30 September 2010

Habib buka hotel yakin ekonomi Kelantan

20 Syawal 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 28 Sept: Habib Jewels memilih Kelantan sebagai negeri pertama untuk pelaburannya dalam bidang perhotelan kerana yakin dengan perkembangan ekonomi yang pesat di negeri ini.

Pengurus Besar Habib Jewels Holding, Abdul Razak Abdul Kader, berkata setelah setahun pihaknya membuat kajian berhubung perkara itu, akhirnya bulan Ogos lalu, hotel yang bercirikan ‘butik’ itu beroperasi di Kelantan.

Bagaimanapun, menurutnya, ianya akan dibuka secara rasmi pada 14 Oktober ini di mana satu majlis perasmian akan diadakan.

Menurutnya lagi, berdasarkan maklumat yang diperolehi peluang ekonomi di Kelantan akan bertambah maju pada masa akan datang.

“Kerana itu kami sebagai orang bisnes sanggup melabur di negeri ini dalam eset yang lain pula,” ujarnya.

Tambahnya, pada masa yang sama ianya juga bakal memberi peluang pekerjaan pada masyarakat Kelantan apabila sebahagian besar pekerja di hotel tersebut termasuk ‘show room’ Habib Jewels dan kilang terdiri dari masyarakat Kelantan.

Sambung Razak lagi, sambutan orang ramai terhadap hotelnya hampir memenuhi sasaran sebagaimana yang dijangkakan walaupun baru sebulan dibuka.

Ini kerana, katanya lebih 50 peratus pengunjung telah mendiami hotel tersebut yang terdiri dari ahli perniagaan, kakitangan kerajaan Persekutuan dan pelancong tempatan.

Hotel Habib menawarkan dua pilihan kepada pelanggannya iaitu superior dengan harga RM130 dan deluxe RM150 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 32 bilik.

Kedudukannya yang begitu strategik di tengah bandar Kota Bharu dijangka akan mendapat sambutan yang lebih hebat pada masa akan datang.

Harakahdaily/-

1 comment:

InSaN BiAsA said...

tahniah..kelate