27 February 2010

Contohi keadilan sejagat, integriti Rasulullah

13 Rabiulawwal 1431H

KUALA LUMPUR, 26 Feb: Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) menyeru umat Islam supaya mencontohi perjuangan Rasulullah s.a.w. yang berasaskan keadilan sejagat dan integriti tanpa mengira perbezaaan ideologi politik.

Gerak dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini sempena sambutan Maulidur Rasul menegaskan hanya dengan mengingati kembali sejarah Rasulullah s.a.w., umat Islam akan kembali bersatu dan mengamalkan agama Islam yang sebenar.

Berikut ialah petikan kenyataan tersebut.

Maulid Nabi perlu dijadikan sebagai lambang yang dapat menyatukan umat Islam pada hari ini yang dilihat semakin berpecah dan lari daripada perjuangan asal Junjungan Besar Muhammad s.a.w. iaitu untuk menegakkan tauhid dan melaksanakan ajaran Islam di samping menyampaikan risalah-Nya.

Hanya dengan mengingati kembali sejarah Rasulullah s.a.w., umat Islam akan kembali bersatu dan mengamalkan agama Islam yang sebenar. Asas perjuangan Rasulullah s.a.w. yang berasaskan keadilan sejagat dan integriti wajar dicontohi oleh umat Islam seluruhnya tanpa mengira perbezaaan ideologi politik.

Gerak berasa kesal terhadap sesetengah umat Islam yang mempolitikkan sambutan Maulidur Rasul untuk kepentingan sendiri di samping berpendapat bahawa tindakan itu amat tidak wajar.

Gerak menyeru agar umat Islam lebih berintegriti dan amanah dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan.

Menteri jangan amal sikap “double standard”

Gerak melihat kenyataan Menteri Datuk Seri Utama Rais Yatim hanya bermotifkan politik semata-mata. Desakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang juga mengandungi niat yang jahat (mala fide) dan sekadar untuk mengalihkan kebimbangan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap integriti badan kehakiman Negara.

Gerakmenyeru menteri terbabit agar melaungkan nada yang sama terhadap sesetengah ahli politik yang kini memegang jawatan tinggi dalam kerajaan walaupun antara mereka telah disabitkan kesalahan rasuah dan pecah amanah seperti pemimpin politik yang telah disabitkan bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin atas kesalahan rasuah politik dalam Perhimpunan Agung Umno di samping terpalit dengan pelbagai kontroversi melibatkan projek mega seperti isu PKFZ dan isu moral.

Justeru, Gerak berpendirian bahawa seseorang itu tidak bersalah, dan dilihat sebagai tidak bersalah selagimana mahkamah tidak memutuskan bahawa dia sebagai bersalah. Gerak juga berharap agar semua pihak menghormati hak seseorang warganegara untuk mendapatkan pengadilan melalui proses mahkamah yang bebas tanpa campurtangan mana-mana pihak. Tindakan mengaibkan maruah dan peribadi seseorang amat bertentangan dengan nilai Integriti.

Gerak sekali lagi mendesak agar kerajaan menumpukan usaha untuk memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat dan negara luar terhadap kebebasan dan keadilan proses perundangan di negara ini.

Sokong wanita pegang jawatan tinggi

Gerak melihat perkembangan ini sebagai suatu yang positif malahan penglibatan kaum wanita perlu digalakkan. Gerak juga berpendapat bahawa kaum wanita lebih amanah, berhati-hati dan berintegriti dalam membuat sebarang keputusan. Pendapat ini berdasarkan kebanyakan kes pecah amanah dan rasuah majoritinya melibatkan kaum lelaki berbanding wanita.

Gerak juga menolak kebimbangan sesetengah pihak terhadap fenomena ini kerana dilihat berbahaya dan boleh menjerumuskan negara kepada diskriminasi kaum wanita sepertimana yang berlaku di Negara Arab Saudi dan Iran.

Gerak menggesa pihak kerajaan agar pemilihan sebarang jawatan dibuat berdasarkan merit, nilai integriti dan prestasi kerja bukan berdasarkan gender dan kronisma. Kelebihan yang terdapat pada kaum wanita dan lelaki diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan sebuah negara yang berintegriti dan berdaya saing.

Gerak juga mencadangkan agar semua pihak memanfaatkan pandangan dan kelebihan kaum wanita dalam membuat keputusan disamping menggalakkan masyarakat membaca buku Men From Mars, Women From Venus karangan John Gray bagi memahami gaya bahasa dan kelebihan masing-masing.

Harakahdaily.net/-

Guan Eng sertai sambutan Maulidur Rasul

13 Rabiulawwal 1431H
Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 26 Feb: Mana-mana individu dan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menerima tempelakan kerana apa yang mereka dakwa bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul tahun ini terjawab.

Perarakan 53 kontinjen dimulai dengan ketua-ketua jabatan melalui beberapa jalan termasuk Padang Kota Lama, Dewan Undangan Negeri, pejabat agama menuju ke Dewan Sri Pinang.

Turut meraikan majlis ialah ketua menteri, Lim Guan Eng. (gambar atas)

Sementara itu, Masjid Jamek Jelutong mencipta sejarah kerana mengadakan perarakan kali pertama sempena sambutan Maulidur Rasul esok, 27 Februari bermula jam 9.00 pagi.

Pengerusi kariahnya, Mohd Yusuf Mohd Noor memberitahu, pada sebelah malam diadakan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Alkhairy Ismail dari Jabatan Agama Islam Kedah.

Harakahdaily.net/-

Tokoh hadis: Kelantan setuju hantar pelajar ke India

13 Rabiulawwal 1431H
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 26 Feb: Kerajaan Kelantan pada dasarnya telah bersetuju untuk membuat kerjasama pendidikan dengan dua buah institusi pengajian agama di India iaitu Darul Ulum, Deoband dan Lucknow di New Delhi dalam melahirkan ramai tokoh hadis di negeri ini.

Ini kerana di kedua-dua tempat tersebut merupakan universiti tertua di India dan telah melahirkan ramai tokoh agama, antaranya tokoh tempatan ialah Menteri Besar,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, baru-baru ini satu rombongan pendidikan telah dihantar ke kedua-dua tempat tersebut dan telah membuat perbincangan secara mendalam dari segi sukatan pelajaran dan pengiktirafan dari negara lain.

“Alhamdullillah,k edua-dua tempat tersebut mendapat pengiktirafan dari Al-Azhar, pelajar boleh menyambung pelajaran di tahun tiga di mana-mana universiti Al-Azhar,” ujar beliau.

Katanya, kerajaan akan membuat tawaran kepada pelajar-pelajar di bawah Yayasan Islam Kelantan pada tahun ini sebaik sahaja urusan untuk mendapatkan visa dari Kedutaan India mendapat kelulusan kerana hubungan pendidikan dalam bidang agama telah terputus semenjak 20 tahun yang lalu.

“Baru-baru ini, Pesuruhjaya Tinggi India datang mengunjungi Tuan Guru (Nik Abdul Aziz) dan Tuan Guru telah membuat permohonan agar diberi peluang semula kepada mana-mana rakyat negara ini untuk melanjutkan pelajaran di dua buah universiti terkemuka tersebut dan pada dasarnya Pesuruhjaya Tinggi India bersetuju,” kata beliau lagi.

Mohd Amar ditemui di majlis Penyampaian Elaun Guru-Guru Pasti Kelantan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10 hari ini. Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah dan Ketua Pemuda PAS negeri, Abdul Latif Abdul Rahman.

(Gambar: Mohd Amar menyampaikan elaun kepada seorang guru Pasti Kelantan.)

Sementara itu, menurut Pengarah Pasti negeri, Abdul Latiff Abdul Rahman, guru-guru Pasti Kelantan telah menerima tunggakan elaun bagi tempoh empat bulan iaitu Oktober, November 2009 serta Januari dan Febuari 2010.

Sejumlah RM323,360 telah disampaikan kepada 592 guru Pasti dari seluruh negeri di mana Pasti Kelantan pada masa kini mempunyai 298 cawangan dengan seramai 11,230 pelajar.

Abdul Latif juga berkata pada tahun ini, Pasti negeri telah mendapat peruntukan sejumlah RM2 juta dari kerajaan negeri bagi membiayai elaun dan pengurusan Pasti.

“Kami di Pasti Kelantan melahirkan rasa terima kasih di atas keperihatinan kerajaan negeri dalam melahirkan generasi yang bertakwa,” katanya.

Harakahdaily.net/-

Pemuda PAS bertemu menteri kanan Singapura

13 RabiulAwwal 1431H
Rusli Yasmin

KUALA LUMPUR, 26 Feb: Rombongan Pemuda PAS Pusat ke Singapura berpeluang bertemu dengan salah seorang menteri kanan, Zainal Abidin Rasheed pada hari ini, bagi melihat dan meninjau perkembangan politik serta kedudukan umat Islam di negara jiran itu. Ketuanhya, Nasrudin Hasan mengetuai rombongan dalam misi lawatan ke Singapura selama dua hari dalam rangka memperkasakan Sekretariat Pemuda Muslim Asean (AMSEC) selain memperkukuhkan lagi kedudukan Islam di rantau ini.

Sebelum itu, rombongan Pemuda PAS telah bertemu dengan tokoh-tokoh Islam, antaranya Habib Ali dari Indonesia yang menjadi tetamu undangan di Masjid Ba' Alawi Singapura, Habib Hassan bin Mohammad bin Othman al-Attas yang merupakan anak kepada pengasas Masjid Ba' Alawi dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, Presiden Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas). (Gambar: Rombongan Pemuda PAS berbincang dengan Pergas) "Pelbagai isu yang menarik diperbincangkan antara Pemuda PAS dan Pergas, antaranya fiqh al-aqalliyat (minoriti) dan bagaimana aplikasinya di Singapura.

"Kaedah fiqh ini sangat menarik dan boleh diperbincangkan dalam konteks PAS dan Pakatan Rakyat sekiranya ditakdirkan membentuk kerajaan Pusat satu hari nanti terutamanya memberi hak dalam sesebuah negara," kata Nasrudin ketika dihubungi.

Menurut beliau, masyarakat muslim Singapura cuma sekitar 16 peratus daripada keseluruhan rakyat negara itu dan demokrasi umat Islam masih dalam keadaan terbatas. Walaubagaimanapun, katanya, Kerajaan Singapura menyediakan ruang-ruang untuk umat Islam memperjuangkan hak mereka selaku penduduk minoriti di sana.

Selain timbalannya, Azman Shapawi Abdul Rani, Exco Pemuda PAS Pusat yang turut sama dalam rombongan tersebut ialah Dr Raja Iskandar al-Hiss, Kamaruzaman Mohamad, Adram Musa, Suhaizan Kaiat, Ir Khairil Nizam dan Firdaus Jaafar.

Harakahdaily.net/-

Jangan sambut kelahiran Nabi sekadar cogan kata

13 RabiulAwwal 1431H
Khairul Azlam

MARANG, 26 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam agar tidak menyambut kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. sekadar dengan cogan kata atau lambang-lambang kemegahan.

Apa yang penting, katanya, mengambil kefahaman serta pengajaran dari kelahiran Nabi s.a.w. dengan menghayati ajarannya yang sebenar.

“Marilah kita mengambil kefahaman dari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. dan kerasulannya ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut peristiwa yang besar ini bukan hanya sekadar mengagungkan cogan kata dan lambang-lambang yang dimegahkan tanpa menghayati ajarannya yang sebenar,” ujarnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Bahkan, katanya Allah SWT mewujudkan keadaan dunia yang benar-benar berhajat kepada petunjuk daripada Allah yang dibawa oleh seorang rasul yang paling hebat di kalangan rasul-rasul yang diutuskan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, cahaya Allah Taala (Islam) itu tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa sahaja termasuk kuasa besar dunia.

Harakahdaily.net/-

Majlis Ramah Mesra & Minum Petang PAS Tambun.

MAJLIS BERSAMA AHLI DAN PENYOKONG VETERAN PAKATAN RAKYAT / PAS TAMBUN

Tetamu Khas :
Dato'Seri Ir. Muhamaad Nizar Jamaluddin.

Tarikh/Hari :
28 Feb 2010/AHAD

Jam :
3.00 Petang

Tempat :
Padang Taman Meru 1 B

Semua dijemput hadir.

Terima kasih kepada semua....

