30 September 2010

PAS yakin Ku Li ambil pendekatan 'low profile'

20 Syawal 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KOTA BHARU, 29 Sept: PAS yakin pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mengambil sikap 'low profile' pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas nanti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, beliau yakin Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li, mempunyai kaedah sendiri namun jika dia tidak menonjol adalah lebih baik.

"Faktor Ku Li memang kita tak boleh pandang rendah, tapi kita yakin mood beliau sendiri pada BN pada waktu ini tak begitu tinggi.

"Kita harap dia berada dalam keadaan low profile kerana dia pun dipinggirkan oleh pemimpin BN selama ini," katanya yang juga Adun Bukit Tuku kepada Harakahdaily hari ini.

Galas merupakan Dun yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang iaitu kawasan Ku Li bersama Dun Nenggiri dan Paloh.

Selain sebagai Ahli Parlimen, Ku Li juga merupakan ketua Umno Gua Musang.

Faktor Ku Li disifatkan sangat menarik pada PRK kali ini kerana beliau satu-satunya pemimpin Umno yang bersetuju dengan tuntutan kerajaan PAS negeri itu menuntut hak royalti minyak yang dinafikan kerajaan Pusat.

Lebih menarik lagi, apabila isu tuntutan hak royalti negeri ini dijangka akan menjadi antara isu utama sepanjang kempen pilihanraya itu nanti.

Ku Li hari ini seperti dilaporkan media bagaimanapun berkata, beliau akan berusaha merampas Dun Galas dari PAS.

Mengulas kelebihan PAS pula, Abdul Fatah berkata beliau optimis parti itu mampu mempertahankan kerusi Dun itu malah dengan pertambahan majoriti undi berbanding sebelum ini.

Ianya disandarkan kepada beberapa faktor termasuk hubungan baik kerajaan negeri dengan rakyat sejak lama.

"Kerajaan negeri sekarang berada dalam keadaan sangat baik, hubungan yang lunak antara pemimpin politik dengan kakitangan kerajaan serta pihak istana.

"Malah rakyat juga dapat menilai segala dakwaan pihak pembangkang negeri bahawa terdapat penyelewengan telah dibuktikan bahawa tidak wujud," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. Saufi mendapat 3,753 undi.

Dun Galas mempunyai komposisi kaum dengan majoriti Melayu seramai 6,200, Cina (1,900), India (170) dan Orang Asal (2,000).

Menurut Abdul Fatah lagi, sokongan kesemua kaum kepada kepimpinan Tok Guru sangat baik termasuk dari penduduk Asal.

Sebahagian besar masalah dan keperluan penduduk Asal negeri itu juga jelasnya telah ditangani dengan baik oleh kerajaan negeri.

"Kesemua kaum Melayu, Cina , India dan orang Asal memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan Tok Guru," tambahnya.

Harakahdaily/-

No comments: