08 January 2010

Awas, SMS menawarkan aksi video klip panas

22 Muharram 1431
http://mohd-firdaus-jaafar.blogspot.com

Kebelakangan ini pengguna-pengguna perkhidmatan telekomunikasi mudah alih terutamanya Celcom sering didatangi sistem pesanan ringkas ‘SMS’ yang menawarkan koleksi-koleksi video panas untuk dinikmati hanya dengan menaip “YA” dan membalas ke nombor peribadi pengirim.

Walau pun digambarkan keperihatinan pengirim SMS itu dengan memberikan amaran hanya untuk yang berumur 18 tahun ke atas sahaja, tetapi tindakan menawarkan perkhidmatan dan perniagaan yang sedemikian rupa dilihat langsung tidak bertanggungjawab

Malaysia kini makin parah dihambat penyakit sosial terutamanya penyakit keruntuhan moral dan akhlak di kalangan remaja yang bakal mewarisi negara ini kelak. Seluruh pelusuk tanahair samada di bandar-bandar besar atau di desa-desa kini dilimpahi dengan koleksi video klip aksi-aksi seks remaja tempatan yang cukup mudah diperolehi.

Sebelum ini, peranan mendedahkan remaja kepada keruntuhan moral ini hanya dimainkan oleh sebahagian besar peniaga-peniaga telefon mudah alih yang menawarkan khidmat muat turun klip-klip video seks tempatan sebagai tarikan pelanggan.

Kini ianya peranan itu dikongsi bersama mereka yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan perkembangan teknologi yang semakin canggih semata-mata kerakusan mengaut keuntungan apabila tiada usaha-usaha untuk menyekat operasi mereka.

Penghantar mesej ini semakin berani apabila beroperasi menggunakan nombor peribadi yang didaftarkan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini. Disenaraikan di sini nombor-nombor telefon yang digunakan untuk mengirim SMS seperti itu dalam tempoh seminggu lalu, iaitu : 013-4580391 , 013-4310105 , 013-4309756 ,

Kesemua nombor-nombor itu mengirimkan mesej penawaran koleksi video panas untuk dimiliki dengan amat mudah iaitu dengan membalas “YA” ke nombor yang sama. Memang mudah, sesiapa saja boleh mendapatkan koleksi itu walau pun kanak-kanak berumur 10 tahun yang kini kebanyakannya telah dibekalkan dengan telefon mudah alih oleh keluarga mereka.

Pembekal perkhidmatan sistem telekomunikasi ini seharusnya lebih peka dengan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada keruntuhan moral di kalangan remaja di negara ini. Mereka perlu bertindak segera membendung gejala tidak sihat ini untuk membersihkan imej buruk angkara individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini.

Syarikat-syarikat yang menyediakan sistem telekomunikasi di negara ini dinasihatkan jangan terlalu mementingkan keuntungan hasil dari kegiatan tidak beretika yang menggunakan perkhidmatan mereka untuk menyumbang ke arah penularan penyakit sosial di kalangan pengguna perkhidmatan mereka.

Dua Tok Guru Hadir Ke Taklimat Penerangan 9 Jan

22 Muharram 1431

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengesahkan akan hadir ke Taklimat Penerangan Isu-Isu Semasa pada 9 Januari 2010 anjuran Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat.

Program yang berlangsung di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ini akan dirasmikan oleh Presiden.

Program akan bermula dari jam 8 pagi dan akan ditutup oleh Mursyidul Am jam 5.30 petang.

Program ini diadakan khusus untuk membentangkan isu-isu nasional serta isu-isu yang berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Dalam program ini juga segala pengkhianatan Umno dan Barisan Nasional terhadap rakyat akan dibongkar dan didedahkan kepada seluruh jentera penerangan yang hadir.

Taklimat ini dijangka akan melibatkan kehadiran Ahli Majlis Syura Ulama, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama’ Pas Pusat, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Pusat, Dewan Harian Badan Perhubungan Negeri-Negeri, Setiausaha Lajnah Penerangan Badan Perhubungan Negeri-Negeri/WP, Ketua Penerangan Dewan Ulama’/Pemuda/Muslimat Negeri-Negeri, Setiausaha Penerangan Dewan Ulama’/Pemuda/Muslimat Negeri, Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan Dan Dakwah Pas Pusat, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara, Adun-Adun dan Ketua serta setiausaha Penerangan Kawasan.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai program ini bolehlah menghubungi Pegawai Tadbir Penerangan, Shahir di talian 019-2153225.

Harakahdaily/-

Lapor SPRM: Usaha terancang bermotif politik– Nik Amar

22 Muharram 1431
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 7 Jan: Kerajaan negeri menyedari ada usaha terancang bermotif politik dilakukan pihak tertentu bagi menggugatkan kerajaan negeri.

Antaranya mengadakan demontrasi, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis bertujuan mencemarkan imej Kelantan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, jika dinilai dari sudut politik segala tindak tanduk mereka bertujuan politik semata-mata.

“Jika seorang menerima dokumen mengenai dakwaan penyelewengan yang diposkan ke rumahnya, ini sudah memperlihatkan ada agenda politik di situ,” katanya kepada pemberita selepas program masakan asyura di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang aktivis kebudayaan membuat laporan kepada SPRM mengenai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beberapa individu lain.

Mohd Amar berkata, dakwaan seperti itu biasa didengari, namun apakah dia ada asas dan bukti yang kukuh sehingga sanggup membuat laporan kepada SPRM.

“Aduan atau dakwaan seperti ini seolah-olah seperti ada suatu perancangan politik untuk mengganggu gugat pentadbiran kerajaan negeri,”ujarnya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tetap akan memberi kerjasama kepada semua pihak sama ada SPRM atau polis bagi menyiasat setiap dakwaan yang diterima.

“Sebelum ini pun banyak dakwaan dilaporkan kepada polis atau SPRM membabitkan pemimpin kerajaan negeri, tetapi belum ada yang boleh disabitkan dengan kesalahan.

“Banyak tuduhan dibuat, malangnya tidak ada yang terbukti benar, tetapi sekarang ini kita tengok bilangan tuduhan itu meningkat dengan cepat. Ini memperlihatkan seperti ada satu perancangan,” ujarnya.

Beliau tidak menolak agenda seumpama itu akan menjadi semakin galak apabila musim pilihan raya semakin hampir.

Turut berpandangan sama, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof yang yakin ada agenda terancang mahu mencalar emej kerajaan negeri Kelantan.

Harakahdaily/-

Seleweng Konsesi Balak: Tubuh Suruhanjaya Siasatan

22 Muharram 1431
Kenyataan Dewan Pemuda PAS Perak

IPOH, 7 Jan: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengalu-alukan hasrat ikhlas Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menyiasat dan mendedahkan kepada rakyat isu penyelewengan pengagihan konsesi balak yang telah ditimbulkan oleh Kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) bagi tujuan memburukkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

DPPN Pk amat bersetuju jika benar Datuk Seri Zambry telus di dalam isu ini, DPPN Pk mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Bebas ditubuhkan bagi menyiasat isu penyelewengan pengagihan konsesi balak dari 50 tahun dahulu sehingga sekarang bagi kerajaan yang telah memerintah supaya rakyat boleh bernilai keadaan sebenarnya. DPPN Pk mencabar Datuk Seri Zambry untuk membuka siasatan terbuka sepanjang 50 tahun Kerajaan Negeri Perak yang telah di tadbir oleh UMNO/ BN.

DPPN Pk melihat semasa perbentangan bajet 2009 oleh Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin yang menyatakan Kerajaan Negeri PR telah menjana hasil sebanyak RM40 juta berbanding hanya RM17 juta yang dikutip oleh Kerajaan Negeri BN sebelum ini. Ini kerana Kerajaan Negeri PR telah melaksanakan sistem tender kawasan balak dengan telus

Adalah tidak adil kononnya isu pengagihan konsesi balak ini hanya tertakluk kepada semasa pemerintahan Kerajaan Negeri PR sahaja dan tertubuhnya Jawatankuasa Khas ini telah menunjukkan ianya berpihak kepada UMNO / BN semata-mata. Ia bukannya untuk mencari kebenaran atas pekara tersebut yang rakyat boleh menilainya sendiri.

DPPN Pk menanti supaya cadangan ini di terima dan mencabar jika benar-benar Datuk Seri Zambry ikhlas di dalam mencari kebenaran untuk memastikan wang rakyat di uruskan dengan sebaik-baiknya. Jika Datuk Seri Zambry hanya terus menggunakan kaedah siasatan bersama Jawatankuasa Khasnya, terbukti Datuk Seri Zambry cuba menutup penyelewengan UMNO / BN di dalam isu ini.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

PAS seru ahli sertai bantah Mesir hari ini , bukan demo lain

Nazri Abdullah & Salmah Mat Hussin

KUALA LUMPUR, 7 Jan: PAS mengingatkan seluruh ahlinya agar tidak terlibat dalam mana-mana demonstrasi berhubung penggunaan kalimah Allah yang dianjurkan pihak tertentu di masjid-masjid atau di mana-mana tempat selepas solat Jumaat .

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, penganjuran demonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah esok, bukan pendirian PAS namun yakin ianya adalah perancangan pihak tertentu khususnya Umno.

"Kita menyeru seluruh ahli PAS agar tidak terheret sama dalam demonstrasi yang didalangi Umno itu," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

PAS, jelasnya telah membuat pendirian jelas berhubung perkara itu melalui kenyataan Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas menyuarat khas lajnah politik parti itu, Isnin lalu.

Selain itu, katanya PAS telah membuat keputusan untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan zalim kerajaan Mesir yang telah menghalang kemasukan pasukan konvoi Viva Palestina ke Gaza.

Sehubungan itu, semua ahli PAS diminta turun ke perhimpunan aman tersebut di hadapan bangunan Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat dan bukannya menyertai demonstrasi berhubung penggunaan kalimah Allah.

"PAS telah putuskan untuk membuat bantahan rasmi terhadap kerajaan Mesir , jadi kita seru seluruh ahli kita untuk bersama dalam himpunan di Kedutaan Mesir , bukan di tempat-tempat lain," katanya.

Dalam perkembangan sama, masyarakat bukan Islam turut diajak menyertai perhimpunan menyerah memorandum bantahan kepada kedutaan Mesir di Kuala Lumpur petang ini.

Program tersebut dianjurkan Dewan Pemuda PAS Pusat bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Ketuanya, Nasaruddin Hassan berkata, tindakan kerajaan Mesir tersebut membuktikan negara berkenaan tidak berperikemanusiaan dan kurang berminat membebaskan rakyat Palestin daripada terus dizalimi Israel.

“Dewan Pemuda akan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bebaskan Palestin tidak lama lagi bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka,” katanya di sini.

Oleh itu beliau berharap semua anggota masyarakat yang prihatin penderitaan umat Islam di Palestin turut sama membantah tindakan kerajaan Mesir.

Harakahdaily/-

WAN NIK WAN YUSSOF: Agenda jatuhkan imej kerajaan Kelantan



Keratan akhbar yang saya lampirkan adalah contoh jelas, betapa sekarang ini telah berjalannya agenda halus dan tersirat yang ditaja oleh pihak tertentu.

Ia bertujuan untuk menjatuhkan imej dan memudarkan keyakinan rakyat Kelantan dan warganegara amnya terhadap kredibeliti Tok Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar Kelantan.

Sudahlah sebelum ini, berlakunya tindakan dari dalam untuk mencelarukan Kerajaan Negeri melalui pelbagai report, saman dan penulisan tidak bertanggungjawab dalam akhbar dan blog.

Kesemua itu ada hubungkait dengan perancangan agenda setting pihak tertentu untuk memberi keredit mahupun political mileage kepada UMNO Kelantan untuk bengah memanipulasikan isu dan perkembangan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Tok Guru.





Selain laporan kepada SPRM, terbaru pula sebuah akhbar mainstream (Utusan Malaysia, 6 Januari 2010) turut menyiarkan rencana wartawannya sendiri (di sebelah) yang jelas cuba memanipulasikan perkembangan kesihatan Tuanku Al-Sultan Kelantan ke kancah pentadbiran Kerajaan Negeri.

Begitu pula, pada hari sama Sinar Harian (6 Januari 2010) turut melaporkan tindakan seorang peniaga yang membuat report polis berhubung dengan isu yang diputar oleh Utusan Malaysia itu (di sebelah).

Belum lagi mengambil kira tindakan manipulatif penyampaian berita menerusi kaca televisyen-TV1, TV2 dan TV3 serta TVBernama.

Rumusan mudah adalah peranan media berkenaan begitu bersungguh-sungguh untuk mengocakkan perkembangan isu-isu pentadbiran Kelantan sampai berani membuat kenyataan (menulis) pertelingkahan membabitkan keluarga diraja dan pentadbiran negeri tersepit.

Maka, sekaligus pihak tertentu itu sedang mencipta suatu persepsi negatif rakyat terhadap istana Kelantan dan Menteri Besar dalam perkembangan mutakhir.

Jika diteliti dari perspektif teori persepsi, tindakan manipulatif dan menggunakan asakan seperti laporan kepada pihak berwajib adalah sedikit sebanyak tindakan itu adalah suatu usaha ke arah memenuhi maksud persepsi itu sendiri.

Sebagaimana disebut Horovitz (2000), persepsi itu terbentuk melalui tiga faktor: psikologi, fizikal dan imej.

Maka, dalam konteks Negeri Kelantan faktor psikologi adalah sikap rakyat Kelantan antaranya suka mengikuti perkembangan politicking, faktor fizikal pula adalah tindakan membuat laporan kepada pihak polis/SPRM dan imej pula adalah berkaitan dengan penerimaan dan keyakinan kepada imej kepimpinan seperti Tok Guru sebelum ini diyakini baik, tidak rasuah dan mengutamakan keberkatan.

Sehubungan itu, cara media membuat putaran isu meskipun tanpa sokongan fakta kukuh, ia sedikit sebanyak boleh mempengaruhi psikologi rakyat yang suka membuat keputusan tanpa usul periksa.

Budaya skeptikal (mengusul periksa~tabayyanu) bukanlah amalan orang kebanyakan golongan rakyat.

Sebaliknya ramai kalangan rakyat adalah mudah tersedu dengan sesuatu berita yang sensasi dan mudah pula membuat rumusan sehingga menegatifkan sesuatu yang belum pasti.

Oleh itu, pihak media termasuk segelintir wartawan akan menggunakan peluang atas kelemahan budaya skeptikal itu untuk memutar isu (spin up) dan memperagakan (commercialize) berita yang dangkal tanpa fakta.

Justeru itu, tindakan Utusan Malaysia tersebut dan individu yang menamakan diri sebagai 'aktivis kebudayaan' dan 'peniaga' adalah antara mereka yang pragmatis mencetuskan tindakan fizikal bagi mengubah persepsi rakyat Kelantan terhadap kredibeliti Tok Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar Kelantan yang cukup disegani sebelum ini.

Oleh yang demikian, bagi pihak rakyat Kelantan dan warga pentadbiran Kerajaan Negeri yang cintakan keharmonian dan kesejahteraan hidup di bawah naungan payung Istana Kelantan dan berkat Kepimpinan Ulamak Tok Guru merakam kekesalan di atas tindakan manipulatif pihak wartawan dan media serta individu tersebut.

Semoga Tuhan Yang Esa, membuka pintu ta'akulan yang jilah terhadap mereka yang bertindak songsang dan negatif serta berlawanan dengan psikologi/persepsi baik majoriti rakyat Kelantan terhadap Istana Kelantan dan Tok Guru Menteri Besar.

Wassalam.

Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan


Iktibar daripada kemalangan Nizar

22 Muharram 1431
Mohd Ikhmal bin Mohd Iskandar

Kemalangan yang menimpa YB Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan suatu takdir Illahi.

Sama takdirnya, dengan jatuhnya Kerajaan Perak yang Dato’ Seri pimpin setahun yang lalu.

Dan malapetaka yang berlaku kepada beliau adalah di hadapan Hotel Casuarina (berdekatan bangunan UMNO PERAK).

Adakah ini suatu kebetulan?

Dengan penghakiman kes pencabulan demokrasi Negeri Perak masih belum selesai, seharusnya peribadi Dato’ Seri dijaga rapi terutamanya dalam aspek keselamatan diri dan keluarga beliau.

Tanpa mengaitkan kemalangan ini dengan unsur politik, semua kepimpinan PAS termasuk pihak Pas negeri, pusat khidmat masyarakat Dun Pasir Panjang dan Parlimen Bukit Gantang perlu memastikan beliau diiringi oleh seorang pengawal peribadi atau pemandu bagi segala urusan beliau.

Ini perlu bagi memastikan keselamatan beliau terpelihara.

Sebagai suatu pengiktibaran, Almarhum Dato’ Prof Zulkifli Mohammad dan isteri juga mati disebabkan kecelakaan jalan raya.

Sehinggakan kecelakaan beliau itu dikaitkan dengan motif politik yang memaksa kerajaan ketika itu dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman terpaksa membuat ucapan dalam Dewan Parlimen menerangkan kematian Zulkifli Muhammad bukannya kerana angkara perbuatan khianat.

Ingatan ini bukan sama sekali menafikan takdir Illahi, kerana kita tahu jika takdir Illahi sudah sampai “Ia tidak akan dipercepat dan diperlambat walaupun sesaat” Walaubagaimanapun sebagai manusia yang diberi akal dan fikiran yang waras, kita boleh berusaha menghindarinya.

Sekian, terima kasih

Mohd Ikhmal bin Mohd Iskandar
Mantan Setiausaha PAS Jalan Yadi Sungai Udang

Enjin F-5E: AG jangan buat lawak antarabangsa

22 Muharram 1431
http://idrisahmad.wordpress.com

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meminta agar Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail tidak membuat lawak antarabangsa dalam kes kehilangan dua unit enjin Jet Pemintas F-5E milik Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang bernilai RM 100 juta.

PAS melihat, pendakwaan dua orang tertuduh melibatkan anggota TUDM, Sarjan N. Tharmendran dan Pengarah Syarikat K. Rajandran Prasad sebagai melepaskan batuk ditangga dan tidak serius.

PAS yakin bahawa ada lagi pihak-pihak lain yang terlibat tetapi tidak didakwa. Kes ini melibatkan kehilangan dua unit enjin Jet yang besar bukannya kehilangan dua biji telur ayam atau gula-gula Hacks.

Adalah mustahil kes yang boleh diklasifikasikan sebagai kes jenayah antarabangsa hanya melibatkan dua orang sahaja.

Mustahil bagi N. Tharmendran membawa keluar dua enjin ini tanpa dibantu oleh sesiapa. Adalah tidak logik bahawa semua dokumen pelupusan enjin berkenaan hanya diketahui oleh beliau sahaja.

TUDM mempunyai ramai anggota yang menjaga stor logistik dan tempat enjin berkenaan disimpan. Maka, adalah mustahil jika enjin ini boleh dikeluarkan dari kawasan TUDM yang dikawal rapi secara berseorangan tanpa kerjasama pihak yang lebih tinggi pangkatnya dari Sarjan ini.

PAS bertegas untuk mendesak Kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kes ini sepenuhnya dan tidak sekadar melepaskan batuk ditangga dengan mendakwa dua orang yang dianggap rakyat Malaysia sebagai kambing hitam. Mereka yang bertanggungjawab harus didakwa walaupun apa jua pangkatnya, termasuk Menteri (jika ada).

SERUMPUN DOA, SEMOGA CEPAT SEMBUH

Assalamualaikum wrt

PAS Negeri Perak ingin merakamkan doa kami kepada Dato` Seri Ir.Haji Mohammad Nizar serta keluarga diatas kemalangan yang menimpa beliau awal pagi tadi, Sesungguhnya kami yakin, seluruh rakyat Perak khususnya amat mengharapkan agar Dato` Seri Ir.Haji Mohammad Nizar berada dalam keadaan baik dan selamat. PAS Negeri Perak juga berharap
keluarga Dato` Seri Ir.Haji Mohammad Nizar dan seluruh rakyat dapat bersabar dalam ujian dan ketentuan dari Allah S.W.T ini .Bagi pihak seluruh kepimpinan dan warga PAS Negeri Perak, kami mendoakan semoga Dato` Seri Ir.Haji Mohammad Nizar dilimpahkan kesihatan dan kekuatan yang jitu dari Allah S.W.T.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak )

Ceramah

21 Muharram 1431H
Email : Pemuda lumut

Pihak Dewan Pemuda Kawasan Lumut sedang dalam usah mencari dana pembelian sebuah bangunan untuk PASTI Kawasan Lumut.
Justeru ceramah perdana ini penting dalam usaha menjayakan hasrat murni tersebut.

Sekian.
Syukran Jazilan.

Lujnah ICT DPPK Lumut.
20 Muharram 1431.


Kenyataan media misi bantuan kemanusiaan UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS ke Padang, Indonesia

21 Muharram 1431H
Email : Presiden RM

Kenyataan Media (6 Januari 2010)

Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS (RM UTP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Unit Sokongan Kolej Kediaman (RCSU) akan melancarkan satu misi bantuan kemanusiaan ke Padang, Indonesia pada 16 Januari 2010 hingga 19 Januari 2010.

Misi kemanusiaan yang julung-julung kalinya diadakan di sebuah lokasi bencana yang besar ini bertujuan untuk menyambung usaha menyampaikan bantuan berbentuk kewangan, barangan keperluan harian, pakaian, pembinaan sarana masyarakat dan pembangunan moral kepada mangsa bencana gempa bumi yang berlaku di Padang, Indonesia pada 31 September dan 1 Oktober 2009 yang lepas.

Sepanjang 4 hari perjalanan misi sulung, anggota delegasi UTP akan bergabung dengan agensi serta badan-badan sukarela di Indonesia dalam operasi membantu mangsa bencana yang masih belum terjangkau seluruhnya sebelum ini. Anggota misi ini juga dijadualkan untuk menyertai kerja-kerja pembinaan semula infrastruktur yang telah musnah teruk terutamanya rumah kediaman. Pada fasa ini, anggota misi juga akan ikut mengenalpasti bahawa di antara bantuan penting sebagai susulan kepada bantuan sebelum ini adalah pembinaan rumah-rumah asas kepada para penduduk yang daif untuk membolehkan mereka meneruskan semula kehidupan seharian mereka.

Program ini juga dilihat menjadi satu wadah yang membuka peluang kepada mahasiswa untuk merasai pengalaman secara langsung di lapangan sebenar sebuah bencana besar seperti di Padang. Pengalaman serta maklumat yang diperolehi tersebut dapat dikongsi bersama dengan rakan-rakan di kampus untuk menarik minat lebih ramai mahasiswa dalam usaha bantuan kemanusiaan yang lain di masa akan datang. Ini juga dapat memupuk dan menanamkan cakna dan prihatin di kalangan mahasiswa terhadap isu-isu kritikal kemanusiaan.

Misi ini juga bercadang untuk mengenalpasti lokasi strategik membina kemudahan pendidikan seperti pusat sumber maklumat yang dilengkapi dengan pelbagai bahan rujukan serta kemudahan teknologi terkini seperti komputer dan internet yang memberi peluang kepada kita melibatkan diri dalam pembangunan jangka panjang demi memastikan bantuan daripada Malaysia akan berterusan di masa akan datang.

Kami juga ingin menyampaikan penghargaan serta jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyalurkan bantuan dalam menjayakan misi kali ini. Semoga dengan sumbangan dan bantuan daripada orang ramai dapat meringankan beban saudara kita di Padang, Indonesia dan menjadi sadaqah jariah serta amal soleh para dermawan semuanya.

Muhammad Akram Bin Ismail
Pengarah Misi Bantuan Kemanusiaan UTP ke Padang, Indonesia
Merangkap Presiden,
Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS.
http://misiutp.blogspot.com

Anggota Baiduri tiada 'locus standi' pinda syarat exco

21 Muharram 1431H

IPOH: Kerajaan negeri hari ini mendakwa isteri-isteri wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang menganggotai Badan Amal Isteri-isteri Anggota Dewan Undangan Negeri Perak (Baiduri) tidak mempunyai 'locus standi' untuk bertindak meminda syarat keanggotaan pada 18 Februari lepas.

Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, anggota Baiduri telah meminda syarat keangggotaan yang sebelum itu dibuka kepada isteri ADUN dan anggota Parlimen Perak kecuali daripada parti pembangkang.

"Kemudian mereka meminda keahlian kepada isteri ADUN dan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) pada 18 Februari lepas sedangkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 13 Februari. Jadi rakyat tertanyatanya mengenai status serta jumlah wang.

"Ini perlu dijelaskan supaya rakyat tahu dari mana sumber kewangan itu, sama ada dari Lembaga Air Perak (LAP) atau agensi kerajaan lain," katanya ketika menjawab soalan Khalil Idham Lim Abdullah (PAS-Titi Serong) semasa sesi soal jawab di persidangan DUN di sini.

Katanya, ADUN BN bukan lagi kerajaan negeri pada masa pindaan itu dibuat dan isteri mereka juga tidak mempunyai hak untuk mengadakan mesyuarat persatuan serta membuat pindaan kepada manamana peraturan persatuan.

"Jika pindaan yang dibuat ini tidak sah, wang yang dimiliki oleh persatuan ini sepatutnya diuruskan oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau turut menunjukkan replika cek sumbangan kerajaan negeri sebelum ini bernilai RM20,000 kepada Baiduri semasa sesi soal jawab itu berlangsung.

Bagaimanapun ketua pembangkang Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) yang bangun untuk soalan tambahan sempat menjelaskan bahawa Baiduri masih mempunyai wang sebanyak RM1.3 juta termasuk deposit tetap berjumlah RM1 juta di dalam akaunnya di Tabung Haji.

Katanya, peruntukan yang diterima Baiduri daripada kerajaan negeri digunakan untuk tujuan kebajikan dan sumbangan derma kepada pihak yang memerlukan dan tidak digunakan sewenang-wenangnya seperti tujuan lawatan.

"Yang disebut itu cuma RM20,000 mungkin ada lebih lagi yang disumbangkan. Baiduri hanya mengutip derma pertama dan terakhirnya pada tahun 2000. Baiduri ada RM300,000 lebih dan masih ada deposit tetap sebanyak RM1 juta di Tabung Haji hingga hari ini," katanya.

Beliau berkata, keanggotaan Baiduri hanya diberikan kepada isteri ADUN dan Ahli Parlimen BN kerana sewaktu penubuhan badan itu, kerajaan Pakatan Rakyat belum dibentuk.