12 Rabiul Awwal 1431H.

Berikutan dengan sedikit musibah yang menimpa saya kelmarin, sampai saat ini saya masih menerima sms dan talifon dari teman seperjuangan dan para penyokong Pakatan Rakyat bertanyakan khabar.

Alhamdulillah boleh dikatakan hampir sepenuhnya pulih dari "trauma" kesan dari kemalangan yang tidak pernah saya alami sebelum ini sejak saya memiliki kereta sendiri sejak 1994.

Hampir semua mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk saya, dan mungkin kerana itulah saya semakin kuat semangat sebelum berangkat ke Miri petang ini.

Namun itulah dikatakan kehidupan, sebanyak maanusia yang mendoakan kebaikan untuk diri saya ada juga yang mendoakan dan mengharapkan yang tidak baik untuk saya. Walaupun saya tidak meminta namun itulah dinamakan kehidupan dan tanggungjawab sesama Islam untuk mendoakan kebaikan untuk saudaranya.

Itulah ujian dan cabaran hidup seperti antara komen yang tidak sangup terbitkan diblog kesayangan dengan katanya nya.....Masih hidup lagi....

bagi memastikan itu komen mengenai berita kemalangan saya, sempat saya cuba terbitkan dan memadamnya dengan segera. Jelas saudara telah mendoakan sesuatu yang buruk untuk saya.

Dengan memperkenalkan diri sebagai "Rahman", rupanya saudara yang mengirim komen tidak seRahmannya Allah SWT kepada para makhlukNya.

Yang pasti "rahman" yang mengirin komen diatas tidak lah teman-teman yang bernama Rahman yang saya kenali, firasat saya ia adalah orang melayu yang lahir setelah 50 tahun UMNO memerintah negara yang jahil dan tidak faham Islam.

Malu saya kalau ada manusia yang menggunakan salah satu Asmaul Husna Allah SWT namun perangai dan komennya adalah semacam meminjam lidah orang yang tidak beriman.

Buat "rahman" saya tetap mendoakan yang terbaik untuk anda dan sentiasa diberikan peluang untuk panjang umur bagi mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah SWT.

Disamp[ing dihari mulia kelahiran junjungan Rasulullah semuga saudara lebih mengenali akhlak Islam.

Saya doakan supaya saya terus bersabar dengan karenah manusia dan komen yang melampau itu. Sedikit sakit dihati yang saya rasakan kerana komen yang sedemikian tidak sesakit luka dan kecederaan parah kalau itu ditakdirkan kelmarin. Alhamdulillah saya selamat.

Namun hidup mati , ajal dan maut adalah ketentuan Ilahi yang tidak mungkin dapat kita sanggah. Kerana itu bila Izrail sudah berada dihadapan kita siapapun tidak dapat memohon ditangguhkan mati yang pasti segera mengiringi kehidupan ini termasuklah "rahman" yang tidak berhati perut itu.

Adun Titi Serong selamat dalam kemalangan



12 Rabiul Awwal 1431h.
Ismail Hashim
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Feb: Adun Titi Serong, Perak, Drs Khalil Idham Lim terlibat dalam kemalangan kereta di Bukit Berapit petang semalam ketika dalam perjalanan memenuhi undangan program hi-tea dan ceramah di Tapah.

Ketika dihubungi, Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata, beliau dan pemandunya tidak dapat mengelak apabila tiba-tiba sahaja sebuah lori kontena keluar dan meski mengelak namun berlaku juga geselan di sebelah kiri.

“Saya bersyukur kerana kami tidak mengalami apa-apa kecederaan meskipun kereta saya mengalami kerosakan teruk, namun dalam keadaan menggeletar dan trauma, saya masih boleh keluar dan menghubungi kawan-kawan berhampiran,” jelasnya.

Di dalam blognya, Cina Islam, beliau menyatakan selamat sampai sekitar jam 10.30 malam tadi di rumahnya di Parit Buntar dihantar oleh Unit Amal Bukit Gantang.

“Sebenarnya sehari dua ini badan juga kurang sihat dan pagi tadi saya sempat menemui doktor meminta ubat batuk, demam dan selsema. Selain itu saya mengambil peluang untuk memeriksa jantung, kolesterol dan kandungan gula. Alhamdulillah keadaan jantung dalam keadaan baik, kandungan gula 4.2 dan kolesterol 5.06. Kata doktor semuanya baik dan normal.

“Alhamdulillah saya dalam keadaan baik dan akan kembali bertugas esok hari. Petang esok saya akan menaiki kapal terbang dari Penang ke KL untuk menaiki kapal terbang ke Miri, Sarawak pada awal pagi sabtu ini kerana program yang telah diatur lebih awal.

”Awal pagi minggu 28 Februari saya balik ke Kuala Lumpur untuk mengikuti tiga program yang diatur dan hanya akan kembali ke Parit Buntar pada pagi Isnin depan,” tambahnya lagi.

Menurutnya, semangat kembali pulih walaupun telinga masih rasa bengang dan terbayang-bayang bagaimana kejadian petang tadi, namun tidak melemahkan semangat untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, pimpinan PAS Perak serta sahabat-sahabat yang membantu semasa dan selepas kejadian, ketika membuat laporan di IPD Kuala Kangsar sehinggalah yang menghantarnya sampai ke rumah di Parit Buntar.

Sejarah Yang Di Gelapkan UMNO: Jatuhnya Empayar Melaka kerana pemimpin yang celaka!

12 Rabiul Awal 1431H.
http://kraiutara.blogspot.com

Kejatuhan Empayar Melayu Melaka Satu Konspirasi
hijabulcrewz.blogspot.com

Sekali lagi sejarah digelapkan. Gelap dan semakin malap dek kerana ramai antara kita yang malas mengkaji dan menggali asal-usul sejarah tamadun kita. Kita hanya menerima bulat-bulat apa yang diajar dalam buku teks sejarah di sekolah, universiti dan lain-lain pusat pengajian tinggi.

Saya percaya banyak sebenarnya yang kita tidak tahu tentang kekuatan sebenar bangsa kita dahulukala dan memang ada pihak berkepentingan yang tidak mahu kita tahu. Pihak yang mana? Banyak... Paling utama adalah penjajah Barat pro Zionis, disokong para pemikir Orientalis. Bersama, mereka amat berkuasa menentukan arah hala-tuju sosio-politik dunia di samping mengawal kurikulum pelajaran sejagat lalu menulis sejarah termasuk tentang tanah-air kita mengikut kaca-mata dan kepentingan mereka sahaja.

Dan saya juga percaya, rangkaian Zionis serta sekutu mereka yang bergerak di balik tabir sambil memakai pelbagai topeng seperti persatuan membela hak asasi manusia dan gerakan politik pembaharuan amat arif akan ilmu jiwa dan sosiologi yang diperlukan untuk meneruskan agenda penggelapan ini kerana memang mahukan umat Islam sentiasa rasa kerdil dan celaru jatidiri akibat kurang faham hakikat asal-usul kita yang sebenar.

Kita sering disogokkan dengan sejarah "rasmi" bahawa keSultanan Melaka yang merupakan simbol kegemilangan bangsa Melayu dahulukala jatuh ke tangan Portugis kerana ia bersifat kuno berbanding kuasa Barat. Kita diajar, budaya ilmu kita tidak sehebat Barat maka itu kita tidak mampu menepis kedatangan mereka. Kita diberitahu berulang-kali, kita kalah kerana pejuang kita cuma mengharapkan keris, tombak dan pedang sedangkan Portugis dan bangsa-bangsa Barat lain memiliki pistol, senapang dan meriam yang mampu membunuh daripada jauh. Maka itu, kita pun digambarkan seperti orang hutan yang duduk atas pokok lalu "sudah patutlah" kita dikalahkan dengan senang. Betulkah semua ini? Pernahkah kita fikirkan apakah kebenarannya secara mendalam?

Pernahkah anda bertanya secara jujur, mengapa Kota Melaka yang digelar Barat sebagai “Venice of the East” boleh kalah dengan mudah? Bukankah ia diakui ramai sebagai kota paling makmur di rantau ini pada zaman itu? Dan untuk mempertahankannya, bukankah Melaka memiliki angkatan perang hebat termasuk kelengkapan laut yang amat besar dan paling canggih di bumi Melayu? Lalu bagaimana ia boleh jatuh ke tangan Portugis yang menurut ceritanya cuma membawa beberapa buah kapal sahaja? Apakah kelengkapan Melaka begitu lemah?

