19 August 2010

Setem kad raya 50 sen tahun ini

8 Ramadhan 1431 H

Sempena sambutan Hari Raya, Pos Malaysia tahun ini hanya mengenakan bayaran setem 50 sen bagi kad ucapan yang tidak melebihi 50 gram, berbanding harga biasa 70 sen berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Ketua Sokongan Operasi PosMel Zaidi Hussain berkata kadar istimewa itu bagi semua destinasi di negara ini dan ia lebih rendah berbanding 80 sen pada tahun lepas.


Kadar itu berkuatkuasa sehingga 28 Feb tahun depan bagi meliputi perayaan utama di negara ini iaitu Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina, katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata kadar setem yang rendah ini diharap dapat menghidupkan semula amalan menghantar kad ucapan yang semakin berkurangan berikutan perkembangan teknologi masa kini yang menggalakkan penggunaan internet dan SMS.

"Kadar yang 25 peratus lebih rendah berbanding harga biasa itu boleh digunakan untuk menghantar kad ucapan dalam pelbagai saiz tetapi beratnya tidak melebihi 50 gram," katanya.

Zaidi berkata bagaimanapun harga setem untuk kad ucapan ke destinasi antarabangsa masih dikenakan berdasarkan caj biasa, sama ada mengikut penghantaran laut atau udara.

Beliau berkata Pos Malaysia menjangkakan jumlah kad raya tahun ini bertambah sebanyak tiga peratus iaitu daripada 6.84 juta tahun lepas kepada tujuh juta kad tahun ini.

Pada sambutan Hari Raya tahun lepas, jumlah terbesar yang menghantar kad ucapan ialah dari Lembah Klang iaitu sebanyak 56 peratus, diikuti Selangor (19 peratus), sementara negeri lain kurang dari 10 peratus, katanya.

Zaidi berkata walaupun terdapat persaingan dengan kemudahan teknologi baru, orang ramai tetap menghantar kad ucapan kerana ia lebih bersifat peribadi dan boleh disimpan sebagai kenangan.

Bagi memastikan penghantaran kad ucapan berjalan lancar, Pos Malaysia akan mengambil 50 pekerja sementara, dan penambahan akan dibuat jika jumlah penghantaran kad melebihi jangkaan, katanya.

Beliau berkata tarikh akhir menghantar kad ucapan Hari Raya Aidilfitri ialah 6 Sept.

Malaysiakini/-

No comments: