10 December 2009

Hospital Awam Malaysia tidak selamat?

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Beberapa hospital awam di Malaysia dikatakan berbahaya untuk menempatkan pesakit.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa demikian setalah melihat beberapa tragedi di beberapa hospital awam.

Katanya, pada tahun 2008 menyaksikan tiga blok Hospital Queen Elizabert, Kota Kinabalu dikenal pasti dalam keadaan berbahaya oleh jurunilai bangunan.

Pada Jun 2007 menyaksikan beberapa keping siling bangunan Hospital Daerah Pekan, Pahang runtuh.

April tahun yang sama turut menyaksikan Hospital Sultan Ismail, Johor yang bernilai RM550 juta terpaksa ditutup selama 17 bulan disebabkan
masalah pembiakan kulat.

Hospital Ampang, Kuala Lumpur turut mengalami masalah pembiakan kulat yang berbahaya kepada pesakit, seperti di Hospital Sultan Ismail.

Mac tahun yang sama menyaksikan Hospital Sultanah Bahiyyah, Kedah yang bernilai RM550 juta terpaksa dibuka empat tahun lewat dari masa yang dijadualkan kerana masalah kerja-kerja pembinaan yang terbengkalai.

Februari 2007 pula menyaksikan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah yang bernilai RM550 juta mengalami pelbagai masalah prasarana fizikal seperti siling runtuh, paip yang bermasalah dan ketirisan di bahagian cafetaria.

Dipercayai beberapa masalah prasarana di hospital-hospital awam terbabit disebabkan sikap kerajaan melantik kontraktor-kontraktor
bermasalah atas dasar kronisme.

Pun begitu, tidak kedengaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beberapa kes berkaitan hospital awam terbabit.

Pengurusan tidak cekap perbendaharaan negara sekaligus tidak menggambarkan konsep 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

HarakahDaily.Net/-

Jangan melampau perjuang kesamaan gender

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) meminta pihak yang memperjuangkan hak kebersamaan gender khasnya di kalangan Islam supaya tidak melanggar syariat Islam.

Nasharudin sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi berkata, meskipun statistik indeks jurang gender yang dilaporkan Mantan Menteri berkenaan, datuk Dr. Ng Yen Yen pada tahun lepas menunjukkan pengurangan namun ianya tidak bermaksud pihak yang terlibat memperjuangkan isu berkenaan boleh bertindak secara melampaui batas.

Pada tahun 1980, indeks berkenaan mencatat 0.340 peratus dan turun kepada 0.240 peratus pada 2009.

Beliau juga ingin tahu jumlah kes diskriminasi terhadap wanita yang telah dilaporkan kepada pihak kementerian dan tindakan yang diambil kepada pihak yang melakukan diskriminasi gender.

"Saya difahamkan wanita tidak dibenarkan menjadi juruterbang dalam sistem penerbangan Malaysia.Sedangkan baru-baru ini di LIMA diketengahkan pilot-pilot wanita dan dalam laporan akhbar kita lihat ramai wanita yang sampai kepada peringkat yang tinggi," katanya.

Sebelum itu, Nasharudin meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan peruntukan undang-undang yang akan dikaji untuk mengelakkan wanita daripada didiskriminasikan.

Timbalan Menteri Chew Mei Fun (BN-Senator) dalam jawapannya memberitahu kerajaan sedang dalam tindakan untuk mengkaji undang-undang-undang Akta Kerja 1955, Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

HarakahDaily.Net/-

Ceramah Mat Sabu

Email : Abu Syamil




Ceramah Khas Isu Royalti Minyak Kelantan

Email : zainol abidin mohamed

Pidato Rakyat ' Antara Royalti & Ihsan, Siapa Pengkhianat bangsa?
bersama

1- YB Dato' Husam Musa ( Exco Kerajaan kelantan)
2- YB Khalid Samad ( Ahli Parlimen Shah alam)
3- YB Mohamed Azmin Ali ( Naib Presiden keADILan & Ahli Parlimen Gombak)
4- YB Dr Mohd Hatta Md Ramli ( Bendahari Agong PAS Pusat)
5- YB Saari sungib (ADUN Hulu Kelang)

pada 13/12/2009 (ahad) jam 9.00 malam di Dewan Serbaguna MPAJ AU5, Lembah Keramat, Hulu Kelang...

semua di jemput hadir beramai-ramai ...

tolong sebarkan demi kebenaran sejagat ...


ZAMBRY KE AMERIKA CARI PELABUR: BUKTI ZAMBRY MB HARAM

Email : Safarizal saleh

Kenyataan Media (9 Disember 2009)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) terkejut dengan rombongan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang terpaksa mengadakan lawatan rasmi untuk mencari pelabur sehingga ke Amerika Syarikat. Datuk Seri Zambry yang menjelaskan tujuannya ke luar negara adalah untuk mencari pelabur bukti bahawa beliau bersama pentadbirannya jelas tidak meyakinkan pelabur luar untuk melabur ke Negeri Perak yang mana tidak jelas kedudukan Menteri Besarnya serta kestabilan pentadbiran dan politik semasa.

Usaha Datuk Seri Zambry yang juga akan bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia semasa berada di United Kingdom jelas cuba melibatkan pelajar Malaysia kekancah berbaur politik amat dikesali. DPPN Pk meminta supaya Datuk Seri Zambry jangan mengheret pelajar ke kancah politik kepartian. DPPN Pk jelas bahawa tujuan Datuk Seri Zambry memberikan penjelasan kepada pelajar berhubung kemelut politik Negeri Perak bukan cara yang boleh diterima semata-mata mahu pelajar ataupun rakyat Malaysia di luar negara menerima cara rampasan kuasa di Perak. Tindakan terdesak Datuk Seri Zambry ini jelas menunjukkan sifat terdesak beliau untuk meraih simpati rakyat.

DPPN Pk meminta supaya pelajar-pelajar kita yang berada di sana tidak menerima penjelasan Datuk Seri Zambry semata-mata, tetapi mereka juga perlu mendapatkan penjelasan daripada Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin di dalam perkara ini bagi membuktikan kebenaran.


DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Qi Bu Cheng Shi : Mampu Mencipta Serangkap Syair dalam Masa Berjalan Tujuh Langkah Sahaja

Pada zaman kerajaan Tiga Negeri, iaitu pada tahun 220 Masihi hingga tahun 280 Masihi, raja Negeri Wei, iaitu Cao Cao merupakan panglima tentera dan juga penyair yang paling terkemuka di China. Dua orang anaknya, iaitu Cao Pi dan Cao Zhi juga amat cemerlang dalam bidang kesusasteraan. Cao Pi ialah seorang pengkritik sastera, manakala, adiknya, Cao Zhi pula merupakan penyair yang paling unggul pada zaman itu. Ketiga-tiga mereka digelar "Tiga Cao".

Walau bagaimanapun, setelah mewarisi takhta daripada ayahandanya, Cao Pi menjadi cemburu akan kepandaian adiknya. Pada suatu hari, Cao Zhi telah melakukan satu kesalahan yang sangat kecil. Bagaimanapun, Cao Pi ingin menggunakan peluang ini untuk menghukum adiknya, kecuali jika dia mampu menghasilkan serangkap syair dalam masa berjalan tujuh langkah. Cao Zhi faham bahawa abang kandungnya itu sengaja ingin menyukarkan hidupnya. Maka, dengan hati yang penuh duka dan marah, dia segera melafazkan serangkap syair, dengan isinya sebagai berikut:

Lenggai dibakar memasak kacang,

Kacang menangis penuh kepiluan,

Sama-sama dari satu keturunan,

Mengapa kualami seksa sedemikian.

Mendengar syair tersebut, Cao Pi berasa amat kesal dengan tindakannya itu. Sejak itu, baginda tidak pernah menyusahkan adik kandungnya itu walau sekali pun. Peribahasa "Qi Bu Cheng Shi" pun wujud selepas peristiwa tersebut.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Qi Bu Cheng Shi" ini digunakan untuk mempersenda seseorang yang mempunyai pencapaian yang cemerlang dalam bidang kesusasteraan. CRI/-

INFO TERKINI

Email : mtd chenderoh

12.12.09 Sabtu 9mlm CERAMAH Hj Md Sabu & Us. Misbahul Munir di Chuar, Kati


Datang, Jangan Tak Datang


Pengetua Dan Guru Besar Mungkin Diberi Kuasa Ambil, Pecat Guru

KUALA LUMPUR: Pengetua atau guru besar mungkin diberi kuasa untuk mengambil dan memecat guru di sekolah mereka pada masa depan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata perkara itu akan dipertimbangkan dalam usaha kementerian untuk merevolusikan sistem pendidikan negara.

Selain itu, kementerian turut mewujudkan ba'iah baru untuk membawa perubahan yang dapat memberi kecemerlangan kepada sekolah-sekolah.

"Sekiranya pengetua atau guru besar perform, beliau akan mendapat ganjaran...tidak semestinya dalam bentuk kenaikan pangkat atau gaji.

Ganjaran itu bergantung kepada kegigihan pengetua atau guru besar berkenaan dalam melakukan perubahan di sekolah mereka.

"Kemungkinan suatu hari nanti mereka boleh lakukan hire and fire...mereka dapat menentukan siapa atau guru mana yang berdedikasi untuk membantu mereka menjadikan sekolah mereka sekolah cemerlang," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelajaran di Parlimen.

Beliau berkata melalui revolusi sistem pendidikan itu, kementerian telah melakukan beberapa perubahan termasuk mewujudkan banyak persaingan dengan memperkenalkan sekolah berprestasi tinggi.

Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran juga akan mengumumkan 20 sekolah yang diberi penarafan sekolah berprestasi tinggi.

Selain itu, katanya kementerian akan melakukan rombakan kepada sistem taksiran iaitu sekolah bukan berorientasikan peperiksaan sematamata memandangkan pendidikan merupakan sesuatu yang dinamik dan perlu disesuaikan mengikut keadaan semasa.

Beliau turut disoal Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai bagaimana kerajaan mahu memartabatkan profesion perguruan sebagai profesion pilihan pertama dan bukan yang terakhir seperti yang berlaku mutakhir ini.

"Sebab itu, kita mesti berusaha menukar pemikiran guru supaya mereka melihat pendidikan sebagai perjuangan untuk memberi keadilan kepada rakyat," kata Mohd Puad.Bagaimanapun, beliau berkata kementerian tidak akan mengubah dasar sedia ada cuma pendekatannya yang berbeza.

"Saya yakin kalau perubahan minda ini dapat dilakukan, kita akan berjaya," katanya.Kepada soalan lain, Mohd Puad menafikan migrasi sesetengah pihak ke luar negara dalam bidang pendidikan kerana rasa tidak selesa dengan sistem pendidikan negara.

"Saya ragu dengan hujah Ipoh Timur bahawa mereka migrasi ke luar negara kerana tidak begitu selesa dengan sistem pendidikan kita...mereka ini migrasi kerana melihat kepentingan kebendaan dan disebabkan pekerjaan mereka," katanya.

Beliau juga berkata walaupun terdapat dakwaan bahawa sistem pendidikan kebangsaan gagal melahirkan pakar, ilmuan dan sebagainya, angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor AlMasrie adalah produk sistem itu.

"Sepatutnya kita berbangga dengan dasar pendidikan kebangsaan kita," katanya.-BERNAMA

mStarOnline/-

Isu Ariffahmi: Tuan Ibrahim Tak Setuju Dengan Mahfuz

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Semua pihak diminta supaya tidak mewujudkan 'tekanan baru' kepada Abdul Ariffahmi Ab Rahman berhubung soal peletakan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu peletakan jawatan Abdul Ariffahmi tidak seharusnya diperdebatkan oleh 'orang luar'.

Beliau sekaligus tidak bersetuju dengan gesaan seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar supaya Abdul Ariffahmi segera melepaskan jawatannya iaitu lebih awal dari tempoh tiga bulan yang diumumkan sebelum ini.

"Janganlah wujudkan satu lagi tekanan kepada Abdul Ariffahmi, orang luar sepatutnya tidak mencampuri urusan ini," katanya kepada mStar Online.

Akhbar hari ini memetik Mahfuz sebagai berkata bahawa menantu Menteri Besar Kelantan itu wajar dengan segera meletakkan jawatannya bagi menepati semangat dan matlamat keputusan pimpinan PAS Pusat berhubung kedudukannya dalam PMBK.

Kata Tuan Ibrahim lagi, semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelesaikan isu tersebut.

"Memandangkan isu ini melibatkan hal ehwal kerajaan Kelantan, jadi eloklah kita beri sepenuh kepercayaan kepada Tok Guru (Nik Abdul Aziz) untuk menguruskannya.

"Saya yakin isu ini boleh diselesaikan mengikut landasannya," kata beliau.

Tambah Tuan Ibrahim, beliau percaya, Abdul Ariffahmi memerlukan masa untuk menyempurnakan tugas-tugasnya di perbadanan itu.

"Persetujuan beliau untuk meletak jawatan itu juga satu pengorbanan yang besar buat dirinya... kita perlu ambil kira perkara itu semua.

"Mungkin beliau perlu selesaikan banyak perkara, bagilah masa kepadanya, biarlah perkara ini diselesaikan mengikut proses yang teratur," katanya.

Abdul Ariffahmi yang berkhidmat selama lapan tahun di PMBK dilantik sebagai CEO pada 20 September lalu.

Sebelum itu beliau merupakan Ketua Pegawai Operasi PMBK.

Bagaimanapun pelantikan Ariffahmi ke jawatan CEO telah mencetuskan kontroversi amalan nepotisma dalam PAS selain kemelut dalaman PMBK yang dikaitkan dengan soal salah urus tadbir dan kewangan.

Kemuncak kepala segala kontroversi ini ialah apabila seorang bloger terkenal yang juga pegawai perhubungan korporat PMBK, Syed Azidi dipecat daripada jawatannya setelah timbul cakap-cakap yang mengaitkan beliau sebagai punca siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas sayap pelaburan Kerajaan Negeri Kelantan itu.

Sehari selepas dipecat, Syed Azidi@Kickdefella telah memanggil satu sidang akhbar dan mengisytiharkan 'perang' ke atas Ariffahmi dengan memberi amaran yang beliau akan terus mendedahkan kepincangan pentadbiran di bawah menantu Nik Aziz itu.

Selepas menerima pelbagai desakan dan kritikan akhirnya Nik Abdul Aziz selaku Pengerusi PMBK dan juga atas nasihat kepimpinan PAS Pusat telah meminta Ariffahmi melepaskan jawatannya di PMBK.

Bagaimanapun kontroversi berhubung kedudukan beliau tidak tamat dengan peletakan jawatan tersebut kerana ia hanya akan berkuat kuasa pada 25 Mac 2010. Ariffahmi mengemukakan notis berhenti tiga bulan.

mStarOnline/-

Muhyidin main lagu lama tentang PAS

TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin menempelak PAS dan Mursyidul Amnya Tok Guru Nik Abdul Aziz memperalatkan agama Islam untuk politik sebagai reaksinya kepada doa khutbah hari raya haji Tuan Guru itu.

Doa MB Kelantan itu memohon Allah membukakan pintu hati Perdana Menteri supaya memulangkan royalti gas dan minyak yang menjadi hak Kelantan kepada Kelantan. Kiranya Perdana Menteri enggan, maka beliau mohon pula supaya diturun balasan buruk setimpal dengan sikapnya itu.

Maka reaksi Timbalan Perdana Menteri, dikecamnya MB itu dan parti kononnya memperalatkan agama Islam dalam berpolitik.

Apa yang dicakapkan oleh Tan Sri Muhyiddin itu bukan benda baru bagi pemimpin Umno. Sejak sebelum merdeka lagi, apabila Umno berhadapan dengan PAS, maka Tunku Abdul Rahman Putra pun berkata PAS memperalatkan agama dalam berpolitik.

Tun Razak kata begitu, Dr. Ismail kata begitu dan begitulah sekalian pemimpin Umno pada masa itu. Apabila datang pula pemimpin baru Umno, begitu jugalah tohmah mereka pada parti Islam itu.

Sesudah 52 tahun merdeka, jadilah Muhyidin Yasin sebagai Timbalan Presiden Umno. Maka dia juga memainkan lagu lama pimpinan Umno dulu kala.

Sebelum TV datang ke Malaysia, semua panggung wayang setiap pagi Ahad menayang filem lama dengan bayaran murah. Filem-filem lama yang TV tayang semula sekarang dipanggil filem klasik. Maka kenyataan TPM itu adalah ulang siar lagu lama, ulang tayang filem mudah dan filem klasik.

Berbuih mulut pemimpin-pemimpin dari semasa ke semasa, tiada banyak yang menakutkan orang tentang PAS dan perjuangan Islamnya.

Dapatlah dibodohkan orang ramai pada satu masa, tetapi tidaklah dapat dibodohkan mereka pada semua masa.

Bukan bertambah layu PAS dengan ‘wirid’ pimpinan itu bahkan ia bertambah menarik perhatian.

Apabila pimpinan Umno berkenaan berdepan dengan masalah dengan Umno, maka datang mereka menumpang tepias politik PAS yang mereka kata memperalat agama untuk tujuan politik.

Tiadalah orang Umno yang lebih layak dijadikan lagenda Umno selain dari Tunku Abdul Rahman. Tiada yang betul PAS padanya. Tetapi apabila Umno diharamkan, Tunku naik ke pentas PAS di Dun Pantai Merdeka, Kedah memberi nasihat kepada pengundi supaya menyokong calon PAS, Datuk Muslim Othman, sedang Tunku sebelumnya menempelak PAS memperalat agama dalam berpolitik.

Almarhum berasional masa itu, PAS percaya kepada perjuangan berasaskan Islam, maka biarlah dan beri kebebasan padanya memperjuangkan kepercayaannya.

Sebelum itu ketika Tun Razak mengepalai kerajaan Mageran berikut peristiwa 13 Mei, 1969, dijemputnya PAS menyertai politiknya dan kerajaan yang dipimpinnya. Ditukarnya Perikatan kepada Barisan Nasional bagi memungkinkan PAS menyertainya sedang dia tahu PAS berpolitik atas asas Islam.

Dulu Tun Razak kata, PAS peralat agama untuk berpolitik. Kemudian dia bertenggek atas politik Islam PAS yang pernah dikatanya memperalatkan agama.

Semua itu adalah kisah orang Umno yang sudah mati. Orang Umno yang masih hidup seperti Dr. Rais Yatim. Dia mengikut Tengku Razaleigh Hamzah bermuafakat dengan PAS untuk menumbangkan Umno dan kalau berjaya akan membentuk kerajaan bersama PAS.

Dia tahu PAS memperjuangkan Islam. Dia tumpang semangkuk menyangka PAS berpolitik dengan peralat agama. Tetapi boleh pula menumpang politik PAS yang dituduhnya peralat agama.

Tun Ghafar Baba ketika tersingkir dari Umno pimpinan Mahathir cuba mendekati PAS. Tetapi dia mengkaji pengalaman Tengku Razaleigh dan Rais Yatim. Dia takut mengulangi pengalaman Rais itu lalu dia membatalkannya. Dia membatalkan bukan kerana politik PAS dan Islam tetapi dia takut mengulangi pengalaman Rais dan Ku Li.

Dr. Mahathir pula guna Anwar Ibrahim untuk perkenalkan politik penerapan nilai-nilai Islam. Nilai Islam apa yang dia terap? Malaysia bertambah Islam di bawahnya atau bertambah jauh dari Islam? Tidak terfikirkan politik penerapan nilai-nilai Islam itu sebenarnya politik peralat agama?

Semasa PM Hussein Onn ditanya wartawan asing, kenapa kerajaannya banyak membina masjid? Jawabnya, kalau dia tidak bina masjid, rakyat akan menyokong PAS. Tidakkah dia berpoliltik dengan memperalatkan masjid?

Datang pula PM Abdullah Badawi. Ke Thailand, ke Mekah, ke mana-mana saja dia menjajah Islam Hadhari. Islam Hadhari itulah projek politiknya. Muhyidin ikut menjaja Islam Hadhari. Apakah ia bukan suatu politik kering peralat Islam?

Politik PAS dan politik Tok Guru Nik Aziz tidak berubah. Yang berubah strateginya. Dalam strategi yang berubah itu mahu pula DAP bermuafakat dengannya. Macam-macam Umno burukkan PAS hingga orang bukan Melayu takut pada PAS. Tetapi sekarang mereka tidak takut lagi.

Bilakah Lee Kuan Yew bersangka baik tentang PAS? Tidak pernah. Takut Lee pada PAS mungkin melebihi takut Umno pada PAS.

Ketika Muhyidin menjaja lagu lama dan filem murah tentang PAS, Lee Kuan Yew pergi ke Kota Bharu menziarahi Tok Guru Nik Aziz. Dia membuka pintu hotelnya untuk didatangi oleh Ustaz Abdul Hadi Awang lepas bertemu Tok Guru Nik Aziz.

Muhyidin jajalah lagi lama Umno tentang PAS barang seribu tahun lagi, tiada dipeduli orang dan PAS mara juga dan mara juga.

HarakahDialy.Net/-

Azizan minta rakyat tegur kesilapan kerajaan negeri

ALOR SETAR, 8 Dis: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak meminta rakyat negeri itu menegur dan memberitahu tindakan silap dan boleh dianggap zalim yang dilakukan kerajaan negeri.

Berucap pada himpunan bulanan bersama kakitangan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam beliau memberitahu, kerjasama rakyat itu sangat perlu bagi memudahkan kerajaan negeri bertindak segera bagi membetulkan segala kesilapan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

"Saya mintak semua rakyat tolong tunjuk di mana kerajaan sekarang buat zalim supaya kita dapat baiki.

"Kita mengaku tak semua kita buat adil, kita tak mahu nak jawab depan Tuhan," katanya ketika berucap dihadapan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri semalam.

Pada perhimpunan tersebut beliau turut mengingatkan kesemua kakitangan kerajaan negeri cermat dalam menunaikan tanggungjawab pentadbiran agar tidak menzalimi rakyat.

Beliau tidak menolak kemungkinan, kerajaan negeri tidak terlepas dari melakukan perkara tersebut dalam urusan pentadbiran.

"Kita ni pegawai kerajaan. Saya menteri besar, ni ketua jabatan dan exco, kadang-kadang kita buat perkara zalim kat orang, sengaja dan tidak sengaja.

"Saya tekan sangat jangan buat zalim pada orang," katanya .

Lebih lebih lagi katanya, doa orang dizalimi langsung tidak terhijab dan akan dimakbulkan Allah.

Sehubungan itu semua kakitangan di semua peringkat ujarnya perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dalam melakukan tindakan yang boleh disifatkan sebagai zalim.


HarakahDaily.Net/-



Pemuda PAS mahu Setiausaha Politik PM digantung tugas

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berpendapat Perdana Menteri wajar menggantung tugas Setiausaha Politiknya, Datuk Shafie Abdullah sepanjang waktu siasatan dijalankan jawatankuasa Khas ditubuh parlimen.

Ketuanya Kamaruzaman Mohamad dalam satu kenyataan memberitahu, selain bagi melancarkan proses siasatan, tindakan tersebut juga dilihat terbaik dan pernah ditunjukkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semasa Pegawai Khas beliau Yahya Sahri disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Parlimen semalam memutuskan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan Ahli Parlimen PKR-Wangsa Maju, Wee Choo Keong bahawa beliau telah "dihalang" oleh Shafie di dewan itu semalam.

DPPWP juga menyokong penuh cadangan Wee supaya Shafie yang juga Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kepentingan beliau dalam syarikat Evergreen Sdn Bhd, Bukit Kiara Development Sdn Bhd dan Maju Bangun Sdn Bhd, dimana ke semua syarikat ini terlibat dalam beberapa tender projek kerajaan.

Shafie yang juga Ketua Bahagian Umno Wangsa Maju turut didakwa mengunakan pengaruh beliau bagi mendapatkan 30 lot peribadi bagi tapak pasar malam Up Town Danau Kota dan kelulusan Development Order untuk membina shopping complex diatas sebidang tanah yang digazetkan dalam Deraf Plan KL 2020 untuk Masjid Desa Sri Hartamas.

Beliau juga didakwa mengunakan pengaruh beliau untuk memaksa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan melantik 29 nama yang beliau cadangkan sebagai Ahli Jawatankuasa Surau Al-Ehsaniah, di Rumah Pangsa Danau Kota.

Wee turut mendedahkan bahawa Shafie juga bertanggungjawab terhadap tindakan menghalang pengurusan DBKL dari menguatkuasakan undang-undang di beberapa tempat seperti Up Town di Danau Kota dan juga Restoran Rashatini milik kroni beliau yang dibina atas tanah rizab DBKL di Seksyen 2 Wangsa Maju.

"DPPWP berharap agar Parlimen bukan sahaja menyiasat tentang tindakan Shafie menghalang YB Wee membuat pendedahan kegiatan beliau kepada Parlimen.

"DPPWP dan rakyat Wilayah Persekutuan mahu beliau disiasat sepenuhnya, dan setiap dakwaan YB Wee di ambil tindakan oleh Parlimen dan SPRM," katanya.

HarakahDaily.Net/-

Selangor tubuh yayasan bantu pendidikan Islam

SHAH ALAM, 8 Dis: Kerajaan negeri Selangor akan menubuhkan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YPIS) untuk membantu mengembangkan pendidikan Islam di negeri, kata Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid membuat pengumuman ini ketika berucap merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Pusat Belia dan Kebudayaan Selangor hari ini.

Katanya, yayasan ini akan mengumpulkan dana dari pelbagai pihak termasuk dari kerajaan negeri dan Pusat Zakat Selangor bagi membantu sekolah dan lain-lain institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Cadangan menubuhkan yayasan ini dibuat oleh Majlis Pemuafakan Pendidikan Islam Selangor (Mappis). Konvensyen ini juga dianjurkan oleh Mappis dengan kerjasama dari kerajaan negeri Selangor melalui Dr Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

(Gambar: Halimah mengiringi Khalid melawat pameran sempena konvensyen pendidikan Islam Selangor)

Kerajaan negeri berpandangan, usaha-usaha pendidikan Islam mampu menyumbang terhadap pembangunan modal insan serta kemajuan ekonomi negeri dan negara.

"Untuk membolehkan hal ini berlaku, maka kerajaan negeri sedia membantu dan menaungi usaha yang dicadangkan Mappis untuk memperlopori penubuhan Yayasan Pendidikan Islam Selangor," kata Khalid ketika merasmikan ucapan itu.

Ketika ditanya dalam sidang media selepas itu, Khalid berkata, YPIS akan berperanan untuk mengumpulkan dana dan membantu mana-mana institusi pendidikan Islam yang memerlukan bantuan.

"Yayasan ini nanti akan boleh menyediakan dana untuk membantu institusi pendidikan Islam menjadi kukuh dan turut menyumbang dalam pengukuhan negara bangsa," kata beliau.

Dalam konvensyen ini, turut membentangkan kertas kerja adalah Mohamad Ya, Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

YIK adalah badan yang menjadi penyelia dan mengurus semua sekolah-sekolah agama yang terletak di bawah kerajaan negeri Kelantan.

Dr Halimah Ali ketika ditemui selepas ini berkata, hari ini adalah hari yang bersejarah untuk pendidikan Islam di Selangor.

"Kita harap banyak perkara yang kita boleh buat selepas konvensyen ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

HarakahDaily.Net/-

Pengarak kepala lembu berfikiran kuno

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Meng petang tadi menganggap mereka yang terbabit memijak gambar beberapa pemimpin DAP hari ini bukan mewakili sensitiviti rakyat berbangsa Melayu di Malaysia.

Sebaliknya, beliau menganggap mereka yang terbabit masih berfikiran kuno era dinosor yang sudah tidak sesuai untuk hidup di zaman ini.

"Saya yakin mereka tidak mewakili orang Melayu...mereka masih berfikiran era dinosor," jelasnya.

Pendapat tersebut sebagai mengulas laporan berita sebuah laman web hari ini yang melaporkan 12 tertuduh dalam kes 'kepala lembu' memijak gambar pemimpin DAP sebaga protes pada parti tersebut.

(Gambar fail: Mereka yang mengarak kepala lembu inilah yang memijak gambar pemimpin DAP hari ini)

Beliau yang juga Setiausaha DAP Perak mendakwa tindakan ekstrem tersebut demi membangkitkan semangat 'Ketuanan Melayu' tajaan Umno secara salah.

Mewakili DAP Perak, beliau juga menegaskan bahawa partinya tidak mempertikai hak-hak rakyat, termasuk kedudukan Melayu, bahasa Melayu dan Islam sebagaimana yang dijamin dalam perlembagaan.

"Saya hanya menentang kezaliman para pemimpin Umno atas sandiwara 'Ketuanan Melayu', seperti kes pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Syeksen 23 (Shah Alam)."

Pun begitu, beliau meminta pemimpin Umno menjelaskan kedudukan terminologi 'Ketuanan Rakyat' menurut Perlembagaan.

Ujarnya, 'Ketuanan Melayu' adalah propaganda para pemimpin Umno untuk terus menguasai minda rakyat, sama ada Melayu atau bukan Melayu.

Bercakap dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran mendesak Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib menjawab dua soalan berhubung 'Ketuanan Melayu'.

"Pertama, bagaimana boleh rakyat Malaysia menghayati konsep 1Malaysia (dan) 'Ketuanan Melayu' sedangkan konsep ini tidak memperlihatkan keadilan dan kesaksamaan dari segi bangsa," soalnya.

"Kedua, adakah konsep Ketuanan Melayu yang diperjuangkan Umno selari dengan impian bangsa Malaysia, (yang terdiri oleh) Melayu, Cina, India dan sebagainya."

Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak menganggap konsep Ketuanan Melayu tersebut dicipta oleh Umno untuk meraih emosi rakyat berbangsa Melayu.

Pun begitu, beliau mendesak dua parti komponen BN yang lain menyatakan pendirian masing-masing berhubung konsep 'Ketuanan Melayu' yang diperjuangankan Umno.

"Ketuanan Melayu adalah konsep Umno Putra. Adakah MIC dan MCA pun beri sokongan," soal Kula.

"Rakyat nak tahu apakah pendirian mereka (parti-parti komponen BN) terhadap dasar 'Ketuanan Melayu' (yang diperjuangkan) Umno."

Konsep 'Ketuanan Malayu' menjadikan Umno BN sekali lagi dalam persimpangan sama ada mahu terus memerjuangkan semangat perkauman yang sempit, atau berlapang dada dengan konsep 1Malaysia yang liberal.

HarakahDaily.Net/-

Jangan swastakan perkhidmatan ambulan

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Ahli Parlimen Kuala Krai Dr. Mohd Hatta Ramli petang tadi meminta kerajaan tidak menswastakan perkhidmatan ambulan demi kepentingan rakyat.

Permintaan tersebut sebagai respon pada penjelasan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa kerajaan bercadang menambahkan lebih seribu lagi unit ambulans demi menaik taraf perkhidmatan kesihatan negara.

"Penambahan lebih 1000 ambulan difahamkan akan diuruskan oleh suatu syarikat swasta.

"Soalan saya, adakah perkhidmatan ambulan ini akan diswastakan atau tidak," soal Dr. Hatta.

Beliau yang juga Bendahari PAS menegaskan bahawa langkah penswastaan tersebut akhirnya tidak menguntungkan rakyat.

"Sebenarnya penswastaan ini tidak semestinya akan meningkatkan kualiti, tetapi selalunya meningkatkan kos, ini yang selalu kita dengar, akhirnya merugikan (rakyat)," jelas Dr. Mohd Hatta sewaktu membahaskan isu berbangkit berhubung Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menjawab soalan tersebut, Liow mengakui bahawa kementeriannya ada menerima cadangan penswastaan tersebut.

"Memang ada beberapa cadangan seperti ini (penswastaan ambulan) tetapi kami (Kementerian) masih belum membuat apa-apa keputusan," kata Liow.

Pun begitu, Liow memberi jaminan bahawa rakyat tidak akan dibebankan, sekiranya polisi itu dilakukan.

"Sekiranya ada penswastaan (perkhidmatan ambulan) ini, kita (kerajaan dan Kementerian) memberi jaminan untuk kebaikan rakyat dan tidak akan membebankan rakyat," jelasnya.

Respon pada penjelasan Liow, Dr. Mohd Hatta meminta kerajaan mengkaji semua janji-janji politiknya sebelum ini.

"Memanglah dalam penswastaan (yang dilakukan kerajaan) sebelum ini, kerajaan akan janji jimatkan kos dan tidak membebankan rakyat, tapi apabila diswastakan, kita (rakyat) dapati sebaliknya," katanya.

HarakahDaily.Net/-

Tangani monopoli syarikat asing dalam sektor farmasi

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Membahaskan isu berkaitan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Saifudin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Machang mendakwa wujudnya monopoli beberapa syarikat asing dalam sektor farmasi negara.

"10 syarikat terbesar yang menguasai pasaran (farmasi dan ubatan) negara adalah syarikat multinasional, berbeza dengan beberapa negara serantau/luar.

Beliau yang juga Pengerusi Jabatan Pilihanraya PKR menjelaskan bahawa beberapa negara luar seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Korea (Utara), Jepun, United Kingdom dan Jerman yang menyaksikan syarikat tempatan menguasai sektor farmasi domestik.

Jelasnya lagi, fenomena tersebut berlaku ekoran polisi kerajaan yang dilihat tidak menguntungkan syarikat farmasi tempatan.

"Kerana rangkaian sebenar di Hospital Kerajaan dan (hospital) swasta dikuasai oleh kerajaan (KKM) dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), maka syarikat farmasi domestik tidak boleh menembusi pasaran ini, yang biasa dimonopoli syarikat multinasional tertentu," jelasnya.

Jelasnya lagi, KKM sepatutnya membantu syarikat farmasi domestik menembusi pasaran farmasi negara, sebagaimana dalam

"Difahamkan mereka (KKM) terikat dengan suatu Pekeliling Perbendaharaan 4 (95) yang antara lain Kementerian Kesihatan ada tanggungjawab membantu syarikat-syarikat (farmasi) tempatan."

"Walaupun produk-produk inovasi mereka bermutu tinggi, dihasilkan melalui penyelidikan Universiti dan mujarab hatta sijil pengiktirafan antarabangsa pun mereka (syarikat farmasi domestik) dapat, tapi tidak boleh menembusi pasaran dunia, jika di Malaysia pun sukar," jelasnya.

Menjawab perbahasan Saifuddin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan bahawa perjanjian konsesi pembekalan ubat-ubatan akan tamat pada tahun 2012.

Walaupun demikian, beliau tidak pula menjelaskan soal monopoli syarikat asing dalam sektor farmasi negara, seperti yang dijelaskan Saifuddin.

HarakahDaily.Net/-