23 February 2010

Makanan Ahli Neraka.

9 Rabiul Awwal 1431H.
http://akhisalman.blogspot.com

Mukaddimah

Pengajian di zaqaziq sudah bermula. Kitab yg saya ajar adalah Fatawa Al-Marah oleh Syeikh Sya'rawi dan Fatawa Tibiah Muasirah (Fatwa perubatan semasa) oleh Dr Abdur Rahman pada setiap isnin malam selasa selepas isya. Begitu juga pengajian di markaz DPM mansurah dengan kitab MawahibuzS Samad syarah matan Zubad. Malam jumaat ini ada forum Maulid di Iskandariah bersama adik2 medik. walau begitu , Saya cuba untuk bagi masa untuk menulis di blog ini. Saya memilih tajuk ini supaya kita bertambah takut untuk melakukan maksiat. Mudah2an kita dijauhi dari nerakanya. Dosa yang perlu dijaga oleh orang agama adalah maksiat batin yang banyak memusnahkan ibadat diantaranya riya, sombong, berasa dah selamat dari neraka, sangka buruk dan lain-lain. Ini semua lebih bahaya dari maksiat zahir.

ZAQQUM

Firman Allah swt:


إِنَّ شَجَرَةَ الزَّقُّومِ طَعَامُ الْأَثِيمِ كَالْمُهْلِ يَغْلِي فِي الْبُطُونِ كَغَلْيِ الْحَمِيمِ


Sesungguhnya pohon zaqqum itu, makanan orang yang banyak berdosa. Ia bagaikan kotoran minyak yang mendidih di dalam perut, seperti mendidihnya air yang amat panas. (43 – 46 : ad-Dukhan)

Firman Allah swt:


أَذَلِكَ خَيْرٌ نُّزُلاً أَمْ شَجَرَةُ الزَّقُّومِ إِنَّا جَعَلْنَاهَا فِتْنَةً لِّلظَّالِمِينَ إِنَّهَا شَجَرَةٌ تَخْرُجُ فِي أَصْلِ الْجَحِيمِ طَلْعُهَا كَأَنَّهُ رُؤُوسُ الشَّيَاطِينِ فَإِنَّهُمْ لَآكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِؤُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ


(Makanan surga) itukah hidangan yang lebih baik ataukah pohon zaqqum.?Sesungguhnya Kami menjadikan pohon zaqqum itu sebagai ujian bagi orang-orang yang zalim (samada mereka percaya atau tidak). Sesungguhnya ia adalah sebatang pohon yang tumbuh dari dasar neraka. Buahnya seperti kepala syaitan-syaitan. Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebagian dari buah pohon itu sehingga memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu. (62 – 66 : as-Saffat)

Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya Nabi saw membaca ayat ini:

اتَّقُواْ اللّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

“bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.”

Rasulullah saw bersabda:


لَوْ أَنَّ قَطْرَةَ الزَّقُّوْمِ قَطَرَتْ فِي دَارِ الدُّنْيَا لَأَفْسَدَتْ عَلَى أَهْلِ الدُّنْيَا مَعَايِشِهِمْ فَكَيْفَ بِمَنْ يَكُوْنُ طَعَامهُ؟



“Sekiranya setitis zaqum menitis ke dunia nescaya akan merosakkan seluruh kehidupan ahli dunia. Bagaimana keadaan orang yang setiap hari buah zaqum menjadi makanannya?”

Hadis riwayat Tirmizi, Nasaie, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban. Syekh Syuaib menyatakan sanad hadis ini sahih.

Imam Ibnu Kathir berkata:

“Allah swt menyatakan mereka memakan pokok ini walaupun rupanya sangat buruk dan sangat hodoh. Tambahan lagi dengan rasanya yang tidak sedap dan bau yang busuk. Mereka terpaksa makan kerana tidak ada yang lain.”

GISLIN

Firman Allah swt:


فَلَيْسَ لَهُ الْيَوْمَ هَاهُنَا حَمِيمٌ وَلَا طَعَامٌ إِلَّا مِنْ غِسْلِين لَا يَأْكُلُهُ إِلَّا الْخَاطِؤُونَ


Maka tiada seorang temanpun baginya pada hari ini di neraka ini Dan tiada (pula) makanan sedikitpun (baginya) kecuali dari darah dan nanah. Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa. (35-37 : al-Haqqah)

Ulama berselisih pendapat terhadap hakikat Gislin seperti berikut:

1. Nanah ahli neraka yang keluar dari luka dan kemaluan mereka. (Ibnu Abbas)
2. Pohon yang menjadi makanan ahli neraka. (Dahhak dan Rabie bin Anas)
3. Air dari basuhan daging dan darah ahli neraka. (Akhfasy)

DARIE’

Firman Allah swt:


لَّيْسَ لَهُمْ طَعَامٌ إِلَّا مِن ضَرِيعٍ لَا يُسْمِنُ وَلَا يُغْنِي مِن جُوعٍ


Mereka tiada memperoleh makanan selain dari pohon yang berduri. yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar. ( 6 dan 7 : al-Ghasiah)

Para Ulama berselisih pendapat terhadap Darie’. Diantaranya adalah seperti berikut:

1. Tumbuhan yang berduri yang melata di tanah. (Pendapat Ikrimah, Mujahid dan kebanyakan ulama tafsir)

2. Batu (pendapat Said bin Jubair)

3. Tumbuhan hijau yang busuk. Ianya dilemparkan laut ke daratan. (pendapat Khalil)

4. Pohon berasal dari api neraka. (Pendapat Ibnu Abbas)

Pendapat yang dipilih adalah seperti yang dinyatakan oleh Imam Qurtubi:

“Pendapat yang lebih jelas adalah ianya pokok yang berduri seperti ianya di dunia. Daripada Ibnu Abbas ra, Nabi saw bersabda:

“ Darie adalah sesuatu yang ada dalam neraka. Ia meyerupai duri. Lebih pahit dari pokok lidah buaya. Lebih busuk dari bangkai. Lebih panas dari api. Allah swt namakannya sebagai Darie.” (Hadis riwayat Ibnu Mardawiyah – sanadnya lemah)

MAKANAN YANG SUKAR UNTUK DITELAN


إِنَّ لَدَيْنَا أَنكَالاً وَجَحِيماً وَطَعَاماً ذَا غُصَّةٍ وَعَذَاباً أَلِيماً


Karena sesungguhnya pada sisi Kami ada belenggu-belenggu yang berat dan neraka yang menyala-nyala. Dan makanan yang menyebabkan tercekik di kerongkong dan azab yang pedih. (12 – 13 : al-Haqqah)

Ibnu Abbas berkata:

“Makanan yang tidak boleh ditelan dan tersangkut di halkum. Tidak boleh turun ke perut dan tidak boleh dikeluarkan. Makanan ini adalah Gislin, Zaqqum dan Dharie.”

KELAPARAN YANG MENYEKSAKAN

Abu Darda berkata: Rasulullah saw bersabda:


يلقي أهل النار الجوع فيعدل ما هم فيه من العذاب فيستغيثون فيغاثون من ضريع لا يسمن ولا يغني من جوع فيستغيثون بالطعام فيغاثون بطعام ذي غصة قيذكرون أنهم كانوا يجيزون الغصص في الدنيا بالشراب فيستغيثون بالشراب فيدفع إليهم الحميم بكلاليب من حديد فإذا دنت من وجوههم شوت وجوههم فإذا دخلت بطونهم قطعت ما في بطونهم


“ Dicampakkan rasa lapar kepada ahli neraka. Kelaparan yang mereka rasai menyamai azab yang mereka alami dalam neraka. Lalu mereka menjerit meminta tolong dan mereka pun diberikan Darie yang tidak menghilangkan kelaparan mereka. Lalu mereka menjerit meminta makanan dan mereka pun dibawa makanan yang menyebabkan mereka tercekik. Mereka teringat kalau tercekik didunia mereka hilangkan dengan air. Mereka pun meminta air minuman. Lalu mereka diberi air yang sangat panas dengan besi-besi panjang yang berkapala sabit. Muka mereka hangus terbakar apabila air ini menghampiri mereka. Segala isi perut terputus apabila masuk kedalam perut mereka.

Hadis riwayat Tirmizi dengan sanad yang lemah. Kebanyakan apa yang disebut dalam hadis ini ada disebut dalam ayat Quran dan Hadis sahih yang lain.

OLEH ITU KITA MESTI BERWASPADA DARI MELAKUKAN MAKSIAT DAN HENDAKLAH BERSUNGGUH-SUNGGUH MELAKUKAN TAAT. JANGANLAH KITA BERPUAS HATI DENGAN APA YANG KITA AMALKAN. AMALAN ITU MUDAH ITU DILAKUKAN TETAPI MEMASTIKANNYA DITERIMA SANGAT SUKAR. SAYA HARAP AYAT2 QURAN DAN HADIS INI DIBACA DAN DIRENUNG SELALU SEHINGGA TIMBUL PERASAAN TAKUT DAN MENANGIS. iNI SEMUA UNTUK MENAMBAHKAN IMAN DAN MENJAUHKAN MAKSIAT.

RUJUKAN: Tafsir Qurtubi, Tafsir Ibnu Kathir, Tuhfatul Ahwazi, Sunan Tirmizi tahqiq syeikh Syuaib, Muntaqa oleh Dr Yusuf Qardawi, Tazkirah oleh Qurtubi, Buhur Zahirah oleh Imam as-Safirani.

Hadits pilihan.

9 Rabiul Awwal 1431H.

Sabda Rasulullah saw "Tidak boleh taat kepada pemimpin dalam hal maksiat kepada Allah kerana kewajipan taat hanya dalam urusan yang baik" (Bukhori)

Sabah : Gempa di Keningau, Letupan di Labuan.

Dua kejadian yang menggemparkan berlaku di negeri bawah bayu Sabah hari ini. Pertamanya Bernama melaporkan satu gempa bumi lemah pada 3.0 skala Richter berlaku di Keningau, Sabah pada jam 12.46 tengah hari tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan, berkata gempa itu berpusat di garisan lintang 5.1 Utara dan garisan bujur 116.14 Timur iaitu 31km dari barat daya Keningau dan 100km dari selatan Kota Kinabalu.

"Gegaran kecil mungkin dirasai di kawasan sekitar," kata kenyataan itu di sini.

Sementara itu dilaporkan juga satu letupan besar berlaku di cerowong pembuangan gas terkawal (S1001 Flare Tip) Petronas Methanol Labuan (PML) hari ini, memaksa operasi di tapak loji minyak bernilai RM511 juta itu dihentikan.

Seramai 82 pekerja kontrak dan 46 petugas Petronas Methanol Labuan sedang bekerja di situ ketika letupan berlaku jam 11.37 pagi tadi, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Duah jentera bomba masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan dan unit bomba penyelamat PML dikerah mengawal kebakaran akibat letupan tersebut, dan berjaya mengawal keadaan 30 minit kemudian.

Bercakap kepada satu sidang akhbar, Ketua Produksi PML, Mohd Kamis Abdul Manap, berkata siasatan terperinci akan dibuat bagi mengenal pasti punca letupan.

"Kita akan buat siasatan menyeluruh sebelum kerja-kerja dapat diteruskan di tapak loji ini.

"Ini adalah kejadian pertama berlaku di cerowong pembuangan gas asli terkawal ini. Kita akan mengenal pasti sama ada wujudnya kepincangan dalam aspek keselamatan," katanya.

Petronas Methanol Labuan memiliki loji methanol yang dibina pada 1984 dan mampu menghasilkan 60,000 methanol setahun.

Pelanggan terbesar PML adalah loji propilena Methyl Tertiary Butyl Ether (MTBE) di Kuantan, Pahang dengan keperluan tahunan sebanyak 110,000 tan.

