24 December 2009

Jangan jadi macam pelita atau lilin

http://akhisalman.blogspot.com/

Mungkin kita selalu dengar perumpamaan yang mengumpamakan guru seumpama lilin. Lilin membakarkan dirinya untuk menerangi orang yang disekitarnya. Ia disamakan guru yang mengorbankan dirinya demi kepentingan orang lain. Namun Islam menyanggah perkara ini sekiranya ia bermaksud menyampaikan ilmu kepada orang lain tetapi melupakan diri sendiri untuk beramal. Nabi saw bersabda:


مَثَلُ الَّذِيْ يُعَلِّمُ النَّاسَ الْخَيْرَ وَيَنْسَى نَفْسَهُ كَمَثَلِ السِّرَاجِ يُضِيْءُ لِلنَّاسِ وَيَحْرِقُ نَفْسَهُ

"Perumpamaan orang yang mengajar kebaikan kepada manusia lain dan melupakan dirinya untuk diamalkan seumpama pelita yang menerangi manusia lain dan membakar dirinya sendiri."

Hadis ini diriwayat oleh Imam at-Thabrani dalam Mu'jam Kabir. Imam Manawi menghukum hadis ini sebagai HADIS HASAN. Imam Haithami mengatakan para perawinya adalah thiqah.

KEADAAN PELITA DAN LILIN ADALAH SAMA

MEREKA YANG TERMASUK DALAM PELITA YANG MEMBAKAR

1) Penceramah yang melupakan dirinya.

Tidak ada siapa yang mampu untuk beramal dengan semua apa yang disampaikan. Namun bagi penceramah yang hanya hendak menambahkan ilmunya dan mengajak manusia kepada kebaikan tetapi tidak sama-sama mahu memperbaiki dirinya sendiri maka inilah yang dicela dalam Islam. Nabi saw bersabda:


إن أخوف ما أخاف عليكم بعدي كل منافق عليم اللسان


" Sesungguhnya perkara yang amat aku takuti berlaku kepada kamu selepas kewafatanku adalah orang munafik yang pandai bercakap (tapi tidak mengamalkannya)." (Hr Thabrani, Bazzar dan Ahmad - SAHIH)

2) Penulis yang melupakan dirinya

Hari ini telah timbul penulis-penulis bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Kewujudan-kewujudan blog dakwah dan yang Islamik semakin banyak. Namun gejala sosial semakin berleluasa. Ini menunjukkan keberkesanan yang kurang akibat islam hanya ada pada blog tetapi tidak ada pada amalan seharian. Kalau kita lihat dalam blog seolah blogger tadi seorang yang hebat dari segi ilmu dan amalannya. Namun realiti yang terjadi hubungan manusia dengan tuhannya amat lemah. Mereka menyuruh dan menggalakkan orang lain berbuat baik tetapi mereka sendiri tidak melakukannya. Islam hanya pada tulisan dan bukannya pada hati dan anggota. Nabi saw bersabda:


يجاء بالرجل يوم القيامة قيلقى في النار فتندلق أقتابه فيدور بها كما يدور الحمار برحاه فتجتمع أهل النار عليه فيقولون : يا فلان ما شأنك؟ ألست تأمر بالمعروف وتنهى عن المنكر ؟ فيقول : كنت آمركم بالمعروف ولا آتيه وأنهاكم عن الشر وآتيه


" Didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat lalu dicampakkan kedalam neraka. Usus-ususnya keluar dan berputar-putar seperti mana keldai berputar dalam tempat pengisar. Para penghuni neraka berkumpul mengerumuninya dan bertanya "Bukankah engkau menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran?" Dia menjawab " Aku menyuruh kebaikan serta tidak melakukannya dan mencegah kemungkaran serta tidak meninggalkannya."

Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

3) Penganjur program kebaikan yang melupakan dirinya

Menganjurkan program kebaikan adalah suatu perkara yang amat baik. Semua prgram tersebut adalah semuanya bertujuan untuk mengembalikan manusia kepada Allah dan mendekatkan diri kepada ilahi. Namun yang kita lihat orang-orang yang sibuk prgram ,tetapi dalam masa sama kurang hubungan mereka dengan tuhan. Balik lewat malam dan tahajudnya tiada dan subuh lewat di rumah. Hanya bersungguh memprgramkan orang lain tetapi lupa untuk memprgramkan diri bersama tuhan. Saidina Umar ra berkata:


لئن نمت الليل لأضيعن حق الله ولئن نمت النهار لأضيعن حق الرعية


" Kalau aku tidur waktu malam aku meyia2kan hak Allah dan kalau aku tidur waktu siang aku akan menyia-nyiakah hak rakyat."

KESIMPULAN

Marilah kita menyampaikan ilmu dan mengamalkan ilmu sedaya mungkin. Menyembunyikan ilmu dilarang oleh Islam. Nabi saw bersabda:


من كتم علما ألجمه الله يوم القيامة بلجام من نار


" Sesiapa yang menyembunyikan ilmunya , Allah akan mengekang dirinya dengan kekangan dari neraka pada hari kiamat. " (Hr Ibnu Hibban dan Hakim - sahih)

Menyampaikan ilmu dengan berceramah, menulis atau menganjurkan prgram sahaja tanpa ada usha untuk beramal dan memperbaiki diri adalah dilarang dalam Islam. Nabi saw bersabda:

مررت ليلة أسري بي بأقوام تقرض شفاههم بمقاريض من نار قلت : من هؤلاء يا جبريل؟ قال : خطباء أمتك الذين يقولون ما لا يفعلون


" Pada malam isra' aku telah lalu pada sekumpulan manusia yang dipotong lidahnya dengan gunting-gunting dari neraka. Aku bertanya "Siapakah mereka wahai jibril?" Jibril menjawab " Mereka adalah penceramah-penceramah dikalangan ummatmu yang berkata apa yang mereka tidak lakukan."

Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

perhatian: Penulis mengucapkan Jazakumullah khairan Kathira kepada yang telah menyumbang untuk membeli buku-buku rujukan terutama ibu bapa dan pelajar-pelajar medic mansurah. Dialu2kan untuk sumbangan kerana banyak lagi buku2 yang diperlukan.

Rujukan: Muntaqa at-Targhib Wat-Tarhib oleh Dr Yusuf al-Qardawi.

Perutusan Sambutan Hijrah 1431: Satu Iktibar

6 Muharram 1431H
Ustaz Idris Ahmad

18/12/09
Selamat menyambut tahun baru hijrah 1431. Semoga kedatangan tahun baru hijrah dapat memberikan pengertian yang bermakna kepada perjuangan agama Allah di atas muka bumi ini. Hijrah yang memerlukan pengorbanan jiwa, perasaan, tenaga dan harta benda. Baginda berhijrah kerana ia adalah arahan Allah SWT kerana bumi Makkah tidak subur untuk baginda meneruskan usaha dakwah. Maka baginda berhijrah kerana di Madinah adalah tapak yang subur untuk nabi SAW meneruskan usaha menegakkan Islam yang syumul.

Semangat hijrah yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW mesti dijadikan aspirasi kita dalam meneroka jajaran dakwah di negara ini. Hijrah dengan penuh strategik dan perancangan yang begitu rapi bukan secara membuta tuli. Nabi SAW melakukan hijrah dengan mengambil jalan yang jarang manusia lain lalu, bersembunyi di Gua Thur sebelum terus bergerak ke Madinah, semua ini menunjukkan Nabi SAW memberi tarbiah kepada kita dalam kerja dakwah dan perjuangan walaupun nabi boleh berdoa kepada Allah dan mengutuskan tentera-tentera Allah untuk membantu Nabi tanpa bersusah payah. Sebaliknya Nabi telah merancang dengan begitu teliti sekali sewaktu baginda mangatur untuk berhijrah.

Iktibarnya walaupun perjuangan kita betul, dan musuh kita salah dan batil, tetapi jika kita tidak merancang dengan betul, bererti kita merancang untuk gagal. Dalam konteks demokrasi jika kita tidak meramaikan ahli dan perbanyakkan cawangan serta menambahkan pengundi berdaftar maka kita kalah. Sunnah Allah tidak berubah. Kalau PAS tidak buat kerja kita kalah, kalau Umno buat kerja dia menang.

Semoga hijrah memberikan pengajaran yang cukup bermakna kepada perjuangan kita dan mencapai cita-cita suci kita semua. Kita mengharapkan kerja kita pada tahun 1431H lebih cemerlang daripada 1430H. Kita tinggalkan segala kerja-kerja yang melambatkan kemenangan kita seperti berbalah sesama sendiri, menyelesaikan masalah parti dengan menggunakan media musuh, mendedahkan strategi parti dan mendedahkan apa yang berlaku di dalam mesyuarat dalam blog. Azam baru kita ialah hijrahlah kepada hidup yang lebih harmoni dan membina parti kita dengan lebih cemerlang. Hijrahlah kepada akhlak berjamaah yang menguntungkan parti. Hijrahlah untuk menegur parti di majlis yang sesuai dengan akhlak orang yang mahu melihat Islam didaulatkan. Hijrahlah untuk membina parti yang lebih cemerlang dan Islam dijulang.


'Raja Nazrin arah guna senarai asal'

6 Muharram 1431H

Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Datuk Seri Yeop Junior Yeop Adlan berkata beliau telah menerima arahan dari Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah supaya membuat pelantikan jawatankuasa masjid dalam mukim Slim berdasarkan senarai asal yang dipersetujui sebelum ini.

Raja Dr Nazrin juga merupakan yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak.

Berikutan itu, beliau telah mengarahkan pegawai tadbir agama (PTA) daerah berkenaan supaya mengeluarkan surat pelantikan secepat mungkin.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Yeop Junior berkata beliau berharap majlis penyerahan watikah pelantikan tersebut dapat disempurnakan sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya, senarai yang dipersetujui itu adalah bertarikh 2 Ogos 2009.

"Senarai yang dipinda itu tidak diterima," katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini isu berkenaan.

Sebelum ini, majlis penyerahan watikah pelantikan itu ditangguhkan ekoran timbulnya dakwaan bahawa Jabatan Agama Islam Perak telah menukar senarai jawatankuasa beberapa masjid di negeri itu dengan memasukkan nama penyokong PAS.

Perkara itu dibangkitkan oleh ADUN Slim Datuk Khusairi Abdul Talib minggu lalu yang mendakwa perbuatan itu 'tidak beretika dan membelakangkan senarai yang telah diperkenankan oleh Raja Dr Nazrin'.

Beliau mendakwa antara masjid dalam mukim Slim yang dikesan terlibat adalah Masjid Sultan Idris Shah II, Masjid Kampung Kelan, Masjid Jamek Kampung Kuala Slim, Masjid Jamek Slim Village, Masjid Jamek Kampung Balun, Masjid Jamek Kampung Pasir dan Masjid Jamek Kampung Rasau, manakala dalam mukim Hulu Bernam pula, ia melibatkan Masjid Behrang 2020, Masjid Jamek Tanjung Malim, Masjid Jamek Kampung Sungai Dara dan Masjid Jamek Behrang Stesen.

MalaysiaKini/-

Khutbah Nabi Mengenai Dajjal

6 Muharram 1431H
Email : mohd fadil

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: "Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal."

Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi(angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin.

Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya.Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

"Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciriDajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

"Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

"Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas.

Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

"Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab:
"Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu-bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu."

"Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah." Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."

Kata Rasulullah s.a.w lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun . Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi. "Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah.

Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

Dalam hadis yang lain, "di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur."

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: "Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi."

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a.mengatakan:
"Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: "Mengapa menangis?"

Saya menjawab: "Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya. " Rasulullah s.a.w berkata: "Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa."

Ada yang bertanya: "Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?" Rasulullah s.a.w menjawab:

"Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu." Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: "Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?" Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: "Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?"

Mereka semua menjawab: "Ya, kami ingin." Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: "Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh.

Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas'ud dan kemudian membunuh Dajjal itu."

Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita.

Sabda Rasulullah : "Sebarkanlah walau seayat."

Wa'allahualam….Hanya Allah dan Rasulnya yang mengetahuianya.Amiinn

[Fikrah Islamiah] Sultan Selangor tegur siapa? - Satu analisis

6 Muharram 1431H
Oleh : Ahmad Baei Jaafar

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin tegur siapa semasa titah baginda pada hari keputeraannya baru-baru ini? Berdasarkan pembacaan surat khabar arus perdana teguran sultan Selangor itu ditujukan kepada sikap Menteri Besar Selangor dan pemimpin PR yang suka membesarkan isu politik daripada memikirkan pembangunan negeri. Begitu juga seperti yang dipaparkan dalam berita utama televisyen.

Membaca laporan Malaysiakini dan meneliti teks ucapan baginda, didapati terdapat beberapa mesej yang hendak disampaikan oleh baginda. Jelasnya teguran itu tidaklah bermaksud begitu semata-mata. Baginda tegur parti pemerintah, tegur parti pembangkang Selangor dan rakyat keseluruhannya.
Kepada kerajaan Selangor, baginda mengingatkan semua pimpinan tertinggi negeri Selangor agar jangan banyak bercakap sahaja malah melaksanakan perkara-perkara yang berfaedah kepada rakyat di negeri itu.

"Beta percaya rakyat pada masa sekarang ini lebih selesa berbincang dan bercakap mengenai pembangunan dan kesejahteraan daripada bertelagah mengenai soal-soal politik.

"Oleh yang demikian, beta mengingatkan bahawa kerajaan Selangor pada masa kini adalah bertanggungjawab membina dan membuat landasan bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang," titahnya.
Sultan Selangor turut menyeru Menteri Besar Selangor dan barisan exconya agar melaksanakan tugas-tugas mentadbir dan membangunkan negeri dengan penuh dedikasi.

Kepada pembangkang baginda mahu mereka hentikan sikap mencari kesalahan dan kelemahan pemberintah.

"Masa untuk mencari kesalahan dan kelemahan telah berlalu dan telah tiba pula masanya untuk kerajaan sekarang melaksanakan segala perancangan dan janji-janji yang dibuat ketika berkempen (dalam pilihan raya umum lepas) dan mengatasi semua masalah yang dihadapi rakyat demi kemajuan dan kemakmuran negeri ini," titah baginda.
Kepada rakyat Selangor baginda mahu mereka rebut peluang yang disediakan kerajaan. Rakyat sepatutnya berkerja dengan sungguh untuk kejayaan sendiri dan kerajaan.

Politik dunia Islam 2009: 10 berita utama

6 Muharram 1431H

Perkembangan dunia Islam terus menjadi berita-berita utama antarabangsa, memberi kesan kepada politik serantau dan global, bermula dengan serangan Israel ke atas Gaza pada Disember 2008 sehingga Januari 2009, kepada konflik di Yaman yang semakin merebak ke seluruh wilayah negara itu dan jiran. Berikut 10 berita dan pemain utama dalam dunia Islam, yang memberi kesan besar kepada negara terbabit, dunia Islam secara keseluruhan dan politik dunia.

1. Serangan terhadap Gaza, Palestin

Dunia Islam memulakan tahun 2009 dengan menyaksikan konflik di Gaza, perang mempertemukan kekuatan tidak seimbang tentera Israel dengan Hamas dan kumpulan-kumpulan lain di wilayah Palestin dikuasai Hamas ini. Perang bermula pada Disember 2008. Awal 2009, Israel memulakan serangan darat selepas seminggu serangan udara. Perang berakhir pada 18 Januari, dua hari sebelum presiden baharu Amerika Syarikat, Barack Obama mengangkat sumpah. Hampir 1,500 warga Palestin dilaporkan terbunuh, dengan kemusnahan hampir AS$2 bilion. Israel turut menyerang masjid, sekolah dan tempat-tempat awam, membunuh semua termasuk kanak-kanak. Tidak lama selepas perang, Israel memilih sebuah kerajaan dikuasai parti berhaluan kanan. Demonstrasi diadakan di seluruh dunia membantah tindakan Israel. Reaksi di dunia Islam termasuk boikot terhadap jenama AS dan Barat seperti McDonald's, Tesco, Starbucks, KFC dan pelbagai produk konsumer lain.

2. Dasar luar baharu Turki

Negara yang sedang menggerakkan dasar luar baharu, Turki, bertindak pragmatik dalam menangani isu Gaza melalui satu tindakan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dalam forum di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, menaikkan imej Turki ketika dunia Arab dilihat gagal bertindak. Di bawah arkitek dasar luar baharu Ahmet Davutoglu, akademik hubungan antarabangsa berpengalaman luas, Turki mengaktifkan usaha baharu membina hubungan baik dengan negara-negara jiran termasuk Armenia dan Syria dan cuba membina ruang pengaruh, berdasarkan fahaman pan-Turkisme atau apa yang disifatkan pemerhati sebagai perspektif "neo-Uthmaniyah" Ahmet. Ahmet, yang pengalamannya termasuk mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Beykent Istanbul, disebut sebagai "Henry Kissinger Turki" yang kini menjadi tokoh penting parti pemerintah, AKP.

3. Konflik Yaman

Menjelang Ramadan tahun lalu, Yaman menyaksikan bermulanya konflik melibatkan kerajaan pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh dengan pemberontak Houthi di utara. Kini, setelah tiba bulan Muharram 1431, konflik di Yaman semakin meluas dan meningkat dari segi intensitinya, apabila AS mula terlibat dalam serangan terhadap kumpulan al-Qaeda di negara ini, kumpulan dikenali sebagai al-Qaeda di Semenanjung Arab (al-Qaeda in the Arabian Peninsula, AQAP) menggabungkan al-Qaeda Yaman dengan Arab Saudi. Negara dilanda masalah sumber air dan hidrokarbon ini juga berdepan kebangkitan kumpulan pemisah Marxist di selatan. Penglibatan Saudi menyerang Houthi juga menambahkan kerumitan konflik ini, yang kini telah menyebabkan lebih 170,000 menjadi pelarian di dalam negara. Peranan Iran dan Saudi memperlihatkan dimensi persaingan kuasa serantau dalam konflik ini.

4. Pilihan raya presiden dan isu nuklear Iran

Iran mengadakan pilihan raya presiden pada 12 Jun lalu, dengan keputusan penyandang Mahmoud Ahmadinejad mengekalkan jawatan. Walau bagaimanapun, keputusan ini ditentang hebat Mir Hossein Mousavi dan ribuan penyokongnya, menggegarkan republik Islam yang berpandukan kepada ide Wilayatul Faqih yang menetapkan kuasa kepada para ulama. Kebangkitan digelar "revolusi hijau" oleh kem Mir Hossein mendapat kredibiliti dan imej yang positif bagi sesetengah pihak kerana warna hijau yang digunakan - yang dikaitkan dengan Islam dan Nabi Muhammad saw - sebagai simbol gerakan menentang pemerintah Iran. Pemerintah Iran masih berdepan cabaran getir penentangan ini, yang mendapatkan simpati apabila Ayatullah Hossein Ali Montazeri meninggal dunia pada 20 Disember lalu. Pada masa yang sama, Iran terus berdepan cabaran berhubung isu nuklearnya apabila sikap kerajaan baharu AS tidak berubah walaupun sedia berunding.

5. Afghanistan-Pakistan dan Taliban

Afghanistan dan Pakistan ditangani sebagai satu oleh sebahagian besar komuniti dasar luar AS, ekoran hubungan rapat kumpulan Taliban di kedua-dua negara dan kaitan rapat geografi kedua-dua negara dalam konflik di Afghanistan. Afghanistan kini menjadi satu agenda dasar luar penting bagi Obama, yang meluluskan 30,000 anggota tentera untuk dihantar ke negara ini. AS kini mempunyai kehadiran yang besar di Asia Tengah. Pada masa sama, Presiden hamid Karzai baharu melengkapkan anggota kabinetnya, yang dikritik ramai sebagai tidak memenuhi janji memerangi korupsi dan pada masa sama memberikan kuasa kepada pihak-pihak tidak sepatutnya. Kedatangan lebih ramai tentera AS dan pemerintahan Hamid yang tidak bersih dan bebas bakal meneruskan ketidaktentuan di Afghanistan. Kedatangan lebih ramai anggota tentera mampu meningkatkan lagi konflik dengan kumpulan militan.

6. Lanun dan kehadiran kuasa asing di Somalia

Penculikan dan rampasan kapal oleh lanun Somalia yang mula berleluasa pada 2008 terus berlaku pada 2009, dan menarik kedatangan tentera-tentera laut asing termasuk Jepun dan Rusia, menjadikan kawasan perairan Somalia yang strategik itu semakin tegang. Kawasan Teluk Aden bersempadan Laut Merah - dihubungkan laluan sempit Bab al-Mandeeb di tengah-tengah antara Djibouti dan Eritrea dengan Yaman - ialah satu laluan penting dalam perdagangan antarabangsa. AS juga menjalankan operasi pesawat tanpa juruterbang di kawasan perairan ini. Kawasan ini terletak tidak jauh daripada Yaman, satu lagi kawasan panas yang menjadi salah satu sumber senjata bagi lanun Somalia. Selain itu, tentera AS dan Iran juga meningkatkan kehadiran di kawasan perairan ini, mengaitkannya dengan isu lanun dan juga ketidakstabilan di Tanduk Afrika dan Yaman.

7. Pilihan raya Lubnan

Lubnan menjadi medan persaingan kuasa-kuasa asing sejak sekian lama, dan pilihan raya pada 7 Jun 2009 menunjukkan realiti ini kekal dalam permainan politik Lubnan. Kumpulan 14 Mac yang pro-Barat memenangi 71 daripada 128 kerusi, yang dibahagikan kepada 64 untuk Muslim dan 64 Kristian, susunan diwarisi daripada penjajahan Barat yang memberi kelebihan kepada Kristian. Saad Hariri dan kumpulan 14 Mac mendapat sokongan kuat AS, Arab Saudi dan Mesir, manakala Hizbullah dan Amal disokong Iran dan Syria. Kumpulan diketuai Hizbullah yang disebut-sebut akan menang tidak berjaya merealisasikan jangkaan itu, tetapi Lubnan meneruskan penubuhan kerajaan perpaduan seperti yang dilaksanakan penggal lepas, proses yang hanya selesai beberapa minggu lalu, dengan Saad mengetuai kerajaan baharu.

8. Uyghur di Xinjiang

Wilayah Xinjiang menyaksikan kebangkitan rakyat berketurunan Uyghur memprotes layanan buruk kerajaan China dan dominasi kaum Cina han di wilayah tersebut. Di sini dapat diperhatikan perana Turki menggerakan kaum Uyghur daripada rumpun bangsa Turki sebagai sebahagian agendanya meluaskan ruang pengaruh. Ankara dan Beijing bertikam lidah dalam hal ini, dengan Turki berperanan sebagai pembela nasib Uyghur ketika China dilihat di seluruh dunia sebagai penindas. Dengan sokongan Turki dan AS, Rebiya Kader, tokoh Uyghur berpangkalan di Washington muncul sebagai ikon kaum tertindas ini, hampir menyamai peranan dimainkan Dalai Lama bagi Tibet. Perkembangan ini, yang berlanjutan selama beberapa bulan, menyumbang dalam menjadikan perjuangan Uyghur menuntut kebebasan dalam hal berkaitan agama dan budaya menjadi perhatian dunia Islam untuk satu tempoh.

9. Libya dan pembebasan Abdel Baset al-Megrahi

Abdel Baset al-Megrahi, disabit bersalah dalam pembunuhan 270 orang akibat pengeboman pesawat AS, Pan Am 103 di ruang udara Lockerbia, Scotland pada 21 Disember, 1988. Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Negaranya, Libya, menjadi tumpuan negara-negara Barat terbabit dan diletakkan sebagai satu musuh utama untuk satu tempoh yang panjang. Pada 20 Ogos lalu, beliau dibebaskan atas dasar kemanusiaan kerana dinilai doktor menghidap kanser prostat dan hanya akan hidup kurang tiga bulan lagi. Satu debat politik antarabangsa berlangsung ekoran tindakan kerajaan Scotland ini. Abdel Baset masih berusaha membersihkan namanya daripada tuduhan terlibat dalam pengeboman itu. Keadaan sekitar pembebasan Abdel Baset mengundang pelbagai spekulasi berhubung rundingan pembebasan beliau melibatkan kerajaan terbabit.

10. Islamofobia di Eropah

Di Dresden, timur Jerman, pada 11 November lalu, Alexander Wiens, pembunuh Marwa al-Sherbini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Wiens disabit membunuh Marwa akibat prejudisnya terhadap wanita Muslim berasal Mesir itu. Beberapa minggu lalu, di Switzerland, usaha mengharamkan menara masjid di negara itu mendapat sokongan 57 peratus pengundi negara Eropah itu. Sentimen itu sampai ke Belanda dan Jerman, apabila ahli-ahli politik berhaluan kanan di sana melahirkan sentimen yang sama. Sebelum itu, di Cologne, Jerman dan di utara London, Inggeris, protes terhadap masjid telah berlaku, memperlihatkan sentimen yang semakin disuarakan di Eropah, walaupun tidak kelihatan mendapat sokongan popular. Perkembangan ini menimbulkan persoalan tentang potensi ancaman kepada kepelbagaian budaya dan kebebasan beragama di Eropah.

HarakahDaily.Net/-

Rakyat Parit Buntar luah perasaan

6 Muharram 1431H
Sumber : http://paritbuntar.pas.org.my

PARIT BUNTAR, 22 Dis. : Sudah lebih sebulan rakyat negeri Perak menunggu Keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah?
Sungguhpun Mahkamah Persekutuan masih belum memberi keputusan terhadap kes yang terlalu besar ini. Desakan membubar DUN Perak terus dikumandangkan dengan pelbagai cara.

Tinjauan di Parit Buntar mendapati penduduk di sini menzahirkan luahan perasaan mereka dengan mengantung sepanduk mendesak pembubaran DUN Perak.

Sepanduk ‘Bubar DUN Perak’ dan bendera hitam boleh dilihat di lokasi strategik di tepi jalan jika melalui jalan dari Batu Lima, Kuala Kurau, Tanjung Piandang dan Titi Serong.

Beberapa orang penduduk yang ditemui memberitahu kemunculan sepanduk dan bendera hitam berkenaan ini sudah disedari sejak sebulan yang lalu.

Shamsudin Yusuf penduduk Sungai Betul Bawah berkata desakan pembubaran DUN Perak ini tidak akan berhenti selagi krisis politik di Perak tidak diselesaikan.

“ Kenapa sampai sekarang masih belum buat keputusan? . Saya selaku rakyat negeri Perak mahukan Menteri Besar yang benar-benar sah.

“ Kerajaan di Perak sekarang ini umpama terumbang ambing selagi Menteri Besar yang sah belum diputuskan” katanya

Johari Arbain dari Sungai Baru berharap Mahkamah Persekutuan dapat membuat keputusan menentukan Menteri Besar yang sah.

“ Kes ini terlalu besar untuk ditangguhkan begitu lama. Banyak kesan yang buruk andai terlalu lama di tangguhkan. Image045-2.jpg picture by paspb

“ Pelabur-pelabur susah nak membuat keputusan untuk melabur di negeri Perak . Kami rakyat Perak akan menerima kesan dan tempiasnya” katanya

Rohaizad Azizan dari Parit Haji Wahab berkata, kemunculan sepanduk dan bendera hitam ini membuktikan masih ramai rakyat Perak terutama di Parit Buntar mahu krisis politik di Perak diselesaikan melalui penyerahan semula mandat kepada rakyat Perak.

“ Selagi, Mahkamah Persekutuan tidak membuat keputusan. Timbul banyak andaian dan persepsi yang buruk kepada badan kehakiman .

“ Adalah lebih baik serahkan semula kepada rakyat Perak menentukan kerajaan yang akan memerintah Perak.” katanya




Hilang enjin RM50 juta, macam hilang kotak mancis!

6 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E bernilai kira-kira RM50 juta milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menimbulkan pelbagai persoalan terutamanya mengenai tahap keselamatan negara.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad,PAS berasa kesal dan bimbang terhadap tahap keselamatan negara atas kehilangan enjin pesawat bernilai kira-kira RM50 juta itu.

"Beberapa persoalan yang boleh ditimbulkan kepada kerajaan dan Kementerian Pertahanan. Kenapa sekarang baru kerajaan sedar tentang kehilangan enjin tersebut, sedangkan ia sudah berlaku sejak tahun 2007.

"Apakah tahap keselamatan negara kita begitu lemah. Enjin kapal terbang bukan boleh diletak di dalam kotak mancis, macam mana enjin sebesar itu boleh dicuri dengan begitu mudah,?"soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, PAS yakin jenayah tersebut melibatkan orang yang berkuasa dan perlu disiasat dengan segera dan teliti.

"Kita tidak mahu yang ditahan hanya ikan bilis, sedangkan ikan jerung masih bermaharajalela. Jenayah ini amat memalukan negara kita di mata dunia, terutama di kalangan pelabur asing,"jelasnya.

Ustaz Idris juga berkata bahawa, peristiwa yang berlaku adalah jawapan kenapa indeks rasuah negara meningkat dari setahun ke setahun, contohnya pada tahun 2008 Malaysia menduduki nombor 47 manakala tahun 2009 meningkat pada nombor 56.

"Sebab itu PAS dan Pakatan Rakyat serius dalam menentang rasuah di negara ini kerana kita tahu bahana kepada negara dan rakyat.

"Keselamatan negara akan tergugat apabila gejala rasuah tidak dihapuskan dan ia merupakan ibu segala kejahatan dalam sebuah negara,"tegasnya.

HarakahDaily.Net/-

Umno tertidur 35 tahun

6 Muharram 1431H

Umno sebenarnya tertidur 35 tahun. Sekarang baru dia tersedar bahawa Pulau Pinang sudah terlepas dari gengamannya.

Baru sekarang Umno terhegeh-hegeh menuntut kerusi Pengerusi BN Pulau Pinang sedangkan sebelum ini tidak berani berbuat demikian.

Sebelum ini Umno sudah beberapa penggal mempunyai kerusi majoriti di DUN Pulau Pinang berbanding Gerakan dan MCA namun tidak berani menuntut kerusi tersebut.

Sekarang bila mereka melihat Gerakan lemah dan tewas teruk dalam Pilihanraya Umum lalu barulah mereka tersedar dari mimpi.

Memang benar Umno tidak ada semangat setia kawan dan tidak jujur dalam persahabatan. Bila kawannya kuat Umno jadi 'Yes Man' bila kawan lemah Umno mahu memijak kepala kawan. Inilah perangai Umno yang mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara dan politik pecah perintah.

Sebab itulah Umno pernah menerajang PAS dari BN suatu ketika dahulu. Ketika Umno lemah mereka menghulurkan tangan kepada PAS, bila mereka kuat PAS tidak lagi dipandang oleh mereka.

Sama juga dengan isu kerajaan perpaduan baru-baru ini, bila Umno longlai selepas Pilihanraya Umum 2008 mereka cuba meminang PAS untuk 'berkahwin' dalam Kerajaan Perpaduan.

Alhamdulillah PAS sudah mahir dan fasih dengan perangai buruk Umno. Pinangan Umno ditolak.
Kini Gerakan pula mendapat bahana dari kebiadapan Umno.

Maka saya mencadangkan kepada Gerakan dan Presidennya Koh Tsu Kon supaya keluar dari BN dan sertai Pakatan Rakyat kerana Umno dan BN sudah tidak boleh dipercayai lagi.

Umno kini sedang giat membuli MCA dan Gerakan serta juga MIC.

Apa lagi yang Gerakan hendak tunggu sebelum terlambat sila menyeberang secepat mungkin.

HarakahDaily.Net/-

Umno didakwa putar belit isu AJK Masjid Perak

6 Muharram 1431H

IPOH, 22 Dis: Umno Perak didakwa cuba memutar belit dan mempolitikkan isu perlantikan Ahli Jawatan Kuasa Masjid di negeri itu selepas mereka tidak berpuas hati dengan senarai baru yang telah disahkan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, Drs. khalil Idham Lim memberitahu, perkara sebenar disebalik itu adalah kerana Umno tidak berpuas hati apabila kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebelum ini membiarkan kaedah betul diguna semasa membuat pemilihan untuk disenaraikan.

Kaedah itu adalah dengan membiarkan mereka yang telah dipertanggungjawab oleh Majlis Agama Islam Perak (MAIP) iaitu Orang Besar Jajahan (OBJ), Penghulu Mukim dan Pegawai Tadbir Agama (PTA )membuat pilihan tanpa campurtangan politik mana-mana pihak termasuk Pakatan Rakyat.

Namun kaedah betul itu telah bercanggah dengan amalan turun temurun Umno negeri itu yang membuat senarai pemilihan mengikut kehendak parti itu.

"Sebelum ini Umno guna kaedah ketua cawangan pilih, kemudian diserahkan kepada ketua bahagian, lepastu diserah kepada Pengarah JAIP untuk disahkan oleh Majlis Agama (MAIP).

"Mereka cuba membonekakan JAIP (Jabatan Agama Islam Perak) dengan tidak membenarkan JAIP ubah senarai itu malah dipaksa untuk mengesahkannya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Umno telah menuduh Pengarah JAIP, Datuk Mohamad Nor Mansor bersekongkol dengan Pakatan Rakyat tanpa sebarang bukti.

Mohamad Nor dituduh memotong nama-nama yang telah diperkenankan oleh DYTM Tuanku Raja Muda dan menukar dengan nama-nama pemimpin Pas, sebelum senarai itu dihantar semula ke pejabat JAIP dan kemudian membuat senarai baru tanpa merujuknya semula kepada OBJ.

Khalil yang juga turut mengulas perkara itu dalam blognya memberitahu, selain tuduhan tersebut berniat jahat dan tidak berasas, ianya juga satu penderhakaan terang terangan terhadap senarai yang telah diperkenan Tuanku Raja Muda Perak.

Ianya kerana Pengarah JAIP adalah Setiausaha Majlis Agama Islam Perak yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perak sendiri.

"Tindakan UMNO mempertikai senarai yang diumumkan adalah bagi saya telah menderhakai perkenan DYTM Raja Muda Perak," katanya yang juga ADUN Titi Serong.

Pengarah dan pegawai JAIP katanya tidak semudah tuduhan yang dilemparkan itu untuk meminda senarai yang telah diperkenan Tuanku.

"UMNO yang cuba mempolitikan mesjid sekian lama dengan cuma beralasan antaranya senarai Pengerusi dan Setiausaha Masjid di Mukim Slim dan Behrang Ulu dalam Parlimen Tanjong Malim didapati berlainan dari senarai asal," katanya lagi.

Menurutnta juga senarai AJK mesjid telah tertangguh perlantikannya sejak tahun 2007 lagi.

Paling berat katanya apabila Umno juga menuduh PTA cuba mempercepatkan majlis pentauliahan selepas menerima senarai bagi menyembunyikan tindakan menukar senarai tersebut.

"Umno cuba mengenepikan Istana demi mencapai hasrat mereka menguasai masjid.

"Kalau ikutkan, orang Umno memang tidak layak, orang kampung sendiri pun tak mahu orang Umno jadi Ajk masjid sebab mereka tak pergi masjid pun," katanya.

HarakahDaily.Net/-

Kes Big Skop buktikan mahkamah rayuan berat sebelah- Sankara Nair

6 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Peguam mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sankara Nair tengah hari tadi mendakwa Mahkamah Rayuan bersikap berat sebelah apabila menolak kes anak guamannya disebabkan kertas prosiding menggunakan bahasa Inggeris.

Penjelasan Sankara itu sebagai respon pada keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang tetap menerima prosiding Big Scope pagi tadi, walaupun kertas prosiding kes tersebut menggunakan bahasa Inggeris.

"Ini menunjukkan seolah-olah (keputusan) berat sebelah di Mahkamah (Rayuan)...kes Anwar ditolak disebabkan (kertas prosiding) menggunakan bahasa Melayu," jelas Sankara.

Beliau berkata, sesuatu prosiding seharusnya dilihat mengutamakan soal menegakkan prinsip keadilan dari menitikberatkan sesuatu ketetapan mahkmah yang bersifat teknikal.

Ujarnya lagi, Mahkamah Rayuan seharusnya tidak memandang terlalu serius kertas prosiding anak guamannya yang menggunakan bahasa Inggeris.

"Sepatutnya Mahkamah (Rayuan) tidak terus menolak kertas prosiding kita disebabkan menggunakan bahasa Inggeris walaupun ia dibangkitkan," jelasnya.

"Ini menunjukkan perkara mengfailkan (kertas prosiding) dalam bahasa Inggeris tidak serius sangat, sehingga kes (saman Mahathir) tersebut ditolak."

Beliau turut memuji keputusan Hakim Datuk Hinshawati hari ini menerima perbicaraan kes Big Scope walaupun kertas prosiding kes tersebut menggunakan bahasa Inggeris.

"Inilah (Mahkamah menerima kes Big Scope) suatu cara yang benar dan betul di Mahkamah," jelasnya

Tambahnya lagi, Mahkamah Rayuan sepatutnya memberikan suatu tempoh masa tertentu kepada pasukan Peguam yang mewakili Anwar untuk mengfailkan semula kertas prosiding menggunakan bahasa Melayu.

"Mereka (Mahkamah Rayuan) sepatutnya memberikan suatu masa untuk kita mengfailkan semula kertas prosiding menggunakan bahasa Melayu," jelasnya.

Walaupun Mahkamah Rayuan tidak mengarahkan demikian, beliau memaklumkan bahawa pasukan Anwar kemudiannya tetap menghantar kertas prosiding menggunakan bahasa Melayu.

"Kita (peguam) memang sudah mengfailkan semula dalam bahasa Melayu kemudiannya selepas ianya dibangkitkan, tetapi Mahkamah Rayuan tetap menolaknya."

Ujarnya lagi, pasukan Anwar petang tadi turut mengfailkan semula saman tersebut di Mahkamah Tinggi Persekutuan.

10 Oktober lalu, Hakim Abdul Malik Ishak menolak rayuan Anwar selepas berunding bersama-sama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad demi mempertahan kedaulatan penggunaan bahasa Malaysia dala prosiding perundangan.

Ketika-tiga Hakim tersebut berpendapat kertas prosiding Anwar adalah cacat, tidak sah dan mencabuli proses Mahkmah berdasarkan Perkara 152 (Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 110 Peraturan-Peraturan Mahkamah Rayuan 1994.

Sebelum pada itu, kes Anwar pernah ditolak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pada 4 Julai 2007 lalu.

Anwar yang juga Ketua Pembangkan mengfailkan saman fitnah ke atas Mahathir pada 26 Januari 2006 lalu ekoran bekas Perdana Menteri itu menggelarkannya sebagai homoseksual sewaktu Anwar menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri lebih sedekad yang lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, sekiranya rayuan Anwar diterima kelak, bermakna Sankara Nair dibantu Karpal Singh akan menentang VK Lingam dab R. Thayalan yang mewakili Mahathir.

HarakahDaily.Net/-

Abdul Aziz Ismail: Peringatan tentang janji yang belum tertunai

6 Muharram 1431H

Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa kemenangan besar PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu adalah kerana perubahan sikap orang Melayu yang sudah mulai sedar dan ketara inginkan Islam menjadi tunggak pemerintahan negara.

Kebanyakan rakyat beragama Islam mulai insaf sistem pemerintahan dan pentadbiran yang bersandarkan hukum syariah Islam harus diperkenal bagi menggantikan sistem sekular demokrasi ala-Barat yang sudah menampakkan wajah hodohnya serta keboborakan sistemnya sejak diamalkan Umno lebih 50 tahun lalu.

Pemimpin Umno sudah dilihat melakukan banyak keburukan dan menjadi korban kepada sistem sekular yang dianuti hingga akhirnya melahirkan pemimpin yang bertunjangkan fahaman material dan melupakan tanggungjawab moral dan hukum agama.

Segalanya boleh dilakukan atas nama wang. Segalanya boleh berlaku jika ada kehadiran kuasa wang yang boleh menyelesaikan banyak masalah hukum dan peraturan ciptaan manusia dengan pelbagai helah. Rasuah dan penyelewangan mengambil tempat berleluasa yang akhirnya melahirkan pemimpin dan insan yang kaya raya dan berharta tetapi kotor moral, keji di mata rakyat dan dipandang hina agama.

Pemimpin Umno dan BN ditolak dalam pilihan raya umum yang lalu adalah kerana sikap mereka itu. Ini ditambah buruk lagi ketika itu parti diketuai oleh pemimpin yang lemah dan dikelilingi beberapa lagi pemimpin lain baru dan lama kebanyakannya terlibat rasuah, mengamalkan politik wang untuk merebut jawatan dan pangkat serta mementingkan kaum keluarga untuk mengaut keuntungan material dengan melupakan agenda rakyat.

Orang bukan Melayu juga menyokong PAS dengan harapan parti itu boleh membetulkan sistem pemerintahan di bawah BN yang ketika itu sedia goyah dan jelas mudah ditumbangkan. Ini ditambah buruk dengan anggapan kekuasan dan penguasaan Umno kononnya dalam kerajaan bersama parti komponen lain dalam BN sukar digugat setelah menjadi pemerintah selama lebih 50 tahun.

Ternyata mereka lupa bahawa pemimpinnya sudah melakukan banyak kerosakan yang jelas di mata rakyat akibat lupa diri serta menampakkan ruang kebocoran sikap buruk satu dua kerat pemimpin yang ketara gelojoh menggunakan kuasa dan pengaruh untuk mengaut keuntungan peribadi dan kroninya bagi meneruskan agenda peribadi tanpa menghiraukan sensitiviti rakyat bawahan.

Kemenangan PAS dalam banyak tempat termasuk di kawasan bukan Melayu adalah bukti sokongan kaum bukan Melayu kepada agenda perjuangan Islam yang dibawa PAS untuk memberi alternatif kepada cara pentadbiran yang lebih adil dan saksama.

Orang Muslim terutama yang muda dan berpelajaran berharap PAS dapat memberi pilihan terbaik kepada cara pentadbiran yang sesuai dan selari dengan tuntutan agama bagi melahirkan pemimpin yang besih dan bermoral tinggi serta mengwujudkan negara berkebajikan yang mementingkan keperluan rakyat terbanyak.

Orang Melayu dikatakan boleh berharap kepada PAS dan PKR untuk membela kehidupan mereka sementara bukan Melayu boleh bergantung kepada kepada DAP dan juga PKR. Mereka bergabung atas nama Pakatan Rakyat bagi memberi saingan kepada BN.

Pemimpin PR bersedia melupakan perbezaan ideologi ketara parti masing-masing bagi satu misi perjuangan menumbangkan BN dan menubuhkan kerajaan baharu yang dijanjikan lebih merakyatkan rakyat tanpa mengira kaum.

Berbagai janji-janji besar dan manis ditaburkan untuk mengambil hati rakyat dalam pilihan raya Mac 2008 lalu seperti kerajaan berkebajikan, sistem pentadbiran cara Khalifah Umar Abdul Aziz, pemberian biasiswa kepada semua rakyat, pemberian sumbangan wang saguhati istimewa kepada rakyat yang memerlukan, penurunan cukai tertentu dan berbagai insentif lain bagi memikat mereka dengan harapan rakyat memilih parti mereka menggantikan pemerintahan BN yang sedia bermasalah.

Tenyata janji-janji besar dan manis itu tergendala dan setengahnya belum terlaksana langsung sehingga kini. Rakyat yang mengundi menanti dan menagih janji seperti yang diharapkan tetapi kebanyakan pemimpin PR masih dibuai kemenangan luar biasa mereka menawan lima negeri (kini tinggal empat), menuntut berbagai hak istimewa yang tidak sepatutnya, mencari kelemahan kerajaan terdahulu yang tidak perlu, pertikaian sesama sendiri tanpa menyedari mereka belum melunaskan janji-janji pilihan raya yang sepatutnya didahulukan lebih dari agenda lain.

Mereka asyik berpolitik dan berselisih atas agenda masing-masing yang sesetengahnya cuba menjatuhkan rakan pemimpin lain yang tidak sehaluan. Setengah pihak cuba menjuarai isu-isu sensitif yang menyentuh hak perlembagaan dan hak istimewa orang Melayu tanpa menyedari banyak isu lain yang lebih relevan boleh dibangkitkan demi rakyat.

Ahli Parlimen dan Dun yang menang daripada PR sepatutnya bersyukur bahawa kemenangan luar biasa yang dihadiahkan rakyat dalam pilihan raya lalu harus dibalas dengan tanggungjawab ikhlas dan kerja keras bagi membela kehidupan rakyat yang lebih baik, bukan retorik politik yang sedap didengar tapi tidak mendatangkan hasil.

Benar juga kebimbangan penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa PR boleh pudar dan ditolak rakyat dalam dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti jika mereka gagal merapatkan perbezaan dan bersatu pandangan dalam agenda yang lebih besar. Jika masing-masing parti masih melihat kepentingan kaum dan agama masing-masing lebih besar dari agenda kepentingan rakyat terbanyak, sukar bagi mereka mengelak ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Jangan asyik menyalahkan dan membongkar keburukan pemimpin Umno/BN saja tetapi perlulah menyelami dan mengakui kesilapan sendiri. Rakyat kini semakin bijak dan boleh menilai apa yang berlaku di depan mata dengan pandangan yang kritis.

Rakyat mahukan perubahan dan perlaksanaan janji yang sudah ditabur dan bukan cakap-cakap politik manis yang tidak berkesudahan tanpa membawa keuntungan kepada kehidupan mereka. Rakyat mahu agenda pembangunan yang boleh meningkatkan taraf ekonomi mereka demi kelangsungan kehidupan yang ketara terhimpit dan sukar dalam situasi ekonoimi dunia yang belum pulih.

Pemimpin yang bertanggungjwab harus memikirkan agenda rakyat terbanyak tanpa mengira kaum dan mempunyai niat yang jelas dan bersih.

Pemimpin yang berkesan adalah mereka yang melaksanakan apa yang dikata dan menjuarai impian rakyat seperti yang dihajatkan.

HarakahDaily.Net/-

Lepas jawatan untuk jaga nama baik parti- Dr Rosli

6 Muharram 1431H

KOTA BHARU, 22 Dis: Demi menjaga maruah serta nama baik parti, Dr Rosli Allani Abdul Kader hari ini melepaskan kesemua jawatannya dalam parti sama ada diperingkat negeri dan kawasan Kota Bharu berkuat kuasa serta merta.

Bekas Pegawai Khas kepada salah seorang anggota exco Kelantan itu telah melepaskan dua jawatan yang disandangnya, iaitu sebagai Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu.

