15 February 2010

Nik Aziz saran Zahrain letak jawatan MP

30 Safar 1431H.

Datuk Seri Zahrian Mohd Hashim disaran meletakkan jawatannya sebagai ahli parlimen Bayan Baru bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil di kawasan itu, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau menyifatkan tindakan Zahrain, yang mengumumkan keluar dari PartiKeadilan Rakyat (PKR) Jumaat lalu, dan wakil rakyat yang melompat parti sebagai golongan yang mengkhianati amanah rakyat

Katanya wakil rakyat yang bertindak demikian mesti bertanggungjawab kepada rakyat yang memilih mereka pada pilihan raya lepas dan perlu menyerahkan mandat semula kepada rakyat untuk membuat pemilihan baru.

"Undi adalah amanah yang diberikan oleh rakyat, jika kita melompat ke parti baru atas sebab tertentu, maknanya kita tidak amanah kepada rakyat," katanya kepada pemberita ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina oleh pengerusi syarikat perumahan SBJ terkenal di negeri itu, Datuk Tan Liang Chong, di Panji, dekat Kota Bharu, hari ini.

Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata demikian ketika mengulas tindakan Zahrain yang mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas setelah keluar dari PKR.

Keputusan Zahrain itu dibuat kerana beliau tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang pimpinan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis.

Nik Abdul Aziz berkata isu lompat parti atau keluar parti bukan sesuatu perkara yang baru, malah ia sudah lama berlaku dalam PAS sendiri.

Menurutnya, sama ada wakil rakyat yang sengaja melompat atau dilompatkan akan diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana setakat ini tidak ada wakil rakyat dari Kelantan yang bersikap demikian walaupun beberapa cubaan telah dibuat oleh pihak tertentu.

Katanya wakil rakyat dari Kelantan tidak keluar parti atau melompat parti kerana mereka berpegang teguh kepada amanah dan mandat rakyat yang memilih mereka.

Mengenai sambutan Tahun baru Cina, Nik Abdul Aziz berkata rakyat segenap lapisan digalakkan menghadiri majlis rumah terbuka masyarakat keturunan Cina, kerana ia tidak bercanggah dengan agama Islam.

- Bernama

Setiausaha Politik Ditahan Bersama Wang Tunai RM2j

30 Safar 1431H.

BUTTERWORTH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha politik kepada menteri kanan bersama longgokan wang tunai lebih RM2 juta.

Wang tunai itu ditemui dalam longgokan wang RM5, RM10, RM50 dan RM100. Difahamkan pegawai SPRM dari Putrajaya yang menyerbu sebuah pangsapuri di Teluk Air Tawar pukul 3.30 petang kelmarin, turut merampas kenderaan pacuan empat roda yang didaftarkan di bawah nama sebuah syarikat yang berpangkalan di Pulau Tikus dekat sini.

Turut disita ialah sebuah kereta BMW yang didaftarkan di bawah nama individu dari Sarawak.

Tidak dapat dipastikan dari mana suspek memperoleh wang tunai sebanyak itu dan tujuan menyimpannya.

Sebelum ini, akuan bank suspek telah dibekukan bagi tujuan siasatan SPRM.

Pada 13 Disember lalu, The Star melaporkan bahawa SPRM menyiasat seorang setiausaha politik yang dikatakan mengumpulkan berjuta-juta ringgit nilai hartanah dalam tempoh yang singkat.

Pegawai penyiasat juga memperoleh arahan untuk menahan dan membekukan beberapa hartanah termasuk kereta dan rumah mewah bagi membantu siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.

Laporan itu turut menyebut, suruhanjaya itu menyita sekurang-kurangnya empat kereta mewah dan empat rumah mewah yang dipercayai milik setiausaha politik berkenaan yang berusia 30-an.

Selain itu, SPRM turut menyiasat pembelian beberapa hartanah di sekitar Lembah Klang yang dikatakan sebagai balasan meluluskan beberapa projek bernilai jutaan ringgit.

Laporan yang memetik sumber itu memberitahu, pegawai penyiasat turut mengenal pasti beberapa individu berkaitan kes terbabit dan akan memanggil mereka membantu siasatan tidak lama lagi.

Sumber itu memberitahu, satu pasukan khas dari ibu pejabat SPRM Putrajaya mula menyiasat kes berkenaan selepas mendapat maklumat bahawa setiausaha politik itu hidup mewah di luar kemampuannya.

Difahamkan bahawa siasatan berkenaan di antara kes-kes berprofail tinggi yang sedang dibongkar hasil maklumat dan laporan daripada orang ramai.

Dalam pada, menurut sumber itu, pegawai kanan menteri itu mula dijejaki selepas dakwaan bahawa dia memiliki hartanah hasil peranannya sebagai orang tengah dalam projek-projek bernilai jutaan ringgit.

Suspek dipercayai membeli kesemua hartanah menggunakan proksi.

Pengarah SPRM negeri, Latifah Md Yatim tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan tangkapan tersebut.Mstar/-

Perutusan Selamat Tahun Baru Cina

30 Safar 1431H.

Tahun Baru Cina menjelang lagi, dengan ini saya seisi keluarga mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU CINA, Xin nian kuai le, gong xi fa cai kepada semua pengunjung blog ini yang berbangsa Cina dan kepada yang bukan berbangsa Cina semuga kedatangannya memberi peluang untuk kita saling berkunjung dan berbalas ucapan bagi menguatkan hubungan masyarakat Malaysia pelbagai bangsa.

Bagi bangsa Cina diseluruh dunia mereka menyambut kedatangan hari besar ini dengan pelbagai acara dan yang paling penting mereka akan mempergunakan hari ini untuk saling bebalas ucapan "gong xi fa cai" dan " Xin nian kuai le" sebagai ucapan tradisi sudah ribuan tahun.

Alhmadulillah saya hanya memeluk Islam, bukannya sekali masuk Melayu seperti yang diajar oleh pejuang melayu yang fanatik. Kerana itu saya akan terus merayakan tradisi bangsa saya ini.

Selain itu kunjung mengunjung rumah sanak saudara dan rakan taulan adalah tradisi yang utama yang menghiasi perayaan ini.

Budaya Ang Pau juga adalah sesuatu kemestian yang menambahkan lagi kemeriahan sambtuan TBC.

saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia pada hari ini untuk kembali kepada satu perjuangan yang murni iaitu untuk menyelamatkan Malaysia yang kita sayangi. Kepada bangsa Cina sesungguhnya tidak ada lagi harapan kepada semua bangsa di Malaysia termasuklah Bangsa Cina yang dikhianati oleh Barisan Nasional selama 50 tahun lebih mereka memerintah malaysia.

Marilah kita memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat yang menjadi alternatif yang tiada lagi pilihan selain itu. Serangan yang bertubi-tubi kepada gabungan dan pimpinan Pakatan Rakyat adalah bukti ianya adalah saingan kepada BN yang semakin padam dari peta politik malaysia.

Kerana itu Pakatan Rakyat tetap diyakini sebagai wadah penyelamat dan pilihan utama masyarakat Malaysia khususnya bagi masyarakat Cina.

Tahun Harimau yang disambut pada tahun ini diharapkan menyerlahkan lagi masa depan politik Malaysia yang memerlukan perubahan , dan ianya hanya boleh berubah dengan Pakatan rakyat, InsyaAllah.

YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM
ADUN Titi Serong.