Sejarah rasmi sering menyebut Melaka jatuh kerana kelengkapan moden angkatan Portugis mengatasi kelengkapan kuno orang Melayu. Mereka memiliki meriam-meriam berkuasa tinggi, istinggar (pistol lama), baju dan perisai besi sedangkan orang Melayu kononnya cuma mengharapkan tombak, lembing, pedang dan keris. Pakai pula baju Melayu yang senang dirobek senjata. Orang Portugis pakai baju besi yang tidak lut dek keris. Mana tak Melayu kalah? Kuno dan mundur ketinggalan zaman.

Tetapi tanyalah diri anda secara jujur. Apakah orang Melaka yang ketika itu telah lama menerima para pengunjung dan pedagang dari peradaban-peradaban besar seperti empayar Islam di Timur Tengah, China dan India begitu daif dan mundur? Kita telah lama menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang jauh lebih maju daripada Barat zaman itu. Apakah orang Melayu tidak mengerti keperluan pertahanan untuk menjaga sebuah kota yang menjadi nadi perdagangan Nusantara malah seluruh dunia? Apakah bangsa kita begitu kolot dan bodoh?

Jawapannya tidak sama sekali. Malah, ada kajian yang dijalankan menunjukkan kerajaan-kerajaan melayu di nusantara adalah pembuat dan pengeluar senjata-senjata api terbaik di dunia menewaskan Belanda, Portugis serta Sepanyol. Catatan-catatan pengembara dan pedagang awal Eropah, India dan Cina juga menunjukkan kerajaan-kerajaan nusantara yang mengelilingi kerajaan melayu Melaka ketika itu adalah pengeluar utama meriam-meriam hebat dan berkuasa di dunia seperti Kesultanan Brunei, Kesultanan Pattani, Kesultanan Sulu dan beberapa kerajaan melayu lain di Asia Tenggara.

Malahan, Kerajaan Islam Turki Uthmaniah juga pernah membeli meriam-meriam yang berkualiti daripada kerajaan-kerajaan kesultanan melayu di nusantara. Apakah Sultan-sultan Melaka yang memiliki pelabuhan paling kaya di timur menjadi buta dan tuli tidak mendapatkan senjata-senjata ini daripada kerajaan-kerajaan yang berjiran sedangkan kerajaan-kerajaan Eropah, Timur Tengah, India dan Cina mahupun Jepun berebut -rebut ingin mendapatkan senjata-senjata ini daripada nusantara ini ???

Catatan ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menyebut, setelah Kota Melaka dikalahkan, Portugis telah merampas 3,000 pucuk meriam dan katanya itu baru separuh daripada meriam milik Melaka. Maknanya kota itu sudah ada 6,000 pucuk meriam ketika itu dan ini adalah cerita 500 tahun dahulu! Ada cerita menyebut, orang Portugis terjumpa sebuah benda ajaib di istana Melaka. Bila dipandang objek tersebut, muncullah muka manusia di dalamnya. Apabila diteliti balik, muka manusia itu adalah muka orang yang memandang. Rupa-rupanya objek itu adalah cermin tetapi orang Portugis baru kali pertama melihatnya! Jadi siapakah yang kuno dan siapakah yang lebih bertamadun? Kalau orang Melaka sudah bertamadun lebih tinggi daripada Portugis, kenapa pula ia boleh jatuh ke tangan Barat?

Kerajaan yang begini hebat di nusantara hanya boleh ditewaskan oleh gabungan tentera-tentera Portugis,Kerajaan-kerajaan kecil di Sumatera dan Jawa,askar-askar upahan dari Goa,Jawa dan Siam ditambah dengan pembelot dan pengkhianat dalam daripada para pedagang asing dan orang-orang melayu sendiri.

Melaka jatuh bukan kerana orang Melayu kuno. Dari dahulu lagi Melaka sudah memiliki meriam-meriam besar, pemuras, istinggar dan lain-lain senjata api. Melayu juga sudah mengenal apa itu baju besi dan sudah mahir menempa baju besi untuk kegunaan ketenteraan. Mereka yang memilih untuk berlawan dengan keris, tombak dan lembing pula bukan calang-calang orang. Bukan tidak pernah melihat senjata moden atau berfikiran kuno. Percaya atau tidak, mereka memiliki kebolehan tertentu untuk mengatasi alatan canggih.

