30 September 2010

'Duta makhluk asing' nafi dilantik PBB

20 Syawal 1431 H

Setelah 48 jam dinobatkan sebagai duta bumi pertama untuk berkomunikasi dengan makhluk asing, Prof Datuk Dr Mazlan Othman akhirnya menafikan diberikan mandat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi tujuan itu.

"Ia kedengaran menarik, tetapi saya harus nafikannya," kata Dr Mazlan melalui e-mel kepada The Guardian.

Kelmarin, bekas ketua pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa) itu menjadi tajuk berita utama di peringkat antarabangsa apabila dilapor dicadang sebagai individu pertama berkomunikasi dengan makhluk asing jika kehadiran entiti berkenaan berjaya disahkan secara saintifik.

Langkah memberi tanggungjawab itu kepada Mazlan, 58, dilaporkan selaras dengan kedudukannya sebagai Pengarah di Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOOSA) yang beribu pejabat di Vienna, Austria.

Mazlan bagaimanapun hari ini berkata beliau akan terus bercakap tentang "objek yang hampir dengan bumi" dalam persidangan berkaitan daripada bertemu dengan makhluk hijau seperti manusia itu.

PBB juga hari ini dilapor turut menafikan rancangan melantik duta bagi tujuan itu kerana "kerja itu tidak wujud sama sekali", lapor BBC.

Malaysiakini/-

No comments: