10 January 2010

Angkara siapa ini ?

24 Muharram 1431


Oleh : JJ (http://www.joharapat.blogspot.com)

Angkara siapa ini? . Spontan terpacul kalimat dari mulut saya ' si gila' mana yang buat kerja membakar sebuah gereja dengan membalingkan bom petrol mengakibatkan tingkat bawahnya hangus terbakar. Yang buat kerja ini daripada `spesis' mana?. Orang yang buat kerja macam ini sudah tidak siuman ke? Orang yang buat angkara seperti ini memang tidak bertamadun atau separuh gila ke, tiga suku gila atau 100 peratus gila? . .

Dilaporkan juga dua lagi gereja di Lembah Kelang turut jadi sasaran dalam tempoh 12 jam termasuk Gereja Assumption di Petaling Jaya..Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Sabtu Othman berkata polis menemui satu spanar dan satu bekas minyak tanah di tempat kejadian, bersama dengan dua helmet yang terbakar.

Perbuatan itu sudah melampau, bercanggah dengan ajaran Islam sendiri. Islam tidak pernah mengajar penganutnya merosakkan dan membakar tempat ibadat penganut agama lain.

Kenyataan Presiden PAS , Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tepat sekali yang menegaskan tindakan saperti itu bercanggah dengan Islam , hanyalah dilakukan oleh orang yang tidak faham terhadap agama mereka sendiri.

Ustaz Hadi meminta ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.

Dalam suasana saperti ini rakyat negara ini khususnya bangsa Melayu dan beragama Islam jangan mudah terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak tertentu. Rakyat Malaysia pula perlu menjaga suasana harmoni di negara ini, bukannya mengwujudkan suasana tegang,

Pimpinan Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim, Tuan Guru Haji Hadi awang dan Lim Guan Eng, yang mengerluarkan kenyataan bersama mengenai isu tersebut melambangkan Pakatan Rakyat tidak suka kepada keganasan.

Ketiga tiga pimpinan Pakatan Rakyat itu mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang tiga gereja di sekitar Lembah Klang , serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.

"Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini".

Kenyataan itu juga menyebut setiap rakyat dalam negara ini, tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan etnik seharusnya dapat menikmati keamanan spiritual dan fizikal mereka. Seharusnya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan tidak terus dilebarkan.

"Kami yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha untuk membawa semua pihak ke meja rundingan."

Oleh yang demikian, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat dengan tegas meminta supaya individu atau mana-mana kumpulan yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan sebegini agar dihukum dengan setimpalnya.

Hidup dalam negara yang berbilang kaum dan agama menuntut rakyat hidup aman dan harmoni. Islam sendiri tidak mengajar umatnya bermusuh dengan penganut agama lain, jauh sekali melakukan kerosakan terhadap tempat ibadat penganut agama lain.

Angkara jahat ini mesti disekat, mereka yang melakukannya wajar dihadapkan ke muka pengadilan demi menjaga keharmonian negara.. Pun begitu mana mana kumpulan dan indivudu yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan wajar hukum dengan setimpal

Pernah ditahun 1980-an dahulu berlaku kejadian merosakhan kuil di Johor tetapi berjaya ditangani oleh pihak berkuasa. Kita tidsk mahu kejadian sebegini berulang lagi. Kita tidak mahu nanti Islam pula disalahkan kerana penganutnya bertindak ganas. Barat sudah lama meletakkan penganut Islam itu sebagai pengganas. Kita tidak mahu emej itu kerana Islam itu datang untuk membawa `Rahmat' ke seluruh Alam ini.

Kita meminta pihak polis membuat penyiasatan yang rapi, heret mereka yang melakukan angkara itu ke mahkamah untuk diambil tindakan. Kita tidak mahu ada orang yang tidak bertamadun tinggal di negara ini. Negara ini hanya untuk orang yang bertamadun sahaja

PAKATAN RAKYAT PERAK KECAM SERANGAN, SERU ADAKAN RUNDINGAN

24 Muharram 1431

KENYATAAN MEDIA PIMPINAN PAKATAN RAKYAT NEGERI PERAK 9 JANUARI 2010

Berikutan insiden menyerang dengan cubaan membaling bom buatan sendiri di tiga gereja iaitu di Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara. Maka Pakatan Rakyat Negeri Perak pada hari nini mengeluarkan beberapa kenyataan mengenai perkara berkaitan.

1. Pakatan Rakyat Perak mengecam dan sangat kesal dengan kejadian tersebut dalam keadaan rakyat Malaysia dan Perak yang cintakan kepada keamanan dan ketenteraman. Segala tindakan yang bertentangan dengan hasrat itu adalah amat dikesali dan kami membantah sekeras-kerasnya tindakan itu.

2. Kami berpandangan segala tindakan kekerasan yang bertentangan undang-undang Negara dan ajaran Islam itu sendiri mestilah ditangani dengan sebaik mungkin dengan peruntukan undang-undang yang ada. Mereka yang melakukan tindakan provokatif dengan cara “ baling batu sorok tangan “ itu mestilah disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

3. Pakatan Rakyat Perak berpandangan bahawa mahkamah bukannya jalan yang terbaik untuk mengatasi permasalahan ini. Meja perundingan mesti didahulukan dengan semua pihak tidak mengira agama dan kaum perlu duduk bersama bagi menyelesaikan masalah ini. Insiatif ini mesti diambil oleh pihak kerajaan. Segala pandangan semua pihak hendak lah diambil kira.

4. Kami yakin dengan tahap keamanan Negara yang telah dicapai selama 52 tahun mampu dikekalkan . Oleh itu sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan dan mengganggu kenteraman awam mestilah ditentang oleh rakyat berbagai agama dan bangsa serta di semua peringkat umur dan tahap pendidikan.

5. Oleh itu Pakatan Rakyat Perak mengharapkan segala langkah yang dilakukan oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini diambil dengan secepat mungkin dengan mengambil kira semua aspek.

Sekretariat Pakatan Rakyat Perak/ 9 Jan 2010

1. Ust. Abu Bakar Hussain – Pesuruhjaya PAS Perak
2. YB. Dato’ Ngeh Koo Ham – Pengerusi DAP Perak
3. Hj. Mustafa Kamil Ayub – Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Perak

Pakatan kutuk serangan ke atas gereja

23 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Pakatan Rakyat mengutuk keras tindakan pihak-pihak tertentu yang menyerang tiga gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi.

Demikian kenyataan pemimpin tertinggi Pakatan yang dikeluarkan petang ini. Kenyataan itu ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Pakatan.

KENYATAAN AKHBAR PIMPINAN TERTINGGI PAKATAN RAKYAT

8 JANUARI 2010

Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang 3 gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.

Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini.

Setiap rakyat dalam negara ini, tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan etnik seharusnya dapat menikmati keamanan spiritual dan fizikal mereka. Seharusnya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan tidak terus dilebarkan.

Kami yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha untuk membawa semua pihak ke meja rundingan.

Oleh yang demikian, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat dengan tegas meminta supaya individu atau mana-mana kumpulan yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan sebegini agar dihukum dengan setimpalnya.

YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum PKR

YAB LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP

YB DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Harakahdaily.net/-

Bakar gereja, di mana polis?

23 Muharram 1431H
Tok Pepijat

Sirah Nabawiyyah adalah mutiara perjalanan mukmin. Ketika Rasulullah menghantar bala Tenteranya 3,000 orang menuju Mu'tah untuk menghadapi Tentera Rom yang menganut Kristian seramai 200,000, baginda memberi beberapa pesanan. Antaranya :

1) Jangan membunuh wanita, orang tua dan kanak-kanak.

2) Jangan tebang pokok dan merobohkan bangunan.

3) Jangan menganggu paderi-paderi di Gereja mereka.

Itulah pesanan Rasulullah di saat menuju medan perang.

Kini, kita di Malaysia berada dalam zon aman, tenteram dan harmoni. Mengapa perlu mengebom Gereja ? Adakah ini ajaran yang diajar oleh Rasulullah kepada umatnya.

Insiden membakar 3 gereja semalam benar-benar memalukan kita sebagai Umat Islam. Ini bukan ajaran Islam. Ini ajaran puak-puak perkauman. Versinya sama seperti peristiwa pijak kepala lembu. Dulu mereka menghina agama Hindu. Kini menghina ugama Kristian.

Puak-puak perkauman tiada modal berhujah. Modal mereka hanya "ISA", pijak kepala lembu dan kini bakar gereja.

Pelik kita melihat aksi polis. Jika demo BERSIH dan GMI anti ISA tempoh hari, polis dengan kekuatan SB, FRU dan ribuan anggota "celik mata" 24 jam pantau pergerakkan demo dengan membuat roadblock sekitar ibukota beberapa hari sebelum demo.

Tapi reaksi polis dalam kes ini tidak begitu proaktif. Bermula tiada tindakan tegas ketika puak perkauman pijak kepala lembu kemudian diraikan oleh Menteri Polis Hishamudin di Putrajaya lepas itu baru didakwa.

Begitu juga aksi demo semasa bantah penggunaan Kelimah ALLAH di perkarangan luar Masjid Sultan Salehudin. Ada yang melaung "bakar gereja". Mana anggota polis? Tiada tangkapan. Bahkan perhimpunan itu tiada permit polis.

