04 March 2010

Saya Cabar Mohsin Letak Jawatan

17 Rabiulawal 1431H

Hari ini berita mengenai ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadli yang mengumumkan keluar dari partinya dan menjadi bebas sedikit menghangatkan suasana. Namun bagi saya ianya tidak mengejutkan malah sejak kebelakangan ini berita bertiup kencang mengenai beliau tersenarai sebagai Ahli Parlimen yang akan menjadi katak.

Parlimen Bagan Serai adalah parlimen yang secara tradisinya ditandingi oleh calon PAS namun pada pilihanraya yang lepas kerusi ini diberikan kepada PKR. Mohsin bertuah kerana dipilih menjadi calon dan dia juga menang bergaya mengalahkan calon BN.

Kerana itulah pengundi Parlimen Bagan Serai tidak lepas dari sekelompok besar mereka adalah pengundi dari keturunan banjar atau lebih populer dengan panggilan kulaan.

Bermakna Mohsin menang kerana sokongan kulaan dan dia dipilih kerana tiket partinya yang bergabong dengan PAS pada masa itu dengan panggilan Barisan Altenatif atau BA.

Mohsin mustahil boleh menang tanpa sokongan kuat para kulaan. Kerana itulah meninggalkan Pakatan Rakyat dan PKR adalah bermakna mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

Kerana itu sewajarnya Mohsin meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada pengundi di Bagan Serai untuk mengundi kembali. Memanglah dia tidak boleh bertanding tetapi demi maruah dia boleh menaja seorang calon dan berkempen habis habisan.

Namun kata orang tua-tua 'berani buat berani tanggung' itulah pesan akhir saya kepada Mohsin..baliklah ke Bagan Serai jumpa para kulaan, apa dia nak 'bersurahan' atau cakap kita tunggu dan lihat???

Resepi Sup Tulang Ketuk

17 Rabiulawal 1431H
Email : mohd naim mohd zain

Jika sebelum ini kita selalu dihidangkan dengan sup tulang yang jernih tetapi kini di restoran Geylang Kopitiam, pengunjung boleh menikmati sup tulang ketuk yang berwarna merah.

Rasanya juga sedikit berbeza dengan pilihan sup sedia ada tetapi ia sedikitpun tidak menyulitkan pihak pengurusan restoran terbabit bagi mempopularkannya di kalangan masyarakat setempat.

Malah, dengan keistimewaan itu, pengunjung dapat merasai sendiri kelazatan rasa masakan tradisional masyarakat Melayu Singapura.

Ikuti langkah mudah menyediakan sup tulang ketuk berkenaan dalam paparan resipi minggu ini.

Bahannya:
1 kilogram tulang daging (gear box)
600 gram bawang merah
50 gram cili boh
80 gram pes tomato
140 gram tepung jagung
30 gram kicap manis
5 gram garam
Perasa stok ayam atau daging
10 gram serbuk lada hitam
50 gram sos tiram
20 gram bawang goreng
20 gram daun bawang
25 gram gula
1 biji telur
100 gram kubis (dihiris halus)

1 - BAHAN...sediakan bahan untuk menyiapkan sup tulang ketuk.
2. REBUS...tulang daging (gear box) direbus selama tiga jam. Kemudian tumis bawang merah dan masukkan stok ayam atau daging sebelum dicampur tulang daging yang direbus tadi.
3. TUANG...masukkan pes tomato diikuti cili boh ke dalam air rebusan.
4. CAMPUR...masukkan sedikit garam dan gula.
5. TAMBAH...diikuti dengan sos tiram dan kicap manis.
6. PUKUL TELUR...pukul telur hingga sebati, kemudian masukkan ke dalam adunan tulang daging yang dimasak.
7. CAMPUR...campurkan sedikit air ke dalam tepung jagung, kacau adunan hingga sebati dan masukkan adunan tepung jagung itu ke dalam rebusan tulang untuk memekatkan kuah.
8. MENDIDIH...biarkan rebusan tadi mendidih hingga daging empuk dan kuahnya kering sedikit sebelum diangkat.
9. HIASKAN...tabur hirisan kubis, bawang goreng dan daun bawang untuk menambah rasa.
10. SIAP...sup tulang ketuk sedia untuk dinikmati.

Seramai 723 Orang Terkorban dalam Gempa Bumi di Chili

17 Rabiulawal 1431H

Seramai 723 orang terkorban, manakala 19 orang hilang dalam bencana gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter yang berlaku di selatan Chili pada 27 Februari. Demikian dinyatakan oleh Jabatan Kecemasan Negara Chili semalam.

Menurut kerajaan Chili, pihaknya semalam mula menghantar bantuan kepada penduduk di kawasan bencana, memelihara ketenteraman awam bagi membanteras kejadian kecurian yang kerap berlaku di pelbagai tempat. Barang bantuan peringkat pertama telah diangkut ke kawasan bencana di selatan dari Santiago semalam.

Kerajaan juga mengumumkan, hubungan jalan raya dari Santiago ke kawasan selatan telah dipulihkan mulai semalam, manakala lapangan terbang Santiago mungkin dibuka semula dalam beberapa jam yang akan datang. Jabatan kerajaan Chili menyatakan penerbangan awam ke luar negara akan dipulihkan pada 5 Mac.

CRI/-

Gambar terbaru pengkhianat kulaan......