"Walaupun kerajaan negeri sekarang adalah kerajaan Pakatan Rakyat, kerajaan pusat masih kerajaan BN. Kalau kerajaan negeri sekarang mahukan wang itu (RM1.3 juta) ambillah," katanya. BERNAMA

Pemuda Pas Perak lapor BAIDURI kepada BPR

21 Muharram 1431H

IPOH: Dewan Pemuda Pas Negeri Perak hari ini membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) meminta dilakukan siasatan terhadap dakwaan berlaku salah guna kuasa oleh Badan Amal Isteri-Isteri Anggota Dewan Undangan Negeri Perak (BAIDURI).

Anggota Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri, Salman Saleh berkata aduan berdasarkan pendedahan Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Datuk Ngeh Koo Ham pada persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.

Beliau berkata wujud keraguan berkenaan status dana kewangan yang diperolehi oleh BAIDURI sebelum pindaan peraturan dalam perlembagaannya.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat aduan di pejabat BPR di sini, Salman berkata jawatankuasa lama BAIDURI yang diketuai oleh Datin Seri Kamariah Mokri dan isteri-isteri ADUN Barisan Nasional telah meminda syarat keanggotaan dari "isteri-isteri wakil rakyat kerajaan Negeri Perak" kepada "isteri-isteri ADUN dan Ahli Parlimen Perak dari BN" pada 18 Februari 2008 sedangkan Parlimen dan DUN dibubarkan pada 13 Februari 2008.

"Ini kerana pada 18 Februari 2008 Datin Seri Kamariah Mokri dan isteriisteri ADUN bukan lagi berstatus isteri-isteri kepada ADUN kerana Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 kerajaan negeri Perak telah bertukar kepada Kerajaan Pakatan Rakyat", katanya.

Salman berkata ini jelas menunjukan bahawa DUN Perak bukan lagi kerajaan negeri pada masa pindaan itu dibuat dan isteri mereka juga tidak mempunyai hak untuk mengadakan mesyuarat persatuan serta membuat pindaan kepada mana-mana peraturan di dalam persatuan.
Penjelasan perlu dibuat mengenai status kewangan Baiduri yang berjumlah RM300,000 serta deposit tetap sebanyak RM1 juta di Tabung Haji, katanya.

"Jika pindaan yang dibuat ini tidak sah, sepatutnya wang yang dimilik oleh persatuan ini diuruskan oleh kerajaan negeri sekarang," katanya.

BERNAMA

Berita Ds. Nizar Kemalangan : Dari cedera ringan, ada kata parah ada kata mati ?

21 Muharram 1431H

Penyokong bertali arus ziarah sejak pagi tadi.

Berita mengenai kemalangan yang dialami oleh MB Pakatan Rakyat Perak, Ds. Nizar Jamaluddin benar-benar menjadi berita utama yang mengejutkan banyak pihak pada hari ini.

Kemalangan yang hanya mengakibatkan Ds. Nizar-mengalami kecederaan ringan dan sehingga ke saat berita ini ditulis beliau dalam keadaan stabil dan memuaskan.

Kerana itu saya membantah sms yang tidak bertanggungjawab yang mengatakan beliau cedera parah dan ada yang menghantar sms yang mengatakan dia meninggal dunia.

Disamping itu sejak pagi tadi para penyokong dan teman bertali arus datang menziarahi beliau yang ditempatkan di Hospital Tuanku Bainun Ipoh itu.

Nampaknya beliau yang sepatutnya berehat sejak kemalangan pagi tadi terpaksa melayan tamu yang tidak putus-putus hadir sejak pagi tadi.

Oleh itu saya menasihatkan supaya kita mendoakan Ds. Nizar cepat sembuh dan kembali bertugas seperti biasa. Biarlah dia diberi rehat dan bersama keluarga terdekat. Susah payah para sahabat dan penyokong saya amat hargai namun kita perlu juga faham bahawa beliau dimasukkan ke hospital untuk berehat dan cepat sembuh.

Saya mewakili Pakatan Rakyat dan PAS Perak mengucapkan terima kasih dengan kunjungan yang dilakukan dan menyeru supaya semua penyokong mendoakan Ds. Nizar cepat sembuh, diberikan kesabaran dan kembali bertugas seperti biasa.

Doktrin Pengasingan Kuasa Tercemar

21 Muharram 1431H

Kenyataan Media YB V.Sivakumar di Pengkalan Hulu

Parti Keadilan Rakyat telah mengadakan satu ceramah umum di Pusat Khidmatnya di Pengakalan Hulu pada 2 Januari 2010. Antara penceramah-penceramahnya ialah V.Sivakumar, ADUN Tronoh. Chang Lih Kang, ADUN Teja dan Yunus, ADUN Kuala Kurau. Dalam ucapanya, V.Sivakumar menjelaskan pengertian doktrin pengasingan kuasa dan bagaimana ianya dimanupulasikan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan politik.

Perkara pokok mengenai konsep pengasingan kuasa ini ialah untuk menentukan supaya orang atau badan yang sama tidak dipertanggungjawabkan untuk menggubal undang-undang, melaksanakan polisi kerajaan dan menguatkuasakan undang-undang. Ini adalah bertujuan supaya pemusatan kuasa tidak berlaku kepada mana-mana pihak yang memerintah sesebuah negara. Teori pengasingan kuasa ini menjamin kuasa pemerintahan diagihkan kepada 3 badan kerajaan untuk mengimbangkan kuasa masing-masing. Ini bermakna jika konsep ini diikuti sepenuhnya maka ketiga-tiga cabang kerajaan itu tidak boleh campurtangan dalam hal-ehwal, fungsi dan urusan mana-mana cabang kerajaan yang lain. Masing-masing hanya menjaga rukun rukun rumahtanga sendiri dan tidak mencampuri hal rumahtangga pihak yang lain.

Ketiga-tiga cabang pemerintahan ini mestilah berdiri sama tinggi duduk sama rendah. Mana-mana pihak tidak boleh menguasai kehendak pihak yang lain. Campurtangan mana-mana pihak akan mewujudkan pengaruh tak berpatutan dan seterusnya akan menimbulkan ketidakadilan akibat pemusatan kuasa kepada mana-mana satu cabang kerajaan.

Konsep Pengasingan kuasa ini adalah penting untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman”, di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa (atau fungsi) dapat mewujud dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan imbang antara kuasa tersebut.

