04 January 2010

Samseng DUN Sungai Rapat !

18 Muharram 1431
http://alhusseyn51.blogspot.com

Hamidah Osman yang pernah gempar dengan ‘ Ular dan Orang India’ berasa masih tidak faham kenapa dirinya dihalang daripada menganjurkan satu program berbentuk ibadah disebuah surau 'Al Falah" di Taman Song Choon Ipoh pada 1 Januari yang lalu.

“Saya menganjurkan program ibadah ini bertujuan untuk menyambut ketibaan Maal Hijrah 1431 selain bertemu dan beramah mesra dengan penduduk di kawasan ini .Sebagai wakil rakyat, saya berhak menganjurkan program sebegini," kata Hamidah.

Kenapakah wakil rakyat ini masih tidak faham sedangkan beliau sendiri faham tentang tatacara menganjurkan sesuatu program ditempat orang; kerana menurut katanya :

“Saya juga telah menghubungi pengerusi surau berkenaan bagi mendapatkan kelulusan bagi menganjurkan program tersebut”

•Namun setelah pihak AJK bermesyuarat, saya dimaklumkan bahawa permohonan berkenaan telah ditolak kerana berbaur politik,”

Setelah permohonan beliau ditolak, kenapa wakil rakyat ini terus menggila lalu tidak mengendahkan langsung larangan yang telah diputuskan oleh AJK surau tersebut?

Beginikah sikap seorang yang digelar sebagai ‘Yang Berhormat’? Apa gunanya membuat permohonan kalau sikap perilaku samseng digunakan untuk mencapai kehendak nafsu yang kononya mahu menganjurkan program ibadah.

Bila tidak mendapat kebenaran atau izin, maknanya itu kerja menceroboh. Menceroboh bukan satu kerja berupa ibadah.

Apa sebenarnya yang berlaku

Menurut salah seorang AJK surau tersebut , permohonan tersebut tidak mendapat kelulusan kerana ianya adalah anjuran parti politik. Sebagai memenuhi saranan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah agar surau dan masjid tidak dicampur adukkan dengan hal-hal politik.

Katanya lagi, walaupun tidak dibenarkan, Hamidah tidak peduli dan tetap mahu meneruskan programnya.Samseng betul Hamidah ini!

“Keputusan mesyuarat AJK surau tersebut tidak membenarkan Hamidah adalah satu keputusan yang tepat dan betul kerana program pada 1 Januari 2009 disurau itu yang kononnya ‘berbentuk ibadah’ sebenarnya adalah “Program Gotong Royong Wanita UMNO Gopeng,” katanya.

Terangnya lagi, kebanyakan petugas pada program tersebut adalah mereka dari luar qariyah , memakai baju yang mempunyai lambang UMNO dan dihadiri kebanyakannya yang berumur 50 keatas.

Aktiviti program yang bermula jam 8.00-12thari pada hari itu adalah memasak bubur asyura , ceramah agama,ucapan Dato Hamidah, dan agihan bubur asyura dikalangan mereka sendiri.

Penyampaian bantuan persekolahan berupa sumbangan beg sekolah adalah kepada anak-anak yang entah dari mana yang didatangkan.

Adakah program sebegini mampu membentuk ukhuwah dan menyemai semangat perpaduan sedangkan sentimen politik jelas terbawa-bawa dengan pakaian berlambangkan parti.Harap Hamidah kini lebih faham kenapa AJK Surau Al-Falah tidak benarkan kamu; kalau tidak orang kata engkau ni bebal tidak keruan.

Hamidah hairan, rakyat lagi hairan.

18 Muharram 1431

http://ajijoi.blogspot.com

Akhbar Sinar Harian hari ini memaparkan keluhan Hamidah Osman yang merasa hairan mengapa dia dihalang untuk menganjurkan program di Surau Al-Falah, Taman Song Choon, Ipoh.

“Saya tidak faham kenapa saya dihalang menganjurkan program sebegini kerana sebagai wakil rakyat di sini, saya berhak menganjurkannya," katanya kepada akhbar tersebut berhubung larangan pihak Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Al-Falah di Taman Song Choon, Ipoh, terhadap permohonannya untuk menganjurkan Program Gotong Royong dan Memasak Bubur Asyura anjuran Pusat Khidmat Adun Sungai Rapat, sempena sambutan Maal Hijrah 1431H, 1 Januari lalu.

