11 January 2010

Perkenalan tentang permainan mahjong

25 Muharram 1431

Mahjong ialah sejenis permainan dalam yang dimainkan oleh empat orang pemain. Ia amat popular, bukan hanya di dalam negeri China, malah juga dalam kalangan orang Cina di seberang laut. Permainan ini menggunakan keping kad atau plastik tebal yang berbentuk segi empat bujur. "Buah" mahjong ini anya dibahagikan kepada 3 jenis iaitu "Bing", "Tiao" dan "Wan". Terdapat 4 set sejenis buah mahjung ini dengan bunga yang serupa dan dinomborkan dari satu hingga sembilan, dan menjadikan jumlahnya 108 biji. Selain itu, terdapat 36 lagi buah tambahan dan gantian. Ini bermakna, jumlah kesemua buah mahjong ini ialah 144 biji. Pada zaman dahulu, buah mahjong ini biasanya dibuat daripada tulang dan buluh. Dengan perkembangan zaman, alat permainan ini sekarang diperbuat dengan sejenis kad yang tebal atau plastik.

Asasnya permainan mahjong amat mudah dipelajari. Matlamat utama permainan ini adalah untuk membentuk satu set gabungan atau kumpulan buah mahjong ini dengan sebanyak 14 biji buah mahjong. Orang pertama berjaya mengumpulkannya dikira pemenang. Namun, disebabkan kaedah untuk membentuk gabungan ini bermacam-macam kerana kepelbagaian cara pemikiran pemain dan peraturan yang berlainan di kawasan yang berbeza-beza, maka permainan mahjong ini menjadi lebih rumit dan mencabar berbanding dengan permainan dengan kepingan tulang atau buluh lain. Permainan mahjong memerlukan kemahiran, kecekapan mengatur, strategi, dan mengira, dan pada satu tahap, nasib. Selain itu, ciri permainan mahjong ini juga berkait rapat dengan budaya Timur. Ia merupakan komponen yang penting dalam budaya tradisi China. Maka, ia bukan sahaja menjadi permainan, malah perjudian yang paling menarik dalam sejarah China.

Mahjong berasal dari China pada 3000 hingga 4000 tahun yang lalu. Menurut "Catatan Sejarah", iaitu buku sejarah China yang pertama, permainan jenis ini muncul sebelum zaman Dinasti Shang lagi, iaitu kira-kira 1600 tahun sebelum Masihi. Dulu mahjong merupakan permainan diraja dan golongan bangsawan yang memerintah. Dengan evolusi dalam sejarah yang panjang, mahjong beransur-ansur diperkenalkan kepada rakyat. Cara permainannya hari ini hampir sama dengan permainan tersebut pada zaman pertengahan Dinasti Qing.

Mahjong yang dimainkan oleh rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat di bandar dan di kawasan desa telah menjadi aktiviti pertandingan kecerdasan di China. Pada tahun 1920-an, mahjong bukan hanya popular di Asia, malah popular juga di negara-negara Eropah dan Amerika. Pada masa itu, buah mahjong yang dieksport malah bertulis dengan angka Arab dan huruf Inggeris. Banyak majalah tentang penyelidikan dan cara bermain mahjong yang diterbitkan di luar negeri. Di Jepun dan beberapa buah negara lain pula, terdapat kumpulan penyelidik mahjong yang mengadakan pertandingan secara berkala. Dengan perkembangan sains dan teknologi, perisian permainan mahjong telah dibina pada tahun-tahun kebelakangan ini, sehingga mahjong menjadi sejenis permainan komputer yang popular.  

Disebabkan mahjong bukan sahaja sejenis permainan, tetapi juga dijadikan satu perjudian, maka terdapat pelbagai pendapat yang berlainan tentangnya. Ada orang berpendapat, mahjong merupakan harta karun negara, manakala yang lain menyifatkannya sebagai salah satu asal usul dosa manusia. Sebenarnya, mahjong tidak sewajarnya dikaitkan dengan perjudian. Sejak tertubuhnya Republik Rakyat China pada tahun 1949, perjudian dilarang di negara ini, dan mahjong hanya dimainkan oleh orang awam sebagai aktiviti hiburan yang "sihat". Sejak itu, dalam tempoh sekian lama, pertandingan mahjong yang bersifat "sihat" dan positif telah diadakan di merata-rata tempat di China. Aktiviti ini bukan sahaja berjaya menyebarkan budaya tradisi China, dan mendorong pembangunan tamadun rohaniah, malah memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat. Jabatan Pentadbiran Am Sukan Nasional China memberikan mandat kepada Pusat Panduan Sukan Sosial untuk menghantar pegawai khas untuk melaksanakan kaji selidik tentang keadaan, sejarah, dan falsafah tentang mahjong selama lebih dua tahun. Mereka mengadakan seminar tentang teori mahjong, pertandingan mahjong dan tinjauan sampel berulang kali dan membuktikan bahawa permainan mahjong ini boleh wujud dan dikembangkan sebagai acara pertandingan sukan yang sihat dan bertamadun. CRI/-

Eskport China Mungkin Akan Menduduki Tempat Pertama di Seluruh Dunia

25 Muharram 1431

Eksport China mungkin akan menduduki tempat pertama di seluruh dunia, kerana perdagangan luarnya meningkat dengan ketara pada hujung tahun yang lalu.

Demikian ditunjukkan statistik perdagangan luar yang dikeluarkan oleh China hari ini.

Berdasarkan statistik kastam, jumlah import eksport China pada tahun 2009 melebihi 2207.2 bilion dolar Amerika, menurun 13.9% berbanding dengan tahun 2008. Walau bagaimanapun, jumlah import dan eksport China pada bulan Disember masing-masing mencipta rekod yang baru. Perdagangan luar China sedang pulih dengan cepat.

Naib Menteri Perdagangan, Zhong Shan berkata, China mungkin akan mendahului Jerman dalam bidang jumlah ekport pada tahun lalu, dan menjadi negara pengeksport terbesar di dunia. Namun, perkembangan antara pelbagai sektor yang bergantung kepada perdagangan luar China kurang seimbang. China perlu mengatur semula struktur perdagangan, dan menggalakkan pelbagai sektor yang terlibat berkembang dengan seimbang. CRI/-

Lebih 3,000 tertipu labur RM25 juta ternak cacing

25 Muharram 1431

KULIM: Tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan oleh penganjur skim pelaburan penternakan cacing di sini, kira-kira 3,000 pelabur kerugian lebih RM25 juta apabila penganjur melarikan lari.

Malah pejabat penganjur skim itu, Kulim Worms Agrotec (KWA)(M) Sdn Bhd, di Kelang Lama di sini, disita pemilik bangunan awal Disember lalu kerana tidak melunaskan sewa hampir RM10,000.

Setelah merasa tertipu, lebih 200 mangsa skim tersebut membuat laporan polis di balai polis di sini sejak awal bulan ini.

Dalam sidang media oleh mangsa skim tersebut di hadapan premis KWA di sini hari ini, pelabur dari Pulau Pinang, Kedah dan utara Perak itu mendakwa melabur antara RM5,000 dan RM3 juta sejak Jun 2008.

Menurut risalah KWA, syarikat itu menjalankan penternakan cacing dan penghasilan baja vermikompos organik dengan usahasama Konsortium Koperasi Pengguna Malaysia Berhad (KKPMB).

KWA membuka tujuh cawangan iaitu di Sungai Petani, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Alor Setar, Butterworth dan Tunjang di Kubang Pasu dengan Kulim sebagai cawangan utama bagi memudahkan orang ramai melabur dalam skim yang disediakan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ghuzlan Salleh, yang dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada pelabur skim terbabit dan berkata polis sedang menyiasat kes itu.

Sementara itu, dua pesara mendakwa melabur RM150,000 hasil simpanan dan gratuiti mereka sejak September tahun lalu.

Pesara Jabatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Shahibul Kiraya Haliman Shah, 56, berkata dia melabur sebanyak RM35,000 manakala bekas guru, Omar Ismail melabur RM115,000 setelah dijanjikan pulangan bulanan sebanyak 3.3 peratus.

"Saya turut melabur RM15,000 untuk menternak cacing setelah mengikuti kursus anjuran KWA dan setakat ini hanya mendapat pulangan berjumlah RM20,000 iaitu bayaran untuk September dan Oktober lalu," katanya.

Seorang peniaga, K Jayakumar, 42, dari Taman Kulim Square, Lunas dekat sini bersama 10 anggota keluarganya kerugian hampir RM500,000 kerana menyertai skim pelaburan KWA sejak 6 Jun tahun lalu.

Jayakumar berkata, mereka hanya dibayar sebanyak dua kali daripada pelaburan yang dibuat dan beberapa cek pembayaran selepas itu ditolak oleh bank.

"Kami merayu pihak berkuasa mengambil tindakan bagi mengembalikan wang pelaburan yang dibuat kerana ramai yang meminjam dari bank dan saudara-mara untuk membuat pelaburan tersebut," katanya.

Sementara itu, Mohd Faisal Mohd Noor, 27, pengarah Green Millennium Agrotec (M) Sdn Bhd (GMA), iaitu syarikat yang mengendalikan penternakan cacing bagi pihak KWA, mendakwa KWA menggunakan kepala surat GMA untuk mengambil wang pelaburan daripada penternak dan pelabur skim itu, menyebabkan syarikatnya kini berada dalam dilema. - Bernama

DS Haji Nizar selamat balik ke rumahnya

DS. Nizar dan Isteri bertanyakan sesuatu kepada pelawat sebelum meninggalkan Hospital Raja Pemaisuri Bainun.

24 Muharram 1431
http://alhusseyn51.blogspot.com

Alhamdulillah, hari ini pada jam 12.30 tengahari tadi,DS Haji Nizar telah keluar dari hospital besar Ipoh dengan diiringi oleh isteri beliau.Ramai yang datang dan mengerumuni beliau untuk mengucapkan 'selamat'.



Beliau terlibat dalam satu kemalangan jalanraya pada pukul di Jalan Raja Nazrin Shah, Ipoh pada khamis, 7 Januari lalu. Beliau hanya mengalami kecederaan ringan dan luka kecil di siku kanannya dengan hanya satu jahitan

Beliau telah dimasukan ke Ward 8 hingga hari ini untuk rawatan dan pemerhatian pakar perubatan kerana dikhuari mengalami cedera dalaman.

Walau bagaimana pun, beliau sempat mengimami solat fardhu Jumaat di masjid bersebelahan pada Jumaat yang lepas setelah diminta sendiri oleh imam yang bertugas sebagai menghormatinya./ end

Nizar dibenarkan keluar dari hospital.

24 Muharram 1431


Setelah berada di Hospital Raja Pemaisuri Bainun sekitar 4 hari, pada hari ini sekitar jam 12.30 tengahari tadi, Dato Seri Ir Hj Muhammad Nizar dibenarkan untuk pulang ke rumah.

Beliau yang terlibat dalam satu kemalangan di Ipoh pada pagi Khamis lepas kelihatan ditemani isteri dan beberapa penyokong berjalan keluar daripada perkarangan Hospital Raja Pemaisuri Bainun sambil disambut beberapa pengunjung hospital dan juga pesakit.

Doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi

24 Muharram 1431
http://akhisalman.blogspot.com

PANDANGAN AL-QURAN

Allah swt telah berfirman:

لا يحب الله الجهر بالسوء من القول إلا من ظلم وكان الله سميعا عليما

" Allah tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang dengan terang-terangan melainkan orang yang dizalimi maka dia boleh menceritakan kezaliman tersebut ; dan Allah itu maha mendengar dan maha mengetahui." ( 148 : an-Nisa)


Ibnu Abbas r.a telah mentafsirkan ayat ini: "ALLAH TIDAK SUKA SESEORANG MENDOAKAN KEBURUKAN KEPADA SESORANG YANG LAIN KECUALI ORANG YANG DIZALIMI. SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MEMBERIKAN KEBENARAN KEPADANYA UNTUK MENDOAKAN KEBURUKAN KEPADA ORANG YANG DIZALIMI. JIKA DIA BERSABAR MAKA ITU LEBIH BAIK BAGINYA." Qatadah berkata: ALLAH MEMBERIKAN KELONGGARAN KEPADA ORANG YANG DIZALIMI UNTUK MENDOAKAN KEBURUKAN. INI SEPERTI MANA YANG KAMU DENGAR. PANDANGAN RASULULLAH

Banyak hadis2 Rasulullah berkenaan dengan doa kepada orang yang dizalimi. Ini adalah diantara doa yang mustajab doanya. Diantara hadis-hadis tersebut adalah:- 1. Hadis dari Anas r.a , Rasulullah saw bersabda:


اتق دعوة المظلوم وإن كان كافرا فإنه ليس دونها حجاب

" Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah." Hadis riwayat Ahmad - sanad hasan

2. Hadis dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah saw bersabda:


اتق دعوة المظلوم فإنها تصعد إلى السماء كأنها شرارة

"Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."

Hadis riwayat Hakim - sanad sahih

3. Hadis dari Khuzaimah bin Thabit r.a, Rasulullah saw bersabda:


اتقوا دعوة المظلوم فإنها تحمل على الغمام يقول الله عز وجل : وعزتي وجلالي لأنصرنك ولو بعد حين


" Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Allah swt berkata : Demi kemulian dan keagunganku, aku pasti akan menolongmu walaupun setelah masa yang lama."
Hadis riwayat Tobrani - sanad hasan

4. Hadis dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda:


ثلاث دعوات مستجابات : دعوة الصائم ودعوة المظلوم ودعوة المسافر

" Tiga doa yang diperkenankan: Doa orang puasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang musafir." Hadis riwayat Baihaqi - sahih

5. Hadis dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

دعوة المظلوم مستجابة وإن كان فاجرا ففجوره على نفسه


" Doa orang yang dizalimi adalah diterima sekalipun doa dari orang yang jahat. Kejahatannya itu memudaratkan dirinya dan tidak memberi kesan pada doa tadi." Hadis hasan riwayat at-Tayalasi

HUKUM DOA KEBURUKAN KEPADA ORANG YANG MENZALIMI

Imam Nawawi telah meletakkan satu tajuk dalam kitabnya al-Azkar:

"BAB: HARUS BAGI SEORANG MANUSIA UNTUK MENDOAKAN KEBURUKAN KEPADA ORANG YANG MENZALIMI ORANG-ORANG ISLAM ATAU MENZALIMI DIRINYA SENDIRI."

Syeikh Ibnu Allan as-Siddiqi (pengarang syarah bagi kitab Azkar) berkata di bawah tajuk ini:

" Maksud harus yang disebut imam Nawawi adalah merangkumi sunat. Maksudnya ia tidak haram dan tidak makruh. Sekiranya doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi manusia lain supaya terhindar dari kezalimannya maka hukumnya sunat. Sekiranya doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi dirinya sendiri atau yang menyakitinya , sesungguhnya ini diharuskan untuk berdoa sebegini. Seeloknya dia maafkan dan melupakannya."

Dalil pengharusan.

Ini jelas melalui ayat al-Quran 148 surah an-Nisa mengikut tafsiran Ibnu Abbas seperti yg telah dinyatakan sebelum ini. Adapun hadis Rasulullah saw adalah hadis berikut:


أنه صلى الله عليه وسلم دعا على الذين قتلوا القراء رضي الله عنهم وأدام الدعاء عليهم شهرا يقول: اللهم العن رعلا وذكوان وعصية

" Sesungguhnya Nabi saw mendoakan kecelakaan kepada orang-orang yang membunuh penghafaz-penghafaz al-Quran ra dan sentiasa mendoakan kecelakaan kepada mereka selama sebulan. Baginda berdoa : Ya Allah laknatilah Ri'l, zakwan dan 'usayyah (nama2 kabilah)."
Hadis sahih Bukhari dan Muslim

Dizaman pemerintahan Umar ra , beliau telah melantik Saad bin Abi Waqas ra sebagai gabenor Kufah. Ada seorang lelaki yang bernama Usamah bin Qatadah atau Abu Sa'dah telah menuduh Sa'ad dengan kata2nya:

أما إن نشدتنا فإن سعدا لا يسير بالسرية ولا يقسم بالسوية ولا يعدل في القضية

" Sekiranya kamu bertanya kami tentang sa'ad, sesungguhnya dia tidak menyertai peperangan, tidak menyamaratakan pemberian dan tidak berlaku adil dalam hukuman."

Lalu Sa'ad berdoa:


اللهم إن كان عبدك هذا كاذبا قام رياء وسمعة فأطل عمره وأطل فقره وعرضه للفتن


" Ya Allah sekiranya hamba mu ini pembohong dan melakukannya semata kerana riya' dan sum'ah maka hendaklah engkau panjangkan umurnya, kekalkan kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah."

Kemudian setelah tua, lelaki yg menuduh saad ra berkata " Aku telah terkena bencana akibat doa Sa'ad." "Abdul Malik bin Umair ra perawi hadis ini berkata: Aku melihat lelaki tadi (qatadah) selepas dia tua, dua bulu keningnya telah gugur kerana terlampau tua , dia telah menganggu perempuan-perempuan muda dengan meraba dan meramas mereka.

" Hadis sahih Bukhari dan Muslim.

Seorang wanita bernama Arwa binti Aus telah mengadu kepada khalifah Marwan bin Hakam tentang Sa'id bin Zaid ra. Dia mendakwa Sa'ad ra telah mengambil sebahgian dari tanahnya. Lalu Sa'ad berkata : Adakah aku tergamak mengambil sebahgian dari tanahnya sedangkan aku telah mendengar sesuatu dari Rasulullah saw?" Marwan bertanya " Apa yang engkau dengar dari Rasulullah saw ?" Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:


من أخذ شبرا من الأرض ظلما طوقه إلى سبع أرضين

" Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, Allah swt akan mengalungi tanah tersebut sehingga tujuh petala bumi."

Lalu Marwaى berkata "Aku tidak akan memintamu mendatangkan saksi selepas ini." Sa'id pun berkata:

اللهم إن كانت كاذبة فأعم بصرها واقتلها في أرضها

"Ya Allah sekiranya wanita tadi berbohong maka hendaklah engkau butakan matanya dan bunuhlah dia di tanahnya. "

Wanita tadi tidak mati sehinggalah dia buta dan ketika mana dia berjalan di atas muka tanah milikinya, tiba-tiba dia jatuh di dalam lubang, lalu mati."

Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

KESIMPULAN

Berhati2lah terhadap doa orang yang menzalimi. Penyair berakata:

نامت جفونك والمظلوم منتبه يدعو عليك وعين الله لم تنم

Mata-matamu tidur dan orang yang dizalimi sentiasa berjaga

Dia mendoakan kecelakaan kepadamu dan Allah itu tidak tidur

Rujukan: Da'watul Mazlum oleh Abdur Rahman Yusuf dan Futuhat Rabbaniah oleh Ibnu Allah as-Siddiqi.

Lempar bom ganggu keharmonian di Perak

24 Muharram 1413
KENYATAAN MEDIA 10 JAN 2010

Berikutan dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab melemparkan bom api ke Gereja All Saints dan Gereja Saint Louis, dekat Taiping awal pagi ini, saya dengan ini mengeskan beberapa dalam beberapa kenyataan seperti berikut :-

1. Sesungguhnya saya mengecam tindakan yang tidak bertamaddun itu dan ianya bagi saya bercanggah dengan ajaran Islam dan undang-undang negara. Tidak ada mana-mana ajaran dalam Islam yang membenarkan penganutnya melakukan tindakan sedemikian kepada rumah Ibadah orang lain.

2. Tindakan pihak yang disifatkan oleh Ketua Polis Perak sebagai dilakukan oleh individu yang nakal dan tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada isu yang sedang berlaku sekarang dan bukan dirancang oleh mana-mana organisasi itu adalah sesuatu yang saya rasakan boleh menggangu kehormaian hidup rakyat di Negeri Perak yang kita cintai ini.

3. Kerana itu satu siasatan yang terperinci dan menyeluruh mestilah dilakukan dengan segera oleh pihak polis bagi membawa individu yang bertanggung jawab kemuka pengadilan dan dihukum sesuai dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

4. Saya juga menyeru kepada ahli dan penyokong PAS dan pakatan Rakyat serta semua Rakyat Perak sentiasa berhati-hati dengan tindakan provokatif dan tindakan "mengguk diair keruh" dalam keadaan sekarang.

5. Sehubungan dengan itu elakan diri anda dari himpunan dan sebarang kegiatan yang boleh merenggang hubungan antara kaum . Sebaliknya perbanyakkanlah kegiatan yang boleh merapatkan hubungan antara kaum tidak mengira agama dan bangsa.

8. Saya menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis untuk mejamin keamanan dan ketenteraman yang sedia ada di Perak terus di kekalkan. Sebarang anasir yang menganggu dan cuba mengagalkan hasrat itu adalah anasir yang mesti diambil tindakan dan dihukum dengan secepat mungkin.

KENYATAAN MEDIA/ 10 Jan 2010

YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM
Setiausa Sekretariat
Pakatan Rakyat Perak/
Ketua Penerangan PAS Perak.

Pemuda PAS Perak kutuk bom gereja di Taiping

24 Muharram 1431
Harakahdaily

IPOH, 10 Jan: Dewan Pemuda PAS Perak mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab melemparkan bom api ke Gereja All Saints dan Gereja Saint Louis, dekat Taiping awal pagi ini.

Sehubungan itu, setiausahanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss meminta pihak berkuasa melakukan penyiasatan segera terhadap tindakan yang melampau itu.

"Pemuda PAS Perak berharap rakyat bertenang dalam menghadapi situasi seperti ini," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily tengah hari ini semasa dalam perjalanan melawat tempat kejadian.

Tambahnya, sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan dan mengganggu kenteraman awam mestilah ditentang oleh rakyat berbagai agama dan bangsa serta di semua peringkat umur dan tahap pendidikan.

"Justeru, Pemuda PAS Perak mengharapkan segala langkah yang dilakukan oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini diambil dengan secepat mungkin dengan mengambil kira semua aspek," ujarnya.

Gereja Dan Pos Pengawal Sekolah Taiping Dilempar Molotov Cocktail

24 Muharram 1431

IPOH: Dua insiden cubaan membakar berlaku membabitkan gereja All Saints dan sebuah sekolah di sini awal hari ini selepas dilempar dengan bom api, kata Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah.

Tiada kerosakan pada gereja yang terletak di Jalan Taming Sari, Taiping itu tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan pada pos pengawal Sekolah Menengah Convent, katanya.

Insiden itu hanya disedari penjaga gereja itu pada pukul 7.30 pagi, katanya ketika dihubungi hari ini.

Polis yang membuat siasatan selepas menerima aduan mendapati dua kesan tompok hitam di dinding gereja serta menemui dua botol yang telah pecah dipercayai digunakan dalam kejadian itu, katanya.

Dalam kejadian di Sekolah Menengah Convent, hanya pos pengawal sekolah tersebut mengalami kerosakan kecil selepas dilempar dengan molotov cocktail dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi dan disedari oleh pengawal keselamatan sekolah terbabit, katanya.

Zulkifli berkata, setakat ini belum ada suspek yang ditahan berikutan insiden itu dan polis sedang menyiasat serta mengambil bahanbahan bukti yang ditemui di tempat kejadian.

Katanya siasaatan awal polis mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan oleh individu yang nakal dan tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada isu yang sedang berlaku sekarang dan bukan dirancang oleh mana-mana organisasi.

Katanya polis memberi perhatian serius dan meningkatkan pemantauan ke atas rumahrumah ibadat di negeri ini bagi memastikan keadaan terkawal dan menasihatkan orang ramai agar tidak panik.- BERNAMA

Saifuddin Nasution Dilantik Setiuasaha Agung PKR Yang Baru

24 Muharram 1431

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam melantik Ahli Parlimen Machang sebagai Setiausaha Agung parti yang baru bagi menggantikan Datuk Salehuddin Hashim yang meletakkan jawatanya.

Dalam mesyuarat biro politik PKR malam tadi, parti itu turut membuat keputusan untuk menerima notis peletakkan no jawatan Salehuddin.

Khamis lalu, Salehuddin telah menghantar notis peletakan jawatan dan meminta Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu menghormati keputusannya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali turut mengesahkan bahawa, beliau telah menerima e-mel salinan notis peletakan jawatan itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Syed Husin berkata, mengikut Salehuddin, notis itu berkuatkuasa 31 Januari ini serta tidak menyatakan alasan mengenai peletakan jawatan tersebut.

Bagaimanapun bekas Setiausaha Agung PKR itu dilaporkan meletak jawatannya untuk membolehkan beliau menumpukan perhatian dalam bidang perundingan pengurusan minyak dan gas.

Salehudddin mengambil alih jawatan tersebut daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mac 2008, bagaimanapun kekal sebagai anggota biasa parti itu.

Beliau mula menyertai PKR pada 2004 sebagai setiausaha pengelola sebelum dilantik menjadi setiausaha agung.

ISA bukan penyelesaian isu bom gereja - GMI

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Jan: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk menahan pihak yang terlibat dalam insiden membakar gereja di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataan berkata, penggunaan ISA tidak akan menyelesaikan masalah sebenar, sebaliknya akan menimbulkan suasana tegang di negara ini.

GMI, tegasnya tidak menafikan perbuatan mengebom rumah ibadat itu merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan melampau serta mewujudkan ketegangan di kalangan masyarakat yang berbeza agama.

Namun, katanya GMI mahu kerajaan membuat siasatan yang betul dan menghadapkan pihak yang disyaki terlibat ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan.

“Kami (GMI) memahami keperluan kerajaan untuk mengambil tindakan keras terhadap pihak yang bersalah malah GMI menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang cuba mewujudkan huru-hara di negara ini. Namun mestilah mengikut undang-undang melalui perbicaraan di mahkamah, bukan menggunakan ISA,” katanya.

Tegasnya, GMI terus mengutuk penggunaan undang-undang zalim ISA yang melakukan penahanan tanpa melalui proses pengadilan yang sebenar yag jelas melanggar hak asasi manusia dan undang-undang negara.

“Kerajaan hanya membuat tangkapan dan menahan tahanan tanpa bicara mengikut andaian mereka bahawa seseorang itu bersalah, sedangkan andaian itu belum tentu betul. Ini sememangnya tidak adil dan merupakan satu penderaan mental yang teruk terhadap tahanan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, GMI menyeru agar kerajaan berhenti menahan seseorang di bawah ISA dan menghapuskan terus undang-undang zalim itu serta membebaskan semua tahanan dengan membawa mereka ke muka pengadilan.

Kenyataan beliau itu sebagai mengulas kenyataan Hishammuddin semalam bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini, malah sedia menggunakan ISA untuk menghalangnya.

Semalam, tiga gereja iaitu Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara mengalami kerosakan apabila dibaling dengan bom buatan sendiri.

Insiden itu berlaku ekoran kontroversi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan milik gereja Katolik, Herald, menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Paderi puji ketegasan PAS

24 Muharram 1431H
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 9 Jan: Ketua Paderi bagi Gereja Metro Tarbenacle, Hock Teck Leong merakamkan penghargaan kepada PAS kerana mengutuk pengeboman tiga gereja tempatan, pagi semalam.

Demikian maklum balas Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan at-Tantawi, yang turut menyertai Ziarah Mesra PAS ke Gereja Metro Tarbenacle di Desa Melawati, Setapak, Kuala Lumpur petang tadi.

“Dia cukup terharu dan mengucapkan terima kasih atas kunjungan dan simpati yang ditunjukkan oleh para pemimpin PAS,” jelas Nasruddin ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurutnya, pihak gereja turut memuji ketegasan PAS mengutuk pengeboman tiga gereja terbabit oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Dalam sesi dialog, Nasruddin turut menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang umatnya meruntuhkan rumah ibadat bukan Islam.

“Kita berdialog, saya sempat jelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang umatnya membunuh budak kecil, wanita dan orang tua, tumbuh-tumbuhan hatta rumah ibadat ketika berperang.

“Kalau waktu berperang, Islam mengajar sebegitu, inikan pula waktu aman, orang yang terbabit tidak belajar keadilan dalam Islam,”ujarnya.

"Kalaupun timbul isu perbezaan pendapat dengan orang bukan Islam, kita tidak sepatutnya bertindak seperti ini dan langkah yang paling bijak ialah berdialog, berbincang dan berhujjah.

"Apabila saya tengok sendiri hari ini, saya bukan sahaja tidak setuju tapi mengutuk tindakan (membakar gereja) ini" tegas beliau.

Selain itu beliau turut mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan yang cepat bagi menyelesaikan isu ini kerana ditakuti ia akan menjadi lebih parah lagi.

Sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama-sama beberapa pemimpin PAS Pusat sendiri turun melawat gereja tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, pengeboman tiga gereja di sekitar Lembah Klang dipercayai umum ekoran Gereja Roman Katholik memohon menggunakan nama Allah dalam akhbar mingguan mereka, The Herald.

Permohonan yang masih di mahkamah itu mengundang kritikan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan pemimpin Umno sendiri sedangkan PAS berpendirian, al-Quran membenarkan penggunaan nama Allah di kalangan penganut agama-agama samawi.


Harakahdaily.Net/-


Jauhi sebarang provokasi, bertenanglah

24 Muharram 1431H
Al-brangi

Pakatan Rakyat bersepakat mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan merosakkan rumah ibadat orang-orang Kristian, satu perbuatan oleh golongan yang bacul lagi tidak bertamadun.

Apakah dengan melakukan perbuatan terkutuk itu telah menaikkan 'maqam' anda, telah menaikkan 'darjat' anda di sisi Allah SWT?

Apakah dengan berkelakuan seperti itu telah membuktikan anda betul-betul sayang kepada Allah? Betul-betul sayang kepada Islam? Betul-betul sayang kepada ajaranNya?

Islam tidak mengajar kita pergi men'jahanam'kan rumah-rumah ibadat bukan Islam. Usah menjadi juara dengan cara itu. Usah ber'main' dengan api dan seolah menghasut orang ramai mengikut cara yang tidak bertamadun itu.

Sayang kepada Allah, sayang kepada Islam bukanlah dengan cara itu. Buktikan dengan cara kita melipatgandakan amal ibadat kita, memperdalami lagi ilmu Islam kita. Buktikan sayangnya kita kepada Islam dengan cara memperjuangkan Islam mengikut susunatur dan lunas undang-undang negara.

Diharap pihak berkuasa dapat memadamkan setiap api kemarahan ini dengan paling berhikmah kerana dikhuatiri jika lambat dibendung, kemelut ini mungkin berpanjangan.

Jauhilah sebarang provokasi dari mana-mana pihak, walau bagaimanapun yang bersalah tetap bersalah kerana kita hidup terikat dengan undang-undang, tiada siapa hidup melepasi undang-undang.

Biarlah mereka dengan agama mereka dan kita dengan agama kita. Tugas kita hanyalah menyampaikan dakwah kepada mereka. Berbanyakkan doa kita kepada mereka agar mereka mendapat hidayah dari Allah SWT.

Harakahdaily.net/-

Bakar gereja: Masyarakat hilang sensitiviti dosa pahala - Nik Aziz

24 Muharram 1431H

SHAH ALAM, 9 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa kejadian serangan membakar gereja kelmarin berlaku kerana Umno telah menghilangkan sensitiviti dosa dan pahala dalam masyarakat di negara ini khususnya orang Melayu itu sendiri.

Kesan hilangnya sensitiviti itu, katanya telah menyebabkan masyarakat melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak menghormati agama lain sehingga membakar gereja dan mengarak kepala lembu seperti berlaku di Shah Alam baru-baru ini.

"Tiap-tiap orang nak bakar gereja kena reti (tahu) gereja ini harta kawan kita orang Kristian, bila kita bakar kita lukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak.

"Sama juga arak kepala lembu, melukakan hati orang India (Hindu), ini berdosa. Tapi perasaan dosa pahala tidak ada dalam orang Melayu sekarang kerana telah dibuang oleh Umno, ini kita dukacita," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penutup program Taklimat Penerangan Isu-isu Semasa di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) petang tadi.

Selain itu, hilangnya sensitiviti tersebut juga, jelasnya telah mengakibatkan banyak perkara-perkara yang tidak sepatutnya, berlaku dalam negara kita.

Umno, jelasnya telah menghilangkan sensitiviti tersebut dari hati orang Melayu apabila membezakan ajaran agama Islam dengan politik dengan berpendirian agama lain, politik lain.

"Sebab itu lah menteri rasuah, orang kampung rasuah, parti-parti rasuah hatta enjin kapal pun boleh dijual senang-senang sahaja, mana boleh jual kalau tidak ada rasuah," jelasnya lagi.

Di dalam ucapan penutupnya sebelum itu, beliau mengingatkan seluruh pimpinan dan jentera PAS meneruskan usaha memberi penerangan kepada masyarakat selaras dengan tugas yang dipikul oleh Nabi-nabi.

Beliau mengakui ianya bukan sesuatu yang mudah kerana perlu berdepan bermacam halangan.

Apatah lagi, ianya sesuatu yang boleh dianggap baru dan bertentangan dengan apa yang dibawa zaman penjajahan Inggeris.

"Kerja PAS hari ni memang buat kerja baru, yang (zaman) Inggeris dulu tidak buat, Umno dia (hanya) sambung kerja buat Inggeris," katanya.

Harakahdaily.net/-

Sangka baik pada Tuhan

24 Muharram 1431H

Kejadian membakar gereja oleh puak pelampau 8 Januari lalu menimbulkan seribu satu persoalan di minda kita yang lemah ini. Emosi kita juga terganggu kerana kita sudah tidak dapat membayangkan adakah perkara yang lebih teruk daripada serangan terhadap gereja-gereja akan berlaku di bumi Malaysia yang aman ini.

Sebenarnya saya tidak tahu apa yang hendak dituliskan dalam artikel ini. Secara spontan juga saya mula menulis dengan Bahasa Melayu walaupun kebiasaannya saya lebih suka menulis dalam Bahasa Inggeris. Saya menulis kerana saya merasa sedih kerana sekali lagi nama baik agama Islam yang saya kenali sebagai agama yang selalu mempromosian keamanan dan kedamaian telah dikaitkan dengan perkataan “pengganas”.

Bukan itu sahaja keperitan emosi saya, hati saya turut menangis kerana nama baik negara Malaysia yang terkenal dengan keistimewaan menjaga keharmonian kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama dicemarkan dengan teruk akibat perbuatan menyerang gereja oleh sekumpulan syaitan yang tidak faham ajaran agama mereka.

Saya teramat keliru mengapa keganasan sebegitu rupa boleh berlaku di negara kita atas satu isu nama Tuhan. Saya tertanya-tanya dan tersipu-sipu mencari jawapan; adakah ajaran agama dimiliki Tuhan, atau Tuhan ini dimiliki ajaran agama? Setahu saya, Tuhan ini maha berkuasa dan memiliki segala benda-Nya di alam semesta ini. Maka sepatutnya agama ini dimiliki Tuhan, dan tugas manusia sebagai penganut ialah untuk menurut segala perintah ajaran agama dan menjaga tingkah laku demi menjaga nama baik agama.

Entah, sejak bila pula agama dan nama Tuhan menjadi permainan milik-memiliki manusia. Ataupun sememangnya dipatutkan sebegitu, segala benda yang diciptakanNya di alam semesta ini perlu direbut manusia? Akan tetapi, manusia nak merebut semua benda ini pasal apa, pasal nak bawa benda yang direbut ini ke neraka? Boleh ke? Sepatutnya manusia ini harus sentiasa beringat bahawa besok kita mungkin akan mati, dan bukannya menganggap kita ini akan hidup selama-lamanya.

Entahlah juga apa perasaan Tuhan sekarang? Bayangkan bagaimana lukanya perasaan seorang guru yang sangat disayangi dan dihormati apabila pengajarannya dihina gara-gara tindakan beberapa muridnya bertindak di luar ajaran yang diajarnya….. Mengapa manusia yang dianugerahkan otak ini sering menyakitkan hati penciptaNya? Mengapa? Mengapa?

Saya mungkin tak akan jumpa jawapan kepada persoalan-persoalan di atas. Walaupun pada malam 8hb Januari, saya terasa dunia ini teramat gelap bagaikan tiada penghujungnya, namun Tuhan tetap menerbitkan matahari dari sebelah Timur pada sebelah subuh hari keesokkan. Saya amat bersyukur setiap kali melihat matahari yang terbit kerana saya berpendapat Tuhan masih memberikan hari yang baru untuk kita untuk membetulkan pemikiran dan tingkah laku kita untuk menjadi seorang yang lebih baik daripada semalam. Melihat keindahan matahari yang terbit ini, saya merasakan Tuhan sedang memberikan harapan dan masa untuk menyelamatkan keadaan negara kita.

Mungkin kejadian keganasan ini akan menyedarkan rakyat untuk menghayati betapa tidak ternilai harganya keamanan yang kita nikmati sebelum ini jika dibandingkan dengan ketakutan dan kebimbangan yang kita alami sekarang.

Mungkin juga perkara ini akan menyedarkan ahli-ahli politik dan media arus perdana yang merasakan mereka mempunyai kuasa untuk bermain dengan emosi segelintir rakyat; bahawasanya emosi itu bagaikan api, tiada manusia yang mampu mengawal api apabilanya sudah menjadi liar dan besar.

Mungkin juga perkara ini akan menjadikan titik mula untuk menyedarkan rakyat Sabah dan Sarawak untuk menuntut perubahan bersama rakyat Semenanjung Malaysia demi masa depan negara yang lebih baik.

Mungkin juga perkara ini akan menjadikan rakyat lebih matang dalam menghadapi provokasi yang lebih mengancam pada masa depan.

Mungkin juga perkara ini menyebabkan rakyat mula mempersoalkan sampai bila kita harus berlagak bodoh, dianggap bodoh dan diperlakukan sebagai orang bodoh dan dijadikan alat untuk mengekalkan kuasa beberapa orang berkepentingan?

Mungkin juga perkara ini dapat mengingatkan rakyat bahawa rakyat mempunyai kuasanya tersendiri yang amat digeruni parti-parti politik dan rakyat harus bijak menggunakan kuasanya sebaik mungkin dari sekarang untuk menjaga kepentingan negara.

Entahlah, terlalu banyak kemungkinan yang saya fikirkan namun apa jua berlaku, saya kena sangka baik pada Tuhan.

Saya harus sangka baik pada Tuhan bahawa Tuhan akan memberikan yang sebaiknya kepada Malaysia.

Saya harus sangka baik pada Tuhan bahawa mereka yang cuba menganiaya orang tidak berdosa dan memecahbelahkan rakyat akan dibalas jahat.

Saya harus sangka baik pada Tuhan bahawa rakyat Malaysia akan lebih berpadu dan bersatu selepas keganasan ini demi keamanan dan keselamatan negara.

Saya harus sangka baik pada Tuhan bahawa mereka yang tidak faham agama akan diberi pedoman dan cahaya pengetahuan untuk membuka minda mereka supaya mereka boleh kembali ke jalan yang betul.

Saya harus percaya ada tujuannya perkara ini berlaku kerana Tuhan adalah maha adil, maha mengetahui dan maha Esa.

Everything happens for a reason. Segala yang terjadi ada hikmahnya. Kita harus sangka baik pada Tuhan. Bersabarlah wahai rakyat Malaysia yang faham agama.

P.S: Kepada pembaca Muslimin dan Muslimat sekalian, sekiranya artikel ini sesuai dari segi akidah untuk digantikan perkataan Tuhan dengan Allah, dipersilakan untuk menukarnya. Di sini juga saya ingin mengesyorkan satu artikel yang saya rasa cukup bagus untuk dihayati bersama. Artikel di bawah ditulis oleh Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin.

Kalimah Allah: Tinggalkan Emosi, Tingkatkan Ilmu. http://bit.ly/5gY4ZU

--------------------------------------
Li Fook Gao @ Tohkong Mosjid.

Harakahdaily.net/-

PAS bimbang 'tangan ghaib' dalangi serang gereja

24 Muharram 1431H
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 9 Jan: PAS bimbang kejadian pengeboman beberapa gereja di Lembah Klang berpunca 'tangan-tangan ghaib' yang cuba mengapi-apikan ketegangan dan mengambil kesempatan untuk tampil sebagai pembela Islam bagi mengembalikan sokongan politik yang kini kian pudar, kata Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyifatkan perisatiwa tersebut mirip "peristiwa yang bersifat perkauman pada tahun 1987 yang bermula dari pertembungan antara Perdana Menteri yang pada waktu itu merupakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin MCA yang diketuai Datuk Lee Kim Sai".

Pertembungan tersebut, kata beliau, akhirnya mencetuskan kemarahan antara satu sama lain di kalangan orang-orang Melayu dan Cina yang merupakan dua kaum terbesar di negara ini.

"Akhirnya pemimpin pembangkang yang dikambinghitamkan dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di dalam Operasi Lalang sedangkan Najib dan Lee diberi cuti rehat ke Australia dan Umno berjaya mendapat kembali sokongan orang-orang Melayu dan MCA pula mendapat kembali sokongan orang-orang Cina," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang turut ditahan tanpa alasan di bawah operasi tersebut.

Mahfuz menegaskan, PAS mengutuk sekeras-kerasnya kejadian yang menimpa gereja-gereja yang diserang dengan bom petrol itu.

"Tindakkan tersebut bukan sahaja berlawanan dengan Islam malah ia adalah tindakan yang tidak bertamadun," tegasnya lagi.

"Islam sangat mengambil berat soal hak-hak rumah ibadat hatta dalam peperangan sekali pun Islam menjamin keselamatan rumah ibadat agama lain," katanya.

Beliau mengulangi seruan ikhlas PAS kepada rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khasnya supaya menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul berkenaan penggunaan nama Allah melalui perbincangan yang sihat untuk mewujudkan perasaan saling memahami dan menghormati pegangan agama masing-masing.

"PAS meminta pihak yang cuba untuk mendapat dan meraih sokongan politik melalui tindakan mengadudombakan rakyat dengan menggunakan sentimen agama supaya menghentikan perbuatan terkutuk mereka," kata Mahfuz.

PAS, katanya lagi, mengajak umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama "bangun menolak politik murahan yang mengadudombakan rakyat sehingga sanggup mencetuskan pergaduhan dan pertumpahan darah untuk kepentingan najis politik mereka".

Tiga gereja dilempar bom api, dipercayai ada kaitan dengan kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, Herald.

Kejadian pertama membabitkan Gereja Metro Tarbenlace di Taman Melawati disusuli Gereja Assumption Assunta, Petaling Jaya dan Gereja Chappel, Damansara.

Harakahdaily.net/-

Umno gelabah bila dibicarakan mahkamah rakyat

24 Muharram 1431H
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Umno tidak lagi dipercayai apabila mahkamah rakyat membicarakannya berikutan serangan ke atas beberapa gereja akibat provokasi dan eksploitasi isu penggunaan nama Allah oleh majalah mingguan Katolik, Herald, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyifatkan reaksi marah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berhadapan dengan persoalan yang berbangkit akibat serangan-serangan itu membuktikan betapa menggelabahnya beliau menghadapi rakyat.

Najib menuntut supaya jangan menuding jari kepada Umno berikutan serangan ke atas gereja-gereja itu sejak Jumaat lalu.

"Saya menyifatkan kenyataan tersebut menggambarkan betapa Perdana Menteri menyedari bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) sedang dibicarakan oleh mahkamah rakyat dan meletakkan parti dan pimpinan Umno di kandang orang salah.

"Perbicaraan dimahkamah rakyat menggambarkan Umno sudah tidak mendapat kepercayaan rakyat lagi," kata Mahfuz.

Beliau mengingatkan Najib pepatah Melayu yang berbunyi 'siapa yang menanam dialah yang menuai hasilnya'.

"Kepada Perdana Menteri, ingin saya nyatakan bahawa (tindakan) rakyat menuding jari kepada Umno dan pemimpinnya adalah berasaskan perangai pemimpin Umno yang perkauman," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Najib, kata Mahfuz, perlu mengimbas kembali peristiwa 22 tahun lalu yang melibatkan beliau sendiri sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan membawa kepada penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melalui Operasi Lallang.

Para pemimpin pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dimangsakan oleh politik jahat Umno di dalam operasi itu, katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata, kerajaan tidak menghalang rakyat untuk menyuarakan pendapat berhubung penggunaan kalimah Allah oleh majalah itu sebagai mengulas rancangan beberapa pertubuhan untuk mengadakan demonstrasi.

Mahfuz merujuk kepada kenyataan-kenyataan tersebut ketika mempertikaikan keikhlasan Umno dalam menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah.

"Umno ingat dia boleh menggunakan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian untuk tujuan politik murahan, tetapi jelas senjata makan tuan dan rakyat tidak lagi mempercayai Umno.

"Inilah petanda Umno dan BN telah kehabisan dan kehilangan hak untuk memerintah negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat berbilang kaum dan agama agar bersama-sama dengan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) untuk ‘memuziumkan’ Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Kepada parti-parti kompenan BN, beliau menyeru mereka "menyingkir Umno dari BN atau meninggalkan BN untuk bersama-sama PR membawa wajah baru politik Malaysia".

Harakahdaily.net/-

Pembangkang Sarawak bersatu di bawah Pakatan Rakyat

24 Muharram 1431H

MIRI, 10 Jan: Malam 9 Januari lalu menjadi detik bersejarah politik Malaysia khususnya di Sarawak apabila pemimpin PAS, PKR, DAP dan SNAP telah bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat.

Perkara itu dibuktikan dengan berlangsungnya Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat di sini yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Ini merupakan kali pertama para pemimpin keempat-empat parti di Sarawak itu bersama di dalam majlis seumpama itu.

Pengarah Strategi PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar turut sama hadir bagi menyemarakkan gelombang perubahan yang bakal berlaku di negeri ini.

Di dalam ucapannya, Tian Chua menegaskan kini merupakan masa terbaik untuk rakyat melakukan perubahan untuk menyelamatkan negara daripada masalah-masalah yang telah melanda akibat daripada kezaliman kerajaan BN.

Semua wakil daripada parti-parti yang menyertai majlis itu turut menyampaikan ucapan.

PAS Sarawak diwakili oleh Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Abang Addy Ayanni dan Yang Dipertua PAS Kawasan Miri, Haji Jofro Jaraiee.

Mereka senada untuk bersatu di bawah Pakatan Rakyat bagi menjadi juara rakyat dan menyelamatkan mereka daripada kezaliman BN.

Ini juga menjadi petanda baik bagi Pakatan Rakyat menghadapi BN di dalam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Untuk rekod, Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen dan 71 kerusi dewan Undangan Negeri (Dun).

Sekiranya Pakatan Rakyat dapat menggugat BN di dalam pilihan raya negeri, ia menjadi petanda bahawa gelombang rakyat berterusan untuk menumbangkan BN di dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Harakahdaily.Net/-