30 September 2010

PAS yakin pertahan Galas

20 Syawal 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 29 Sept: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan keyakinan PAS yakin dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada pilihan raya kecil nanti.

Mursyidul Am PAS itu menyatakan demikian berdasarkan sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada parti itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ia ditambah lagi dengan prestasi Allahyarham Chek Hashim Sulaima selaku wakil rakyat di situ sebelum ini.

Menurutnya, sekiranya Umno bercadang untuk meletakkan calon anak tempatan, PAS juga berhasrat sedemikian.

“PAS tidak ketandusan memilih calon dalam pilihan raya itu nanti, memandangkan begitu ramai mereka yang berwibawa,” ujarnya kepada media selepas pada majlis anjuran Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill Kampus Kota Bahru, di sini, pagi ini.

Sehubungan itu, beliau berharap para pengundi yang pernah mengundi Allahyarham Chek Hashim yang mewakili calon PAS pada pilihan raya umum lalu, diminta sekali lagi berbuat demikian pada pilihan raya kecil nanti.

Beliau juga berharap pengundi yang belum berbuat demikian iaitu tidak mengundi calon PAS supaya beralih arus pada pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagaimanapun memberitahu, calon yang bakal dipilih nanti masih belum dibincangkan.

Sementara itu, beliau turut menyokong pandangan Timbalan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, yang mencadangkan supaya Umno tidak perlu bertanding pada pilihan raya kecil itu bagi menjaga perpaduan Melayu.

Jelasnya, demi mengembalikan perpaduan Melayu, sewajarnya Umno tidak bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Harakahdaily/-

No comments: