04 September 2010

MDBG Lelong Lembu


25 Ramadhan 1431H.
V. Sivakumar.

Bayaran Menuntut Balik Haiwan Tidak Munasabah

Majlis Daerah telah menangkap 2 ekor lembu dan ekor kerbau pada 28 Ogos 2010. Haiwan-haiwan ini ditangkap kerana kesalahan peruntukan undang-undang yang berkaitan Sek 3(10) Undang-undang Kecil Haiwan Merayau MDKB 1984. Pemilik kerbau tidak datang untuk menuntut haiwan peliharaannya.

Dua ekor lembu ditangkap pada jam 3.30 pagi di kawasan lebuh raya dekat Batu Gajah. Butir-butir kesalahan ialah membiarkan haiwan peliharaan tanpa kawalan di kawasan lebuh raya. Untuk kesalahan tersebut, kompaun sebanyak RM 250 telah dikenakan oleh Majlis Daerah Batu Gajah.

Tambahan pula, pihak Majlis Daerah Batu Gajah mengenakan bayaran menuntut balik haiwan yang disita berdasarkan Undang-undang Kecil 4 kepada Undang-undang Kecil Haiwan Merayau (MDKB) 1984.

Dalam kes tangkapan ini, bayaran yang dikenakan untuk mendapatkan balik haiwan ialah RM2000 seekor. Oleh itu, RM 4000 dikenakan terhadap seekor lembu jantan dan seekor lembu betina yang disita oleh Majlis Daerah Batu Gajah pada 28 Ogos 2010.
Oleh yang demikian, pemilik lembu-lembu itu dikehendaki membayar RM 250 kompaun dan RM 4000 untuk bayaran menuntut balik haiwan yang disita. Dengan itu, jumlah besar yang patut dibayar untuk mendapatkan semula lembu-lembu itu ialah RM4250.

Jumlah itu adalah terlalu besar untuk dibayar oleh pemilik lembu tersebut. Dalam kata lain, undang-undang tersebut tidak memberi peluang kepada pemilik lembu untuk mendapatkan lembu peliharaannya. Harga pasaran lembu jantan yang ditangkap ialah RM 800 manakala harga pasaran lembu betina yang ditangkap pula lebih kurang RM650 sahaja. Nilai sebenar kedua-dua lembu yang ditangkap itu ialah lebih kurang RM1450 sahaja. Tetapi jumlah yang perlu dibayar untuk mendapatkan kembali lembu-lembu itu jauh lebih besar daripada nilai sebenar. Pemilik terpaksa menbayar lebihan sebanyak RM2800. Dari segi logiknya, tidak munasabah untuk pemilik tersebut untuk menuntut lembu-lembu itu.

Jika lembu-lembu tersebut tidak dituntut oleh pemilik dalam tempoh yang diberikan, maka ia akan dilelong kepada orang awam. Dalam kes ini, lelongan awam telah dibuat oleh Majlis Daerah Batu Gajah pada 3 September 2010 di bangunan lama MBKB. Lelongan dimulakan dengan harga RM1500 seekor, tetapi tidak ada mana-mana pihak berminat untuk membeli lembu-lembu tersebut dengan harga yang begitu tinggi. Akhirnya Majlis Daerah Batu Gajah tidak berjaya menjual lembu-lembu yang ditangkap olehnya dalam lelongan awam.

Menurut V.Sivakumar, ADUN kawasan Tronoh, ‘Sudah tentu orang tidak akan membeli sesuatu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran dalam lelongan awam kecuali untuk barang-barang antik. Pihak Majlis Daerah Batu Gajah harus sedar tentang perkara ini dan meminda Undang-undang Kecil Haiwan Merayau (MDKB) 1984 supaya ia boleh diguna pakai dan relevan’

Perkara ini membuktikan kecacatan dalam Undang-undang kecil tersebut. Oleh itu, Ahli-ahli Majlis Batu Gajah seharusnya membuat pemindaan undang-undang dengan segera. Aduan juga diterima bahawa MBI hanya mengenakan kompaun sebanyak RM250 sahaja, begitu juga dengan beberapa Majlis Daerah yang lain.

Menurut V.Sivakumar lagi, tindakan harus diambil terhadap mereka yang bersalah, tetapi hukumannya mesti logik dan relevan. Sebagai contoh :-

1) Tangkapan pertama – kompaun RM 250
2) Tangkapan kedua – kompaun + bayaran menuntut balik RM 500
3) Tangkapan ketiga – kompaun + bayaran menuntut balik RM750
4) Tangkapan keempat – terus dilelong

V.Sivakumar juga mengakui bahawa masalah lembu dan kerbau adalah amat ketara di kawasannya. Beliau menegaskan supaya satu sistem yang lebih ketara dan berkesan dilaksanakan oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah dalam membendung masalah ini. Pihak kerajaan negeri juga perlu prihatin dengan penternak-penternak lembu dan kerbau ini. Lebih banyak kemudahan dan padang ragut disediakan untuk mengatasi masalah ini. Tempatkan penternakan lembu dan kerbau dilokasi yang sesuai supaya masalah haiwan berkeliaran tanpa kawalan dapat diatasi. Ini akan menyelesaikan masalah orang awam secara umum dan masalah penternak secara khusus.

3 comments:

Anonymous said...

Ana tak setuju dgn YB Siva bela penternak lembu ni...memang patut pun kena kompaun yg tinggi...Buat apa nak bagi kompaun RM250 je..lepas kena lagi baru naik kompaun.Lembu & kerbau bersepah-sepah kat Jalanraya,taman2 perumahan,Lebuhraya dan kawasan industri. Ingat bukan senang nak tangkap lembu & kerbau ni.

Apa pasal pulak majlis kena sediakan padang ragut?? Ni apa punya cadangan ni..X masuk akal langsung.Org awam dah bosan dgn lembu & kerbau ni... Sokong MDBG tangkap lagi lembu2 ni..boleh jual masa hari raya nanti

Anonymous said...

Berapa harga seekor lembu sekarang? Tengah cari nak buat kenduri aqiqah!

http://jamtaqwimdigital.blogspot.com

Anonymous said...

Lembu-lembu....
Tuan lembu dan kerbau serta kambing sepatutnya menjadi penternak, bukannye membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran hingga mengancam nyawa pengguna jalan raya, pemandu-pemandu seboleh-bolehnya akan cuba mengelak dari melanggar haiwan yang berkeliaran yang kebiasaannya akan mengundang padah kepada pemandu dan penumpang berkenaan, justeru itu kepada pemilik-pemilik haiwan-haiwan yang menjadi kesayangan tuan nye..perihatinlah..AWASILAH HAIWAN ANDA..
IKHLAS DARI MANGSA YANG PERNAH MELANGGAR KERBAU DI JALAN BIDOR-TELUK INTAN, ALHAMDULILLAH SYUKUR SAYA TIDAK APA-APA, BAIKI KERETA DEKAT 2 RIBU LEBIH, YANG RALATNYA KERBAU ITU MATI TANPA SEMPAT DISEMBELIH BERHATI-HATI KETIKA MELALUI JALAN INI..