Sepatutnya, pihak polis sudah membuat persiapan mengawal gereja apabila terdapat ancaman membuat demo seluruh negara. Janganlah polis hanya bertindak cepat jika yang mengancam parti pemerintah UMNO seperti demo BERSIH dan GMI.

Itulah yang rakyat nampak sekarang. Polis hanya jaga parti pemerintah.

Harakahdaily.net/-

Presiden PAS : Banyak menerang bukannya menyerang.

23 Muharram 1431

SHAH ALAM : Kerajaan dan orang Islam tidak boleh menganggu orang Islam dan rumah ibadah mereka seperti yang ditegaskan dalam hadits Nabi" barang siapa menyakiti orang bukan Islan Zimmi dia menyakiti ku dan aku akan menjadi pembela mereka". Demikian antara penegasan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang semasa menyampaikan ucapan perasmian Taklimat Isu-Isu Penerangan anjuran Lajnah penerangan PAS Pusat di Dewan MBSA di sini hari ini.

Taklimat Penerangan itu mendapat perhatian yang baik dari semua peringkat parti diseluruh negara apabila semua tempat duduk dibahagian utama dewan yang pernah berlangusng Konvensyen pakatan Rakyat itu penuh dengan peserta yang dianggarkan sekitara 1000 peserta.

Hadir sama dalam Program itu ialah Timbalan Presiden PAS, Ust. Nasharuddin Md. Isa, Naib-Naib Presiden, AJK PAS Pusat, AJK Pemuda, Ulama dan Muslimat Pusat, AJK Perhubungan Negeri, ADUN-ADUN dan Ahli Parlimen , YDP dan SU PAS kawasan dari seluruh negara.

"Hubungan dagang menyebarkan maklumat Islam kepada orang lain termasuklah di Beijing ada Mesjid yang dibina pada tahun 8 Hijrah." Jelas Presiden PAS.

"Banyak kawasan menganut Islam bukan secara paksa, malah banyak dinegara Islam banyak rumah ibadah orang bukan Islam seperti gereja, rumah api orang majusi malah masih kekal sehingga sekarang" Tegasnya.

Semasa syaidina Umar berkunjung di gereja Baitul Laham tempat Nabi Isa dilahirkan yang menjadi tempat kunjungan orang Kristian. Apabila masuk waktu umar mengatakan, tidak patut Umar sembahyang di sini, nanti pada satu masa orang akan kata oUmar pernah sembahyang disini. Mungkin mereka akan runtuhkan geraja itu dan bina mesjid.

Seterusnya Presiden PAS menyoal siapakah yang ajar bakar gereka di Malaysia?soalnya lagi "siapakah yang ajar ini?'.

Kerajaan macam manusia juga, ada masa kanak-kanak, remaja, dewa dan nyanyok, mungkin dah nyayok , sindir Tuan Guru.

Tamaddun Islam adalah asas kepada tamaddun barat, tetapi mereka cuma mengambil beberapa aspek sahaja yang tidak berlandaskan akhlak.

Islam tidak boleh dimatikan, akan ujud parti-parti dan kumpulan Islam termasuklah PAS, walaupun pemimpin PAS banyak dipenjarakan.

Dalam ucapannya beliau mendedahkan sesungguhnya fakta sebenar perjuangan menentang penjajah dan kemerdekaan bermula sejak 1511 bukan 1946. "mana ada kereta jalan dengan mula gear 5'.

Beliau juga menegaskan orang Cina dan India boleh hidup ditengah kampung Melayu dan sebagainya kerana akhlak Islam yang masih ada saki baki namun ada yang masih bakar geraja, bom kedutaan, membunuh kanak-kanak, wanita dan sebagainya. ini puak yang tak belajar fiqul jihad.

Selain itu Hj. Hadi bertakat bahawa kewajipan kita lebih banyak menerang bukannya menyerang, ini urusan lajnah penerangan, kita namakan lajnah penerangan bukannya lajnah penyerangan.

"Kami para nabi diperintah oleh Allah meletakkan orang pada tempat dan bercakap sesuai dengan orangnya".ulas Presiden PAS merujuk kepada satu Hadits Nabi.

Kewajipan penerangan sangat besar, dalam keadaan bersemangat kita mesti bijaksana, jangan bijaksini. Katanya.

Kenaikan harga barang, sampai bila nak berjanji?

23 Muharram 1431H
Sofi Wahab

Satu lagi berita lucu dan lawak dilaporkan di media hari ini. Rakyat bukannya tidak biasa dengan jaminan kerajaan, pengilang, pemborong dan peruncit bahawa harga barang tidak akan dinaikkan.

Sudah beratus kali jaminan tidak berlaku kenaikan harga diberikan sebelum ini apabila berlaku kenaikan tariff elektrik dan kenaikan barangan asas seperti gula, tepung, beras dan lain-lain.

Tetapi jaminan itu semuanya hanya untuk menyedapkan hati rakyat sedangkan hakikat sebenar barangan keperluan semakin hari semakin naik.

Kini dengan kenaikan gula kerajaan dan pihak terbabit sekali lagi berjanji dan memberi jaminan harga barangan lain tidak dinaikkan. Bolehkah kita percaya sedangkan kita telah ditipu ratusan kali.

Hanya rakyat yang pekak, buta dan tuli mata hatinya yang akan percaya kepada jaminan penipu dan pembohong ini.

Hari ini media melaporkan Industri pengeluar makanan dan minuman bergula, serta persatuan pengusaha restoran seluruh negara memberi jaminan tidak akan menaikkan harga makanan dan minuman ekoran kenaikan harga gula baru-baru ini.

Jaminan itu diberi dalam pertemuan dengan 50 wakil industri dan persatuan itu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, dengan jaminan itu, harga makanan dan minuman berkaitan gula seperti roti manis, kek dan susu pekat tidak akan dinaikkan dalam waktu terdekat kecuali disebabkan faktor lain seperti kenaikan harga bahan lain yang terlibat dalam pembuatan makanan itu atau kenaikan kos pekerja.

BOLEH PERCAYA KE?

Harakahdaily.net/-

Islam: Hak dan tanggungjawab Raja-raja Melayu

23 Muharram 1431H
http://kadirjasin.blogspot.com/

MASA sudah berlalu untuk retorik, janji dan kata dua. Orang Islam Malaysia sudah amat marah. Gereja sudah dibakar.

Kita boleh mengutuk perbuatan ganas dan berbahaya ini. Dan saya, sebagai blogger dan seorang Islam mengutuk perbuatan ini.

Tetapi kutukan dan ancaman mengambil tindakan paling tegas, termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri, tidak akan menyelesaikan masalah pokok.

Ada orang sudah menabur angin. Maka hendak tidak hendak kita semua akan menerima badainya.

Seperti saya nyatakan dalam respons saya dalam ruangan komen blog ini, kita jangan sekali-kali memperkecilkan hak, kuasa dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu dalam hal ini.

Dalam Perlembagaan negara, agama Islam adalah Agama Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu adalah ketua agama yang berhak dan bertanggungjawab ke atas agama Islam.

Jadi saya rasa, sudah sampai masanya bagi setiap orang Islam, sama ada sebagai individu, persatuan, pasukan atau kumpulan, merayu dan mendesak Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu agar campur tangan.

Alhamdulillah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah pun bertitah.

Baginda bertitah, bagi menjamin keamanan dan keharmonian di kalangan pengikut pelbagai agama, maksud dan rujukan kepada “Allah” dalam konteks umum wajib menepati deskripsi yang ditentukan oleh Islam kerana ini adalah amalan yang telah diterima selama ini oleh semua kepercayaan rakyat Malaysia.

Sebagai ketua dan pelindung agama Islam dan adat resam Melayu, Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu mempunyai hak, kuasa dan tanggungjawab memberi kata putus agar Allah kekal sebagai Allah orang Islam, Allah yang Satu.

Lihatlah apa yang telah terjadi. Bukan semua orang Islam boleh sabar dan bukan semua orang Islam tahu selok-belok agama Kristian.

Yang menggunakan “Allah” dalam penerbitan dan mencabar Menteri Dalam Negeri di mahkamah itu adalah mazhab Roman Katolik. Tetapi gereja yang diserang mungkin bukan gereja Roman Katolik. Mereka tidak boleh membezakannya.

Bagi orang Islam, khasnya di Semenanjung Malaysia, Allah adalah Tuhan orang Islam. Lagipun Allah yang disembah oleh orang Islam tidak sama dengan Tuhan yang disembah oleh Roman Katolik.

Allah orang Islam adalah satu. Adalah Esa. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tetapi Tuhan Roman Katolik mempunyai tiga bentuk penjelmaan. Tuhan sebagai Bapa, Tuhan sebagai Anak dan Tuhan sebagai Roh Suci.

Islam adalah Agama Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam.

Jadi kalau Baginda semua bertitah yang Allah hanya boleh digunakan oleh Islam, insya-Allah akan redalah kegelisahan orang Islam.

Soal derhaka kepada Raja, jika timbul atau ada pihak yang berani melakukannya, kita tangani kemudian. Buat saat ini, meredakan kegelisahan orang Islam adalah keutamaan.

Orang Islam tidak lagi boleh bergantung kepada kepemimpinan politik semata-mata.

Sudah amat jelas bahawa isu yang bermula sebagai isu pentadbiran dan mahkamah ini telah begitu teruk dipolitikkan sehingga menimbulkan kekeliruan, kegelisahan dan kemarahan umat Islam.

Hanya Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu boleh memberi dimensi baru yang positif kepada kemelut ini.

Daulat Tuanku.

HarakahDaily.Net/-

Mencari “Allah” dalam dunia selebriti

23 Muharram 1431H
Zainulfaqar Yaacob

Salam Pencerahan!

Artis-artis tempatan dari dulu sampai sekarang masih tidak dapat menerima budaya cetak rompak.

Bagi mereka, cetak rompak merugikan!

Mereka buat album untuk mencipta populariti.

Semakin banyak album dijual, maknanya makin popular seseorang artis.

Semakin popular seorang artis, bermakna artis itu boleh terus hidup dan mencipta keuntungan dalam dunia selebriti.

Tidak perlu tengok sejauh Hollywood, cukup kita lihat dunia selebriti di Indonesia.

Dunia muzikal ‘Seberang’ ternyata lebih maju berbanding dunia muzikal tanahair.

Waktu fenomena cetak rompak mengamuk di Malaysia, suatu rancangan pop terbitan TV3 bernama Melodi menyelami cabaran artis tempatan dan ‘Seberang’.

Saya masih ingat, beberapa artis tempatan seperti Hatta, Misha Omar, Zamani dan Rabbani mengeluh disebabkan fenomena cetak rompak ini.

Bila ditanya pada Kriss Dayanti, Sheila On7, Dewa, Rossa, Melly Goslow dan beberapa penyanyi dari ‘Seberang’ yang lain; mereka suka album mereka dicetak rompak.

Menurut mereka, dengan cetak rompak album, menyebabkan mereka lebih cepat popular.

Ditambah dengan pembangunan teknologi yang pesat, kalau tidak komposer sendiri ’songlap’, pasti mereka yang ada upaya kemahiran atau prasarana akan melakukan juga budaya cetak rompak tersebut.

Lebih baik membiarkan budaya cetak rompak. Dengan album cetak rompak tersebut, akhirnya menyebabkan mereka digilai oleh rakyat di Malaysia.

Walaupun tidak berpeluang mendapat penajaan tempatan untuk membuat konsert di sini pada peringkat awalnya, disebabkan album cetak rompak yang semberono mengakibatkan ada rakyat Malaysia pula menaja mereka membuat persembahan di sini akhirnya.

Akhirnya, mereka mendapat populariti yang menjadi ‘darah’ kepada artis dan mereka juga mendapat laba kekayaan yang menjadi ‘makanan’ bagi seorang artis.

Selain fenomena selebriti ‘Seberang’, sampai hari ini saya begitu hairan melihat dunia selebriti Hollywood.

Seseorang penyanyi lelaki yang ‘jongang-mangang’ atau seorang penyanyi perempuan yang perutnya berleper-leper ‘huduh’ tidak kisah pun apabila Shah Rukh Khan atau Hatrick Roshan atau Salman Khan atau Amir Khan atau Ashwarya Rai atau Kajol atau Misha Pattel memperagakan nyanyian lagu-lagu merdu mereka dalam filem-filem Bollywood.

Kita pun tahu bahawa apa yang dilenggokkan oleh Shah Rukh Khan itu bukan nyanyiannya yang sebenar.

Penyanyi itu boleh jadi ‘jongangk-mangang’ atau perut beleper-leper ‘huduh’. Tetapi, kita tetap menyanjungi lagu-lagu atau filem-filem Hindustan.

Sampai hari ini, saya begitu menggilai Shah Rukh Khan atau Kajol melalui filem Kuch Kuch Hota Hai, berbanding KL Menjerit lakonan Rosyam Nor dan Lisdawati.

Inilah dunia selebriti, iaitu kita semua boleh menerima bahawa realiti hiburan adalah sebegitu. Yang popular akan terus popular. Yang popular sudah tentu boleh mencipta keuntungan.

Sama ada disebabkan nyanyian yang membunuh atau lakonan yang memukau, album kebanyakan artis dari ‘Seberang’ dan Hollywood sudah menembusi pasaran hiburan kita, Eropah dan dunia-dunia yang lain.

Aizat yang gemuk itu (sekarang dah kurus) akan lebih bertuah jika hidup di ‘Seberang’ atau Hollywood. Dia tidak akan ditendang keluar dari AF5, walaupun mempunyai sah dianugerahi suara yang membunuh.

Sebab itu, saya tidak yakin yang artis-artis serta penggiat seni tanah air kita boleh pergi sejauh budaya ‘populariti-keuntungan’ seperti di ‘Seberang’ atau di Hollywood.

Samalah juga dalam isu menggunakan nama ‘Allah’ di kalangan orang bukan Islam kebelakangan ini.

Sepatutnya, kita selaku pendakwah perlu membiarkan semua pihak menggunakan nama Allah sebagaimana budaya artis-artis di Indonesia @ ‘Seberang’; di Hollywood.

Dengan membiarkan mereka yang bukan Islam menyebut-nyebut nama Allah, akan menggamit mereka mengenali Islam.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa mungkin akan berlaku penyalahgunaan nama ‘Allah’, tetapi impaknya tidaklah sebesar skala mereka yang mula berkenal-kenalan dengan Allah secara benar menurut Islam.

Memang lanun cetak rompak boleh mengaut keuntungan dari hasil jual CD atau DVD haram, tetapi dengan aktiviti mereka, secara automatik membantu mempopularkan artis-artis terbabit sendiiri.

Dengan membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’, mengakibatkan Allah yang biasa disebut-sebut di dalam masjid, akan mula disebut di dalam gereja-gereja Katholik pula.

Ianya juga boleh mendorong para pendakwah profesional Islam berdialog atau berwacana pula dengan para paderi atau penganut agama Kristian; sebagaimana orang Malaysia mula mengenai Kris Dayanti atau Dewa melalui CD atau DVD haram mereka yang dijual di Malaysia.

Melihat realiti dunia selebriti yang mengejar populariti-keuntungan, mengajar saya untuk tidak menghalang gereja Katholik dari menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam akhbar mingguan, The Herald.

Nama ‘Allah’ bukan untuk dipertahankan, tetapi untuk disebarkan!

Baru saya faham dan melihat hikmah serta maqosid di sebalik ayat 45 dari Surah al-Anfal.

“Sebutlah nama Allah banyak-banyak, mudah-mudahan kamu berjaya…”

KEFAHAMAN MENGASAK PERUBAHAN

Masjid Sri Petaling

HarakahDaily.Net/-

SELEWENG KONSESI BALAK: TUBUH SURUHJAYA SIASATAN

23 Muharram 1431H
Email : safarizal saleh

Kenyataan Media (7 Januari 2010)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengalu-alukan hasrat ikhlas Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menyiasat dan mendedahkan kepada rakyat isu penyelewengan pengagihan konsesi balak yang telah ditimbulkan oleh Kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) bagi tujuan memburukkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

DPPN Pk amat bersetuju jika benar Datuk Seri Zambry telus di dalam isu ini, DPPN Pk mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Bebas di tubuhkan bagi menyiasat isu penyelewengan pengagihan konsesi balak dari 50 tahun dahulu sehingga sekarang bagi kerajaan yang telah memerintah supaya rakyat boleh bernilai keadaan sebenarnya. DPPN Pk mencabar Datuk Seri Zambry untuk membuka siasatan terbuka sepanjang 50 tahun Kerajaan Negeri Perak yang telah di tadbir oleh UMNO / BN.

DPPN Pk melihat semasa perbentangan bajet 2009 oleh Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin yang menyatakan Kerajaan Negeri PR telah menjana hasil sebanyak RM40 juta berbanding hanya RM17 juta yang dikutip oleh Kerajaan Negeri BN sebelum ini. Ini kerana Kerajaan Negeri PR telah melaksanakan sistem tender kawasan balak dengan telus

Adalah tidak adil kononnya isu pengagihan konsesi balak ini hanya tertakluk kepada semasa pemerintahan Kerajaan Negeri PR sahaja dan tertubuhnya Jawatankuasa Khas ini telah menunjukkan ianya berpihak kepada UMNO / BN semata-mata. Ia bukannya untuk mencari kebenaran atas pekara tersebut yang rakyat boleh menilainya sendiri.

DPPN Pk menanti supaya cadangan ini di terima dan mencabar jika benar-benar Datuk Seri Zambry ikhlas di dalam mencari kebenaran untuk memastikan wang rakyat di uruskan dengan sebaik-baiknya. Jika Datuk Seri Zambry hanya terus menggunakan kaedah siasatan bersama Jawatankuasa Khasnya, terbukti Datuk Seri Zambry cuba menutup penyelewengan UMNO / BN di dalam isu ini.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.


RASA-RASANYA KITA NI SELAMAT TAK?

23 Muharram 1431H
Email : Zamri keciks

1 kes rogol setiap 4 jam di Malaysia

Jawapan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Fu Ah Kiow, di Dewan Rakyat semalam seolah menggambarkan keadaan jenayah dalam negara kita terkawal. Umpamanya beliau berkata indek jenayah di empat buah negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Kuala Lumpur menunjukkan penurunan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan pada tahun 2005, terdapat 9,617 kes ragut, 15,409 kes rompak dan 497 kes bunuh. Tahun 2006, 9,551 kes ragut (turun 66 kes), 21,419 kes rompak (naik 6,010) dan 604 kes bunuh(naik 107).

Lebih membimbangkan lagi adalah kes rogol. Tetapi menurut Timbalan Menteri berkenaan walaupun terdapat 1,206 kes rogol (yang dilaporkan) untuk 7 bulan pertama tahun ini, 86% telah diselesaikan. Saya tidak nampak kes yang diselesaikan itu, yang saya nampak adalah jumlah kes iaitu 1,206 dari Januari ke Julai 2007, bermakna terdapat purata 172 kes rogol sebulan ataupun 5.7 kes sehari di Malaysia ataupun hampir 1 kes rogol setiap 4 jam!

Angka ini ternyata membayangkan betapa tidak selamatnya suasana dalam negara. Dan kita sudah pasti tidak tahu berapa pula bilangan kes rogol yang tidak dilaporkan sama-sekali mungkin kerana malu, takut, diugut dan sebagainya.

Dimanakah silap kita?

Menurut Timbalan Menteri itu lagi punca berlaku kes jenayah termasuk menjadikan wanita sebagai mangsa disebabkan faktor ekonomi seperti pengangguran, penggunaan dadah yang serius,dan kehadiran pekerja asing. Lalu apakah langkah yang telah kita ambil? Apakah usaha kita untuk membentuk dan melahirkan masyarakat yang berkahlak dan bertaqwa?

Saya selitkan disini sebuah artikel dari laman web IKIM bertajuk: ISLAM HADHARI BENTUK MODAL INSAN BERKUALITI karangan salah seorang Fellow di sana:

Konsep Islam Hadhari yang dibawa kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan manusia.

Menerusi gagasan Islam Hadhari sumber manusia ini akan melalui satu skim program pendidikan menyeluruh yang turut merangkumi aspek kerohanian agar insan yang bakal dihasilkan nanti adalah insan yang berkualiti dan dinamik.

Strategi yang diambil kerajaan untuk mencapai kemajuan yang dimulakan dengan daya usaha pembangunan sumber manusia adalah selaras dengan ajaran Islam. Kemakmuran dan kesejahteraan negara banyak begantung kepada penduduknya. Jadi jika setiap orang di negara ini mempunyai kualiti seperti beriman, bertakwa dan berakhlak mulia, tentu ia akan memudahkan proses untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang kehidupan.

Jelasnya konspe pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses untuk membentuk insan yang baik dan berguna. Ia bukan saja kepada dirinya malaha masyarakat, agama dan negara.

Jika manusia mempunyai ciri keperibadian yang digariskan Islam seperti itu, pasti kejayaan akan menjadi kenyataan.

Sememangnya inilah yang dijanjikan oleh Allah dalam firman Nya bermaksud:

Sekiranya penduduk suatu negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan membuka kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah
berkatnya dari langit dan bumi (al Ahzab: 96)

Saya paparkan disini konsep yang dicetuskan oleh PM Dollah Badawi sebagai iktibar kepada kita sejauh manakah keberkesanan langkah dan usaha yang kita ambil untuk membentuk masyarakat Malaysia yangcemerlang. Lihat angka-angka jenayah di atas dan lihat konsep yang cuba diperkenalkan ini.

Rupanya semakin kita maju dan membangun, kadar jenayah seolah bangkit seiringan dengan kemajuan dan pembanguna kita, begitukah sepatutnya?

Di Dewan Rakyat juga Ketua Pembangkang menyarankan kerajaan agar membenteras dan menghapuskan budaya Mat Rempit yang sejak kebelakangan ini semakin berani dan menjadi-jadi. Itu pun satu gejala baru yang jelas kita semakin gagal tangani (walaupun ada usaha satu ketika oleh Putera Umno untuk memuluhkan mereka ini kononnya, nampaknya bilangan mereka semakin menjadi-jadi dengan perangai yang semakin liar dan membahayakan masyarakat).

Dimanakah silap kita? Benarkah PM dan kerajaan seakan gagal membendung dan mengatasi masalah ini?

[Fikrah Islamiah] Demonstrasi kerana agama atau politik?

23 Muharram 1431H
Oleh : Ahmad Baei Jaafar

Pada awal Jumaat ini kita dikejutkan dengan berita sebuah gereja dibaling dengan bom petrol hingga mengakibatkan tingkat bawahnya terbakar. Manakala dua lagi gereja di Lembah Kelang dipercayai turut jadi sasaran dalam tempoh 12 jam lalu.

Angkara siapa, masih disiasat oleh polis Malaysia yang terkenal antara yang tercekap di dunia. Kita percaya pengkhianat itu akan dapat dikesan dalam masa yang terdekat. Kalau baru-baru ini pembunuh empat sekeluarga yang paling ngeri dapat dikesan dengan pantas, apalah susahnya untuk dikesan penceroboh geraja ini.

Tetapi tidak tahulah kalau semua ini dikerjakan oleh pihak tertentu yang “membaling batu sembunyi tangan”. Lebih malang lagi kalau dilakukan oleh orang politik. Kalau begitulah kedudukannya, pencerobohnya sukar dicari. Itulah realitinya kalau melibatkan orang politik.

Manakala di sebelah petang pula beberapa ratus umat Islam menyertai demonstrasi di Masjid Negara selepas solat Jumaat. Tujuan perhimpunan itu adalah kerana membantah penggunaan perkataan Allah dalam majalah mingguan Herald di Sabah.

Perhimpunan yang sama di adakan di Masjid Jamik Kampung Baru dan Masjid Negeri Shah Alam. Penyertaan di tiga tempat tersebut melibatkan ahli beberapa pertubuhan Melayu tanpa mengira fahaman politik.

Cuma yang menimbulkan persoalan dalam fikiran saya, adakah perhimpunan itu kerana agama atau politik. Adakah peserta yang terlibat itu tahu bahawa perjumpaan itu ada kepentingan agama? Mereka tahukah adab-adab agama dalam berhadapan dengan agama lain?

Mungkin mereka sedar bahawa demonstrasi tersebut adalah untuk membantah penggunaan perkataan Allah di penerbitan Katholik. Tetapi sebagai orang Islam adakah kita sudah menggunakan perkataan Allah sepenuhnya? Sejauh mana kita telah mengagungkan perkataan Allah dalam penerbitan kita? Malah ada dalam kalangan orang Melayu yang tidak mahu menggunakan perkataan Allah atas alasan hendak menarik orang bukan Islam kepadanya.

Kalau kita tidak mahu menggunakan perkataan Allah, mengapa pula kita hendak halang orang bukan Islam menggunakannya. Sepatutnya kita mengajak orang bukan terutama orang Kristian agar menggunakan perkataan Allah dengan betul. Mereka perlu dijelaskan bahawa Allah dalam Islam perlu diiktiraf dan diyakini sama oleh Kristian, iaitu Allah tuhan yang esa.

Sebenarnya Allah ialah Tuhan sekelian Alam, Tuhan semua makhluk termasuk binatang dan tumbuh-tumbuhan. Allah Tuhan semua manusia malah Dia yang menjadikan semua makhluk ini. Hakikatnya, orang bukan Islam mengakui bahawa alam dan makhluk ini diciptakan oleh Allah, tetapi mereka tidak mengiktiraf Allah sebagai Tuhan.

Berdemonstrasi membakar perasaan, menjerit di sana sini, tidak memberi kesan kepada orang yang kita tentang itu. Kenapa tidak ada pendekatan berbincang, bermuzakarah, berdialog dengan mereka? Inilah peluang yang tidak pernah diambil oleh orang Islam.

Tetapi tidak tahulah kalau niat demonstrasi ini ada kepentingan politik. Kalau itulah yang berlaku, saya bimbang banyak pihak yang terperangkap dengan agenda sempit itu. Ramai yang menyokong atau membantah perkara tersebut bukan untuk mempertahankan Islam tetapi untuk kepentingan politik tertentu. Sudah tentu tiada nilai pahala untuk mereka.

Sebenarnya cara penentangan dalam demonstrasi itu secara tidak langsung akan merenggakan hubungan rapat orang Islam dengan orang bukan Islam. Keyakinan orang bukan Islam kepada mereka nanti akan berkurangan. Malah paling membimbangkan, mereka akan memerangi orang Islam pula.

Jadi, berhati-hati dalam menyertai demonstrasi dalam sesuatu isu yang diangkat. Islam mempunyai cara yang lebih baik dalam mengatasi isu yang ditimbulkan. Ingatlah orang bukan Islam bukan musuh Islam kecuali mereka yang benar-benar menentang Islam. Oleh sebab itu berkawanlah dengan orang bukan Islam dan dekati mereka demi kebaikan ummah.