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, program tersebut tidak mendapat persetujuan AJK Surau kerana ianya dianjurkan oleh parti politik (Pergerakan Wanita Umno Bahagian Gopeng) sepertimana yang tertera di banner program tersebut.

Hamidah telah berbohong kepada rakyat dengan mengatakan ianya adalah anjuran Pusat Khidmat Adun Sungai Rapat.

Program bersifat komuniti sepertimana dakwaannya juga ternyata meleset apabila hanya wanita-wanita yang mengenakan vest Wanita Umno sahaja yang berada disana. Komuniti Umnokah yang dimaksudkannya itu?







Keputusan AJK Surau Al-Falah untuk tidak membenarkan program sedemikian dijalankan disurau tersebut adalah tepat dan sesuai kerana menjunjung saranan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah yang mahukan institusi masjid dan surau bebas daripada disalahgunakan bagi kegiatan politik berparti. (Bernama 9/12/2008)

Hamidah juga menyatakan bahawa dia tidak faham mengapa programnya itu dihalang sedangkan sebagai wakil rakyat, dia berhak untuk menganjurkan program sebegini. Disini sekali lagi Hamidah terkeliru lagi mengelirukan dengan mempersoalkan haknya sebagai wakil rakyat sedangkan hak sebenar AJK Surau telah diinjak-injak dengan pencerobohannya keatas surau itu pada hari tersebut.

Mengapa dia tidak nyatakan tentang bagaimana kunci surau diperolehinya untuk memasuki surau tersebut. Dengan kebenaran AJK Suraukah ataupun ada pihak lain yang terlibat?

Hamidah juga ternyata pandai berjenaka apabila mengatakan bahawa penganjuran program ibadah sebegini mampu membentuk ukhuwah selain menyemai semangat perpaduan khususnya dalam kalangan umat Islam. Semangat perpaduan yang bagaimana disemainya dengan pencerobohan keatas surau itu? Persoalannya, apa yang terjadi dengan kelakuan rakusnya menceroboh surau itu sebagai perpaduankah ataupun perpecahan keatas umat Islam setempat?

Kata-kata akhirnya diruangan akhbar tersebut berjaya menggeletek hati saya apabila membaca “Bagi menjayakan sesuatu program sebegini adalah wajar jika sentimen politik diketepikan buat seketika bagi menjadikan sambutan Maal Hijrah 1431H lebih bermakna,” katanya.

Nampaknya rakyat lebih hairan dengan apa yang berlaku berbanding dengan Hamidah yang hairan mengapa programnya dihalang dan tidak mendapat sambutan.

Terdengar suara yang sayup berkata, "Dei Midah....Phoooodah".

Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah

18 Muharram 1431H
Email : Mohd Asri

** Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin enggan mengulas mengenai isu nama Allah yang telah diputuskan di mahkamah, sebaliknya berikut merupakan artikel lama yang telah ditulis beliau dan dicadangkan untuk pembacaan.

Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata: “Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan.

Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible dalam bahasa melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.

Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.
Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.

Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?

Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.
Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).
Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.

Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.

Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan”. Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah”. Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak”.

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia, Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).
Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian,
Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).
Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.

Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.
Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).
Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.
Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!
Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.

Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.

Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3).

Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.

Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sessi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.

Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta..lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?
Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.

Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.

Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.

Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

Bukan melayu sebagai MB, Katakan yang hak walaupun pahit !

17 Muharram 1431

Kenyataan terbaru YAB. Mentei Besar Kelantan, Dato' Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang megatakan kesediaan beliau meminda perlembagaan Kelantan untuk membolehkan orang bukan Melayu boleh menjadi Menteri Besar negeri itu menjadi antara berita yang diperkatakan di penghujung 2009 dan di awal tahun baru 2010 ini.

Saya terpanggil untuk membuat sedikit ulasan dan pandangan peribadi dalam persoalan ini setelah menagguhkan beberapa kali untuk melakukannya. Sebenarnya ini bukan kali pertama kenyataan Tok Guru dalam masalah yang sama. Seingat saya ianya telah melebihi lima kali dan mendapat liputan yang baik dari pelbagai media pro pakatan rakyat dan turut tersiar dalam media pro kerajaan..

Apakah yang menjadikan kenyataan ini penting? Bagi saya Tok Guru telah mendahului zamannya dengan tampil sebagai apa yang dikatakan oleh Baginda Rasulullah :" Berkatalah yang benar walaupun ianya pahit ". Dalam kata lain beliau telah menyakinkan bangsa lain bahawa Islam bukan hanya milik orang melayu sahaja.

Tok Guru telah menampakkan sosok yang sebenar sebagai ulama dan memperlihat dan menjelaskan sesuatu yang sebenarnya yang diajar oleh Islam. Tok Guru telah berjaya menyampaikan mesej Islam bahawa sesungguhnya untuk menjadi pemimpin tidak semesti berbangsa Melayu khususnya di Kelantan itu sendiri.

Beliau sekaligus menjelaskan kepada rakyat Kelantan bahawa Undang-undang Tubuh Kerajaan kelantan yang sedia ada adalah tidak menepati kehendak Islam apabila disebutkan disana hanya orang Melayu yang beragama islam sahaja yang layak menjadi MB Kelantan.

Sekian lama kita mencari seorang pemimpin yang sanggup mengeluarkan sesuatu yang pahit namun ianya benar. Kenyataan untuk meminda supaya manapun bangsa di Kelantan asalkan Islam layak menjadi MB adalah sesuatu yang melonjakkan Islam ke tempat yang sebenarnya.

Kerana itu sayalah orang yang bangga dengan pengikirafan yang diberikan oleh Tok Guru kepada selain dari melayu yang beragama Islam di Kelantan.

Segelintir pemimpin Umno menampakkan kebodohannya dengan menolak cadangan itu dengan andaian ia membelakangi kepentingan Melayu seperti yang dikatakan oleh Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad .

Ketika mengulas pandangan balas itu, Tok Guru menyifatkan mereka yang mempertikaikan cadangannya melantik orang Cina Muslim sebagai ketua kerajaan di Kelantan sebagai taksub kepada bangsa sendiri.

Katanya, bangsa Cina yang beriman kepada Allah tidak menjadi kesalahan dilantik sebagai pemimpin, memandangkan pemikiran mereka sudah lama maju ke hadapan, satu pengitirafan yang tidak boleh dinafikan oleh semua pihak.

Dalam kenyataan terbaru itu Tok Guru menegaskan “Kalau bangsa Arab sekali pun jahat nak jadi Menteri Besar saya tidak terima, tetapi kalau orang Cina berperangai baik, saya akan menyokongnya.

Sebagai Mursyidul Am PAS yang disegani oleh lawan dan kawan, Tok Guru juga telah melonjakkan PAS sebagai sebuah wadah politik yang sesuai untuk semua bangsa di Kelantan dan Malaysia. Sesiapapun yang terlibat dengan PAS apalagi sebagai Ahli yang disyaratkan ianya beragama Islam mestilah mendapat hak yang sama walaupun dari masan asal dan keturunannya.

Sebab itulah apa saja unsur yang menampakkan PAS hanya milik orang melayu mestilah segera di perbaiki. Kesediaan PAS membenarkan tertubuhnya Dewan perhimpunan Penyokong PAS juga sangat memberi nilai tambah kepada PAS.

Saya tertarik dengan ulasan teman saya dalam blognya Al Banjari pada satu masa dulu apabila dia mengatakan saf kepimpinan PAS mestilah diwarnai oleh watak non Melayu namun Islam bagi menampakkan ianya adalah benar-benar Parti Islam, bukannya Parti Melayu.

Kerana itu semua pihak mestilah berlapang dada dan sedia menerima hakikat bahawa PAS pada masa ini adalah milik semua sesuai dengan slogan "PAS For All".


Kenapa Hakim bukan Islam dengar kes perkataan Allah ? Siapa yang patut dipersalahkan ?

17 Muharram 1431

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya mejadi berita dan isu hangat yang mewarnai kedatangan taHUN 2010.

Siapa yang menang dalam masalah ini saya kira perkara kedua yang perlu diperkatakan terlebih dulu. Yang lebih utama dan menjadi kekesalan yang saya rasakan mendapat perhatian banyak pihak ialah Hakim bukan Islam Lau Bee lan yang mengendalikan dan memutusan keputusan penting ini.

Tidak adakah lagi hakim berbangsa Melayu dan beragama islam yang boleh diputuskan oleh pihak yang terbabit untuk mendengar dan memutuskan perkara tersebut. Sedangkan Implikasi yang sangat besar kepada agama Islam. Bila ianya diputuskan oleh hakim yang bukan Islam tentunya saya melihat sesuatu yang tidak kena sekali lagi dalam sistem kehakiman di negara kita..

Rantaian penghakiman yang menyebabkan kepercayaan kepada sistem kehakiman negara yang semakin tidak dihormati adalah sesutu yang tidak boleh dinafikan lagi. Tambahan pula dalam kes perkataan Allah ini telah menambah banyakkan koleksi tersebut.

Bagi saya kesan yang besar akan berlaku dalam sisitem beragama di negara kita hasil dari keputusan tersebut ialah anggapan masyarakat pada satu masa nanti di mana semua agama akan dikatakan sama sahaja.

Realiti tersebut telah berlaku di negara Indonesia dan apakah kita sanggup berdepan dengan keadaan itu dalam keadaan sistem beragama di Malaysia yang saya kira sudah cukup baik apabila semua pihak sudah menerima pakai perkataan Allah itu adalah milik agama islam.

Sebenarnya semacam ada pengaruh pihak tertentu dan pihak luar yang cuba memporak perandakan sistem beragama di Malaysia yang sekian lama diguna pakai.

Persoalannya siapakah yang ingin dipersalahkan, adakah hakim yang bukan Islam yang memutuskan perkara tersebut atau pihak mana yang sebenarnya bertanggung jawab dan patut dipersalahkan.

Sebenarnya inilah kelemahan UMNO yang menunjangi kerajaan yang ada pada masa ini. Kerana UMNOlah sebenarnya agama Islam di bumi tercinta yang subur dengan Islam satu masa dulu telah dimusnahkan.

Kemusnahan dan kehancuran Islam di Malaysia adalah lahir dari sikap pemimpin negara sendiri yang lemah pengamalan Islamnya. Agenda Islam cuma bermain dibibir namun jauh sekali dalam perlaksanaan kehidupan seharian.

Realitinya kepada usaha pengamalam Islam yang lebih syumul sentiasa disekat dan dilemahkan di negara kita.Islam yang lebih liberal dan bercelaru sentiasa didokong oleh kerajaan.

Malah pada satu masa PM Malaysia sendiri memperkenalkan Islam bentuk baru iaitu Islam Hadhari. Jelas UMNOlah yang salah dalam persoalan ini.

Nama ALLAH dalam THE HERALD:Di mana kita?

17 Muharram 1431

http://peguamkita.blogspot.com/

Keputusan Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengisytiharkan nama "Allah" boleh digunakan oleh agama lain mengundang pelbagai polemik sehingga kepada desakan campurtangan Majlis Raja-Raja.

Beberapa NGO termasuk tokoh Pemuda UMNO cuba menjadi hero dengan mengecam hebat keputusan tersebut sehingga menyindir parti-parti politik berasaskan agama yang mengambil langkah berdiam diri ketika ini.

Isu ini sebenarnya harus dilihat secara rasional, tanpa prejudis dan paling utama berdasarkan hujah dan dalil yang sahih serta Qath'ie. Keputusan Mahkamah tersebut harus dinilai berdasarkan persoalan berikut:

Pertama: Apakah skop penggunaan nama Allah dalam THE HERALD? Sekiranya nama Allah dalam artikel mingguan tersebut digunakan bagi tujuan menunjukkan bahawa ia merujuk kepada Tuhan sebenar manusia seluruh alam, maka kita perlu menerimanya.

Ia merupakan suatu pengiktirafan terhadap kewujudan ALlah SWT. Bukankah Allah adalah Tuhan yang menurunkan Rahmat Seluruh Alam? Ia menambahkuatkan lagi bahawa bukan Islam telah memahami Islam dan Tuhan orang Islam.

Kedua: Sekiranya ia merujuk hanya kepada Allah hanya Tuhan bagi agama mereka disamping kewujudan konsep "Trinity" di dalam THE HERALD dan ia disebar luaskan, maka ia telah termasuk dalam kesalahan penghinaan agama lain dimana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 11(4) yang memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran dakyah agama lain.

Dua persoalan ini sudah cukup untuk membuat analisa ringkas tentang keputusan Mahkamah tersebut. Pada hemat saya, umat Islam negara ini perlu dipandu secara jujur dan ikhlas bahawa selagi Allah tidak dihina dan Islam dipijak, maka ruang lingkup perbahasan ilmiah perlu dibuka.

Bagi aktivis yang bermatian-matian "memperjuangkan" isu ini di dalam peti televisyen, saya menjemput anda semua melihat beberapa tragedi-tragedi Islam diputuskan di Mahkamah negara ini.

Kes Pertama: Kes Minister for Home Affairs & Anor v Jamaluddin bin Othman [1989] 1 MLJ 368 & 418, melibatkan tindakan Jamaluddin menyebarkan dakyah Kristian yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mahkamah kemudiannya memutuskan tindakan tersebut (menyebarkan dakyah) tidak memadai untuk mendatangkan ancaman bagi ditahan dibawah ISA. Jamaluddin dibebaskan.

Kes Kedua: Hajah Halimatussaadiah bt Hj Kamaruddin V Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia & Anor 3 MLJ 61, seorang kakitangan kerajaan yang dibuang kerja kerana memakai Purdah. Mahkamah memutuskan bahawa pembuangan kerana memakai purdah adalah betul. Harus diingat, Hajah Halimatussaadiah dibelia oleh peguam Karpal Singh.

Kes Ketiga: Mior Atiqurrahman & Ors v Fatimah Sihi & Ors. 3 orang pelajar sekolah kena buang sebab pakai serban. Mahkamah Persekutuan memutuskan pembuangan pelajar tersebut adalah betul.

Kes Keempat: Che Omar Bin Che Soh [1988] 2 MLJ 55, Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan, memutuskan bahawa Malaysia bukan negara Islam.

Ini adalah antara kes-kes yang amat memeritkan umat Islam, belum lagi dikira kes-kes Murtad yang berleluasa diputuskan dengan mudah oleh Mahkamah. Soalnya dimana UMNO dan NGO "cabuk" perkakas UMNO ini? Adakah keputusan-keputusan Mahkamah ini baik dan harus diterima?

Isu yang "substance" ini lebih utama dari hanya membicarakan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar agama Kristian ini. Adakah mereka mendesak Majlis Raja-Raja campurtangan, disaat aktivis agama, peguam-peguam dan pendokong serta pencinta Islam bertempiaran dikejar dan dihamburkan air berasid hadiah FRU?

Saya melihat isu kalimah Allah ini adalah rahmat kepada umat Islam keseluruhannya, kerana masyarakat ingin melihat lebih jauh dari itu.

Maka di hadapan kita sebenarnya terbentang pelbagai "juadah" jijik yang telah disajikan kepada Islam di Mahkamah negara kita..Justeru, di mana kita?

Tiga Hari: Gatal tempat lain, garu tempat lain

17 Muharram 1431

Zolkharnain Abidin

Proses penamaan calon selama tiga hari adalah antara cadangan pindaan undang-undang yang bakal dibuat oleh SPR. Tujuannya ialah mengelakkan pertembungan penyokong calon dan pergaduhan.

Tidak ada masalah apa-apa untuk menyokong cadangan SPR ini. Tetapi, itu bukan bermakna cadangan ini tidak boleh dibahaskan oleh umum sebelum ia dibahaskan di peringkat legislatif.

Soalan awal ialah hanya tiga hari, mengapa tidak lima atau tujuh? Apa beza satu, tiga, lima atau tujuh? Mengapa tempoh penamaan calon dan bukan tempoh kempen?

Umum tahu, Malaysia berhadapan masalah pilihanraya yang berat sebelah. SPR menjadi pengendali pilihanraya yang bekerja keras memenangkan BN. Pengerusi SPR macam ketua cawangan Umno.

Serius sangatkah masalah penyokong calon berkumpul pada hari penamaan calon? Berapa yang sudah pecah kepala, patah kaki, terjatuh bangunan, terbom sampai berkecai? SPR punya data? Inilah yang dipanggil, gatal di betis tetapi garu di perut. Enjin yang rosak tetapi tayar yang ditukar.

SPR tidak mengendahkan masalah pilihanraya kita yang lebih besar tetapi memberi perhatian kepada masalah kecil. Cadangan ini tidak memberi kesan besar kepada proses pilihanraya Malaysia yang adil, bersih dan telus. Cadangan ini hanya menjadi ‘bedak’ untuk menutup cela-cela yang terdapat di muka SPR.

Apa maknanya tempoh penamaan calon yang panjang jika daftar pemilih masih bercelaru? Bukankah telah dibuktikan semasa PRK Bagan Pinang ada 250 nama pemilih bertindih?

Mana lebih berkesan antara cadangan ini dengan cadangan BERSIH supaya digunakan dakwat kekal di jari pengundi? Panjangkan tempoh penamaan calon boleh memerangkap pengundi hantu?

Apa ertinya cadangan ini jika sistem undi pos masih dipakai? Negara kita dalam daruratkah? Adakah undi pos terus dikekalkan walau dipertikai kerana itu adalah ‘simpanan tetap’ Umno dan Najib juga?

Apa nilainya cadangan ini jika akses kepada media oleh parti-parti yang menentang Umno masih dinafikan? Media kerajaan diperalatkan oleh Umno/BN dan mereka akan berhenti melakukannya dengan cadangan ini?

Adakah SPR menjangka masalah yang bakal timbul jika tempoh itu dipanjangkan?

Misalnya, ugutan kepada bakal calon. Ruang kepada pihak yang berniat jahat untuk mengugut bakal calon adalah terhad selepas penyerahan borang kerana tempohnya kini adalah pendek. Kalau tempohnya sehingga tiga hari, bagaimana?

Bukankah tempoh yang panjang juga membuka ruang untuk bakal calon dirasuah atau dibeli supaya menarik diri? Atau mungkin juga diculik atau di’siempat’kan? Direka-reka pertuduhan untuk menghilangkan kelayakan bakal calon bertanding juga boleh dibuat. Mustahilkah ini berlaku?

Ya, dalam sebuah negara dimana model wanita boleh diletupkan, enjin jet boleh dihilangkan, seorang yang disoal siasat boleh ‘jatuh’ dari bangunan dan mati, stadium dan masjid boleh runtuh, pelabuhan boleh diseleweng, andaian tadi adalah terlalu sukar untuk dinafikan daripada berlaku.

Bagaimana pula dengan keselamatan dokumen penamaan calon yang diserahkan? Apakah jaminan SPR? Kalau rekod kemasukan model wanita ke negara ini boleh ‘hilang’ daripada sistem komputer imigresen, bagaimana dengan rekod bakal calon yang terisi hanya di atas beberapa helaian kertas?

Itu hanya andaian masalah kecil. Andaian ini untuk menggambarkan bahawa cadangan SPR ini tidak menyelesaikan masalah ketidakadilan, ketidaktelusan dan ketidakbersihan pilihanraya kita.

Pendeknya, cadangan SPR ini membuka ruang kepada BN untuk mencipta bentuk-bentuk penipuan, penyelewengan dan pemerkosaan baru kepada sistem pillihanraya Malaysia. Pengalaman rakyat Malaysia menyertai pilihanraya puluhan kali mendorong andaian negatif dibuat kepada BN sebegitu.

SPR pula tidak berupaya membendung penyelewengan dan pemerkosaan baru itu kerana badan itu semenjak sekian lama memang berfungsi sebagai cawangan Umno yang entah ke berapa.

Kesan politik kepada umum pula ialah kepekaan rakyat kepada pilihanraya bakal menurun. Analoginya, hariraya kedua dan ketiga tidak lagi semeriah hariraya pertama. Sesiapa sahaja boleh membeli borang pencalonan dan menghantarnya.

Menyertai pilihanraya bakal menjadi seperti menyertai cabutan bertuah. Kalau tempoh penamaan calon hanya sehari pun berbelas orang orang menyertainya, bayangkan kalau tiga hari. Persepsi rakyat, pilihanraya adalah majlis cabutan bertuah. Negara yang rakyatnya hilang sensitiviti politik bakal mengharungi masa depan yang tidak menentu.

Pendek kata, cadangan SPR ini tidak menyelesaikan masalah asas sistem pilihanraya Malaysia. Cadangan ini turut membuka ruang untuk BN menerokai bentuk-bentuk penipuan baru di samping timbunan penipuan yang telah sedia ada.

SPR, garulah di tempat yang gatal. Bukan gatal tempat lain, garu tempat lain. Kecuali SPR memang tidak punya saraf gatal lagi, garu ikut sedap saja.

PAS Perak lawat Harakah dan Karang Kraf.

17 Muharram 1431

DS. Nizar dan ahli rombongan sedang mendengar taklimat tentang operasi syarikat percetakan Karang kraf.


PAS Perak pada 30 Disember 2009 yang di ketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya 1, YB DS. Hj Muhammad Nizar Jamaluddin telah melakukan lawatan dan kunjungan hormat ke pejabat Harakah di Kuala Lumpur dan pejabat Karang Kraf yang menerbitkan akhbar Sinar Harian di Shah Alam, Selangor.

Ahli rombongan bergambar di Pejabat Urusan Harakah Jalan Pahang, Kuala Lumpur.



Ahli rombongan yang lain ialah Timbalam Pesuruhjaya 2 dan TPJ 3, Dr. Khairuddin Abd. malik dan ust. Mustafa Syaari,Setiausaha PAS Perak, Ust. Misbahul Munir, Ketua Penerangan, Drs. Khalil Idham Lim, Bendahari, Hj. Abd. Rahim Mat Arif, Ketua Dewan Muslimat, Ust. Bariah, Pengarah Pilihanraya Muslimat , Pn. Amizan, Timbalan Ketua Pemuda negeri, Ust. Nuri dan beberapa ahli rombongan yang lain .

Kunjungan ke pejabat Harakah disambut oleh YB Datuk Kamaruddin Jaafar dan beberapa pengarang Kanan Harakahdaily dan Harakah Cetak. Taklimat ringkas kepada ahli rombongan telah disampaikan oleh Datuk Kamruddin dan Sdr. Zulkifli Sulong.

Selain itu satu dialog dan soal jawab dengan editorial diadakan. Antaranya rombongan dari Perak memberi pandangan dan harapan agar isu-isu Perak sentiasa diberi liputan oleh pihak Harakah, PAS Perak juga mengharapkan wartawan Harakah ditambah
memandangkan keluasan negeri Perak yang mempunyai 59 DUN dan 24 Parlimen.

Dalam kunjungan ke Pejabat Karangkraf di Seksyen 15 Shah Alam, kehadiran kami sememangnya dinantikan oleh pihak pengurusan dan para wartawan yang mengendalikan penerbitan akhbar Sinar Harian itu.

Dato' Seri Hj Nizar daan ahli rombongani diberi peluang untuk melawat ke seluruh pejabat Karangkraf yang terkenal dengan lebih 30 penerbitan berbagai jenis majalah. Kami juga dibawa melawat dan diberi taklimat operasi percetakan di kilang percetakan dan penerbitan yang terbesar di Malaysia itu..

Semasa sesi dialog rombongan diberi kesempatan memberi pandangan dan harapan kepada Sinar Harian terhadap liputan dan pemberitaan isu-isu dan aktiviti PAS di seluruh Perak. Sebelum itu para wartawan Sinar Harian telah mengambil peluang untuk bertanya kepada YB Hj Nizar mengenai isu-isu nasional dan isu-isu Perak.

Sesi Dialog dengan pihak pengurusan Karang Kraf yang menerbitkan akhbar Sinar Harian.


Dalam kesempatan tersebut, PAS Perak memberi pandangan supaya Sinar Harian edisi Perak memberi liputan yang sama adil terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS Perak dan juga aktiviti-aktiviti PAS di seluruh kawasan.

Sinar harian dimaklumkan sejak akhir-akhir ini, sangat kurang berita-berita PAS di sana sini, berita UMNO BN lebih banyak disiarkan berbanding berita Perak, kami juga mendedahkan adanya usaha jahat dari pejabat MB Perak melalui Setiausaha Akhbar MB yang cuba mencampuri kebebasan akhbar menyiarkan berita-berita PAS dan PR di Perak, ia sangat berbeza dengan edisi negeri-negeri lain seperti Selangor atau Kedah.

PAS Perak juga mengharapkan Sinar Harian memperbanyakkan pemberitaan mengenai kesedaran anak-anak muda supaya menghayati budaya hidup Islam dengan mengajak mereka kembali ke masjid. Sinar Harian juga diperingatkan supaya nilai berita yang diolah mestilah atas roh amanah dan mengandungi nilai yang boleh memberi kesan mendidik pembaca kepada kesedaran politik dan dakwah.

Mengakhiri kunjungan ke Shah Alam, PAS Perak juga sempat membuat lawatan dan kunjugan ke Percetakan Angkatan Edaran yang mencetak akhbar Harakah dan Siasah yang terletak tidak jauh tidak jauh dari situ. kedatangan kami disambut oleh pengarah urusan Syarikat tersebut, sdr. Azlan Jan.

Rombongan telah diberi taklimat dan dibawa untuk melihat sendiri percetakan Harakah yang sedang beroperasi untuk edisi terkini pada hari tersebut.