Anggota Parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri melambaikan tangan ke arah jurugambar selepas sidang media di sini hari ini. Lama sudah saya tidak jumpa dia, apa lagi pengundinya di Bagan Serai, tiba-tiba sudah jadi penghianat. Seperti kata Ust. Ahmad Awang sebentar tadi kepada saya melalui talifon " saya cabar dia letak jawatan"- foto BERNAMA

Selamat tinggal Mohsin, tindakan kamu sangat mengguris hati para kulaan..

17 Rabiul Awwal 1431H.

Ahli parliman Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri hari ini mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas. Maka saya mengucapkan selamat tinggal kepada nya.Tambahan pula saya yakin tindakan beliau sangat mengguris hati para pengundi di bagan Serai yang rata-ratanya orang banjar atau lebih populer dengan panggilan "kulaan".

Mohsin , 65,dalam usia selanjut itu tentunya masa depannya dalam politik sudah sampai ke penghujung jatuhnya.Dia merupakan ahli parlimen ketiga dari PKR yang bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Sebelum ini yang telah menjadi Bebas ialah Datuk Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

Mohsin mengumumkan keputusannya keluar parti itu dalam sidang akhbar yang sekali lagi turut dihadiri oleh bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim di Ampang hari ini.

Salehuddin juga turut hadir di sidang akhbar Zahrain dan Tan ketika mereka mengumumkan keluar dari PKR.

Berikutan ini, jumlah ahli parlimen PKR kini tinggal 27 orang.

Turut keluar PKR ialah bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin.

Kelmarin, Salehuddin meramalkan, lebih 10 lagi wakil rakyat PKR akan keluar parti itu.

Bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Mohsin berkata beliau tidak bersetuju dengan pendirian parti itu berhubung isu Allah.

Menurutnya, beliau telah membangkitkan perkara itu melalui saluran parti tetapi mendakwa ia tidak dihiraukan.

Salehudin pula berkata, PKR tidak seharusnya membuat sebarang pendirian ketika ahli-ahlinya masih bercelaru mengenai isu tersebut.

Beliau mendakwa, keputusan dibuat oleh satu dua orang tanpa dibahaskan.

Keadaan itu, tambahnya, telah menimbulkan kegelisahan di kalangan pemimpin di peringkat akar umbi.

Begitulah Mohsin dengan alasannya yang saya kira sangat jauh dari untuk melindungi hasratnya yang tersembunyi. Nasihat saya lebih baik masuk BN terus dan tidak usahlah berselindung disebalik kata-kata yang dibuat-buat untuk menghalalkan tindakannya yang "haram" itu.

BIARKAN MEREKA PERGI

17 Rabiulawal 1431H
OLEH: JJ ANAK DESA (www.joharapat.blogspot.com)

Bukan mudah untuk menjadi pemimpin, lebih lebih lagi berada jemaah Islam, Begitu juga berada dalam parti politik yang memperjuangan keadilan dan ketelusan. Bermacam macam perangai pemimpin sama ada pmimpin peringkat tinggi mahupun di peringkat bawahan.

Berjuang untuk kepentingan rakyat bukannya mudah, tidak semudah lidah yang yang bertutur. Rasa tidak puas hati pasti ada di kalangan pemimpin sama ada peringkat tinggi atau bawahan.

Perjuangan bukan kepentingan diri sukar dipraktikan, godaan terlalu banyak. Dalam menempuh perjuangan ini, pasti ada yang tercicir di tengah jalan kerana berbagai halangan, hanya mereka tahuan uji sahaja akan berjaya dan menjadi pemimpin yang dihormati.

Begitulah badai yang melanda dalam PKR, pastinya ada yang tersingkir keluar dalam arus perjuangan. Mereka yang tahan uji sahaja akan bersama dengan perjuangan parti, kerana itu pimpinan PKR usah khuatir dan bimbang, proses ujian itu itu sedang berjalan, mereka yang tercicir di tengah jalan, usah dirayu, biarkah mereka pergi, ada hikmah dibaliknya.

Saperti kata Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali, PKR perlu mengucapkan syukur ke hadrat Allah (swt) kerana Fairuz Khairudin akhirnya meninggalkan parti.

Menurut beliau selepas Fairus Kamarudin, dua lagi tokoh kontroversi PKR dijangka akan keluar parti dan menyokong Umno,

Bagi beliau, Fairus tiada pilihan lain dari meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri kerana beliau ketika itu disiasat SPRM dan prestasinya tidak memuaskan.

"Apabila berhenti, beliau menuntut supaya parti melunaskan hutang untuk dua buah kereta mewahnya dan membayar beliau RM15,000 sebulan buat selama-lama yang ditentukannya. Tidak ada sebab bagi Parti melayan tuntutan itu. Lagipun Parti tidak mampu berbuat demikian," kata Syed Husin.

Menurutnya, atas rasa belas kasihan terhadap anak isterinya seorang baik hati, PKR memberikannya “kerja” dengan bayaran bulanan sebanyak RM4000.

"Beliau tidak puas hati dan oleh itu terus memburukkan pimpinan Parti. Kini beliau sudah berjumpa dengan pemimpin Umno yang boleh membayarnya jauh lebih besar dari itu," katanya.

Begitulah ceritanya bagaimana Fairuz melompat kepada Umno, dari cerita itu menggambarkan kebanyakan mereka yang melompat parti ini ada cerita tersendiri, ceritanya untuk mendapatkan habuan dan kemewahan hidup.

PKR saperti juga PAs bukan parti yang boleh memberi habuan wang ringgit atau kehidupan mewah. Oleh kerana biarkan mereka pergi, biarkah mereka terjun untuk mengejar apa yang dihajati.

Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, mereka yang melompat parti adalah pengkianat perjuangan rakyat, kerana itu mereka hanya layak bersama Umno dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya kemasukan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin ke dalam Umno dan pengisytiharan beberapa orang wakil rakyat keluar dari PKR dan menjadi bebas adalah untuk menyempurnakan agenda Umno dan BN.

Apa yang berlaku itu, katanya, membuktikan Umno dan BN adalah ‘parti tong sampah dan tong najis’ yang layak menghimpunkan bungkusan sampah dan najis di dalamnya.

"Keluarnya mereka akan mewujudkan suasana persekitaran PKR dan Pakatan Rakyat (PR) yang lebih baik.

Ini akan menjadi PKR dan PR sebagai parti yang bersih dari kekotoran dan najis yang membusukkan dan menjadikan PKR dan PR bebas dari menjadi sarang pengkhianat perjuangan rakyat. Pengkhianat perjuangan rakyat hanya layak bersama Umno dan BN.

Apa yang berlaku ini adalah satu pembersihan dalam parti, kerana itu pemimpin pemimpin PKR jangan gundah gulana, biarkan mereka yang tidak tahan uji itu meninggalkan parti, biarlah mereka terjun bersama labu labunya.

Seperti kata Tun Mahathir Umno busuk dari atas hingga ke bawah, biarlah parti yang busuk dan penuh dengan najis yang akan mengambil mereka yang pengkhianat kepada perjuangan rakyat.

Sebagaimana yang dinyatakan Mahfuz, proses alam semulajadi (sunnatullah) yang pasti akan menentu dan melakukan pembersihan parti dari pengkhianat perjuangan rakyat.

Selepas berlakunya pembersihan ini diharapkan PKR menjadi parti yang tidak ada lagi menghadapi masalah, seterusnya bangkit bersama PAS dan DAP untuk `menerajang Umno/BN dari Putrajaya pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Bilakah Umno/BN akan ditalkinkan? Rakyat perlu bertindak bijak bagi memastikan Umno/BN akan tamat riawayat ini pada pilihanraya umum akan datang.


Ahli Parlimen Bagan Serai dari PKR umum keluar parti

17 Rabiulawal 1431H

BAGAN SERAI: Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebentar tadi dan menjadi wakil rakyat Bebas serta merta.

BeritaHarianOnline/-


10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sekiranya Anda Ditahan Polis

17 Rabiulawal 1431H
Oleh SUARAM.

1. BAGAIMANA MENDEFINASIKAN ISTILAH ‘DITAHAN’? HANYA APABILA …
a. Polis berkata kepada anda, “Anda ditahan”
b. Polis menggari tangan anda
c. Anda dilarang dari meninggalkan sesebuah bilik, kawasan atau sebagainya oleh pihak polis

2. BAGAIMANA SEKIRANYA ANDA DITAHAN OLEH PIHAK POLIS (semasa berjalan, memandu pulang dsb.)
a. Anda mungkin akan disoal. HANYA berikan butir-butiran diri anda seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat. Anda juga mungkin akan diminta menunjukkan kad pengenalan diri anda
b. Anda tidak perlu menjawap lain-lain soalan
c. Biasakan bertanya pengenalan diri polis yang berkenaan. Sentiasa catatkan nama dan nombor kad pengenalan mereka.
d. Catatkan nombor kenderaan ronda mereka

3. JIKA ANDA DITANYA LAIN-LAIN SOALAN
a. Tanya kepada polis berkenaan, “Adakah saya ditahan?”
b. Sekiranya mereka berkata “Ya”, jangan menjawap apa-apa lagi soalan yang diajukan kepada anda. Adalah menjadi hak anda untuk menjawap apabila berada di mahkamah sahaja.
c. Sekiranya mereka berkata “Tidak”, anda boleh beredar pada bila-bila masa sahaja.


4. JIKA ANDA DITAHAN

a. Beritahu orang-orang yang berhampiran dengan anda
b. Sekiranya anda mempunyai telefon bimbit, telefon rakan, keluarga atau peguam anda. Sekiranya anda ditahan di kawasan diantara Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka, besar kemungkinan anda akan dibawa ke balai polis Dang Wangi (Stadium) dan balai polis Campbell. Minta kawan anda, keluarga atau peguam anda pergi ke balai polis Dang Wangi dahulu untuk mengesahkan penangkapan anda dan dimana anda berada.
c. Catatkan / ingatkan waktu anda ditahan

5. KETIKA DITAHAN, PIHAK POLIS MESTI MEMBERITAHU ANDA

a. Mengapa anda ditahan

6. SELEPAS DITAHAN

a. Pihak polis hanya boleh menahan anda didalam lokap selama 24 jam sahaja, tidak kira samada pada hari cuti am atau pada hujung minggu. Ini adalah hak PERLEMBAGAAN anda. Selepas tempoh masa 24 jam berakhir, pihak polis mesti membawa anda ke hadapan majistret untuk direman (dimana anda mesti tinggal di lokap polis bagi ‘membantu’ siasatan mereka). Jika tidak, anda akan dilepaskan samada atas jaminan (jamin mulut) atau akan didakwa di mahkamah. Sebaik sahaja didakwa, anda perlukan penjamin dan wang jaminan kecuali ianya bukan dakwaan yang berjamin

b. Anda tidak boleh membawa sebarangan barang-barang ke lokap kecuali pakaian yang sedang anda pakai ketika itu. Apabila pihak polis mengambil barang-barang anda, anda mesti menurunkan tandatangan untuknya. Sekiranya anda mempunyai wang atau kad bank / kredit, pastikan anda mengira duit anda dan pastikan polis tersebut mencatatkan jumlah yang anda ada, dan apa kad bank / kredit yang anda miliki.

c. Anda mungkin diminta memberi kenyataan 113 (kenyataan peringatan). Pegawai polis yang mengambil kenyataan tersebut mestilah membacakan hak-hak anda

7. SOAL SIASAT POLIS

a. Berhati-hatilah semasa menjawap soalan-soalan yang diajukan oleh pihak polis. Ia mungkin dalam bentuk soalan-soalan mesra yang biasa seperti cuaca, keluarga anda dsb. untuk menenangkan anda. fikir berulang kali sebelum menjawap kerana ia boleh digunakan untuk menentang anda semasa dimahkamah nanti. Ingat, kerja polis ialah memastikan mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa anda, dan bukannya untuk mempunyai perbualan yang mesra.

b. Sekiranya pihak polis meminta anda memberikan kenyataan 113, anda mesti memberikan butir-butiran anda seperti nama anda, nombor kad pengenalan dsb. dan pastikan anda tahu nama pegawai polis tersebut. Jika terdapat lain-lain soalan, kami BETUL-BETUL nasihatkan anda supaya tidak menjawapnya sehingga hari perbicaraan anda dimahkamah, dan ketika bersama-sama dengan peguam anda. Itu adalah hak anda! Apa sahaja yang anda kata, boleh digunakan untuk menentang anda ataupun rakan-rakan anda. Anda boleh menjawap semua soalan-soalan lain tersebut seperti ini:

S: adakah anda berada di Dataran petang tadi?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah
S: bagaimana anda datang ke Dataran petang tadi?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah
S: adakah ibu anda menyediakan bekalan sebelum anda keluar?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah

c. Sekiranya pegawai polis yang mengambil kenyataan anda mengancam anda secara percakapan mahupun kelakuan, anda mestilah berhenti dari memberikan kenyataan anda dengan segera. Bertenang dan beritahunya “Saya tidak boleh meneruskan kenyataan saya kerana awak telah mengancam keselamatan saya. Saya mahu ini dicatatkan kedalam kenyataan saya.” Sekiranya pegawai polis itu tidak mencatatkan bantahan anda tersebut, tunggu sehingga ke akhir kenyataan anda. Tetapi sekiranya pegawai polis tersebut masih terus mengancam anda, tinggalkan bilik tersebut dan beritahu pegawai polis yang lain dan minta ‘perlindungan’ mereka.

d. Apabila anda telah habis menjawap soalan, pegawai polis akan membenarkan anda membaca kenyataan anda tersebut. Dia akan bertanya samada anda mempunyai apa-apa yang ingin ditambah, ditukar atau dipadamkan. Inilah masanya anda membetulkan apa-apa kesilapan atau atau menambah lain-lain komen didalam kenyataan itu. Contohnya, jika anda telah diancam sewaktu soal siasat atau diserang semasa penahanan anda dsb. ini adalah satu lagi peluang untuk anda menyatakannya. Pegawai polis berkenaan mesti menaip semua itu. Anda akan diminta untuk menandatangani kenyataan anda tersebut. Baca semula dengan teliti dan tandatangan sedekat yang boleh dibawah perenggan yang terakhir, supaya tiada siapa yang boleh menokoktambahnya lagi.

8. SEKIRANYA ANDA DIBAWA KE DEPAN MAJISTRET (Untuk Direman)

a. Sekiranya anda tidak mempunyai peguam, anda mesti meminta wakil peguam. Pusat Bantuan Guaman ada menempatkan peguam-peguamnya dimahkamah bagi tujuan ini.

b. Beritahu majistret sekiranya anda ada mempunyai apa-apa rungutan seperti sekiranya anda di pukul, diancam; sekiranya anda sakit, perlukan rawatan perubatan dsb.

9. SEKIRANYA ANDA DIBAWA KE DEPAN MAJISTRET (Untuk Dakwaan)

a. Sekali lagi, anda mesti meminta wakil peguam

b. Pastikan anda mempunyai seseorang untuk menjamin anda keluar. Sekiranya anda tidak dapat menghubungi keluarga atau rakan anda, minta kebenaran dari majistret untuk membantu anda menghubungi keluarga anda. Jika tidak, anda boleh meminta bantuan peguam anda. Keluarga anda akan perlu membawa duit untuk menjamin anda keluar, yang mana mestilah dalam bentuk pembukaan akaun di bank yang terletak paling dekat dengan mahkamah tersebut. Tanya peguam anda atau majistret dimanakah letaknya bank tersebut. Tidak ada bentuk bayaran lain seperti bayaran tunai atau cek yang akan diterima oleh mahkamah.

