06 March 2010

Ahmad Awang dakwa mufti Perak 'tokok tambah cerita'

20 Rabiul Awwal 1431H.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Awang mendakwa Tan Sri Harussani Zakaria telah menokok tambah perbualan mereka ketika mufti Perak itu menghubunginya bagi memujuk PAS untuk bersama Umno menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak selepas pilihan raya umum 2008.

Ahmad mengulas kenyataan Harussani, dalam program dialog Zaaba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, yang mendakwa PAS Perak dengan angkuh menolak cadangan tersebut walaupun pada dasarnya mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan parti itu.

"Apa yang beliau cakap dalam dialog itu adalah tambahan kemudian. (Perkara) Itu tidak betul," katanya sambil menambah, dalam perbualan tersebut, mufti Perak itu tidak memberitahunya yang cadangan itu mendapat perkenan baginda.

"Perbualan tentang ayat al-Quran dan hadis itu tidak ada. Ia direka-reka kemudiannya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Sebagai pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Ahmad mengakui - dalam perbualan telefon dengan Harussani - mufti Perak itu telah memujuknya parti itu bersama-sama Umno membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, katanya, beliau berkeras tidak mahu bekerjasama dengan Umno kerana mendakwa Umno adalah "zalim" termasuk memberi contoh pengalaman PAS bersama dengan Umno satu ketika dahulu.

Ahmad juga mengakui dalam perbualan dengan Harussani - lebih kurang 10 minit itu - beliau membuat ketetapan untuk bersama-sama dengan DAP menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Dalam perbualan telefon itu juga, Ahmad berkata, Harussani berkata kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu berteraskan Melayu dan Islam, sedangkan mufti Perak itu mendakwa pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham anti-Islam.

Ahmad berkata, beliau menjawab dengan berkata bahawa beliau mengenali pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham sejak tujuh atau lapan tahun lalu, dan mengetahui beliau beragama kristian.

"(Tetapi) Ngeh tidak pernah bersikap anti-Islam," katanya.

Menurut Ahmad lagi, dalam perbualan tersebut, Harussani juga tidak menyatakan tentang tawaran jawatan menteri besar dan exco kepada PAS dalam kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu.

Sebaliknya, kata beliau, tawaran tersebut hanya dibuat oleh seorang wakil rakyat yang mewakili ketua badan perhubungan Umno Perak ketika itu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, beberapa hari selepas Pakatan Rakyat menang pilihan raya umum tersebut.

Ahmad juga berkata, dalam perbualan telefon itu, beliau membidas mufti Perak yang banyak menyentuh dalam ceramahnnya mengenai gejala murtad di kalangan orang Melayu yang menganut Kristian.

"Saya cakap kepadanya bahawa beliau mengenali (perdana menteri ketika itu) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), dan pernah menghantar memorandum (mengenai gejala murtad), tapi kerajaan tak buat apa-apa pun.

"Jadi kita tak boleh harap dengan Umno. Macam mana nak berpakat," katanya.

Ekoran bidasannya itu, Ahmad berkata Harussani "mati akal" untuk menjawab hujahnya dan seterusnya menamatkan perbuatan mereka. Malaysiakini/-

Nik Aziz: MP lompat ibarat 'buaya di balik batu'

20 Rabiul Awwal 1431H.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, tindakan beberapa wakil rakyat PKR yang keluar parti dan menjadi wakil bebas disifatkan sebagai "buaya di sebalik batu".

"Sedihnya, ribut tidak (ada), hujan pun tidak, tiba-tiba bah melanda! Syak saya teramat kuat akan adanya kepentingan politik (mereka) tersendiri. Ini bukannya udang di sebalik batu, bahkan buaya," katanya.

Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS mengulas 'fenomena' keluar parti yang menghantui PKR setelah tiga anggota parlimennya berpaling tadah dalam tempoh yang amat dekat.

Mereka ialah Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Lepas), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Dalam satu kenyatan hari ini, Nik Aziz berkata, jika terdapat perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan sedia ada, perkara itu boleh disuarakan dengan dengan pelbagai cara, tetapi bukan dengan melompat parti.

"Usulkan sahaja sidang tergempar, ambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang bersalah. Paling tidak, adakan perbincangan dari hati ke hati.

"Bukankah ini menjadi amalan biasa turun temurun di dalam menyelesaikan urusan rumahtangga parti?" soalnya yang kini sedang mendapatkan rawatan kerana sakit dada di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu sejak kelmarin.

Sehubungan itu, Nik Aziz menambah, pemimpin yang meninggalkan parti perlu juga meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen sebagai tanda menghormati mandat yang diberikan rakyat kepadanya.

"Bertanding atas tiket parti lain, tiba-tiba menukar haluan. Bukankah ini satu penipuan? Umpama meminang anak dara orang dengan perwatakan lebai, alih-alih bertukar rupa menjadi pencuri," sindirnya.

Beliau juga menasihatkan PKR - yang disifatkanya sebagai parti yang masih muda - tidak berputus asa kerana perkara yang sama pernah berlaku pada PAS sendiri, termasuk melibatkan pemimpin tertingginya.

"Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat sebagaimana dahulu.

"Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dan dua undi! Alhamdulillah, tidak ada yang melompat," katanya. Malaysiakini/-

Sultan Perak dimohon tak perkenan sidang DUN

20 Rabiul Awwal 1431H.

Ketua DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham hari ini mendakwa jika Datuk R Ganesan diiktiraf sebagai speaker Perak yang sah, perkara itu akan menggugat sistem raja berpelembagaan di negara ini.

Ini kerana menurut beliau yang juga ADUN Sitiawan, Ganesan dipilih secara tidak sah.

Beliau mendakwa, Ganesan dilantik sebagai 'speaker' oleh ADUN BN dalam sidang DUN pada 7 Mei lalu ketika Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah belum merasmikan sidang.

Katanya, Ganesan dilantik ketika sesi pagi iaitu kira-kira jam 10.30 pagi sedangkan Raja Nazrin merasmikan sidang DUN kira-kira jam 3 petang.

"Jika Sultan Perak mengiktiraf Ganesan, kepercayaan rakyat terhadap institusi beraja akan merosot.

"BN juga sudah memulakan tradisi bahawa perasmian sidang DUN oleh Sultan atau Raja Muda tidak diperlukan kerana speaker boleh dilantik sebelum sesi bermula," katanya pada sidang akhbar di Ipoh hari ini.

Ngeh yang juga timbalan setiausaha agung DAP juga mempertikaikan sesi pagi yang dipengerusikan oleh adun Jelapang, Hee Yit Foong ketika proses pelantikan Ganesan.

Ini kerana Hee tidak dibenarkan memasuki sidang DUN kerana sudah meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Hee, bekas wakil rakyat DAP dan dua lagi adun bebas tidak dibenarkan memasuki sidang DUN ketika itu kerana speaker yang disingkirkan V Sivakumar mendakwa mereka sudah meletak jawatan berikutan tindakan ketiga-tiganya keluar parti masing-masing.

Dua lagi wakil rakyat bebas itu adalah adun Behrang, Jamaludin Mohd Radhi dan adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu.

Tindakan ketiga-tiga adun yang berpaling tadah itu membolehkan BN menubuhkan kerajaan Perak pada 6 Februari tahun lalu. Malaysiakini/-

Zaid: Najib 'kemaruk' majoriti dua pertiga

20 Rabiul Awwal 1431H.

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk menghentikan perbuatan 'merampas' ahli parlimen Pakatan Rakyat, khususnya dari PKR demi menghormati proses demokrasi.

"Mengapa beliau begitu kemaruk dengan majoriti dua pertiga di Parlimen? Buat masa ini, Barisan Nasional mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi bagi meluluskan sebarang undang-undang,” kata Zaid (kiri) pada sidang akhbar yang diaturkan secara tergesa-gesa

"Pada pendapat anda, adakah England kukuh kerana mereka mempunyai dua pertiga (majoriti)? Tak! England tidak pernah ada majoriti dua pertiga.”

Sejak beberapa minggu kebelakangan lalu, PKR digoncangkan dengan tiga ahli parlimennya berpaling tadah sehingga menimbulkan krisis kepimpinan parti, terutama terhadap ketua numumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

'Contohi jejak Pak Lah'

Andaian jika ketiga-tiga mereka mesra BN di Dewan Rakyat, gabungan itu cuma memerlukan tujuh lagi kerusi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.

Zaid berkata BN sepatutnya bertindak adil dengan mencabar Pakatan Rakyat berdebat berhubung polisinya daripada cuba memancing ahli parlimennya.

Menurut beliau lagi Perdana Menteri seharusnya memberi tumpuan menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda negara ketika ini.

Zaid juga menggesa Najib supaya menjejaki langkah penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak cuba memancing adun Kelantan walaupun kerajaan PAS satu ketika dahulu hanya mempunyai kelebihan satu undi.

"Kami (Umno) dengan mudah boleh merampas Kelantan tetapi Pak Lah tidak bersetuju kerana tindakan memancing itu tidak bermoral," kata Zahid yang merupakan ketua bahagian Umno pada awal tahun 2000. Malaysiakini/-

Konsep kebebasan kehakiman

19 Rabiulawal 1431H
http://www.khalidsamad.com

Telah berkata Syarieh (Hakim Zaman Saidina Ali di Kufah):

Apabila bergerak tentera Saidina Ali ke peperangan dengan Muawiyah di Siffin, terjatuh baju perisainya. Apabila beliau pulang dari peperangan tersebut ke Kufah, didapati bahawa baju besi tersebut berada di tangan seorang Yahudi yang menjual baju besi tersebut di pasar Kufah.

Maka berkata Saidina Ali kepada Yahudi tersebut : “Wahai orang yahudi, ini baju perisai saya, tidak pernah saya menjualnya atau menghadiahkannya”.

Berkata Yahudi itu: “Ini baju perisai ku dan ia berada di tangan ku”.

Berkata Saidina Ali: “Kita bawa perkara ini kepada hakim”.

Maka perkara ini dibawa kepada hakim Syarieh, maka duduklah Saidina Ali sebelah hakim dan duduklah orang yahudi tersebut di depan hakim tersebut.

Berkata Syarieh: “Katakanlah wahai Amirul Mukminin”.

Berkata Saidina Ali: “Ya. Bahawa baju besi yang ada di tangan Yahudi ini adalah baju besi ku dan tidak pernah ku menjual atau menghadiahkannya kepada sesiapa”.

Syarieh: “Ada buktikah wahai Amirul Mukminin?”

Saidina Ali: “Ada. ‘Qunbar’(hamba Saidina Ali), Hasan dan Husain adalah saksi bahawa baju besi itu memang milik ku”.

Syarieh: “Kesaksian anak tidak diterima pakai bagi bapanya”.

Saidina Ali: “Lelaki daripada ahli syurga tidak boleh dijadikan saksi? Aku pernah mendengar Nabi Muhammad bersabda bahawa Hasan dan Husain adalah ketua kepada para pemuda di syurga”.

Berkata si Yahudi itu: “Amirul Mukminin telah membawa saya berjumpa dengan hakim, dan hakim tersbut memutuskan hukuman ke atasnya!!! Maka sesungguhnya ini adalah kebenaran. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Dan sesungguhnya baju besi ini memang baju besi mu (Ali). Pada ketika itu, saya sedang menaiki unta dan kamu sedang menuju siffin, maka terjatuh baju besi kamu pada belah malam. Maka saya ambil baju besi tersebut”.

Berkata Yahudi itu lagi: “Sekiranya saya katakannya, maka ianya milik kamu”.

(Dipetik dari m/s 226, sirah Amirul Mukminin Ali, Dr. Ali Mohd As-Solabi)

Acapkali apabila isu kebebasan institusi kehakiman negara diketengahkan, akan terdapatlah di kalangan ahli UMNO/BN menjawab bahawa konsep (kebebasan) ini merupakan konsep Barat. Malah, mereka juga telah turut berkata, “Kita mempunyai konsep kita sendiri dan tidak perlu kita mencontohi Barat!” Maka, mungkin inilah di antara sebab, mengapa orang Melayu Islam di negara ini tidak merasakan persoalan kebebasan institusi kehakiman sebagai satu isu yang perlu mereka pertahankan. Ianya datang dari Barat dan tiada kena mengena dengan Islam. Begitulah tanggapan mereka.

Namun, dari kisah di atas, amat jelas bahawa mengikut sistem pemerintahan Islam, hakim bebas dari pengaruh eksekutif. Dalam kisah yang dikemukakan, Saidina Ali yang merupakan Khalifah pada masa itu, berdepan dengan Syarieh, hakim Kufa dan terpaksa mengemukakan bukti untuk memenangkan tuntutan beliau. Walaupun Saidina Ali merupakan seorang Khalifah, namun hakim Syarieh terus mengikut peraturan dan perundangan, tidak menuruti sahaja tuntutan Saidina Ali.

Kalau difikirkan secara rasional, sudah pasti dikatakan bahawa tidak mungkin Saidina Ali akan bercakap bohong atau Hasan dan Hussein memberi persaksian yang palsu. Namun undang-undang bukan mengikut individu yang dihakimi, yang mana jika orang tersebut dikenali, maka tiada bukti yang diperlukan, tetapi sekiranya tidak dikenali, maka bukti adalah perlu! Tidak juga berdasarkan pangkat di mana kalau Khalifah, maka mesti wala’, thiqah dan taat padanya walau sebesar manapun isunya dan berikan sahaja keputusan yang dikehendakinya. Keadilan di sisi perundangan adalah berdasarkan prinsip perundangan yang sama adil dantidak mengambil kira siapa yang dibicara. Bukti bagi yang mendakwa dan sumpah bagi yang dituduh.

Kebebasan institusi kehakiman seperti yang ditunjukkan dalam kisah di atas menjadi bukti keadilan sistem Islam. Ianya merupakan sesuatu yang amat janggal pada zaman itu sehingga menyebabkan orang Yahudi berkenaan memeluk Islam. Keadilan sememangnya akan hanya mampu ditegakkan oleh institusi kehakiman yang bebas, yang tidak dipengaruhi oleh pihak eksekutif atau kerajaan yang memerintah.

Malangnya ummat Islam telah kehilangan kesedaran yang seperti ini. Mereka melihat soal kebebasan institusi kehakiman sebagai sesuatu yang tiada kena mengena dengan Islam. Oleh itu kerajaan-kerajaan negara ummat Islam dewasa ini tidak lagi menjadi contoh ataupun sebutan apabila membincangkan persoalan kebebasan institusi kehakiman. Malaysia sendiri adalah satu contoh yang jelas bagaimana institusi kehakiman telah dirosakkan oleh pemerintah yang tidak menghormati prinsip keadilan.
Pengendalian kes pembunuhan Altantuya merupakan kes yang menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa. Awal-awal lagi diumumkan hanya pegawai polis yang dihadapkan kemuka pengadilan sahaja yang terlibat - tiada yang lain. Akhirnya pegawai polis yang tidak mengenali Altantuya dan tiada sebab untuk membunuhnya telah didapati bersalah walaupun satu dunia tahu bahawa mereka ini tidak akan bertindak tanpa menerima arahan pihak atasan. Sejauh mana atas, tiada usaha untuk mengambil tahu.

Begitu jugalah dengan kes berhubung DSAI. Semua tahu bagaimana pertuduhan ini langsung tidak masuk akal. Tidak mungkin seorang seperti DSAI, dengan umurnya yang meningkat dan keadaan kesihatan beliau yang terjejas, mampu memaksa dirinya ke atas pemuda yang bernama Saiful. Walaubagaimanapun, yang jauh lebih penting, telah pun jelas dari pemeriksaan doktor bahawa tidak ada bukti Saiful diliwat! Itu dengan sendirinya pun telah cukup untuk kes ini dibuang. Namun, atas sebab kepentingan politik dan campur tangan pihak eksekutif, ianya diteruskan dan DSAI terus menjadi buruan mereka.

Ini mengakibatkan, taraf dan mutu penghakiman di Negara ini dilihat begitu rendah sehingga terpaksa dibuatnya memorandum oleh 50 orang Ahli Parlimen Australia meminta kes ini ditarik balik. Begitu juga kenyataan oleh mantan Perdana Menteri Canada dan yang terbaru ini, oleh Dr. Yusuf Qardawi sendiri. Dr Yusuf Qardawi sehingga telah menfatwakan sesiapa yang percaya kepada tuduhan terhadap DSAI adalah fasik dan golongan yang mengusahakan pertuduhan ke atas DSAI ini adalah munafik.

Oleh yang demikian, ummat Islam Malaysia mesti memahami bahawa institusi hakim yang bebas adalah di antara prinsip pemerintahan Islam. Ianya merupakan satu prinsip yang perlu dipertahankan demi menjamin keadilan terlaksana. Melaksanakan keadilan adalah wajib dan ianya tidak mungkin terlaksana tanpa institusi kehakiman yang bebas. Oleh itu institusi kehakiman yang bebas merupakan satu kewajipan berdasarkan kaedah fiqh 'Sesuatu yang tidak terlaksana kewajipan kecuali dengannya, maka ianya adalah wajib'.

Pada masa yang sama, institusi kehakiman yang diperalatkan untuk kepentingan pihak pemerintah adalah merupakan satu kezaliman dan sebagai ummat Islam, kita juga berkewajipan untuk menentang kezaliman.WaLlahu 'Alam.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily.net/-

Mokhsin: Sepatutnya letak jawatan bukannya keluar PKR

19 Rabiulawal 1431H
http://misabah.blogspot.com

Mokhsin seorang wakil rakyat yang jarang berkhidmat kepada rakyat di Parlimennya sendiri Bagan Serai. Beliau sering tidak hadir dalam progam-program yang sepatutnya hadir, walaupun beliau sendiri tidak berkemampuan untuk menganjurkan program, namun 2 wakil rakyat PAS di Parlimen Bagan Serai sering menganjurkan program yang beliau boleh tumpang hadir sebagai Ahli Parlimen, dan 2 wakil rakyat PAS serta PAS Kawasan tidak keberatan untuk Mokhsin turut hadir dalam program-program yang dianjurkan.

Beliau juga bukan pula wakil rakyat yang pemurah untuk membantu rakyat. Menurut YDP PAS Bagan Serai yang juga Adun Semanggol YB Hj Ramli Tusin, sepanjang tahun 2010 dari bulan Januari hingga sekarang, kelibat beliau juga tidak pernah kelihatan di Bagan Serai.

Wakil rakyat ini sebenarnya sejak menang tahun 2008 hanya kelihatan aktif sebagai wakil rakyat di awal-awal pemerintahan PR di Perak, beliau juga sangat kerap bertemu YB Dato' Seri Hj Nizar dan juga saya di pejabat Menteri Besar untuk beberapa tujuan yang tidak perlulah untuk saya sebutkan di sini, tetapi pertemuan itu pula bukan juga nak memberi pandangan dan cadangan bagi membantu kerajaan PR.