Tetapi malangnya di Negeri Perak pihak eksekutif terang-terang telan campurtangan dalam hal-hal badan perundangan. Campurtangan ini telah mencemar kedaulatan doktrin pengasainagan kuasa

Bukankah seorang Speaker berhak memanggil dewan bersidang? Kalau hak untuk memanggil dewan bersidang juga dirampas daripada seorang speaker, apakah nilai-nilai demokrasi yang akan kita warisi pada masa akan datang. Kita tidak mahu anak-anak kita hidup dalam kelambu ‘demokrasi setengah masak’.Saya telah memanggil untuk mengadakan persidangan tergempar pada 3 Mac 2009. Tetapi saya dihalang oleh pihak-pihak tertentu dengan pelbagai alasan. Mengikut Perintah-perintah Tetap 8, seseorang speaker boleh memanggil persidangan tergempar dalam keadaan-keadaan yang amat memerlukan. Dalam keadaan biasa, notis 14 hari diperlukan untuk memanggil dewan untuk bersidang. Tetapi dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan. Begitu juga, Perintah-perintah Tetap 11 memberi kuasa penuh kepada speaker untuk menetapkan tarikh dan masa mesyuarat yang akan diadakan. Apakah lagi peruntukan undang-undang lain yang diperlukan bagi membolehkan seseorang speaker untuk memanggil Dewan bersidang? Undang-undang ini jelas menunjukkan speaker mempunyai budibicara dan hak untuk memanggil dewan bermesyuarat.

Tetapi, sekali lagi kuasa speaker dicabar dan dicabuli oleh pihak eksekutif. Pihak eksekutif telah campurtangan dalam kuasa legislatif dengan cuba menghalang Speaker daripada mengadakan sidang dewan tergempar ini. Pelbagai alasan dan tafsiran undang-undang yang tidak munasabah telah dibuat untuk menghalang Setiausaha Dewan menghantar notis kepada Ahli-ahli Dewan Negeri bekenaan dengan sidang dewan tersebut. Apakah kuasa yang ada pada pihak eksekutif dalam menghalang persidangan dewan tergempar? Siapakan memberikan kuasa sedemikian untuk bertindak diluar bidangkuasanya? Tindakan pihak eksekutif boleh disahihkan sebagai satu lagi penghinaan terhadap dewan undangan negeri Perak yang mulia. Eksekutif tidak ada kuasa untuk menasihat atau memaksa Speaker untuk tidak mengadakan persidangan Dewan Negeri. Pihak eksekutif cuba mentafsir undang-undang bagaikan ‘ada udang disebalik batu’. Saya ingin mengingatkan supaya jangan meniadakan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi tunggak demokrasi sesebuah negara. Gangguan-gangguan seperti ini akan mencemarkan nama baik institusi perundanagan yang disanjung tinggi.

Saya telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap bersama-sama dengan beberapa pakar Undang-undang Perlembagaan sebelum memanggil persidangan dewan tergempar. Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidangkuasa speaker. Saya telah menerima 2 usul daripada YB Khalil Idham (Titi Serong) dan YB Chang Li Kang (Teja) yang memerlukan perhatian dewan dengan serta merta. Oleh yang demikian, saya terikat kepada undang-undang untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab saya untuk memanggil sidang dewan tergempar untuk membincangkan isu yang dibangkitkan. Ini juga merupakan amalan demokrasi yang perlu diberi pengiktirafan oleh semua pihak yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang.


V.Sivakumar
6 Januari 2010

Gambar-gambar kereta ds Haji Nizar yg terlibat dengan accident

21 Muharram 1431H
Email : mohd hafez sabri


























Terkini : Ds. Nizar kemalangan, mengalami cedera ringan

IPOH : Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Ds. Muhammad Nizar Jamaluddin terlibat dengan kemalangan jalanraya di hadapan Hotel Cassuarina Ipoh pagi ini. Demikian berita yang disahkan oleh pembantu peribadi beliau, Sdr. Amran Harun.

Ds. Nizar dikatakan memandu sendiri dalam perjalanan ke sebuah Klinik Gigi kerana ada temujanji pada pagi ini.

Beliau sekarang berada di Hospital Tuanku Bainun Ipoh dan mengalamai cedera ringan di bahagian kaki.

Kereta yang dipandunya dikatakan terbalik dan keempat-empat tayarnya diatas dalam kemalangan itu.


Imiginasi Zahid dibuktikan Gani Patail

21 Muharram 1431
http://mohd-firdaus-jaafar.blogspot.com

Sejak awal lagi Menteri Pertahan, Dato' Seri Zahid Hamidi sudah membayangkan kehilangan enjin dan perkakas jet yang bernilai melebihi RM100 juta itu adalah angkara anggota bawahan TUDM.

Nah, sekarang Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah membuktikan kebenaran imiginasi Zahid Hamidi itu dengan mengheret seorang laskar udara dan seorang sarjan udara bersama-sama seorang pengarah syarikat yang tidak dinyatakan dari syarikat mana ke mahkamah.

Laskar udara Mohamad Shukri Yusop didakwa mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 milik TUDM, manakala sarjan udara, N Tharmendran pula didakwa bersubahat dengan Mohamad Shukri. Pengarah syarikat, K Rajandran Prasad pula dituduh dengan sengaja menolong menghapuskan barang curi milik TUDM.
Jahat sungguh anggota-anggota bawahan TUDM ini, tak jujur dan tak beramanah langsung menjaga harta negara yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Tak cukupkah gaji yang dibayar oleh kerajaan setiap bulan sampai tergamak menjual harta negara yang boleh menjejaskan keselamatan negara?

Mungkin itulah persoalan yang diutarakan oleh rakyat sekiranya siasatan kes kehilangan enjin ini dilakukan oleh Suruhanjaya DiRaja yang bebas dari tangan-tangan ghaib yang sering mengganggu kerja-kerja siasatan ke atas kes berprofil tinggi.

Tetapi apa yang dibualkan rakyat selepas dikhabarkan status terkini kes enjin hilang berkisar tentang ketidak logikan senarai individu yang terlibat apabila diumumkan hanya di kalangan mereka yang berada di anak tangga terendah dalam carta organisasi TUDM.

Majoriti rakyat berkeyakinan individu-individu itu telah dikambing hitamkan hanya untuk menjaga kepentingan pihak tertentu yang terlibat secara langsung dalam melenyapkan harta negara yang bernilai ratusan juta ringgit. Rata-rata rakyat percaya kalau enjin jet yang besar itu mampu dilenyapkan, tidak mustahil fakta dan bukti yang sekadar di dalam kertas itu juga boleh dihapuskan sebagai mana menghapuskan kotoran degil pada pakaian.

Tempoh siasatan yang lama iaitu hampir satu tahun setengah, menguatkan lagi kesangsian rakyat terhadap penemuan ajaib pihak penyiasatan yang telah sedia diragui itu. Berbagai-bagai muslihat yang boleh dilakukan dalam tempoh yang lama itu untuk menyelamatkan individu-individu besar dan berkuasa.

Inilah akibatnya apabila kerja-kerja penyiasatan kes-kes berprofil tinggi diserahkan kepada pihak yang telah hilang kredibilitinya. Sama seperti kes mata lebam DSAI, kes video Lingam, kes kematian Beng Hock, kes Altantuya dan macam-macam lagi yang jelas membuktikan badan penyiasat yang terikat dengan kerajaan tidak mampu menemui penamatnya.

Percayalah, sekiranya tugas ini diserahkan kepada Suruhanjaya DiRaja yang bebas dan diyakini sudah pasti akan ada percanggahan senarai individu terlibat dengan kes ini seperti mana yang berlaku pada kes-kes besar terdahulu yang mana penyudahannya melibatkan mereka yang berstatus tinggi.

Isu kalimah Allah, Umno tersepit

21 Muharram 1431
http://syukran.wordpress.com

Kepelbagaian agama di Malaysia adalah satu keunikan, tetapi sebagai umat Islam kita harus tahu membezakan yang mana amalan Islam dan yang mana bukan Islam.

Sesungguhnya menyembah Patung Salib, Buddha, Hindu dan apa jua patung boleh membawa kepada kekufuran jika dilakukan oleh umat Islam.

Saya teruja bila Umno secara tiba-tiba tampil cuba menjuarai konflik penggunaan nama Allah.

Namun ditengah-tengah kekalutan itu, kita tidak lupa bahawa pemimpin Umno juga selalu melanggar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan tindakan bertafakur di Tugu Negara kerana ia boleh membawa kepada perlakuan mensyirikkan Allah dan bertentangan dengan ayat-ayat Surat Al-Ikhlas yang dijadikan Umno bahan hujjah dalam isu nama Allah ini:

"Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya"-Surah Al Ikhlas ayat 1-4.

Sesungguhnya Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada apa pun jua yang layak disembah, melainkan Allah. Allah sesekali tidak boleh disamakan seperti atau dibandingkan dengan Patung Salib, Buddha, Hinddu dan Tugu Negara. Yang jelas Patung Salib, Buddha, Hinddu dan Tugu Negara bukan tuhan kita.

Maka segala iktikad, niat, percakapan, dan perbuatan kita hendaklah selari dengan apa yang Allah sudah sebutkan dalam Surah Al-Ikhlas.

Berikut adalah kertas perbahasan dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu Tugu Negara:

________________________________________

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa : Kali Ke-19
Tarikh : 6 - 7 Oktober, 1987
Tempat : Dewan Syura, Tingkat 11,
Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur.

1. Ulasan/Hujah

1.1. Muzakarah telah mengambil maklum terhadap kertas kerja yang dibentangkan dan juga penjelasan Sahibul Fadhilah Kol. Haji Abdul Hamid bin Zainal Abidin seperti berikut:

(a) Penubuhan Angkatan Tentera Malaysia (A.T.M) adalah atas model Angkatan Tentera British (A.T.B), boleh dikatakan sebahagian besar mengenai undang-undang, peraturan-peraturan, adat resam dan tradisi yang dipraktikkan oleh ATM tidak banyak berbeza dengan apa yang dilaksanakan oleh ATB. Oleh itu tidak dinafikan terdapat banyak perkara yang terpengaruh dengan ciri-ciri penjajah yang nyata bertentangan dengan ajaran Islam.

(b) Di antara sekian banyak amalan tradisi yang berbau ciri-ciri penjajah tetapi masih kuat dipertahankan ialah Hari Kenangan Rakan Seperjuangan yang diraikan di Tugu Negara dengan aturcaranya yang tersendiri. Sebenarnya kenangan ini hanya disambut setahun sekali sempena menyambut Hari Ulang Tahun ATM. Upacara ini merupakan salah satu daripada perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam yang masih diamalkan dalam ATM sekarang ini. Untuk menghapuskan segala perkara ini memerlukan kesabaran dan memakan masa yang agak panjang dan usaha ini perlu dibuat supaya ATM akan bersih daripada sebarang kemungkaran. Kerana kemungkaran-kemungkaran itu akan melemahkan kedudukan ATM dan negara ini sendiri.

(c) Upacara sepertimana yang dijelaskan di dalam kertas kerja ini merupakan satu upacara yang mengandungi ciri-ciri yang nyata bercanggah dengan akidah Islam dan masih kuat dipertahankan oleh pihak ATM terutama oleh pegawai-pegawai peringkat atasan dengan alasan ianya adalah satu tradisi yang perlu dipertahankan.

(d) Di akhir-akhir ini telah timbul suasana keresahan di kalangan sebilangan anggota tentera yang telah menyedari bahawa upacara ini adalah tidak Islam, menyebabkan mereka merasai serba salah. Berbagai cara telah dilakukan oleh mereka bagi mengelakkan diri daripada menghadiri upacara tersebut.

1.2. Muzakarah telah mengambil ingatan terhadap pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh para ahli seperti berikut :

(a) Upacara Hari Kenangan ini adalah mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah Islam dan membawa kepada syirik.

(b) Oleh kerana upacara ini nyata bertentangan dengan akidah Islam, maka hendaklah dicadangkan kepada Kementerian Pertahanan supaya upacara ini ditiadakan dan diganti dengan upacara tahlil.

(c) Aturacara yang tidak menyalahi dengan syarak yang terdapat dalam upacara ini seperti pembacaan sajak bolehlah diteruskan. Aturcara ini boleh disusun dengan lebih baik dan diperbesarkan lagi, misalnya dengan menjemput penyair-penyair yang terdapat di negara bagi mendeklamasikan sajak-sajak yang boleh menaikkan semangat perjuangan dan seumpamanya.

(d) Selain daripada upacara ini terdapat banyak lagi upacara yang perlu difatwakan, umpamanya tos semasa minum ucap selamat dan lain-lain lagi. Perkara-perkara tersebut bolehlah dibawa kepada Jawatankuasa ini dari semasa ke semasa.

2. Keputusan

Muzakarah telah mengambil keputusan bersetuju iaitu :

(a) Amalan-amalan seperti tiupan Last Post bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan Rouse yang dilakukan di hadapan Tugu dalam upacara menyambut Hari Kenangan Rakan Seperjuangan olah Angkatan Tentera Malaysia adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

(b) Bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan Tugu atau di tempat-tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.

Pemuda PAS panggil semua rakyat bantah Mesir

21 Muharram 1431
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) sekali lagi menggesa seluruh warga Malaysia termasuk bukan Islam untuk bersama menyertai himpunan aman di kedutaan Mesir bagi menyerahkan memorandum membantah tindakan kerajaan negara itu yang bersekongkol dengan Israel menindas umat Islam Palestin.

"Saya menyeru seluruh rakyat prihatin supaya dapat keluar beramai-ramai Jumaat, 8 haribulan (Januari) untuk kita sama-sama berhimpun secara aman dan menyerahkan memorandum kepada kedutaan Mesir di Kuala Lumpur," kata ketua DPPP, Nasaruddin Hassan ketika menghubungi Harakahdaily.

Nasaruddin juga berkata, beberapa tindakan terbaru kerajaan Mesir dilihat keterlaluan dan memberi kelebihan kepada Israel untuk terus mencengkam kekuasaannya ke atas umat Islam di Gaza.