10. SEKIRANYA ANDA DIPUKUL SEMASA DALAM TAHANAN

a. Selepas anda dibebaskan atas jaminan, pastikan anda pergi ke mana-mana klinik kerajaan atau hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Pastikan anda tahu nama doktor yang bertugas dan nombor rujukan laporan kesihatan anda supaya ia boleh digunakan dimahkamah kemudian.

b. Sekiranya anda masih dalam reman, pastikan anda memberitahu majistret yang berkenaan bahawa anda perlu pergi ke hospital atau ke klinik.



Presiden MCA sangkal jam HK$1 juta hadiahnya

17 Rabiulawal 1431H

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat menafikan pemberian hadiah berupa jam tangan yang didakwa bernilai lebih HK$1 juta atau kira-kira setengah juta ringgit sebagai bersifat peribadi tetapi dihadiahkan kepadanya atas nama parti itu.

"Jam tangan itu diberikan kepada saya selaku presiden parti dan saya akan simpan sebagai momento atas nama parti juga," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog dengan Gabungan Ikatan Persatuan Cina Malaysia di Kuala Lumpur.

Beliau berkata jam tangan yang dihadiahkan oleh seorang pembuat jam dari Hong Kong pada satu majlis di Pulau Pinang semalam tidak boleh didapati di pasaran dan mempunyai corak bercirikan keagamaan.

"Tiada rahsia mengenainya. Bagi saya, saya tetap saya dan sebab kenapa dia hadiahkan saya jam sebenarnya menurut penjelasannya kerana beliau tersentuh dengan komitmen saya dan komitmen kami (MCA) berhubung masalah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ)," katanya.

Malaysiakini/-

DAP, PAS mahu Anwar terus jadi ketua

17 Rabiulawal 1431H

Persoalan sama ada DAP akan terus menyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang tidak timbul sama sekali.

Sebaliknya menurut tokoh utama parti itu, Lim Kit Siang, DAP sentiasa memberikan sokongan padu kepada Anwar berhubung kepemimpinannya dalam Pakatan Rakyat, sebagai ketua pembangkang dan sebagai bakal perdana menteri apabila mereka menumbangkan Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Lim (kiri, berbaju cerah) lagi pada kenyataan medianya, hari ini, Anwar akan terus menjadi ketua pembangkang meskipun jika ahli parlimen PKR kurang daripada 28 ahli - jumlah yang kini dimiliki oleh DAP.

Dengan pengumuman keluar parti oleh ahli parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng semalam, PKR kini mempunyai 28 MP. Jumlah itu menyamai dengan kerusi yang dimiliki oleh DAP.

Menurut Lim, apa yang berlaku di PKR adalah proses pembersihan yang dilihat perit dan pedih tetapi amat diperlukan bagi menjamin kredibiliti dan masa depan PKR dan Pakatan Rakyat.

Menurut Lim, “perbezaan ketara antara PR dan BN ialah sampah-sarah PR adalah permata BN”.

Sekretariat DAP juga mengeluarkan kenyataan media yang ditandatangani olehi 28 ahli parlimennya dan dua senator yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Anwar.

Dalam pada itu, sekretariat PAS juga dalam satu kenyataan media menyatakan semua ahli parlimennya menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Anwar sebagai ketua pembangkang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat PAS, ahli parlimen parti itu, sepakat untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat pada pilihanraya umum yang lalu.

PAS yang mempunyai 23 kerusi di Dewan Rakyat berkata ahli parlimen mereka sedar bahawa rakyat mengundi kerana mahu kepada perubahan dari suasana ketidakadilan, kezaliman, kemiskinan dan ketidaksamarataan hak-hak asasi kepada satu kerajaan berkebajikan dan bersih yang berasaskan prinsip-prinsip agama dan moral.

“Oleh itu kami kesal dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang telah memilih untuk meninggalkan prinsip-prinsip murni perjuangan ini.

“Kami kekal yakin dengan perjuangan dan kepimpinan parti-parti Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi usaha-usaha kami dikalangan masyarakat dan di Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 15 Mac ini,” menurut kenyataan itu lagi.

PAS juga menyeru kepada masyarakat untuk bersama menentang cadangan-cadangan baru kerajaan BN untuk menaikkan harga petrol dan barang-barang keperluan lain dan memperkenalkan cukai baru seperti GST.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh 23 ahli parlimennya dan dua ahli dewan negara PAS.

Malaysiakini/-

Malukan Nik Aziz, PM diminta bertindak

17 Rabiulawal 1431H

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hangat seketika apabila beberapa wakil kerajaan membangkitkan tindakan penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi membelakangkan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (bawah) pada upacara melepaskan peserta semalam.

Rata-rata wakil rakyat PAS itu mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan segera terhadap penganjur yang didakwa mereka telah memalukan bukan sahaja kepada Nik Aziz tetapi kepada rakyat Kelantan keseluruhannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Abdul Fatah Mahmood berkata beliau telah menghantar mesej kepada Najib melalui laman sosial Facebook Perdana Menteri itu hari ini.

"Saya juga sudah mengutus surat secara rasmi kepada Perdana Menteri hari ini agar sesuatu tindakan susulan diambil terhadap penganjur yang telah memalukan Menteri Besar (Nik Aziz) dan juga rakyat Kelantan," katanya pada sesi soal jawab persidangan DUN, di Kota Bharu hari ini.

Semalam, nama Nik Aziz sebagai tetamu kehormat yang akan melepaskan peserta di hadapan Istana Balai Besar, digugurkan pada saat akhir tanpa dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Majlis pelepasan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia yang memulakan peringkat pertama dari Kota Bharu ke Kuala Berang sejauh 174.5km itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Abdul Fatah berkata yang lebih mengecewakan ialah Nik Aziz pada mulanya tidak dibenar menaiki pentas utama untuk bersama-sama Awang Adek (kanan) membuat pelepasan itu tetapi selepas campurtangan pegawai, Menteri Besar itu dibenar naik ke pentas.

Mat Yusoff Abdul Ghani (BN-Nenggiri) bangun meminta penjelasan adakah benar Nik Aziz yang sepatutnya membuat pelepasan itu atau sebaliknya seperti yang diputus dalam mesyuarat jawatankuasa sambutan sebelum itu.

Abdul Fatah berkata perkara itu tidak timbul kerana pemilihan Nik Aziz diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Ketika ditemui di luar Dewan, beliau berkata kerajaan negeri akan menilai semula peranannya dalam memberikan kerjasama pada masa akan datang.

LTdL kali ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan disertai 20 pasukan.

Perlumbaan melibatkan tujuh peringkat sejauh 1,013.9 kilometer untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM710,650.

Sementara itu, Kelantan meminta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) melantik segera tiga wakil kerajaan negeri ke dalam lembaga pengarah agensi itu.

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pelantikan itu penting dalam menyelaraskan program pembangunan demi untuk rakyat di Kelantan Selatan terutama perkara yang membabitkan soal tanah.

Persidangan DUN ditangguh pada satu tarikh yang akan ditentukan.

Malaysiakini/-


Wanita muda mati akibat jangkitan H1N1

17 Rabiulawal 1431H

Seorang wanita berusia 22 tahun mati Ahad lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kerana jangkitan berhubung Influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri, berbaju biru), berkata wanita itu dimasukkan ke HUSM pada 15 Feb lalu kerana mengalami demam dan batuk selama lapan hari.

Mangsa telah mendapat rawatan di klinik swasta dan dirujuk terus ke HUSM pada hari yang sama.

Wanita itu disahkan sebagai jangkitan Influenza A (H1N1) pada 16 Feb dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi akibat komplikasi jangkitan paru-paru keesokan hari.

"Pesakit meninggal dunia dua minggu kemudian dengan penyebab kematian dicatatkan sebagai ''septicemic shock with acute respiratory distress syndrome secondary to H1N1 infection''," Liow berkata dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, angka kematian tempatan akibat H1N1 ialah 77 orang.

Liow berkata walaupun jangkitan Influenza A (H1N1) bagi kes itu dikatakan sebagai ''secondary'', namun ia menunjukkan penularan H1N1 walaupun masih rendah boleh menyebabkan kematian jika rawatan awal tidak diambil.

"Walaupun kematian akibat jangkitan Influenza A (H1N1) tidak banyak berlaku pada masa ini, Kementerian Kesihatan ingin menegaskan penularan jangkitan itu masih aktif di Malaysia dan berharap masyarakat akan terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang telah disarankan bagi membendung penularan jangkitan di kalangan masyarakat," katanya.

Malaysiakini/-

KDN: Organ rakyat Malaysia dijual ke luar negara

17 Rabiulawal 1431H

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mendedahkan wujud kegiatan menjual organ membabitkan mangsa rakyat Malaysia ke luar negara.

Ketua Setiausaha
kementerian, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata kebanyakan mangsa yang dilaporkan adalah terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

"Mereka ini ada yang diculik dan dibawa ke negara asing sebelum organ mereka dicuri dan dijual kepada yang memerlukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pelancaran kempen Anti Pemerdagangan Manusia di Padang Besar hari ini.

Beliau yang tidak mendedahkan tahap keseriusan kegiatan itu berkata ada juga mangsa yang diperdaya untuk menjual organ mereka di negara asing tetapi tidak dibayar seperti dijanjikan.

"Penjualan organ ini yang berlaku sama ada dalam bentuk paksaan, tidak sedar atau dalam keadaan sedar adalah salah dan tertakluk kepada Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," katanya.

Mengulas mengenai kegiatan pemerdagangan orang di negara ini, Abdul Rahim berkata dalam tempoh 28 Februari 2008 hingga 7 Februari lalu, seramai 186 orang telah didakwa mengikut akta berkenaan.

"Kebanyakan yang menjadi mangsa adalah kaum wanita dan perangkaan menunjukkan daripada 231 mangsa kes itu sejak dua tahun lalu, 154 orang adalah wanita," katanya.

Malaysiakini/-


`Dua sejoli’ bakal gegar Parlimen Tasek Gelugor

17 Rabiulawal 1431H
Mohd Sabri Said

TASEK GELUGOR, 2 Mac: Pertengahan Februari lalu, Parlimen Tasek Gelugor tiba-tiba bergoyang apabila Hasbie Satar, setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yaacob ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama jutaan wang yang dimiliki.

Isu mengenai Parlimen Tasek Gelugor tidak terputus di situ sahaja kerana ada satu lagi kes 'Skandal Dua Sejoli' bakal menggemparkan lagi kehangatan dalaman Umno bahagian yang diterajui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Berangan, Shabudin Yahya.

Isu tersebut sudah menjadi barah di dalam kepimpinan parti itu dan menanti 'meletup' tidak lama lagi ekoran keengganan dua sejoli, masing-masing mempunyai jawatan dalam bahagian berenggang walaupun dinasihati oleh ketua bahagian yang berstatus ustaz.

Namun masing-masing dikatakan berdegil untuk terus berasmara dana macam kata Ahmad Nesfu dalam filem komedi arahan Tan Sri P Ramlee.

Keegoan dan kasih sayang mungkin telah mengatasi segala-galanya sehingga membuatkan mereka acap kali dilihat bersama ke sana ke mari tanpa rasa malu.

Salah seorang pelakon skandal yang berangan-angan untuk dicalonkan sama ada di Dun Permatang Berangan, Sungai Dua atau Teluk Air Tawar pastinya melalui lorong yang agak gelap kerana terpaksa dibuang dari senarai pencalonan dan digantikan dengan orang baru walaupun setahun jagung mengenal perjuangan Umno.

Harakahdaily.net/-

Ketua AMK Terengganu, Fariz Musa di tahan polis

17 Rabiulawal 1431H
Buletinonline

KUALA TERENGGANU, 2 Mac: Ketua Angkatan Muda Terengganu, Fariz Musa ditahan polis di Kampung Paya Bunga dekat sini pagi tadi, ketika pihak berkuasa sedang menjalankan operasi perobohan rumah penduduk.

Menurut satu laman web Terengganu, Buletinonline.net, beliau ditahan pada jam 11.15 pagi ketika mempertahankan sebuah rumah penduduk yang belum bersedia untuk dirobohkan.

(Gambar - beberapa ketika sebelum ditahan polis, Fariz dan seorang penduduk, Zamri (kiri) ditahan kerana mempertahankan rumahnya yang belum sedia dirobohkan)

Sebelum itu ketika bercakap dengan pihak media, beliau berkata, beliau bukan mahu menghalang tugas-tugas penguatkuasa untuk merobohkan rumah penduduk disitu.

Namun beliau menuntut hak supaya penduduk tersebut dilayan secara adil oleh kerajaan.

Harakahdaily.net/-

Salehudin: RM9,000 sebulan jumlah yang sangat kecil

17 Rabiulawal 1431H

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehudin Hashim (Gambar) mengaku menerima gaji sebanyak RM9,000 sebulan sebagai Setiausaha Agung parti tetapi menyifatkan ianya 'jumlah yang sangat kecil'.

"RM9,000 adalah jumlah yang sangat kecil jika dibandingkan dengan masa yang telah saya curahkan dan gaji terakhir saya sebelum bersara, dan jika dibandingkan dengan jumlah besar yang telah dibayar kepada pelbagai individu dalam dan luar parti untuk menggembirakan dan mendiamkan mereka tanpa mereka perlu membuat apa-apa," kata Salehudin.

Salehudin berkata demikian dalam kenyataannya bagi menjawab kenyataan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali yang memaklumkan beliau (Salehudin) dibayar gaji sebanyak RM9,000 sebulan walaupun ramai yang menganggap Salehudin memberikan khidmat percuma untuk PKR.

Menurut Salehudin, beliau menerima tawaran Datuk Seri Anwar untuk menjadi Setiausaha Agung PKR selepas berkhidmat selama empat tahun sebagai Setiausaha Pengelola dan Ketua Staf Anwar.

"Dengan berat hati, saya menerima tawaran tersebut dengan beberapa syarat, antaranya sebuah Ibu Pejabat Parti yang lengkap, gaji yang mencukupi untuk staf dan memandangkan saya telah berkhidmat sebagai Setiausaha Pengelola selama 4 tahun dengan menggunakan wang saya sendiri untuk perbelanjaan pejabat, saya meminta elaun RM100 sehari untuk perbelanjaan berkaitan seperti telefon, parkir, perjalanan, makan-minum dan sebagainya," kata Salehudin dalam kenyataannya.

Berkenaan dengan CEO Kumpulan Perangsang, Salehudin memberitahu, beliau diarahkan oleh Anwar untuk mengambilalih jawatan tersebut untuk kepentingan PKR.

"Datuk Seri Anwar sendiri mengarahkan saya untuk mengambil tugas dan tanggungjawab tersebut bagi memenuhi aspirasi Parti, walaupun saya agak keberatan. Saya menjawab saya hanya akan mengambil tugas tersebut jika saya dibayar RM1 sebulan," kata beliau dalam kenyataannya.

Beliau memaklumkan perkara itu kepada Anwar.

"Saya tidak berhasrat untuk mendedahkan dokumen-dokumen sulit ini kepada umum. Memadailah untuk Dr. Syed Husin membuat kajiannya sendiri sebelum bercakap melalut. Semua ini direkodkan dalam komputer saya beserta bukti-bukti lain yang menunjukkan Datuk Seri telah menerima e-mel tersebut dan bertindak sewajarnya," katanya lagi.

Sebelum ini, Syed Husin mendakwa, bekas Setiausaha Agung parti itu bertindak menentang partinya selepas gagal mendapat jawatan sebagai CEO Syarikat Perangsang yang gajinya adalah RM50,000 sebulan.

LAPORAN BERKAITAN

Salehudin marah selepas ditolak jadi CEO dengan gaji RM50,000

Harakahdaily.net/-

Umno beli AP untuk persempadan semula kawasan pilihan raya

17 Rabiulawal 1431H
Zulkifli Sulong

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Blogger kontroversi, Raja Petra Kamarudin mendakwa, Umno sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membeli wakil rakyat Pakatan bagi membolehkan mereka kembali dengan kuasa dua pertiga.