Pasaran lain termasuklah Jepun, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Korea, Taiwan dan China.

Pada 2007, dua pekerja sub-kontrak Petronas parah terbakar dalam satu letupan ketika melaksanakan kerja pengimpalan di plant PML di Rancha-Rancha. -

Kematian & Peringatan Untuk Kita Semua

8 Rabiul Awwal 1431H
Oleh : Ustaz Emran

Membicarakan perihal kematian akan membuatkan kita terdiam sejenak, kelu dan hilang kata-kata sewaktu rancak berbicara.

Sesiapa sahaja yang sedang asyik ketawa dan berbicara tentang perihal dunia maka pastinya akan terdiam atau sekurangnya merasa kurang enak apabila kita berbicara tentang kematian.

Kematian

"(Dialah) yang menjadikan mati dan hidup, agar Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". (Al-Mulk: 2).

Cubalah berbicara tentang meninggal dunia, mengingati orang-orang sekeliling kita yang telah pergi mengadap Allah, jasad yang kaku, hilang segala-galanya hubungan dengan kehidupan.

Fikirkan pula tentang kubur, ruangan yang kecil, perlahan-lahan jasad diturunkan ke dalam lubang lalu ditimbus.

Gelap gelita, sempit sehingga sesak nafas, apa masih bernafaskah ? Ruangan yang gelap dan kehidupan yang tidak pasti apa akan berlaku seterusnya di hadapan. Kehidupan lalu di dunia semuanya terputus dan hilang tanpa ada upaya kembali walau sesaat untuk menguruskan apa yang belum sempat.

Tiada masa dan tidak akan ada peluang untuk membetulkan kembali kesalahan lalu, apakah masih berpeluang merangkak keluar dari kubur dengan jasad yang sudah tiada nyawa, tiada darah mengalir, badan yang sejuk kaku dan lama-lama membusuk ?

Masih berpeluangkah merangkak keluar dan kembali ke dunia dan kembali ke sisi keluarga untuk mengucup pipi ibu dan ayah bagi melepas rindu ? atau memeluk isteri barang sekali dua melepas rasa dendam kasih atau mencium anak-anak dan mengusap wajah dan kepala mereka sekejap cuma ?

Punyai waktu lagikah untuk menguruskan beberapa kerja yang tertangguh yang belum sempat disiapkan disebabkan datangnya malaikat mencabut nyawa dengan begitu cepat tanpa sempat membuat persediaan dan tanpa pemberitahuan ?

"Tiap-tiap umat memiliki ajal (batas waktu); maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak akan dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat pula mempercepatkannya" . (al-A’raaf: 34).

Kematian datang secara tiba-tiba dan tiada sesiapa dari kalangan manusia yang tidak terkejut dengan mati kecuali orang yang benar-benar beriman dan berjuang di jalan Allah yang mengharapkan kematian kerana Allah swt.

Kematian boleh berlaku dengan kemalangan, kecederaan atau sakit atau kadang-kadang tergempar dan tiba-tiba begitu sahaja. Maka hendaklah difahami bahawa tujuan hidup ini ialah beribadah dan melaksanakan satu misi khusus iaitu menjadi hamba dan beribadah kepada Allah swt sehingga mendapat redha-Nya dan memenuhi tanggungjawab kepada-Nya.

"Apakah manusia mengira, bahwa dia akan dibiarkan sia-sia?" (al-Qiyamah: 36)


Berkata Imam Syafi’i (ketika menafsirkan ayat ini): “Makna sia-sia adalah tanpa ada perintah, tanpa ada larangan.” (Tafsirul Quranul Karim, Ibnu Katsir, jilid 4, cet. Maktabah Darus Salam, 1413 H hal. 478) .

Ayat ini sudah dijawab oleh Allah swt dengan ayat yang lain apabila Allah menyebut : "Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepada-Ku." (adz-Dzariyat: 56).

Penciptaan manusia ini sememangnya untuk beribadah dan menjalankan kewajipan kepada Allah swt tanpa mempedulikan apa pandangan manusia dan penghinaan yang diterima.

Seseorang yang akan mati maka tetap akan mati tetapi hendaklah berusaha mencapai kematian yang baik. Bagaimanakah kematian yang baik ? Apakah mati di atas tilam dalam pelukan isteri ? Mati di Mekah di dalam Ka'bah atau mati di dalam Masjid ? atau Mati di dalam loji najis atau mati di dalam Kereta kerana kemalangan atau di atas katil kerana sakit atau di atas jalan kerana ditembak oleh musuh Allah ??

Kematian yang baik ialah apa yang disebutkan oleh Allah swt di dalam kitab-Nya : "Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kalian kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kalian mati melainkan kalian mati dalam keadaan Islam". (Ali Imran: 102).

Selama kematian itu dalam Islam dan kerana Islam maka tidakah mengapa keadaan mati itu kerana bukan cara mati itu baik digantung, ditembak, dibunuh, kemalangan itu yang menjadi perkiraan sebaliknya keadaan diri dan iman dan agama kita sewaktu mati itu yang menjadi nilaian Allah swt.


Permasalahan Qadha Solat Bagi Yang Meninggalkan Solat Tanpa uzur

8 Rabiul Awwal 1431H
Oleh : Ustaz Emran

Keuzuran yang syar’ie yang membuatkan seseorang itu tidak berdosa ketika meninggalkan solat ialah gila, terlupa atau tertidur, dipaksa, sudah menunaikan solat secara jamak, ketakutan yang bersangatan kerana ancaman keadaan (seperti yang berlaku ketika peperangan khandak lihat dalam Bukhari no. 598).

Adapun selainnya baik lelaki dan perempuan yang berakal, Islam, serta telah baligh maka baginya kewajipan yang ditetapkan supaya mendirikan solat.

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Bersabda rasulullah salallahualaihiwasa lam : “ Sesungguhnya antara (pembatas) seorang lelaki itu dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan solat” (hadith sahih riwayat Muslim no. 987, Abu Daud, Nasaie).

Perintah menunaikan solat ialah satu kewajipan sehingga bagi yang sakit tidak terlepas dari kewajipan menunaikannya selama mempunyai akal apabila Islam memberi kelonggaran supaya harusnya menunaikan solat dengan keadaan duduk, berbaring dan bahkan dengan gerak isyarat mata atau sehingga jika tidak mampu cukup dengan lintasan hati selama ianya masih sedar dan berakal.

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah semampu kamu” (At-taghabun :16).

Juga sekiranya tiada air demi bersuci dan berwudhuk maka Islam membolehkan bertayamum mengunakan debu tanah yang berada di sekeliling dunia.

“ Apabila kamu tidak menemui air maka bertayammumlah dengan debu tanah yang suci..” (Al-maidah : 43)

Perbuatan meninggalkan solat ialah dosa besar dan termasuk salah satu di antara dosa yang boleh membawa kufur kepada pelakunya. Sekiranya ada sesiapa yang meninggalkan solat kerana mengingkari kewajipannya dan membenci perbuatan solat yang merupakan ibadah ini dan menganggap menyusahkan maka ianya tanpa syak kufur dan murtad dari agama Islam dengan ijmak ulama (Al-Majmuk m/s 16 Jilid 3, Hukum Meninggalkan Solat oleh Ibn Qayyim).

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Adapun yang meninggalkan solat dengan sebab malas dan leka serta lalai kerana dunia dan dalam masa yang sama tidaklah menafikan kewajipan solat dan tidak pula bermaksud mengingkari perintah Allah maka baginya hukum fasiq dan munafiq namun masih tetap dianggap muslim dan dipelihara haknya sebagai muslim tetapi tetap wajar menerima hukuman dan teguran. Demikian mazhab As-Sauri , Abi Hanifah dan golongan Maliki serta Syafie dan Ahmad dari riwayat-riwayat lain yang darinya (lihat Mughni Muhtaj, Al-Majmuk dll).

Sekalipun mereka ini yang berpendapat tidak jatuh kafir bagi orang yang meninggalkan solat dengan sebab malas dan leka serta lalai namun para ulama ini tidak pula bermaksud mengambil pandang ringan kerana mereka tetap menetapkan perlaku dosa besar meninggalkan solat ini mesti dihukum dengan hukuman bunuh dan ini pendapat Maliki serta Syafie.

Adapun pendapat yang mengatakan mereka ini tidak dibunuh sebaliknya disebat dan dipenjara sehingga mati atau bertaubat nasuha dan ini pula ialah pendapat dari mazhab Az-Zuhri dan Ibn Musayyib serta Umar Ibn Abd Aziz dan Abu Hanifah dan Ibn Hazm.

Manakala sebahagian yang lain tetap mengkafirkan golongan ini yang meninggalkan solat tanpa uzur sekalipun tidak menolak kewajipan solat dengan menjatuhkan hukum kafir dan murtad dari Islam kerana meninggalkan solat yang merupakan rukun Islam dan mereka ialah mazhab Said ibn Jubair , Auzaie, Ibn Mubarak, Ishaq dan riwayat yang sahih dari Imam Ahmad dan salah satu qaul dari mazhab Syafie serta Ibn hazm dengan riwayat daripada Umar ibn Khatab , Muadz ibn Jabal dan Abd rahman ibn Auf serta Abi Hurairah dan selainnya dari sahabat rasulullah ra (lihat dalam Al-Insof, Majmuk Fatawa, Hukum Meninggalkan solat oleh Ibn Qayyim).

Pelbagai khilaf dan hujah serta dalil dalam masalah ini namun saya tidak berhajat memanjangkan bicara dalam masalah khilaf ini sebaliknya terus kepada isi pokok perbincangan iaitu tentang perihal qadha solat bagi yang meninggalkan solat tanpa uzur.

Ketahuilah baik salah satu diantara kedua kedudukan hukum golongan yang meninggalkan solat apakah kafir atau fasiq dan munafiq maka keduanya berdosa besar dan bukanlah ringan dan baik sebaliknya tercela dan dibenci dengan kemurkaan Allah swt.

Pendapat yang membolehkan dan mewajibkan qadha bagi yang meninggalkan solat ialah mazhab jumhur ulama daripada imam mazhab yang empat dan ianya dengan syarat hendaklah perlakunya yang meninggalkan solat tanpa uzur itu selain berqadha solatnya yang telah ditinggalkan maka hendaklah juga bertaubat dengan taubat nasuha atas dosa besarnya itu (lihat dalam Al-Majmuk, Al-Insof dll).

Bukanlah bermakna bolehnya qadha solat itu maka diri pembuat dosa boleh terselamat dan terampun dosa sebaliknya hanya usaha ikhtiar selain taubat nasuha bagi menebus kesalahan yang telah dilakukan.

Adapun pendapat selainnya yang mengatakan tiada qadha bagi solat yang ditinggalkan ialah pendapat Umar ibn Khattab dan ibn Umar serta Sa’ad ibn Abi Waqas dan Ibn Mas’ud ra, Ibn Sirrin , Ibn Hazm, dan juga pendapat daripada Syeikhul Islam ibn Taimiyyah ra serta jumlah besar dari salaf soleh yang lain.

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Demikian jumlah besar menolak adanya qadha solat dengan dalil bahawa solat ini satu kewajipan yang dibuat hanya pada waktunya bukan diluar waktunya (lihat Al-Muhalla ibn Hazm, Majmuk Fatawa, Nailur Authar dll).

Dalam hal ini satu keputusan dapat diambil bahawa golongan yang menolak adanya qadha solat ialah kerana selain menetapkan solat dilaksanakan pada waktu khas dan jika selainnya tidak lagi dikira maka mereka juga mengkafirkan peninggal solat sehingga tiada guna menunaikan qadha lagi.

Keadaan ini dapat diselesaikan hanya apabila orang yang meninggalkan solat ini bertaubat dan kembali dengan taubat nasuha serta di sini mereka diwajibkan melakukan qadha.

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (yang sersungguh-sungguh) moga tuhanmu akan menghapuskan dosa-dosa kamu …” (At-Tahrim : 8).

Maka bagi yang bertaubat dengan taubat nasuha maka hendaklah dia mengulangi segala solat yang telah ditinggalkan dengan melakukan solat pada waktunya dan memperbanyakkan solat-solat sunat.

Ini berdasarkan kepada hadith rasul yang menyebut : “Sesungguhnya yang paling awal akan dihisab di hari akhirat daripada amal perbuatan ialah solat dan sekiranya baik (solatnya) maka telah berjaya dan selamat dan sekiranya rosak (meninggalkan) solatnya maka gagal dan rugilah dia serta jika berkurang pahala dari solat wajibnya maka akan berkatalah tuhan yang Mulia dan tinggi : Lihatlah apakah hambaku ini ada melakukan solat sunat dan tampunglah apa yang kurang dari yang wajib dan kemudian jadikanlah seluruh amalannya seperti itu” (hadith sahih riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi dan Ibn Majah).

wallahualam


Maulidur Rasul - Petikan Sejarah Ringkas

8 Rabiul Awwal 1431H
Email : mohd naim mohd zain

SEJARAH RINGKAS

Perayaan Maulidur rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir. Kerajaan Fatimah telah merayakan perayaan ini secara besar-besaran. Bukan hanya hari jadi Rasulullah saw sahaja yang dirayakan, tetapi juga ahli keluarga Nabi saw seperti Zainab, Hassan, Hussain (r.a.). juga dirayakan. Bahkan mereka juga merayakan kelahiran Nabi Isa as.

Walaubagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 atas perintah Perdana Menteri al-Afdal Shahindah pada ketika itu yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer. Masyarakat berhenti merayakannya sehingga Al-Ma’moon Al-Bataa’ni memegang kuasa kerajaan. Beliau telah yang memulakan kembali perayaan yang telah dihentikan sebelum itu.

Apabila Kerajaan al-Ayubbiah merampas kuasa, semua perayaan telah dihentikan. Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya dikalangan keluarga mereka di dalam rumah. Pada Abad ke 7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa’d Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen `Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil. Beliau merupakan seorang sunni. Muzafar mengambil berat akan perayaan ini sehingga memerintahkan agar persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin. Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan ini di dalam khemah yang telah didirikan itu.

Perayaan diadakan pada 8 Rabiulawal dan kadang-kadang 12 Rabiulawal. Sambutannya diisikan dengan pelbagai acara antaranya membaca sejarah Nabi (s.a.w.) sehinggalah kepada menghias binatang ternakan untuk disembelih kemudian diadakan jamuan besar-besaran.

Berkata Ibnu Haajj Abu Abdullah Al-Abdari, perayaan tersebut tersebar luas di seluruh Mesir pada zaman pemerintahan Putera Muzafar ini. Beliau menentang akan perayaan yang diadakan. Banyak buku telah ditulis mengenai perayan Maulidur Rasul ini antara penulisnya ialah Ibn Dahya, meniggal dunia pada 633, Muhy Ed-Deen Ibn Al-`Arabi, meniggal di Damascus pada 683, Ibn Taghrabik, meniggal di Mesir pada 670, dan Ahmad Al-`Azli dan anaknya Muhammad, meniggal di Sebata pada 670.

Oleh kerana amalan bid’ah yang banyak ketika perayaan itu, ulama’ telah berbeza pendapat akan kebolehan merayakan Maulid Nabi ini. Pendapat pertama membolehkan perayaan ini manakala pendapat yang kedua mengatakan sebaliknya. Antara yang membolehkan ialah As-Siyooti, Ibn Hajar Al-`Asqalaani dan Ibn Hajar Al-Haythmi. Walaupun mereka bersetuju dengan perayaan ini, mereka tetap membangkang aturcara ketika Maulid itu(pada zamannya).

HUKUM MAULID

Seperti yang telah diketahui, perayaan Maulidur Rasul ini merupakan satu perayaan yang kontroversi. Ulama’ berbeza pendapat akan kebolehan perayaan ini. Kita sebagai masyarakat awam tersepit antara dua pendapat. Yang mana perlu kita turuti. Sedangkan kedua-dua belah pihak terdiri daripada ulama’-ulama’ yang hebat dan tidak boleh ditolak lagi akan kewibawaan mereka. Di dalam artikel ini, akan dilampirkan kedua-dua belah hujah setakat mana yang mampu dikumpulkan. Melalui cara ini, kita dapat menilai sendiri yang manakah mempunyai hujah yang kuat. Dan insya Allah, kita akan berada di jalan yang benar.

HUJAH MEMBOLEHKAN MAULIDUR RASUL

Antara ulama’ yang menyokong akan Maulidur Rasul ialah Imam Jalaluddin Sayuti dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Telah berkata Imam Jalaluddin Sayuti: "Ibadat macam itu adalah bid'ah Hasanah (bid'ah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia".

Dan berkata Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan: “Telah berlaku kebiasaan bahawa orang apabila mendengar kisah Nabi dilahirkan, maka ketika Nabi lahir itu mereka berdiri bersama-sama untuk meghormati dan membesarkan Nabi Muhammad saw. Berdiri itu adalah hal yang mustahsan (bai) kerana dasarnya ialah membesarkan Nabi Muhammad saw dan sesungguhnya telah mengerjakan hal serupa itu banyak dari ulama-ulama ikutan umat.”

Berkata pula Syeikh Atiah Saqr: “Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk menyambut maulid. Apatah lagi di zaman ini pemuda pemudi Islam semakin lupa dengan agama dan kemuliannya. Perlu juga diingat sambutan tersebut janganlah dicemari oleh perkara-perkara haram dan bid’ah. Seperti pergaulan antara lelaki dan wanita tanpa batas. Kita juga tidak sewajarnya menjadikan sambutan ini sebagai satu tradisi yang khusus, sehingga timbul dalam kefahaman masyarakat jika sesuatu acara tidak dilansungkan maka seseorang itu dikira telah berdosa dan melanggar syariat.”

Syeikh Yusuf Qardawi juga telah memberi komen mengenai maulid ini.

Beliau berkata(ringkasan) : “Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah saw tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah saw. Ini adalah kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah saw dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah saw itu kekal di dalam hati dan juga ingatan. Sa’d Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah saw kepada kanak-kanak sama sepertiman keghairahan mereka mendidik anak-anak itu Al-Quran. Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah saw, maka tidak perlulah mereka merayakan sepertimana dirayakan Maulid ar-Rasul kini.

Walaubagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya. Dengan itu, perayaan Maulid Rasul ini diadakan bertujuan untuk mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah saw masih hidup. Tetapi malangnya, Maulid Rasul ini telah bercampur dengan amalan bid’ah yang ditentang oleh Islam. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam.

Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bid’ah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam.”

Berikut adalah antara dalil-dalil yang menjadi hujah bagi yang membolehkan Maulid ini:

1) Allah berfirman: “maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) mereka itulah yang beruntung.” - Al-Araf: 157 Keterangan: Tujuan maulud diadakan adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad saw. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.

2) Firman Allah: “Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah.”-Ibrahim. Ayat 5 Keterangan: Al-Baihaqi di dalam “Syakbu al-Iman” daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi saw, sesungguhnya baginda menafsirkan ‘hari-hari Allah’ ialah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani menjelaskan lagi dengan katanya “kelahiran Nabi saw merupakan nikmat yang paling besar.”

3) Bahawasanya Nabi Muhammad saw datang ke Madinah maka beliau mendapati orang-orang yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: “Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?” Jawab mereka: “Ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Firaun dan pada hari serupa itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan.” Maka Nabi berkata: “Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu.” – [Riwayat Bukhari dan Muslim.]

Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata bahawa dari hadis ini dapat dipetik hukum: - Umat Islam dibolehkan bahkan dianjurkan memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari maulud, mi’raj dan lain-lain. - Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa Asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.

4) Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata: Nabi (s.a.w.) telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu baginda bersabda: “Di hari tersebutlah aku dilahirkan dan di hari tersebut jugalah aku diutuskan.” Keterangan: Rasul saw menegaskan kelebihan hari kelahirannya berbanding hari-hari lain. Oleh itu setiap mukmin sewajarnya berlumba-lumba beramal dan bersyukur dengan kelahiran baginda saw yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

HUJAH MENENTANG MAULIDUR RASUL

Berikut antara pendapat yang menentang bersertakan hujah mereka:

1) Nabi Muhammad saw tidak pernah merayakan atau menyuruh umatnya untuk merayakan hari kelahirannya. Nabi saw telah menekankan agar jangan memperbesarkannya sepertimana orang kristian memperbesarkan Nabi Isa as. Ini dijelaskan di dalam hadis riwayat Bukhari:

Baginda bersabda, “Jangan memperbesarkan mengenai aku seperti Kristian memperbesarkan mengenai anak Maryam. Aku hanyalah hamba, jadi katakanlah, ‘hamba Allah dan pesuruh Nya.”(Au Qoma Qol)

Apa yang telah disuruh Rasulullah saw hanyalah menyuruh umatnya menjadikan hari kelahirannya satu hari untuk beribadat yang mana berbeza dengan perayaan. Bertepatanlah dengan hadis di bawah:

Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata: Nabi (s.a.w.) telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu baginda bersabda: “Di hari tersebutlah aku dilahirkan dan di hari tersebut jugalah aku diutuskan.”

“…Dan hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang diada-adakan , kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah , dan setiap bid’ah itu adalah sesat “ . [Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud]

2) Para sahabat Rasulullah dan juga umat Rasulullah saw pada 3 abad kemudian tidak pernah merayakannya walaupun merekalah orang yang lebih mencintai Rasulullah saw lebih dari umat terkemudian. .

Hadis Imran bin Husain r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya yang terbaik dari kalangan kamu ialah sezaman denganku, kemudian orang yang hidup selepas zaman aku, setelah itu orang yang hidup selepas mereka. Imran berkata: Aku tidak mengetahui kenapakah Rasulullah s.a.w menyebut selepas kurunnya sebanyak dua atau tiga kali. Selepas itu datang satu kaum yang di minta memberi penyaksian tetapi tidak di beri penyaksian, yang berkhianat sehingga tidak boleh dipercayai, yang suka bernazar tetapi tidak melaksanakannya dan sukakan kemewahan. Perayaan Maulid Nabi datang beberapa abad kemudian yang mana ciri-ciri Agama Islam yang sebenar sudah hilang dan bid’ah berleluasa.

3) Allah berfirman di dalam Al-Quran:

Katakanlah, "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. "
Katakanlah, "Taatilah Allah dan Rasul-Nya; Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir". (QS. 3:31-32)

Ayat di atas menerangkan cara menunjukkan kasih sayang yang sebenar yang patut dilakukan kepada Rasulullah saw. Ayat yang pertama di atas menjelaskan bahawa cinta itu hanyalah pengakuan, tetapi buktinya ialah menuruti apa yang Rasulullah saw bawakan. Manakla ayat kedua menekankan kepentingan dalam menuruti kehendak Allah dan Rasul Nya. Allah menyudahi ayat di atas dengan ancaman yang keras bahawa sesiapa yang tidak mahu mentaati adalah kafir dan Allah tidak mencintai orang kafir.

