13 January 2010

Wartawan PKR diugut depan rumah saudara Rosmah

26 Muharram 1431H

kemaskini 12.41pm Seorang wartawan akhbar PKR Suara Keadilan mendakwa polis bertindak kasar selepas mewawancara seorang wanita yang dikatakan ada pertalian keluarga dengan isteri perdana menteri Rosmah Mansor kelmarin.

Abdul Qayum Abdul Rahman berkata, beliau mengunjungi wanita yang dikenalinya sebagai Saharah, yang juga didakwa saudara kepada mangsa tragedi pembunuhan kejam di Gemencheh baru-baru ini.

Minggu lalu, empat beranak ditemui mati, termasuk seorang tanpa kepala, dalam insiden pembunuhan kejam di dua buah rumah berasingan yang terletak berdekatan di Kampung Batang Rokan.

Abdul Qayum (foto, kiri) memberitahu Malaysiakini, wawancara itu antaranya bertujuan mendapatkan reaksi wanita tersebut berhubung insiden menyayat hati itu.

Difahamkan wawancara itu juga ada menyentuh isu Rosmah.

Dalam aduan polisnya, Abdul Qayum berkata selepas mengetahui beliau wartawan Suara Keadilan, seorang lelaki berpakain biasa - dikenali sebagai Muhammad - memaksanya menyerahkan kad pengenalan dan mengambil nombor pendaftaran keretanya.

"Beliau turut merampas nota penulisan saya serta rakaman dihapuskan kerana tidak berpuas hati dengan temubual yang dijalankan bersama seorang wanita yang dikenali Saharah.

"Polis (bersama kereta peronda) menunggu di luar rumah, manakala Muhammad mengambil segala pengenalan diri dan dokumen yang dibawa oleh saya tanpa kebenaran saya sendiri," aduan polis Abdul Qayum, 25, semalam dipetik.

"Polis dan Muhammad mengugut saya dalam berbentuk ancaman mahu mencari saya dan keluarga dengan cara apapun jika temu bual tersebut disiarkan."

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata kejadian itu berlaku di depan rumah sumber tersebut tidak lama selepas beliau tiba di rumah itu 3.30 petang 10 Januari lalu.

Kerana bimbangnya keselamatan diri dan keluarganya, Abdul Qayum yang baru sebulan menyertai Suara Keadilan membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam petang semalam.

Selain ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin (foto, kanan), beliau ditemani ketua wartawan akhbar terbabit, Fazallah Pit.

Malaysiakini/-

Chua Jui Meng ajak rakyat tumbangkan BN

26 Muharram 1431H
Mohd Rashidi Hassan

Nama Dato' Chua Jui Meng bukan baru dalam politik Malaysia. Beliau memulakan karier politiknya sejak tahun 1976. Pada tahun 1978 beliau dipilih sebagai pemimpin MCA bahagian Muar. Tahun 1986 beliau menang di Parlimen Bakri. Beliau kekal di kerusi tersebut lebih 22 tahun atau 5 penggal.

Beliau memegang jawatan sebagai Naib Presiden MCA pada tahun 1990 hingga 2005. Pada tahun 1989 beliau dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan. Kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada tahun 1990. Kemudian sebagai Menteri Kesihatan pada tahun 1995.

Pada 1 Julai 2005 Chua mengumumkan hasrat untuk merebut jawatan Presiden MCA menentang Dato' Seri Ong Ka Ting. Pada 2008 beliau sekali lagi bertanding menentang Dato' Seri Ong Tee Keat tetapi tewas.

Pada 18 Julai 2009, Chua keluar dari MCA untuk menyertai Parti KeADILAN Rakyat. Beliau kini dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan.

Berikut adalah wawancara esklusif antara Harakah bekas Menteri Kesihatan itu di kediamannya, di Bukit Damansara, baru-baru ini.

Harakah : Boleh Dato' ceritakan mengenai latar belakang penglibatan dalam politik?

Chua Jui Meng : Latar belakang politik saya bermula pada tahun 1969 sehari selepas peristiwa 13 Mei. Pada masa itu saya bekerja di London sebagai buruh di sana. Saya tidak dapat Biasiswa untuk membiayai pengajian Undang-undang pada masa itu. Saya tiada wang walaupun keputusan (peperiksaan) saya boleh tahan tapi tak boleh masuk ke universiti tempatan di Malaysia, terpaksa ke luar negara.

Terpaksa bekerja sebagai buruh, sebagai waiter dan potter sepanjang lima tahun untuk membiayai pendidikan saya di sana. Itu satu pengalaman yang baik oleh kerana itu saya faham kesusahan orang biasa tak kira apa bangsa.

Pada masa itu selepas Mei 13 1969 (yang berlaku di Malaysia), dalam televisyen ada ditayangkan di London, masa itu ada rusuhan berlaku di Malaysia, ada orang mati, kedai di Kuala Lumpur dibakar.

Ada dua orang Melayu yang kawan dengan saya sebagai penuntut jurusan undang-undang di sana, mereka kawan karib saya, tetapi mereka ini duduk dengan saya sekali di apartmen saya di London, apabila mereka menonton laporan rusuhan 13 Mei, selepas itu (akibat terpengaruh) mereka keluar dari apartment saya tanpa memberitahu atau berkata apa-apa kepada saya .

Ini memberi impak kepada saya, negara yang baik majmuk namun sehingga 13 Mei, kenapa perkara ini terjadi di mana perkauman telah ditegakkan di Malaysia, dan sebenarnya sebelum itu kita semua tak kira bangsa semua berkawan baik, di sekolah saya di Muar saya bersama orang Melayu, Cina dan India, kita semua berkawan baik tak kira dari desa atau bandar, kita semua baik.

Namun selepas Umno isytihar darurat, semua negara ini telah menjadi berlainan, wajahnya bertukar hingga kini kerana perkauman menjadi asas negara.

Adakah sentimen perkauman ini berlaku sampai sekarang?

Ya, sehingga sekarang ini, masih berterusan ini yang digunakan Umno, orang Cina atau India nak buat macam mana? Tiada pembangkang yang berkesan pada waktu itu (1969) untuk menentang Umno.

Sehinggalah tahun lalu (2008) munculnya Pakatan Rakyat yang baharu yang ada kekuatan mencabar Umno, kita tak tunduk kepada kuasa Umno, bukan kuasa orang Melayu tetapi kuasa Umno.

Sejak itu saya minat dengan politik walaupun saya sibuk kerja sebagai buruh ketika itu, saya sertai Kesatuan Pelajar Malaysia-Singapura di UK, dan pada tahun 1970 saya menjadi Presiden Kesatuan Pelajar Undang-undang Malaysia-Singapura di UK.