Dr Rosli dalam sidang medianya memberitahu, walaupun beliau yakin berada dipihak yang benar, namun demi menjaga nama baik parti dan persepsi masyarakat ke atas PAS, beliau bersedia melepaskan jawatan berkenaan serta merta.

Pengumuman perletakan jawatannya itu dibuat memandangkan beliau tidak mahu parti Islam yang didokonginya itu dikaitkan dengan masaalah peribadi yang dihadapinya kini.

Sebagai penjelasan, Dr Rosli mengakui perkahwinannya tidak direstui bapa mentua isteri keduanya walaupun telah berulangkali menyatakan hasrat untuk memperisterikan IIyani Mohd Nor apabila terbit rasa kasih antara keduanya.

“Pada masa yang sama juga isteri pertama saya sendiri telah memberi persetujuan untuk saya berpoligami dan hasrat suci saya itu disuarakan melalui naluri jiwa yang tulus dan suci kepada keluarga isteri kedua saya.

“Namun biarpun demikian bapa mentua saya itu, Ghazali @Mohd Nor Che Man, masih tidak merestui perhubungan kami biarpun berulangkali dinyatakan hasrat tersebut,”ujarnya.

Untuk meneruskan hasrat tersebut biarpun mendapat halangan, sambungnya beliau meneruskan juga perkahwinan itu melalui wali hakim.

Menurutnya, pernikahan cara tersebut dilakukan setelah beliau diberi jaminan oleh seorang rakan yang pernah memegang jawatan sebagai seorang imam muda di sebuah masjid negeri bahawa perkahwinan yang diuruskan olehnya itu tidak bersalahan dengan undang-undang syarak.

“Tanpa diduga sewaktu mencari penyelesaian, saya telah menjadi mangsa sindiket perkahwinan yang diuruskan oleh bekas imam berkenaan dengan memberi sijil dan kad perkahwinan yang tidak didaftarkan walaupun beliau menjanjikan sebaliknya,”ujarnya lagi.

Tambah Rosli lagi, setelah menyedari apa yang berlaku, beliau meminta maaf serta memberi penjelasan kepada bapa mentuanya, namun malangnya ‘dia’ tidak melayannya.

“Setelah perkara ini terbongkar, isteri saya telah diperintahkan oleh bapanya supaya tidak keluar dari rumah selama sebulan, tetapi pada 2 Disember lalu, isteri saya itu telah merayu lagi pada bapanya untuk menyelesaikan perkara itu dengan baik, malangnya bapa mentua saya itu menolak hasrat berkenaan,”ujarnya.

Pada masa yang sama, Rosli memandang serius terhadap beberapa buah kenyataan yang telah disiarkan oleh beberapa akhbar harian hari ini yang telah mencemarkan imej, maruah dirinya apa lagi mendakwa isterinya berada dalam keadaan tidak sedar sewaktu berkahwin dengannya.

Menurutnya, kenyataan sedemikian seolah-olah menggambarkan dirinya seorang lelaki atau suami yang tidak baik apa lagi mendakwa dirinya telah melakukan tipu daya untuk berkahwin.

“Saya dengan sekeras-kerasnya menafikan segala kenyataan tersebut, adalah mustahil sekali untuk isteri saya pergi ke tempat perkahwinan di Subang dalam keadaan tidak sedar kerana saya dari Perak, manakala beliau datang dari Kelantan,”ujarnya.

Memandangkan berita yang disiarkan dalam beberapa buah akhbar hari ini yang jelas mencemarkan imejnya, beliau telah berbincang dengan peguam agar mereka yang terbabit memohon maaf secara bertulis dan disiarkan dalam akhbar yang sama.

Kesemua pihak terbabit termasuk bapa mentuanya disamping peguam bapa mentuanya Mohd Zaki Zainal Abidin diminta berbuat demikian dalam tempoh tiga hari bermula hari ini.

“Jika gagal berbuat demikian, saya akan memulakan tindakan undang-undang ke atas mereka dengan segera kerana telah memfitnah saya,”ujarnya.

Tambah Rosli lagi, biarpun beliau melepaskan kesemua jawatannya, beliau masih kekal sebagai ahli parti PAS.

Bagaimanapun berhubung masa depan nya dalam bidang politik, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan dan ahli parti untuk menentukannya kelak.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada pucuk pimpinan dan semua ahli parti jika masaalah peribadinya telah sedikit mencalarkan imej atau mendatangkan masaalah kepada PAS.

HarakahDaily.Net/-

Panggil segera Sidang Khas Parlimen bincang kehilangan enjin pesawat F-5E

6 Muharram 1431H

ALOR SETAR, 22 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memanggil sidang khas Parlimen untuk membincangkan kes kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Menurut Mahfuz, beliau akan menulis surat meminta Najib memanggil suatu sidang khas Parlimen bagi membolehkan usul pembentukan sebuah jawatankuasa siasatan peringkat parlimen dibincangkan.

"Jawatankuasa yang dibentuk nanti akan bertanggungjawab menyiasat kes kehilangan enjin dan juga menyiasat segenap sudut termasuklah tahap keselamatan di semua kem-kem tentera khususnya di kem TUDM.

"Jawatankuasa ini mestilah dibenarkan menyoal siasat sesiapa sahaja yang terlibat dengan kes ini, termasuklah bekas Menteri Pertahanan dan bekas Panglima TUDM yang bertanggungjawab ketika kes itu berlaku," katanya pada media di pejabatnya di Pokok Sena, dekat sini.

Kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, untuk membuktikan ketelusan jawatankuasa yang dibentuk, laporan siasatan nanti hendaklah dikemukakan kepada Parlimen dalam bentuk kertas putih dan tidak disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Sementara itu, Mahfuz turut meragui persediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjaga keselamatan negara berikutan terjadinya kes-kes pencerobohan di kem-kem tentera sebelum ini.

"Tahap keselamatan negara amat diragui memandangkan sudah beberapa kali berlakunya insiden yang mengancam keselamatan negara melibatkan kem-kem tentera seperti kes Al-Maunah dan kebakaran berulang kapal pengangkut milik TLDM.

“Jika enjin pun boleh hilang, tidak mustahil suatu hari nanti jet Sukoi pula dilarikan pihak tertentu. Ini menunjukkan tahap keselamatan negara terdedah kepada ancaman pihak luar,” katanya.

Mahfuz juga menyarankan kepada Kementerian Pertahanan supaya lebih peka dan bertanggungjawab menjaga dalam aspek-aspek keselamatan negara agar tidak diperlekeh pihak tertentu.

“Pada masa kita mahu memantapkan aspek pertahanan dengan penggunaan kapal selam, kita tidak boleh lagi memandang ringan isu-isu kecil seperti kem diceroboh dan aset-aset keselamatan negara dicuri,” katanya.

HarakahDaily.Net/-

Umno : Setelah bangsa diporak peranda, kini agama pula mahu diperkosa

http://alhusseyn51.blogspot.com/

ADUN Slim Datuk Khusairi Abdul Talib (gambar) mendakwa kononnya Jabatan Agama Islam Perak telah menukar senarai jawatankuasa beberapa masjid di negeri itu dengan memasukkan nama penyokong PAS.Beliau mendakwa perbuatan begitu tidak beretika dan telah membelakangkan senarai yang telah diperkenankan oleh Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.Inilah pembohongan jenis spesis pengkhianat agama dan bangsa yang tidak tahu malu dan tidak tahu menghormati DYTM Raja Muda.

Kerana , menurut sumber orang dalaman yang saya perolehi menyatakan bahawa , senarai yang pada mulanya telah dipersetujui PTA dan OBJ telah dipinda oleh Penghulu. Oleh kerana itu, PTA pun pinda semula kepada yang asal sebelum dibawa ke pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk dipersembah dan diperkenankan oleh DYTM Raja Muda.

Ditegaskan disini bahawa tiada apa-apa pindaan dibuat selepas senarai tersebut mendapat kelulusan DYTM Raja Muda.

Dengan ini jelas bahawa segala bantahan Penghulu dan OBJ adalah dibuat selepas senarai tersebut telah diluluskan oleh pihak Majlis yang telah mendapat perkenan DYTM Raja Muda sendiri. Itu namanya derhaka! Patut ditarik semula anugerah 'Datuk' daripada Adun Slim tersebut.

PTA tidak melanggar peraturan sebab pindaan dibuat sebelum di bawa ke pihak Majlis, lagi pula ianya merupakan senarai yang telah dipersetujui bersama antara PTA dan OBJ.

Tuduhan Khusairi keatas Jabatan Agama Islam Perak itu adalah fitnah yang mempunyai agenda politik tersendiri. Bukan kali ini sahaja Umno cuba menggugat kedudukan Pengarah JAIP , Sheikh Mohd Nor.Sebelum ini, Umno menuduh Pengarah JAIP sebagi punca kelewatan pembayaran saguhati kepada pegawai-pegawai masjid menjelang Hari Raya Aidil Fitri yang lalu.

Bantahan yang dikemukakannya itu sebenarnya merupakan sikap Khusairi yang jelas menderhaka kepada DYTM Raja Muda Perak.

Apa yang pasti, pindaan yang dikatakan dilakukan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah adalah dilakukan dengan berdasarkan peruntukkan undang-undang dan dilakukan sebelum ianya dikemukakan bagi mendapatkan kelulusan Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak. Tidak berlaku langsung apa yang didakwa sebagai pertukaran dibuat setelah mendapat perkenan DYTM Raja Muda Perak, sebagai Yang Dipertua Majlis memandangkan tidak ada pihak yang mengetahui senarai yang dikemukakan kepada Majlis melainkan pihak Jabatan Agama Islam Perak.

KENYATAAN RASMI JAIP MENGENAI PERMASALAHAN PELANTIKAN AHLI JAWATANKUASA KARIAH SELURUH NEGERI PERAK

Isnin, 21 Disember 2009

Pelantikan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid adalah dilantik berdasarkan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dan Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 memperuntukkan bahawa :

Seksyen 93. (1)

Majlis boleh, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat peraturan-peraturan bagi –

(a) penubuhan Jawatankuasa Kariah bagi sesuatu kariah masjid;

(b) menetapkan cara bagaimana anggota Jawatankuasa Kariah itu hendak dilantik; dan

(c) menetapkan fungsi-fungsi Jawatankuasa Kariah itu.

Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998 pula memperuntukkan bahawa :

Kaedah 3. (1)

Pegawai Tadbir Agama dan Penghulu setelah berunding dengan Orang Besar Jajahan, hendaklah mencadangkan kepada Majlis melalui Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, ahli Jawatankuasa Kariah bagi jawatan yang dinyatakan dalam subkaedah (2) (a) hingga (j) dalam Borang JK 1 Jadual Pertama.

Jabatan Agama Islam Perak telah menerima berbagai cadangan senarai Jawatankuasa Kariah bagi sesi 2009-2012 samada daripada pihak Ahli Jawatankuasa sedia ada, individu tertentu dan organisasi tertentu. Jabatan Agama Islam Perak tidak terikat untuk menerima pakai semua cadangan-cadangan tersebut walaupun ianya boleh dijadikan sebagai panduan bagi membuat pemilihan dalam urusan pelantikan. Di antara kelemahan yang didapati dari senarai yang dicadangkan adalah seperti berikut :

(a) Mengandungi beberapa nama mereka yang sudah meninggal dunia.

(b) Mengandungi beberapa nama yang tinggal di luar kariah.

(c) Tidak menepati kehendak undang-undang dari segi keanggotaan seperti tidak mempunyai wakil wanita, wakil belia, wakil surau dan wakil imam.

(d) Mengandungi beberapa nama yang dikenali tidak bermoral tinggi di kalangan masyarakat.

Oleh kerana tidak ada satu senaraipun yang menepati kehendak Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998, maka prosedur asal terpaksa digunakan bagi mengemukakan senarai nama kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Berdasarkan Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998, Pegawai Tadbir Agama Daerah telah mengadakan perbincangan dengan Penghulu dan Orang Besar Jajahan bagi mengemukakan senarai nama cadangan Jawatankuasa Kariah bagi sesi 2009 – 2012 kepada Majlis.

Oleh kerana senarai yang dikemukakan oleh ketiga-tiga pihak ini berbeza dengan senarai yang dicadangkan oleh pihak yang memberikan cadangan awal tersebut, maka ianya dijadikan isu seolah-olah Pegawai Tadbir Agama berniat jahat membuat pindaan dan pertukaran daripada senarai asal yang pada hakikatnya tidakpun diperkenankan oleh pihak Majlis.

Apa yang pasti, pindaan yang dikatakan dilakukan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah adalah dilakukan dengan berdasarkan peruntukkan undang-undang dan dilakukan sebelum ianya dikemukakan bagi mendapatkan kelulusan Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak. Tidak berlaku langsung apa yang didakwa sebagai pertukaran dibuat setelah mendapat perkenan DYTM Raja Muda Perak, sebagai Yang Dipertua Majlis memandangkan tidak ada pihak yang mengetahui senarai yang dikemukakan kepada Majlis melainkan pihak Jabatan Agama Islam Perak.

Adalah diharapkan agar semua pihak dapat berlapang dada dalam persoalan ini memandangkan jawatan Ahli Jawatankuasa Kariah ini adalah merupakan satu amanah yang besar dalam mengimarahkan rumah Allah, bukan merupakan satu kebanggaan yang menjadi rebutan di kalangan umat Islam.

Wallhu A’lam.

Surat Pembaca : UMNO JANGAN POLITIKKAN MASJID

6 Muharram 1431

Saya ingin merujuk kepada isu yang ditimbulkan oleh ADUN Slim River berkenaan Pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid Seluruh Negeri Perak. Saya adalah merupakan salah seorang bekas AJK Kariah yang dilantik oleh Majlis Agama Islam suatu masa dahulu. Setahu saya Pelantikan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid adalah dilantik berdasarkan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dan Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998. Mengikut undang-undang hanya 3 pihak iaitu Pegawai Tadbir Agama, Penghulu dengan Orang Besar Jajahan sahaja yang mempunyai kuasa bagi mencadangkan kepada Majlis senarai nama ahli Jawatankuasa Kariah. Amatlah menghairankan bagaimana ada pihak mempertikaikan cadangan ketiga-tiga pihak dengan membandingkannya senarai yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar.

Adalah amat biadab bagi seorang wakil rakyat yang mewakili parti pemerintah membuat tuduhan melulu terhadap seorang Ketua Jabatan yang dilantik oleh kerajaan yang memerintah. Apakah menjadi kesalahan bagi Pengarah Jabatan Agama Islam Perak menyenaraikan ahli parti pembangkang dalam AJK Kariah Masjid. Apakah hanya ahli UMNO sahaja yang layak menjadi AJK Kariah Masjid. Pengalaman saya dalam menggangotai AJK Kariah Masjid, saya dapati kebanyakan orang UMNO hanya berminat berebut jawatan berbanding menjalankan amanah sebagai pengimarah masjid. Sebahagian daripada mereka beria-ia hendak merampas jawatan tersebut dengan tujuan untuk membatalkan kuliah-kuliah pengajian di masjid-masjid.

Kriteria pelantikan seharusnya hanya berdasarkan kepada penentuan Allah seperti yang disebutkan dalam Surah At-Taubah ayat 18 iaitu mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka tidak takut kecuali kepada Allah. Alangkah baiknya jika pendekatan campuran berbagai golongan di dalam AJK Kariah Masjid dilaksanakan sebagaimana usaha yang telah cuba dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Jika tidaklah kerana sikap UMNO yang suka mempolitikkan masjid dan surau, pasti Negeri Perak sudah mempunyai pentadbir masjid yang terbaik yang mampu mengimarahkan rumah Allah bertepatan dengan kehendak Allah.

Bekas,
Ahli Jawatankuasa Kariah,
Negeri Perak Darul Ridzuan