11 December 2009

Adab memotong kuku

http://nasbunnuraini.wordpress.com/

Ada juga golongan yang mempertikaikan riwayat-riwayat di atas. Apapun secara amnya sunat memotong kuku pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat. Ada juga riwayat mengatakan siapa potong kuku setiap hari Rabu miskinlah ia. (Kesahihannya wallahua’lam). Seboleh-bolehnya elakkan dari mengekalkan memotong kuku pada hari Rabu (sekali-sekala tidak apa). Ini kerana isteri nabi iaitu Siti Khadijah pernah bertanya bagaimanakah caranya untuk menghabiskan harta beliau yang banyak. Maka jawab Nabi s.a.w. potonglah kuku pada setiap hari Rabu.

Nabi juga pernah berkata, jangan panjangkan kuku kerana syaitan berlari di atas kuku yang panjang. Begitu juga misai yang melebihi bibir mulut.

Kaedah yang paling mudah ialah:-

KUKU TANGAN

Mulai dari Jari Telunjuk tangan kanan.
Jari Tengah tangan kanan
Jari Manis tangan kanan
Jari Kelingking tangan kanan (Tinggalkan Ibu Jari tangan kanan)
Jari Kelingking tangan kiri
Jari Manis tangan kiri
Jari Tengah tangan kiri
Jari Telunjuk tangan kiri
Ibu Jari tangan kiri
Ibu Jari tangan kanan
Mula dari kanan, penghabisan juga sebelah kanan.

KUKU KAKI - Mula dari kanan, penghabisan sebelah kiri iaitu kelingking kiri. Mulai dari Kelingking Kanan dan bergerak ke jari-jari lain di sebelah kiri jari kelingking kanan . (cara terus, straight – cara “highway”

Jumaat Penghulu Segala Hari..

Email dari: DSJ

JUMAAT penghulu segala hari kerana kemuliaan dan kelebihannya. Malah, peristiwa agung banyak berlaku pada Jumaat.

Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul aiyam' iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat. Pada hari itulah Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).


Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang ber maksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat. Pada hari itu terdapat suatu masa seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, ter masuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus men dengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi. Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni ber salah.”

Sebelum menunaikan solat Jumaat, dianjurkan mandi ter lebih dulu sebagaimana hadis daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: “Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq `alaih)

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi, tetapi mandi itu lebih utama.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Tirmidzi).

1500 sertai konvensyen pertama Pakatan Rakyat 19 Disember

SHAH ALAM, 9 Dis: Seramai 1500 perwakilan dari ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat akan menyertai konvensyen pertama Pakatan Rakyat 19 Disember ini di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Mereka akan menyaksikan detik penting sejarah besar Pakatan Rakyat dan juga rakyat Malaysia secara amnya, kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Pakatan Rakyat hari ini.

Konvensyen bertujuan untuk membincangkan 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' yang telah dimeterai oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ke Konvensyen yang akan dihadiri oleh para perwakilan yang mewakili parti-Parti dalam Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

PAS, PKR dan DAP adalah anggota rasmi Pakatan Rakyat. Konvensyen ini dijangka akan merumuskan beberapa perkara penting. Antaranya pendaftaran parti gabungan Pakatan Rakyat serta penggunaan logo bersama PR dalam pilihan raya umum akan datang.

Pembentangan kertas 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' akan disampaikan oleh Pemimpin Utama Pakatan Rakyat semasa Konvensyen tersebut.

'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' ini akan menjadi dasar yang diterima, disepakati dan dihormati oleh ketiga-tiga Parti dan muafakat Pakatan Rakyat.

Sekretariat Pakatan Rakyat sebagai penganjur Konvensyen Pakatan Rakyat kali yang pertama ini memaklumkan, tema konvensyen ini adalah “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”.

Konvensyen ini akan berlangsung mulai jam 8.00 pagi hingga 6 petang akan terbuka kepada media di samping para pemerhati.

"Konvensyen Pakatan Rakyat ini juga akan menjadi pemangkin kepada hasrat Pakatan Rakyat untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kepimpinan yang berwibawa," kata kenyataan itu.

"Diharap pihak tuan/puan dapat hadir atau menghantar wakil untuk hadir meliputi acara yang bersejarah ini. Pendaftaran bagi wakil media boleh dibuat mulai hari ini di www.tinyurl.com/daftarmedia," kata kenyataan itu lagi.

Konvensyen Pakatan Rakyat diumumkan pimpinan pakatan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat ketua pembangkang 21 Oktober lalu.

Semalam Setiausaha Agung Keadilan, Dato Sallehuddin Hashim dilaporkan memberitahu persiapan rapi sedang giat dijalankan menjelang konvensyen tersebut.

Persiapan dibuat dengan kejasama ketiga-tiga parti yang mahu melihat program tersebut berjalan lancar dan membuahkan hasil yang terbaik.

"Persiapan rapi sedang diatur dan semua pihak, ketiga-tiga parti gabungan, sedang bekerja keras bagi menjayakan konvensyen ini,"katanya.

"Lebih 500 perwakilan dijangka hadir dan kita tidak boleh memandang mudah terhadap persiapan yang perlu kita lakukan."

Lagu tema untuk konvensyen tersebut bertajuk "Angin Pendamai" dicipta oleh Ito dari Kumpulan Blues Gang sudah pun siap dalam masa seminggu.

Manakala logonya pula menggunakan asas warna oren dan putih, menggabungkan ikatan kukuh tiga parti, mengelilingi lima kelopak bunga raya yang melambangkan lima kaum di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazandusun.

HarakahDaily.Net/-

Sembilan Letupan Bom Di Selatan Thailand

BANGKOK: Dua orang terbunuh dan 17 cedera akibat sembilan letupan bom dan beberapa serangan dengan senjata api di tiga wilayah di selatan Thailand semasa kunjungan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Thailand ke wilayah yang bergolak itu hari ini.

Seorang jurucakap tentera Thailand berkata, enam daripada letupan bom itu berlaku di Yala dan meragut nyawa seorang anggota pasukan pemusnah bom.

Pegawai berkenaan terbunuh apabila sebutir bom meletup ketika sekumpulan anggota polis dan tentera menyiasat kes letupan sebelumnya, yang mencederakan dua anggota tentera.

Beberapa letupan bom berlaku di daerah Khopo di Pattani dan di Narathiwat serta mencederakan dua anggota tentera ketika mereka cuba mengalihkan sepanduk dalam tulisan jawi dan bahasa Melayu yang menyebut bahawa Pattani adalah sebahagian daripada Malaysia.

Seorang lelaki yang sedang memandu kereta pula ditembak mati oleh dua lelaki di Pattani.

Keganasan itu, termasuk serangan terhadap anggota tentera yang mengawal keselamatan guru dalam perjalanan pergi dan balik dari sekolah, berlaku ketika Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva mengiringi Najib melakukan kunjungan separuh hari ke Narathiwat.

Mereka menghadiri satu majlis bagi menamanakan semula jambatan yang menghubungkan Bukit Bunga di Jeli dan Ban Buketa di Narathiwat sebagai Jambatan Persahabatan.

Selepas majlis itu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor melawat Institut Islam Attarkiah di pusat bandar Narathiwat, sebelum menamatkan kunjungan dengan melawat Ban Rotunbatu, sebuah perkampungan yang dibuka oleh kerajaan Thailand bagi balu anggota tentera yang terkorban dalam sengketa selama lima tahun di wilayah berkenaan.

Kerajaan Thailand mengerahkan beribu-ribu anggota tentera bagi menjaga keselamatan dua pemimpin berkenaan serta anggota rombongan mereka.

Di Bangkok, Najib berkata Malaysia tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Thailand atau mencadangkan kepada kerajaan Thailand perkara yang perlu dilakukan bagi menamatkan sengketa berkenaan, tetapi menyatakan tentang kesediaan Malaysia menawarkan bantuan bagi mewujudkan penyelesaian berkekalan di wilayah yang bergolak itu.

Lebih 3,600 orang terkorban sejak kumpulan pemisah melancarkan semula kempen mereka pada Januari 2005 bagi menuntut kemerdekaan tiga wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam -- Narathiwat, Pattani dan Yala -- yang bersempadan dengan Malaysia. BERNAMA

mStarOnline/-

Kelantan Sahut Cabaran Bawa Isu Royalti Minyak Ke Mahkamah

KOTA BAHARU: Kerajaan PAS Kelantan sedia menyahut cabaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, supaya mengemukakan isu tuntutan royalti minyak dan gas ke mahkamah.

Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau sudah lama bercadang untuk membawa isu itu ke mahkamah, jika tuntutan royalti minyak itu gagal diselesaikan secara rundingan.

"Bukan dia (Mohamed Nazri) saja nak, kita pun nak," kata Mursyidul Am PAS itu pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mohamed Nazri supaya Kelantan mengemukakan tuntutan itu di mahkamah berbanding usaha retorik Nik Aziz berdoa yang bukanbukan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kerajaan Pusat.

Pada 4 Nov lalu, Najib mengumumkan untuk memberi wang ehsan tahun depan kepada kerajaan negeri itu sebagai menggantikan royalti minyak dan gas.

Bagaimanapun, Nik Aziz tidak bersetuju dengan kaedah itu sebaliknya akan terus berdoa supaya Tuhan membuka pintu hatinya dan pemimpin kerajaan Pusat yang lain supaya menjelaskan tuntutan itu dalam bentuk royalti dan jika kaedah itu tidak berjaya beliau meminta Tuhan menimpa bala kepada mereka.

Mengenai isu menantunya, Nik Aziz berkata terserah kepada Abdul Ariffahmi Abdul Rahman untuk menentukan masa bagi melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) setelah PAS Pusat dua kali memberikan peringatan terhadap perletakan jawatan itu.

"Sebagai pegawai kerajaan, dia (Abd Ariffahmi) tahu apa yang patut dibuat, sebab bila seseorang pegawai kerajaan akan berhenti tentu ada penggantinya dan ia tidak semudah yang kita jangka," katanya.

Nik Aziz mengulas mengenai saranan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta beliau mempercepatkan proses peletakan jawatan menantunya sebagaimana yang diputuskan oleh pimpinan PAS pusat sebelum ini. BERNAMA

mStarOnline/-

K'jaan Perlu Pegang Pada Prinsip Kebebasan Bersuara

Oleh KEMALIA OTHMAN

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan perlu berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara dan pandangan rakyat.

Kata Nizar, Kerajaan perlu menerima pandangan dan kritikan daripada rakyat melalui debat terbuka dan ia bukan untuk melemahkan agensi kerajaan.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) semalam supaya berhenti berdebat secara terbuka sehingga boleh mengakibatkan mereka terperangkap dengan strategi pembangkang untuk menimbulkan perasaan buruk sangka terhadap kerajaan.

Muhyiddin berkata, pembangkang sentiasa mencari jalan untuk memburukkan imej institusi dan agensi-agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan institusi diraja.

Dalam hal ini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu menambah, Muhyiddin seharusnya menunjukkan sikap satu Malaysia yang dilaung-laungkan oleh perdana menteri.

"Kami tidak ada tujuan dan strategi untuk memerangkap pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dalam bentuk debat terbuka," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan, Zuraidah Kamaruddin berkata, sebarang isu yang dibangkitkan atau didebatkan bukanlah untuk mencari silap mana-mana agensi kerajaan tetapi sebaliknya memberi ruang kepada masyarakat untuk bersuara.

"Ini bukan strategi pembangkang untuk meraih suara rakyat tetapi kami mengamalkan konsep kebebasan bersuara.

"Jika mereka (pemimpin kerajaan) tidak mahu berdebat bermakna mereka takut menerima teguran dan menghadapi perbezaan pendapat," ujarnya.

Beliau yang tidak bersetuju dengan pendapat Muhyiddin mengganggap saranan itu mengekang hak kebebasaan bersuara masyarakat.

Bagaimanapun, Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyokong saranan tersebut agar pemimpin-pemimpin BN tidak terperangkap dengan strategi pembangkang yang boleh menjejaskan imej parti.

"Saya lihat ini lebih sebagai strategi pembangkang untuk menyerang agensi dan institusi kerajaan agar dipersoalkan peranannya," ujar beliau.

Rosnah turut menasihatkan agar pemimpin BN tidak menjadi mangsa dan akhirnya melemahkan institusi kerajaan itu sendiri.

mStarOnline/-

Selepas Selangor & P. Pinang, Kelantan Pula Tolak BTN

KOTA BAHARU: Selepas Selangor dan Pulau Pinang, kini Kerajaan Kelantan pula menolak pegawai dan kakitangannya daripada menyertai program Biro Tata Negara (BTN).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak bersetuju menghantar pegawai dan kakitanganya menyertai program yang dianjurkan BTN selagi modul dan kurikulumnya tidak diubah mengikut acuan Islam.

Malah, beliau mahu kurikulumnya dirombak dan menonjolkan ke arah Islam. Menurutnya, beliau bersama dua negeri di bawah Pakatan Rakyat bersetuju untuk tidak menghantar pegawainya mengikuti kursus BTN itu.

"Kalau dalam keadaan (kurikulum sekarang) saya setuju tak kirim. Kalau Selangor tolak, Pulau Pinang tolak, tak ada sebab saya nak kirim. Kirim wat gapo (buat apa)?," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak bercadang untuk 'mengharamkan' pegawainya menyertainya kerana haram itu perkataan Islam, cuma tidak bersetuju dan tidak menggalakkan menghantar pegawai menyertai program anjuran BTN.

Kerajaan Pulau Pinang 2 Disember lepas melarang semua kakitangannya daripada mengikuti kursus BTN berkuat kuasa sertamerta.

Timbalan Ketua Menterinya, Mansor Othman berkata, tindakan itu dibuat kerana mendapati kursus BTN memberikan kesan negatif dan menjadi medan menyebarkan propaganda Barisan Nasional (BN).

Minggu lalu, kerajaan Selangor mengharamkan kakitangannya dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri mengikuti kursus atau program dikendalikan BTN berkuat kuasa serta-merta.

Nik Abdul Aziz berkata, sudah lama beliau memerhatikan bahawa kurikulumnya tidak diajar mengikut Islam dan bercanggah dengan dasar agama.

"Kalau boleh BTN ini mengadakan forum dengan pakar ekonomi ke atau ahli dalam bidang tertentu ke arah Islam merombakkan semula BTN mengikut acuan Islam," katanya. BERNAMA

mStarOnline/-

Keputusan Sulaiman Letak Jawatan Tak Ada Kaitan Dengan Politik

KUCHING: Keputusan Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib untuk meletak jawatan tiada kaitan dengan politik, bertentangan dengan spekulasi sebelum ini, kata bapanya Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Ketua Menteri Sarawak.

Beliau berkata hasrat Sulaiman untuk meninggalkan pentadbiran Persekutuan adalah lebih berbentuk peribadi kerana anaknya itu masih terjejas dengan kematian ibunya, Puan Sri Laila Taib, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 29 April lepas.

"Dia mengalami masalah kesihatan sejak enam bulan lepas. Maka saya katakan kepadanya, hanya kamu sendiri yang boleh menghakimi keadaan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Sarawak di sini.

Seperti anggota keluarganya yang lain, Taib berkata Sulaiman, yang menggantikan tempatnya sebagai Anggota Parlimen Kota Samarahan selepas memenangi kerusi pilihan raya umum 2008, "tidak gembira dan berasa sedih dengan kehilangan ibunya".

Taib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada beliau telah berbincang mengenai perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Sulaiman. Sulaiman, Naib Presiden Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dilantik menganggotai barisan pentadbiran oleh perdana menteri sebelum ini Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan dikekalkan oleh Najib dalam barisan Kabinet yang diumumkannya April lepas.

Di tengah-tengah kehangatan spekulasi akan peletakan jawatan Sulaiman, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang dipetik sebagai berkata menafikan bahawa beliau tidak sehaluan dengan timbalannya dan menyatakan bahawa hubungan mereka baik dalam tempoh tujuh bulan mereka bersama di kementerian itu.

Terdahulu, Taib menyambut baik langkah pengeluar silikon Jepun Tokuyama Corporation untuk melabur RM12.5 bilion bagi mengeluarkan komponen sel solar di Taman Perindustrian Samalaju di Sarawak.

Ini menunjukkan Tokuyama telah memutuskan untuk beroperasi secara besar-besaran, katanya ketikan mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa loji berkenaan, yang akan menghasilkan silikon polycrystalline bagi sel solar, dijangka mula beroperasi pada 2011.

Muhyiddin, yang sedang dalam misi pelaburan di Jepun mulai 7 hingga 10 Disember, menyatakan bahawa pelaburan Tokuyama diluluskan tahun lepas dan Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti lokasi bagi projek itu. BERNAMA

mStarOnline/-

Bank Negara Bertindak Ke Atas Pengurup Wang

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia telah membatalkan 41 lesen pengurupan wang setakat ini tahun ini.

Langkah penguatkuasaan ini diambil terhadap pengurup wang yang didapati melanggar beberapa peruntukan Akta Pengurupan Wang 1988 (Akta), kata bank pusat itu menerusi satu kenyataan.

Kesalahan itu termasuk melanggar Seksyen 30 Akta tersebut, yang melarang pengurup wang memindahkan dana ke luar Malaysia, sama ada untuk diri sendiri atau bagi pihak ketiga.

Mengikut akta itu, pengurup wang hanya dibenarkan menjalankan perniagaan pertukaran mata wang asing dengan ringgit atau dengan mata wang asing lain dalam Malaysia

Bank Negara mengingatkan orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi perbankan perdagangan atau 45 penyedia perkhidmatan kiriman wang bukan bank yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia bagi memindahkan dana ke luar negara.

Dalam persekitaran kewangan Malaysia yang lebih liberal, orang ramai bebas untuk memindahkan dana melalui entiti yang dibenarkan itu, kata bank pusat.

Senarai bank perdagangan dan bank Islam, serta penyedia perkhidmatan kiriman wang bukan bank yang dibenarkan, boleh didapati menerusi laman web Bank Negara Malaysia (http://www.bnm.gov.my/microsites/fxadmin/index.htm). BERNAMA

mStarOnline/-

Hebahan Sumbangan Program Hari Keluarga Orang Asli Dan Camp Back To School Untuk Anak-Anak Orang Asli

Sekretariat program Hari Komuniti dan Camp Back to School Orang Asli

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa kami merupakan sekretariat program Hari Komuniti dan Camp Back to School Orang Asli. Program ini adalah anjuran Darul Fitrah Service Centre bersama Pertubuhan Kebajikan Wanita Selangor (PEKAWANIS) dengan kerjasama kekuatan sukarela dari Protraining Resource & Consultancy (PROtraining). Program akan berlangsung pada:

Tarikh : 25- 27 Disember 2009

Tempat : Pusat Rekreasi Serendah, Rawang.

Sehubungan itu, kami memohon sumbangan yang akan disalurkan kepada orang asli ketika program tersebut. Sumbangan tersebut boleh dihulurkan dari segi perkhidmatan, wang tunai atau barangan keperluan harian(eg:beras,susu, pakaian,dsb) atau alatan persekolahan(eg:beg,alat tulis,buku,pakaian).

Justeru itu, bantuan boleh disalurkan melalui DARUL FITRAH SERVICES CENTRE Bank Islam Malaysia Berhad (No Akaun: 12038010067123) beralamat No 10B, Tingkat 2 Blok 4, Worldwide Bussiness Centre, Seksyen 13, 40675 Shah Alam,Selangor Darul Ehsan,MALAYSIA.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut sila hubungi Cik Nur’Atiqah Norhalim (013-9695874) atau Muhammad Zaim bin Rosli (013-9009332)

Sekian, kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih di atas kesudian pihak tuan memberi perhatian terhadap permohonan ini.

HarakahDaily.Net/-

Royalti: Nazri tidak perlu khuatir

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 9 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam sidang media siang tadi memberitahu Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak perlu khuatir kerana sudah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membawa isu tuntutan royalti ke mahkamah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang meminta kerajaan Kelantan menuntutnya di mahkamah berbanding kaedah berdoa yang disifatkannya sebagai doa bukan-bukan.

Nik Aziz pada sidang media di pejabatnya pagi tadi juga berkata, kerajaan negeri sedang mengusahakan mengikut saluran perundangan setelah melihat tuntutan royalti tidak dapat diselesaikan dengan cara baik dengan kerajaan pusat.

Beliau juga melahirkan rasa ‘bingung’ berhubung cadang terbaru menteri itu, sedangkan sebelum ini Nazri antara yang bersetuju untuk berdebat berhubung perkara yang sama.

“Sekali nak ajak berdebat, sekali suruh bawa ke mahkamah, mana satu yang dia nak ni? Kacau dibuatnya," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang meneliti dari segenap aspek, supaya hak tersebut dapat dikembalikan kepada rakyat negeri itu.

“Kalau nak bawa tuntutan tu ke mahkamah, kita kena ikut peraturan, tak boleh buat sesuka hati sahaja. Cabarannya ni hak mana dia nak? Debat atau mahkamah? Kalau mahkamah bukan sahaja dia yang nak? Kita pun nak, tetapi ada kaedah dia,”ujar Mursyidul Am Pas itu.

HarakahDaily.Net/-

Khazanah curi hak Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong (DAP) petang tadi mempersoal kaedah penyaluran dana untuk memulihara tapak warisan George Town, Pulau Pinang.

Baginya, tindakan kerajaan pusat menyalurkan dana RM20 juta pada suatu syarikat bukan kerajaan negeri, Khazanah Nasional Berhad sesuatu yang salah.

"Kalau RM30 juta boleh diserahkan kepada kerajaan negeri Melaka melalui Jabatan Warisan Negara, mengapa RM20 juta yang sepatutnya diterima kerajaan negeri Pulau Pinang diserahkan pula pada (Syarikat) Khazanah Nasional," soalnya.

"Kalau kerajaan nak bagi pinjaman kepada syarikat swasta seperti Khazanah Nasional, memang tiada isu, tetapi dana ini diperuntukan untuk penyediaan, penyeliaan serta pemuliharan kawasan tertentu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri."

Beliau turut mencadangkan kaedah dana tersebut diserahkan kepada pihak yang berhak, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

"Kalau tidak mahu berikan dana ini kepada kerajaan negeri, sekurang-kurangnya beri kepada MPPP kerena mereka lebih berhak."

Jelasnya lagi, kerajaan negeri Pulau Pinang lebih berhak menguruskan dana pemuliharaan tersebut, sebagaimana dijamin dalam Seksyen 16B(1) Akta Perancangan Bandar Desa, 1976.

"Ia sebenarnya untuk penyediaan dan penyeliaan Perancangan Kawasan Khas (SAP) dan tujuan-tujuan yang lain, yang hanya boleh dilakukan
oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri," jelasnya.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung mengumumkan peruntukan dana tersebut di Parlimen.

Pengumuman tersebut, sebagai menjawab pertanyaan Liew dalam sesi persidangan Dewan Rakyat.

Penafian hak menguruskan dana tersebut dilihat sebagai rekod baru kezaliman Umno BN, setelah Kelantan dinafikan hak menguruskan royalti minyak baru-baru ini.

HarakahDaily.Net/-