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agamamu. (QS. 5:3)

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (QS. 33:21)

4) Kata-kata sahabat Rasulullah saw:

Huzaufah Ibnu Al-Yamaan ra berkata : "Setiap ibadah yg tidak dilakukan oleh sahabat Rasulullah saw, maka janganlah melakukannya"

Dan berkata Ibnu Mas'ud :"Ikutlah (sunnah) dan jangan menambah, dan telah cukup bagi kamu - perbuatan yg lama (kekal dengan cara lama)"

Rujukan: www.islam-qa. com
www.islamonline. com
http://www.surau. ladang.net/
http://islam. tc/ask-imam/ index.php www.bicaramuslim. com
Artikel ‘The Milaad-A Caution against Innovation’ oleh Sheikh `Abdul `Aziz bin `Abdullaah bin Baaz Tafsir Al-Quran Pimpinan Ar-Rahman

[Fikrah Islamiah] Kesan Ulama dan Umara Tidak Berperanan

8 Rabiul Awwal 1431H
Ahmad Baei Jaafar

Umara dan ulama ada peranan masing-masing namun antara mereka perlu saling berhubung untuk kebaikan rakyat. Tetapi sejauh mana peranan itu dimainkan oleh kedua-dua belah pihak. Inilah yang menjadi persoalan yang perlu kita cari.

Siapa umara dan siapa ulama perlu dijelaskan supaya mereka tahu status sebelum. Mungkin selama ini mereka tidak kenal lalu tidak tahu hendak bertindak seperti yang sewajarnya. Mengikut penjelasan Dato’ Dr Ismail Ibrahim umara ialah pemerintah daripada Perdana Menteri sehingga pemimpin atau ketua dalam sesuatu jabatan dalam kerajaan. Oleh sebab itu padanya, mufti adalah termasuk dalam umara.

Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dalam mendifiniskan ulama menjelaskan bahawa semua cerdik pandai Islam dalam bidang ilmu Islam adalah dikira ulama. Difinisi ini dibentangkan sewaktu kedua-dua mereka membentangkan kertas kerja dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri dengan Ulama dan Umara di PICC baru-baru ini.

Berdasarkan itu umara berperanan memerintah, mentadbir, dan mengurus hal ehwal negara untuk manfaat rakyat. Semua perlu dilaksanakan dengan baik selaras dengan kehendak Islam. Pada masa yang sama, ulama berperanan mengurus hal ehwal Islam yang melibatkan masyarakat Islam termasuk pemimpin.

Jelas di sini, peranan ulama lebih besar daripada umara kerana mereka perlu memastikan perjalanan politik sesuai dengan Islam, pengurusan kerajaan selaras dengan Islam dan khidmat pegawai kerajaan adil terhadap rakyat. Ulama juga perlu memberi pendidikan iman dan takwa kepada masyarakat dan membimbing mereka agar tidak melanggar hukum Allah dan negara.

Oleh sebab itu, ulama dan umara perlu saling berhubung untuk membaik pulih dan menambahbaik urusan yang melibatkan pentadbiran dan rakyat. Jika pemimpin salah, ulama akan segera menegur. Dan jika pemimpin hendak melakukan sesuatu akiviti harus merujuk kepada ulama untuk kepastian sesuai dengan kehendak Islam.

Dalam hal ini Islam mengingatkan dua golongan ini dengan sabda Rasulullah s.a.w:

شِرَارُ العُلَمَاءِ الَّذِينَ يَأتُونَ الأُمَرَاءَ وَخِيَارُ الأُمَرَاءِ الَّذِينَ يَأتُونَ العُلَمَاءَ - رواه ابن ماجه

Maksudnya: “Seburuk-buruk ulama ialah mereka yang mendatangi umara dan sebaik-baik umara ialah mereka yang mendatangi ulama,” (Riwayat Ibnu Majah)

Hadis ini merujuk kepada sikap ulama yang datang bertemu dengan pemimpin negara untuk mengampu mereka. Jika pemerintah melakukan sesuatu perkara yang secara umum kurang baik atau salah, dicari jalan untuk menutupnya. Diusahakan untuk mendapatkan hujah al-Quran dan hadis bagi membolehkan usaha kerajaan itu diteruskan.

Keadaan ini berbeza jika umara datang kepada ulama, mereka mahu mendapatkan kepastian tentang hukum. Kalau mereka rasa ada yang tidak kena dengan pentadbiran, akan dirujuk kepada ulama. Sikap pemimpin ini adalah terpuji.

Walau bagaimanapun lazimnya umara tidak bersikap begitu. Mereka akan mengelak daripada memerintah dengan adil. Kalau perkara itu menguntungkannya atau kumpulannya dia akan memberi perhatian. Tetapi kalau perkara itu menguntungkan orang lain, mereka akan cuba memburukkan orang itu. Kata hukama’:

اِذَا رَغِبَتِ المُلُوكُ عَنِ العَدْلِ وَرَغِبَتِ الرَّعِيَّةُ عَنِ الطَاعَةِ – حكماء

Maksudnya: Biasanya pemerintah bencikan keadilan dan rakyat bencikan kepatuhan. – Hukama’

Memang rakyat suka mengambil pendekatan tidak suka mentaati pemerintah. Kadang-kadang sesuatu yang dibuat itu sudah baik tetapi ada sahaja yang mahu dikomennya. Hati kecilnya suka tetapi secara jelasnya tidak dinyatakan.

Sungguhpun begitu, kita agak kecewa juga dengan sikap ulama yang berada di jabatan agama di seluruh negara terutama yang berada di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, tidak banyak membantu rakyat ke arah mendidik mereka cara mentaati pemerintah. Sebaliknya mereka suka menghukum rakyat sebagai jahat dan derhaka jika tidak sokong pemerintah.

Mereka juga tidak agresif dalam dakwah sedangkan peruntukan untuknya terlalu banyak. Banyak pembaziran dengan perancangan yang tidak kemas. Kadang-kadang wangnya dilebihkan pada membuat kertas kerja dan upah yang tidak sepatutnya.

Jika mereka berperanan, tentu pada hari ini tidak ada lagi orang asli yang masih belum beragama. Tetapi apa yang terjadi kini, bukan sahaja ramai yang beragama nenek moyang, jumlah yang beragama Kristian lebih ramai daripada yang masuk Islam. Selain itu, sesudah sekian lama kita merdeka sepatutnya orang bukan Islam di negara ini kalau tidak mahu memeluk Islam pun mereka sudah boleh faham tentang Islam lalu tidak menentang Islam lagi.

Dari sudut amal makruf di mana ulama kerajaan ketika orang politik menakut-nakutkan orang bukan Islam dengan undang-undang Islam? Di mana mereka ketika media menggembar-gemburkan cerita fitnah dan mengumpat. Di mana pegawai agama ketika media menghina Islam. Mengapa orang agama di dalam kerajaan tidak berani menegur pemimpin, orang politik dan kepimpinan media dalam soal ini?

Di mana mufti dalam berhadapan dengan isu besar yang mencabar Islam? Mereka itu takut untuk membantah apa yang berlaku di hadapan mata mereka kerana takut jawatan hilang, takut tidak naik pangkat dan sebagainya. Alangkah hinanya cerdik pandai Islam yang berada dalam kongkongan perasaan yang negatif terhadap kerajaan. Padahal kalau mereka boleh menegur umara dengan baik dan berhikmah, pandangan mereka boleh jadi diterima dengan baik.

Ketahuilah apabila ulama kerajaan takut menegur pemerintah, malah segala kesalahan pemerintah akan ditutup dengan pelbagai alasan, nescaya umara akan merasakan bahawa tindakan mereka betul. Pada masa yang sama, rakyat jelata dipersalahkan, mengintai tok guru yang mengajar di masjid dan surau kerana bimbang berlaku penyelewengan aqidah.

Pegawai agama ini mudah nampak kemunculan kumpulan ajaran sesat, lalu mereka diburu. Namun setelah bertahun-tahun ajaran itu dikenal pasti menyeleweng, terlalu sedikit yang telah berjaya dikembalikan kepada ajaran yang benar. Apakah mereka tidak begitu arif atau alim untuk menundukkan kefahaman guru ajaran sesat itu?

فَسَادُ الرَّعِيَّةِ مِنْ فَسَادِ المُلُوكِ وَفَسَادِ المُلُوكِ مِنْ عُلَمَاءِ السُّوْءِ - امام الغزالي

Maksudnya: “Rosaknya rakyat berpunca daripada rosaknya pemerintah dan rosaknya pemerintah berpunca daripada ulama suk yang ada kepentingan.” (Iman Ghazali)

Jika ulama dan umara ikhlas untuk membanteras ajaran sesat itu, tidaklah susah hingga memakan masa bertahun-tahun. Kumpulan mereka bukan ramai, boleh ditangkap dan diberi kursus tentang Islam dan aqidah yang betul. Alasan mereka susah hendak dibawa ke pusat pemulihan tidak boleh diterima. Hal ini kerana mereka bukanlah pengganas yang lebih bahaya daripada komunis.

Ulama dan umara harus insaf bahawa kecuaian mereka dalam perkara ini telah mengakibatkan banyaknya maksiat baik dalam kalangan remaja malah golongan dewasa. Perzinaan mudah berlaku di mana-mana. Perogolan mudah terjadi sehingga lahirnya anak tidak sah taraf atau anak longkang dan tong sampah.

إِذَا ظَهَرَ الزِنَاءُ وَالرِّبَا فِي القَرْيَةِ فَقَدْ أَحَلُّوا بِأَنْفُسَهُمْ عَذَابَ اللهِ - الحاكم

Maksudnya: “Apabila muncul banyak amalan zina dan riba dalam sesuatu kariah masa sesungguh mereka telah menghalalkan untuk mereka azab Allah” (al-Hakim)

Oleh sebab itu ulama dan umara patut berperanan menyedarkan rakyat tentang iman dan Islam. Mereka perlu mendidik anak remaja agar tidak menjadi anak derhaka dan turut membimbing ibu bapa agar tidak derhaka kepada anak mereka. Mereka perlu diselamatkan daripada api neraka.

Laporan Sinar Harian tidak tepat – Tuan Ibrahim

8 Rabiul Awwal 1431H
Basiron Abdul Wahab

TEMERLOH, 22 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membidas akhbar Sinar Harian, semalam (21 Februari) kerana menyiarkan berita yang tidak tepat terhadapnya.

Katanya, berita nasional di muka surat N7 dengan tajuk besar ‘Saya kini dalam dilema’ dan sub tajuk ‘kesal dianggap ‘tangan ghaib’ PAS, punya kuasa singkir pesaing; Tuan Ibrahim’ , sebagai tidak tepat dan tersasar.


Menurutnya, laporan akhbar berkenaan bukan sahaja tidak betul, malah memasukkan kenyataan paslu yang direka-reka.

“Saya tidak menyebut perkataan sebagaimana yang disiarkan, lebih-lebih lagi kenyataan kononnya saya berada di dalam dilema, saya tidak berada di dalam dilema pun,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyurat Badan Perhubungan PAS Pahang di pejabatnya, dekat sini, semalam.

Akhbar berkenaan menyiarkan berita kononnya beliau berada di dalam dilema kerana ada pihak yang melabelkannya sebagai ‘tangan ghaib’ yang mempunyai kuasa menyingkir sesiapa sahaja termasuk pesaingnya pada pemilihan jawatan parti.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS, menyebabkan apa sahaja keputusan Lembaga Displin dianggap berat sebelah dan mempunyai agenda tersembunyi.

Menurutnya, beliau juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan: ‘Hendak diluahkan mati mak, mahu ditelan mati bapak’.

Kenyataan itu jelasnya, hanya rekaan untuk mensensasikan berita tetapi sebenarnya ia tersasar jauh daripada apa yang saya sebut semasa dihubungi pemberita terbabit.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang telah menerima permohonan maaf daripada pemberita berkenaan melalui khidmat pesanan singkat (SMS).

Harakahdaily.net/-

Agenda pembangunan Kampung Baru masih kabur

8 Rabiul Awwal 1431H
Rusli Islam

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Walaupun telah dijanjikan oleh beberapa Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan yang silih berganti semenjak tahun 1990, agenda pembangunan Kampung Baru masih dilihat kabur.

"Semacam tidak ada satu kesungguhan dari pihak kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru ini. Semenjak dari zaman Dr Mahathir (1990) hinggalah sekarang diperkatakan tentang pembangunan Kampung Baru tapi tidak ada satu tindakan kerajaan yang menunjukkan usaha tersebut.

"Masalahnya apabila Perdana Menteri bertukar, pergi lawat Kampung Baru dan berjanji. Apabila menteri (Wilayah) tukar pergi lawat Kampung Baru (dan berjanji)," kata Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad.

Beliau berkata, ketika Umno menjadi wakil rakyat di Titiwangsa, pelbagai program termasuk perbincangan berkaitan pembangunan Kampung Baru selalu melibatkan Ahli Parlimen Umno tersebut.

"Anehnya ketika Pakatan Rakyat menang, tidak ada peranan yang diberikan kepada ahli parlimen kita (Dr. Lo’ Lo’')," ujar beliau.

Katanya, dalam perancangan draf KL 2020, pandangan penduduk telah diketepikan projek berkenaan melibatkan tanah penduduk tersebut.

"Kerajaan berkata rakyat didahulukan tetapi (hakikatnya) rakyat dikemudiankan (dan) menjadi mangsa kepada pembangunan ini," tambahnya.

Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Cikgu Ishak Surin yang merupakan orang lama dalam PAS Wilayah Persekutuan pula berkata, sebenarnya pembangunan Kampung Baru telah diwar-wakan sejak tahun 1974 lagi, semasa beliau menjadi calon di Setapak.

Katanya, janji-janji untuk membangunkan Kampung Baru sering ditaburkan apabila menjelang pilihan raya dan mesyuarat agung Umno tetapi tidak ada hasilnya sehingga kini.

Walaupun persekitaran Kampung Baru telah lama dimajukan dan banyak bangunan-bangunan yang telah wujud tetapi ia masih lagi seperti dahulu.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo’ sendiri pernah mencadangkan suatu badan amanah diwujudkan bagi menguruskan Kampung Baru supaya pengurusannya lebih telus dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik pihak tertentu.

Tanah yang luasnya kira-kira 103.5 hektar di tengah-tengah Kuala Lumpur itu menjadi mercu tanda penduduk-penduduk Melayu yang berada di tengah ibu kota.

Ketua Penerangan PAS Titiwangsa, Zamri Asad Khuzaimi pula berkata, dalam tempoh tiga tahun, tidak kurang daripada tiga jenis pembangunan yang dipromosikan di Kampung Baru.

"Antaranya ialah Draf KL 2020 yang sepatutnya telah bermula sekarang. Walaubagai manapun rancangan ini belum pun diluluskan oleh menteri dan Datuk Bandar.

"Projek Puncak Baru pula pernah diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 Mac 2001 lalu dan tidak diketahui apa statusnya sekarang ini," katanya.

Beberapa hari lepas pula katanya, pembangunan komprehensif Kampung Baru dengan peruntukan sebanyak RM4 juta telah dijanjikan oleh Perdana Menteri.

Beliau yang juga Pengerusi Juham turut mengatakan terdapat percanggahan di antara kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan dalam isu ini.

"Najib (PM) berkata penduduk tidak perlu pindah dan Raja Nong Chik (menteri) pula berkata sebahagian penduduk perlu pindah," katanya.

Katanya, PAS Wilayah juga sangat tidak bersetuju dengan undang-undang baru yang dicadangkan oleh Raja Nong Chik mengenai pembangunan di Wilayah Persekutuan.

Undang-undang itu, mengatakan bahawa semua penduduk dianggap bersetuju sekiranya 80 peratus daripada keseluruhan penduduk bersetuju dengan cadangan kerajaan dalam masalah pembangunan tanah Wilayah Persekutuan.

"PAS memandang ini sebagai ugutan dan provokatif dari Menteri Wilayah. Suatu yang tidak munasabah kerana dalam apa-apa jua pembangunan, kaedah undang-undang adalah yang terakhir," katanya.

Katanya, kaedah pertama mesti diadakan perbincangan yang melibatkan penduduk, Malay Agriculture Settlement (MAS), wakil rakyat, DBKL dan kerajaan.

PAS Wilayah Persekutuan turut menegaskan, semua kampung-kampung warisan tanpa mengira bangsa di sekitar Kuala Lumpur mesti dikekalkan dan pembangunannya juga mestilah memberi manfaat kepada penduduk tanpa memindahkan mereka.

Harakahdaily.net/-

Apa kata Mufti Perak terhadap Shahrizat?

8 Rabiul Awwal 1431H
Jebat Berani

Sebelum ini bukan main lantang lagi Mufti Perak,Tan Sri Harussani membidas Sisters in Islam(SIS) yang menyifatkan tindakan merotan tiga wanita islam atas kesalahan melakukan persetubuhan haram sebagai diskriminasi terhadap wanita..

Tan Sri Harussani menyifatkan bahawa mana-mana pihak yang mempunyai tanggapan sedemikian bermaksud mereka tidak mempercayai hukum allah dan boleh dianggap sebagai terkeluar daripada islam.


''Orang seperti ini tidak faham hukum islam, mereka menentang dan membenci hukum islam kerana terpengaruh dengan orientalis barat yang menentang islam.

''Kalau hendak diambil kira hukuman enam kali sebatan itu ia begitu ringan sedangkan asalnya 100 kali sebatan terhadap mereka yang melakukan persetubuhan haram manakala 80 kali sebatan terhadap yang minum arak," katanya...

Dan apakah Tan Sri Harussani juga berani menegaskan pendapatnya itu bilamana berhadapan dengan seorang perempuan seperti Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang telah berkata,walaupun beliau menghormati hukuman sebatan di bawah undang-undang syariah tetapi berpendapat Islam juga membolehkan pendekatan pemulihan dan kaunseling.”

Apakah Tan Sri Harussani berpendapat apa yang dinyatakan Shahrizat ini tidak salah? Dan jika beliau berpendapat kenyataan Shahrizat ini salah apakah tindakan beliau?

Kemana perginya ketegasan beliau? Apakah beliau telah diserang penyakit "bisu"sepatutnya Tan Sri Harussani perlu berani menegur kenyataan Shahrizat ini sebagaimana beliau lantang mengkritik SIS.

Atau apakah Tan Sri Harussani bimbang kedudukan beliau akan tergugat jika menghentam kenyataan Shahrizat ini.?

Apakah Harussani lebih pentingkan kedudukan berbanding maruah agama yang beliau anuti? Tan Sri Harussani perlu berlaku adil dalam memberikan teguran kepada mana-mana pihak.

Harakahdaily.net/-

Kembalikan kegemilangan sukan atau kayakan kroni?

8 Rabiul Awwal 1431H
http://bongkarsauh.blogspot.com/

Menurut Muhyiddin, sudah 20 tahun sukan di sekolah terpinggir. Maksudnya, Menteri Pelajaran / Pendidikan sebelum ini mengabaikan sukan sekolah termasuk Hishamuddin. Kurikulum sukan sekolah akan digubal semula dan segala infrasturuktur yang diperlukan akan disediakan.

Inilah nasib sekolah-sekolah kita. Bertukar menteri, bertukar juga dasar dan keutamaan. Pelajar dijadikan bahan ujikaji. Guru-guru dipikulkan dengan beban yang tidak sepatutnya. Semua masalah diletakkan di atas bahu guru termasuk masalah yang dihadapi oleh menteri.

Apa kebimbangan kita apabila aktiviti sukan digiatkan di sekolah atas nama mengembalikan kegemilangan sukan sekolah?

Pertama, anak-anak tidak mempunyai banyak peluang untuk ke kelas agama. Aktiviti sukan diletakkan sebagai keutamaan berbanding keperluan anak-anak belajar agama. Keletihan anak-anak dengan aktiviti sukan menjadikan mereka tidak punya pilihan kecuali berehat daripada aktiviti agama.

Kedua, ibu bapa bakal dibebankan dengan keperluan membeli peralatan sukan. Bayangkan sepasang kasut bola, stokin, gad betis dan jersi, biasanya itu semua dibebankan di atas bahu ibu bapa. Benar, itu semua disediakan oleh pihak sekolah tetapi ibu bapa perlu membayarnya.

Namun apa yang lebih besar daripada itu yang bermain dibenak para ibu bapa ialah, betulkah program kecemerlangan sukan ini untuk kecemerlangan sukan atau untuk memenuhkan tembolok kroni?

Pengenalan PPSMI dulu masih menghantui ibu bapa. Apa yang jelas, penguasaan bahasa Inggeris tidak semakin baik, Matematik dan Sains menjadi matapelajaran yang dijuihkan oleh pelajar. Namun, yang ketara ialah kroni menjadi kaya-raya kerana berpeluang menjadi pembekal buku teks dan komputer riba.

Pelajar tidak kemana, kroni yang kaya. Guru yang garu kepala, kroni yang kembong poket.Gambarkan, jika program sukan ini diberi keutamaan.

Siapa yang bakal mendapat kontrak membekal peralatan sukan? Siapa yang bakal mendapat untung menyelenggara kemudahan sukan sekolah seperti padang dan lain-lain? Siapa yang bakal mendapat untung kerana kerana premisnya disewa untuk aktiviti sukan?

Tentu mereka adalah kroni Muhyiddin. Dan, tidak mustahil idea untuk memajukan sukan sekolah ini datang daripada mereka dan Muhyiddin cuma menjadi tiong emas yang mendendangnya sahaja.

Mengapa saya katakan begitu? Kerana, tanpa hujan dan ribut, tiba-tiba sahaja idea untuk mengembalikan kegemilangan sukan sekolah ini terpacul daripada mulut Muhyiddin. Apa pasal?

Isu pendidikan adalah isu yang berkaitan dengan rakyat dan generasi akan datang. Adakah idea Muhyiddin ini telah dihadamkan terlebih dahulu? Adakah pandangan para guru telah diambil dalam langkah ini? Adakah pandangan para ibu bapa diminta sebelum perkara ini dilaksanakan?

Inilah masalah negara kita apabila para menteri merasakan negara ini kepunyaan mereka. Najib rasa askar hak dia. Muhyiddin rasa sekolah hak dia. Jamil Khir rasa Pusat Islam hak dia. Akhirnya, mereka memutuskan segalanya mengikut selera mereka sahaja.

Para ibu bapa, guru, cendekiawan, ulama dipersetankan sahaja.

Betullah, apabila ada rakan-rakan yang bergurau, negara ini kontraktor yang punya bukan rakyat yang punya.

Ustaz Zolkharnain Abidin

Harakahdaily.net/-

Iklan Penjelasan Isu Royalti Yang Tidak Jelas!

8 Rabiul Awwal 1431H
http://msomelayu.blogspot.com/

HARI ini dua buah akhbar utama milik Umno telah menyiarkan semuka penuh iklan penjelasan mengenai tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan. Saya kurang pasti apakah akhbar berbahasa Cina, India, Arab dan Orang Asli turut sama menyiarkan iklan berkenaan. Semuka penuh berwarna di mana nilainya tidak kurang RM5,000.

Andaian saya sikit tersasar. Iklan berkenaan dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di mana Rais Jantan@Yatim adalah menterinya. Ada lapan (8) persoalan atau penjelasan dalam iklan berkenaan. Saya cukup yakin penjelasan berkenaan yang kononnya bersadarkan kepada perlembagaan dan undang-undang digarap dan disediakan oleh Rais Yatim.

