12 December 2009

Kes salah laku setpol PM ke SPRM

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Pemuda PAS Wilayah telah menghantar laporan dan memohon siasatan terhadap beberapa kes salah laku Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk shafie Abdullah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi tadi.

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad menyerahkan laporan itu kepada pegawai bertugas, En Mohd Yahya Mohd Rashid dihadapan Timbalan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan, En Hasan Yahya.

Walaubagaimanapun, menurut Kamaruzaman laporan tersebut cuma diterima sebagai maklumat dan akan dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa SPRM Wilayah Persekutuan sebelum memaklumkan semula sama ada perlu membuka kertas siasatan ataupun tidak.

“Dalam masa seminggu pihak SPRM Wilayah Persekutuan akan menelefon dan memanggil saya kembali untuk memaklumkan hasil keputusan mesyuarat tersebut samada ia jadi kes atau tidak.

“Sekiranya pihak SPRM tidak membuka kertas siasatan, kami minta supaya ia dibangkitkan semula di parlimen” tegas beliau.

Laporan yang diserahkan kepada SPRM Wilayah Persekutuan tersebut turut dilampirkan salinan hansard parlimen bertarikh 7 Disember 2009, muka surat 35-38 yang mengandungi butiran-butiran ucapan Ahli Parlimen Wangasa Maju YB Wee Choo Keong.

Pada tarikh sama Sidang Parlimen, Wee Choo Keong telah mendedahkan bahawa Shafie yang juga Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan dan Ketua Bahagian Umno Wangsa Maju telah menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Antaranya beliau mendakwa Shafie telah menggunakan pengaruhnya menghalang penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari mengambil tindakan meroboh Restoran Rashatini yang dimiliki oleh Pengerusi Persatuan Penjaja Melayu Wilayah Persekutuan.

Restoran terbabit merupakan premis haram kerana didirikan di atas tanah rizab DBKL.

Shafie juga turut di dakwa membantu menggunakan pengaruh beliau bagi membolehkan restoran tersebut mendapatkan peralatan dan kerusi milik DBKL secara percuma.

Selain kes itu, Shafie juga didakwa telah menggunakan pengaruhnya supaya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan melantik 29 nama yang beliau cadangkan sebagai Ahli jawatankuasa Surau Al-Ehsaniah, di Rumah Pangsa Danau Kota.

Beliau juga pernah didakwa menggunakan pengaruhnya membantu rakan karibnya, John Tee, Pengarah Urusan Syarikat Evergreen Sdn Bhd bagi mendapatkan kontrak pembekalan alatan kepada pusat-pusat Latihan Khidmat Negara semasa Perdana Menteri menjawat jawatan Menteri Pertahanan.

Beberapa kes salahguna kuasa beliau yang lain termasuklah menjadikan isterinya sebagai proksi dalam senarai lembaga Pengarah Syarikat Bukit Kiara Development Sdn bhd untuk memudahkan beliau menyalurkan projek-projek kerajaan.

Beliau juga didakwa memperolehi 30 lot tapak Pasar Malam Uptown Danau Kota menggunakan pengaruhnya dan terlibat di dalam kelulusan “development order” untuk membina shoopping complex di atas sebidang tanah yang digazetkan di dalam Draf Pelan KL 2000 untuk Masjid Desa Sri Hartamas.

HarakahDaily.Net/-

Komik "Perak Darul Kartun" dilancar Ahad ini

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin akan melancarkan komik "Perak Darul Kartun" (PDK) pada Ahad, 13 Disember ini, jam 4 petang.

Majlis pelancaran akan diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Dun Bukit Antarabangsa yang beralamat di No 2, Lorong Perak, Pusat Bandar Taman Melawati, Hulu Kelang, Kuala Lumpur.

"Pelancaran akan dilakukan bersama oleh Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Perak Darul Kartun adalah komik terbaru hasil karya terbaru Zunar bersama pasukan kartunisnya yang terdiri dari Ronasina (Mohd. Affandi Ramli), Jonos (Nor Azlin Ngah), Art (Azhar Saad).Orang-orang (Azlan Isa) dan Naza (Nazruddin Abu Bakar).

Ianya sebagai penerbitan berterusan syarikatnya Sepakat Efektif selepas permit penerbitan Gedung Kartunnya mempunyai masalah dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

PDK mempunyai ketebalan 80 muka surat tidak termasuk kulit muka (dengan penambahan 12 muka surat berbanding Gedung Kartun) dan dijual dengan harga RM10 setiap naskhah.

Turut menyumbang karya dalam komik tersebut adalah Haili, Oly, Roy, Enot, AJ, Warih, Kidol, Madsein, Kawe, Ubi Lepih, Nur, Fahmi dan Buzu.

Manakala penulis penyumbang/kolumnis ialah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, penulis, Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Rahmat Haron, Pusparos dan Benludin.

Seperti juga Gedung Kartun, PDK menampilkan karya-karya kartun dan rencana yang mengkritik pedas kebobrokan, salah-guna kuasa, rasuah penguasa dengan sepuluh muka surat pertama ditumpukan kepada isu 'rampasan kuasa' di Perak oleh kerajaan BN.

Selain itu ianya juga memuatkan ruangan khas watak pemimpin negara bernama “Datuk Nazak”, slot “Negaraku” dan tiga muka surat karya Enot bertajuk “Nostalgia 98” yang mengimbas kembali sejarah ketika gelombang reformasi tercetus.

Ruangan “Selangor Tanahairku” diteruskan untuk memberi publisiti tentang dasar-dasar kerajaan Pakatan Rakyat dengan pelbagai program kebajikan yang telah dijalankan.

harakahdaily.Net/-

Kamal Hashim: Pakatan Rakyat perlu manfaatkan konvensyen pertama

Parti-parti Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen pertama pada 19 Disember nanti di Shah Alam, Selangor. Dengan slogan "Memimpin perubahan, menjana kemenangan," perhimpunan ini membawa makna yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia yang mahukan perubahan.

PR kini menjadi harapan kepada rakyat Malaysia untuk melihat perubahan daripada penguasaan Umno dan Barisan Nasional yang menguasai segenap ruang kehidupan rakyat, dan amat diharapkan PR melaksanakan apa yang dijanjikan sejak pilihan raya umum lalu.

Berdasarkan realiti politik Malaysia, gabungan parti ialah satu jalan untuk menewaskan BN dalam pilihan raya, yang sudah lama terlibat dalam mengatur medan pilihan raya melalui pelbagai cara.

Segala persempadanan semula, pembahagian kerusi sesama parti komponen dilakukan dengan mudah oleh BN yang selama ini tidak dicabar oleh mana-mana gabungan parti.

Sekarang ini, dengan wujudnya PR di persada politik negara, BN berdepan dengan cabaran yang besar kerana pembangkang sudah dapat bertanding sebagai satu pakatan.

Pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng dilihat mampu untuk membawa parti masing-masing ke arah kerjasama yang lebih berkesan seperti yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Sekarang ini, PR perlu memikirkan dengan serius kerjasama yang lebih rapat dalam menghadapi BN yang telah mula menunjukkan tanda-tanda keretakan dalaman. Diharapkan menjelang pilihan raya umum akan datang, kerjasama PR sudah menjadi lebih rapat daripada hari ini dan mampu untuk benar-benar menjadi pilihan rakyat untuk menggantikan BN.

Benar apa yang diucapkan pemimpin-pemimpin PR, BN hanya boleh dijatuhkan oleh gabungan lain yang menyerupai BN itu sendiri. BN kuat selama ini kerana pembangkang tidak bersatu dalam pilihan raya dan kerjasama politik yang boleh menjadi pilihan lain kepada rakyat.

PR mungkin tidak perlu manifesto bersama, tetapi perlu bersetuju dalam beberapa bidang seperti ekonomi dan urus tadbir untuk memandu pemerintahan PR pada masa akan datang.

Setakat ini, dari sudut satu lawan satu dalam pilihan raya, PR sudah berjaya melaksanakan strateginya. Sekarang, PR perlu memikirkan kerjasama lain termasuk program-program apabila dapat memerintah negeri atau negara.

Apa yang berlaku di negeri-negeri dimenangi PR seperti Perak (yang sudah dirampas balik) dan Selangor boleh dijadikan kajian untuk membentuk kerjasama ini. Dua negeri ini mempunyai komposisi rakyat yang berbilang kaum dan mempunyai bandar besar dan kampung, dan ini boleh memberikan banyak program untuk difikirkan.

PR perlu memuhasabah diri melihat rekod kepimpinan mereka untuk diperbaiki. Kalau boleh, biarlah ada satu standard yang diterima oleh semua parti komponen PR untuk dilaksanakan dalam pemerintahan. Biarlah negeri-negeri diterajui PR menunjukkan contoh terbaik dalam pengurusan negeri.

Konvensyen yang bakal diadakan di Shah Alam nanti perlu menjadi medan untuk membina kerjasama yang lebih rapat, walaupun setiap parti mempunyai perbezaan dasar dengan parti-parti lain. Apa yang boleh dipersetujui perlu dipersetujui dan dilaksanakan dalam usaha mengukuhkan pakatan dalam menghadapi BN.

PR perlu ingat satu pesanan dari ahli akademik, peluang diberikan rakyat hanya sekali. Masalah dihadapi sepanjang setahun dua lalu perlu ditangani dengan baik, untuk menhadapi pilihan raya umum akan datang dengan lebih yakin.

HarakahDaily.Net/-

Kerajaan Selangor buka Pejabat Khidmat Rakyat DUN Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 10 Dis: Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selengor tetap membuka sebuah Pejabat Khidmat Rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelabuhan Klang biarpun Dun itu kini diwakili Adun bebas Badrul Hisham Abdullah.

Bagaimanapun ianya akan dipertanggungjawabkan kepada setiausaha politik menteri besar, Nik Nazmi Bin Nik Ahmad yang ditugaskan sebagai Adun penyelaras bagi Dun tersebut dengan dibantu dua petugas lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, sekriteriat akhbar kerajaan negeri Selangor memberitahu ianya sebagai rasa prihatin dan tanggungjawab kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat ekoran tindakan Badrul yang mengumumkan bahawa beliau keluar PKR dan menjadi Adun bebas yang ‘mesra’ BN Oktober lalu.

"Kerajaan Negeri Selangor terus komited menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat dengan membuka Pejabat Khidmat Rakyat DUN N46 Pelabuhan Klang di 104-A, Solok Pendamar Indah 1, 42000 Pelabuhan Klang dan YB Nik Nazmi Bin Nik Ahmad sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penyelaras bagi DUN Pelabuhan Klang," kenyataan itu dipetik.

Pejabat khidmat rakyat itu akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat setiap minggu dan dibuka bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang.

Manakala hari bertemu pelanggan di pejabat tersebut akan diadakan setiap hari Jumaat selama dua jam iaitu dari pukul 9 hingga 11 malam.

Orang ramai boleh menghubungi Pejabat Khidmat Rakyat DUN N46 Pelabuhan Klang di talian 019-2276641, 012-6776736 (Encik Kamal Ariffin) dan 013-3711808 (Encik Abdul Hadi) untuk sebarang urusan berkaitan.

Badrul mengumumkan keluar PKR dan menjadi Adun bebas selepas beberapa desakan termasuk cadangan dari Menteri Besar yang juga Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri supaya beliau meletak jawatan.

Desakan dan cadangan itu dibuat selepas hampir setahun proses membetulkan keadaan dibuat namun gagal dan sikap Adun berkenaan tidak berubah.

Kerajaan Selangor juga sebelum ini mendakwa sering menerima aduan dari penduduk penduduk di Pelabuhan Klang mengenai ketidakupayaan Badrul Hisham menjalankan kewajipan beliau sebagai wakil rakyat.

HarakahDaily.Net/-

Akhlak pelajar kolej komuniti membimbangkan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Dr. Lo' Lo' Ghazali (PAS-Titiwangsa) mendakwa sahsiah dan akhlak pelajar-pelajar Kolej komuniti membimbangkan menyebabkan ibu bapa ragu-ragu untuk menghantar anak mereka melanjurtkan pelajaran ke institusi berkenaan.

Dr. Lo' Lo' sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi ingin tahu samada mata pelajaran Pendidikan Agama Islam diajar atau tidak di kolej berkenaan.

"Saya mendapat rungutan daripada ibu bapa yang gusar untuk menghantar anak mereka ke kolej komuniti kerana ia dicemari dengan budaya negatif seperti budaya couple, vandalisme, buli dan sebagainya.

"Adakah mata pelajaran Agama Islam turut diajar kepada mereka bagi memastikan mereka bukan sahaja menjadi pekerja yang amanah tetapi tinggi akhlak dan sahsiahnya," soalnya.

Sebelum itu, Datuk Dr. Tekhee @ Tiki anak Lafe (BN-Mas Gading) meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan jumlah terkini Kolej Komuniti dan jumlah keseluruhan pelajar sepenuh masa mengikut bidang kursus yang mereka ikuti di seluruh negara dan mekanisme yang digunakan untuk memastikan mereka tidak akan menyumbang kepada masalah graduan menganggur di negara ini nanti.

Timbalan Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah (BN-Temerloh) dalam jawapannya memberitahu, sehingga Oktober 2009, terdapat 42 buah kolej komuniti induk dan 18 buah kolej komuniti cawangan yang beroperasi di seleruh negara.

Bilangan enrolmen pelajar program sepenuh masa, bagi sesi pengajian Julai 2009 ialah seramai 17,279 orang. Sebanyak 34 program pendidikan dan latihan dalam bidang teknkal, teknologi, perdagangan dan perkhidmatan dijalankan di kolej komuniti.

Beberapa langkah telah dilaksanakan bagi memastikan graduan kolej komuniti memenuhi pasaran kerja, antaranya ialah menggunakan pendekatan Work-Based Learning (WBL) yang mewajibkan pelajar menjalankan latihan pekerjaan selama setahun di tempat kerja.

Selain itu, Kementerian juga melaksanakan Skim Pengukuhan Graduan (SPG) yang bersifat enrichment, reinforcement, dan updating berkonsepkan tambah nilai, khususnya dalam bidang teknikal, teknologi, perkhidmatan dan keusahawanan.

Harakahdaily.Net/-

Ketuanan Melayu atau Kepimpinan Melayu ?

Sejak akhir-akhir ini teman-teman dari DAP diserang habis-habisan oleh UMNO dan BN dan tumpuan serangan dikaitkan dengan isu Melayu.

Bermula dengan isu pijak gambar beralih kepada Isu YB. Kulasegaran dan sesudah itu isu peruntukan mesjid, dan terakhir isu YB. Sivakumar yang disiarkan dalam Sinar Harian kelmarin.

Bagi saya kalau ingin dikaitkan dengan "ketuanan" yang ada bagi kita orang Islam adalah cuna "Ketuanan Islam" sahaja.Tidak ada ketuanan selain dari itu termasuklan bagi orang Melayu sendiri.Betuankan kepada bangsa adalah idealogi yang karut dan ditolak oleh semua bangsa didunia.

Adakah kita sanggup bertuankan kepada bangsa sendiri yang menjadi "pengkhianat" kepada bangsanya sediri. Terlebih lagi tidak ada bangsa lain ingin mengiktiraf sama.

Sebaliknya kalau ingin bercakap dengan kalimah Melayu juga, yang adalah hanyalah "Kepimpinan Melayu". Inilah yang sebenarnya boleh diterima oleh orang Melayu sendiri dan termasuklah bangsa lain.

Dalam kontek negeri Perak, orang Cina dan India yang telah memberikan sokongan padu kepada parti yang memerintah di negeri Perak sejak 52 tahun lepas berakhir dengan satu penyerahan dan pengkitirafan kepada kepimpinan Melayu yang diterajui oleh Pakatan Rakyat dan di sana DS. Nizar diberikan kepercayaan menjadi Menteri Besarnya.

Jelas kepimpinan Melayu sesuatu boleh diterima, apalagi orang Melayu Islam yang berada dalamn gagasan Pakatan Rakyat yang membawa politik baru dan perubahan kearah menyelamatkan Malaysia yang telah menjadi porak peranda akibat dari kepimpinan melayu UMNO yang telah menghinati amanah yang diberikan kepada mereka sekian lama.

Apalagi UMNO yang sering melaungkan "ketuanan melayu" adalah penghinat kepada orang melayu itu sendiri.

Nak berkelahi jangan di bank dan kedai kopi......

Saya hairan bila Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar sekali lagi mempertahankan pandangannya agar menantu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat digugurkan segera daripada menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).Selain itu beliau dipetik sebagai tidak tersinggung dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan, juga sebagai pengerusi PMBK, yang menyifatkan kenyataannya hanya memberi peluang kepada Umno "berpesta". apalagi pandangan itu diluahkan kepada media pihak lawan PAS, adakah tidak ada lagi saluran lain untuk beliau mengeluarkan pandangan.

Nik Abdul Aziz hari ini dilaporkan berkata Mahfuz cuba memandai-mandai dalam pentadbiran syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu sedangkan peletakan jawatan Abdul Ariffahmi telah diputuskan bersama oleh beberapa pemimpin kanan PAS.

Apapun pada pandangan saya siappun yang mengeluarkan kenyataan dalam soal keputusan yang telah dipersetujui adalah membawa satu masalah lain, apalagi sejak akhir-akhir ini nampaknya ada trend baru untuk mengeluarkan kenyataan kepada media musuh PAS sendiri.

Bagi saya soalan yang dikeluarkan oleh rakan media musuh sudah tentu merupakan perangkap dan segala jawapan yang diberikan dimanipulasi semaksima mungkin untuk melaga-lagakan antara pemimpin PAS. Semuanya mesti berhati-hati.

Gunakanlah segala saluran parti yang ada untuk menyelesaikan masalah rumahtangga PAS termasuklah persoalan PMBK. Kalau nak berkelahi janganlah dikedai kopi atau di bank nanti orang tengok dan dengar, yang malu rumah tangga sendiri. apa lagi berkelahi di situ pastinya tidak menyelesaikan masalah yang kusut,bertambah kusut malah ada. Malah dalam kes PMBK jelas yang untung adalah musuh PAS.

Laporan berbau hasutan, Utusan berdepan saman

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia di atas laporannya yang didakwa berbaur hasutan dan perkauman.

Kor Ming yang juga Setiausaha DAP Perak dalam satu sidang media di lobi parlimen siang tadi berkata, mana-mana pihak tidak harus membazir masa memainkan isu untuk meniupkan api perkauman, sebaliknya harus memberikan tumpuan kepada agenda pembangunan negara.

"Saya akan berbincang dengan panel peguam saya untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak (Utusan Malaysia) yang membuat laporan yang tidak bertanggungjawab,"

Kor Ming turut kesal dengan dakwaan yang dibuat beberapa pihak terhadapnya tanpa merujuk dan meneliti kenyataannya terlebih dahulu.

"Saya sangat kesal dengan kenyataan beberapa pihak termasuk Mufti Perak, Datuk Harunsani Zakaria, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohd Syed Abdul Aziz dan beberapa NGO lain telah membuat dakwaan tanpa membaca keseluruhan teks ucapan," katanya.

Kor Ming juga akan membuat laporan polis pada masa terdekat ini berhubung laporan itu.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kononnya Kor Ming di Dewan Rakyat kelmarin mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina 611 masjid dalam tempoh lapan tahun hingga 2008, sedangkan kerajaan didakwa gagal membina rumah ibadat agama lain dalam tempoh tersebut.

Kenyataan Kor Ming itu turut dikecam Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang menyifatkannya sebagai biadab.

Sebaliknya Kor Ming menegaskan, beliau langsung tidak mempertikaikan peruntukan untuk masjid sebaliknya mengalu-alukan perkara itu.

Namun beliau turut mahukan kerajaan menitik beratkan mengenai pembinaan rumah ibadat agama lain bagi memberikan keadilan kepada semua kaum dan agama.

Sementara itu, Ahli Parlimen PAS Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli yang juga Bendahari PAS Pusat menyifatkan laporan media arus perdana kini semakin melampau dengan kenyataan-kenyataan yang sengaja membangkitkan kemarahan rakyat bukan Islam.

"Saya lihat keadaan pemberitaan media sekarang ini semakin melampau. Hari ini kita baca laporan yang boleh membangkitkan kemarahan kaum India,”

"Saya setuju dengan kebebasan pemberitaan tapi cara yang ttidak mengikut etika adalah tidak betul. Sedangkan Kor Ming tidak pernah memertikai RM700 juta yang diperuntukkan untuk pembinaann masjid," tegasnya.

Beliau juga berkata, PAS akan mempertahankan tindakan rakan-akan daripada DAP atau PKR sekiranya perkara yang dilakukan itu tidak bertujuan mewujudkan kebencian kaum.

“Kami di sini daripada PAS yang akan mempertahankan kenyataan Nga Kor ming walaupun kita dilihat seolah-olah menjual bangsa dan agama kita kerana perkara itu tidak berlaku sama sekali,” tegasnya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam pula berkata, laporan itu membuktikan Umno BN semakin terdesak dengan cuba mengapi-apikan orang Islam dengan orang bukan Islam.

“Tindakan Umno BN melalui media milik mereka ini membuktikan mereka dalam keadaan terdesak,”

“Mereka sentiasa nak tunjukkan DAP ini anti-Melayu, anti-Islam. Ini satu tindakan yang sangat bahaya,” katanya.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dari PKR turut menyokong cadangan Kor Ming yang mahukan pembinaan rumah ibadat lain turut diberi perhatian bagi memastikan pembangunan moral rakyat bukan Islam terus terjamin.

“Kerajaan juga harus melihat kemudahan untuk rakyat agama lain supaya anak-anak mereka ada tempat untuk beribadat. Ini juga dapat memerangi masalah soasial yang berlaku ketika ni,” katanya.

HarakahDaily.Net/-

PAC digesa siasat RM10 bilion Khazanah

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar petang tadi memohon Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid menyiasat peruntukan dana RM10 bilion dalam pakej ransangan ekonomi yang diberikan pada Khazanah Nasional Berhad tahun lepas.

Permintaan Mahfuz itu ekoran Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar sebelum ini yang berjanji menyediakan lebih 70 ribu peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, projek 'pasang siap' serta pelaburan khusus di Wilayah Pembangunan Malaysia (WPI) melalui pakej tersebut.

"Saya mahu suatu siasatan dibuat ke atas Khazanah Nasional, saya nak tahu projek apa (yang dibuat), di mana (impak pembangunan) dan sejauh mana projek tersebut sedang dilaksanakan," gesa Mahfuz.

Beliau turut mempersoal tentang penyusutan 1.2 peratus ekonomi negara.

"Mengapa boleh ada penyusutan ekonomi negara sebanyak 1.2 peratus untuk suku tahun ketiga tahun ini, sedangkan Khazanah menjanjikan pelbagai projek pasang siap dengan ransanga ekonomi ini, sepatutnya penyusutan ini tidak berlaku."

"Apakah langkah pemantauan yang diambil oleh Khazanah untuk pantau RM10 bilion ini? Ada ketelusankah di dalamnya (pengurusan dana) dan bagaimana ia menguntungkan rakyat," soal Mahfuz lagi.

Beliau yang juga Naip Presiden PAS berkata, ada pihak berpendapat peruntukan dana tersebut untuk meransang saham beberapa anak syarikat Khazanah sendiri di dalam Bursa Saham Malaysia.

Beliau turut memberikan contoh, sejumlah wang tertentu dari dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan untuk menyelamatkan ValueCap Sendirian Berhad.

Tambahnya lagi, kerajaan juga memperuntukan banyak dana untuk meransang ekonomi nasional sebelum ini, namun rakyat tidak merasai impak ekonomi dan pembangunan dari pakej ransangan tersebut.

Dana-dana yang dimaksudkan termasuk pemberian RM2 bilion kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk membina terminal pengangkutan tambang murah di KLIA.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukan dana RM250 juta untuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang.

Telekom Malaysia Berhad turut mendapat RM2 bilion untuk penyediaan sistem jalur lebar berkelajuan tinggi dan RM480 juta kepada PLUS Berhad kerana tidak menaikan tol.

Selepas membuat kenyataan tersebut, Mahfuz menyampaikan suatu memorandum kepada Azmi.

HarakahDaily.Net/-

Kelantan sokong PM bantu selesai konflik di selatan Thailand

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 10 Dis: Kelantan menyokong langkah kerajaan Malaysia membantu menyelesaikan konflik yang melanda di selatan Thailand sekarang sehingga telah mengorbankan ribuan nyawa khususnya umat Islam sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penduduk di selatan Thailand sama ada beragama Islam atau sebaliknya perlu dibantu bagi menjamin keselamatan mereka.

“Saya melahirkan rasa syukur dan gembira di atas kesediaan pemimpin mahu menyelesaikan konflik itu.

“Saya setuju Malaysia ingin membantu Thailand menyelesaikan konflik negara itu yang nampaknya tidak selesai. Tak selesai sekiranya masalah bom diselesaikan dengan bom.

“Seperti apa yang berlaku di Israel sejak dahulu hingga sekarang juga tidak pernah selesai,” ujarnya ketika merasmikan Seminar Menjelang 20 Tahun Kepimpinan Ulama di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini hari ini.

Seminar separuh hari itu dianjurkan Pejabat Menteri Besar dan diurusetia Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.

Lebih 1,000 hadir pada program tersebut termasuk anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Adun, anggota Dewan Rakyat, ketua-ketua jabatan negeri, pegawai agensi di bawah kerajaan negeri dan pegawai lantikan politik.

Tiga kertas kerja dibentang pada seminar tersebut termasuk oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif, anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Abdullah.

Empat pensyarah kanan dari institusi pengajian tinggi tempatan juga dijemput mengulas kertas kerja terbabit.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan lawatan ke Narathiwat bersama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan mereka berjumpa dengan masyarakat Islam di tiga wilayah bergolak tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, sebelum ini beliau sering menerima jemputan umat Islam dari wilayah berkenaan bagi menyampaikan ceramah agama, namun sekarang tidak dapat lagi ke sana kerana pergolakan yang berlaku.

Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya, golongan ulama mampu memberi tanggapan positif terhadap amalan poligami kerana mereka mempunyai pengetahuan bagi melaksanakan amalan sunah tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini amalan poligami sering diberi tanggapan negetif kerana pengamalnya tidak melakukan perkara sebagaimana dikehendaki syariat.

“Akibat tindakan tidak bertanggungjawab mereka yang berpoligami menyebabkan masyarakat memandang serong kepada amalan berkenaan walaupun ia diharuskan oleh Islam.

“Kebanyakan mereka yang berkahwin lebih daripada satu hanya mengikut nafsu semata-mata,” katanya.

Menteri Besar berkata, lelaki yang berpoligami tanpa mengamalkan mengikut ditetapkan syarak sanggup meninggalkan isteri apabila mempunyai anak ramai.

“Untuk memberi imej baru terhadap poligami seharusnya golongan ulama boleh melakukan supaya ia menjadi contoh kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau juga imej ulama hendaklah menjadi amalan kepada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga, nelayan, petani, pegawai dan pemimpin.

Beliau juga melahirkan rasa tidak senang melihat mereka yang bergelar ulama mengenakan pakaian barat ketika berkuliah kerana ia tidak sesuai dengan budaya tempatan.

HarakahDaily.Net/-

Ketagih dengan Petronas, Ekonomi negara makin teruk

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi melahirkan rasa bimbang dengan suasana ekonomi negara semasa, disebabkan rekod terbaru menunjukkan pendapatan Petronas berkurangan.

“Pendapatan Petronas berdasarkan laporan yang dikeluarkan, mencatatkan kejatuhan berjumlah RM 59 bilion, bermakna cukai yang sepatutnya diperolehi oleh Negara berkurangan sekitar 57%,” jelasnya dalam suatu kenyataan media di Parlimen.

Beliau berpendapat angka kejatuhan tersebut turut memberi impak berantai pada ekonomi negara kerana 48.6 peratus diperoleh dari keuntungan Petronas.

Jelasnya lagi, Petronas turut menyumbang sebanyak 44.9 peratus pada pendapatan negara tahun lepas.

Beliau turut mengkritik sikap kerajaan yang terlalu bergantung kepada hasil minyak sebagai sumber pendapatan utama negara, demi mengaburi sokongan rakyat.

“Kebergantungan terhadap PETRONAS ini mengaburi kita dari kedudukan sebenar ekonomi akibat dari dasar kerajaan yang terus menerus bergantung kepada syarikat tersebut untuk menampung kegagalan mereka untuk memulihkan kewangan Negara semenjak terkesan dari krisis kewangan Asia 1997/1998.”

Beliau yang juga ketagihan wang Petronas menjadikan perbelanjaan sumber asli negara tersebut kian membengkak saban tahun.

“Penggunaan sumber dan dana dari PETRONAS oleh kerajaan telah membengkak sekitar 21% setiap tahun, ini bermakna setiap tahun, peratusan penggunaan sumber PETRONAS oleh kerajaan bertambah sebanyak 21% dari apa yang digunakan pada tahun sebelumnya,” ujarnya.

“Misalnya pada tahun 2005, petronas menyumbang sebanyak RM31.2 billion dari jumlah keseluruhan belanjawan Negara. Namun pada tahun 2008, jumlah wang PETRONAS yang membentuk belanjawan Negara adalah sebanyak RM 74 billion-peningkatan sebanyak 130% sepanjang 5 tahun ini.”

Dakwanya lagi, ketagihan tersebut disebabkan amalan boros, ketirisan dan rasuah dalam sektor pembinaan dan pengurusan kerajaan sendiri.

“Kalau projek pembinaan yang asalnya RM4 bilion boleh jadi RM4.5 bilion kerana boros, ketirisan dan rasuah, kerajaan tiada jalan lain kecuali menggunakan dana Petronas melebihi kadar yang sepatutnya.”

“Memburukkan apabila kerajaan pusat membentangkan belanjawan yang berjumlah RM 208billion untuk tahun 2009 dan kemudiannya (membentangkan) pakej ransangan berjumlah RM 60 billion, ketika unjuran pendapatan tahun 2009 berasaskan harga minyak mentah bulan September 2008.”

Beliau turut meminta Petronas bersikap lebih telus dan tidak melayan ketagihan beberapa pemimpin Umno BN yang dianggap boros, mengamalkan rasuah dan ketirisan dalam menguruskan perbendaharaan negara.

HarakahDaily.Net/-