15 January 2010

Masyarakat Antarabangsa Hulur Bantuan Kecemasan kepada Haiti


Masyarakat antarabangsa menghulurkan bantuan kecemasan kepada Haiti yang musnah teruk dilanda bencana gempa bumi semalam.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menyatakan PBB sedang mengumpulkan pasukan kecemasan untuk membantu pihak berkuasa tempatan menjalankan gerakan menyelamat. Selain itu, PBB akan memperuntukkan sebanyak 10 juta dolar Amerika daripada tabung kecemasan pusat kepada mangsa bencana negara itu. Pada masa yang sama, Majlis Keselamatan PBB menyeru masyarakat antarabangsa terus menyumbang bantuan untuk membantu penduduk Haiti.

Bank Dunia akan memberi sumbangan wang sebanyak 100 juta dolar Amerika kepada Haiti. Di samping itu, Program Makanan Dunia (WFP) akan menghantar sebanyak 86 tan bekalan makanan untuk memenuhi keperluan mangsa bencana.

Pasukan Penyelamat Antarabangsa China yang terdiri daripada 60 orang berlepas dari Beijing ke Haiti untuk menjalankan tugas menyelamat. Persatuan Palang Merah China pula menyumbang sejuta dolar Amerika kepada negara itu.

Selain itu, beberapa negara seperti A.S., Rusia, Jerman, Perancis, Britain, Finland dan Itali menghantar segera bantuan masing-masing terhadap mangsa bencana itu.

Angka Kematian dalam Gempa Bumi Haiti Mungkin Cecah 100 Ribu Orang

Angka kematian dalam bencana gempa bumi berukuran 7.3 pada skala Richter di Haiti semalam mungkin mencecah 100 ribu orang. Perdana Menteri negara itu, Jean Max Bellerive ketika diwawancarai oleh CNN berkata, banyak bangunan yang runtuh, menimpa ramai penduduk yang tidak sempat menyelamatkan diri ketika bencana itu berlaku. Pada masa ini, jumlah kematian yang sebenar sukar dikenalpasti.

Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon berkata di New York semalam, seramai 16 kaki tangan PBB terkorban dalam bencana tersebut, iaitu 11 askar Brazil, seorang anggota pengaman Argentina, 3 polis Jordan serta seorang pegawai tentera Chad.

Umno lebih dahsyat lagi `peralat' polis

28 Muharram 1431H
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Jika polis boleh ‘dipermain’ oleh seorang pelajar berumur 19 tahun, sudah tentu Umno lebih dahsyat lagi menipu dan memperalatkan polis untuk kepentingan politik yang tersepit, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mengulas tindakan polis menahan seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang menulis dalam Facebook kononnya dia membakar gereja dan kemudian melepaskannya kerana pelajar itu mengaku beliau hanya "main-main", beliau bimbang "kes pembakaran gereja akan jadi macam kes enjin jet hilang".

"Setahun empat bulan polis ambil masa untuk siasat baru dapat tangkap dan dakwa. Itu pun sarjan dengan prebet sahaja. Yang di atas terlepas, yang lagi atas hilang terbang bersama enjin jet," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mempersoalkan kenyataaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak polis yang mendakwa mereka sudah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian pengeboman dan pembakaran gereja yang berulang-ulang sejak Jumaat lalu.

"Bila saya membuat kenyataan mempersoalkan kenyataan mereka yang sangat meragukan dengan penghujahan mudah di mana saya berkata, kalau dah kenal pasti apa yang susah sangat hendak membuat tangkapan, mereka mendakwa pula bahawa mereka perlu mendapat maklumat yang tepat dan terperinci sebelum membuat sabarang tangkapan kononnya untuk mengelak ada yang mempersoalkan tindakan penangkapan.

"Tiba-tiba dilaporkan seorang (pelajar kolej) telah ditahan polis selepas dia mengaku dalam (laman) Facebooknya bahawa dia melakukan pembakaran gereja. Dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas menyatakan dia sengaja buat pengakuan main-main," katanya.

Mahfuz mempersoalkan bagaimana polis boleh bertindak dan menangkap pelajar itu tanpa penelitian yang rapi terlebih dahulu sedangkan suspek yang sudah dikenal pasti polis belum ditangkap dengan alasan tidak mahu penangkapan dipersoalkan.

"Mana ada orang yang bakar lepas itu dia bagi tahu pada polis dia yang bakar. Tak masuk akal langsung. Setahu saya mana ada orang nak mengaku kata dia yang bakar. Bawa pertuduhan ke mahkamah pun dia tak mengaku," katanya.

Beliau berkata, tindakan polis yang "sekejap (menyatakan) kena siasat dan teliti dahulu, sekejap terus tangkap" menyebabkan orang ramai mempersoalkan kebijaksanaan polis.

Mahfuz menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai "nasib rakyat Malaysia bila keadilan, ketenteraman dan keamanan diperdagangkan oleh pedagang-pedagang politik Umno.

Harakahdaily.net/-

Umno gagal, PAS lulus

28 Muharram 1431H
Selena Tay

Saya telah menjadi seorang pemerhati politik sejak tahun 1985 lagi. Pada masa itu sehinggalah tahun 2008 sebagai ahli sebuah keluarga Cina yang menetap di Kuala Lumpur, saya mempunyai satu pendapat sahaja berkenaan dengan PAS iaitu PAS ialah sebuah parti yang agak fanatik.

Walaupun ahli-ahli keluarga saya telah mengundi parti DAP sejak tahun 1990 lagi, apabila DAP berkerjasama dengan PAS pada tahun 1999 dalam Barisan Alternatif, kami telah mengundi Barisan Nasional (BN).

Semua ahli-ahli keluarga saya termasuk saudara-mara dan juga rakan-rakan Cina saya yang lain amat menggeruni PAS sebab pada masa itu kami berpendapat bahawa PAS ialah parti yang amat merbahaya sebab PAS tidak peduli dengan kaum lain dan mempunyai fikiran yang sempit.

Tetapi semua itu telah berubah pada Pilihanraya Umum tahun 2008 oleh kerana kami sudah muak dengan gejala rasuah dalam BN dan oleh itu walaupun DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR, kami telah mengundi DAP.

Selepas Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak, kami mendengar berita bahawa beliau amat rajin dan berusaha membantu semua kaum dan golongan masyarakat yang miskin tanpa mengira bangsa dan ugama. Beliau juga seorang yang telus, ikhlas dan berwibawa. Ini serba sedikit telah mengubah fikiran kami terhadap PAS.

Tetapi pada Februari 2009, apabila BN merampas kuasa di Perak, kami telah 100% menyokong PAS sebab kami telah melihat dengan amat jelas bahawa yang fanatik dan yang gilakan kuasa ialah BN.

Dan pada Januari tahun ini pula, sekali lagi BN telah menunjukkan belangnya. Kali ini melibatkan soal ugama pula dimana 2 sepupu orang kuat UMNO telah membuat kenyataan bahawa mereka tidak boleh menghalang orang Islam yang hendak mengadakan protes tentang keputusan mahkamah membenarkan akhbar Katolik Herald menggunakan perkataan Allah dalam seksyen Bahasa Malaysianya.

Manakala pemimpin-pemimpin PAS pula seperti Tuan Guru Nik Aziz, Salahuddin Ayub, Khalid Samad dan Dr. Dzulkefly Ahmad telah mengutuk dengan sekeras-kerasnya pembakaran gereja Metro Tabernacle dan serangan keatas gereja-gereja yang lain. Selepas ini, 2 sepupu dari UMNO ini cuba pula buat ‘damage control’. Tetapi saya yakin orangramai tidak lagi mempercayai dengan lakonan sandiwara mereka yang bodoh itu.

Akhirkata, sebagai seorang yang berugama Katolik saya ingin juga menyatakan bahawa saya rasa amat terharu dengan sokongan yang diberi oleh PAS dalam hal ini. Masa telah tiba. Saya menggesa rakyat untuk membuka mata mereka. Bukan sahaja PAS For All tetapi PAS All The Way.

14hb Jan 2010

Harakahdaily.net/-

Kenyataan Media : Keputusan Mahkamah Persekutuan, Nizar MB Perak yang sah??

28 Muharram 1431H

Merujuk kepada isu yang disebarkan melalui sms mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan yang berpihak kepada MB Pakatan Rakyat Perak, Ds. Hj. Muhammad Nizar Jamaluddin, maka saya suka untuk memberi beberapa kenyataan media seperti dibawah ;-

1. Saya menafikan bahawa pihak Mahkamah Persekutuan telah mengumumkan bahawa siapakah MB Perak yang sah.

2. Namun begitu, pendengaran kes dihadapan 5 hakim pada 5hb November, 2009 telah pun telahpun lengkap dan habis bagi peguam dipihak MB Pakatan Rakyat dan MB Kudeta Perak, namun sehingga kenyataan ini dikeluarkan saya mengesahkan bahawa Ds. Nizar masih belum dipanggil ke mahkamah yang sama bagi mendengar keputusan yang telah ditentukan. Oleh itu isu dan berita angin siapakah pemenangnya tidak berbangkit.

3. Namun begitu, Pakatan Rakyat Perak mengambil sikap dan suka menghebahkan kepada umum dimana kami berpendirian bahawa besar kemungkinan keputusan adalah memihak kepada Ds. Nizar sebagai MB Perak yang sah, sehingga telah melebihi dua bulan masih tidak diumumkan oleh hakim mahkamah persekutuan. Satu tempoh yang begitu lama dan tidak munasabah yang diambil oleh hakim mahkamah persekutuan bagi menentukan siapakah MB yang sah menguatkan lagi jangkaan itu.

4. Selain itu sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Zambry, kenapakah ianya tidak diumumkan dan mengambil masa yang begitu lama untuk disahkan. Satu persoalan yang pada pandangan kami menyebabkan wajar timbul isu dan cakap-cakap yang mengatakan keputusan memihak kepada Ds. Nizar.

5. Kerana itu saya menyeru kepada seluruh penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat di Perak supaya terus mempertingkatkan usaha untuk menyusun seluruh kekuatan melalui semua jentera di semua Parti PAS, DAP dan PKR serta pada gabungan sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat Parlimen bagi menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran DUN Perak.

6. Segala langkah yang perlu bagi memastikan semua calon Pakatan Rakyat yang bertanding menang adalah keutamaan yang mesti didahulukan. Seterusnya merialisasikan hasrat Parti dan rakyat untuk melihat Pakatan Rakyat kembali memegang tampuk pemerintahan di Negeri Perak yang kita cintai.

Kenyataan Media 14hb Januari, 2010
YB.Drs. Khalil Idham Lim
Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.



China Perlu Berusaha Gigih Menjayakan Usaha Mencegah Rasuah

28 Muharram 1431H

Presiden Hu Jintao menegaskan, kerajaan perlu berusaha mendorong pembangunan parti yang bersih dan terus membanteras rasuah. Media massa berpendapat, China perlu berusaha gigih untuk menjayakan usaha mencegah rasuah dalam jangka masa panjang.

Akhbar Harian Undang-Undang menganalisis bahawa kerajaan perlu mengadakan inovasi terhadap sistem pencegahan rasuah ekoran jumlah pegawai yang terlibat dengan rasuah kian bertambah.

Menurut Hu Jintao, kerajaan perlu membentuk sistem pencegahan rasuah yang saintifik dan lengkap danmenjamin kedudukan yang sama bagi rakyat di sisi undang-undang tanpa keistimewaan khas. Kenyataan tersebut memperlihatkan keazaman kerajaan untuk menjayakan usaha membanteras gejala rasuah.

Sidang Pleno ke-5 Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat Parti Komunis China ke-17 tertutup di Beijing hari ini.

CRI/-

Draf persempadanan ke pejabat PM, bukti SPR tidak bebas

28 Muharram 1431H
idrisahmad.wordpress.com

PAS mempersoalkan kerelevenan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan mengemukakan draf persempadanan semula melalui Pejabat Perdana Menteri sebelum dibawa ke Parlimen. Walaupun amalan ini sudah menjadi kebiasaan, namun dari sudut integriti dan kebebasan SPR masih boleh dipersoalkan.

Perdana Menteri merupakan seorang ahli parti politik yang berkepentingan dalam urusan pilihan raya dan turut menjadi calon setiap kali ada pilihan raya. Sebarang draf cadangan pindaan terhadap undang-undang serta peraturan SPR yang melalui pintu pejabat Perdana Menteri pastinya menimbulkan kesangsian kerana ianya boleh dipinda sesuka hati oleh Perdana Menteri mengikut kepentingan partinya. Kredibiliti SPR dan Perdana Menteri sebagai pegawai eksekutif dalam kerajaan boleh dipertikaikan kerana kepentingannya itu.

SPR sewajarnya menjadi badan bebas yang tubuhkan melalui akta yang dibentangkan di Parlimen. SPR sepatutnya bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan setiap dokumen atau draf hanya perlu dilihat oleh ahli parlimen termasuk Perdana Menteri ketika dibentangkan dalam Parlimen dan bukannya dibawa ke mesyuarat kabinet terlebih dahulu untuk diedit.

Kabinet merupakan jawatankuasa eksekutif tertinggi negara, bukannya badan perundangan yang boleh menentukan kerelevenan sesuatu pindaan. Malah Kabinet yang ada pada hari ini dilihat mempunyai kepentingan yang tinggi dalam semua isu dan perkara.

PAS juga berharap agar setiap suruhanjaya yang dibentuk melalui Akta Parlimen hendaklah selepas ini merujuk terus kepada Parlimen dan tidak perlu lagi mengetuk pintu kabinet kerana keputusan mewujudkan suruhajaya adalah keputusan Parlimen bukan Kabinet. Maka, suruhanjaya harus bertanggungjawab dan menjawab terus kepada Parlimen.

Ketelusan sistem Kabinet, Parlimen dan suruhanjaya nampak kabur di negara ini kerana tiadanya pengasingan kuasa yang jelas. Konteks pentadbiran negara menjadi begitu berkecamuk di mana parti yang memerintah mempunyai kuasa yang begitu dominan walau apa jua jawatankuasa yang ditubuhkan kerana masih ada kuasa di tangan mereka untuk menentukan sesuatu keputusan berdasarkan kepentingan parti mereka. Parti yang memerintah juga duduk dalam kuasa perundangan dan eksekutif serta turut mempengaruhi perjalanan kuasa kehakiman termasuk dalam soal menentukan Ketua Hakim Negara. Jadi tidak nampak pengasingan kuasa di situ.

Oleh itu, PAS menyeru agar Ahli Parlimen Malaysia membuka mata dan mengkaji isu ini bagi memastikan institusi Parlimen mendapat pengiktirafan yang sepatutnya dan Kabinet menjadi badan eksekutif yang hanya melaksanakan keputusan Parlimen, bukan sebagai badan yang menentukan arah tuju Parlimen mengikut telunjuk Perdana Menteri.

PAS tidak beriman dengan demokrasi, tetapi menganggap demokrasi sebagai alat untuk mencapai kebersamaan politik di mana jika sistemnya betul, keadilan untuk rakyat dapat ditegakkan dan penindasan dapat dihapuskan.

Harakahdaily.net/-

PJ PAS Perak arah adakan Solat Gerhana

28 Muharram 1431H

Saya diarahkan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ust. Abu Bakar Hussain, supaya seluruh umat Islam khususnya semua ahli PAS untuk menunaikan solat sunat gerhana matahari yang jatuh pada esok mulai antara 3.15ptg hingga 5.45 ptg.

Sehubungan dengan itu, semua PAS Kawasan Perak diarahkan untuk menganjurkan solat sunat gerhana di Markaz dan tempat lain yang difikirkan sesuai.

Marilah kita mengambil peluang keemasan yang jatuh pada hari Jumaat esok hari untuk bermunajat kepada Allah SWT agar suasana politik yang tidak tenteram dan tidak aman di Perak dikembalikan dengan rakyat diberikan peluang sekali lagi untuk memilih siapakah kerajaan pilihan mereka, Pakatan Rakyat atau BN.

Sesungguhnya tidak ada jalan yang terbaik melainkan DUN Perak dibubarkan demi mencapai hasrat dan cita-cita itu.

Kenyataan Media 14hb January, 2010
YB.Drs. Khalil Idham Lim
Ketua Penerangan PAS Perak.




Mengapa DAP, tidak Umno?

28 Muharram 1431H
Subky Latif

KETIKA saya pulang dari Langkawi semasa Dr. Mahathir baru menjadi Menteri Pelajaran pertengahan tahun 70an, saya bertemu di Alor Setar seseorang dari tanah seberang yang mengaku menjadi panasihat agama kepada Menteri Pelajaran itu.

Hari ini 13 Januari 2010 saya hendak ke Langkawi lagi. Sehari sebelumnya saya ketemu lagi orang seberang yang sama di Kuala Lumpur pula.

Pertemuan sekitar 35 tahun dulu dia bercakap tentang keyakinan tingginya Dr. Mahathir akan menjadi seorang pemimpin yang tinggi cita-citanya tentang Islam dan boleh melaksanakan cita-cita Islam sepenuhnya bagi menjadikan Malaysia sebuah masyarakat Islam sebagaimana yang dikehendaki Islam.

Dr. Mahathir yang disebutnya itu adalah Dr. Mahathir yang menjadi Menteri Pelajaran masa itu.

Pada pertemuan yang terbaru itu pula dia membayangkan rasa hampanya kepada Umno, bukan sekadar tidak berupaya meletakkan Islam di kedudukan sepatutnya yang diharapkannya sekitar 35 tahun lalu, peluang dan ruang dakwahnya sendiri pun banyak yang tersekat.

Tetapi dia memberi harapan yang menggunung tinggi pula kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin, kebetulan Menteri Pelajaran sekarang. Padanya Timbalan Presiden Umno ini lain dari pemimpin-pemimpin Umno yang lain dulu dan sekarang.

Tinggi harapannya Muhyiddin Yassin boleh dan akan mahu menegakkan syariat Islam. Harapannya itu kira-kira saya sama dengan yang diharapkannya kepada Dr. Mahathir dulu.

Kami tidak bercakap tentang Dr. Mahathir pada kesempatan itu. Tetapi bila dia menyebut harapannya kepada Muhyidin itu, seolah-olah Dr. Mahathir tidak memenuhi apa yang diharapkannya. Jika Dr. Mahathir telah memenuhi sangkaannya tentulah dia tidak menyebut harapannya tentang Muhyiddin pula.

Dalam kehampaannya kepada Umno itu, dia tetap mendekatkan dirinya kepada Umno hingga hari ini.

Disebutkannya keinginan dan kemungkinan mendekatkan diri kepada PAS, tetapi ada kebimbangannya kalau dia dekat dan bersama PAS, tersekat peluangnya untuk berdakwah.

Dakwah itu saya rasakan ialah memberi ceramah agama kepada orang Umno dan mengisi program Umno dalam soal agama Islam, termasuklah memberi kuliah di surau dan masjid.

Kalau kegiatan itu memenuhi dakwah dan perjuangan, pendakwah boleh meneruskan hidup yang seadanya di dunia ini.

Persepsi saya tentangnya, dia tidak berbangga dengan penampilan Umno dalam Islam, tetapi hendak terus bersama Umno dengan harapan akan berubah dan menjadi tenaga yang dapat membangunkan Islam.

Apabila seseorang itu dekat dengan Umno dan ada sedikit sebanyak faedah dari Umno, maka biasanya jauhlah dia dari PAS.

Walau pun yang tidak digemarinya tentang PAS, tetapi tidak pula diletakkannya PAS sama tidak berguna dengan Umno. Mahu dia menyertai kegiatan PAS kalau kena syaratnya.

Saya tidak mahu menyungkil suasana mana memungkinkannya akan bersama PAS.

Apa pun seperti terkilan dia kerana PAS tidak sedia berkawan dengan Umno tetapi memilih pula untuk berkawan dengan DAP.

Mengapa PAS tidak mahu berunding sulit dengan Umno supaya dapat ditegakkan sebuah masyarakat Islam yang syumul di Malaysia. Jangan berunding di Malaysia. Berunding di luar negeri kalau boleh di Mekah. Buat perjanjian dengan Umno untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam.

Ajak Umno bersumpah.

Kalau sesudah PAS jumpa Umno dan ternyata Umno tidak mahu, maka tidak mahu lagi dia tinggal di Malaysia. Mungkin tiada tempat lain dia hendak dan boleh pergi melainkan balik ke tanah seberang yang sudah ditinggalkannya lebih 40 tahun.

Kata saya, tak payah ke Mekah atau ke mana-mana untuk berjumpa. Sekadar hendak berjumpa, boleh jumpa dalam negeri dan di Kuala Lumpur saja. Tak perlu tunggu Umno menyatakan lagi ia tidak sedia menjalankan apa yang PAS cita-citakan untuk meninggalkan Malaysia.

Kalau itu syaratnya tidak mahu mendekati Umno lagi dan tidak mahu tinggal lagi di Malaysia, sepatutnya dia sudah lama pergi kerana Umno tidak akan buat apa yang diharapkannya. Tak perlu cakap untuk meninggalkan Malaysia. Boleh terus tinggal di Malaysia tanpa mengharapkan Umno berubah sikap.

Pada saya Umno tidak akan kata ia tak mahu laksanakan Islam. Ia akan kata, ia pun mahu Islam dan mahu laksana apa yang PAS mahu malah apa yang Tuhan mahu. Kalau PAS minta dia laksana Islam, ia akan sanggup tetapi sekadar sanggup saja.

Ditanyanya apakah DAP akan terima negara Islam? Padanya mustahil DAP dapat memenuhi cita-cita PAS. Maka mengapa PAS lebih suka kepada DAP dari Umno sedang Umno itu adalah orang Islam?

PAS tahu apa yang ada DAP dan PAS pun tahu siapa Umno.

DAP tak tahu Islam dan kerana itu ia tidak bercakap tentang Islam. Umno tahu Islam tetapi dia tidak buat Islam seperti yang orang seberang itu hajat. Tetapi DAP mahu berkawan dengan PAS dan tidak suruh PAS jadi Umno, tetapi Umno suruh PAS jadi Umno dan PAS tutup kedai.

Berkawan dengan DAP, boleh sampaikan dakwah. Nak dakwah apa pada Umno kerana dia kata dia pun tahu dakwah sebaliknya ia tentang dakwah PAS.

Saya teringat zaman Rasulullah SAW. Musyirikin adalah penentang utamanya dan tidak menganut agama tauhid. Di samping itu adalah ahlil kitab yang menganut agama tauhid. Akhirnya yang menerima dakwah Rasulullah ia musyrikin tadi. Ahlil kitab yang tahu Allah, tahu tauhid dan tahu nabi akhir zaman adalah Nabi Muhammad SAW, terus tolak baginda dan dakwahnya.

PAS bertemu hal yang sama. Ia bersama DAP yang musyrikin dan Umno yang tahu agama tauhid. DAP yang musyrikin mahu berkawan dengan PAS. Umno yang Islam mahu menumbang kerajaan PAS. DAP belum terima perjuangan PAS tetapi ia berkawan dengan PAS. Umno mahu telan PAS.

Siapa kata mustahil musyrikin DAP terima Islam? Ia mungkin terima dan mungkin tidak. Kalau musyrikin Mekah terima Islam, tidak mustahil musyrikin yang berkawan dengan PAS jadi seperti musyrikin Mekah dulu. Tetapi ahlil Kitab dari dulu tidak berubah.

Orang seberang tadi pun tak berubah juga.

Harakahdaily.net/-

Pilihan Raya Kampus: Pro-Mahasiswa tekad kuasai MPM

28 Muharram 1431H
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 Jan: Menjelang Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi 09/10 yang dijangka penghujung Januari ini, kumpulan Pro-Mahasiswa kini mula serius menggerakkan jentera mereka dalam usaha memenangi kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) di kampus masing-masing.

Semalam kumpulan yang terdiri dari beberapa front mahasiswa itu melancarkan misi 'Mahasiswa Tawan Kampus' (MiSi-10) dalam satu majlis di Kompleks Perdana Siswa Gazebo Universiti Malaya.

MiSi-10 terdiri daripada gabungan beberapa front yang di ketuai oleh PRO-Mahasiswa bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM) , Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) , Skrikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (BANTAH).

Mereka juga turut disokong olek kumpulan Pro-Mahasiswa di 10 kampus utama seluruh negara.

Dalam satu kenyataan bersama mereka memberitahu, Pelancaran MiSi-10 sebagai isyarat awal mereka menuntut ruang pemilihan yang adil.

"Ini isyarat awal menunjukan bahawa keseriusan kami di peringkat mahasiswa untuk memastikan pilihan raya kampus yang akan berlansung dilaksanakan dalam satu ruang padang yang adil demi melahirkan kepimpinan mahasiswa yang berkualiti bagi membela nasib mahasiswa yang lain khasnya dan nasib rakyat Malaysia umumnya," kenyataan mereka dipetik.

Mereka juga turut mengemukakan beberapa tuntutan kepada pihak universiti melihat kepada beberapa kronologi kes yang berlaku sepanjang tahun 2009 yang didakwa mereka sebagai kongkongan terhadap demokrasi kampus.

Kes yang dijadikan rujukan termasuklah prosiding lapan mahasiswa UM yang disabitkan di bawah AUKU kerana menjemput ahli politik merasmikan program mahasiswa serta kes pendakwaan terhadap lima mahasiswa dalam kes conteng 'bini puaka' di dinding Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam APIUM.

Selain itu isu halangan penganjuran Forum E-Undi dan tuduhan mahasiswa UKM sebagai Pro-Israel juga ujar mereka suatu yang menghalang mahasiswa beridealisme.

"MiSi-10 melihat bahawa isu-isu yang berlaku telah mencalarkan imej dan fungsi sebuah universiti yang seharusnya disuburkan dengan budaya dan suasana demokrasi yang memberikan keselesaan kepada mahasiswa untuk beridealisme dan melaksanakan aktiviti kemahasiswaan mereka sendiri," kata mereka lagi.

Sehubungan itu mereka menuntut pihak universiti bertindak telus dan adil pada PRK akan datang dengan membenarkan kehadiran pemantau bebas dari luar.

Ianya juga termasuk menghapuskan sistem pengundian elektronik (e-undi) pada PRK kali ini dan akan datang.

Selain itu mereka turut menggesa agar pihak universiti mengembalikan autonomi kampus khususnya hak mahasiswa untuk berhimpun, bersuara, berpersatuan dan kebebasan akademik.

Pihak universiti juga gesa mereka perlu menjaga keselamatan calon dan mahasiswa daripada ancaman pihak-pihak tertentu semasa proses pilihanraya berlangsung.

Harakahdaily.net/-

Pemuda Wilayah dekati golongan gelandangan

28 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 13 Jan: Dewan Pemuda PAS Wilayah (DPPWP) giat meneruskan usaha mendekati golongan gelandangan di ibu kota kerana menyifatkan mereka golongan yang harus didekati, bukan dipinggirkan.

Menzahirkan pandangan itu, DPPWP baru-baru ini mengadakan kunjungan ke sebuah yayasan yang menempatkan pekerja seks, golongan mak nyah, transeksual dan penghidap Aids, Pink Triangle Foundation di Wisma Tancom, Jalan Tunku Abdul Rahman, dekat sini.

DPPWP dibawa melawat ke pusat komuniti yayasan tersebut bagi melihat sendiri aktiviti penghuninya, selepas mendengar taklimat daripada Pembantu Pengurus Pink Triangle, Raymond Tai.

Mengisi kunjungan tersebut, DPPWP menggunakan masa yang ada untuk bertanya khabar dan beramah mesra dengan petugas dan penghuni yayasan tersebut yang kelihatan begitu gembira menerima kunjungan mereka.

Selain menyediakan tempat tinggal, menguruskan makan pakai golongan ini, pusat komuniti tersebut turut menyediakan khidmat kaunseling kepada penghuninya sebagai ruang untuk mereka meluahkan masalah seterusnya mencari jalan untuk keluar dari dunia hitam mereka.

Ketua DPPWP, Kamaruzaman Mohamad berkata, kunjungan yang dilakukan itu merupakan usaha kecil yang mampu dilakukan oleh pihaknya bagi menyelami masalah sebenar yang dihadapi golongan itu sehingga terjerumus ke dunia yang menggelapkan masa depan mereka.

"Sebelum ini kita tak dapat maklumat yang lengkap berkenaan masalah komuniti ini dan hari ini kita telah diberikan pendedahan.

"Mereka ini komuniti terpinggir, dan perlukan pembelaan kita untuk mengubah mereka kepada kehidupan yang normal," katanya selepas berbincang selama sejam dengan pihak Pink Triangle.