Rais Yatim adalah seorang yang berkelulusan undang-undang ada memiliki Phd.
Seperti mana saya agakkan iklan berkenaan tidak akan menyelesaikan masalah. Kerajaan negeri Kelantan dan rakyat Kelantan tidak dapat menerima penjelasan berkenaan. Penjelasan berkenaan juga boleh dipertikaikan dari berbagai sudut. Saya rasa kalaupun bukan atas emosi yang membuak dan simpati kepada kerajaan Kelantan, penjelasan itu boleh ditolak. Tegasnya iklan berkenaan tidak memberikan markah tinggi kepada kerajaan dan Umno Kelantan khususnya.

Sebaliknya iklan itu akan dilihat sebagai cuba menegakkan benang basah saja. Benar seperti kata penjenguk blog saya, isu royalti minyak dan kedegilan Umno untuk terus menghukum kerajaan Pas Kelantan merupakan senjata yang akan membunuh Umno sendiri dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang.
Persoalan pertama dalam iklan berkenaan ialah mengenai perkataan "royalti". Menurut iklan berkenaan perkataan itu tidak diguna sebaliknya ia menggunakan perkataan "bayaran tunai". Ini bermakna hak 5% itu sepatutnya dibayar tunai oleh Petronas kepada kerajaan Kelantan.

Kedua, mengenai kelayakan mendapat 5%. Menurut iklan itu bayaran tunai sebanyak 5% itu akan dibuat kepada telaga atau hasil dalam lingkungan 3 batu nautika yang diukur dari paras air surut mengikut (Ordinal Kuasa-Kuasa Perlu) No 7 tahun 1969).

Penjelasan ini boleh diakui tetapi di dalam iklan itu tidak menjelaskan jarak kedudukan tiga plantar minyak di perairan Kelantan yang dituntut itu. Jika menerima pakai jarak seperti mana dijelaskan oleh Pengerusi Petroleum Kelantan, Husam Musa, jarak ketiga plantar berkenaan kurang daripada 3 batu nautika, malahan jarak sebuah plantar itu lebih dekat dari plantar di Terengganu. Kenyataan Husam itu bukan omong kosong sebaliknya berdasarkan kepada ukuran yang dibuat oleh firma yang bertauliah.

Kenapa iklan berkenaan tidak menjelaskan jarak dan kedudukan plantar-plantar berkenaan? Penyembunyian jarak ini menunjukkan ada yang cuba disembunyikan oleh iklan berkenaan tetapi sudah pun diketahui umum akan hakikatnya.

Ketiga, iklan itu menjelaskan hasil di luar 3 batu nautika menjadi milik kerajaan Persekutuan dan mana-mana kerajaan negeri tidak berhak menuntut. Ini diakui, dan kerajaan Kelantan hari ini pun tidak menuntut hasil minyak jauh dari 3 batu nautika dari perairan mereka. Rasanya kerajaan Kelantan pandai dan arif membaca undang-undang dan akta ini.

Keempat, iklan berkenaan menjelaskan bahawa Sarawak dan Sabah ada kuasa dan status tersendiri terhadap royalti minyak. Apa nak dijelaskan status yang diguna pakai Sarawak dan Sabah tidak valid untuk dipraktikan oleh Kelantan dan negeri-negeri lain.

Kelima, menjelaskan mengenai maksud wang ehsan. Iklan itu menjelaskan pemberian wang ehsan itu atas budibicara kerajaan Persekutuan. Menurut iklan itu pemberian ini diluar skop Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang ditandatangani dengan kerajaan negeri pada 1975/1976. Pemberian itu atas kesedaran dan tanggungjawab berasas keprihatinan kerajaan Persekutuan.

Persoalannya dalam kes Kelantan ini kenapa kerajaan tidak menggunakan budibicara dengan memberikan keadilan kepada kerajaan Kelantan sekurang-kurangnya menyalurkan separuh peruntukan daripada 5% itu bukannya diberikan 100% wang itu kepada Umno atau JPP untuk diagihkan kepada rakyat! Di manakah keadilan dan apakah ini tidak boleh dikatakan satu kezaliman.

Keenam, iklan itu menjelaskan Kelantan hanya diberikan RM20 juta saja, itu pun atas ehsan kerajaan Kelantan kerana kononnya penghasilan gas di luar 3 batu nautika negeri Kelantan. Logiknya kalau penghasilan itu di luar kawasan 3 batu nautika untuk apa wang ehsan itu diberikan. Bukankah dengan pemberian itu ia menimbul keraguan, kekeliruan dan dipolimekkan. Lebih baik kalau wang ehsan itu tidak diberikan langsung. Di sinilah menunjukkan pemberian wang ehsan atas prihatin Umno itu memakan diri sendiri.

Ketujuh, menjelaskan kenyataan dan pandangan Tengku Razaleigh Hamzah berhubung hak Kelantan itu. Dalam penjelasan itu iklan tersebut cuba menjelaskan pandangan itu adalah pandangan peribadi Tengku Razaleigh yang tidak bersadarkan undang-undang. Penjelasan itu cuba menempelak Tengku Razaleigh yang sebelum ini pernah mengatakan negeri Terengganu tidak pun layak menerima wang ehsan. Dalam erti kata lain sebelum ini Tengku Razaleigh bersetuju dengan tindakan kerajaan hari ini.

Iklan itu cuba merendahkan Tengku Razaleigh yang mengubah pendiriannya. Kalau itu maksud orang yang mengeluarkan iklan berkenaan, beliau tidak berhak untuk menghuduhkan (memburukkan) Tengku Razaleigh kerana beliau sendiri telah berubah pandangan dan pendirian politiknya lebih 360 darjah.

Kelapan, iklan itu cuba menunjukkan Ketua Pembangkang mengetahui akan kedudukan royalti 5% itu. Iklan ini cuba menimbulkan bahawa Anwar Ibrahim juga tahu kedudukan berhubung dengan pemberian wang ehsan dan royalti minyak. Dalam erti kata lain Anwar juga pernah bersetuju dengan keputusan kerajaan hari ini.

Apakah tujuan mengaitkan pengetahuan Anwar itu? Kalau pun benar begitu dalam kedudukan hari ini, baik Anwar atau Tengku Razaleigh mereka bukan saja sedia mengubah pandangan dan pendirian hatta undang-udang berhubung pemberian itu juga akan turut diubah kerana demi untuk keadilan dan kesejahtraan rakyat. Dan apa yang Tengku Razaleigh lakukan itu adalah jihadnya untuk memberi kesejahtraan ke atas rakyat negeri kelahirannya.

Kesimpulannya iklan penjelasan itu tidak akan merubah persepsi terhadap isu yang kini sudah dipolitikkan oleh kedua pihak. Rakyat Kelantan dalam soal ini hanya membaca iklan berkenaan tetapi mereka tidak akan percaya dan merasai adil dengan apa yang diperjelaskan. Dan saya rasa ada rakyat Kelantan yang tidak dapat menerima penjelasan itu akan berak atas iklan berkenaan. [wm.kl. 11:30 am 21/02/10]

--------------------

Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis blog ini.

Harakahdaily.net/-

MB seru bantu mangsa kebakaran

8 Rabiul Awwal 1431H
Rizal Tahir

MACHANG, 21 Feb: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meluangkan masa hampir 40 minit melawat tapak kebakaran yang membabitkan 20 buah rumah kedai dan kediaman, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam Sabtu itu, dianggarkan sebanyak RM1 juta musnah apabila kedai yang penuh bersejarah serta identiti Pulai Chondong itu hangus terbakar.

Dalam kejadian terbesar yang melanda negeri Kelantan awal tahun ini, kerajaan negeri menyumbangkan sebanyak RM1,500 kepada setiap mangsa, sebagai sumbangan pertama untuk mereka.

Sumbangan berkenaan disampaikan sendiri oleh Tuan Guru dan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa di Pasar Pulai Chondong.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis ringkas itu menyeru jiran tetangga supaya membantu rakan-rakan mangsa kebakaran penuh keikhlasan sebagai cara meringankan bebanan mereka.

Menurutnya, bencana tersebut ujian Allah dan semua mangsa harus menerima dengan hati yang tabah.

“Sikap cakna ini sedikat sebanyak dapat meringankan kesusahan mangsa sama ada dari segi fizikal atau mental mereka.

“Yang tinggal berdekatan tolong bantu dan berikhtiar dan saya ucapkan takziahlah kepada semua mangsa kebakaran,”ujarnya.

Di antara kedai yang terlibat dalam kebakaran itu, sebahagiannya kedai emas dan kedai borong.

Harakahdaily.net/-

Nisa’ Air Putih ziarah, sampai sumbangan

8 Rabiul Awwal 1431H
Azman Kadir

KEMAMAN, 21 Feb: Satu program yang dinamakan “Nisa’ Bersamamu dan Sayang Disayang” anjuran Nisa’ Dun Air Putih telah berjaya dilaksanakan, kelmarin.

Program yang berbentuk ziarah sambil berbakti kepada warga tua dan keluarga yang berpendapatan rendah itu diadakan di Kampung Batu 4 Dalam, Binjai, dekat sini.

Seramai empat orang warga tua yang dikenali sebagai Mak Lebar, Mak Tung, Mek Kelate dan Mak Ku dan dua buah keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di sekitar telah diziarahi.

Warga emas berkenaan merupakan ibu tua yang terbatas pergerakannya dan mengalami masalah kesihatan.

Mereka melahirkan rasa syukur dan gembira dengan kehadiran rombongan Nisa’ dan mengucapkan terima kasih atas perhatian yang diberikan.

Mereka juga berharap agar program kemasyarakatan seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Dua keluarga yang berpendapatan rendah yang dikenali sebagai Kak Yah dan Cik Su, masing-masing merupakan surirumah dan suami mereka berpendapatan rendah.

Mereka mempunyai anak yang ramai dan masih lagi bersekolah.

Selain daripada beramah mesra, berkongsi masalah dan bergotong royong membersihkan rumah, pihak Nisa’ turut menyampaikan sedikit sumbangan berupa wang tunai dan barangan dapur untuk meringankan bebanan.

“Ziarah ini telah mendekatkan Nisa’ kepada rakyat setempat. Semoga program ziarah ini dapat berterusan dan menjadi program berkala Nisa’ Dun Air Putih,” kata Nor Arbaeiyah Wahab, salah seorang Ahli Jawatankuasa Nisa’ Dun Air Putih.

Harakahdaily.net/-

Dapat CF dalam masa seminggu

8 Rabiul Awwal 1431H

GOMBAK, 21 Feb: Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan mendapatkan sijil layak menduduki (CF) di projek perumahan Taman Bistari minggu hadapan.

Perumahan itu hanya mendapat sijil sementara daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Saya berjanji akan mendapatkan CF minggu depan. Kalau Isnin ini dapat surat, minggu itu juga diluluskan. Kita bukan macam Umno, sengaja mendera rakyat.

“Ayat yang biasa gunakan, sedangkan tujuh tahun boleh tunggu, takkan tujuh hari tak boleh tunggu. Kita bukan begitu. Sudah tujuh tahun penduduk menunggu, kita tidak akan dera penduduk tujuh hari lagi," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Pelancaran Program Pemulihan Perumahan Terbengkalai Negeri Selangor di perkarangan perumahan penduduk Taman Ukay Bistari, Hulu Kelang, semalam.

Beliau turut menyampaikan kunci rumah kepada penduduk di Hulu Kelang dan Puchong yang berjaya memiliki rumah melalui skim pemulihan perumahan terbengkalai di negeri itu.

Sementara itu, setelah tujuh tahun menunggu, akhirnya 300 penduduk Taman Ukay Bistari mampu menarik nafas lega semalam apabila dapat mendiami rumah sendiri.

Mereka juga mendengar sendiri jaminan yang diberikan oleh Anwar untuk menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai itu seberapa segera.