Angkatan laut Melaka yang sering meronda sepanjang Selat Melaka, laluan dagang tersibuk di dunia sampai sekarang pula diakui kecekapannya. Di bawah kepimpinan tokoh-tokoh berwibawa seperti Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah, ia telah berjaya memukul mundur armada laut Siam, juga ancaman mana-mana pihak. Bukankah ia cukup besar dan kuat untuk menjamin keselamatan penduduk, pendatang dan pedagang sepanjang Selat Melaka?

Mampu meronda dari utara Semenanjung sehingga selatan ke Pulau Jawa, memantau dan menghidu pergerakan musuh sebelum mereka dapat menghampiri pusat pemerintahan di Kota Melaka. Lalu bagaimana Kota Melaka boleh jatuh? Lebih pelik lagi, di manakah angkatan laut Melaka ketika ia diserang?

Bacalah mana-mana buku cerita atau sejarah mengenai kejatuhan Melaka termasuk tulisan Barat yang berat sebelah. Tiada satu pun yang menyebut tentang angkatan tentera laut Melaka yang ikut mempertahankan kota Melaka. Angkatan laut ini langsung tidak terlibat sehingga Melaka dengan senangnya boleh dibedil Portugis dari laut. Tidak ada satu pun kapal Melaka menghalang, tidak ada apa-apa sekatan. Tidakkah ini aneh?

Memang perlu diakui bahawa Sultan yang memerintah Melaka ketika itu telah melakukan kesilapan besar antaranya melantik pembesar-pembesar yang gilakan kuasa serta korup. Sultan Melaka ketika itu juga dikatakan sering berfoya-foya dengan penzinaan dan arak.Wallahualam.

Mereka yang benar-benar berkebolehan dipinggirkan sedangkan pembesar berwibawa yang masih ada menjadi tawar hati. Bagaimana jentera pertahanan hendak digerakkan dengan cekap? Mungkin penduduk Melaka sendiri serta para pedangang luar sudah siap sedia membelot, membuka laluan untuk Portugis menawan Melaka? Atau memang sudah lama wujud gunting dalam lipatan yang inginkan Melaka jatuh sehingga angkatan laut Melaka tidak berfungsi sama sekali?

Ada cerita lama orang tua-tua Melayu menyebut kebanyakan kapal yang menyerang Kota Melaka sebenarnya bukan milik Portugis tetapi Melayu, kapal angkatan laut Melaka juga! Sebuah laporan Portugis pula menyebut mereka ada ternampak sebuah angkatan laut yang dikenalpasti milik orang Melayu sedang disediakan untuk menyerang dari satu tempat di perairan Melaka. Mungkin benar Tun Mutahir sedang bersiap-sedia untuk merampas takhta atau ada pihak lain bertanggungjawab tetapi menuduh Bendahara pula yang ingin berlaku khianat? Yang pasti, ada pihak yang membelot. Si Kitol dan Raja Mendeliar sudah pasti. Namun, masih ada pembelot yang lain yang terlepas daripada catatan sejarah.

Apapun, nasi sudah menjadi bubur. Melaka jatuh dan terus dijajah selama lebih 400 tahun. Sultan Mahmud pula menjadi orang pelarian dan menurut ceritanya, terpaksa meninggalkan Kota Melaka lari selatan ke Muar. Itupun terus dikejar Portugis, tidak boleh duduk aman lama di satu lokasi, terpaksalah hidup merempat dari satu tempat ke satu tempat. Apakah baginda menyesal atas segala perbuatannya dahulu?
“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna!”

Jadi, semua rakyat Malaysia boleh mengambil pengajaran daripada peristiwa kejatuhan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka ini. Pemimpin yang korup serta tidak amanah menjual kedaulatan negara haruslah diganti dengan pemimpin yang amanah dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara serta yang paling penting mengamalkan perintah Allah dan rasulnya.

Sekian.