Kuasa dua pertiga ini diperlukan untuk meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bakal digunakan untuk menumpaskan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya ini pula dibuat dengan cara gerrymandering.

(Gerrymandering adalah kaedah persempadanan kawasan pilihan raya yang dibuat sedemikian rupa untuk menyusun para pengundi untuk kepentingan pihak tertentu yang menghasilkan bentuk yang luar dari biasa)

Menurut perlembagaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhak membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya pada setiap lapan tahun sekali.

Kali terakhir ia dibuat adalah pada tahun 2003 iaitu sebelum pilihan raya 2004 berlangsung. Hasilnya, BN menang besar dalam pilihan raya itu.

Pencapaian Barisan Nasional (BN) akan sentiasa bertambah baik dalam pilihan raya yang diadakan selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya melalui gerrymandering ini.

Ia berlaku menjelang pilihan raya 1986, 1995 dan 2004. Dalam kesemua pilihan raya tersebut, pencapaian BN sentiasa lebih baik dari pilihan raya sebelumnya.

Menurut Raja Petra dalam tulisannya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dipisahkan dari Selangor untuk memecahkan kuasa politik Cina di Selangor dengan mengumpulkan mereka di Kuala Lumpur sahaja.

Ia dibuat ekoran kejatuhan Selangor ke tangan pembangkang pada pilihan raya 1969.

Pengalaman PAS

Sementara itu, mengikut pengalaman PAS pula, dua tokoh penting PAS telah hilang kerusi Parlimen mereka akibat dari persempadanan semula kawasan pilihan raya ini iaitu Haji Mohamad Sabu di Kuala Kedah dan Datuk Mahfuz Omar di Pokok Sena.

Kedua-duanya telah menang di kawasan tersebut dalam pilihan raya 1999. Ia ekoran sokongan kuat Melayu kepada PAS dalam pilihan raya tersebut.

Bagi memecahkan pengundi Melayu, beberapa kawasan Cina di Alor Setar telah dimasukkan ke kawasan parlimen Kuala Kedah dan Pokok Sena dalam persempadanan semula kawasan pilihan rayan 2003.

Terbukti ia berjaya dan kedua-duanya kalah dalam pilihan raya 2004. Namun Mahfuz yang terus bertanding di Pokok Sena dalam pilihan raya 2008 menang selepas pengundi Cina pula lari kepada pembangkang dalam pilihan raya itu. Mohamad Sabu kalah dalam pilihan raya itu kerana dia bertanding di Kuala Terengganu dan bukannya di Kuala Kedah.

Menjelang PRU 13

Kini, menjelang pilihan raya umum ke 13, Umno dan pakar-pakarnya sedang menyusun semula strategi untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya . Tanpa kuasa dua pertiga Parlimen, ia tidak akan berjaya. Maka datanglah usaha ini, membeli seramai mungkin wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Menurut Raja Petra, "Orang di belakang 'shoping spree' membeli anggota Parlimen Pakatan Rakyat ini adalah Hamdan, sepupu Najib, yang telah diberikan Kudat IPP sebagai 'cash cow' untuk membiayai 'shoping spree' ini."

Menurut Raja Petra, Hamdan bekerja rapat dengan Special Branch (Cawangan Khas) dan Military Intelligence (Penyiasat Tentera).

"Orang hubungan beliau di Bukit Aman adalah Akril Sani manakala dalam Military Intelligence adalah Datuk Salleh," tulis Raja Petra.

"Nombor telefon Hamdan adalah +6012-279-5945," tulis Petra lagi.

Menurutnya, Hee Yit Fong, Adun DAP Perak yang meninggalkan partinya dibayar RM25 juta kerana peranan beliau untuk menjatuhkan kerajaan negeri Perak.

Namun, katanya, Tan Tee Beng, anggota Parlimen PKR dari Pulau Pinang yang baru sahaja keluar dari PKR dibayar hanya RM2 juta sahaja.

Harakahdaily.net/-

Jom sertai Bowling Pemuda PAS 14 Mac

17 Rabiulawal 1431H
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan pertandingan bowling Piala Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan pada Ahad, 14 Mac, di Ampang Bowl, Ampang Point.

Pertandingan dijadualkan bermula jam 2 petang dan akan berakhir jam 6 petang selepas penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Menurut jurucakap program, Zulkarnain Borhan, penyertaan adalah terbuka kepada semua remaja dan belia, lelaki dan perempuan dengan yuran sebanyak RM150 bagi setiap pasukan, dan setiap kumpulan maksimum 4 orang pemain.

Hadiah lumayan menanti setiap peserta yang berminat menyertai pertandingan ini.

Kepada sesiapa yang berminat untuk meyertai pertandingan ini boleh menghubungi Zulkarnain sendiri (019-376 4089), Yusapiza (017-2262009), atau Suhaimi (019-6039187).

"Kepada sesiapa yang berminat bolehlah hubungi kami segera, kerana tempat terhad. Kami tidak mengenakan sebarang syarat cuma diharapkan peserta yang datang untuk bermain berpakaian sopan dan menutup aurat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Program akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah, Herman Shamsudin.

Harakahdaily.net/-