Beliau mulai jarang turun bertemu rakyat di kawasannya sendiri sejak kejatuhan PR terutama sejak akhir-akhir ini. Hubungan beliau dengan Parti Keadilan Cabang Bagan Serai juga tidak beberapa baik kerana sikap beliau sendiri yang tidak disenangi oleh pucuk pimpinan PKR cabang Bagan Serai. Di peringkat negeri sendiri, PKR tidak memberi peranan dan tugas kepada Mokhsin yang mereka juga tahu apa sebabnya Mokhsin tidak dilantik sebarang jawatan di peringkat negeri.

Beliau tidaklah rapat dengan saya dan juga pimpinan PAS negeri Perak yang lain sebelum ini, saya hanya mengenali beliau selepas PR menjadi kerajaan. Pimpinan PAS yang sangat rapat dengan beliu ialah Ust. Ahmad Awang, ketika itu beliau adalah Pesuruhjaya PAS Perak.

Betapa sukarnya Ust Ahmad Awang ketika pilihanraya 2008, kerana terpaksa mengenalkan Mokhsin kepada ahli-ahli PAS yang sukar untuk menerima calon yang tidak dikenali, Ust Ahmad Awanglah yang ke hulu ke hilir menyakinkan pengundi-pengundi bahawa Mokhsin adalah calon yang baik, mengundi Mokhsin samalah macam mengundi Ust Ahmad Awang, begitulah bersungguhnya Ust Ahmad Awang berkempen supaya rakyat terutamanya ahli dan penyokong PAS mengundinya. Menurut Ust Ahmad Awang, Mohkhsin sering mengaku yang beliau adalah ahli PAS, cuma tidak pasti berdaftar di kawasan mana.

Mokhsin mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas semalam, alasan yang diberi sangat tidak kukuh dan dangkal. Alasan kerana isu penggunaan kalimah Allah tidak boleh diterima, selama inipun beliau peka sangatkah terhadap isu-isu yang menimpa umat Islam, isu murtad terutamanya, penghinaan terhadap hukum Allah, penghinaan terhadap ulama dan isu-isu yang berkaitan dengan Islam, beliaukah antara orang yang ke hadapan sebagaimana Mat Sabu, Mahfuz Omar, Salehuddin Ayob, Hanpa Maidin dan ramai lagi pemimpin PAS yang jauh ke hadapan dalam memperjuangkan Islam dari penghinaan musuh-musuh Islam.

Kelibat mukanya tidakpun pernah kelihatan dalam apa sahaja demontrasi membantah isu-isu yang berkaitan Islam dan umatnya, samalah macam Fairus yang memberi alasan yang sama mengapa mereka meninggalkan PKR.

Alasan kerana PR Perak tidak memberi tempat kepadanya juga tidak boleh diterima. Apa tempat yang Mokhsin mahu di Perak sedangkan keupayaan menjadi wakil rakyat yang baik di Bagan Serai pun tidak mampu ditunjukkan, apatah lagi memegang jawatan penting dalam PR. Pimpinan PR mungkin sangat tahu masalah peribadinya itu.

Langkah terbaik Mokhsin sebenarnya ialah letak jawatan sebagai Ahli Parlimen, bagi mandat rakyat memilih semula wakil rakyat yang baru, saya sangat percaya dan yakin, Mokhsin dipilih oleh rakyat bukan kerana peribadi dan batang tubuhnya, tetapi kerana parti, rakyat mengundi parti bukan kerana peribadinya, rakyat Bagan Serai tidak mengenalipun peribadinya sebelum ini, lagipun rakyat Bagan Serai tidak nampak apa sumbangannya selama ini sebagai wakil rakyat, 2 Adun PASlah yang sebenarnya banyak membantu rakyat di Bagan Serai, 2 Adun PAS ini jugalah yang sering menjaga nama baiknya yang sering tidak ada di kawasan.

Rakyat di Bagan Serai juga sebenarnya sudah mula mempertikai Mokhsin, beliau sangat jarang bahkan tidak pernah langsung turun setiap minggu di masjid berjumaat bersama rakyat, sangat jarang menghadiri majlis-majlis khenduri, atau majlis-majlis ceramah, kelibatnya hanya kelihatan sekirana Datuk Seri Anwar Ibrahim turun di Perak.

Rakyat semakin benci wakil rakyat seumpama ini, justeru itu, beliau sepatutnya letak jawatan sahaja sebagai Ahli Parlimen, kerana beliau tidak berfungsi sebagai Ahli Parlimen yang baik. Di Parlimen pun, suaranya tidak kedengaran dalam memperjuangkan nasib rakyat. Bagi mengelakkan supaya beliau tidak terus-terusan dilaknat oleh rakyat Bagan Serai, lebih baik letak jawatan sebagai Ahli Parlimen atau kembali ke pangkuan PR dengan mengakui segala kelemahan dan kesilapan dan seterusnya berkhidmat dengan cemerlang kepada rakyat.

Ustaz Misbahul Munir Masduki,
Setiausaha Politik YAB Ir Nizar.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.


Harakahdaily.net/-

Keimanan, kepatuhan dan kerinduan pokok terhadap Rasulullah saw

19 Rabiulawal 1431H
http://akhisalman.blogspot.com

MUKADDIMAH

Alhamdulillah baru2 ini telah berlangsung forum sempena maulidur Rasul di dewan mara Alex. Setelah berforum, sy telah diberi peluang untuk muhasabah cinta rasul dan ramai menangis dan terkesan dengan muhasabah ini. Saya rasa cerita yg paling memberi kesan kepada sy sendiri dan yang lain adalah kisah raungan sebatang pokok kepada Rasul. Jadi sy meletakkan kisah itu dan 2 kisah yang lain dalam artikel blog kali ini. Mudah2an bertambah cinta kepada Rasul. Mudah2an prgram muhasabah cinta rasul tidak diadakan sempena maulid sahaja. moga ia diteruskan masa ke semasa untuk mendidik hati kita yg banyak karat dosa. Tahniah dan terima kasih adik2 medik alex yang menganjurkannya.

KEIMANAN POKOK

Ibnu Umar ra berkata:

Kami bermusafir bersama Rasulullah saw, tiba-tiba seorang arab badawi menghampiri kami. Nabi saw bertanya:

“Kamu hendak kemana?”

Lelaki badawi menjawab:

“ Aku hendak berjumpa dengan ahli keluarga ku.”

Nabi saw bertanya lagi:

“Kamu hendak kebaikan?”

Lelaki tadi menjawab:

“Apa dia?”

Nabi saw menjawab:

تشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأن محمدا عبده ورسوله

“Kamu bersaksi tiada tuhan melainkan Allah yang esa dan tiada sekutu bagiNya. Sesungguhnya Muhammad hambaNya dan pesuruhNya.”

Lelaki tadi bertanya:

“Siapa yang menyaksikan kebenaran apa yang kamu katakan?”

Nabi saw menjawab:

هذه الشجرة السمرة

“Pohon Samurah (sejenis pokok ) ini.”

Pokok itu berada di persisiran lembah. Lalu ia begerak menyeret tanah sehinggalah ia berada di hadapan Nabi saw. Nabi saw pun memintanya penyaksian terhadap kalimah tauhid sebanyak 3 kali. Pokok itu pun melakukan seperti yang diminta Nabi saw. Kemudia dia kembali ke tempat asalnya.

Hr Darimi, Ibnu Hibban, Abu Ya’la dan Thabrani dengan sanad yang sahih.

KEPATUHAN POKOK

Jabir ra menceritakan:

Suatu hari Rasulullah saw hendak membuang air dan tidak ada tempat untuk melindungi dari pandangan manusia. Tiba-tiba baginda perasan terdapat dua pokok di persisiran lembah. Nabi saw pun pergi kearah salah satu pohon itu dan memegang dahannya. Nabi saw berkata:

انقادي علي بإذن الله

“Hendaklah kami patuh kepadaku dengan izin Allah.”

Lalu pohon itu patuh kepada Nabi saw seperti mana unta yang dicucuk hidung patuh kepada tuannya. Nabi juga melakukan perkara yang sama dengan pohon yang kedua. Nabi saw pun berkata kepada keduanya:

التئما علي بإذن الله

“Hendaklah kami bercamtum dengan izin Allah.”

Lalu keduanya pun bercamtum.

Hadis Sahih riwayat Muslim.

KERINDUAN POKOK

Hadis daripada Anaz bin Malik ra:

“ Sesungguhnya Nabi saw berdiri pada hari Jumaat menyandarkan belakangnya kepada tunggul pohon kurma di MaSjid Nabi. Nabi saw berkhutbah kepada manusia. Selepas itu, seorang lelaki berasal dari Rum berkata “ Adakah kamu hendak aku buatkan minbar yang boleh kamu duduk disitu dan ianya sempumpama kamu berdiri?”

Lalu lelaki itu membuat mimbar yang ada dua anak tangga dan duduk ditingkat yang ketiga. Apabila Nabi saw duduk di atas mimbar, pokok menguak seperti lembu menguak sehingga bergema masjid. Suara ini kerana sedih Rasulullah saw meninggalkannya. Lalu Rasulullah saw turun mimbar dan memeluknya dalam keadaan pokok itu menguak. Ia pun diam setelah dipeluk oleh Nabi saw. Kemudian Nabi saw bersabda:

أما والذي نفس محمد بيده لولم ألتزمه لما زال هكذا إلى يوم القيامة حزنا على رسول الله

“Demi tuhan yang mana diri Muhammad berada dalam kekuasaannya, kalau aku tidak mendakapnya, nescaya ia akan berbunyi sebegini sehinggalah hari kiamat. Ini kerana kesedihannya terhadap Rasulullah saw.”

Hadis riwayat Bukhari – sahih

Hasan al-Basri akan menangis setiap kali meriwayatkan hadis ini. Beliau berkata:

“Kayu merengek kepada Rasulullah saw kerana rindukan Rasulullah saw kerana kedudukan baginda. Kamu lebih patut merindui untuk bertemu Rasulullah saw.”

KITA TIDAK LAYAK DIGELAR PECINTA RASUL SEDANGKAN TIDAK MAMPU MENANGIS KERANA MERINDUI RASUL. TIDAK MENANGIS KERANA TIDAK MEMAHAMI AJARAN RASUL. TIDAK MENANGIS KERANA TIDAK MENGAMALKAN DAN MEMPERJUANGKAN AJARANNYA. TIDAK MENANGIS KERANA TIDAK BERBUAT APA2 SEMASA RASUL DIHINA.

Kesimpulan: Hendaklah kita menangis sepertimana baginda menangis mengingati kita. Dalam hadis sahih Muslim, Nabi saw berkata:

“Ummatku, Ummatku.” Sehingga menangis (kerana mengenang nasib umatnya)

Lalu Allah mengutuskan Jibril untuk memujuk Nabi saw. Allah berkata:


إنا سنرضيك في أمتك ولا نسؤك

“Sesungguhnya Kami meredaimu hai Muhammad terhadap umatmu dan tidak akan menyakiti mu.” (Sahih Muslim)

Rujukan: Ittihafu Ahlil Wafa oleh Abdullah at-Talidi dan an-Nabiyil Khatam oleh Muhammad Jum'ah

ANAK MUDA GESA WAKIL RAKYAT PAKATAN RAKYAT TERUS KONSISTEN BAWA PERUBAHAN UNTUK RAKYAT

19 Rabiulawal 1431H
Email : mohd hafez sabri

Kestabilan Pakatan rakyat tidak tergugat sama sekali dengan isu beberapa ahli parlimen yang keluar dari pakatan rakyat mutakhir ini, tegas Saudara Mohd Hafez sabri Koordinator Institut Pemikir Muda Malaysia ( IPMM )

Bagi anak muda yang cintakan perubahan yang baik untuk rakyat Malaysia kami mengharapkan agar seluruh ahli parlimen serta adun dari pakatan rakyat agar terus komited dan berazam untuk membela dan mengutarakan masalah rakyat selain meneruskan agenda perubahan yang telah dibawa selama ini, jelas beliau.

Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya amat berharap agar wakil rakyat dari Pakatan Rakyat akan terus memegang amanah yang diberi rakyat dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu

Menurut beliau lagi anak muda menaruh harapan yang tinggi kepada pakatan rakyat untuk terus berjuang membela rakyat dan membebaskan rakyat dari cengkaman rejim umno-bn selama ini.

Memetik ucapan beliau “ Bagi kami anak muda, pakatan rakyat tidak akan terjejas dalam persiapan menjelang pilihan raya umum kan datang, bahkan gelombang untuk menukar kerajaan pusat pada pilihanraya umum akan datang kepada pimpinan pakatan rakyat semakin hangat diperbincangkan peringkat anak muda “

Beliau menjelaskan lagi, hasil daripada program turun padang pimpinan pakatan rakyat, pakatan rakyat dilihat mendapat sokongan padu dari rakyat khususnya anak muda, hal ini kerana anak muda sudah hilang kepercayaan terhadap umno/bn yang sering menipu rakyat.

Selain itu beliau juga yakin bahawa, adun dan ahli parlimen yang melompat parti pasti akan dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan dating, golongn terbesar yang akan menolak mereka adalah anak muda.

Memetik kata-kata beliau “ bagi saya mereka yang lompat parti ini seperti orang yang tamak dengan habuan dunia,kami anak muda tidak perlukan orang seperti ini, dalam kamus perjuangan kami tidak ada guna pengkhianat amanah rakyat ini berada disisi masyarakat, kerana mereka bukan berjuang untuk rakyat tetapi untuk kepentingan diri mereka sendiri “

Sehubungan itu, koordinator institut pemikir muda Malaysia itu turut memuji dan mengagumi kesetiaan wakil rakyat daripada PAS yang terus komited dan konsisten dalam menentang kezaliman umno/bn dan tidak pernah putus asa serta kecewa dalam membela nasib rakyat dalam membina Malaysia kearah yang lebih baik.

Memecah gejala politik fobia rakyat, antara obligasi Pakatan Rakyat

19 Rabiulawal 1431H
Email : Nuruddin Muhammad

Rakyat Malaysia semakin takut dengan politik Malaysia yang ganas membaham sesiapa sahaja. Politik Malaysia kini dikuasai oleh golongan diktator yang tidak dapat menerima dan takut akan kekalahan. Kini sindrom politikfobia menjalar di kalangan masyarakat awam.

Rakyat kecut perut bila melihat kes kemenangan YAB Ir Nizar sebagai Menteri Besar yang sah bertukar menjadi sebaliknya selepas Zambry membuat rayuan. Rakyat sangsi apabila pembedahan awal Dr Pornthip Rojanasunand daripada Thailand terhadap mayat Teo Beng Hock menyatakan ia pernah dipukul bertukar menjadi tiada kesan pukulan selepas pembedahan oleh doktor daripada Malaysia.

Rakyat geleng kepada apabila enjin jet jutaan ringgit hanya dilarikan oleh para sarjan dan koperal yang entah bila mampu berurusan dengan orang Uruguay.

Rakyat berderau darah apabila melihat sesiapa sahaja mampu dibubuh dengan bom C-4 yang hanya boleh digunakan untuk misi khas, kerana pegawai rendah polis pun boleh sewenang-wenangnya membuka almari balai polis dan meletupkan rakyat dengan bom itu tanpa kebenaran pegawai atasan.

Rakyat tertanya-tanya arah politik negara apabila kehakiman Malaysia dikritik oleh 50 ahli Parlimen Australia sedangkan logiknya berapa sangat duit DSAI dan PKR untuk merahsuah 50 orang ahli parlimen Australia tersebut!

Rakyat menjadi serik mengundi dan berpolitik dalam gelanggang demokrasi apabila wakil rakyat mereka mudah melompat parti tanpa mengosongkan kerusi. Sedangkan mereka dipilih disebabkan nama parti tertentu yang mereka sokongi dasar dan polisi parti tersebut. Itulah demokrasi iaitu membenarkan rakyat campur tangan dengan polisi negara dengan membenarkan rakyat memilih wakil yag bakal membawa polisi negara idaman mereka.

Apa jawapan yang sesuai untuk kita berikan kepada rakyat berkenaan makna politik yang mereka lihat secara ‘live’ di bumi Malaysia ini.

Sebenarnya BN telah, ingin, sedang dan selamanya akan memperbodohkan rakyat berkenaan erti politik sejati. Rakyat Malaysia dungu sungguh dengan erti demokrasi. Lihat sahaja rakyat mudah percaya Guan Eng anti Islam bila ada ura-ura membatalkan perarakan maulidur rasul. Ramai percaya Pulau Pinang mula menghakis nilai Islam bila mereka hanya disuap dengan maklumat TV dan akhbar pro pemerintah. Tetapi rakyat diam sahaja bila akhbar I Luv Islam (terbitan Karangkraf) menyiarankan bahawa Pahang dan Johor juga tidak ada perarakan maulid. Kenapa tidak tuduh dua orang menteri besar ‘Melayu’ tersebut sebagai anti Islam? Sebab rakyat malaysia taksub dengan media yang sedia ada, gila TV dan ketagihkan Utusan Malaysia dan Berita Harian sahaja. Akhbar lain? Tak tahu pun.

Politik adalah ilmu yang perlu diajar oleh para pejuang kebenaran. Pakatan Rakyat wajib mengadakan banyak bengkel politik dan berbincang dalam skop yang luas diluar kerangka fikir label kepartian. Politik kini banyak merujuk teori barat. Sehingga akhir abad ke-19, perkembangan ilmu politik di Barat sudah mencapai tahap puncak. Bagaimanapun perkembangannya seiring dengan perkembangan ilmu sains sosial, antropologi, psikologi, sejarah dan ekonomi sehinggakan ilmu politik barat tidak ‘sekular’ dengan keilmuan tersenarai di atas.

Disebabkan terlalu banyak tafsiran politik, mendorong UNESCO di bawah PBB untuk menyeragamkan fahaman politik seluruh dunia dengan mengatur satu kajian dan soal selidik berkenaan kedudukan ilmu politik dalam 30 buah Negara yang dipimpin oleh W. Ebenstein dari Amerika Syarikat dan akhirnya telah melahirkan buku Contemporary Political Science (1948).

Pada 1952 pula UNESSCO mengumpulkan banyak laporan berkaitan fahaman politik dan dihimpun dalam Persidangan di Cambridge England dan hasilnya disusun oleh WA Robson serta diterbit oleh UNESSCO pada tahun 1954.

Dengan tersebar buku-buku terbitan UNESCO, buku ini semua menjadi rujukan pelajar di IPT serata dunia serta membentuk satu komuniti global dengan satu fahaman politik sekular yang sama atas nama pendidikan dan sosial ala PBB. Kesemua insiden kediktatoran di celahan demokrasi atau tirani di sebalik topeng demokrasi adalah rekod kerja UNESCO yang semestinya direstui oleh yahudi sedunia. PBB adalah hasil cetusan dua ideologi warisan yahudi iaitu komunis dan kapitalis. Tidak hairan jika PBB bakal merestui kesemua pemerintah yang zalim.

Rakyat yang buta politik di negara ini juga mulai kabur tentang erti demokrasi. Hal ini kerana tiada langsung teladan negara yang mengamalkan demokrasi 100%. Yang ada hanya negara demokrasi tetapi berkaptenkan diktator. Begitu juga negara Islam. Tiada langsung negara di dunia hari ini menuruti 100% sistem negara Islam yang dipiawaikan oleh para ulama’. Yang ada hanya mengambil Islam dalam beberapa juzuk sahaja.