Minat saya dah mula dari sana, kenapa negara yang saya cintai ini, saya generasi ketiga di Malaysia tetapi kenapa nasib sudah jadi begini kita semua dikorbankan atas nama perkauman Umno.

Pada masa itu saya tiada pilihan lain, hanya saya ada MCA, takkan saya nak masuk parti komunis? Jadi saya terpaksa masuk MCA, yang mewakili kaum Tionghoa. Saya ceburi MCA sejak tahun 70-an, tetapi kaitan saya dengan politik sejak 1969.

Lebih 30 tahun Dato' dalam MCA, apa yang mendorong Dato' keluar BN?

Saya nampak fajar telah muncul, fajar bukan hanya untuk orang politik sahaja tetapi rakyat Malaysia seluruhnya, sebuah negara yang saya cintai.

Ini satu peluang, saya nampak bagaimana Umno menindas Pakatan Rakyat bagaimana Umno menggunakan cara bagaimana mereka menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat di Perak yang dipimpin oleh Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dan cubaan di Selangor dan beberapa negeri lain, untuk menindas pemimpin Pakatan Rakyat, ini saya tak boleh terima.

Oleh itu, untuk mempertahankan sistem dua parti di Malaysia dan hak rakyat, cuma Pakatan Rakyat sahaja yang boleh mempertahankan hak rakyat Melayu, Cina dan India, dan bangsa-bangsa lain di Sabah Sarawak.

Berdasarkan prinsip yang saya pegang dalam hati saya sejak 1969, saya sokong Pakatan Rakyat, ia mesti diperkuatkan lagi.

Saya boleh sumbang peranan saya yang pernah jadi anggota pentadbir 15 tahun dalam kabinet, dan lebih 30 tahun dalam MCA dan BN dalam politik. Pengalaman itu dalam kerajaan dalam Parlimen boleh saya gunakan untuk kebaikan Pakatan Rakyat.

Apakah pada pandangan Dato' parti politik berasaskan kaum seperti Umno, MCA atau MIC India tidak boleh lagi diterima rakyat?

Ya, sudah tidak dapat diterima khasnya gokongan muda yang berprinsip. 'Nonsense' jika terus gunakan pendekatan perkauman, MCA bagaimana mereka nak perjuangkan nasib Tionghoa lagi kerana MCA mana ada kuasa?

Mereka ini tak boleh selagi Umno berpegang kepada ketuanan dan dominasi Umnoputra di negara ini. Dan selagi itulah MCA, MIC dan apa sahaja parti dalam BN, semua parti ini (MIC, MCA, PPP, Gerakan dan sebagainya) hanya menjadi hiasan sahaja kepada Umno.

Dato' yakin Pakatan Rakyat boleh bawa perubahan dalam negara?

Saya bersyukur kepada Tuhan Allah sebab pada hari ini orang Tionghoa, Melayu, India sudah buka mata. Mereka sudah pilih Pakatan Rakyat. Saya kesal kerana selama ini, negara dijadikan negara yang berbaur perkauman oleh Umnoputra, ketuanan Melayu yang disorak Umno selamanya, orang Cina pula jadi Cina, lebih dari China, dan sebagainya, ini situasi 'lose-lose' semua kalah, akhirnya oleh kerana negara kita tak boleh maju ke hadapan lagi selagi ada BN.

Dato' ada rasa kecewa tinggalkan MCA?

Langsung tak ada. Ada yang kata kepada saya, terlalu awal lompat, kalau masih dalam MCA, kononnya boleh dapat jawatan tinggi.

Jawapan saya mudah sahaja 'Apa guna saya jadi Presiden atau ada jawatan tinggi dalam MCA, bila saya dah nampak selama ini saya sudah tahu dalam sistem Umno yang kuasai negara ini tiada bangsa boleh maju termasuk orang Cina, Melayu atau India.

Berapa banyak rakyat yang ada kepakaran sudah lari, modal Cina sudah lari dari negara ini, kerana negara ini tiada sistem yang adil dan oleh kerana semuanya berasaskan kepada rasuah. Kalau mahukan projek kena rasuah, lesen boleh dibeli, semuanya berasaskan rasuah.

Saya sebagai seorang Kristian saya amat bencikan rasuah oleh kerana Injil menyebut saya tidak boleh berasuah, anak saya semua Kristian, mereka tidak amalkan rasuah, mereka tahu di negara ini peluang bagi mereka amat terhad oleh kerana mereka tak mahu rasuah kepada orang atasan.

Rasuah ini tidak boleh kerana dari prinsip agama ini sudah salah, Tuhan Allah benci kepada orang-orang yang rasuah, ini adalah satu taraf dosa yang terbesar di dunia ini, tak kira Buddha, Islam dan Kristian sama semuanya membenci rasuah.

Tetapi inilah yang dibuat dan ditegakkan oleh Umno. Dari atas ke bawah semuanya ramai sudah jadi korup termasuk golongan Cina yang buat perniagaan semuanya boleh dibeli dengan wang.

Inikah negara yang kita harapkan menjadi negara maju? Ini mustahil. Sebuah negara yang berasaskan kepada perkauman dan rasuah tidak boleh menjadi sebuah negara yang maju.

Dalam Umno ada politik wang, adakah ini juga berlaku dalam MCA?

Ya dalam MCA pun ada. Ini tak boleh diterima oleh agama, dari segi apa juga agama termasuk Islam.

Saya harap rakyat lihat dan sekaranglah masa untuk membuka minda mereka, janganlah lagi menyokong orang-orang yang sengaja memainkan isu-isu perkauman dan agama untuk pecahbelahkan rakyat.

Umno dilihat campurtangan dalam krisis dalaman MCA, apa pandangan Dato'?

Ini betul, Umno hendak tentukan masa depan MCA supaya mereka dapat kawal. Sejak Umno campurtangan mula kecoh dan makin hancur. Perdana Menteri dan Timbalannya secara terbuka campur tangan hal ehwal MCA.

Sekarang ini MCA berpecah tiga puak sekurang-kurangnya. Takkan MCA ini boleh lagi mewakili Tionghoa, jadi jaguh kepada Tionghoa di negara ini?

Ini mustahil sekarang ini, kerana kepimpinan MCA atasan ini hanya untuk menipu orang
Tionghoa.

Apakah krisis ini menunjukkan MCA tiada masa depan?

Dalam sistem parti dwi-politik ada peluang untuk 'survive', tetapi untuk jangka masa satu atau dua pilihan raya akan datang sukar bagi MCA kerana banyak kerusi mereka akan jatuh, ini risiko mereka.

Kenapa agaknya macam Ong Tee Keat, Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai bergaduh?

Kuasa...kerana kuasa. Kerana kuasa masing-masing nak jadi Presiden dan Timbalan Presiden.

MCA diheret dengan skandal PKFZ, apakah Umno juga terbabit?

Ya, ini yang kita nampak. Di dalam air keruh kita tak nampak lagi. Umno memang tidak mahu PKFZ didedahkan terus, akhirnya siapa yang kena dakwa?

Kita ada melihat ada di kalangan pemimpin Umno yang kecil yang didakwa, adakah yang besar ini lepas hanya dengan pendakwaan orang kecil.

Umno yang tak suka PKFZ didedahkan terbuka, bila dapat peluang emas mereka (Umno) campurtangan dan gunakan kuasa Umno, kuasa kerajaan terhadap MCA dan apa jadi kepada
PKFZ?

Umno dah capai matlamat untuk mendiamkan isu PKFZ. Kita tahu Umno tidak mahu berikan orang Cina kaya-raya sahaja, selagi mereka tak dapat peluang emas dari PKFZ macam
sekarang ini.

Sekarang ini mereka siasat orang Cina, kenapa boleh berlaku penipuan berbillion ringgit dalam PKFZ, bagaimana Kementerian Kewangan boleh bekerjasama dengan tauke PKFZ dengan begitu mudah keluarkan wang bila dituntut tanpa penyiasatan yang mendalam.

Cuba tanya kontraktor kecil bila mereka mahu tuntut wang projek daripada Kementerian Kewangan oleh kerana setelah selesai projek, cukup sukar nak dapatkan bayaran, tetapi PKFZ ini begitu mudah.

Adakah ini hanya mengkayakan Tiong Kin Sing sahaja? atau pegawai atasan PKFZ, adakah untuk mereka sahaja? Ini tak masuk akallah.

Dato yakin Pakatan Rakyat boleh memperbetulkan kepincangan dalam negara?

Ya. Kita sudah putuskan dasar bersama, tiga parti dalam Pakatan Rakyat, bukan tujuan kita untuk satu bangsa sahaja tetapi untuk semua bangsa.

Tuhan Allah telah berikan kita membuka mata hati kita termasuk orang bandar yang sudah faham dan kita mahukan orang desa di kawasan terpencil tahu apa yang berlaku kepada negara ini.

Di mana ada keadilan dalam negara? Carilah mana ada orang Melayu yang boleh kaya-raya sama seperti Umnoputra?

Orang Melayu sudah hilang daya saing di bawah sistem yang dimulakan Umno, subsidi. Universiti kita yang patutnya bangunkan Melayu, Cina dan India yang pandai cerdik telah disekat, sedangkan mereka ini boleh bantu kita memajukan ekonomi dan minda rakyat Malaysia.

Selepas 50 tahun, apa nasib orang Melayu biasa, apa nasib orang Cina biasa? Orang India? Yang kaya hanya taukeh-taukeh Umnoputra di kalangan kroninya banyak dapatkan keuntungan dari dasar dan rasuah mereka. Di Muar, saya balik saya marah kenapa orang Melayu masih miskin..

Dalam kemelut keyakinan rakyat kepada Umno-BN ini, apakah yang boleh Dato' sarankan kepada PAS dalam mendapatkan sokongan rakyat?

Ini satu cara yang amat mustahak bagi PAS oleh kerana sekarang ada Pakatan Rakyat yang mana Dato' Seri Anwar Ibrahim berjaya menyatukan tenaga tiga buah parti.

Pada masa ini orang Tionghoa sudah percaya kepada PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz jadi contoh orang agama Islam yang sangat baik di mata orang Tionghoa sebab dia adalah pemimpin Islam yang sangat baik, tidak ada rasuah, sangat sederhana gaya hidupnya, dia dihormati dan tidak berbaur perkauman.

Namun perlu diingatkan jangan ada lagi insiden seperti di Selangor. Kita bimbang orang Cina akan lari bila PAS dilihat ekstrem.

Ini bukan sahaja jejaskan PAS tetapi Pakatan Rakyat, jangan jadi jaguh kaum, ini kena faham, kerana orang Cina ada dua pilihan satunya keluar negara, dan keduanya ada Pakatan Rakyat.

Kita kena insaf bahawa ramai yang sudah berhijrah kerana mereka tidak boleh terima lagi sistem yang diamalkan oleh Umno.

Dulu orang Umno marah pada Tionghoa kerana tak sokong Umno sebelum tahun 1990, orang Cina sokong pembangkang.

Mereka kata baliklah ke Tongsan (China). Sekarang betul-betul mereka balik ke Tongsan di sana ada kekayaan dan bukan main-main kekayaannya, mereka telah ditransformasikan dari sebuah negara yang amat miskin dan menyedihkan, sehingga kini US pun tunduk kepada China.

Umno memecahbelahkan rakyat dan menghina rakyat dengan politik yang paling rendah yang boleh menjatuhkan kecerdikan rakyat. Dasar kerajaan BN yang menindas, Umnoputra ini paling tiada otak, otak paling rendah, mencabar rakyat untuk keluar jika tidak suka dengan sistem yang ada.

Apabila rakyat menolak Umno kerana perkauman dan menyalahgunakan kuasa, maka mereka beralih kepada PAS. Tetapi orang Cina amat harapkan PAS, supaya tidak jadi seperti
Umno.

Apa pandangan Dato' mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh The Herald?

Isu Herald itu sebenarnya isu politk sahaja. Bila munculnya isu ini? Pada tahun 2007 yang, selepas Bersih berjaya membuat berdemonstrasi untuk menggesa kerajaan mengubah sistem pilihan raya dan menuntut hak-hak rakyat, The Herald membuat laporan ekslusif di muka hadapan.

Mereka memaparkan gambar Dato' Seri Anwar Ibrahim dan demonstrasi Bersih. Apa yang dibuat oleh KDN ketika itu? Umno ambil tindakan.

Mereka menambah masalah. Kerana laporan itu menunjukkan ramai orang Kristian sudah menolak Umno dan BN. Isu The Herald asalnya adalah tekanan politik, bukan agama.

Kristian sejak masa silam telah menggunakan perkataan Allah bersama dengan God, Tun Mahathir Mohamad saya anggap dia cerdik pandai, dia kata Orang Kristian guna Tuhan, jangan guna Allah.

Orang Kristian ada di Arab Saudi, mereka gunakan perkataan tuhan ialah Allah, dalam perjanjian lama dan baru ialah Lord (tuhan) God (Allah) diterjemahkana sebagai Tuhan Allah. Kristian adalah agama Samawi menggunakan Allah.

Kenapa Umno lebih pandai dari Nabi Muhammad, lebih Islam kononnya dari Nabi Muhammad. Sedangkan Quran kata boleh guna Allah? Ini tak masuk akal.

Oleh kerana kepentingan politik mempertahankan survival, Umno mempermainkan isu perkauman yang begitu rendah dan mempermainkan hati rakyat termasuk orang Islam.

Apakah Umno dapat menarik sokongan Melayu dengan isu ini?

Umno memang harap, tapi saya fikir orang Islam tidak percayakan Umno sebab orang Islam lebih percayakan Ustaz Hadi (Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) daripada Najib (Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak).

Apa asas Najib di dalam isu-isu agama, Hadi lebih pandai dari Najib dalam isu agama, Hadi kutip apa yang dikatakan dalam Quran, nama Allah digunakan dalam agama Samawi, tetapi Najib kata tidak boleh Jangan api-apikan orang Melayu. Saya seorang Kristian, saya gembira jika orang Islam gunakan nama Isa. Saya tak boleh kata orang Melayu Islam jangan gunakan nama Isa. Injil lama sebelum kemuncukan al-Quran sudah sebut nama Allah.

Saya berterima kasih kepada Ustaz Hadi kerana berani mengeluarkan kenyataan yang benar yang mengikut al-Quran.

Saya minta OIC yang akan bertemu di Beirut tak lama lagi, saya minta Najib pergi sendiri untuk mempertahankan pendirian Umno di Malaysia di sana, kononnya orang Kristian tidak boleh guna nama Allah.

Saya hendak tengok, Najib berdiri depan negara dunia Islam dan katakan orang agama Samawi tidak boleh guna nama Allah. Tengok reaksi dari negara OIC lain, jangan jadi jaguh kampung, menyeleweng apa yang diajar dalam al-Quran.

Kalau PAS boleh pertahankan pendirian sekarang ini dan jangan rendahkan ekspetasi rakyat kepada PAS, PAS akan terus diterima. Saya harap lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin seperti Tok Guru Nik Aziz dan Hadi bangkit di Malaysia iaitu seorang yang beragama mendalam, cinta negara, cinta rakyat pelbagai bangsa dengan ikhlas hati, tolak perkauman dan tolak Umno.

Akhirnya apakah rumusan Dato terhadap peluang Pakatan Rakyat.

Kita mesti memperkuatkan Pakatan Rakyat. Itu adalah asas kepada kemenangan. Jangan ada lagi kes-kes disiplin seperti di Selangor.

Biarlah kita pastikan kita dipimpin oleh orang yang boleh membawa kita kepada kemenangan, yang boleh memimpin kita untuk menang PRU-13.

Ada syaratnya jika nak menang, bagaimana kita pegang kepada prinsip dasar Pakatan Rakyat di mana Melayu, Cina dan India boleh rasa senang di negara ini dengan jika Pakatan Rakyat menang.

Kita juga harus berhati-hari dengan permainan media milik Umno-BN seperti Utusan Malaysia, The Star dan NST yang sentiasa memainkan propaganda dan memanipulasi isu politik, yang akhirnya menyebabkan orang Cina kurang yakin kepada Pakatan Rakyat.

Kita harus berhati-hati dengan permainan ini. Terima kasih.

Harakahdaily.net/-

Pinggan Mangkuk Muslim Memaparkan Kebudayaannya

25 Muharram 1431

Konsep pinggan mangkuk tergolong dalam alat untuk minum, makan dan alat untuk mengisi kandungan sudah terdapat dalam budaya Yangshao pada zaman Batu Baru di kawasan pengaliran Sungai Kuning di China. Ini memperlihatkan betapa pentingnya pinggan mangkuk dalam kebudayaan makanan.

Baru-baru ini, wartawan kami membuat liputan ke Kilang Tembikar Muslim Bulan Sabit Tangshan, provinsi Hebei di China. Sewaktu masuk ke kilang tersebut, kita boleh melihat halaman kilang tersebut hampir dipenuhi dengan pelbagai tembikar yang berwarna-warni. Corak pada muka tembikar tersebut terdapat tulisan khat Arab dan lukisan yang dipenuhi keistimewaan budaya Islam.

Kilang yang hanya mempunyai 9 orang petugas itu telah dibuka oleh Haji Hong Guifu, berusia 74 tahun. Beliau seorang Muslim yang taat kepada ajaran agama. Walaupun sudah bersara dari sebuah sekolah, namun beliau masih sibuk dengan urus niaganya untuk menghasilkan dan menjual tembikar.


Haji Hong Guifu

Haji Hong Guifu sudah menunaikan fardu haji pada tahun 2008. Beliau sangat mesra dan bersedia menceritakan hal mengenai kilangnya kepada wartawan. Menurut Haji Hong Guifu, beliau mula berfikir untuk membuka sebuah kilang menghasilkan pinggan mangkuk yang bercirikan Islam pada tahun 1989. Ilham tersebut timbul kerana keninginannya menonjolkan keistimawaan budaya makanan halal orang Islam. Tambahan pula terdapat 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China. Mereka mempunyai adat resam tersendiri namun tetap mengikut ajaran Islam yang sama. Beliau berhasrat untuk menggabungkan semua keistimewaan etnik-etnik yang beragama Islam itu dalam reka bentuk pinggan mangkuk tembikar.



Dengan demikian, beliau membuka Kilang Tembikar Muslim Bulan Sabit Tangshan. Pada mulanya, beliau cuba menulis tulisan khat Arab dan melukis pemandangan atau corak-corak lain di muka pinggan mangkuk tembikar yang dihasilkannya. Beliau bersungguh-sungguh untuk menghasilkan pinggan mangkuk tembikar Muslim dan benar-benar mahu melihat tembikar yang dihasilkannya mendapat sambutan. Malangnya apa yang berlaku sangat mengecewakan beliau. Apabila beliau tiba Beijing dengan membawa pinggan mangkuk untuk mencari peluang kerjasama dengan sebuah kedai yang khusus menjual barang keperluan orang Islam, tuan kedai itu bersikap dingin terhadap beliau.

Biarpun berasa amat kecewa, namun Haji Hong Guifu tidak putus asa. Beliau terus berazam mencari pasaran untuk tembikarnya. Pada pandangan beliau, pinggan mangkuk yang dihasilkannya itu bukan sahaja pinggan mangkuk yang sama seperti pinggan mangkuk biasa, malah ia mengandungi unsur kebudayaan. Ini sewajarnya akan diterima oleh pengguna pada suatu hari nanti. CRI/-


Mustapa Khianati Kelantan, Wang Ehsan diguna untuk kempen Umno Juara Rakyat

26 Muharram 1431H
Email : Herman Samsudeen

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai pengkhianat kepada rakyat Kelantan dan Sultan kerana enggan memperjuangkan isu Royalti Minyak untuk negeri berkenaan.

Kenyataan Mustapa bahawa tuntutan Kerajaan PAS Kelantan terhadap hasil minyak yang diperoleh di pelantar Bintang yang telah beroperasi sejak 1984 tidak berasaskan kenyataan merupakan satu penafian yang nyata untuk kali kedua.

Sebelum ini beliau juga menafikan hak Kelantan terhadap minyak yang diteroka di kawasan Kawasan bertindih atau di kenali sebagai Joint Development Area (JDA) Malaysia – Thailand.

Penafian beliau ini tidak selari dengan fakta Jabatan Perangkaan Negara yang melaporkan pada 2004 bahawa Kelantan bersama negeri Terengganu dan Sabah telah mengeluarkan minyak bernilai lebih dari RM 46 Billion (Nilai Kiraan Kasar) iatu 76 peratus dari nilai keseluruhan minyak dalam negara.

Fakta itu jelas menyatakan bahawa minyak dari Kelantan telah diambil oleh Petronas, tetapi kenapa masih dinafikan oleh Mustapa.

Pemberian wang ehsan, membuktikan bahawa kerajaan BN dan Umno di Kelantan berdendam dengan rakyat dan Sultan kerana sudah 20 tahun menolak BN. Ketika PAS Menang di Terengganu pada tahun 1999, serta merta Kerajaan BN menarik balik wang royalti dan mengantikannya dengan wang ehsan sebagai satu hukuman kepada rakyat Terengganu yang memilih PAS. Baru-baru ini selepas BN berjaya menguasai Terengganu untuk penggal kedua, BN mulai cuba merubah taraf perjanjian itu kepada wang royalti semula.

Paling tidak disukai rakyat, wang ehsan yang selama ini diberikan telah disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan, bukan kepada Kerajaan Negeri.

Hal sama akan berlaku di Kelantan jika wang ehsan diberikan. Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan yang merupakan 'Kerajaan Hantu BN' di Kelantan akan bermaharajalela mengunakannya untuk meraih sokongan rakyat sebagai persiapan pilihanraya akan datang.

Kenyataan Mustapa bahawa Kerajaan BN menawarkan wang ehsan hanya kerana ingin menolong rakyat Kelantan yang tidak layak menerima royalti lantaran tiada minyak dikeluarkan merupakan satu pembohongan yang besar. Jika benar BN ingin tolong rakyat kenapa dinegeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang jelas tiada minyak tidak diberikan wang ehsan?

Kenyataan Mustapa yang mengakui bahawa wang ehsan itu akan dipergunakan sepenuhnya untuk kempen 'Umno Juara Rakyat' menjelaskan lagi bahawa inilah agenda sebenar mereka hingga sanggup mensabotaj Kerajaan PAS yang dipilih rakyat Kelantan.

PAS mendesak supaya rakyat Kelantan terus menolak Umno, dan bangkit untuk menuntut hak mereka dalam bentuk royalti, bukannya wang ehsan. Mustapa dan Umno merupakan pengkhianat rakyat bukan juara rakyat! kembalikan hak rakyat!

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Mahkamah perintah Tengku Temenggong Kelantan kemuka alasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkn Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra mengemukakan alasan mengapa beliau perlu diberi masa tambahan selepas terlewat memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kekanda sulungnya yang membatalkan pelantikannya sebagai Ahli Majlis Perajaan Negeri.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof menetapkan 27 dan 29 Januari ini untuk semua pihak mngemukakn hujahan berhubung isu kelewatan itu.

'Terkawal' 9 Gereja diserang, PAS Tolak ISA digunakan

26 Muharram 1431H
Email : Herman Samsudeen

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk serangan terhadap sembilan gereja sejak 8 Januari lepas berikutan bantahan meluas tentang isu penggunaan nama Allah oleh akhbar Herald. PAS juga kesal dengan ugutan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mahu mengunakan ISA bagi menyelesaikan masalah ini.

Jelas apa yang berlaku sekarang dan ugutan Menteri ini menafikan kata-kata manis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjamin bahawa keadaan di negara ini adalah terkawal.

PAS melihat bahawa Hishamuddin gagal menyelesaikan masalah ini walaupun sebelum ini mendakwa sudah mengenalpasti suspek yang membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati. Hingga kini rakyat bertanda tanya tentang tindakan lanjut Polis terhadap suspek-suspek itu. Bilakah mereka akan ditangkap dan didakwa dimahkamah? Rakyat juga risau kerana setiap hari ada sahaja gereja yang diserang seperti rekod berikut;

8 Januari 2010

* Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dibakar
* Gereja Assumption di Petaling Jaya dibaling bom api
* Gereja Life Chapel di Petaling Jaya dibaling bom api

9 Januari 2010

* Gereja Good Shepherd Luthern di Petaling Jaya dibaling bom api

10 Januari 2010

* Gereja Baptist Melaka di Durian Daun, telah disimbah dengan cat hitam.
* Gereja All Saints di Taiping dibaling bom api
* Pos pengawal SM Convent di Taiping dibaling bom api
* Gereja St Louis yang terletak bersebelahan SM Convent juga dibaling bom api
* Gereja Good Sheperd dekat Lutong Bazaar, Miri di baling bata

11 Januari 2010

* Pintu utama Gereja, Sidang Injil Borneo (SIB) di bangunan rumah kedai dua tingkat di Lake View Square, Seremban dibakar

PAS berharap agar Menteri tidak mengambil jalan mudah dan menjadikan isu ini sebagai Ops Lalang kedua, di mana suspek yang membakar gereja gagal ditangkap tapi orang lain pula disumbatkan ke dalam ISA demi kepentingan politik BN menjelang PRU-13.

Mesej rakyat kepada Menteri jelas, "Buat Kerja, Jangan Cakap Merapu-rapu".

PAS berharap agar rakyat pelbagai agama dinegara ini dapat bertenang dan tidak terus menerus melayan provokasi yang dicipta oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Rakyat perlu bekerjasama untuk menjaga rumah-rumah ibadat dan komuniti keseluruhannya dari menjadi sasaran penjenayah. Isu penggunaan nama Allah hanya boleh diselesaikan dengan akal yang waras bukannya dengan tindakan ganas.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Kes Hasan, Khalid: Tuan Ibrahim dukacita laporan akhbar

25 Muharram 1431

Saya sangat terkejut dengan laporan yang diterbitkan oleh Edisi Sinar Harian pada hari ini bertajuk 'Hasan, Khalid tidak akan dipecat' merujuk kepada kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkaitan kes membabitkan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr. Hassan Ali dan Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad yang sedang disiasat oleh jawatankuasa itu.

Namun begitu kenyataan tentang kekecewaan Naib Presidin PAS seperti yang dilaporkan dalam Harakahdaily merungkaikan persoalan itu dimana Datuk Tuan Ibrahim menjelaskan laporan akhbar Sinar Harian hari ini bertajuk 'Hasan, Khalid tidak akan dipecat' merujuk kepada kenyataannya adalah tidak betul sama sekali malah akhbar berkenaan didakwa cuba membuat andaian semata-mata.

"Jawatankuasa Disiplin dukacita dengan laporan tersebut".Katanya.

"Andaian yang dibuat adalah tidak betul dan satu kesilapan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Kes tersebut tegasnya masih dalam proses siasatan dan sebarang keputusan mahupun penghakiman terhadap kes tersebut belum lagi dibuat.

"Kita masih lagi menunggu satu lagi dokumen baru dari orang kena tuduh untuk membantu siasatan.

"Dokumen itu akan diserah dalam minggu ini kepada jawatankuasa dan keputusan berkenaan kes ini saya jangka akan diketahui paling awal pun minggu depan," jelasnya kepada Harakahdaily.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan bahawa Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya memberitahu Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr. Hassan Ali dan Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad tidak akan dipecat dari parti.

Laporan itu juga menyebut sekiranya didapati bersalah, Hasan dan Khalid 'berkemungkinan' hanya akan berdepan dengan amaran bertulis atau digantung jawatan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Disiplin PAS telahpun mendengar keterangan daripada Khalid Samad dan Dr. Hasan Ali, masing-masing hari Khamis dan Sabtu lalu.

Kedua-dua mereka berdepan tuduhan menjejaskan imej dan kewibawaan PAS berdasarkan beberapa tindakan mereka sebelum ini.

[Fikrah Islamiah] Perkara penting untuk pengetahuan pengantin

26 Muharram 1431H
Ahmad baei jaafar

Pasangan yang hendak berkahwin harus mengetahui perkara yang dipandang remeh, tetapi amat besar maknanya. Perkara di bawah adalah berdasarkan pengalaman bagi membantu membina rumah tangga bahagia.

1. Tujuan berkahwin, apa yang kamu niatkan?

- Bagi lelaki, untuk mendapatkan sesuatu yang tidak boleh diperoleh di luar perkahwinan.

- Kasih sayang dan belaian manja dari seorang perempuan.

- Bagi wanita, untuk mendapat perlindungan dari seorang yang bergelar lelaki atau suami.

2. Apakah kewajipan suami?

- Memberi nafkah – makan – pakaian – tempat tinggal

- Mendidik isteri – sejak awal perkahwinan.

3. Apakah hak isteri?

- Taat suami kecuali perkara yang bertentangan dengan syarak

- Hormati suami dan keluarga suami.

4. Apakah isteri wajib masak dan membasuh?

Pada dasarnya bukan kewajipan isteri tetapi kalau suami minta masak atau membasuh dia wajib taat.

Kalaulah suami tidak suruh masak dan tidak suruh membasuh, dia seharusnya memasak kerana menghormati suami yang baru balik kerja. Dia juga seharusnya membasuh baju suami kerana menghormati suami yang pakaiannya kotor.

Sebenarnya isteri yang baik dia tidak mempertikaikan tentang urusan basuh dan masak itu kerana kedua-dua kerja itu adalah fitrah bagi seorang wanita.

5. Apakah persiapan awal suami isteri sebelum dan selepas kahwin?

- Kuatkan iman, taqwa dan ilmu agama

- Mengenali hati budi pasangan

- Mengetahui kesukaan dan kebencian pasangan

- Hindari kebencian pasangan

Formula menyelesaikan masalah rumah tangga

Masalah & Penyelesaian

1 Bila banyak urusan tidak menjadi, walaupun sudah diusahakan masih gagal.

Nilai hubungan kita dengan Allah, solat dan ibadah lain mungkin tidak diterima Allah.

2 Suami isteri mula renggang, suka bergaduh

Nilai semula solat suami dan solat isteri mungkin ada yang cuai atau tidak melakukan solat.

3 Suami isteri dilihat tidak mesra dengan anak-anak.

Lihatlah, mungkin suami dan isteri tidak mesra di atas katil.

4 Isteri rasa tak senang hati terhadap suami

Lihatlah mungkin suami buat dosa di luar rumah, buat maksiat. Perlulah bertaubat segera.

5 Suami rasa kurang selesa dengan isteri

Lihatlah mungkin isteri melakukan dosa di luar rumah. Bertaubatlah segera.

6 Bila anak tidak taat kepada ibu bapa

Lihatlah mungkin suami isteri ada masalah yang tidak diselesaikan, apatah lagi dosa dengan Allah.

7 Bila anak buat dosa di luar rumah

Ibu bapa/suami isteri tidak mendidik anak cara yang betul.

PAS Kelantan kecam tindakan ancam blogger

26 Muharram 1431H
M Faqih

KOTA BHARU, 11 Jan: PAS Kelantan memandang serius tindakan pihak yang cuba mengancam penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz dengan melemparkan kapak di rumahnya malam tadi.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, tindakan mahu menjadi hakim sendiri dengan menjatuhkan hukuman terhadap orang lain bertentangan dengan prinsip Islam.

Katanya, biar pun tulisan blogger terbabit tidak disukai, namun melakukan tindakan kekerasan terhadapnya amat menyalahi agama dan amalan demokrasi.

(Gambar: Kereta Syed Azidi yang dibaling kapak)

“Kalau kita tidak bersetuju dengan tindakan seseorang ada saluran dibenarkan undang-undang boleh dilakukan. Bawalah ke mahkamah untuk diadili.

“Saya juga percaya insiden seperti itu tidak dilakukan ahli atau penyokong PAS kerana mereka mempunyai kefahaman tentang agama,” katanya di sini.

Kickdafella dalam blognya mendedahkan rumahnya di Kampung Demit dekat Kubang Kerian dilemparkan kapak kira-kira 11 malam tadi sehingga menyebabkan keretanya rosak.

Menurutnya kapak berukuran hampir 30 sentimeter itu terkena cermin belakang kereta dan terpelanting lebih dua meter.

Blogger terbabit sebelum ini mencetus kontroversi apabila mendedahkan dakwaan salah laku membabitkan pegawai kanan di Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Mohd Zaki yang juga Adun Kelaboran berkata, tindakan melemparkan kapak sehingga merosakkan harta benda orang tidak sepatutnya berlaku dalam ketamadunan sekarang.

“Kita hendaklah bertindak lebih rasional dan bukannya menggunakan emosi sehingga boleh mengaibkan kita sendiri akhirnya,” kata beliau.

Harakahdaily.net/-

Kesenian jadikan program penerangan lebih menarik

26 Muharram 1431H
Hashim Abdullah

TEMERLOH, 10 Jan: PAS Temerloh sedang meningkatkan usaha menjadikan kegiatan penerangan yang lebih menarik dan mesra rakyat dalam setiap penganjurannya dengan membabitkan elemen kesenian Islam dan kebudayaan pelbagai kaum selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam.

Setiausaha Penerangan PAS Kawasan Temerloh, Hizam Abu Zaid berkata terdapat keserasian apabila dalam beberapa kali penganjuran melalui kaedah ini rakyat yang datang mendengar kelihatan lebih selesa dan santai apabila berlaku gabungan dalam persembahan penganjuran.

“Untuk masa terdekat, pada Rabu ini ( 13 Januari 2010) bertempat di Dataran PAS Kampung Tanjung Belenggu, PAS Kawasan Temerloh akan mengadakan persembahan kesenian Islam oleh kumpulan Nasyid Huffaz dan ceramah yang turut disertai Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kami mengharapkan rakyat akan datang beramai-ramai mengikuti program tersebut yang bermula jam 9 Malam dengan penuh keselesaan di samping dapat memperoleh maklumat dan isu-isu terkini yang berlaku dalam Negara,” katanya.

Harakahdaily.net/-

Saya tidak letak jawatan- Dr. Syed Husin Ali

26 Muharram 1431H
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Timbalan Presiden Parti keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa beliau telah meletakkan jawatan.

Dalam satu kenyataan beliau memberitahu, laporan yang disiar dalam laman The Malaysian Insider itu yang menggunakan tajuk sensasi telah memberikan kesimpulan berbeza terhadap masyarakat.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak meletak jawatan atau menghantar sebarang notis untuk meletak jawatan," katanya.

Menurutnya, beliau mengakui menunjukkan sikap ingin berundur secara perlahan-lahan bagi memberi ruang kepada orang lebih muda mengambil alih tempat beliau.

Pepimpin tertinggi PKR juga jelasnya mengetahui akan hasratnya itu dan beliau tidak pernah memberikan tempoh masa yang jelas berhubung perkara tersebut.

Namun apa yang lebih dikesalkan, perlantikan beliau sebagai senator dituduh sebagai cubaan memberikan laluan kepada orang yang telah berjasa kepadanya memegang jawatan Timbalan Presiden PKR.

"Rupa-rupanya, ketika nama saya diterima sebagai Senator, sewaktu saya berada di Mekah untuk menunaikan Haji, terdapat usaha untuk memutar belit cerita bahawa jawatan senator tersebut hasil daripada persetujuan bahawa saya mengundurkan diri sebagai Timbalan Presiden KEADILAN untuk membuka jalan kepada orang yang telah menjayakan saya.

"Satu atau dua akhbar melaporkannya bahkan menamakan individu tersebut," jelasnya.

Laporan The Malaysian Insider hari ini menyebut Dr Syed Husin Ali mahu mengundurkan diri kononnya mahu mewujudkan perlawanan sengit menjelang pemilihan parti itu pertengahan tahun ini.

Selain itu, hasrat Syed Husin itu juga lapor web itu kerana mahu melihat perubahan barisan kepimpinan uatam parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Ekoran laporan tersebut, beliau telahpun mengarahkan pegumnya untuk meneliti perkara tersebut kerana didakwa terdapat unsur mahu mencemarkan nama baik beliau.

Harakahdaily.net/-

BN wajar ditolak kerana gagal tangani isu rakyat

26 Muharram 1431H
Khairul Azlam

KUALA TERENGGANU, 11 Jan: Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wajar ditolak kerana gagal dalam menangani isu rakyat termasuk penggunaan kalimah Allah yang menyebabkan tercetusnya kejadian membakar beberapa gereja sejak Jumaat lalu.

Justeru, Ketua Pemuda PAS negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sudah tiba masanya rakyat menilai kembali sokongan mereka kepada BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Ini, katanya kerana kepimpinan Umno termasuk Najib sejak kebelakangan ini terbukti bukan sahaja gagal membela rakyat akibat kenaikan harga barangan seperti gula bahkan juga tidak mampu mempertahankan agama Islam.

“Dalam konteks negeri ini, Umno/BN bertindak rakus merobohkan Masjid RTB Bujal, memecat imam bilal dan sebagainya,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong ketika dihubungi.

Tambahnya, dalam isu yang melibatkan penggunaan kalimah Allah dan rentetan daripada itu termasuk gereja dibom adalah antara kegagalan kerajaan hari ini dalam menyelesaikan isu yang berkaitan dengan kepentingan penganut Islam dan bukan Islam.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang mempertikaikan keikhlasan pemimpin Umno dalam menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah.

“Umno ingat dia boleh menggunakan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian untuk tujuan politik murahan, tetapi jelas senjata makan tuan dan rakyat tidak lagi mempercayai Umno. Inilah petanda Umno dan BN telah kehabisan dan kehilangan hak untuk memerintah negara,” kata Mahfuz kepada Harakahdaily semalam.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat berbilang kaum dan agama agar bersama-sama dengan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) untuk ‘memuziumkan’ Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke13 nanti.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Faris Musa, kejadian membakar gereja ada kaitan dengan kebenaran Najib kepada mana-mana pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk berdemonstrasi.

Justeru itu, katanya Najib wajar meletak jawatan secara terhormat sebelum dihukum melalui mahkamah rakyat dalam PRU ke-13 nanti.

“Jika tidak, rakyat akan hukum dia bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang,” tegasnya yang juga Ketua AMK negeri.

Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Ng Chai Hing pula berkata, jika rakyat masih memilih BN dalam PRU ke-13 akan datang merugikan mereka dan negara.

“Saya sokonglah kenyataan Datuk Mahfuz itu dan memang Umno/BN sudah tidak layak lagi untuk urus tadbir negara ini kerana pemimpinnya tidak ada kualiti,” ujarnya.

Menurutnya, negeri-negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat lebih aman, adil, stabil dan makmur.

Katanya, langkah terbaik bagi menyelamat imej dan maruah Umno wajar sekali Najib dan menteri kabinetnya meletakkan jawatan secara terhormat.

Harakahdaily.net/-

Kalimah Allah: Lagi sikap KDN dipertikai

26 Muharram 1431H
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 11 Jan: Kementerian Dalam Negeri (KDN) seharusnya menangani isu kalimah Allah sejak awal lagi serta memberi penjelasan dengan baik kepada golongan bukan Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Husam Musa, berkata, PAS lebih mengutamakan permesyuaratan termasuk pertukaran hujah bagi melahirkan keharmonian pelbagai masyarakat di negara ini sejak sekian lamanya.

“Sebenarnya perkara ini boleh diatur di luar mahkamah, tetapi KDN amat lemah.

“Antara contohnya, kerajaan tidak pernah memanggil Majlis Fatwa bermesyuarat mengenai isu kalimah Allah ni,” katanya.

“Kalau Majlis Fatwa tidak bermesyuarat, bagaimana KDN tahu kedudukan isu berkenaan dengan kedudukan sebenar dan lebih meluas.

“Jadi saya cadangkan pada kerajaan mulakan dengan mesyuarat Majlis Fatwa, panggil pihak terbabit berbincang dan berikan pandangan dan kekangan sekiranya ada,” ujarnya.

Menurutnya, beliau yakin masih ada peluang penyelesaian untuk diselesai dengan baik.

“Bukan sahaja kes rumah Kickdefella (Syed Zaidi) sahaja, tetapi isu-isu seluruh negara seperti gereja diserang, rumah dilempar cat dan sebagainya dapat diselesaikan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejadian ‘kapak terbang’ yang berlaku di rumah blogger Kickdifela semalam.

Harakahdaily.net/-

Umno juara salah guna wang rakyat

26 Muharram 1431H
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemimpin Umno perlu menjelaskan kepada rakyat bahawa semua projek dan program yang dilaksanakan dalam siri kempen Umno Juara Rakyat adalah menggunakan wang, kepakaran dan jentera Umno sendiri.

“Barulah boleh Umno dabik dada kata dia juara rakyat. Kalau tidak, dia hanya jadi juara menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan politik Umno yang kian pudar dan mulai pupus,” ujarnya.

Mengulas program Umno Juara Rakyat, beliau berkata kemungkinan pemimpin Umno menyedari parti itu dilihat terlalu jijik oleh rakyat sehingga menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

“Yang menghairankan saya kenapa mesti Umno Juara Rakyat. Bukankah Umno bersama BN memerintah Malaysia. Tidakkah Umno sedar yang ditolak oleh rakyat ialah kerajaan BN,” ujarnya.

Nampaknya, kata beliau, pemimpin Umno hanya mahu rakyat melihat Umno saja yang juara rakyat dan bukannya BN.

“Atau pemimpin Umno memang sedar faktor penolakan rakyat terhadap BN adalah kerana Umno yang sudah dilihat terlalu jijik oleh rakyat.

“Mungkin inilah jawapannya sehingga Umno terpaksa bertungkus lumus untuk menampakkan yang Umnolah juara rakyat,” katanya.

Baginya, program yang dilancarkan oleh Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Hulu Selangor itu merupakan usaha Umno yang terdesak untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat kepada parti itu.

Ini, katanya seperti yang dinyatakan oleh Najib bahawa Umno sudah insaf atas segala kesilapan masa lalu selepas keputusan PRU ke-12.

“Saya tak kisah kalau Umno nak ajak rakyat kata dia juara rakyat itu hak dia sebagai parti politik. Memang semua parti politik berusaha untuk mendapat sokongan dan dokongan rakyat.

“Persoalannya ialah kalau Umno nak mengaku yang dia juara rakyat, adakah program dan projek yang dia buat dalam kempen Umno Juara Rakyat menggunakan wang, tenaga, kepakaran dan lainnya dari Umno sendiri,” ujar Mahfuz lagi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoalkan pengumuman Najib yang memperuntukkan RM15.6 juta untuk membaiki bumbung pangsapuri di Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

“Adakah ini duit dari tabung Umno atau duit negara yang merupakan duit rakyat. Kenapakah projek ini diletakkan seliaannya di bawah ICU Jabatan Perdana Menteri. Adakah gaji pegawai-pegawai ICU untuk projek ini dibayar oleh Umno?” tanya beliau.

Begitu juga, katanya dengan program dan projek-projek lain, adakah tidak membabitkan wang negara dan jentera kerajaan.

Harakahdaily.net/-

Tuntut royalti: Kelantan tidak ikut rentak Umno

26 Muharram 1431H
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 11 Jan: Kerajaan Kelantan tidak melatah untuk menyaman kerajaan pusat dalam tempoh terdekat ini bagi menuntut royalti minyak.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, masih ada langkah lain yang boleh dilakukan termasuk rundingan bagi mendapatkan royalti.

“Tuntutan dan perbicangan kita baru bermula, kalau diibaratkan seperti bermain bola sepak, baru memakan masa 15 minit, jadi tak perlulah desak kita supaya kemukakan saman,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.

Sebelum ini ada pemimpin Umno termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mencabar kerajaan negeri membawa isu tuntutan royalti ke mahkamah.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata, pemimpin Umno tidak perlu mendesak kerajaan negeri membawa kes terbabit ke mahkamah.

Beliau juga berkata, usaha yang diperjuangkan kerajaan Kelantan kini semakin membuahkan hasil sehingga pemimpin Umno tidak lagi tenteram.

“Apa lagi sekiranya sebahagian rekod lama berupa keratan akhbar kenyataan pemimpin BN sejak tahun 1993 telah dijumpai untuk didedahkan.

“Kenyataan itu antara lain menyebut Kelantan akan mendapat royalti gas dan minyak pada masa akan datang. Ia disebut bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhamad Yaacob,” ujarnya.

Kenyataan media itu disebut sejak tahun 1983 dan terakhir pada 1989.

Husam juga berkata, Kelantan akan mencari kaedah-kaedah bagi membolehkan Petronas menimbang semula kedudukan beberapa telaga yang didapati bertindih di antara perairan Kelantan dan Terengganu.

Tambahnya pengeluaran dari beberapa telaga di situ perlu ditentukan semula antaranya telaga Bintang.

Menurutnya royalti yang telah dibayar kerajaan pusat sebanyak RM9.7 bilion bermula pada 1984.

“Memandangkan pengeluaran baru bermula pada suku kedua 2008, kita mengganggarkan tunggakan bagi tempoh dua tahun tersebut ialah RM75 juta bagi medan bumi Kelantan,” ujarnya.

Husam berkata, beliau telah menyampaikan hasrat kerajaan negeri kepada Petronas bagi pembayaran di bumi selatan dan bukan dalam bentuk wang ihsan.

Katanya, jualan tahunan berdasar harga sekarang di bumi selatan dijangka diperolehi sebanyak RM50 juta setahun.

Menurutnya juga pada pertemuan dengan Petronas kerajaan negeri menjelaskan apa yang berlaku, di samping beberapa tuntutan yang dibuat berdasarkan hak.

Harakahdaily.net/-