Seorang penduduk yang ditemui selepas majlis berkenaan, Aminah Othman, 46, melahirkan rasa syukur apabila Kerajaan Selangor menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai itu dan berharap kerajaan negeri dapat membantu mereka menyelesaikan beberapa lagi masalah berkaitan rumah dalam kadar yang segera.

"Saya rasa bangga sebab Datuk Seri Anwar sendiri yang turun menyerahkan kunci kepada kami di sini. Saya harap beberapa lagi masalah yang kami alami di sini seperti masalah tiada air dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Rakannya, Noriahani Ibrahim, 50, pula berkata, sikap Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor amat berbeza dengan Kerajaan Umno/Barisan Nasional terdahulu yang tidak mengambil tahu masalah penduduk.

“Lega sikit sejak ambil alih ini. Sebelum ini, mereka (kerajaan BN) tidak ambil tahu langsung. Selama ini, kami umpama terumbang-ambing. Tidak tahu kepada siapa yang mahu diaju masalah. Bila dah ambil alih, syukurlah," katanya.

Kegembiraan juga jelas terpancar di wajah seorang lagi penduduk yang ditemui, Shaari Jusuh, 63, yang sekarang ini menetap di Bukit Beruntung sementara menunggu projek perumahan itu siap.

"Tujuh tahun saya menunggu, derita menunggu untuk menduduki rumah sendiri. Hari ini saya sangat gembira apabila menerima kunci dan apa yang saya harapkan menjadi kenyataan," katanya sambil tersenyum gembira.

(Gambar: Shaari memegang replika kunci rumah)

Mereka antara 300 penduduk di Hulu Kelang dan Puchong yang merupakan kumpulan terawal yang berjaya memiliki rumah di Selangor melalui skim pemulihan perumahan terbengkalai di negeri itu.

Skim berkenaan dimulakan tahun lalu melalui pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM5 bilion, bagi memulihkan hampir 5,000 unit rumah terbengkalai di 141 kawasan perumahan di Selangor.

Program itu diselia oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan dijalankan melalui sumbangan modal dan kepakaran dari syarikat swasta.

Jawatankuasa itu pula diletakkan di bawah jawatankuasa induk yang akan turut dianggotai Exco, pihak berkuasa tempatan dan juga wakil penduduk.

Harakahdaily.net/-

Guru Takmir makin dihina

8 Rabiul Awwal 1431H
Ustaz Kamarudin Sidek

Saya baru buat kenyataan akhbar tentang isu penarikan elaun guru agama (takmir ) masjid-masjid Melaka.

Ini berdasarkan surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Jaim dan telah diserahkan seorang sahabat kepada saya sebelum berceramah bersama Ketua Pemuda PAS Pusat tempoh hari.

Pada asalnya setiap guru takmir diberikan sebanyak rm50 setiap kali mengajar (rm40 dari Jakim, rm10 dari Jaim ) tetapi bermula Januari 2010, rm40 telah dipotong dan berbaki rm10 sekali mengajar .

Kerajaan Melaka tidak ambil tindakan drastik untuk selamatkan sektor agama seperti Ali Rustam segera keluarkan duit RM5.7 juta untuk selamatkan Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor ( YBK ) yang tak ada kena mengena dengan rakyat negeri Melaka.

Saya sudah menjangka Ali Rustam dari awal lagi tidak berminat dengan perkembangan agama walau pun beliau Pengerusi Maim, baginya industri pelancongan perlu diutamakan kerana mendatangkan duit.

Jadi saya menyeru guru - guru agama agar bermuhasabah diri dan jangan tertipu.

Harakahdaily.net/-

Kebenaran tidak semestinya menang, kemenangan tidak semestinya benar

8 Rabiul Awwal 1431H
Roslan Harun

SEDANG anda memandu menghampiri sebuah persimpangan berlampu isyarat, anda terdengar bunyi siren. Anda pun mengerakkan kereta anda ke tepi, memberi laluan kenderaan yang anda sangkakan sebuah ambulans.

Bagaimanapun andaian anda salah. Kenderaan yang melepasi anda itu sebenarnya membawa orang besar dan berkuasa. Pegawai pengiring mengarahkan anda ke tepi dan kemudian konvoinya berdesup sekalipun lampu isyarat berwarna merah.

Demikianlah contoh menunjukkan bahawa ada orang lebih hebat daripada undang-undang. Mereka mengatasi undang-undang. Kisah 'The Emperor's New Clothes' (Pakaian Baru Raja) menceritakan bagaimana seseorang yang berkuasa itu sentiasa dikatakan betul sekalipun dia tidak betul (raja berbogel tetapi dikatakan berpakaian paling cantik dan hebat).

Anda benar kerana anda berkuasa. Yang penting di sini bukannya lojik sesuatu perkara itu tetapi siapa yang mengutarakan pendapat atau kata-kata tersebut.

Kata-kata seorang pengemis atau tukang sapu sampah mengenai politik sudah tentu tidak akan dipandang dengan sebelah mata walaupun apa yang mereka katakan itu ada kebenaran dan lojiknya.

Keadaan sebaliknya akan berlaku jika seorang raja atau mengemukakan pandangan. Walaupun kadang-kadang hal itu tidak masuk akal, disebabkan begitu berpengaruhnya orang tersebut, maka hal itu diterima juga orang awam kerana masing-masing terpaksa atau dipaksa mengakuinya.

Situasi ini berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita tidak lepas bebas kerana ada pihak yang mengikat diri kita. Dalam dunia hari ini, di mana terdapat aneka kemudahan dan penciptaan, dikatakan kehidupan kita semakin aman, hakikatnya mungkin tidak begitu.

Kita semakin takut, takut akan bayang-bayang kita sendiri dan juga takut kepada orang di atas kita kerana bagi mereka segala yang mereka utarakan kepada orang bawahan itu mereka anggap benar walaupun tidak benar.

Kisah pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat dalam dunia lama Melayu mungkin boleh dijadikan contoh mengenai apa yang didakwa betul dan tidak betul. Pada mulanya, Sultan mendapati Hang Tuah tidak betul dan perlu dihukum.

Hang Tuah disembunyikan Bendahara Tun Perak di Ulu Melaka. Selepas Hang Jebat mengamuk dan Hang Tuah diperlukan untuk menghapuskannya, Hang Tuah dikatakan tidak bersalah pula. Hari ini Hang Tuah bersalah, esok Hang Jebat pula bersalah yang yang sentiasa betul adalah Sultan.

Sultan akan sentiasa betul kerana baginda mempunyai kuasa. Kerana kuasa di tangan baginda, orang bawahan tiada hak untuk menyatakan sesuatu itu betul atau sebaliknya.

Dunia ini memang aneh. 'Kebenaran' dapat dibeli dengan wang ringgit. Dengan itu siapa yang banyak wang dan berkuasa, dialah yang 'benar'. Dan orang yang membenarkannya mempunyai kepentingan sendiri.

Bagaimanapun 'kebenaran' yang dibeli dengan wang ringgit ataupun yang ada udang di sebalik batu tidak bertahan lama.

Dalam kisah 'The Emperor's New Clothes' sendiri memperlihatkan kebijaksanaan seorang budak yang dapat mengalahkan raja; memang raja bersalah dan tidaklah payah untuk diselindungkan keaiban raja seperti dilakukan menteri-menterinya.

Mengenai kebenaran dan kemenangan, bijak pandai mengungkapkan "kebenaran itu tidak semestinya menang, dan kemenangan itu tidak semestinya benar."

Harakahdaily.net/-

Anwar: BN akan ditolak rakyat dalam p'raya nanti

8 Rabiul Awwal 1431H

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan BN bahawa rakyat akan menolak BN dari Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang - tidak kira sama ada beliau merengkok di penjara atau tidak.

Katanya, rakyat sudah begitu bosan dengan BN dan mereka kini sudah bersedia untuk menumbangkan kerajaan pusat yang didukung oleh Umno dan menggantikannya dengan Pakatan Rakyat.

Bercakap kepada hadirin yang membanjiri rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina di Machang Bubok, Pulau Pinang, Anwar berkata, BN, Umno, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malah isterinya Datin Seri Rosman mansor "tidak seharusnya hidup dalam ilusi palsu'.

Katanya, mereka tidak seharusnya mempunyai persepsi salah yang para pengundi akan kembali menyokong BN jika beliau dipenjarakan.

Anwar merujuk kepada perbicaraan tuduhan kes liwat terhadapnya yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebaliknya, kata beliau, rakyat akan bangun menolak Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang, tidak kira sama ada beliau di dalam penjara ataupun tidak.

Anwar berkata, di mana-mana sahaja, rakyat dilihat sudah bersedia untuk menolak Umno dan BN.

Beliau berkata, rakyat sudah lama hilang kepercayaan kepada Umno dan BN kerana "rasuah telah menjangkiti pentadbiran Putrajaya hingga ke akar umbinya".

Kerana rasuah, katanya, Malaysia telah jauh ketinggalan dalam bidang ekonominya, termasuk di rantau Asean.

Malaysia, katanya, kini ketinggalan di belakang Singapura, Thailand, Indonesia, malah Vietnam di segi pertumbuhan ekonomi dan daya saing.

"Kita hanya baik sedikit daripad Burma dan Zimbabwe," kata Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

Majlis rumah terbuka itu dihoskan oleh ADUN Machang Bubok yang juga timbalan speaker DUN Pulau Pinang, Tan Hock Leong.

Ia turut dihadiri ADUN tunggal PAS di negeri itu, Mohd Salleh Man (Permatang Pasir).

Malaysiakini/-

Demo 24 Feb diteruskan, kata NGO Felda

8 Rabiul Awwal 1431H

ANAK - sebuah NGO yang mewakili generasi kedua dan ketiga anak peneroka Felda - akan meneruskan rancangannya untuk mengadakan demonstrasi di ibupejabat Suhakam di Kuala Lumpur Rabu ini.

Presidennya, Mazlan Aliman (kanan sekali) merayu kepada kira-kira 1,000 peneroka Felda yang menghadiri konvensyen nasional anjuran PKR di Jerantut semalam, supaya turut hadir beramai-ramai menyertai demonstrasi pada 24 Februari ini.

Mazlan memberitahu demikian ketika ditemui Malaysiakini di konvensyen tersebut. Beliau turut membentangkan kertas kerja mengenai generasi baru Felda.

Di Konvensyen itu, Mazlan menggesa supaya dimansuhkan Akta Penempatan Berkelompok 1960 yang didakwanya menjadi instrumen utama bertentangan dengan matlamat asal Felda untuk mengurangkan kemiskinan di kalangan petani dengan menggalakkan mereka membersih, menanam dan akhirnya memiliki lebih 10 ekar tanah.

Katanya, kesannya dapat dilihat di mana 80 peratus tanah yang asalnya dibersih dan ditanam oleh peneroka, berakhir jatuh ke tangah Felda Plantations.

Felda yang ditubuhkan sebagai sebuah agensi pusat pada 1956, melancarkan tanah rancangan pertamanya dua tahun kemudiannya di Bentong. Dengan penggubalan Akta Penempatan Berkelompok 1960, agensi berkenaan telah beralih daripada pembasmian kemiskinan kepada mencatatkan keuntungan optima.

Mazlan berkata peralihan tersebut telah menjadikan peneroka petani penyewa, dengan pendapat antara RM800 hingga RM1,500 sebulan dalam bentuk gaji bulanan, bergantung kepada harga semasa pasaran minyak kelapa sawit atau getah.

Berikutan itu, katanya, skim yang bertujuan untuk membasmikan kemiskinan akhirnya telah menambah beban hutang peneroka dan merosakkan prospek masa depan anak cucu mereka, untuk keluar dari perangkap kemiskinan.

Menurutnya, kini terdapat 1.3 peneroka di 317 tanah rancangan Felda, dengan 800,000 daripadanya merupakan generasi kedua dan ketiga.

Mazlan mendakwa, daripada 23,000 kakitangan kumpulan syarikat Felda, hanya 5,400 orang dari kalangan anak cucu penerika Felda - dan daripada jumlah itu, hanya kira-kira 100 orang yang memegang jawatan tinggi.

Malaysiakini/-

Pertanding ketua Pemuda PBB tak jadi kenyataan

8 Rabiul Awwal 1431H

Pertandingan bagi jawatan ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Jumaat depan tidak menjadi kenyataan apabila pencabarnya, Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga ADUN Asajaya, menarik diri.

Berikutan itu, Fadillah Yusof yang juga timbalan menteri sains, teknologi dan inovasi, mengekalkan jawatan tersebut tanpa bertanding.


Abdul Karim berkata beliau telah menghantar surat kepada pengerusi jawatankuasa pemilihan parti mengenai keputusannya itu yang dibuat dalam semangat setiakawan selepas mendapat pandangan pemimpin atasan.

"Tidak ada desakan (dari mana-mana pihak). Keputusan adalah dibuat secara konsensus demi kepentingan parti, lebih-lebih lagi kita akan menghadapi pilihan raya negeri dan tidak menimbulkan sebarang masalah," katanya kepada pemberita di Kuching.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Ahli Tertinggi PBB, yang dipengerusikan oleh Presiden PBB Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Abdul Karim berkata beliau bagaimanapun akan bertanding jawatankuasa ahli majlis tertinggi parti.

Abdul Karim yang sebelum ini berkata beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu atas permintaan pemimpin muda di peringkat akar umbi, berharap sayap Pemuda akan terus mendukung dan membawa PBB ke peringkat yang lebih tinggi di bawah kepimpinan Fadillah.

Sementara itu, Fadillah, yang juga ahli parlimen Petra Jaya, mengucap terima kasih kepada Abdul Karim dan juga pucuk kepimpinan yang memberi pandangan berhubung perkara itu.

"Kami merupakan satu keluarga dan inilah semangat sistem nilai yang ada dalam PBB," katanya sambil menyifatkan Abdul Karim sebagai kawan karibnya. Fadillah menjadi ketua Pemuda PBB sejak 2007.

Malaysiakini/-

Penduduk bersyukur rumah tergendala, kini siap

8 Rabiul Awwal 1431H

Beberapa pemilik rumah di pangsapuri Taman Ukay Bistari di Hulu Kelang yang sudah tujuh tahun menunggu kerana pembinaannya tergendala, hari ini bersyukur kerana akhirnya dapat mendiami rumah sendiri.

Riak wajah ceria mereka jelas terpancar selepas kerajaan Selangor berusaha menyiapkan projek perumahan itu, yang terbengkalai sejak tahun 2003.

"Siapa yang tidak seronok dapat rumah sendiri. Itu yang diidam-idamkan selama ini. Mak cik berasa lega dengan kemudahan yang diberikan.

"Siapa yang tidak suka. Inilah saat yang diidam-idamkan," kata Norziah Nurajin yang ditemui sebelum perasmian program pemulihan perumahan terbengkalai di Hulu Kelang pagi ini.

Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Ukay Bistari.

Beliau turut menyampaikan kunci rumah kepada penduduk di Hulu Kelang dan Puchong yang berjaya memiliki rumah melalui skim pemulihan perumahan terbengkalai di negeri itu.

Kira-kira 300 hadirin termasuk pembeli dari taman berkenaan dan dari Saujana Puchong hadir dalam majlis tersebut.

Norziah, 52, yang sebelum ini merupakan penduduk setinggan di Kampung Pasir Tambahan, melahirkan rasa gembira dan tersenyum apabila dia menerima kunci rumahnya selepas tujuh tahun menunggu.

Sementara seorang lagi pembeli Haliza Che Harun turut melahirkan rasa yang sama dengan Norziah selepas lama menunggu untuk menduduki di rumah sendiri.

Haliza, 40, yang dite
mani dua anaknya di majlis tersebut, turut memuji kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang berusaha membantu membolehkan beliau dan keluarganya menetap di situ.

Menurutnya beliau akan berpindah dari rumah sewanya di Taman Permata dekat Hulu Kelang, selepas menerima kunci daripada kerajaan negeri.

Manakala Abu Samat Abdul Razak, 40, mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Selangor yang berusaha untuk membantu penduduk di taman itu menyiapkan rumah mereka yang terbengkalai sejak 2003.

Beliau juga menempelak kerajaan terdahulu yang menurutnya "tidak membantu rakyat" untuk menyiapkan rumah mereka yang terbengkalai.

"Kerajaan sebelum ini banyak tidur. Tidak membantu rakyat. Rumah banyak terbengkalai. Mereka menipu rakyat sebelum pilihan raya. Selepas pilihan raya, mereka tidur," katanya ketika ditemui di majlis tersebut.

Abu Samat yang ketika ini menetap di Pangsapuri Sri Nilam di Ampang berkata sebelum ini beliau risau selepas tiga pemaju masih gagal menyiapkan pangsapuri tersebut.

Bagaimanapun beliau berasa lega kerana pemaju yang dilantik oleh Pakatan Rakyat dapat berbuat demikian.

"Pakatan Rakyat betul-betul membantu rakyat," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk di situ memberi reaksi yang berbeza apabila tidak berpuas hati kerana ketiadaan bekalan air dan lif yang tidak berfungsi.

Aminah Othman, 46, yang ditemui Malaysiakini selepas pelancaran program tersebut berkata walaupun berbangga dengan kehadiran ketua pembangkang tetapi masalah tersebut harus diselesaikan segera.

Aminah yang sudah mendiami rumahnya kira-kira sebulan yang lalu, kerana mendakwa pemaju tidak membayar sewa kepada pemilik rumah yang disewanya, berharap kerajaan Selangor bertindak segera untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan lif yang tidak berfungsi

Sementara itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Ir Iskandar Samad ketika ditemui pemberita, berjanji pihaknya akan menyelesaikan masalah tersebut dalam masa seminggu.

"Penduduk tidak akan masuk selagi tidak lengkap dengan kemudahan ini," katanya.

Taman Ukay Bistari dan Saujana Puchong adalah antara 141 kawasan perumahan yang terbengkalai di negeri terbabit yang membabitkan kos pemulihan projek berkenaan dianggarkan bejumlah RM 5 bilion merangkumi hampir 5,000 unit rumah.

Program itu diselia oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan dijalankan melalui sumbangan modal dan kepakaran dari syarikat swasta.

Jawatankuasa itu pula diletakkan di bawah jawatankuasa induk yang turut

dianggotai exco perumahan, pihak berkuasa tempatan dan juga wakil penduduk.

Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar berkata, lebih 140 projek rumah terbengkalai di negeri itu adalah diwarisi dari kerajaan terdahulu.

Katanya kerajaan Selangor akan berusaha untuk mempercepatkan projek terbengkalai di Selangor walaupun beliau tidak menjanjikan keseluruhannya pada tahun ini.

"Kita tidak menjanjikan (semua projek terbengkalai) untuk siap dalam tahun ini, tapi kita ikhlas (menolong) memberi tempat (kepada pembeli).

"Kita berjanji, tidak ada habuan wang daripada pemaju dan kita tidak akan mengkhianati rakyat," katanya.

Dalam ucapannya juga Anwar yang juga ketua umum PKR menjelaskan masalah projek perumahan terbengkalai juga mempunyai kaitan dengan keadaan ekonomi di negara ini.

"Ekonomi kita tidak berada dalam keadaan kukuh. Pelabur tidak yakin dengan institusi dan sistem (di Malaysia). Suatu ketika dahulu pertumbuhan ekonomi negara kita mengatasi negara seperti Singapura dan Thailand.

"Dan dari segi persaingan ekonomi, kita berada di tangga kedua, tapi sekarang kita masih rendah. Ini berpunca daripada kurang upaya pemimpin negara untuk meyakinkan pelabur luar untuk menguruskan ekonomi negara," kata Anwar yang juga bekas menteri kewangan.

Dalam ucapan itu juga, Anwar menyatakan berjanji akan mendapatkan sijil pengesahan penduduk (CF) di projek perumahan Taman Ukay Bistari minggu hadapan.

"CF belum dapat lagi, hanya (sijil) sementara sahaja daripada Majlis
Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). Kalau Isnin ini dapat surat, minggu itu juga diluluskan. Kalau tidak lulus, saya akan turun lagi. Saya berjanji," katanya.

Sebelum itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Ir Iskandar Samad menolak tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa jawatankuasa khas yang ditubuhkan "tidak ada gigi" untuk mengenalpasti dan menyelia projek terbengkalai di negeri itu

Kata Iskandar yang juga timbalan pesuruhajaya PAS Selangor berkata, jawatankuasa tersebut sebenarnya mempunyai tanggungjawab penuh kepada kepadanya selaku exco yang terlibat.

"Segala apa yang dilakukan akan dilaporkan kepada Exco dan perlu juga mendapat kebenaran daripada saya terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab ucapan wakil persatuan penduduk Taman Ukay Bistari, yang dikenali Dr Rafick yang berucap sebelum itu yang menyatakan jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri adalah "organiasasi longgar" dan "tidak ada gigi" kerana tidak berada di bawah agensi kerajaan.

Dr Rafick berharap kerajaan Selangor dari Pakatan Rakyat berperanan sebagai satu kerajaan yang lebih baik daripada kerajaan terdahulu.

"Kerajaan kini, jika tidak selesai masalah rakyat dan (mengambil kira)
pandangan orang ramai, maka ia tidak banyak beza dengan kerajaan sebelum ini. Tunjukkan keyakinan kepada rakyat," katanya.

Malaysiakini/-




20,000 banjiri sambutan Tahun Baru Cina k'jaan S'gor

8 Rabiul Awwal 1431H

Kira-kira 20,000 orang menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran kerajaan negeri Selangor di Kuil FGS Dong Zen di Jenjarom malam tadi.

Majlis tersebut yang bermula jam 6 petang, dihadiri oleh anggota exco kerajaan negeri, ADUN dan ahli parlimen. Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan kerajan dan dari sektor swasta.

Selain pelbagai persembahan kebudayaan, majlis tersebut juga turut diserikan dengan tarian singa dan naga.

Dalam ucapannya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, majlis rumah terbuka itu dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara pelbagai kaum di negeri itu.

Sementara itu, kira-kira 20km dari situ, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina di kampung baru Pandamaran.

Tidak seperti di majlis anjuran kerajaan Selangor, hujan lebat turun di Pandamaran. Namun, menurut Bernama, kira-kira 40,000 hadir menyambut Ketibaan Najib.

Penganjuran serentak majlis sambutan tersebut BN dan Pakatan dilihat sebagai usaha untuk menarik sokongan pengundi Cina di Klang sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Najib dalam ucapannya berkata beberapa insiden merosakkan rumah ibadat, tidak boleh dilihat sebagai satu kegagalan kepada gagasan 1Malaysia.

Sebaliknya, perbuatan itu yang menurutnya dilakukan oleh mereka yang bersikap keterlaluan atau ekstremis, jelas memperlihatkan keperluan gagasan berkenaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kalau kita berada di jalan tengah, bersikap sederhana, moderate di dalam sikap dan pendirian, maka lambat laun mereka (ekstremis) tidak ada tempat di kalangan rakyat Malaysia kerana kita menyokong gagasan 1Malaysia," katanya.

Katanya, rakyat Malaysia seharusnya menjadikan insiden itu sebagai satu cabaran serta iktibar, dan semua pihak perlu bersatu dengan semangat satu rakyat dalam sebuah negara.

Malaysiakini/-