Demokrasi adalah suatu bentuk kerajaan yang dicetus oleh rakyat, untuk rakyat dan diperintah oleh rakyat baik secara langsung atau tidak langsung. Secara umumnya rakyat di negara demokrasi tidak diajar untuk mengenal fungsi pemerintahan mereka secara tidak langsung. Ya, rakyat ada peranan secara tidak langsung dalam mencipta polisi negara.

Peranan pertama adalah mengundi parti tertentu yang memperjuangkan sesuatu polisi yang kena dengan kecenderungan pengundi tersebut. Dalam hal ini kerajaan tidak boleh menyekat hak rakyat untuk memilih parti mana yang bakal merealisasikan polisi idaman mereka.

Peranan kedua adalah melalui desakan oleh rakyat untuk kerajaan menilai polisi mereka iaitu rakyat berhak menghantar memorandum, menulis dalam media, berjumpa pemimpin negara serta menyuarakan idea mereka dalam semua pentas yang sah dalam undang-undang. Kerajaan wajib cakna dan mendengar suara rakyat kerana demokrasi bermakna kerajaan rakyat. Pemimpin adalah juga rakyat sebelum menjadi pemimpin, setelah dipilih mereka mesti menunaikan hasrat rakyat jelata.

Negara demokrasi selalunya memiliki perlembagaan bertulis. Perlembagaan ini selalunya ditulis oleh golongan yang pernah merasai perit diperintah secara monarki. Hal inilah yang menerbitkan perlembagaan Britain dan Perancis. Namun begitu perlembagaan selalu juga digunakan oleh pemimpin demokrasi yang bertukar menjadi diktator untuk memuaskan kehendak mereka. Untuk meneruskan kemampuan kuasa tanpa batasan Ordinan Darurat 1948, kerajaan BN telah mengusul pula ISA pada 1960 untuk melegitimasikan wewenang kuasa mereka. Sejak tahun 1957, telah banyak kali perlembagaan dipinda.

Kemudian diikuti dengan pindaan akta secara kerap oleh kerajaan Malaysia. Menurut Senator Amaluddin Darus dalam bukunya Demokrasi dan Diktator (1988) , antara ciri kerajaan diktator adalah mengubah perlembagaan secara kerap untuk menyesuaikan dengan unjuran polisi zalim negara tersebut. Malah ia melambangkan keterhakisan nilai agama dan bertuhan di kalangan pemimpin tersebut yang meletak diri lebih berkuasa daripada Tuhan sehingga gemar menukar perlembagaan negara. Situasi Malaysia yang hakimnya boleh ditentukan oleh seorang peguam, kes tuduhan liwat yang boleh dipinda-pinda (sejak kes tuduha liwat DSAI 1998), kecurian enjin jet yang dilindungi siasatannya, kes pengeboman sadis terhadap wanita Monggolia yang kesemua kes ini hanya dikatakan melibatkan staf bawahan keselamatan negara mengambarkan kerajaan Malaysia mengarah kepada sistem diktator!

Yahudi melalui UNESCO telah mengacu otak dunia untuk memahami politik dalam acuan mereka sahaja.

Sebenarnya UNESCO banyak menerbitkan fahaman tirani disebalik penakrifan demokrasi dan politik mereka. Contohnya kenyataan UNESCO pada tahun 1949 dahulu,

“ Mungkin untuk pertama kali dalam sejarah demokrasi dinyatakan sebagai nama yang paling baik dan munasabah atau wajar untuk semua sistem politik dan sosial yang diperjuang oleh pendokong-pendokong yang berpengaruh”.

Klausa ini cukup untuk melegitimasi sebarang sistem pemerintahan yang zalim asalkan mereka didokongi oleh golongan ‘berpengaruh’. Lantaran itu kita lihat kerajaan Komunis Korea Utara dan China juga mengambarkan mereka sebagai kerajaan demokrasi rakyat atau demoktrasi nasional untuk menutup agenda sosialis-komunis mereka.

Telah nyata kini banyak negara atas nama demokrasi telah menyalahguna terma tersebut sehingga menjadi diktator atas nama keselamatan dan keamanan misalnya polisi anti keganasan Amerika. Hal ini sama sahaja dengan Malaysia yang semberono menggunakan ISA serta OSA untuk mengangkap sesiapa sahaja tanpa alasan dan bukti.

Orang Melayu sebelum merdeka telah lama tidak menikmati apa yang dikatakan sebagai pemerintahan rakyat. Pemerintahan monarki raja-raja melayu hanya menjadi adil bergantung kepada Sultan yang memerintah. Kedatangan Portugis dan Belanda serta Inggeris juga tidak membawa sinar demokrasi kepada rakyat Melayu. Inggeris datang secara halus untuk berniaga dan meratah hasil tanah di Tanah Melayu. Mereka memerintah secara diktator kepada orang melayu sehingga memaksa Melayu menerima segala polisi England. Hanya selepas insiden Malayan Union, Malaya mula menerima tempiasan demokrasi dan belajar memilih pemerintah sendiri. Raja menjadi ketua negara manakala Perdana Menteri menjadi ketua eksekutif. Rakyat sudah ada harapan untuk mengubah polisi negara menurut kehendak majoriti.

Namun situasi diktator menjadi semula apabila parti pemerintah di Malaya tidak berani kalah malah sombong dengan kuasa yang mereka perolehi. Lantaran itu kebebasan media disekat, pidato umum diharamkan, akhbar pembangkang dirampas, ahli pembangkang secara mudah dihumban di Kem Kamunting atas alasan hasutan dan ideologi komunis sedangkan UMNO juga pernah menyimpan individu pro sosialis.

Akibatnya rakyat kembali menjadi dungu. British tidak mewariskan demokrasi mereka yang tulen kepada Malaysia. Di England masih ada sehingga kini aktiviti speaker corner baik di kampus atau di jalan raya. Malaysia jangan harap ia berlaku kerana Akta Polis Seksyen 27 akan membaham semua rakyat yang menyuarakan suara mereka. British ada pengalaman menentang monarki Engkand yang mengongkong rakyat. Tanah Melayu tidak pernah berlaku revolusi. Kita dipaksa menelan demokrasi ala British sahaja.

Akibat lebih malang apabila kini timbul banyak gerakan menentang politik secara pukal. Mereka juga menetang demokrasi yang kononnya sistem kafir yang diamalkan di negara ini. Akibat malang apabila parti Islam yang berjuang atas landasan demokrasi di Malaysia turut dimusuhi mereka. Mereka faham politik yang kaku, isolated, konseptual serta idealistik yang tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat. Rakyat yang mendengar ceramah mereka hanya kagum dengan senarai ayat Al Quran yang dibacakan tetapi kosong daripada tafsiran yang membina. Akibatnya rakyat kembali membenci politik dan demokrasi tanpa alasan yang kuat.

Nah, ini satu malapetaka kepada politik Islam yang ingin dibawa oleh PAS. PAS tidak beriman dengan demokrasi, tetapi PAS menggunakan medan demokrasi untuk membawa kedaulatan Islam dan keadilan sejagat. Sistem pilihanraya di Basrah dan Baghdad yang difatwakan oleh Imam Mawardi menampilkan keanjalan syariah menerbitkan sistem politik yang seiring dengan zaman. Akibat mereka membenci politik, mereka sebenarnya membenci politik Islam dan sistem syariah Islam kerana mereka menolak sebarang usaha menerbitkan syariah secara pemerintahan seperti mana yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.

Berbalik kepada kediktatoran di Malaysia, Tun Dr Ismail di Dewan Negara atau di luar Dewan Negara kerap berucap, “Saya tidak akan membenarkan sesiapa yang menggunakan demokrasi untuk menghancurkan demokrasi”. Ucapan pelik yang berbaur ancaman kepada rakyat yang berani bersuara terhadap kerajaan demokrasi menampilkan idea diktator BN oleh Tun yang pada saat itu adalah Menteri Dalam Negeri.

Jika diintai sejak UMNO berpecah dua, kumpulan Tunku Abdul Rahman dan Team B telah lama dulu menuduh Mahathir sebagai diktator malah melabelkan Malaysia sebagai negara polis. Maka Team A pula membalas dengan menyerang balas mengungkit bahawa pentadbiran Tunku dan selepasnya juga adalah diktator. Bermakna UMNO sendiri tidak yakin bahawa Malaysia benar-benar memahami apa itu demokrasi. Apa yang nyata Tunku juga telah mewarisi kediktatoran British. Malah jika hari ini Parlimen Australia boleh menilai kediktatoran Malaysia sehingga mereka sendiri rasa tidak logik dengan tuduhan liwat terhadap DSAI yang sengaja diadakan selapas pembangkang menang besar (2008), suatu ketika dahulu Filipina juga menggelar Malaysia negara polis sewaktu konfrontasinya dengan Malaysia.

Jelasnya cakap tak serupa bikin di kalangan ahli politik menyebabkan rakyat meminggirkan politik, jahil politik, fobia dengan politik malah menganggap politik itu kotor.

Agak menyedihkan apabila generasi muda kelihatan semakin menuju ke arah ini. Lebih daripada 85% responden Cina berumur 35 tahun ke bawah daripada tinjauan lapangan sebuah akhbar berbahasa Cina pertengahan tahun lepas menganggap politik itu kotor dan tidak berminat untuk mengikutinya. 98% responden berumur 40 tahun ke bawah daripada kajian lapangan Dewan Masyarakat keluaran Mei 2008 memandang negatif kepada politik. Malah, mereka sudah tidak percaya kepada institusi politik. Menghukum pukal politik sebagai kotor adalah salah pemerintah negara ini serta salah pendakwah yang ‘ghuluw’ (melampau) dalam berfatwa.

