05 January 2010

Hadits.

Daripada Abu Hurairah r.a. pula, katanya: "Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah, ada sesuatu yang saya bertemu dengannya, iaitu seekor kala, lalu menyengat pada saya tadi malam." Beliau s.a.w. bersabda: "Andaikata engkau mengucapkan ketika engkau berada di waktu petang, iaitu: "A'udzu bikalimatilahit tammati min syarri ma khalaq (Saya mohon perlindungan dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari apa saja yang diciptakan olehNya), nescayalah binatang itu tidak akan membahayakan padamu." (Riwayat Muslim)

Lapangan Terbang Beijing Hari Ini Susun Semula Penerbangan yang Tergendala Kerana Ribut Salji

18 Muharram 1431

Syarikat penerbangan akan membatalkan atau menyusun semula sebahagian penerbangan yang tergendala ekoran kesan buruk cuaca di Beijing dan kawasan sekitarnya. Menurut maklumat pihak lapangan terbang, Beijing hari ini, para penumpang diminta supaya berhubung dengan syarikat penerbangan atau lapangan terbang untuk mendapat maklumat terkini bagi memastikan perjalanan dengan lancar.

Ribut salji yang melanda Beijing semalam menyebabkan banyak penerbangan yang berlepas dari Beijing ditangguhkan dan sebanyak 832 penerbangan dibatalkan. Hari ini, 102 penerbangan akan ditambah dan dijangka 1,400 kali penerbangan akan beroperasi. Setakat pukul 12.30 tengah hari tadi, 222 kali penerbangan telah dijalankan, 57 kali penerbangan dibatalkan dan 392 kali penerbangan ditangguhkan. CRI/-

China Berusaha Mengatasi Kesan Buruk Cuaca Sejuk Melampau

18 Muharram 1431

Perdana Menteri, Wen Jiabao mengarahkan kerajaan tempatan berusaha sedaya-upaya mencegah bencana dan mengambil langkah-langkah kecemasan untuk memastikan perjalanan dalam bandar dan keselamatan pengangkutan serta pengeluaran barangan pertanian berjalan seperti biasa.



Sejak semalam, salji tebal melanda kawasan utara China, seperti bandar Beijing dan Tianjin, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, provinsi Hebei dan Shandong. Kehidupan dan perjalanan penduduk tergendala dengan cuaca yang buruk ini. Salji tebal mengakibatkan beberapa penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan di samping 30 buah lebuh raya dan 3 jalan raya yang ditutup pada sebahagiannya. Selain itu, sekolah rendah dan menengah bandar Beijing dan Tianjin ditutup sehari. Institusi-institusi lain juga mengubahsuai masa kerja menurut keadaan cuaca.CRI/-

Bangunan tertinggi di dunia.

PENDUDUK sekitar Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjalan melepasi bangunan tertinggi dunia dikenali Burj Dubai, yang turut dilengkapi masjid tertinggi. Ia membabitkan 169 tingkat dengan kolam renang tertinggi di dunia pada tingkat 76 dan masjid di tingkat 158. Burj Dubai yang dibangunkan dengan kos RM2.7 bilion akan dirasmikan malam ini. - Foto AFP

Wan Nik SUP MB Kelantan yang baru

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 4 Jan: Bekas anggota parlimen Bachok, Wan Nik Wan Yusof, 49, dilantik sebagai Setiausaha Politik (SUP) Menteri Besar yang baru berkuat kuasa hari ini menggantikan Anual Bakri Harun.

Sebelum ini beliau merupakan Pengarah Pusat Kajian Strategi Kelantan (PKS). Selain itu beliau juga Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Wan Nik berkelulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang Sosiologi dan Antropologi, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1984.

Beliau juga memiliki sarjana dalam bidang Sains Politik di UKM pada 2005. Sekarang sedang menyiapkan tesis PhD juga dalam bidang Sains Politik.

Anak kelahiran Kampung Bukit Tanah, Pasir Puteh itu merupakan bapa kepada lima anak dan kini menetap di Kampung Nipah, Bachok. Isterinya seorang pendidik.

Ketika ditemui di pejabatnya Wan Nik berkata, jawatan yang disandang sekarang bukan suatu kedudukan yang perlu dibanggakan, sebaliknya penuh dengan cabaran.

“Saya perlu merujuk kepada Setiausaha Politik yang pertama, kedua atau ketiga yang lebih berpengalaman bagi memudahkan saya melaksanakan tugas,” ujarnya.

Wan Nik menggantikan Anual Bakri Haron yang telah menjadi Setiausaha Politik Nik Aziz sejak 1999

Muslimat Datang Beramai-Ramai...

18 Muharram 1431H
Oleh Mohd Syamil Azhar.

GERIK: Siri program ceramah jelajah seluruh kawasan Lenggong kali ini akan digegar oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff pula bersama Pesuruh Jaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain.

Turut berceramah pada program bertempat di Markaz PAS Kampung Padang dekat sini mulai jam 9 malam itu ialah Yang Dipertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria.

Urusetia program itu, berkata oleh kerana penceramah undangan kali ini terdiri daripada pimpinan muslimat PAS, orang ramai, terutama kalangan muslimat diminta hadir beramai-ramai untuk mendengar isu-isu semasa yang akan disampaikan nanti.

Katanya, Siti Zailah yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat adalah seorang salah Ahli Parlimen wanita yang lantang berhujjah dengan fakta-fakta lengkap yang sukar ditangkis Ahli-Ahli Parlimen dari Barisan Nasional.

Selain itu, katanya hadirin juga akan dapat mendengar lebih jelas mengenai isu Kelantan sendiri dari mulut pimpinan negeri Che Siti Wan Kembang itu yang digembar-gemburkan oleh media-media pro BN sebagai sedang berada dalam kemelut.

Mampukah Malaysia mencapai target sebagai sebuah Negara maju?

18 Muharram 1431H
Email : Nuruddin Muhammad

Setiap pemimpin negara mahupun rakyatnya pasti memiliki hasrat untuk memajukan negara ke tahap optimum, makmur dan sejahtera. Maju dalam ertikata lahiriah selalunya membawa perspektif struktur, pembangunan, kekayaan serta kemampuan memeluk teknologi sofistikated.

Namun begitu maju yang berasaskan pandang sarwa Islam selalunya agak berbeza kerana Islam mengeratkan maksud maju iaitu ‘hadhari’ dengan istilah ‘umran’ iaitu makmur. Makmur yang disebut disini membawa aspirasi kemewahan yang bermanfaat kepada rakyat jelata.

Saya tertarik untuk membawa isi kandungan Forum Dewan Masyarakat yang bertempat di Dewan Seminar Menara DBP pada 6 November yang lalu. Seminar ini mewacanakan tajuk bajet 2010 berlandaskan skop strategi negara berpendapatan tinggi.
Salah seorang panelisnya iaitu Dato’ Dr Norraesah Mohamad ada memberi beberapa hujah berkenaan dilema Malaysia untuk bergerak ke arah menjadikan negara sebagai negara maju.

Negara maju adalah sebutan untuk negara yang menikmati standard hidup yang relatif tinggi melalui teknologi tinggi dan ekonomi yang merata. Kebanyakan negara dengan KDNK per kapita tinggi dianggap negara membangun dan seterusnya maju. Namun beberapa negara telah mencapai KDNK tinggi melalui eksploitasi sumber daya alam tanpa mengembangkan industri secara seimbang, dan ekonomi berdasarkan sumber alam tidak dianggap memiliki status 'maju' atau menjurus kerarah negara maju, sebagai contoh ialah negara kita sendiri.
Pengamat politik global meneliti alasan yang berbeza untuk menilai sebab beberapa negara menikmati perkembangan ekonomi yang tinggi. Banyak alasan menyatakan perkembangan ekonomi memerlukan kombinasi perwakilan pemerintah (atau demokrasi), sebuah model ekonomi pasar bebas, dan kadar korupsi yang minima. [sunting] Beberapa negara maju Organisasi seperti Bank Dunia, IMF, dan CIA, biasanya setuju bahwa sekelompok negara maju termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Denmark, Singapura dan sebagainya.

Menurut Dr Norraesah, terdapat tiga kumpulan penting dalam menggerakan ekonomi negara (ke arah negara maju) iaitu sektor swasta, modal insan (pekerja) serta perkhidmatan awam yang cekap (kerajaan). Laporan Global Corruption 2009 telah menjelaskan kepada kita betapa campurtangan kerajaan sehingga menerbitkan rasuah dan ketirisan wang bajet negara yang banyak. Transparent International juga merumuskan dalam memerangi rasuah, Malaysia kelihatan tidak bersungguh-sungguh mencabut akar permasalahan kerana masih mengamalkan penglibatan aktif kerajaan dan politikus dalam sektor swasta yang boleh memansuhkan konsep check and balance antara kerajaan dan sektor swasta.Apabila semua projek mega dan berprofil tinggi perlu dikaitkan dengan ahli politik, birokrasi dan ‘kabel-kabel’, maka kecenderungan untuk terjadi rasuah adalah amat tinggi.

Menurut beliau lagi ketiga kumpulan ini wajib bergerak seiringan demi memenuhi visi menuju ke arah negara maju.

Apabila berbincang berkaitan negara maju, ekonomi berpendapatan tinggi adalah sub-topik utamanya. Negara yang ingin maju perlukan ekonomi yang mampan, pencapaian teknologi, produktiviti yang tinggi tanpa bergantung kepada hasil mineral dan alam semata-mata, kematangan politik dan indeks pembangunan insan yang tinggi.
Indeks Pembangunan Insan (Human Development Indeks) 2007 yang dikeluarkan oleh PBB menunjukkan Malaysia jatuh dari kedudukan 63 kepada 66. Indeks ini terkandung dalam HUMAN DEVELOPMENT REPORT 2009. Indeks Pembangunan Manusia (IPM) / Human Development Index (HDI) adalah pengukuran perbandingan daripada sudut kemandirian hidup , celik huruf , pendidikan dan standard hidup untuk semua negara seluruh dunia. HDI digunakan untuk mengklasifikasikan apakah sebuah negara adalah negara maju, negara membangun atau negara mundur dan juga untuk mengukur pengaruh dari segi impak ekonomi terhadap kualiti hidup. HDI mengukur pencapaian rata-rata sebuah negara dalam 3 dimensi dasar pembangunan manusia iaitu Hidup yang sihat dan panjang umur yang diukur dengan harapan hidup saat kelahiran, Pengetahuan yang diukur dengan angka tingkat baca tulis pada orang dewasa dan kombinasi pendidikan dasar , menengah , atas gross enrollment ratio serta Standard kehidupan yang layak diukur dengan GDP (Gross domestic product) atau KDNK.

Di Malaysia sektor perkhidmatan hanya menyumbang 55% ( tahun 2009) kepada KDNK negara dalam masa yang sama untuk mencapai negara maju, sektor ini perlu mencapai 65% kepada pendapatan negara. Malaysia juga hanya mencapai tahap 5% sumbangan sektor pertanian kepada negara sedangkan ia perlu melebihi 6% untuk mencapai tahap maju.
CIA menyatakan Singapura memiliki ekonomi inovatif yang bergantung kepada eksport, penghasilan industri (terutama elektronik), IT, perubatan dan sektor servis seperti pengangkutan dan sebagainya. Peratusan sektor yang menyumbang kepada KDNK Singapura ialah Pertanian: 0%, Industri: 33.2%, Perkhidmatan: 66.8% (2008 est.) Manakala CIA menunjukkan Malaysia masih banyak bergantung dengan sumber alam untuk KDNK, Pertanian: 9.7%, Industri: 44.6%, Perkhidmatan.: 45.7% (2008 est.)

Pada 2008, Perkapita PNK Malaysia berada pada paras AS$7226 (RM 25 291) manakala unjuran pada tahun 2020 ialah sebanyak RM 76 419 dan sasaran ini jauh dari keupayaan sekarang.

Dr Norraesah juga mendedahkan bahawa perlaburan swasta berasaskan KDNK negara pernah berada sebanyak 30% pada tahun 1997 dan kini ia berada pada tahap 10% dan Malaysia disarankan meningkatkan semula perlaburan ini sebanyak 20% sekaligus membina suasana mesra pelabur dalam negara.

Perniaga perlu merasa lapang dan tidak terkongkong melabur di negara ini. Aspek perundangan perlu difahami dengan mudah oleh peniaga dan undang-undang, syarat atau peraturan bertindan perlu dielakkan untuk mengelak bebanan peniaga.
Status negara maju juga perlu diukur dalam pelbagai aspek. Menurut beliau juga, pembangunan sosial perlu dipertingkatkan. Modal insan yang kompeten perlu dilahirkan. Jurang pendapatan bandar dan luar bandar perlu dikecilkan serta penggunaan teknologi tinggi dalam pelbagai sektor ekonomi perlu ditingkatkan.
Bajet 2010 adalah suntikan penting untuk membina suasana negara yang menjurus ke arah negara yang maju. Islam tidak menghalang sesebuah negara untuk bekerja ke arah kemajuan ekonomi dan kemajuan teknologi tinggi malah digalakan pula. Ilmu futuristik adalah aspek penting jika Malaysia ingin mengurus ekonomi dan sosial ke arah negara maju.

Dalam buku The Future of Muslim Civillization (1988), Prof Ziauddin Sardar telah menggariskan kepentingan pemikiran futuristik sebagai suatu alat membangunkan paradigma dan metodologi baru dalam memahami dan mengimplementasi ajaran Islam secara kontekstual dan praktikal untuk menjana kembali kegemilangan tamadun umat Islam. Beliau telah mengemukakan suatu model projek pembangunan semula tamadun Islam yang dinamakan Projek Umran, serta beberapa pelan tindakan yang perlu diambil oleh umat Islam, khususnya golongan intelektual. Dalam Islamic Futures : The Shape of Ideas to Come pula, beliau menekankan secara lebih khusus matlamat utama bagi masa hadapan Islam ialah untuk menempa satu sintesis yang membawa kepada pengiktirafan bahawa Islam sebagai pandangan hidup yang lengkap boleh mewujudkan suatu suasana yang menyeluruh tentang jalan alternatif yang boleh diambil bagi kebangkitan semula tamadun Islam yang lebih dinamik dan maju (1985). Beliau telah membincangkan bentuk-bentuk pemikiran yang akan datang dalam konteks yang perlu diambil tindakan oleh umat Islam pada masa kini iaitu membina semula epistemologi Islam, menjadikan syariah sebagai kaedah menyelesaikan masalah, bentuk negara Islam dalam era pasca-industri, pengembangan teknologi yang Islamik, pendekatan dalam ekonomi Islam dan teori persekitaran Islam.

Dalam hal ini kemampuan Bajet 2010 masih dipersoalkaan adalah ia mampu memberi impak optimum ke arah menjurus negara maju. Bajet negara ini masih bergantung dengan hasil mineral terutamanya petroleum. Selain daripada hasil minyak yang menguncup akibat kejatuhan ekonomi dunia, kadar eksport barangan keluar negara yang terjejas akibat kejatuhan Dollar Amerika Syarikat, pelabur-pelabur asing juga enggan memasuki pasaran Malaysia. Dalam sesebuah negara yang demokratik dan berdaulat, pengaliran masuk pelaburan asing atau Foreign Direct Investment (FDI) amat penting, kerana ia melambangkan keyakinan pelabur ke atas sistem dan ketelusan kerajaan yang memerintah. Sebaliknya di Malaysia, FDI terus menjunam. Berpunca daripada kegagalan menjana pendapatan negara, maka pendapatan negara semakin merosot. Akibatnya kerajaan terpaksa mengurangkan belanjawan pembangunan, yang terpaksa diturunkan sebanyak 11.2%. Pendapatan PETRONAS, mencatatkan kejatuhan berjumlah RM 59 billion, bermakna cukai yang sepatutnya diperolehi oleh Malaysia berkurangan sekitar 57%. (kerugian negara lebih 50%) Pada 2008 sahaja, sumbangan PETRONAS merupakan 44.9% dari pendapatan Negara. Kebergantungan hanya terhadap PETRONAS ini jelas menjauhkan negara ke arah mencapai tahap negara maju yang inovatif.

Dalam aspek inovasi dan teknologi saya bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang menggesa kerajaan membina penyelidikan dan kajian teknologi tempatan tanpa bergantung dengan dunia barat sahaja. Kini daripada lebih 100 hasil penyelidikan yang dilakukan oleh IPT tempatan, hanya 4% sahaja yang digunakan oleh masyarakat tempatan! Beliau juga menjelaaskan bahawa bidang kajian IPT negara ini masih jauh dari koordinasi kepada lapangan praktikal dan ia hanya tinggal sebagai teoretikal indah yang tidak digapai ooleh rakyat. Lantaran itulah ilmuan dan intelegensia negara ini kurang dihormati dan disegani lagi (Harakah 28-31 Disember 2009).

Dalam KDNK negara, hanya 0.64% digunakan untuk kajian dan pembangunan (R&D). Ini jauh daripada amalan negara yang ingin maju iaitu berjaya mencapai 1-2% peruntukan KDNK untuk kajian dan penyelidikan tempatan. Kesimpulannya aspek ekonomi mampan, teknologi seimbang berasaskan tempatan, keadilan dan kesejateraan negara yang jauh dari korupsi, keefisienan pemerintahan, modal insan yang berkemahiran serta aspek pembangunan insan adalah antara syarat penting memajukan negara.

Muhammad Nuruddin Bashah
AJK Lajnah Politik DPP Pusat

Runtuhnya sistem keselamatan bila pemerintah hilang amanah.

18 Muharram 1431H
Oleh : Nuruddin Muhammad

Keamanan dan keselamatan adalah hak yang wajib dijamin dan diberikan oleh pemerintah kepada rakyat jelata. Keamanan dan keselamatan rakyat terjamin apabila pemerintah menyediakan pasukan keselamatan dan penjaga keamanan yang benar-benar menjalankan tugas dengan efisien, taat serta menepati SOP (standard operating procedure) yang digariskan.

Negara tidak akan aman sekiranya ada penguatkuasa pemerintah terlibat dengan gangster, kongsi gelab atau kumpulan haram ‘underground’ tertentu yang pastinya membawa negara ini sama seperti yang dipaparkan dalam filem-filem hindi dan Thailand.

Menyedihkan rakyat apabila mendengar kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bahawa terdapat ahli politik kanan menerima rasuah RM 5 juta untuk membebaskan penjenayah yang sangat dikehendaki kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah seperti pelacuran , gengster , ah long dan lain – lain di negara ini.

Dalam hal keselamatan luar negara, sektor pertahanan adalah benteng utama yang menjadi kepercayaan rakyat. Turut mendukacitakan apabila boleh terjadi di sebuah negara yang terkenal dengan standard pengurusan dan piawaian insiden kehilangan enjin pesawat pejuangnya sendiri. Dua enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang, masing-masing berharga RM50 juta Enjin yang kedua hilang ketika menunggu untuk diselenggarakan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, dua tahun lalu dan disedari pada Mei 2008.

Keamanan adalah satu keperluan asasi setiap manusia yang dijamin oleh Islam.
Firman Allah, “Tuhan Yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. ( Quraisy : 4)
Kata Allah lagi, “ Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka. ( An Nur: 55)
Bilakah keamanan yang dikjamin ini akan hilang? Keamanan sesebuah negara boleh hilang apabila berlakunya penyelewengan, korupsi, rasuah dan salah laku yang menggencatkan proses penjagaan keselamatan negara. Dengan senario yang berlaku di Malaysia melalui insiden kehilangan enjin jet, pencerobohan dan salah guna bom C4 untuk membunuh orang awam ditambah pula dengan kejatuhan Indeks keselamatan negara adalah antara simptom korupsi dan kerosakan sistem keamanan negara.
Aman pasangannya amanah. Keamanan tidak akan tercapai jika tiada sikap amanah di kalangan pemerintah, rakyat dan penjaga keselamatan.

Kata Allah, “ Wahai orang-orang Yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. ( Al maidah : 1)

Malah Nabi SAW juga menasihati sahabat “ Semua kamu adalah penjaga dan semua kamau akan disoal mengenai jagaannya…” ( Riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Korupsi benar-benar boleh mengancam keselamatan negara. Hal ini bukan sekadar dibincang dalam negara kita sahaja, malah ia telah lama diperbahaskan di peringkat antarabangsa.

Dahulu dalam 13th International Anti Corruption Conference (IACC) di Greece 2008, para penalisnya bersependapat bahawa Rasuah adalah ancaman kepada keselamatan (security) dan keamanan (peace) rakyat jelata. Malah ia juga mampu membawa kepada konflik keselamatan dunia. Buktinya penjualan senjata haram dan berleluasanya kegiatan perniagaan haram adalah disebabkan korupsi di kalangan polis-polis dunia.

Transparent International dengan Kerjasama African Union telah menganjurkan Bengkel berkenaan rasuah di Tunisia pada 21-23 Julai 2009 yang lepas. Bengkel ini menyaksikan persefahaman peserta bahawa korupsi dan rasuah yang menjalar sehingga ke pihak anggota keselamatan dan penguatkuasa keamanan, adalah antara punca utama permasalahan keselamatan dalaman di kalangan bangsa Afrika.

Kata Dr. Kimberley Thachuk dalam kertasnya Corruption: The International Security Dimension (2002) berkata, Kesan mutlak rasuah dan penyelewengan terhadap pasukan keselamatan ialah ia bakal menggalakkan pertumbuhan keganasan dan gengsterisme. Jika hal ini dianggap remah, ia bukan sahaja merosakkan maa depan negara malah seluruh keselamatan antarabangsa.

Rasuah cukup jijik dan membahayakan rakyat Malaysia. Rasuah bukan sekadar menaikan harga barang, menambah defisit sumber negara atau mengurangkan keefisienan sektor awam, malah kini rasuah telah ke tahap membahayakan keselamatan negara dan nyawa rakyat jelata! Secara umumnya, kita boleh menyimpulkan, korupsi yang melanda dunia keselamatan dan keamanan negara ini berlaku secara terancang dan komprehensif. Korupsi ini berjaya menjadikan dokumen yang sepatutnya bertindak sebagai saksi tiadanya penyelewengan, telah ditukar menjadi agen utama penyelewengan. Hal inilah yang berlaku dalam kes kehilangan 2 enjin jet pejuang TUDM baru-baru ini.

Muhammad Nuruddin Bashah
AJK Lajnah Politik DPP Pusat

2010 Guru kena bawa baldi ke sekolah

18 Muharram 1431H
Email : Rozmal bin Malakan

Sebelum ni saya menulis ibu bapa kena bawa tukul besi ke sekolah bermula tahun 2010 kerana bajet Kementerian Pelajaran dipotong berbillion ringgit. Kenalah ibu bapa bantu baiki kerosakan di sekolah. Artikel tersebut pada pautan berikut http://waghih.blogspot.com/2009/12/ibu-bapa-kena-bawa-tukul-besi-ke.html

Baru-baru dalam satu mesyuarat guru-guru di sebuah sekolah di N.Sembilan, guru besar sekolah tersebut kata tahun 2010 ni jangan nak minta baiki apa-apa. Guru besar dulu kata , masa zaman dulu kalau sekolah atap bocor senang saja, tadah baldi.

Jadi guru tahun 2010 ni siaplah bawa baldi dalam kereta. Kalau ada kelas atap bocor boleh tadah baldi. Ibu bapa pun digalakkan bawa baldi kalau baldi guru tak cukup.

Guru besar tadi pun kata mulai tahun 2010 ini , penghawa dingin di pejabat hanya boleh dipasang bermula jam 10 pagi, untuk jimat elektrik, kerana Jabatan/Kementerian Pelajaran tak bayar lagi bil air dan elektrik sekolah, sekolah perlu bayar sendiri.

DI MANA AHLI PARLIMEN BN PADANG RENGAS?

18 Muharram 1431H
Email : Naninu Sakun

ASSALAMUALAIKUM SEMUA!

HATI INI BEGITU TERPANGGIL UNTUK MENYUARAKAN RASA HATI YANG LULUH BILA MELIHAT SEBUAH SURAU DI KAMPUNG GAPIS PADANG RENGAS PERAK SELEPAS PERAK HANJOONG SIMEN ATAU SEKARANG LEBIH DIKENALI SEBAGAI YTL TINGGAL RANGKANYA SAHAJA. BEGITU JUGA DENGAN RUMAH2 PENDUDUK BERDEKATAN DENGAN SURAU. GAMBAR2 YANG SAYA SERTAKAN INI SEBAGAI BUKTI AKAN SEGALA KEBOBROKAN DAN KEGELOJOHAN BN YG KONONNYA MENJADI HERO DALAM MEMPERJUANGKAN ISLAM.

LIHATLAH 1 MALAYSIA, SURAU SENDIRI SANGGUP DIROBOHKAN UNTUK MEMBUAT PROJEK KERETAPI. BUKANNYA TIADA TEMPAT LAIN UNTUK DIBUAT JALAN TERSEBUT, SURAU SENDIRI DIKORBANKAN DEMI BN. DALAM MEDIA HARI INI HEBOH PM NAK JUMPA YANG DIPERTUAN AGONG NAK BAWA ISU KALIMAH ALLAH YANG HEBOH DIPERKATAKAN SEKARANG. KENAPA TIDAK DIBAWA ISU SUARU KAMPUNG GAPIS INI? MANA AHLI PARLIMEN PADANG RENGAS DARI BN IAITU DATO NAZRI AZIZ? HERO DALAM PARLIMEN UNTUK BERDEBAT KONONNYA............. DEBATLAH SEKARANG DENGAN PENDUDUK KG GAPIS DIPARLIMEN ANDA. LIHAT SENDIRI BUKAN SAHAJA SURAU DIROBOHKAN MALAH RUMAH2 PENDUDUK YG ADA BERDEKATAN JUGA SAMA MENYEMBAH BUMI.

MENURUT KAIN RENTANG YG TERGANTUNG DAN KATA2 PENDUDUK DISITU, PAMPASAN YG DIBAYARPUN TIDAK SETIMPAL, TAPAK RUMAH SEBAGAI GANTIPUN TIDAK DISEDIAKAN. LIHATLAH GAMBAR2 YG SAYA SERTAKAN INI SEBAGAI BUKTI. SESUNGGUHNYA SURAU DAN RUMAH RAKYAT SANGGUP DIROBOHKAN INIKAH YG DIKATAKAN RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN? KEPADA MEREKA YG BERAGAMA ISLAM YG MASIH SETIA DGN BN, BUKALAH FIKIRAN DAN MINDA ANDA. TINGGALKANLAH BN JGN NANTI BILA DAH KG TERGADAI SEPERTI PENDUDUK KG GAPIS INI BARU HENDAK BERTINDAK. FIKIR2KANLAH....WALLAHUAKLAM...........

ANAK KOMANDO REJIMEN 1





MB Perak Akan Saman Suara Keadilan RM100 Juta

18 Muharram 1431H

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan menyaman akhbar Suara Keadilan sebanyak RM100 juta berhubung artikel yang disifatkan beliau sebagai fitnah keterlaluan.

Katanya beliau telah berbincang dengan peguamnya bagi mengambil tindakan undangundang terhadap akhbar itu yang melaporkan berita tanpa mengikut etika kewartawanan dan prinsip pemberitaan.

"Pada mulanya, cadangan adalah untuk saya menyaman mereka RM 1 atau 5 sen tetapi memandangkan pemimpin akhbar itu suka saman orang dengan nilai RM100 juta, jadi kenapa tidak saya saman RM100 juta juga?," katanya kepada pemberita selepas menyertai program gotongroyong bersamasama Majlis Bandaraya Ipoh di Kampung Tai Lee di Buntong di sini semalam.

Sebelum ini katanya beliau tidak pernah mengambil tindakan undangundang terhadap akhbar berkenaan yang menggunakan bermacammacam gelaran serta menulis pelbagai laporan palsu yang menyimpang bertujuan memburukkan kerajaan negeri pimpinannya.

"Tetapi dengan pembohongan yang keterlaluan dalam artikel keluaran terbaru mereka, sudah tiba masanya untuk saya bertindak," katanya.

Zambry berkata akhbar itu sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam menulis berita atau laporan kerana ia turut mencerminkan kredibiliti Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Akhbar ini membuat pembohongan besar apabila melaporkan saya ditahan di Lapangan Terbang San Francisco di Amerika Syarikat, disiasat, disyaki pengganas dan kemudiannya dihantar pulang ke Malaysia...laporan terbabit tidak benar sama sekali dan ia jelas fitnah sematamata," katanya. BERNAMA

mStarOnline/-

Tengku Temenggong Nafi Bertelingkah Dengan Pemangku Raja Kelantan

18 Muharram 1431H

KOTA BHARU: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menafikan terdapat pergeseran antara beliau dengan kekandanya, Tengku Muhammad Faris Petra yang kini memangku Raja Kelantan.

Malah beliau memberitahu, keadaan di Istana Kelantan baik-baik sahaja dan tiada sebarang masalah antara mereka berdua.

"Saya tiada masalah dengan kekanda walaupun banyak cakap-cakap pasal keadaan istana yang semuanya baik dan okey," katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Tengku Muhammad Fakhry yang merupakan pewaris ketiga takhta berkata demikian semasa ditanya mengenai surat yang ditandatanganinya bertarikh 29 Disember lalu sebelum difakskan kepada semua media yang antara lain menyebut bahawa Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra menitahkan darjah-darjah kebesaran Datuk kesemua yang berikut ditarik balik.

Titah itu melibatkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias; Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan, Datuk Paduka Ismail Md. Noor dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Selain itu, Pengarah Urusan Sentosa Jaya Development Sdn Bhd, Datuk Razali Daud; peguam dan ahli perniagaan, Datuk Sukri Mohamad; ahli perniagaan, Datuk Chai Kin Loong dan Tan Choon Hwa.

Dalam pada itu, Tengku Muhammad Fakhry mengesahkan bahawa beliau yang menandangani surat itu sebagai melaksanakan titah ayahandanya.

“Saya sahkan sya tandatangan surat itu bagi melaksanakan hasrat ayahanda dan saya memberi jaminan bahawa Tuanku sihat dan jika anda tidak percaya, anda boleh mengadap baginda," ujar beliau.

Surat terbabit yang diedarkan semalam juga diserahkan kepada menteri Besar, Datuk Nik Abdul Nik Mat melalui Mohd. Aseri, bagaimanapun dinafikan oleh pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Surat yang bercop lambang kebesaran diraja itu turut menyebut bahawa Sultan Kelantan tidak mengiktiraf, tidak setuju dan/atau tidak mengesahkan apa-apa arahan pembatalan berkaitan ahli-ahli Majlis Perajaan Negeri.

Sehubungan itu, kata beliau, kesemua arahan pembatalan atau pelantikan hendaklah dikembalikan seperti kedudukan pada atau sebelum 24 Mei 2009.

Bagaimanapun, dalam sepucuk surat daripada Istana Kelantan yang ditandatangan oleh Abdul Halim kemudiannya, melaranag media menerbitkan kandungan surat Tengku Temenggong itu.

Pekeliling itu turut menyebut bahawa sebarang kenyataan yang dibuat tanpa pengesahan Pemangku Sultan tidak boleh diterbitkan.

Selain itu, pekeliling itu tirit memberitahu, tiada sebarang kenyataan daripada Istana Kelantan dan menggesa media mendapatkan pengesahan daripada pihak istana sebelum menerbitkan sebarang artikel.

mStarOnline/-

PKR Sedia Jumpa Zambry Di Mahkamah

18 Muharram 1431H
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kesahihan laporan akhbar terbitannya, Suara Keadilan yang menyiarkan berita bahawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) ketika mahu memasuki negara itu baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Jonson Chong berkata, pihaknya sedia berdepan dengan Menteri Besar itu di mahkamah bagi menyelesaikan mengenai perkara tersebut.

"Saya sudah periksa dengan pihak editorial Suara Keadilan, mereka mempertahankan maklumat yang diperoleh daripada sumber berhubung isu berkenaa.

"Mereka tulis berdasarkan maklumat yang diberikan oleh sumber yang boleh dipercayai itu dan kalau beliau nak bawa perkara ini ke mahkamah kami tiada masalah," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Jonson berkata demikian sebagai mengulas mengenai penafian Zambry berhubung laporan Suara Keadilan bahawa beliau ditahan pihak berkuasa AS ketika mahu memasuki negara itu untuk menyertai misi pelaburan kerajaan negeri selepas namanya ada dalam senarai pengganas dan kemudian diarah pulang.

Menteri Besar itu berkata laporan bahawa beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco adalah satu pembohongan besar oleh akhbar berkenaan dan tindakan mahkamah akan diambil kerana sudah hilang sabar dengan fitnah yang dilihat menghina serta mahu mencemarkan nama dan karier politiknya.

Mengulas lanjut, Jonson yang bertanggungjawab terhadap akhbar terbabit berkata, Zambry mempunyai hak untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.

"Kalau beliau nak saman itu haknya, kami sedia menghadapinya di mahkamah nanti.

"Tapi kami harapkan prosedur mahkamah yang betul-betul adil tanpa campur tangan politik," katanya.

Laporan mengenai berita itu disiarkan Suara Keadilan dalam keluaran Bil 213 (29 Disember 2009 - 5 Januari 2010) yang memetik sumber rapat dengan Pejabat Menteri Besar memberitahu bahawa Zambry terbang ke San Francisco pada 9 Disember lalu atas misi perdagangan dan pelaburan anjuran Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida).

Selain itu ditanya siapakah sumber terdekat yang memberi maklumat berkenaan, Jonson berkata: "Perkara itu saya tak boleh dedahkan lagi pada peringkat ini."

mStarOnline/-

PAS adakan mesyuarat khas bincang isu nama Allah

18 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 3 Jan: PAS memanggil mesyuarat khas Lajnah Politik, iaitu lajnah paling berpengaruh dalam parti itu bagi membincangkan beberapa perkembangan terbaru termasuk isu penggunaan nama Allah oleh agama Kristian.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, mesyuarat itu akan diadakan malam esok di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

"Kita turut menjemput AJK PAS Pusat dalam mesyuarat khas ini," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Mesyuarat ini dijangka membincangkan secara mendalam keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan majalah milik aktivis Kristian, Herald, untuk menggunakan nama Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris.

Sejak keputusan itu dibuat, kelihatan pemimpin PAS tidak seragam pandangan mereka dalam isu ini.

Mesyuarat ini dijangka akan memberikan kata putus apakah pendirian bersama parti Islam itu dalam isu ini.

Anggota utama lajnah politik adalah pemimpin kanan PAS di samping beberapa pemimpin yang tidak berada dalam AJK PAS Pusat termasuk Khalid Samad, YDP PAS Shah Alam yang juga anggota Parlimen kawasan tersebut.

HarakahDaily.Net/-

Ma'al Hijrah di Kubang Menerong pecah kebimbangan

18 Muharram 1431H

KEPALA BATAS, 3 Jan: Usaha pihak tertentu untuk menggagalkan program Ma'al Hijrah anjuran Surau Taman Seri Menerong, Kepala Batas akhirnya buntu apabila program yang dirancangkan dua bulan lalu mendapat sambutan hangat para hadirin.

Sebelum menjelang tarikh 2 Januari 2010 berbagai usaha dijalankan oleh pihak tentu bagi menghalang program berkenaan antaranya mengertak pihak Jabatan Kerjaraya (JKR) agar tidak memberi sewaan khemah, keenganan pihak polis mengeluarkan permit dan banyak lagi semata-mata untuk tujuan menyekat sokongan orangramai terhadap perlantikan Ahli Jawatankuasa baru surau berkenaan pada bulan Mei tahun lalu.

Kubang Menerong adalah kubu kuat Umno sejak dulu tambahan pula ia adalah kawasan harapan Ahli Parlimen Kepala Batas, Tun Abdullah Ahmad Badawi sekiranya kawasan lain mendapat kemenangan tipis.

Kehadiran Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr Mansor Othman (PKR) bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin (BN) jelas mengenepikan sangkaan bahawa program bertujuan politik.

Kemunculan Roslan merupakan satu perkembangan terbaru kerana sudi hadir dalam program yang dihadiri bersama oleh kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat walaupun pada peringkat awal agak keberatan.

Ini kerana kerusi yang dimenanginya dua penggal kini dikatakan sedang di perhatiankan oleh orang lain yang ingin
mencantas kedudukanya sekira berlaku sesuatu yang membimbangkan Umno.

Program bermula dengan memasak bubur asyura pada sebelah paginya. Petang pula bantuan kebajikan oleh Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Zaini Awang dan sebelah malamnya orang ramai dihidangkan dengan forum bertajuk 'Ajal Semakin Hampir' yang dipengerusikan oleh tokoh tempatan, Ustaz Khairil Anuar Musa.

Ahli panelnya terdiri daripada tokoh dari Kedah iaitu Mufti Kerajaan Negeri Kedah, Profesor Madya Sheikh Datuk Haji Badarudin Haji Ahmad dan Khadi Daerah Kubang Pasu, Sheikh Faisol Haji Omar.

Selain itu hadirin dipersembahkan bacaan Al-Quran oleh Johan Akademi Al-Quran, Fakrul Radzi Khamarudin serta sajak oleh Udin Fikhri bertajuk 'Hijrah Ke Arah Kebaikan'.

Pengarah program merangkap Pengerusi Surau Taman Seri Menerong, Ustaz Muhasdey Mohamad ketika ditanya bersyukur kerana apa yang diinginkan oleh orang tertentu tidak menjadi kenyataan sebaliknya menempa kejayaan pertama.

Jelasnya lagi, mereka terpaksa bekerja keras untuk memastikan program julung kalinya berjalan
dengan baik dan sempurna.

"Kami bersyukur kerana program berjalan dengan baik dan sempurna. Apa yang diinginkan oleh pihak tertentu untuk melihat program gagal nyata meleset, " ujarnya yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubang Menerong.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Rosidi Husain, Ahli Majlis MPSP, Zaini Awang, Farid Arshad dan Haji Mohamad Hashim.

HarakahDaily.Net/-

Pulau Pinang sasar 10 juta pelancong

18 Muharram 1431H

GEORGETOWN, 3 Jan: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mensasarkan sejumlah 10 juta pelancong yang akan mengunjungi negeri ini menjelang tahun 2014 yang akan datang.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, statistik kemasukan pelancong ke Pulau Pinang meningkat daripada 5.2 juta orang pada 2007 kepada 6.3 juta pada tahun 2008.

"Jumlah ini akan meningkat lagi apabila Kempen Tahun Melawat Pulau Pinang 2010-2012 dipergiatkan bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara untuk mengunjungi Pulau Pinang.

"Peningkatan mendadak para pelancong adalah pada bulan November dan Disember sempena dengan musim cuti sekolah dan kepelbagaian aktiviti dan program yang telah disediakan oleh pihak kerajaan bagi menarik kehadiran mereka ke sini.

"Tahun Melawat Pulau Pinang 2010-2014 yang bertemakan 'Penang Has It All' ini akan berjaya menarik pelancong ke sini dengan kemudahan yang akan disediakan oleh Kerajaan Negeri.

"Disamping itu keunikan pulau ini yang telah dipilih oleh British sejak 200 tahun yang lalu membuktikan bahawa negeri ini mempunyai daya tarikan sebagai sebuah negeri pelancongan," katanya.

Menurut Lim lagi kemasukan para pelancong ke negeri ini bukannya untuk kepentingan industri pelancongan semata-mata tetapi ia juga dapat memberi banyak manfaat kepada seluruh rakyat negeri ini.

HarakahDaily.Net/-

Nik Aziz bimbang perkataan Allah disalahguna

18 Muharram 1431H

KOTA BHARU, 3 Jan: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kebimbangan penggunaan perkataan Allah disalahgunakan biarpun tidak salah untuk diguna kesemua agama samawi.

Menteri Besar Kelantan itu melahirkan rasa bimbang kalimah Allah kemungkinan disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, biar pun penggunaan kalimah Allah mengikut hukum bagi pengamal agama Samawi, ia tidak menjadi satu kesalahan.

“Namun saya takut ia disalahgunakan, itu yang menjadi kebimbangan sebenarnya,” katanya selepas majlis perasmian pejabat Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan di Jalan Telipot, hari ini,

Khamis lalu Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh penerbitan akhbar mingguan Herald – The Catolic weekly.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya memberitahu Herald mempunyai hak pada sisi perlembagaan untuk menggunakan perkataan tersebut.

Ekoran keputusan itu menyebabkan timbul bantahan di kalangan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Baharom pula dilaporkan akan merayu keputusan kes terbabit ke Mahkamah Rayuan bagi memastikan kesucian agama Islam kekal terpelihara.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berharap pihak berwajib seperti persatuan ulama menganjurkan dialog bersama pemimpin agama Kristian bagi mencari penyelesaian isu tersebut.

“Melalui perbincangan terbabit diharap dapat meredakan kekeliruan masyarakat. Selain itu falsafah Islam dapat dikembangkan melalui majlis-majlis seumpama itu,” katanya.

Beliau juga tidak menolak hadir pada majlis seumpama itu sekiranya ada jemputan bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai Islam.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ustaz Umno layak dilantik jadi ketua ulama

18 Muharram 1431H

KOTA BHARU, 3 Jan: Umno dianggap benar-benar ketandusan kepemimpinan ulama sehingga terpaksa menawarkan jawatan Ketua Ulama Umno kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sedangkan jawatan seumpama itu tidak pernah wujud dalam sejarah perjuangan Umno sejak 1946.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, hari ini Umno baru mengakui tiada tokoh dalam parti itu yang boleh dilantik sebagai mengetuai kumpulan ulama dalam Umno.

“Ini kerana ulama yang makan gaji dengan kerajaan yang ada sekarang hanya sebagai alat untuk menggambarkan Umno juga mendaulat Islam.

“Namun sebaliknya ulama seperti itu tidak mampu dilantik sebagai ketua di kalangan mereka. Lagi pun saya cukup hairan sejak bila pula tiba-tiba Umno mengiktiraf peranan ulama,” katanya di sini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Kelantan, Bazlan Baharuddin mempelawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyertai Umno bagi membolehkan dilantik sebagai ketua ulama Umno.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, lebih baik Bazlan dan pengikutnya menyertai PAS kerana baru menyedari kepentingan peranan ulama dalam kehidupan umat Islam.

“Tinggallah parti assobiah yang sempit itu kerana perjuangan mendaulatkan bangsa dan meninggalkan ketaatan kepada Allah akan menemui kehancuran,” ujarnya.

Beliau juga melahirkan rasa hairan tiba-tiba pemuda Umno melahirkan idea seperti itu sehingga memperlihatkan bertentangan sama sekali dengan tindak tanduk mereka sebelum ini.

Menurutnya juga pelawaan seperti itu biar pun tujuan mempersendakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, namun ia memperlihatkan tahap pemikiran sebenar pemimpin Umno.

“Orang ramai yang membaca kenyataan itu tentunya ketawa seorang diri. Ia seumpama meludah ke langit yang terkena kepada dirinya sendiri,” tambahnya.

HarakahDaily.Net/-