25 January 2010

Kelantan tolak lantik wakil pantau wang ehsan

9 Safar 1431H

Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan, YAB Datok Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertegas untuk tidak menjadi pengemis dan mengaku kalah dalam hal tuntutan wang royalti Minyak apabila menolak mentah-mentah tetapi tentu dengan fikiran yang semasak-masanya tawaran Pusat untuk melantik wakil kerajaan negeri dalam jawatankuasa pemantau wang ehsan di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri.

Sesungguhnya kita banyak pengalaman dalam perlantikan pelbagai jawatan dan pelbagai Jawatankuasa yang akhirnya wakil kita akan jadi pak turut malah macam melukut ditepi gantang. Sebelum ini seingat saya MAPEN atau majlis perundingan ekonomi negara yang melantik wakil selain dari pemerintah yang akhirnya tidak ke mana juga dan kita keluar dari majlis itu.

Kelantan tolak lantik wakil pantau wang ehsan
Mohd Nor Yahya, Salmah Mat Husain, Foto: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 24 Jan: Kerajaan Kelantan menolak tawaran Pusat untuk melantik wakil kerajaan negeri dalam jawatankuasa pemantau wang ehsan di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan 45 peserta ekspedisi penyerahan memorandum menyokong tuntutan royalti petroleum oleh PAS Kawasan Batu, Kuala Lumpur, di JKR 10, di sini petang ini.

“Kalau dijemput semata-mata untuk menerima wang ehsan, saya tidak akan pergi dan benarkan, 100 peratus kerajaan Kelantan akan tolak,” ujarnya.

Ianya sebagai mengulas cadangan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin, yang mendakwa akan menubuhkan jawatankuasa pembangunan wang ehsan di peringkat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Menurut Nik Aziz lagi, lebih penting dari penubuhan jawatankuasa itu adalah memastikan dahulu bentuk perundingan yang ingin dibuat sama ada rundingan soal royalti atau wang ehsan.

“Kalau nak beri wang ehsan tak payah rundinglah, sebab dia paksa kita.

“Saya tidak akan terima wang harta Kelantan,” ujarnya.

Terdahulu PAS Kawasan Batu, menyerahkan memorandum sokongan terbuka kepada kerajaan Kelantan, dalam menuntut royalti dari Kerajaan Pusat.

Memorandum berkenaan diserahkan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ishak Surin kepada Nik Aziz di JKR 10.

Ketika berucap pada majlis itu, Tuan Guru sekali lagi menjelaskan kerajaan Kelantan menuntut royalti mengikut landasan Islam, di mana Allah memberikan hasil bumi seperti logam, emas, batu, besi dan sebagainya termasuk minyak adalah di bumi Kelantan.

“Sesiapa yang mengambil hak orang lain, dia akan berdosa dunia akhirat, di dunia dia dikutuk dan didoa musnah oleh rakyat Kelantan, di akhirat dia akan dimamah oleh api neraka.

“Mereka sebelum ini mendakwa Kelantan tiada hak, tetapi sekarang ada hak, cuma dengan nama ehsan, kita berdoa pada Allah, sama ada awak (pemimpin Umno) nak kata ada hak atau tak ada hak, petrol ni tak ada di Kuala Lumpur,”ujarnya.

Sambungnya lagi, petrol berkenaan hanya ada di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun kerajaan pusat didakwa mengaku kesemua itu hak mereka dan menafikan hak negeri.

Jelasnya, lebih malang lagi wang ehsan tersebut akan diberi kepada rakyat melalui JPP seolah-olah Kelantan tiada kerajaan.

“Beri wang ehsan tersebut pada Kerajaan Kelantan kerana rakyat dia ada kerajaan, ada bendera sendiri, ada Menteri Besar, ini mengarut kerana mereka terlampau bertuhan kepada duit,”ujarnya lagi.

"Kalau inginkan wang hasil minyak dari Kelantan, minta dari kerajaan negeri yang ada sekarang dan bukannya negeri ini memohon wang ehsan dari Kerajaan Pusat," katanya.Harakahdaily/-

M JUSOFF TAIB: Salam kepada bukan Islam

9 Safar 1431H
M Jusoff Taib

DI TENGAH kalut kalangan umat Islam yang menonjolkan perjuangan Islam di sebalik isu ‘nama Allah’, yang pada saya ramai yang masih mengenepi kedaulatan Allah dari hati nurani, Tok Guru Nik Aziz memunculkan isu ‘boleh beri salam kepada bukan Islam.’

Secara moralnya, bagi saya Muslim wajib memberi salam (jaminan kesejahteraan) kepada bukan Islam, iaitu secara sikap moral dan tertanam dalam batin atau hati nurani. Malah itu berupa sikap akidah, yang tidak boleh dicuaikan jika kita benar-benar seorang Muslim – yang menyerah diri kita kepada konsep hidup Islam demi Allah.

Salam secara maknawi adalah menjamin kesejahteraan, keselamatan dan pembelaan terhadap sesama Islam mahu pun sesama manusia yang tidak bermusuhan, malah sedia bermuafakat dan membantu kita dalam menyempurnakan masyarakat berkerukunan dan saling membantu.

Jadi falsafah ucapan salam ialah menyedarkan kontrak sosial, terutamanya sesama umat Islam. Misalnya moral memberi salam menurut Nabi saw, Muslim yang berkenderaan patut dan utama memberi salam terlebih dahulu kepada yang berjalan kaki. Maknanya yang elit lebih layak menjamin keselamatan sesama yang lebih daif dan berkurangan. Bukan sebaliknya.

Dalam fekah, umat Islam dikehendaki menjamin keselamatan orang bukan Islam yang sewarga negara dengan kita. Agama, maruah, harta mereka wajib dipastikan selamat dari pencerobohan orang Islam. Malah dibenarkan menentang seperti menentang kafir harbi kepada Muslim yang melakukan kejahatan dan kezaliman kepada mereka yang telah menerima hidup berkerukunan dengan kita.

Kenapakah sedemikian ? Kerana agama Islam yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad saw melalui wahyu Al-Quran, bukanlah agama eksklusif seperti slogan “Islam milik orang Melayu”. Slogan begini menjadikan seseorang Muslim itu memaling agama suci anutan mereka menjadi agama eksklusif seperti Judaisme – agama Yahudi.

Ketika kita bersolat, kita membaca surah Al-Fatihah. Di hujung surah itu ayatnya ialah “ Ghairi al-maghdhuubi ’alaihim wala adh-dhaalliiin”. Ayat ini ditafsir oleh Nabi Muhammad saw sendiri. “ Al-Maghdhu” sebagai “ Al-Yahud” – Yahudi. “Wala adh-dhaallinn” sebagai “ An-Nashara”. Jadi melalui Al-Fatihah setiap solat kita, telah ditentukan Allah supaya kita tidak meng-eksklusif-kan agama kita bagai Yahudi, dan tidak pula tersesat ke dalam emosi apabila beragama Islam. Kita wajib tunduk kepada pengertian dan fahaman berdasarkan ilmu.

Dan apabila disebut ilmu, ada dua ilmu penentu kesucian, kemuliaan dan kesahihan agama kita, iaitu Al-Quran dan Sunnah yang berdasarkan sumber yang sahih segi sanad dan matannya. Hujah ini sahajalah merupakan kesucian agama.

Apabila disebut ulama khilaf dalam satu-satu hal, ia menunjukkan ketiadaan dalil kuat yang mendokong satu-satu pandangan itu secara muktamad. Maka di sini kita harus menggunakan akal yang mendalam, murni dan waras dengan keadaan semasa untuk membuat pilihan demi kebaikan agama kita. Malah dengan tujuan demi Allah, bukan demi nafsu dan prasangka emosional kita.

Bebalik kepada pandangan Tok Guru Nik Aziz tentang salam kepada bukan Islam, beliau dipetik oleh tabloid Siasah sebagai berkata: “Ada orang pernah tanya bolehkah orang Islam beri salam bila jumpa orang Cina atau India (bukan Islam). Setengah ulama kata boleh, setengah ulama pula kata tak boleh.”

“Jadi bagi ambo (saya), boleh. Sebab ia perkara khilaf. Bila ia cuma satu khilaf kenapa kita masih nak ambil yang tak boleh. Mana baik kita beri salam dengan tak beri salam.”

“Tambah-tambah dunia sekarang dunia orang tengah balah (bertelagah), kita beri salam maknanya selamat untuk kamu. Di mana tak baiknya beri salam.”

Dari kenyataan yang dipetik sebagai kenyataan Tok Guru di atas, satu kesimpulan kaedah fiqh dakwah Islamiyah telah diberi oleh Tok Guru.

(1) Dalam permasalahan khilaf, pemilihan yang tepat harus dilakukan,
(2) Pemiliohan itu harus berdasarkan maslahat dan hikmah demi Allah dan agama-Nya.
(3) Mendalami kehendak semasa dan mencitrakan Islam sebagai kemuliaan dari Allah melalui mengamalan ke dalam budaya umat.

Dalam hal salam ini, jika kita merujukkan kepada Bustanul Arifin yang dikarang oleh Syekh Nashr bin Muhammad As-Samarqandi, kita dapati beliau menyebut tentang adanya khilaf.

Berkata Syekh Syeikh Nashr : “Para ulama berselisih (khilaf) mengenai memberi salam kepada ahli zimmah. Sebahagian mereka memperbolehkannya. Dan sebahagian lain melarangnya. Akan tetapi bila mereka memberi salam, kita boleh membalasnya dengan jawapan. Pendapat inilah yang kami anut.”

Menurut Syeklh Nashr, pihak yang membolehkan memberi salam kepada Ahli Zimmah berdasarkan pendapat Abdullah bin Mas’ud r.a. Sementara yang tidak membolehkannya pula, mengambil hujah dari Abdullah bin ‘Umar.

Untuk memberikan makna yang mendalam tentang hikmah agama Allah tentang memberi salam kepada bukan Islam ini yang dinyatakan oleh Tok Guru Nik Aziz itu, elok rasanya kita membuka Al-Quran dalam keadaan yang tenang, dan menghadap hati kepada Allah, lalu merenung ayat 84 hingga ayat 87 Surah An-Nisaa’.

Mudah-mudahan dicurahi hikmah ke dalam hati nurani kita. WaLahu a’lam bish-showaab! Harakahdaily/-

SELENA TAY: Bersediakah Pakatan hadapi pilihanraya kecil di Perak

9 Safar 1431H
Selena tay

Buat masa ini ada kedengaran desas-desus bahawa Pilihanraya Negeri akan diadakan di Negeri Perak. Samada ini akan menjadi benar atau tidak adalah tidak begitu penting tetapi soal pokoknya ialah adakah Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk bertanding sekiranya DUN dibubarkan secara mengejut dan Pilihanraya Negeri diumumkan.

Saya ingin menarik perhatian para pembaca bahawa jika ada asap tentulah ada api (there is no smoke without fire), oleh itu desas-desus itu mungkin juga ada kebenarannya dan ada kebarangkalian yang tinggi bahawa Pilihanraya Negeri Perak akan berlangsung tidak lama lagi iaitu mungkin dalam bulan Mac, April ataupun Mei.

Pada pendapat saya, BN selalunya berada dalam keadaan yang siap sedia oleh sebab mereka pada bila-bila masa dengan senang sahaja boleh menggunakan dana mereka untuk memberi gula-gula kepada rakyat. Lagipun dana BN ini tiada batasannya. BN dengan sewenang-wenangnya boleh menggunakan dana mereka untuk membina infrastruktur yang baru seperti jalanraya, lebuhraya, jambatan, stesen bas dan stesen keretapi. Mereka juga boleh memberi sumbangan dana yang berjuta-juta kepada sekolah-sekolah, persatuan-persatuan Cina dan India, rumah-rumah kebajikan dan juga tempat-tempat beribadat. Keluarga-keluarga yang papa kedana juga akan dibantu oleh BN pada masa ini. Adakah Pakatan Rakyat mempunyai idea yang baik untuk menangani taktik kotor BN ini? Saya bimbang Pakatan Rakyat akan tumbang sekali lagi di Perak disebabkan oleh senjata BN yang amat kuat ini.

Selain dari itu, Tahun Baru Cina akan dirayakan oleh kaum Tionghua dalam pertengahan bulan Februari yang akan datang ini. BN akan mengambil kesempatan ini untuk memberi angpau yang besar kepada kaum Tionghua dan ini tentu sedikit sebanyak akan dapat mempengaruhi undi kaum Tionghua apabila mereka melihat bahawa BN memang ada wang untuk melaksanakan berbagi-bagai jenis projek. Dana yang berjuta-juta akan juga disalurkan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan persatuan-persatuan Cina sebagai angpau Tahun Baru Cina. Perak ada ramai pengundi Cina dan saya berpendapat ini akan memberi kesan kepada jumlah undi yang akan diraih oleh Pakatan Rakyat nanti. BN akan menggunakan wang untuk membeli keyakinan rakyat.