Beliau yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, antara sumbangan yang boleh diberikan ialah menyediakan ruang untuk mereka kembali kepada masyarakat dan mereka boleh hidup sebagai mana orang lain selain memberikan didikan agama.

Sukarelawan pusat komuniti berkenaan ternyata gembira dan terharu dengan keprihatinan dan kesanggupan DPPWP mengunjungi warga komuniti tersebut.

Selain itu, mereka turut menghargai usaha PAS yang memberikan makanan percuma pada setiap Jumaat di depan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut.

Bagi mereka, usaha yang dilakukan itu menunjukkan bahawa masih ada yang prihatin terhadap golongan terpinggir yang sering kali dipandang sepi.


Harakahdaily.net/-



Rakyat dapat hidu pembohongan Zambry

28 Muharram 1431H

IPOH, 13 Jan: Rakyat dapat menghidu pembohongan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang sebenarnya tidak mencetuskan sebarang perubahan kecuali mengiktiraf dan meniru cara pemerintahan dan kepimpinan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Mohd Nur Amin berkata, rakyat boleh menilai perbezaan pelaburan yang diterima negeri selama 11 bulan pemerintahan Pakatan Rakyat sebanyak RM770 juta pada 2008 berbanding kerajaan kudeta pada 2009 berjumlah RM608.66 juta.

Ini, katanya berlaku kerana rampasan kuasa pada awal Februari 2009 lalu menyebabkan pelabur tidak berani untuk melabur kerana kerajaan negeri yang ada tidak kukuh.

“Dengan suasana yang rakyat boleh lihat sekarang ialah ketidakmampuan pentadbiran kerajaan kudeta pimpinan Zambry untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negeri di samping keangkuhan membelakangi mandat dan kepentingan rakyat hanya demi mempertahankan kuasa kudeta yang diperolehinya secara tidak demokratik,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.


Katanya, Pemuda PAS negeri Perak juga tidak terkejut dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh Zambry di dalam menguruskan pentadbiran kerajaan negeri dan menunjukkan perubahan yang berlainan dengan pentadbiran semasa pimpinan Nizar sebelum ini.

Menurutnya, semasa pimpinan Nizar, permasalahan Orang Asli turut menjadi agenda kerajaan negeri bagi menguruskan mereka dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kehidupan Sosio Masyarakat Orang Asli yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air serta Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Ngeh Koo Ham sebagai pengerusi.

“Pemuda PAS Perak melihat Zambry tersepit dengan tindakan-tindakannya bagi mengembalikan keyakinan rakyat Negeri Perak terhadap Umno/Barisan Nasional,” ujarnya.

Harakahdaily.Net/-

Nik Aziz rai paderi, sami makan tengah hari

28 Muharram 1431H
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 13 Jan: Ketua-ketua agama terdiri daripada alim ulama, paderi dan sami dijemput menghadiri makan tengah hari bersama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 28 Januari ini di Kota Darulnaim.

Jamuan tersebut dianjurkan kerajaan negeri sebagai meraikan ketua-ketua agama di negeri ini dan mengeratkan hubungan yang sedia terjalin.

Nik Aziz berkata, dianggar lebih 20 ketua agama dijangka menghadiri majlis tersebut yang berkonsepkan muhibah.

“Setakat ini kita telah dimaklumkan seramai 18 orang daripadanya terdiri daripada paderi menyatakan persetujuan hadir, manakala sami belum dapat pastikan bilangan yang akan hadir,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, jamuan berkenaan diadakan menjelang tengah hari memandangkan sami difahamkan tidak boleh makan selepas jam 12.00 tengah hari.

“Kerajaan negeri meraikan mereka bertujuan mewujudkan suasana tenang dan harmoni di antara agama di negeri ini.

“Walaupun telah wujud keharmonian di Kelantan sejak sekian lama, namun diharap dengan pertemuan tersebut keharmonian bertambah baik,” ujarnya.

Menurutnya, Islam sejak awal lagi mengutamakan keharmonian seperti diajar Rasulullah s.a.w. setelah baginda sampai di Madinah.

Katanya, sebaik sahaja sampai di Madinah, baginda s.a.w. mengadakan perjanjian bertulis yang pertama di muka dunia sehingga melahirkan keharmonian antara kaum.

Harakahdaily.net/-