02 March 2010

Sidang Dun Kelantan lulus usul royalti sebulat suara

15 Rabiul Awwal 1431H.
M Faqih

KOTA BHARU, 1 Mac: Usul agar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan bagi pihak Negeri Kelantan memikirkan tindakan-tindakan yang sesuai termasuklah tindakan mahkamah bagi memastikan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipatuhi disokong sebulat suara termasuk oleh pihak pembangkang Dun Kelantan.

Usul itu yang dikemukakan oleh Adun Air Lanas, Abdullah Yaakub dibahas dan diluluskan sebulat suara.

Adun BN, Aziz Derasid (BN-Kuala Balah) antara yang bangkit dan berkata "sokong" ketika speaker minta ahli-ahli dewan lain memberi sokongan terhadap usul itu.

Speaker, Nasaruddin Daud berkata, selepas meneliti cadangan tersebut beliau mendapati ia memenuhi tiga syarat iaitu perkara yang tertentu dan mustahak, kedua, bagi kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Sebelum itu beliau menanyakan sokongan terhadap usul tersebut.

Ekoran itu kesemua Adun bangun sebagai menyatakan sokongan kepadal usul terbabit termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad, Mat Yusof Abdul Ghani (BN–Nenggiri) dan Datuk Abdul Rashid Aziz (BN–Kuala Balah).

Adun Barisan Nasional yang tidak berdiri iaitu Datuk Nozula Mat Diah (BN–Paloh) dan Adhan Kechik (BN–Bukit Bunga), manakala Datuk Noorzahidi Omar (BN–Pengkalan Kubur) tiada dalam dewan ketika itu.

Usul tersebut dikemukakan selepas selesai sesi soal jawab secara lisan.

Usul berkenaan berdasar kepada peruntukan Peraturan Tetap Dewan Negeri Kelantan Perkara 30 (1) bagi cadangan menangguh persidangan kerana merundingkan perkara-perkara mustahak bagi orang ramai.

Usul terbabit berbunyi, “bahawa Dun memberi mandat kepada MMK bagi pihak kerajaan negeri mengambil apa-apa tindakan mahkamah yang bersesuaian bagi mendapatkan bayaran tunai yang terhak kepada rakyat dan kerajaan Kelantan mengikut perjanjian dan penyerah hakkan kuasa-kuasa petroleum sama ada di daratan atau di lautan negeri Kelantan yang ditandatangani pada 1975.

“Seperti mana kehendak undang-undang tunggal yang berkaitan dengan pengeluaran petroleum iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974, pada bila-bila masa yang difikirkan oleh kerajaan negeri.”

Abdullah berkata, sebanyak 13 negeri di negara ini telah menandatangani penyerahan hak pada 1975 dan 1976 kepada Petronas bagi membolehkan carigali minyak dijalankan tanpa mengambil kira jarak kedudukan lokasi minyak.

Oleh itu katanya, mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 sebagai balasan terhadap penyerahan kepunyaan dan hak-hak kuasa dan keistimewaan itu, Petronas hendaklah membuat bayaran tunai kepada negeri.

Cadangan tersebut disokong Datuk Omar Mohamad (PAS – Perupuk).

Ekoran sokongan padu itu Speaker menerima dan meluluskan cadangan tersebut dan kemudian dibuka kepada perbahasan.

Zulkifli Mamat (PAS–Pulai Chondong) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut berkata, biar pun beliau menyokong penuh usul tersebut namun cukup sedih apabila ada pihak gagal memahami perjanjian yang dibuat pada 1975.

“Saya cukup sedih apabila Peguam Negara, menteri-menteri dan timbalan menteri gagal untuk memahami perjanjian yang telah ditandatangani.

“Sedangkan semangat atau moral perjanjian itu Petronas perlu membayar wang tunai kepada negeri berdasar kepada petroleum yang dijumpai di negeri terbabit,” ujarnnya.

Menurutnya, suatu kezaliman telah berlaku di mana kerajaan pusat lebih mengutamakan politik apabila cuba menafikan hak yang sepatutnya diperolehi kerajaan Kelantan.

Kata beliau, amat mudah untuk memahami semangat perjanjian tersebut, di mana Pak Mat dan Pak Leh di kampung pun diyakini boleh faham.
Beliau berkata, tuntutan royalti sebenarnya tidak perlu dibawa ke mahkamah sekiranya kerajaan pusat menunaikan tanggungjawab mereka seperti terkandung dalam perjanjian.

Beliau juga mencadanngkan supaya kerajaan negeri mengkaji semula setiap perjanjian dengan mana-mana pihak dalam tempoh 10 tahun sekali.

Zulkifli juga berhujah sekiranya kuasa carigali diberi kepada syarikat asing Kelantan mampu menikmati royalti sehingga 25 peratus.

“Perkara itu pernah berlaku di mana Sarawak sebelum ada PDA telah menandatangani perjanjian dengan Shell, di mana syarikat tersebut memberi royalti antara 8 hingga 12peratus kepada negeri berkenaan,” tambahnya

Harakahdaily/-

7 comments:

Anonymous said...

jangan percaya helah UMNO

Anonymous said...

jangan percaya sokongan Adun BN/UMNO, sokong membawa rebah

Anonymous said...

adun UMNO percaya mahkamah boleh dipengaruhi?

Anonymous said...

perlu bebaskan sistem kehakiman dulu dengan malaysia diperintah pakatan rakyat

Anonymous said...

UMNO musuh yang menikam dari belakang

Anonymous said...

umno sesat di jalan yang terang

Anonymous said...

bincang YB umno ibarat bincang dgn barang yg tersepit dipagar,bila terlepas kaki kita digigitnya...