perhatian bila sekali lagi dia menegaskan kepada lebih 50 pratus warga Tionghua yang hadir bahawa masuk Islam bukan bermakna dia masuk Melayu.Jelasnya lagi antara Melayu dengan Islam tidak boleh disamakan.

"Tidak mungkin kita menukar bangsa yang kita miliki" Tegasnya dalam ucapan tersebut.

Sementara itu Pengarah Program Rumah Terbuka, En. Abu Bakar Idris semasa ditemui melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana Rumah Terbuka yang diadakan pada tahun ini mendapat sambutan yang lebih baik dari tahun lepas.

" Saya rasa jumlah kehadiran pada tahun ini lebih ramai dari tahun lepas, makananpun lebih banyak disediakan" katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan acara tahunan ADUN Titi Serong itu. Antaranya Pihak PAS Kawasan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat,dan Unit Amal PAS Kawasan Parit Buntar.

"Bagi saya kehadiran warga Titi Serong dari bangsa Cina, Melayu dan India membuktikan sokongan rakyat kepada ADUN Titi Serong masih kuat dan menafikan tohmahan yang mengatakan kita sudah tidak berfungsi selepas rampasan kuasa oleh BN" kata Abu Bakar.

Sambutan pada tahun ini diserikan oleh persembahan Tarian Singa, Agihan Angpau dan persembahan lagu Raya yang oleh Dewan Himpunan penyokong PAS setempat.







\

PAS tidak perlu Zulkifli - Mahfuz

22 Rabiul Awwal 1431H.
Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 7 Mac: “Mungkin dia (Tuan Ibrahim) berniat dakwah, tapi saya anggap kenyataan itu masih bersifat peribadi yang tidak perlu dipolemikkan,” kata Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS petang tadi selepas menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor.

Sehubungan itu, Mahfuz berkata, keterbukaan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempelawa Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Nordin menyertai PAS seperti yang dilaporkan akhbar elektronik mStar hari ini wajar diteliti terlebih dahulu oleh kepemimpinan tertinggi PAS.

Menurut Mahfuz, PAS seharusnya mengormati etika kepartian yang dipegang secara bersama-sama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

"Kita tak boleh ambil ahli-ahli yang ditolak oleh parti kawan-kawan kita, apatah lagi kalau seseorang itu ditolak disebabkan mengganggu muafakat Pakatan Rakyat, kerana ini etika yang dipegang bersama," jelasnya.

Sekiranya PAS menerima Zulkifli, Mahfuz berkata, PAS boleh dilihat tidak menghormati ketetapan berupa disiplin yang ditetapkan oleh PKR sendiri.

Ini kerana, dengan penyertaan Zulkifli ke dalam PAS, menurut Mahfuz boleh mengakibatkan isu disiplin yang dialami oleh PKR mungkin berpindah pada PAS pula.

"Selepas PKR, mungkin PAS pula berdepan dengan ahli-ahli yang tidak disiplin, yang akhirnya tidak juga menyelesai masalah pokok (disiplin) dalam Pakatan Rakyat sendiri.

“Orang yang tidak ada disiplin dalam parti kawan kita, tiba-tiba kita (PAS) pula atas nama 'terbuka' nak ambil orang itu masuk ke dalam parti kita,” jelasnya.

Sekiranya Zulkifli dibawa menyertai PAS, Mahfuz menjangkakan bahawa PAS sendiri bakal dilihat serong oleh para pemimpin Pakatan Rakyat serta rakyat sendiri.

Tambahnya lagi, Zulkifli yang dilihat acapkali bersikap provokasi, tidak beretika menurut prinsip organisasi serta tidak dilihat bersikap toleransi dengan penganut agama-agama lain sebelum ini, membolehkan PAS sendiri dilihat serong kelak.

“Dia dilihat cukup provokatif dalam isu kalimah ‘Allah’ umpamanya, kadang-kadang dilihat begitu 'mengganggu' muafakat Pakatan Rakyat (atas nama) Melayu, sedangkan Islam tidak mengajar sedemikian (dan) PAS pula adalah parti yang toleransi lagi (bersikap) sederhana dengan semua kaum dan penganut agama sebagaimana yang ditunjukkan (oleh) Nabi Muhammad s.a.w.”

Sebab itu, Mahfuz berkata, PAS seharusnya membuat pertimbangan yang sewajarnya mengikut kaedah yang disarankan menurut disiplin ilmu Islam.

“Seingat saya, Islam ada ajar kita ‘menolak kemudharatan itu lebih baik dari mengambil maslahah (kebaikan)’ (maka) kalau dia (Zulkifli) ini kita boleh anggap sebagai suatu mudharat (disebabkan) tidak disiplin dalam PKR, apakah jaminan kebaikan yang PAS akan dapat kalau dia sertai kita (PAS),” soal Mahfuz lagi.

“Kita (PAS) dalam Pakatan Rakyat sedikit sebanyak pun turut terganggu dari segi organisasi walaupun dia (Zulkifli) sebelum ini bermasalah dalam PKR, kalau dia duduk dalam PAS (maka) lebih-lebih lagilah,” jelasnya.

Pun begitu, beliau menganggap masalah disiplin Zulkifli hanya masalah berkaitan organisasi parti semata-mata.

“Masalah dia ini (adalah) masalah berkaitan organisasi parti, maka saya anggap masalah disiplin dia setakat itu saja, tak lebih dari itu.

“Etika dalam parti penting bagi saya, (maka) elok PAS menerima pemimpin yang berdisiplin saja,” ujarnya.

Harakahdaily/-