Hari ini simptom politik sahaja dikenali oleh masyarakat, sedangkan erti politik sebenar tidak diketahui secara mendalam. Bagi yang muslim, mengenal politik haruslah dalam dimensi Islam.

Politik adalah ilmu siyasah (pentadbiran) malah ia mengandungi unsur masalih mursalah iaitu ijtihad yang serba kontekstual untuk kemakmuran syariat. Bermakna politik dalam Islam adalah anjal dan bukannya kaku dengan apa yang berlaku di zaman Nabi sahaja.

Prof Yusuf Al Qaradhawi dalam bukunya Agama dan Politik (2009) menyatakan jika kita mempelajari ilmu fiqh dan meneliti kesemua khazanah fiqh, tidak dapat tidak, kita wajib cakna dan ambil peranan dalam politik kerana syariah itu hanya terzahir selepas politik dipandu dan dipacu. Islam tidak pernah menyarankan kita kononnya untuk menjadi neutral, non partisan sehingga mengabaikan terus politik kepada golongan munafik dan fasiq menguasainya. Lebih malang apabila ada juga golongan menyokong politik Islam tetapi gopoh inginkan sinar Islam segera menjelma dan tidak memahami seni kerjasama dengan golongan bukan pro Islam.

Bagi Al Qaradhawi, bukan sekadar memahamkan rakyat tentang apa itu politik, sebaliknya perlu menerbitkan peribadi politik iaitu individu yang bersiasah atau mengambil peranan dalam politik negara. Menurut beliau lagi, malang bagi umat Islam jika memahami mungkar hanya dalam konteks zina, arak dan judi sahaja sedangkan penyelewengan pilihanraya juga adalah dosa besar, menipu dalam pemerintahan adalah dosa, membazir harta rakyat adalah dosa besar, mencerca pemimpin yang amanah adalah dosa besar, tidak mengambil peranan menjadi saksi politik islam (mengundi untuk kemenangan pro islam) adalah dosa besar serta rasuah dalam ekonomi dan politik adalah dosa besar. Semua ini perlu dijelaskan dalam proses kita mendidik rakyat agar mengambil peranan sebagai kuasa rakyat iaitu menentukan polisi negara melalui wahana politik yang sedia ada.

Jelas ketiadaan contoh pemerintahan adil di Malaysia menyebabkan gejala politikfobia terjadi. Jika ada pun kerja baik kerajaan negeri pembangkang, ia akan disembunyikan daripada pengetahuan awam. Gerakan Islam melampau yang mencerca politik Islam Malaysia dan demokrasi juga merencatkan proses pembelajaran rakyat. Yang berhasil adalah kerjabuat UNESCO mencatur otak kita kepada pemikiran pecah dan perintah. Inilah tanggungjawab Pakatan Rakyat, memecah kejahilan rakyat.

Muhammad Nuruddin Bashah
Metallurgist
Prima Metal Group
Ipoh Perak


21 anggota CC MCA letak jawatan

19 Rabiulawal 1431H

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai timbalan presiden MCA.

Pengumuman itu dibuat di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain dirinya, Chua (kiri) juga mengumumkan peletakan jawatan tujuh ahli jawatan kuasa pusat.

Mereka termasuk Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Tan Chai Ho, Loh Seng Kok, Datuk Chong Itt Chew, Datuk Gan Tian Loo, Tee Siew Keong dan Por Choo Chor.

Dengan peletakan jawatan itu, presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat kini tidak mempunyai banyak pilihan selain mengadakan pemilihan baru kepemimpinan parti.

Chua juga menuntut pemilihan baru diadakan dalam tempoh sebulan untuk menyelesaikan krisis parti itu.

Sebelum ini, 13 anggota jawatankuasa pusat yang diketuai oleh Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berbuat demikian.

Ini bermakna 21 orang iaitu dua pertiga daripada anggota CC yang dipilih, telah meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

'Presiden tak tahu'

Sementara itu ketika ditanya sama ada beliau telah memberitahu presiden parti mengenai tindakannya itu, Chua berkata beliau tidak berbuat demikian.

Beliau juga meminta supaya mesyuarat agung tahunan MCA hujung minggu ini ditangguhkan.

"Peletakan jawatan ini adalah untuk memenuhi janji saya pada EGM (mesyuarat agung luar biasa) tahun lepas di mana saya telah mengutarakan pandangan bahawa kita mungkin perlu pemilihan baru agar kemelut parti dapat ditangani.

Chua berkata beliau dan kumpulan yang telah meletak jawatan itu tidak akan menghadiri mesyuarat CC esok atau mesyuarat sayap Pemuda dan Wanita dan juga sambutan ulang tahun parti itu esok.

"Kami tidak akan hadir kerana kami telah meletak jawatan. Saya minta semua ahli CC yang terpilih seharusnya mereka sedar dan insaf tentang tanggungjawab dan hak mereka.

"Saya kata tidak ada satu pemimpin yang lebih penting daripada parti, sebab itu saya tolak tawaran sebagai pengerusi akhbar The Star," katanya.

Ketika ditanya sama beliau akan bertanding semula jawatan timbalan presiden atau jawatan lain pada pemilihan akan datang, Chua berkata beliau akan membuat keputusan selepas parti menetapkan tarikh penamaan calon dan pemilihan parti.

Kumpulan 13 juga letak jawatan

"Yang penting ialah parti bukannya soal pemimpin atau kepentingan diri melebihi parti," kata beliau.

Chua berkata sejak Januari hingga semalam, beliau telah menerima surat peletakan jawatan daripada tujuh anggota CC yang dipilih.

Dalam pada itu, Liow yang juga mengadakan sidang media berasingan di Wisma MCA berkata beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatan 13 anggota jawatankuasa pusat MCA, termasuk dirinya kepada setiausaha agung parti itu, Datuk Wong Foon Meng.

Surat perletakan jawatan berkenaan bertarikh 3 Mac.

Mereka ialah Lee Wei Kiat, Dr Hou Kok Chung, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng, Datuk Dr Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Wong Mook Leong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Datuk Alex Wong Siong Hwee.

Liow bagaimanapun menafikan kumpulannya berkomplot dengan Chua untuk memaksa pemilihan baru pucuk pimpinan MCA diadakan.

Mengikut Fasal 41 perlembagaan MCA, pemilihan perlu diadakan dalam tempoh sebulan jika 21 anggota CC meletak jawatan.

Malaysiakini/-


AMK: Permit 'Suara Perkasa' kelulusan terpilih

19 Rabiulawal 1431H
Salhan K Ahmad

Tindakan kerajaan memberikan permit akhbar kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) merupakan satu tindakan terpilih yang membelakangkan undang-undang, kata ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin.

Katanya, PKR sendiri terpaksa menunggu sehingga sembilan tahun sebelum diberikan permit untuk menerbitkan akhbar mereka 'Suara Keadilan'.

"Tapi PERKASA dalam tempoh setahun lebih sudah boleh mendapat permit," katanya ketika diminta mengulas satu laporan mengenai kelulusan kepada pertubuhan itu untuk menerbitkan 'Suara Perkasa'.

Pertubuhan yang diterajui oleh ahli parlimen Pasir MAS, Datuk Ibrahim Ali itu sering mendapat liputan media berhubung kenyataannya membela hak orang Melayu dan Islam.

Namun Shamsul Iskandar berpendapat, kelulusan yang diberikan kepada PERKASA itu memberi gambaran yang negatif ke atas kesungguhan kerajaan dalam menjamin kebebasan media di negara ini.

Tambahnya, pelbagai sekatan telah diperkenalkan bagi menghalang penerbitan akhbar-akhbar pro-pembangkang sebelum ini.

"Kerajaan juga mengehadkan permit penerbitan kepada Harakah (lidah rasmi PAS) kepada mingguan sahaja dan akhbar tersebut pernah dirampas sebelum ini," katanya.

Katanya lagi, tindakan serupa juga pernah dialami akhbar pro-pembangkang yang lain termasuk Siasah dan Era Pakatan.

"Ini juga memberi kesan pandangan negatif ke atas proses demokrasi di Malaysia. Malaysia masih lagi memperkudakan institusi kerajaan dalam urusan memberi kelulusan permit kepada pihak yang menyokongnya," katanya.

Menurutnya lagi ini menunjukkan kerajaan mempunyai motif politik apabila bertindak demikian.

Malaysiakini/-

Sultan K'tan pulang ke Kota Bharu

19 Rabiulawal 1431H

Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra berangkat pulang hari ini setelah berada di Singapura sejak Mei tahun lepas untuk menjalani rawatan perubatan di Hospital Mt Elizabeth di republik itu.

Baginda, yang ditemani Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Hamid, kelihatan sihat dan sentiasa tersenyum kepada para doktor dan kakitangan hospital itu yang menghantar baginda ke kenderaannya.

Sultan Ismail Petra, yang berpakaian baju lengan panjang dan seluar hitam dan berkerusi roda, dibawa ke Lapangan Terbang Changi dengan diiringi anggota polis trafik Singapura.

Baginda dan Raja Perempuan menaiki pesawat khas kerajaan Malaysia untuk berlepas ke Kota Bharu.

Turut menghantar baginda di lapangan terbang ialah Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga kerabat diraja Kelantan.

Baginda dimasukkan ke hospital itu pada 24 Mei 2009 untuk mendapatkan rawatan susulan sakit jantung.

Sementara itu di Kota Bharu, kira-kira 5,000 rakyat jelata menyambut kepulangan baginda di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Baginda an rombongan istana tiba pada pukul 12.30 tengah hari yang disambut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan semua exco kerajaan negeri yang lain.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan tidak sihat untuk hadir sama menyambut keberangkatan pulang itu.

Baginda kemudiannya terus dibawa pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian.

Di pintu masuk ke istana, ratusan rakyat juga turut menyambut kepulangan baginda dan merentang beberapa pemidang kain mengalu-alukan keberangkatan pulang baginda.

Malaysiakini/-

Cadangan sistem baru subsidi minyak dibatalkan

19 Rabiulawal 1431H

Kerajaan hari ini membatalkan pelaksanaan penstrukturan subsidi minyak selepas mendengar pandangan pelbagai pihak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, berkata berikutan itu kerajaan mewujudkan Makmal Rasionalisasi Subsidi bagi mengkaji mekanisme terbaik untuk penyaluran subsidi termasuk bahan petroleum, makanan dan infrastruktur.

Datuk Seri Ismail Sabri ketika mengumumkan perkara berkenaan, berkata dengan itu sistem subsidi petrol yang ada akan dikekalkan.

Katanya makmal perasionalan subsidi yang telah diwujudkan akan mengkaji semula semua bentuk subsidi di negara ini termasuk petrol dan bahan api.

Beliau berkata kerajaan memutuskan untuk membatalkan cadangan sistem pengurusan subsidi minyak selepas menimbangkan semua maklum balas daripada orang ramai.

"Walaupun tidak baik untuk ekonomi negara, tapi bila dengar pandangan dan kebimbangan dari rakyat, kerajaan prihatin dan mengutamakan rakyat.

"Kerajaan tidak mahu buat satu pelaksanaan yang tidak disokong oleh rakyat kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan rakyat," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Katanya, kerajaan akan menggunakan hasil kajian yang dijalankan oleh Makmal Perasionalan Subsidi itu sebagai asas untuk menentukan subsidi pada masa depan.

Sebelum ini, kerajaan merancang untuk memperkenalkan sistem harga berperingkat bagi petrol pada 1 Mei serentak dengan pemansuhan pemberian subsidi petrol kepada warga asing.

Antara mekanisme itu ialah mengehadkan jumlah pembelian petrol kepada setiap pengguna yang layak dan pemberian subsidi petrol mengikut jenis kenderaan.

Ia termasuk menggunakan kad pengenalan MyKad untuk menentukan golongan yang layak menerima subsidi itu memandangkan ketika ini hanya MyKad mempunyai kapasiti untuk menentukan status warganegara seseorang.

Harga RON 95 bersubsidi sekarang ialah RM1.80 setiap liter dan RM2.05 setiap liter bagi RON 97, manakala diesel dijual pada harga RM1.70 setiap liter.

Ismail Sabri berkata pada 2009, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM3.4 bilion bagi petrol dan RM1.9 bilion bagi diesel.

"Sehingga hari ini, kerajaan menanggung 30 sen subsidi untuk setiap liter dan juga lebih.

"Bagi Februari 2010, kadar subsidi yang ditanggung kerajaan ialah 39 sen setiap liter bagi RON 95, 16.56 sen setiap liter RON 97 dan 32.12 sen setiap liter bagi diesel," katanya.

Malaysiakini/-



Beku sementara Takaful Khairat Kematian

19 Rabiulawal 1431H
Basiron Abdul Wahab

TEMERLOH, 5 Mac: PAS Pahang membekukan sementara Program Takaful Khairat Kematian Dana Taqwa bagi sesi 2010.

Setiausahanya, Roslan Zainal Ahmadi berkata, tindakan pembekuan diambil ekoran kenaikan kadar sumbangan tabaruk yang dikenakan syarikat pengendali takaful berkaitan.

Katanya, kenaikan premium akan menjejaskan kemampuan peserta berbanding tahun 2009.

Bagaimanapun, katanya Dana Taqwa diberi jaminan oleh syarikat pengendali akan membayar semua tuntutan yang dibuat peserta sebelum 1 Mac 2010.

Dana Taqwa, kata beliau mendapat sambutan baik daripada seluruh masyarakat Malaysia termasuk bukan Islam.

Difahamkan 17,000 peserta menyertai program itu dan lebih 200 peserta telah mendapat manfaatnya.

Jelas beliau, jumlah perlindungan yang dibayar syarikat berkenaan melebihi RM1.2 juta.

Sehubungan dengan itu juga, Dana Taqwa akan membuat pembayaran balik kepada semua peserta yang telah membuat bayaran bagi sesi 2010.

Roslan memberi jaminan, PAS Pahang melalui Dana Taqwa akan meneruskan program yang memberi manfaat itu dan pihaknya kini sedang berunding dengan beberapa buah syarikat pengendali takaful sedia ada.

“Program bermanfaat ini tetap menjadi pilihan kepada Dana Taqwa demi kebajikan ahli parti dan para penyokong PAS di seluruh negeri,” ujarnya.

Harakahdaily.net/-

Lompat: Pengundi PR diseru buat laporan polis

19 Rabiulawal 1431H
Tarmizi Mohd Jam

KUALA LUMPUR, 5 Mac: PAS Kawasan Batu memandang serius trend ahli-ahli Yang Berhormat melompat parti apabila beberapa kepentingan mereka tidak dipenuhi dan dengan sengaja mengada-ngadakan alasan bagi 'menghalal' tindakan tidak bermoral mereka.

Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Haji Ishak Surin ketika menegaskan perkara ini menyeru semua pengundi Pakatan Rakyat di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang terbabit dengan wakil rakyat melompat parti agar membuat laporan polis, bahawa mereka dikhianati dan dimungkiri oleh ahli Yang Berhormat berkenaan, tidak kekal dalam parti-parti Pakatan Rakyat, sebaliknya mengkhianati parti dan undi rakyat.

Katanya, tekanan ini juga bertujuan untuk mencabar mereka meletak jawatan dan mengosongkan kerusi berkenaan agar satu pilihan raya kecil diadakan bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baru.

Tegas beliau lagi, usaha begini patut dipandang serius sebagai tekanan dan asakan untuk menghalang mereka yang ingin melompat parti, kerana kemarahan pengundi yang ditipu oleh ahli Yang Berhormat berkenaan penting untuk membentuk politik baru yang anti wakil rakyat pengkhianat.

“Macam mana nak mewakili rakyat kalau mereka sudah mungkir, khianat. Tidak mungkin seorang yang khianat boleh amanah, jujur dan dedikasi dalam menjalankan tugas mereka. Apatah lagi, bergerak secara bebas tanpa diawasi oleh sesiapapun,” tegas Ishak ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum PAS Kawasan Batu membantah Draf KL 2020 kepada Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pada program ceramah 'Menggempur Garuda DrafKL 2020' di Pasti Kampung Padang Balang, dekat sini.

Selain Salahuddin, turut berceramah, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Shaari Sungip.

Mengulas lanjut, Ishak mencabar mana-mana pengkhianat rakyat yang kini bergelar ahli Yang Berhormat 'bebas' mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket Pakatan Rakyat dan bertanding semula dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, jika mereka benar-benar hebat dan jaguh rakyat.

Katanya, mereka yang melompat, benar-benar berkepentingan diri sendiri tanpa menghiraukan maruah dan perjuangan yang selama ini dilaungkan untuk rakyat, sebaliknya mudah 'mengalah' dengan pelbagai pujukan.

“Inikah yang dikatakan perjuangan. Rakyat mahu Pakatan Rakyat lebih berhati-hati memilih calon pada pilihan raya akan datang agar wakil rakyat pengkhianat tidak muncul lagi selepas ini,” tegas beliau.

Sehingga kini, menurut Ishak, empat kawasan Parlimen - Bayan Baru, Nibong Tebal, Pasir Mas dan Bagan Serai serta lima Dun iaitu Changkat Jering, Jelapang, Behrang, Lunas dan Pelabuhan Klang, masing-masing wakil rakyatnya telah mengkhianati pengundi mereka.

Sementara dua lagi kawasan Parlimen yang dicurigai ialah Kulim Bandar Baru dan Nibong Tebal yang kini, wakil rakyatnya dipersoalkan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ishak memberi amaran kepada kerajaan BN agar tidak menggunakan Draf KL 2020 sebagai perkakas untuk 'membaham' kampung-kampung tradisional Melayu atas nama pembangunan.

Beliau yakin, tujuh kampung yang dikenalpasti akan 'dirampas' itu, gagal dilakukan jika para pemilik tanah berkenaan bersatu dan tidak mata duitan.

PAS Kawasan Batu akan bertindak seiring dengan Majlis Permuafakatan Kampung-kampung Tradisional Melayu (Muafakat) dalam mempertahankan tanah rizab orang Melayu itu dari digodam garuda kerajaan BN.

Harakahdaily.net/-

Nik Aziz dirawat di Hospital USM

19 Rabiulawal 1431H
Lan Jusoh

KOTA BHARU, 4 Mac: Menteri Besar tidak hadir menyambut keberangkatan pulang Sultan Kelantan dari Singapura hari ini disebabkan beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian sejak petang semalam.

Setiausaha Politiknya, Wan Nik Wan Yussof berkata, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dapat hadir pada majlis tersebut kerana masih mendapat rawatan di hospital.

Kata beliau, kepenatan tugas harian menyebabkan jantungnya tidak stabil sehingga terpaksa mendapat rawatan di Unit Rawatan Jantung pagi semalam.

“Dan pada sebelah petang doktor menasihatkan Menteri Besar berehat di wad bagi memulihkan keadaan jantungnya.