JANGAN JADI MACAM UMNO SAMBUT MAULIDUL RASUL

12 Rabiul Awal 1431
OLEH: JJ ANAK DESA
joharapat.blogspot.com

Tarikh 12 Robiul Awal setiap tahun merupakan tarikh yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunmia bagi mengingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Akhir Zaman, Muhammad s.a.w.. Ianya mengingatkan kita kepada sirah Nabi, perjuanganya menegakkan agama Islam dan halangan halangan yang terpaksa ditempuh oleh Kekasih Allah itu dalam memastikan Islam dijulang.

Umat Islam di dunia khususnya di negara ini, bulan ini adalah bulan paling sebok, bulan paling banyak ceramah, masjid masjid akan mengadakan sambutan Maulidul Rasul untuk menyatakan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w.

Memperingati kelahiran Rasulullah dengan berbagai program, ada yang berarak, ada yang melakukan sambutan di tempat tertentu, ianya merupakan satu penghormatan kita terhadap Nabi Muhammasd s.a.w.

Namun satu yang perlu kita ingat, sekadar menyambut kelahiran Rasulullah sahaja tidak bermakna jika kita tidak mematuhi perintahnya, kita menghayati perjuangannya. Orang paling hebat menyambut kelahiran nabi Muhammad adalah bapa saudaranya, Abu Jahal.

Tetapi bila seruan Nabi mengajak mengesakan Allah, Abu Jahal orang yang paling hebat menentang Rasulullah. Jadinya jangan ada di kalangan umat hari ini berperangai saperti Abu Jahal.

Abu Jahal Moden ramai di zaman ini, bila sambut Maulidur Rasul, dialah yang paling kedepan, malah suaranya yang paling kuat selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad, tetapi dalam masa yang sama dialah orang paling kuat menentang Islam, menentang perjuangan Islam dan menentang Jemaah Islam yang memperjuangankan Islam.

Kita jangan jadi macam Umno sambut Maulidul Rasul. Umno pentingkan perarakan dan sepanduk, tetapi tidak pula pentingkan sunah Rasul, tidak pula menghayati perjuangan Rasul, tidak pula menjadikan Rasul sebagai contoh terbaik dalam menerintah negara.

Umno hanya pentingkan perkara perkara yang kecil, sedangkan perkara yang besar saperti memerintah negara menurut Alquran dan Al Sunnah tidak dilakukan.

Umno lebih pentingkan perayaan menyambut kelahiran Nabi Muhammad tetapi perjuangan Nabi tidak diambil iktibar, melihat kejayaan Nabi selaku ketua keluarga semata mata tetapi tidak pula melihat Nabi sebagai Ketua negara yang paling berjaya.

Umno pentingkan musabaqah Alquran, tetapi Kerajaan Umno/BN tidak pula berusaha untuk menjadikan hukum hukum dari Alquran sebagai peraturan negara. Kerajaan Umno/BN buat banyak masjid, tetapi Kerajaan itu jugalah luluskan kilang arak, memperbanyakkan lesen judi.

Jadi apa maknanya sambut Maulidul Rasul sedangkaN apa yang yang Allah dan Nabi perintah dan tegah, Umno tidak ikut dan tidak patuh. Umno hanya bersifat `Samitna waataqna (kami dengan dan kami taat) sebaliknya bersifat `samitna waasaina'(kami dengar dan kami tidak patuh).

Kita jangan jadi saperti burung kakak tua atau burung tiong yang hanya pandai bertutur mengucapkan selamat tetapi tidak tahu apa yang diucapkan. Umno pun macam burung kakak tua atau burung tiong yang hanya pandai bercakap tentang Islam tetapi Umno sendiri tidak tahu melaksanakan apa yang mereka cakapkan.

Umno kata Islam itu Syamil,lengkap, tetapi kerajaan Umno/BN mengambil sebahagiannya sahaja dan tolak sebahagian. Boleh ke ambil sebahagian dan tolak sebahagian yang lain dari Alquran? Sedangkan Allah dan Rasulnya memerintah kita terima keseluruhan. Apakah kita hendak ikut Umno/BN lagi?

Semoga sambutan Maulidur Rasul kali ini Umno dan kunco kunconya mengubah perpepsinya terhadap Islam, tidak ada lagi salah faham terhadap Islam. Islam itu memerintah bukan diperintah.