Ianya termasuklah insiden terbaru di mana Kerajaan Mesir telah menghalang anggota konvoi Viva Palestina di Pelabuhan El-Arish, yang mahu menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat di sana.

Selain itu, dua hari lalu pasport mereka juga dirampas Kerajaan Mesir sehingga memaksa mereka hanya duduk beramai-ramai di pelabuhan sehingga pasport dipulangkan semalam.

Lebih teruk lagi apabila lebih 10 anggota konvoi Viva Palestina cedera, empat daripadanya parah akibat tindakan ganas polis Mesir menyuraikan tunjuk perasaan membantah keputusan Kerajaan Mesir melarang 59 kenderaan konvoi dibawa keluar dari pelabuhan Al-Arish untuk dibawa ke Gaza.

Salah seorang yang ditahan termasuk seorang warga Malaysia, Ibrahim Mohd Azmi, pelajar perubatan Universiti Bristol United Kingdom yang menyertai konvoi itu sebagai sukarelawan konvoi dari London 6 Disember lepas.

"Sememangnya sejak dulu kita prihatin terhadap isu kezaliman Israel terhadap umat Islam Palestin, di atas semangat solidariti ummah, kita hendaklah bangkit sekali lagi," katanya.

Umat Islam di seluruh dunia, katanya telah bangkit dan bantahan sama juga sedang dibuat.

Selain Pemuda PAS, beliau turut mengharapkan penyertaan Angkatan Muda Keadilan AMK dan DAP Socialist Youth (DAPSY) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia.

"Saya juga ingin menyampaikan salam dari Dr. Hammam Said, Murakibul Am Ikwan Al-Muslimin yang menyeru seluruh rakyat bangkit beramai- ramai menentang tindakan zalim kerajaan Mesir ini," katanya lagi.

Terdahulu, anggota kontinjen Viva Palestina berhimpun dan mengadakan benteng manusia memprotes keputusan kerajaan Mesir menghalang 59 kenderaan termasuk dua trak keluar dari pelabuhan itu.

Dalam masa sama, pihak berkuasa Mesir menempatkan 189 anggota unit anti rusuhan lengkap dengan meriam air dan gas pemedih mata.

Menurut pengasas Viva Palestina, George Galloway rundingan di peringkat tertinggi sedang diadakan oleh pihak Turki dengan kerajaan Mesir termasuk menuntut agar kesemua anggota konvoi yang ditahan dibebaskan segera.

Misi mereka bermula dari London pada 6 Disember lepas, melalui pelbagai tempat di Turki, Syria, dan Jordan.

Mereka sepatutnya tiba di Gaza pada 27 Disember, tetapi tertangguh akibat halangan kerajaan Mesir yang enggan membenarkan mereka menggunakan bandar Nuweiba sebagai pintu masuk ke Rafah sebelum tiba di Gaza.

Akibatnya, mereka terpaksa kembali ke Damsyik, Syria untuk mencari laluan lain untuk memasuki Rafah sebelum tiba di Gaza.

Siar artikel Teoh dibunuh, polis siasat pengarang Suara Keadilan

21 Muharram 1431
Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 6 Jan: Akibat melaporkan 'Pornthip sahkan Beck Hock dibunuh', Pengarang bagi akhbar Suara Keadilan (SK) Dzulkarnain Taib petang tadi disoalsiasat oleh polis di IPD Shah Alam.

Beliau yang ditemui kemudian, mengaku tidak bersalah ketika ditanya wartawan berhubung penulisannya itu.

Ekoran siasatan polis, beliau turut menjelaskan bahawa tulisannya itu tidak memberi sebarang kesulitan kepadanya.

Tambahnya lagi, tanggungjawab melaporkan berita sensitif berkaitan mendiang Teoh Beng Hock yang dijumpai mati di depan Plaza Masalan yang menempatkan pejabat SPR merupakan tugasan asas wartawan demi kepentingan awam.

"Saya hanya buat kerja saya sebagai wartawan," jelas beliau menjawab soalan wartawan.

"Peranan media tidak boleh dipisahkan dari membincangkan apa-apa isu demi kepentingan awam secara umumnya."

Beliau juga enggan mengulas lanjut tentang artikel tersebut, kerana bimbang mengganggu siasatan polis.

"Seperti mana yang saudara bacalah, saya tidak mahu komen lanjut sebelum ini," jelasnya.

Bercakap pada sidang media yang sama, peguam bagi Dzulkarnain, Sanjit Singh berkata:

"Dia (Dzulkarnain) adalah seorang wartawan, dia menulis artikel (berita), ada satu laporan polis (berkaitannya) dan polis mengambil kenyataan (siasatan), itu semua prosedur biasa siasatan," jelas.

Beliau turut menegaskan bahawa tulisan anak guamannya tidak bermotifkan prasangka.

"Kalau kami (tulisan Dzulkarnain), tidaklah prasangka," jelasnya.

Tambahnya lagi, Pegawai Penyiasat (IO) yang menyiasat anak guamnya turut tidak menjelaskan motif siasatan sebenar.

"Kami pun tak tahu (dan) tidak diberitahu bahawa siasatan ini untuk apa," jelasnya.

Jumaat lalu, dua pegawai SPRM dilaporkan membuat aduan berhubung artikel Dzulkarnain yang dianggap berunsur subjudis.

Aduan tersebut merupakan pengalaman pertama bagi Dzulkarnain, sejak beliau bergiat sebagai wartawan SK. Harakahdaily/-

Penggunaan kalimah Allah ditangguh

21 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi membenarkan permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menangguhkan pelaksanaan perintah membenarkan akhbar mingguan Katolik Herald,The Catholic Weekly, menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitan mereka.

Hakim Lau Bee Lan membuat keputusan berkenaan berikutan persetujuan pihak-pihak terlibat demi kepentingan negara.

Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail yang mewakili KDN berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya menghina keputusan mahkamah dengan membuat kenyataan di luar mahkamah berhubung isu berkenaan sehinggalah ianya diputuskan di Mahkamah Rayuan.

"Saya minta peguam-peguam supaya tidak menentang permohonan KDN (menangguhkan keputusan mahkamah) demi kepentingan negara. Saya juga telah meminta Hakim mendengar kes ini secepat mungkin dan Hakim sendiri berkata beliau akan memberikan keputusan secepat mungkin," katanya kepada pemberita.

Isnin lalu, KDN mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember lepas bahawa berdasarkan Perkara 11 dan 12 dalam Perlembagaan Persekutuan, majalah Herald berhak menggunakan perkataan itu untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.

Sementara itu, permohonan beberapa Majlis Agama Islam negeri-negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Kedah serta badan bukan kerajaan (NGO), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) untuk mencelah dalam kes ini tidak diluluskan mahkamah.

HarakahDaily.Net/-