“Keadaan kesihatan Tuan Guru agak terganggu sejak seminggu lalu disebabkan kepenatan kerana menghadiri banyak program di merata tempat,” katanya di sini.

Oleh itu katanya, Menteri Besar tidak dapat memenuhi banyak undangan termasuk di Kuala Lumpur sehari dua ini disebabkan keadaan kesihatannya belum lagi mengizinkan.

Pada Julai 2004 Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjalani koronari angiogram, iaitu memasukkan wayar ke dalam saluran jantung untuk melihat penyumbatan di Unit Kardiologi HUSM.

Selepas itu beliau dipindahkan ke Institut Jantung Negara bagi menjalani rawatan koronari angioplasty dengan memasuk bateri menguatkan pergerakan jantungnya.

Wan Nik berkata, keadaannya sekarang beransur pulih dan doktor menasihat supaya banyak berehat.

Harakahdaily.net/-

Pengarah Radio IKIM didesak 'Letak Jawatan' kerana panggil Presiden PAS Muzakarah

19 Rabiulawal 1431H
Herman Shamsuddin

Seorang teman meyampaikan kepada saya bahawa perletakan jawatan Pengarah Radio IKIM, Ir Ahmad Jais Alias berkuatkuasa 1 Mac lalu bukanlah perletakan jawatan yang sukarela. Bernama pada 19 Januari telah menyiarkan berita bahawa beliau akan meletakan jawatan setelah berkhidmat selama setahun dua bulan bermula pada 1 Januari 2009. Memang pelik kenapa beliau letakan jawatan secara tiba-tiba walhal baru berkhidmat setahun jagung.

Beliau dikatakan telah diberikan tekanan oleh pihak atasan bagi meletakan jawatan berikutan tindakannya menjemput Presiden PAS bagi menyertai Muzakarah Pakar anjuran IKIM pada 21 Januari lepas. Muzakarah itu diadakan bagi membincangkan isu nama Allah dan Tun Abdullah turut hadir bersama bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Sebelum ini juga, beliau turut dikatakan mengunakan kedudukannya bagi menjemput beberapa Ustaz-ustaz PAS untuk menjadi penceramah dan memberikan kuliah agama di Radio IKIM. Ya! mereka hanya beri kuliah agama, bukan ceramah politik. Pendengar Radio IKIM boleh jadi saksi.

Ekoran dari tindakan beliau yang tidak disenangi itu, gaji beliau ditahan, elaun dan bayaran claim beliau turut tidak dibayar.

Jika melawat laman web IKIM, nama beliau juga sudah dikeluarkan walaupun baru 4 hari beliau letak jawatan. Tiada sebarang majlis perpisahan diadakan untuk beliau dan akhirnya beliau kembali menjadi orang dagang walhal kehadirannya selama setahun di IKIM telah banyak memberikan perubahan besar kepada imej dan rating Radio IKIM.

Memang tidak logik, dalam keadaan ekonomi yang gawat ini beliau yang baru setahun dua bulan bekerja dengan IKIM mahu letakan jawatan tanpa sebab. Lain la kalau beliau mendapat tawaran jawatan yang lebih baik. Ada juga logiknya. Kini Ahmad Jais dilaporkan menjadi penceramah bebas dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Selepas 'perletakan jawatan' beliau, dikhabarkan bahawa beberapa slot ceramah yang kebanyakannya disampaikan oleh Ustaz-ustaz PAS akan disusun semula dan dimansuhkan perlahan-lahan. Beberapa DJ dan kakitangan juga dikatakan menerima tekanan yang sama agar mereka meletakan jawatan.

Berita dan cerita ini tersebar luas di IKIM dan pendengar setia Radio IKIM pasti mahu mencari jawapannya. Tidak sepatutnya beliau dipecat jika alasan Politik sedangkal itu digunakan. Beliau sebagai seorang yang berilmu telah mengunakan kedudukannya bagi meletakan orang-orang yang berilmu tanpa mengira apa jua parti untuk kebaikan masyarakat. penyingkirannya adalah satu kezaliman!

Saya yakin, IKIM akan menafikan cerita ini. Tapi kebenaran itu tidak akan dapat disembunyikan sampai bila-bila.

Nota : Beliau akan berforum dipentas PAS esok di Seremban, harap boleh hadir beri sokongan:

Harakahdaily.net/-

PAS nekad bantah GST

19 Rabiulawal 1431H
Idris Ahmad

PAS nekad bantah GST, pengurangan cukai pendapatan hanya untungkan orang kaya

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membantah cadangan Kerajaan Barisan Nasional yang nekad melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan menjelang pertengahan 2011 bagi mengantikan cukai perkhidmatan dan jualan sedia.

Pada masa ini kedua-dua cukai itu masing-masing berada 10 peratus dan lima peratus, tetapi hanya meliputi barang mewah sahaja dan bukannya barangan keperluan utama. Walaupun GST hanya 4 peratus tetapi ia akan melibatkan ke semua jenis barang termasuk barangan keperluan utama yang dikawal.

Strategi Kerajaan yang mahu mengurangkan cukai pendapatan dan korporat secara beransur-ansur bagi mengurangkan beban pengguna ini juga dilihat tidak logik kerana pembayar cukai pendapatan dan syarikat hanya melibatkan mereka yang berkemampuan, sedangkan cukai GST akan melibatkan semua lapisan rakyat termasuk mereka yang tidak berkemampuan.

GST akan menyusahkan ibubapa yang mahu membeli susu untuk anak-anak mereka, peniaga restoran juga terpaksa menaikan harga makanan jika beras, ikan, daging, ayam dan sayuran dikenakan cukai. Mereka yang hidup diluar bandar pasti akan lebih terasa kerana barangan keperluan yang dihasilkan dikilang akan meningkat dalam pasaran.

PAS juga melihat pembatalan cadangan penstrukturan semula subsidi Petroleum tidak memberi apa-apa makna, kerana bila GST 4 peratus dilaksanakan, kemungkinan harga minyak bercukai ini akan naik sebanyak 10 sen seliter atau lebih dari itu.

Harga tambang perkhidmatan juga kemungkinan akan berubah dengan peningkatan sebanyak 4 peratus. Bayangkanlah nasib pengguna perkhidmatan Komuter, LRT, Bas dan kapal terbang dimasa depan dengan cukai ini.

Bagi barangan yang dihasilkan dalam kilang pengguna berkemungkinan menerima cukai GST 8 peratus kerana 4 peratus dikenakan oleh pengilang dan 4 peratus dikenakan melalui pemborong atau penjual dipasaran.

Rakyat harus membuka mata terhadap isu ini dan PAS nekad membantah dasar GST demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Harakahdaily.net/-

SAMM gesa polis siasat keuntungan luar biasa syarikat karpet

19 Rabiulawal 1431H
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 4 Mac: Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin hari ini membuat laporan polis mendesak siasatan dibuat ke atas syarikat penjualan karpet , Carpet Raya Sdn Bhd.

Ini kerana, keuntungan dan transaksi akaun syarikat berkenaan sangat meragukan jika merujuk kepada pendaftarannya yang hanya menjalankan perniagaan karpet.

Menurut Badrul, siasatan itu penting kerana salah seorang daripada lima pengarah berdaftar syarikat berkenaan ialah Deepak Jaikisnan,individu yang dikenal pasti disebut oleh penyiasat persendirian, Balasubramaniam yang membuat akuan bersumpah menyatakan penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam pembunuhan Altantuya.

Balasubramaniam sebelum ini meyebut Deepak sebagai individu yang membuat bayaran bagi pihak Najib dan Rosmah kepadanya untuk beliau menghilangkan diri. Sebelum pembayaran itu dibuat, Balasubramaniam telah dibawa bertemu adik dan adik ipar Najib.

Menurut Badrul lagi, maklumat yang diperoleh daripada satu sumber mendapati akaun terakhir syarikat menunjukkan syarikat ini memiliki aset hampir RM90 juta 67 juta dengan tanggungan keseluruhan RM67 juta dan simpanan melebihi RM12 juta.

Pada tahun 2005, pendapatan syarikat ialah RM122 juta dan keuntungan RM7 juta tetapi nilai sebenar dijangka lebih daripada itu.

Laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis dang Wangi pada jam 2.35 petang tadi.

Maklumat mengenai syarikat berkenaan jelasnya telah diperoleh lebih kurang sebulan yang lalu daripada beberapa sumber.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti sumber yang dimaksudkan bagi menjaga keselamatan sumber berkenaan.

"Maklumat kami terima daripada beberapa sumber yang hanya akan didedahkan jika ada pihak yang benar-benar berminat untuk menyiasat perkara ini sebab kita terpaksa melindungi sumber. Cukuplah Altantuya seorang yang hilang, dan Bala hilang tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini," katanya.

Badrul juga meminta keuntungan syarikat dengan transaksi yang begitu tinggi bagi sebuah syarikat perniagaan karpet itu dijelaskan memandangkan terdapat banyak tuduhan sebelum ini bahawa Deepak mempunyai banyak keistiwewaan daripada Rosmah dalam banyak transaksi.

"Persoalannya sekarang, sebuah syarikat karpet yang berpengkalan di Nilai, ada pejabat di Cheras, ada 'outlet' di jalan Masjid India, boleh buat transaksi yang begitu besar. Ini perlu dijelaskan dan kita bantu polis untuk menyelesaikan perkara ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang terlibat disoal siasat sebelum tampil untuk menafikan apa yang didakwanya.

"kalau tidak, katakan tidak. Katakan tidak selepas disoal siasat.bukan penafian-penafian yang dangkal.

"Saya sebagai warganegara Malaysia melihat ini perkara serius. Seba itu saya tampil memberi peluang kepada pihak polis untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.

Harakahdaily.net/-