Lagi satu senjata BN yang efektif ialah pengundi hantu. Ramai hantu-hantu akan muncul entah dari mana. Pengundi hantu ini boleh menggugat kemenangan Pakatan Rakyat di kawasan dimana Pakatan Rakyat telah menang dengan majoriti yang tipis dalam Pilihanraya Umum Mac 2008 yang lalu.

Pakatan Rakyat hanya ada satu senjata sahaja iaitu senjata moral. Pakatan Rakyat mesti memberi maklumat kepada rakyat dan sentiasa mengingatkan rakyat bahawa rampasan kuasa yang dilakukan oleh BN pada Februari 2009 adalah salah disisi undang-undang dan BN adalah sebuah kerajaan yang langsung tidak menghormati undang-undang, oleh itu adalah amat bahaya untuk mengundi BN sebab mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka suka dan menghancurkan masa depan negara ini sebab mereka hanya mementingkan diri mereka sendiri. Pakatan Rakyat mesti memaklumkan kepada rakyat Perak bahawa keadaan ekonomi negara sekarang sudah berada dalam keadaan yang kritikal dan dibawah pemerintahan BN masa depan adalah malap sekali. Ekonomi Malaysia sekarang umpama kapalterbang yang berada dalam mod autopilot dan bila-bila masa sahaja akan terhempas.

Pakatan Rakyat mesti memberitahu rakyat Perak terutamanya yang tinggal di bandar-bandar kecil, luar bandar dan kampung-kampung bahawa Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegah Rasuah, badan kehakiman, pejabat Peguam Negara, polis dan semua agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Kerja Raya telah diperalatkan oleh BN. Peranan yang dimainkan oleh jabatan-jabatan kerajaan untuk mengsabotaj Pakatan Rakyat di kawasan-kawasan yang dipegang oleh wakil Parlimen atau ADUN Pakatan Rakyat adalah amat berkesan. Contoh yang simple ialah apabila Jabatan Kerja Raya tidak mahu membaiki jalanraya yang ada lubang dan orang mati disebabkan motosikalnya jatuh kedalam lubang ini maka tuduhan akan dilemparkan kepada Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan yang malas dan tidak berprihatin. Peranan yang dimainkan oleh jabatan-jabatan kerajaan untuk mengsabotaj Pakatan Rakyat memang boleh mengurangkan undi yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat nanti.

BN pun akan sering melaung-laungkan cogankata 1 Malaysia itu dimana dibawah pemerintahan BN semua bangsa hidup aman damai, berharmoni dan bersatu-padu. V. Sivakumar, Speaker Perak yang sah, dalam satu forum yang dianjurkan oleh SELPROA di Kuala Lumpur pada 21hb Januari 2010 kelmarin ada berkata: ‘1 Malaysia, 2 Perak, kenapa begini? Disebabkan oleh 3 katak.’ Sekarang dengan kontroversi yang disebabkan oleh kalimah ‘Allah’, jelas dapat dilihat bahawa cogankata 1 Malaysia adalah retorik BN sahaja, retorik untuk memancing undi kaum bukan-Melayu.

Saya berpendapat apabila ada orang Melayu yang mengundi DAP dan orang Cina yang mengundi PAS, itulah 1 Malaysia yang sebenarnya. Pada masa kempen di Pilihanraya Kecil Bukit Gantang 2009, saya pernah mendengar satu orang Melayu melaungkan ‘Ada Roket boleh pergi ke Bulan’ di kalangan penyokong PAS dan DAP pada masa hari penamaan calon. Kerjasama antara PAS, DAP dan PKR di Perak memanglah erat seperti yang disebut oleh V. Sivakumar dalam Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19hb Disember 2009 yang lalu, ‘Dulu kita berpegang, sekarang kita berpeluk.’ Itulah kekuatan Pakatan Rakyat yang boleh digunakan untuk meraih kemenangan. Selain dari itu forum, roadshow dan ceramah umum harus dianjurkan oleh Pakatan Rakyat untuk menyampaikan mesejnya kepada rakyat memandangkan bahawa BN telah menguasai media arus perdana.

Pakatan Rakyat hanya boleh memenangi Pilihanraya Negeri Perak sekiranya rakyat Perak diberi maklumat yang penuh dan benar mengenai tipu helah dan taktik kotor BN. Maklumat mengenai Dasar Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Common Policy Framework yang diluluskan oleh PKR, PAS dan DAP dalam Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19hb Disember 2009 yang lalu mesti disampaikan kepada para pengundi kerana dasar inilah yang memberi roadmap kepada semua rakyat Malaysia bahawa hanya kerajaan Pakatan Rakyat sahaja yang mampu dan boleh membawa satu era baru untuk semua rakyat negara ini. Jangan terpedaya oleh BN. There is light at the end of the tunnel but with BN the light at the end of the tunnel is the light of the oncoming train. Harakahdaily/-

4 ditahan berkaitan kes bakar surau di Muar

9 Safar 1431H

Empat orang ditahan di Johor kerana dipercayai terbabit dalam kes membakar surau di Muar dua hari lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mereka yang ditahan itu berusia antara 16 hingga 28 tahun.

Seorang daripada mereka yang ditahan itu dipercayai anak seorang anggota polis.

Pada 21 Januari lalu, dua surau di Muar menjadi sasaran dibakar awal pagi.

Kebakaran pertama berlaku di Surau Silaturahim di Jalan Ismail Omar manakala yang kedua di Surau Parit Beting di Jalan Salleh yang jaraknya kira-kira dua kilometer.
Mereka ditahan di tempat yang berasingan pagi semalam - kurang 48 jam selepas insiden tersebut.

Ismail berkata, suspek, termasuk seorang daripadanya bekerja sebagai pelayan dan seorang lagi penganggur, tinggal berdekatan surau tersebut.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan motif sebenarnya perbuatan tersebut belum diketahui.

Menurutnya, polis telah mendapat perintah reman ke atas mereka.

Penangkapan mereka dibuat selepas 15 orang ditahan reman ekoran insiden serangan ke atas gereja.

Sejak 8 Januari lalu, beberapa tempat ibadat, sebahagian besarnya, gereja menjadi sasaran bom api dan perbuatan vandalisme.

Insiden itu dipercayai tercetus ekoran keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu, yang mengetepikan arahan kerajaan melarang bukan Islam menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan bagi 'God'.

Keputusan itu membolehkan mingguan Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah dalam versi bahasa Malaysianya.

Ekoran itu, kerajaan telah merayu terhadap keputusan tersebut dan berhujah bahawa perkataan Allah adalah eksklusif untuk orang Islam sahaja. Malaysiakini/-

Sejarah Bazar

9 Safar 1431H
http://www.cetusan-hati.blogspot.com/

Saya diminta Tok Guru membuat catitan sejarah tentang Bazar, Arked dan Pasar Lambak. Atas permintaan itu, saya perturunkan catitan ringkas ini.

Pertalian sejarah menguatkan azam Tok Guru untuk menempatkan para peniaga di tingkat bawah Bazar Tok Guru yang akan dibina.

Dua hari sebelum pilihanraya 2008, Tok Guru berucap di hadapan para peniaga kecil, bahawa menjadi hasrat beliau untuk membina satu bazar mercu tanda yang akan menjadi medan perniagaan baru para peniaga kecil di Kota Bharu. PAS mendapat kemenangan besar 2008 yang lalu.

Ada sebab sejarah Tok Guru berucap begitu pada hari itu.

Tiga tahun menjelang kemenangan besar bersejarah buat pertama kali Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990, jentolak-jentolak telah meranapkan gerai-gerai kecil peniaga ini buat selama-lamanya. Waktu itu dikenali sebagai Pasar Lambak. Lokasinya adalah di Medan Hijau di depan Bangunan UMNO Kelantan sekarang.

MPKB bercadang mengindahkan persekitaran Bangunan UMNO Kelantan itu yang akan dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir pada masa itu. Tepatnya, perasmian tersebut berlangsung pada 12 Mach 1987 dan perobohan berlaku betul-betul sehari sebelumnya!

Politik peminggiran peniaga kecil ini tidak harus diizinkan berlaku semula di zaman pentadbiran Tok Guru.

Bagi generasi baru, mungkin rentetan sejarah ini tidak ada dalam ingatan mereka.

Bagi seusia dengan saya, inilah tempatnya kami anak-anak belia masa itu membeli baju dan seluar, melalui celah-celah lorongnya memilih pakaian. Bersebelahan gerai-gerai ini ada kedai-kedai buku yang masyhur masa itu seperti Abu Bakar Al Ahmadi, Dian dan beberapa lagi yang saya telah lupa namanya.

Selain membeli buku di Toko Abu Bakar Al Ahmadi, saya memasang telinga mendengar perbualan politik di situ. Tuan punya kedai seorang ustaz berserban tetapi sangat kuat UMNOnya dan di sini, selalu berlaku perbahasan politik.

Saya sudah bergiat di Pejabat PAS Jalan Dato Pati ketika UMNO mengarahkan perobohan gerai-gerai ini. Masa itu, keangkuhan UMNO sedang memuncak. Berlaku juga apa yang digelar 'sepak bakul'. Akibatnya, UMNO kecundang di Kelantan tiga tahun kemudian.

Sejarah Pasar Lambak Kota Bharu bermula sejak 1976, sewaktu Kerajaan Campuran PAS BN. Ia bertujuan menempatkan peniaga kecil yang berselerak di Bandar Kota Bharu secara bersepadu. MPKB telah menyediakan pelan tapak memuatkan 124 gerai bersaiz 8 X 10 dengan sewa permulaan RM 15 sebulan.

Selepas hampir 5 bulan berniaga, Persatuan Penjual Pasar Lambak bermesyuarat dan bersetuju untuk membina sendiri gerai-gerai di atas lot tapak yang disediakan. Peniaga mengambil inisiatif sendiri membina dinding plywood dan bumbung zink yang menelan belanja hampir RM 150 setiap lot.

Hasrat membina generasi usahawan melalui penempatan ini berjaya. Dari sini munculnya usahawan hartawan seperti arwah Hj Ibrahim Mat Min ( sahabat Tok Guru sendiri ) peniaga pakaian, Hj Talib ( seluar jeans ), arwah Hj Mohd Nor ( bapa Borhan Arked UDA ) pemborong pakaian siap dan seragam sekolah , arwah Tok Penghulu Hussin, Mat Kain Ela, Yusoff Selipar dan banyak lagi.

Melihat kejayaan peniaga Pasar Lambak berniaga dan mendapat sambutan yang menggalakkan, maka MPKB telah menaikkan sewa RM 50 sebulan dengan alasan MPKB menyediakan kemudahan elektrik secara percuma. Persatuan Penjual menerima arahan kenaikan sewa MPKB dan harga tersebut kekal hingga Pasar Lambak menyembah bumi pada tahun 1987.

Perundingan untuk merobohkan Pasar Lambak

Pada tahun 1983 PKINK bercadang membina 3 tingkat Bazaar Buluh Kubu dan telah menawarkan kepada Persatuan Penjual Pasar Lambak untuk membeli lot-lot yang akan disediakan.

Waktu itu, Persatuan mempunyai tabung yang kuat dengan kewangan ratusan ribu ringgit hasil sumbangan yuran tahunan ahli. Wakil Persatuan memohon kerjasama PKINK untuk menyediakan lot yang mencukupi ( 124 ) untuk menempatkan peniaga di aras bawah dan dipersetujui CEO PKINK dengan tawaran harga asal RM 1.83 sen sekaki persegi. Itu pada tahun 1984.

Sayangnya rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan. Sebilangan kecil mengambil langkahan sendiri dan telah berunding secara sulit dengan PKINK. Hasil gerakan sulit tersebut PKINK telah mengkucar kacirkan perpaduan di kalangan ahli.

Setelah pengurusan PKINK bertukar maka pelan asal Bazar Buluh Kubu turut berubah dengan setiap tingkat hanya disediakan 65 lot bersaiz besar. Pengurusan baru PKINK juga memaklumkan bahawa PKINK tidak akan menjual Bazaar Buluh Kubu sebaliknya disewa kepada peniaga yang berminat.

Cadangan Persatuan untuk menempatkan kesemua 124 peniaga di tingkat bawah tidak dilayan. Persatuan telah menolak tawaran PKINK untuk menyewa di tingkat bawah dan tingkat satu.

Bazar Buloh Kubu dibuka secara rasmi pada tahun 1985 tetapi pada awalnya tidak mendapat sambutan. Dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang hebat tidak mampu menggugat dayatarikan Pasar Lambak dengan harga yang lebih murah dan pilihan yang lebih banyak.

Perniagaan Bazar Buluh Kubu hanya mula mendapat sambutan hangat setelah Pasar Lambak dirobohkan. Perpindahan peniaga asal Pasar Lambak telah membuka ruang baru kepada peniaga Bazar Buluh Kubu untuk merasai nikmat sambutan Pasar Lambak dahulu.

MPKB juga bercadang menyiapkan Pasar Lama MPKB yang terbengkalai hampir bertahun lamanya. Dato Rastom Ahmad Maher selaku Timbalan Menteri Besar dan juga YDP MPKB waktu itu telah berunding dengan Persatuan Pasar Lambak untuk memindahkan lokasi perniagaan ke Pasar Lama MPKB.

Persatuan Penjual tidak bersetuju berpindah kerana disediakan lot Tingkat 1 yang tidak berdaya saing mengikut pendapat mereka. Walau bagaimanapun MPKB tetap berusaha untuk mendapat persetujuan Persatuan Penjual tetapi tetap gagal.

Akhirnya, MPKB telah mengugut untuk merobohkan Pasar Lambak secara paksa kerana alasannya lokasi Pasar Lambak tidak mengindahkan Bandar Kota Bharu.

Persatuan Penjual telah mengambil tindakan proaktif dengan melantik peguam untuk mendapatkan perintah injuksi dari mahkamah menghalang MPKB merobohkan tapak Pasar Lambak.

Tindakan berani Persatuan Penjual telah membuahkan hasil dan akhirnya mahkamah mengeluarkan arahan menghalang MPKB dari merobohkan Pasar Lambak.

Keputusan mahkamah telah disiarkan oleh akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan New strait Times pada awal tahun 1987. Tajuk yang menjadi pilihan akhbar ialah PERSATUAN PENJUAL SAMAN MPKB dan MPKB DIHALANG ROBOH PASAR LAMA.

Sebagai reaksi kepada keputusan mahkamah,MPKB telah membuat rayuan atas keputusan tersebut dan menghentikan rundingan dengan Persatuan.

Kemuncak kepada isu Pasar lambak ialah apabila Bagunan UMNO Negeri Kelantan bersebelahan Pasar Lambak akan dirasmikan oleh bekas PM Dr Mahathir pada 12 Mach 1987. Demi untuk mencantikkan pemandangan di hadapan Bangunan UMNO yang bakal dirasmikan, peniaga diminta berpindah dengan segera.

MPKB dan beberapa pegawai kerajaan telah memohon jasa baik Persatuan Penjual berpindah dan tempat baru disediakan di tingkat 1 Pasar Lama MPKB. Walau bagaimanapun pendirian rasmi Persatuan Penjual tidak berubah dan tetap berkeras untuk berniaga di pasar lambak.

Setelah kesemua pimpinan Persatuan tetap tidak berubah maka MPKB telah membuat provokasi terhadap peniaga Pasar Lambak. MPKB telah mengadakan rundingan dengan kumpulan serpihan Persatuan Penjual yang tidak berautoriti membuat keputusan.

Hampir 20 peniaga dari 124 orang telah dibawa bertemu Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Yaacob untuk berunding.

Ia berakhir dengan perobohan dimulakan ke atas gerai-gerai yang telah memberikan persetujuan.

Sehari sebelum perasmian Bangunan UMNO maka berlakulah peristiwa yang menyayat hati. MPKB menghantar jentolak untuk merobohkan lot milik kumpulan 20 dan ia tidak lagi dapat dihalang oleh Persatuan.

Tiada pilihan untuk bertahan, Persatuan Penjual menyeru kesemua ahli mengosongkan gerai bagi memberi laluan kepada kerja-kerja meroboh oleh MPKB. Dengan hiba dan susah payah kesemua peniaga memunggah stok-stok sehingga pukul 3 pagi. Berakhirnya empayar peniaga pasar lambak demi kepentingan UMNO bagi memberi laluan kepada pengindahan landskap untuk perasmian Bangunan UMNO negeri pada 12 Mach 1987.

Berpindah ke Bangunan Pasar Lama dan Arked UDA

Setelah gagal mempertahankan Pasar Lambak, para peniaga berpindah ke Pasar Lama MPKB. Pada masa itu, pembinaannya hanya 70 % siap. Kemudahan elektrik hanya disediakan 2 minggu setelah peniaga berpindah.

6 bulan kemudian barulah peniaga berhenti menghidu debu kerana kerja-kerja pembinaan yang masih berjalan.

Setelah berpindah, didapati lot-lot tidak mencukupi untuk menampung kesemua 124 peniaga asal. Peniaga merasa hairan bagaimana 300 lot yang wujud di tingkat 1 tidak mencukupi untuk menampung kesemua peniaga pasar lambak yang hanya seramai 124 orang. Rupanya wujud pembahagian gerai kepada kroni-kroni dan anugerah politik yang tertentu.

Hasilnya, MB Tan Sri Mohamad Yaacob telah mengarahkan PKINK untuk membina gerai baru di tanah milik UDA seluas 1.5 ekar sekarang bagi menempatkan lebihan peniaga. Pembinaan mengambil masa selama 6 bulan untuk menyiapkan Arked UDA yang ada sekarang dengan menyediakan 216 gerai bersaiz 8 X 10 setiap satu.

Sekali lagi masalah sama berulang, hampir separuh lot-lot terlepas kepada kroni tertentu.

Hasil kemelut ini, ada juga peniaga yang dulunya berjaya, telah mengubah haluan masing-masing.

Bagi peniaga generasi kedua, mereka terus berniaga di Pasar Lama MPKB dan Arked Uda hingga kini.

UDA kini bercadang membina kondominium dan komponen komersial lain di tapak Arked Uda kini sementara Pasar Lama MPKB pula sudang usang dan tidak selamat untuk digunakan.

Harapan baru mereka ialah Bazar Tok Guru, dan seperti telah dikatakan, ada sebab sejarah untuk Tok Guru terus berazam menjadikan keseluruhan tingkat-tingkat di Bazar Tok Guru sebagai Bazar para peniaga kecil.

Saya merasa terpanggil menulis sejarah kecil ini bila Tok Guru mengarahkan saya menulisnya, supaya 'ekor' dan 'kepala' dapat disambungkan. (Terima kasih kepada para peniaga yang telah membantu penulisan ini)

Sejarah peminggiran hendak diangkat kepada Sejarah Pemerkasaan.

Nik Aziz akan raikan 200 pemimpin agama dalam jamuan makan

9 Safar 1431H
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 23 Jan: Seramai 200 orang ketua-ketua agama seluruh negara yang mewakili lima agama utama negara dijangka akan menghadiri majlis Jamuan Muhibbah Antara Agama anjuran Kerajaan Kelantan yang akan diadakan 28 Januari ini.

Majlis yang diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat Islam dan pelbagai agama itu akan dihadiri oleh ulama Islam, ketua agama Hindu, Buddha, Kristian dan Sikh.

Seramai 16 orang daripadanya adalah ketua-ketua paderi Kristian dari seluruh negara yang sedang bersidang di Kota Bharu, ibu negeri yang negerinya ditadbir oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata majlis yang diadakan di sebuah hotel itu akan diadakan bermula pukul 10.45 pagi dan dijangka berkahir 12.00 tengahari.

"Majlis makan ini adalah lambang kita meraikan tetamu bagi orang Islam. Masa kita dapat anak kita adakan majlis aqiqah, kahwin kita buat kenduri. Semuanya sebagai tanda kita meraikan tetamu dan kegembiraan bukannya permusuhan," kata Nik Aziz dalam wawancara khas dengan tiga wartawan termasuk dari Harakahdaily.

“Kita terpaksa menganjurkan program berkenaan agak awal bagi menghormati sebahagian penganut agama yang tidak boleh makan tengahari melebihi pukul 12.00 tengahari,” ujarnya.

Menurutnya, biarpun kerajaan negeri pernah meraikan golongan berkenaan beberapa tahun dahulu, namun majlis yang bakal berlangsung nanti lebih besar apa lagi kerana ianya melibatkan ketua agama dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Jelas Tuan Guru lagi, kerajaan negeri meraikan golongan berkenaan bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan yang telah sedia terjalin tetapi juga untuk mengekalkan suasana aman di negeri itu yang telah ditadbir oleh parti yang berlandaskan Islam.

Tambahnya, lagipun Islam menggalakkan umatnya berbuat baik kepada semua bangsa dan agama termasuk meraikan mereka dengan jamuan.

“Mudah-mudahan dengan cara ini masyarakat bukan Islam dapat menyaksikan sendiri bagaimana Islam mengajar penganutnya meraikan golongan bukan Islam,” ujarnya. Harakahdaily/-