23 October 2009

Tian Chua mahu kemuka rayuan

Ahli Parlimen Batu Tian Chua akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini yang mendapati beliau bersalah kerana menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis dua tahun lepas.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata beliau tetap mempertahankan pendiriannya yang mendakwa dirinya tidak bersalah dan menganggap kes itu adalah tuduhan bersifat fitnah.

"Saya tidak merasakan ia satu penghakiman yang adil kerana majistret dan pihak pendakwa bergantung kepada keterangan anggota polis terbabit dan berasaskan kepada bukti keadaan.

"Keterangan itu juga tidak membuktikan bahawa kejadian menggigit itu berlaku dan ia tidak jelas," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas Tian Chua, 46, selepas mendapati beliau bersalah terhadap tuduhan menggigit seorang anggota polis dan menghalangnya daripada menjalankan tugas.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut untuk membolehkan Tian Chua membuat rayuan. Tian Chua mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuannya.

Sekiranya Tian Chua gagal dalam rayuannya terhadap hukuman tersebut, maka beliau akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Batu.

Tian Chua didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, yang bertugas dengan bahagian narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, di hadapan bangunan Parlimen pada 10.45 pagi, 11 Disember 2007.

Ahli Parlimen itu ditahan sewaktu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan demonstrasi untuk membantah pindaan perlembagaan bagi melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun.

Beliau turut mendakwa hukuman itu bertujuan menghilangkan kelayakannya sebagai ahli parlimen tetapi ia tidak akan menjejaskan agendanya untuk berkhidmat kepada rakyat. - Bernama

MalaysiaKini/-

Dr Lo' Lo' sihat, hadiri sidang Parlimen

Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali kini lebih aktif menghadiri program parti dan menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat, termasuk menghadiri sesi parlimen sejak Isnin lalu.

Sabtu lalu - beliau yang menjalani pembedahan Ogos lalu di Institut Jantung Negara (IJN) - menghadiri tiga progam jamuan hari raya Aidilfitri sekitar Titiwangsa walaupun dalam keadaan lengannya berbalut dan dianduh.

Foto-foto beliau dalam keadaan ceria dan mesra bersama orang awam dimuatkan kembali dalam blognya Doc Pearl pada 19 Oktober lalu.

Pada hari tersebut, beliau juga menghadiri jamuan hari raya dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jelatek dan Perkasa anjuran penduduk setempat.

Dalam kedua-dua majlis itu, Dr Lo' Lo yang juga seorang doktor perubatan juga turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak.

Blognya itu juga memaparkan foto-foto beliau berinteraksi dan beramah mesra dengan penduduk setempat.

Sementara Khamis lalu, Dr Lo' Lo' yang juga ibu kepada empat orang anak itu menyampaikan sumbangan Deepavali dan duit raya kepada penduduk Indian Settlement, di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Tiga hari sebelum itu (Isnin) beliau telah menziarahi seorang mangsa kebakaran di sebuah Desa Pandan, dalam kawasan parlimen.

Beliau juga turut terlibat dalam kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober lalu bersama-sama ahli parlimen PAS yang lain.

Berdasarkan foto dalam blognya, Dr Lo' Lo' berada di kawasan tersebut selama dua hari berturut bermula 6 Oktober lalu.

Sementera itu, pembantu khas kepada Dr Lo' Lo', Abu Hassan Othman ketika dihubungi Malaysiakini berkata, tahap kesihatan bosnya itu kini sihat.

Ditanya mengapa lengan ahli parlimen itu berbalut semasa menganjurkan jamuan aidilfitrinya Sabtu lalu, Abu Hassan berkata, Dr Lo' Lo' mungkin "tidak selesa" kesan pembedahan Ogos lalu.

Bagaimanapun, tambahnya, balutan itu telah ditanggalkan semalam.

Malaysiakini/-

Mahkamah tiada kuasa cabar penggantungan Gobind

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa ia tidak ada kuasa untuk mencabar penggantungan 12 bulan ke atas ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo daripada menghadiri sidang Parlimen.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd Ariff Mohd Yusoff mengarahkan Parlimen supaya membayar imbuhan yang sepatutnya diterima Gobind kerana ia tidak mempunyai kuasa untuk menahan pembayarannya.

Gobind memfailkan saman pemula pada 23 April terhadap Speaker, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz, setiausaha Parlimen dan kerajaan, berhubung penggantungan ke atasnya itu.

Dalam saman itu, Gobind memohon agar penggantungannya sebagai ahli parlimen pada 16 Mac lalu diisytiharkan batal dan tidak sah.

Beliau juga mahu surat yang memaklumkan penggantungannya yang ditandatangani oleh setiausaha parlimen Roosmee Hamzah dan arahan yang terkandung dalam surat itu, sebagai tidak boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang.

Ahli parlimen Puchong juga memohon pengisytiharan untuk dibayar imbuhan dan faeadah lain yang diperuntukkan untuk ahli parlimen mengikut Artikel 64 Perlembagaan Persekutuan.

Gobind digantung daripada menghadiri sidang parlimen selepas beliau mengaitkan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan dalam proses itu telah memanggilnya sebagai "pembunuh".

Sementara itu, peguam Karpal Singh yang mewakili anaknya itu berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu merupakan satu keputusan yang penting, dan menyifatkannya sebagai adil.

Katanya, adalah salah bagi parlimen untuk menahan pembayaran imbuhan kepada ahli parlimen.

Malah, katanya, beliau dan ahli parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan telah digantung pada 2004 dan pembayaran imbuhan mereka ditahan selama enam bulan.

Karpal yang juga ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor berkata, ekoran keputusan mahkamah hari ini, maka parlimen dan kerajaan hendaklah membayar imbuhan mereka itu.

Katanya, imbuhan tersebut akan disumbangkannya untuk tujuan kebajikan.

Katanya, pada 1984, beliau juga pernah digantung tetapi pada masa ini, pembayaran imbuhannya tidak ditahan.

Karpal juga berkata, keputusan hari ini tidak bermakna apa yang berlaku dalam dewan tidak boleh disemak atau dicabar oleh mahkamah.

Bagaimanapun, katanya, Gobind tidak akan merayu terhadap keputusan tersebut.

MalaysiaKini/-

ADUN Johol: Saya tak letak jawatan

ADUN Johol, Datuk Roslan Md Yusof hari ini menafikan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan tersebut ekoran masalah kesihatannya.

"Saya tidak pernah hantar surat kepada pucuk pimpinan Umno untuk letak jawatan. Tidak ada.

"Bahkan (Menteri Besar Negeri Sembilan) Datuk Mohamad Hassan tahu saya sakit," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Roslan diminta mengulas desas-desus bahawa beliau telah menghantar surat perletakan jawatannya kepada speaker DUN Negeri Sembilan dan memaklumkannya kepada pucuk pimpinan Umno, ekoran mengalami masalah sakit tulang belakang.

Baru-baru ini, lamanweb Sabah Daily.com mendakwa Roslan "sedang bersabung nyawa" akibat kanser tulang yang "genting".

Pemimpin Umno Kuala Pilah itu juga didakwa telah meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan di kawasan berkenaan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Roslan berkata, dakwaan terhadapnya itu "sengaja direka-reka".

Roslan menafikan beliau mengidap barah tulang belakang, sebaliknya berkata, beliau cedera di bahagian tulang belakangnya selepas terjatuh dalam keadaan terduduk sewaktu bermain badminton di Tampin pada 27 April lalu.

"Tidak ada cerita barah tulang. Mungkin orang ingat sakit tulang belakang itu barah tulang. Doktor cakap tidak ada komplikasi," katanya.

Sakit kerana terjatuh

Roslan kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur setelah selamat menjalani pembedahan di hospital berkenaan Rabu lalu.

Katanya, beliau sedang menjalani rawatan fisioterapi dan dinasihatkan doktor supaya tinggal di wad berkenaan melebihi sebulan, sebelum dibenarkan pulang.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Umno bahagian Kuala Pilah Datuk Hassan Malek turut dilaporkan, menafikan desas-desus terhadap ADUN Johol itu.

Mengulas kecederaannya itu, Roslan berkata, beliau tidak menyangka kesakitannya itu akan berlarutan sehingga memerlukan pembedahan.

Pada mulanya, tambah Roslan, beliau dimasukkan ke hospital selama dua hari sebelum dibenarkan pulang.

Bagaimanapun, akibat rasa kebas di bahagian kaki, beliau terpaksa mendapatkan pemeriksaan dan rawatan susulan Julai lalu.

"Dari bulan April hingga Julai, saya fikir kesakitan saya biasa sahaja. Tetapi pada 18 Julai, doktor nasihat saya agar melakukan pembedahan. Datuk Mohamad pun nasihat begitu," katanya.

Malaysiakini/-

Soi Lek: Kami tiada pilihan, terpaksa bersatu

Walaupun kelihatan tenang dan sesekali menguntum senyuman sewaktu sidang akhbar, tetapi kenyataan bekas timbalan presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek membayangkan wujudnya rasa tidak puas hati berhubung pelan damai.

Dalam sidang akhbar petang tadi, musuh politiknya yang juga presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mengumumkan bahawa mereka berdua telah mengenepi perbezaan mereka untuk menyatu dan memperkukuhkan MCA yang sedang dilanda krisis kepimpinan.

Duduk di sebelah presiden ialah Chua, timbalan presiden yang baru dilantik Datuk Seri Liow Tiong Lai dan pemimpin kanan MCA yang lain.

Hanya selepas didesak oleh jurugambar, Chua menjabat tangan dengan Ong.

Ditemui selepas sidang akhbar tersebut, bekas timbalan presiden itu membayangkan bahawa perkembangan terbaru itu bukanlah pilihannya.

"Demi kebaikan parti, kami tiada pilihan," katanya kepada pemberita.

"Pandangan saya ialah beliau (Ong) mendapat separuh sokongan dan saya pula mendapat lagi separuh sokongan. Jadi demi masa depan parti, maka kami perlu bekerjasama," tambahnya.

Chua berkata, beliau mengadakan tiga pertemuan dengan Ong sejak mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Oktober lalu, di mana perwakilan menyokong usul tidak percaya terhadap Ong dan menolak usul menerimanya kembali sebagai timbalan presiden.

Menurut spekulasi pelan damai itu dipersetujui selepas kedua-dua pemimpin MCA yang bertelagah itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun Ong dan Chua mengaku bertemu perdana menteri tetapi kedua-duanya menafikan mereka menerima tekanan dari Najib.

MalaysiaKini/-

Speaker Sivakumar & 6 yang lain dapat kebenaran mahkamah cabar keputusan SPR

KUALA LUMPUR: Speaker DUN Perak, V. Sivakumar dan enam lagi mendapat kebenaran dari Mahkamah Tinggi di sini kelmarin bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengosongkan dan mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Speaker Perak yang masih sah, Sivakumar, ADUN Pakatan Rakyat, Chen Fook Chye, Tai Singh Ng dan A. Sivanesan serta tiga pengundi Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai dari Jelapang diberi kebenaran untuk mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR itu.

Sebelum ini, SPR mengambil keputusan untuk tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang berikutan wakil rakyat kerusi berkenaan mengistiharkan diri dihadapan pemimpin BN menjadi ADUN bebas.

Hakim Lau Bee Lan membuatkan keputusan itu dalam kamar selepas menolak bantahan awal Pejabat Peguam Negara bahawa pemohon itu tidak mempunyai 'locus standi' atau hak undang-undang untuk mencabar keputusan SPR.

Sebaliknya, hakim itu memerintahkan bahawa Sivakumar dan enam lagi mempunyai 'locus standi' untuk berbuat demkian (mencabar keputusan SPR).

Berikutan keputusan hari ini, peguam pemohon, Ranjit Singh, berkata mereka akan memfailkan permohonan semakan kehakiman di mana mahkamah akan menentukan tarikh untuk mendengar perkara itu.

Hakim Lau juga tidak menerima hujah Pejabat Peguam Negara bahawa permohonan itu bersifat akademik semata-mata berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 April lepas bahawa SPR dan bukan Speaker mempunyai hak untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi pilihan raya.

Pemohon berkenaan mengemukakan saman terhadap SPR dan wakil rakyat, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang).

Jamaluddin dan Osman memenangi kerusi DUN atas tiket Parti Keadlian akyat (PKR) dan Hee atas tiket DAP pada pilihan raya umum tahun lepas.

Kemudian mereka mengisytiharkan keluar dari parti masing-masing dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN), sekaligus membawa kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS-PKR-DAP pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar.

Pada 3 Febuari lepas, Sivakumar memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan tiga kerusi itu selepas dikatakan menerima surat peletakan jawatan dari Jamaluddin dan Osman pada 1 Febuari manakala Hee pada 3 Febuari lalu.

Bagaimanapun, SPR mwelakukan keputusan diluar bidangtugasnya dengan mempertikaikan surat peletakan jawatan itu dan memutuskan untuk tidak mengisytiharkan pilihan raya kecil di kawasan-kawasan berkenaan. Sedangkan hak SPR adalah mengurus soal pilihanraya setelah mendapatmakluman dari Speaker.

Sekiranya SPR pada masa itu melakukan keputusan sesuai dengan tugasnya secara profesional tentunya kemelut politik yang berlanjutan sehingga sekarang telah lama berakhir. Kerana sekiranya hak Speaker itu tidak dinafikan tentunya peluang memilih yang dikembalikan kepada 3 DUN tersebut tentunya akan menghasilkan keputusan samada memihak kepada Pakatan Rakyat atau BN.

Dalam permohonan meminta kebenaran, yang difailkan pada 10 Mac lalu, Sivakumar dan enam lain memohon deklarasi bahawa kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang menjadi kosong berikutan peletakan jawatan oleh Jamaluddin, Osman dan Hee.

Mereka juga memohon satu perintah injunksi untuk menghalang ketiga-tiganya daripada bertindak, menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas-tugas sebagai ADUN.

Mereka juga turut memohon writ bersifat 'quo warranto' dikeluarkan kepada ketiga-tiga ADUN berkenaan dengan memerintahkan kesemua mereka memberikan tunjuk sebab dan maklumat bagaimana dan di bawah dasar atau kuasa mana kesemua mereka kononnya masih ADUN kawasan masing-masing dan bertindak menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai wakil rakyat.

BUAT LAPORAN POLIS: BUKTI GANESAN TIADA KUASA

Email : Safarizal saleh

Kenyataan Media (22 Oktober 2009)


Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) cukup hairan dengan kenyataan Datuk G. Ganesan yang mendakwa beliau adalah ‘Speaker’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sah dengan tidak memahami Perintah-Perintah Tetap DUN Perak itu sendiri tentang pemegang jawatan Speaker malah cuba membohongi rakyat Perak khasnya.

DPPN Pk meminta supaya Ganesan seorang yang dipertanggungjawabkan mencemar dan merosakkan imej DUN Perak mesti diambil tindakan segera oleh Polis kerana Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan oleh V. Sivakumar telah menjatuhkan hukuman terhadap beliau. Dan Polis adalah bertanggungjawab melaksanakan keputusan tersebut apabila telah diterima oleh sidang DUN.

DPPN Pk kesal jika Polis hanya menerima laporan daripada Ganesan yang bukan melalui keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak terus mengambil tindakan adalah amat malang bagi DUN Perak jika perkara ini berlaku. Malah tindakan tersebut bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Tetap DUN Perak dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak itu sendiri.

Persoalan yang rakyat perlu tahu, bagi seorang Speaker yang akan mempengerusikan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak boleh memanggil mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didapati melanggar peraturan-peraturan berkaitan DUN akan dihadapkan ke jawatankuasa ini. Apa yang menghairankan kita kenapa Ganesan hanya membuat laporan Polis sebanyak 3 kali semata-mata. Kenapa beliau yang mendakwa sebagai seorang ‘Speaker’ yang sah tidak mengambil tindakan mengikut peruntukan yang ada.

Oleh yang demikian, DPPN Pk yang masih menunggu perkenan untuk mengadap Paduka Seri Sultan Perak akan juga memperjelaskan isu Speaker ini dan meminta supaya rakyat menilai sendiri kejadian yang telah berlaku semasa sidang DUN Perak pada 7 Mei yang lalu.


DR. RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

CABARAN DITERIMA: PEMUDA PAS TUNGGU PEMUDA UMNO TETAPKAN TARIKH, MASA DAN TEMPAT

Email : safarizal saleh

Kenyataan Media (26 Mei 2009)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengucapkan terima kasih kepada Encik Maslin Sham Razman sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak yang akhirnya bersetuju malah telah memberikan cabaran untuk mendedahkan perkara sebenar kejadian yang berlaku semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei yang lalu.

DPPN Pk yang telah menunggu lama sejak susulan surat kami kepada Pemuda UMNO Perak pada 26 Mei yang lalu dan akhirnya Pemuda UMNO Perak mula bersuara untuk bertemu bagi menjelaskan krisis politik Perak yang menyebabkan kejatuhan ekonomi negeri yang teruk kerana rampasan kuasa awal Februari yang lalu.

DPPN Pk akan menunggu Pemuda UMNO Perak menetapkan tarikh, masa dan tempat yang sesuai serta kaedah yang bakal disusun untuk memperjelaskan isu yang sebenar supaya rakyat dapat menilai kejadian sebenar pada sidang DUN Perak, 7 Mei yang lalu. DPPN Pk menunggu apa sahaja keputusan dan juga syarat-syarat yang akan ditetapkan oleh Pemuda UMNO Perak kelak. Namun kami berharap Pemuda UMNO Perak dapat membuat keputusan segera supaya pertemuan ini dapat diadakan sebelum sidang DUN Perak pada 28 Oktober ini.

DPPN Pk menegaskan bahawa kami mempunyai bukti kukuh kedudukan sebenar yang berlaku di dalam DUN Perak pada 7 Mei yang lalu. Pertamanya tentang kedudukan kerusi V. Sivakumar sebagai Speaker dan juga kedudukan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari tersebut. Keduanya siapakah sebenarnya yang menyamar Bentara DUN Perak yang begitu ramai pada hari tersebut? Ketiganya kenapakah terdapat dua (2) persidangan ditempat yang sama semasa Sivakumar masih duduk dikerusi Speaker?

Dan masih banyak lagi perkara yang bakal kami dedahkan apabila Pemuda UMNO Perak sudah bersedia untuk bertemu kelak. DPPN Pk berharap Pemuda UMNO Perak tidak hanya membuat kenyataan kosong semata-mata dan harus bertanggungjawab terhadap rakyat yang mahukan keadilan. Sekiranya Pemuda UMNO Perak tidak berani untuk bersemuka dengan kami maka benarlah mereka memang gilakan kuasa sehingga merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang sah sehingga tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum Ke -13 yang akan datang.


ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

KENYATAAN MEDIA: Ganesan sudah "mabuk", masih mengaku sebagai Speaker, saya cabar untuk berdebat. !

Sinar Harian Edisi Perak,halaman P2 menyiarkan kenyataan Ganesen yang saya sifatkan satu tindakan yang memperbodohkan dirinya sendiri.

Berikut ini adalah Kenyataan Media saya dalam isu berkaitan :-

Sudah hampir seminggu saya menunggu jawapan Ganesan kepada kenyataan media saya pada 15 Okt yang lalu yang malangnya tidak disiar terbit oleh Sinar Hariannamun diterbitkan oleh Harakah pada Isnin baru-baru ini.

Alasan yang saya berikan seperti yang Dato Ngeh Koo Ham berikan seperti yang disebutkan oleh Sinar harian hari ini adalah sangat jelas dan nyata bahawa Ganesan adalah Speaker yang tidak sah di Perak.

Usaha Ganesan muncul dengan alasan terbarunya bahawa "beliau adalah satu-satunya calon Speaker dan telah dipilih oleh majoriti ahli dewan dan telah mengangkat sumpah serta menandatangani surat sumpah berkenaan" adalah usaha mengakkan benang yang basah dan jelas menampakkan dia sudah "mabuk" kuasa.

Saya ingin tegaskan :-

1.Bagaimanakah dia boleh mengatakan bahawa majoriti ahli dewan memilihnya sedangkan kedudukan kerusi BN dan bebas pada masa itu hanyalah 21 orang sahaj didalam dewan kerana 10 daripadanya telah dihalau oleh Speaker Sivakumar. Adakah dia sudah tidak tahu mengira.(Zambry, 6 Exco haram dan 3 katak digantung dari memasuki dewan). Perlu saya tegaskan bahawa tindakan Jawatan Kuasa hak dan kebebsan yang dipengerusikan oleh V. Sivakumar adalah termsuk dalam urusan Dewan yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana mahkamah seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan persekutuan Perkara 72(1)(2) dan (3).

2. Usul melucutkan Speaker dilakukan oleh Zambry dan disokong oleh Hamidah yang telah dihalau keluar oleh Speaker Sivakumar. bagaimanakah Ganesan mengatakan perlantikannya sah ?

3. Kalaupun beliau dilantik secara sah pada 7 Mei, kenapakah Ganesan tidak mahu menjawab isu mengenai dia masih aktif sebagai peguam sehingga 17 ogos melewati 3 bulan setelah dilantik dan menipu dalam membuat akuan bersumpah bertarikh 6 Ogos sehari sebelum tamat tempoh 3 bulan. Jelasnya dia sudah hilang kelayakan itupun kalau benar perlantikannya sah.

4.Saya mencabar Ganesan dengan segera menjawab isu ini dan saya mencabar beliau berdebat secara terbuka dimana sahaja sebelum tarikh 28 Okt demi untuk kebaikan rakyat perak . Jika beliau mendakwa mementingkan rakyat, saya mulai dari kenyataan ini diterbitkan menunggu jawapan segera untuk berdebat dari beliau.

Sekian dimaklumkan....

KENYATAAN MEDIA/ 22 OKT 2009

DRS. KHALIL IDHAM LIM
Ketua Penerangan PAS Perak/
ADUN Titi Serong.

PAKATAN RAKYAT, TERUSKAN AGENDA BERSAMA RAKYAT

Email : mohd hafez sabri

Pakatan Rakyat Negeri Perak akan menganjurkan Majlis Hari Terbuka Pakatan Rakyat Negeri Perak, Majlis ini akan diadakan pada 25 Oktober 2009 (Ahad), bertempat di hadapan Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri , dari jam 8.00 malam sehingga jam 10.30 malam.

Menurut Pengarah Majlis Hari Terbuka Pakatan Rakyat Negeri Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki, beliau menyatakan bahawa, pimpinan pakatan rakyat Perak sangat berbesar hati untuk menjemput seluruh rakyat serta para pegawai dan kakitangan kerajaan juga swasta di Negeri Perak tanpa mengira agama, bangsa serta ideologi politik ke majlis tersebut beramai-ramai. Selain itu seluruh pertubuhan NGO, wartawan dan blogger juga dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi majlis ini.

Majlis Hari Terbuka Pakatan Rakyat Negeri Perak yang dianjurkan ini adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan mesra Pakatan Rakyat dengan seluruh lapisan rakyat yang berada di Negeri Perak ini, Selain itu antara tujuan utama diadakan majlis ini juga adalah untuk menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat sentiasa bersepadu dan terus kukuh dalam meneruskan agenda bersama rakyat dalam membina sebuah Negara yang adil lagi berkebajikan, jelas beliau lagi.

Semoga dengan kehadiran rakyat ke Majlis Hari Terbuka Pakatan Rakyat Negeri Perak ini, akan mebngukuhkan silaturrahim dan perpaduan rakyat Perak.


TAWASSUL : Antara Sunnah & Bid'ah

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Apabila manusia dirundung pelbagai masalah dalam kehidupan dan seolah-olah tiada insan lain yang ingin menghulurkan bantuan untuk mengharungi kedukaan tersebut, janganlah merasa gelisah kerana sesungguhnya Allah S.W.T. sentiasa berada bersama kita dan mendengar doa permohonan hamba-hamba-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda: Doa adalah ibadah. (Lalu baginda membaca ayat): Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [Hadis riwayat Imam al-Tirmdzi]

Menerusi hadis di atas dapat kita perhatikan bahawa doa itu termasuk dalam perkara ibadah. Justeru wajib doa itu dimohonkan ikhlas hanya kepada Allah S.W.T. dan tatacara doa itu hendaklah mengikuti apa yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. dan mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w. Maka timbul pertanyaan bagaimanakah amalan tawassul yang diamalkan oleh segelintir manusia yang berdoa menerusi perantaraan zat atau kemuliaan Nabi s.a.w. ataupun orang-orang soleh yang telah meninggal dunia? Adakah tatacara ini bersesuaian dengan Sunnah Nabi s.a.w. seperti tanggapan sesetengah pihak?

Makna tawassul secara mudah adalah mengambil suatu perantaraan yang boleh menyampaikan seseorang kepada tujuannya. Oleh itu sesetengah pihak beranggapan, sesuatu doa itu akan lebih mudah untuk dimakbulkan sekiranya kita menjadikan Nabi s.a.w. atau mereka yang dianggap wali sebagai perantaraan dalam doa tersebut. Sebagai contoh di antara lafaz-lafaz doa tawassul tersebut adalah “Ya Allah, dengan hak Nabi-Mu atau dengan kemuliaan Nabi-Mu maka perkenankanlah doa ku…” atau “Ya Allah dengan kemuliaan wali-Mu Syaikh Abdul Qadir al-Jailani perkenankanlah doaku…”. Malah ada yang lebih melampaui batas sehingga membenarkan berdoa kepada Allah menerusi perantaraan kuburan-kuburan para Nabi-Nabi dan wali-wali.

Para ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah telah membahagikan tawassul ini kepada dua jenis. Pertama, tawassul yang selari dengan syarak, iaitu bertawassul dengan wasilah (perantaraan) yang benar, wasilah yang berupaya untuk menghantar keinginannya (kepada Allah S.W.T). Kedua, tawassul yang tidak dibenarkan iaitu bertawassul kepada Allah S.W.T. dengan dengan sesuatu yang tidak ditetapkan sebagai wasilah oleh syarak.

Berikut adalah bentuk tawassul yang selari dengan syarak.

1) Tawassul menerusi Nama-Nama Allah yang indah serta Sifat-Sifat-Nya yang sempurna.

Dibenarkan untuk berdoa menerusi perantaraan Nama-Nama Allah yang Indah serta Sifat-Sifat-Nya yang sempurna. Firman-Nya: “Hanya milik Allah nama-nama yang indah, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.” [al-A’raaf (7) : 180]

Contoh lafaz doa dalam menggunakan Nama-Nama Allah adalah sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Abdullah ibnu Mas’ud r.a: “Saya memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang menjadi milik-Mu, yang Engkau sendiri menamakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan ilmu-Nya di dalam Kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada salah seorang daripada hamba-Mu, atau yang Engkau simpan dalam ilmu ghaib di sisi-Mu …” [Hadis riwayat Imam Ahmad]

Contoh lafaz doa menggunakan sifat Allah pula adalah: “Ya Allah, dengan ilmu ghaib-Mu dan takdir-Mu terhadap makhluk, hidupkanlah aku selagi Engkau tahu bahawa hidup itu lebih baik bagi ku dan matikanlah aku selagi Engkau tahu bahawa mati itu lebih baik bagiku.” [Hadis riwayat Imam al-Nasa'i]

2) Tawassul dengan Amal Soleh

Kita juga dibenarkan untuk menggunakan amal-amal soleh yang kita lakukan sendiri sebagai wasilah (perantaraan) dalam permohonan doa kita kepada Allah S.W.T. Doa bentuk ini adalah sebagaimana yang telah diajar oleh Allah menerusi firman-Nya: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan dan telah kami ikuti rasul, karena itu masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang menjadi saksi (tentang keesaan Allah)." [Ali ‘Imran (3) : 53]

Rasulullah s.a.w. juga telah menceritakan (sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari) bagaimana tiga pemuda yang bermalam di falam sebuah gua, kemudian mereka terperangkap di dalamnya setelah sebuah batu besar jatuh menutupi mulut pintu gua tersebut. Mereka telah berusaha untuk mengangkat batu tersebut namun ternyata ia terlalu berat untuk mereka. Akhirnya mereka berdoa kepada Allah dan bertawassul dengan amal soleh mereka iaitu berbakti kepada ibu dan bapa, menghindari perbuatan zina dan amanah terhadap hak orang lain. Lafaz doa mereka adalah: “(Ya Allah!) Jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal itu semata-mata kerana mencari Wajah-Mu, maka berilah kami satu bukaan untuk melihat langit (dari dalam gua tersebut)” Maka Allah memberikan bukaan pada batu tersebut sehingga mereka dapat melihat langit.

3) Tawassul dengan doa orang yang soleh yang masih hidup

Tidaklah menjadi suatu kesalahan sekiranya kita berjumpa dengan orang soleh yang masih hidup dan memiliki pengetahuan yang tinggi tentang al-Qur’an dan al-Sunnah lalu meminta agar dia mendoakan apa yang kita inginkan. Contoh tawassul jenis ini begitu banyak. Di antaranya adalah hadis daripada Anas r.a yang mengisahkan tentang tawassulnya ‘Umar r.a kepada ‘Abbâs r.a ketika musim kemarau. ‘Umar r.a berkata : “Ya Allah, kami dulu bertawassul kepada-Mu dengan Nabi kami, lalu Engkau turunkan hujan kepada kami, dan sekarang kami bertawassul kepada-Mu dengan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan.” Anas berkata: “Lalu turunlah hujan kepada mereka.” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]

Sesungguhnya apabila terjadi musim kemarau pada zaman Rasulullah s.a.w. maka para sahabat datang kepada baginda memohon agar baginda berdoa supaya diturunkan hujan. Maka bagindapun berdoa lalu turunlah hujan lebat terus-menerus selama seminggu sehingga menyebabkan banjir di beberapa tempat. Kemudian mereka meminta pula baginda berdoa agar hujan tersebut berhenti. Peristiwa ini telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a di dalam Sahih al-Bukhari. Oleh itu kata-kata ‘Umar di dalam hadis di atas bermaksud mereka dahulu kita kemarau telah bertawassul dengan doa Rasulullah s.a.w. Lantas pada zaman beliau baginda telah wafat dan tidak lagi boleh untuk mendoakan bagi mereka maka mereka meminta bapa saudara Nabi iaitu ‘Abbas untuk berdoa agar diturunkan hujan

Menerusi peristiwa tawassulnya ‘Umar menerusi doa ‘Abbas ini, tidakkah terdetik di fikiran para pembaca sekiranya bertawassul menerusi kehormatan Nabi s.a.w. ataupun orang-orang soleh yang telah meninggal dunia merupakan wasilah yang selari dengan syarak mengapa mereka tidak menjadikan Nabi mahupun Abu Bakar atau mereka yang gugur syahid ketika perang Badar sebagai perantaraan dalam doa mereka? Kenapa ‘Umar tidak memerintahkan mereka untuk pergi ke kuburan mereka dan berdoa di situ? Ini adalah bukti yang kukuh bahawa ‘Umar dan para sahabat mengetahui perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam bentuk tawassul yang dibenarkan oleh syarak.

Pada zaman‘Umar r.a. tentera Islam telah berjaya menawan kubu Tustar. Ibnu Ishaq di dalam kitabnya al-Maghazi telah meriwayatkan bahawa tentera Islam telah menemui sekujur mayat yang tidak reput di atas sebuah katil di dalam Balai Perbendaharaan al-Hurmuzan. Di atas kepala mayat tersebut terdapat sebuah kitab lalu ia diserahkan kepada ‘Umar. ‘Umar kemudian mengarahkan Ka’ab r.a untuk menterjemahkan kandungan kitab tersebut. Ternyata kitab tersebut menceritkan kisah-kisah umat yang lampau serta kejadian yang bakal berlaku dan diyakini bahawa mayat tersebut merupakan mayat seorang Nabi Allah bernama Danial a.s.. Sekiranya terjadi musim kemarau maka masyarakat setempat di situ akan membawa keluar katil dan mayat tersebut untuk dijadikan perantaraan dalam meminta hujan. Apakah arahan ‘Umar terhadap mayat tersebut? Adakah beliau menyuruh agar dibina kuburan berserta kubah yang besar agar mudah untuk masyarakat tersebut bertawassul dengan zat atau kehormatan Nabi Danial di sisi kuburnya? Ternyata hal itu tidak berlaku. ‘Umar mengarahkan untuk digali tiga belas liang lahad secara berselerakkan pada siang hari. Pada sebelah malamnya mereka menguburkan jasad Nabi Danial di dalam salah satu liang tersebut dan dikambus kesemuanya agar masyarakat di situ tidak dapat menjejak di mana kubur Nabi Danial. Ini merupakan bukti yang kukuh bahawa ‘Umar dan para sahabat tidak mengiktiraf amalan tawassul di kuburan para Nabi s.a.w. bahkan orang-orang soleh kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengajar mereka tatacara doa sedemikian rupa.

Kita lihat pula hadis orang buta yang sering dijadikan dalil untuk membenarkan tawassul menerusi kemuliaan atau kehormatan Rasulullah s.a.w.. “Daripada ‘Utsman bin Hunaif: Bahwasanya seorang lelaki yang matanya buta telah berjumpa Nabi s.a.w. lalu berkata : “Berdoalah kepada Allah agar Dia menyembuhkanku.” Nabi menjawab: “Jika kamu mahu aku akan mendoakanmu, dan jika kamu mahu untuk bersabar maka hal ini lebih baik.” Lalu orang buta itu berkata: “Berdoalah”. Lantas Nabi memerintahkannya untuk berwuduk dengan sempurna lalu solat dua rakaat kemudian berdoalah dengan doa ini: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan menghadap kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad, Nabi yang penuh rahmat. Wahai Muhammad, sesungguhnya saya menghadap dengan engkau kepada Rabbku untuk memenuhi hajatku ini, maka penuhilah untukku. Ya Allah, terimalah syafaatnya untukku dan terimalah syafaatku untuknya.” Dia (‘Utsman bin Hunaif) berkata: “Lelaki buta itu mengamalkannya lalu dia pun sembuh.” [Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah]

Sekiranya kita melihat pada permulaan hadis ini sahaja sudah cukup jelas bahawa orang buta itu bertemu Rasulullah s.a.w. bertujuan untuk memohon baginda berdoa untuknya. Sekiranya dia ingin bertawassul melalui zat atau kemuliaan Rasulullah seperti sangkaan sesetengah pihak, kenapa dia perlu bertemu dengan baginda sedang dia boleh duduk sahaja di rumahnya sendiri dan terus berdoa “Ya Allah, dengan hak Nabi-Mu atau dengan kemuliaan Nabi-Mu maka kembalikanlah penglihatan ku…”? Apatah lagi baginda memberikan pilihan kepadanya, adalah afdal sekiranya dia bersabar dengan kecacatan yang telah Allah kurniakan kepadanya, namun dia tetap ingin didoakan. Maka Nabi berjanji akan mendoakannya dan mengajarinya doa.

Rasulullah juga turut memerintahkan orang buta tersebut untuk berwuduk dengan sempurna lalu mengerjakan solat sunat itu sendiri sebelum berdoa. Ini semua menjurus kepada bentuk tawassul menerusi amal soleh seperti yang telah dibincangkan. Setelah itu Nabi berdoa agar penglihatan orang buta itu dikembalikan kemudian baginda mengajarnya lafaz doa seperti yang termaktub dalam hadis tersebut kepada orang buta itu.

Tafsiran sebenar dan bersesuaian dengan tujuan orang buta itu bertemu dengan Rasulullah s.a.w. bagi lafaz “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan menghadap kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad…” adalah “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu dan menghadap kepada-Mu dengan doa Nabi-Mu”

Sekiranya orang buta itu bertawassul dengan zat atau kemuliaan Rasulullah s.a.w. maka bagaimana hendak difahami lafaz doa “Ya Allah, terimalah syafaatnya (Rasulullah) untukku (orang buta), terimalah syafaatku (orang buta) untuknya (Rasulullah)”? Adakah setelah orang buta itu bertawassul dengan kehormatan Rasulullah lalu baginda pula bertawassul dengan kehormatan orang buta tersebut? Syafaat secara bahasa bermaksud doa. Maka tafsiran yang benar bagi lafaz doa di atas adalah, “Ya Allah, terimalah doa Rasulullah s.a.w. untuk aku dan terimalah doaku agar engkau makbulkan doa Rasulullah s.a.w. untuk mengembalikan penglihatanku.”

Terdapat sesetengah pihak yang mendakwa di dalam riwayat-riwayat yang lebih kuat tiada lafaz “dan terimalah syafaatku untuknya”. Namun ternyata dakwaan ini adalah palsu dan berniat jahat kerana selain riwayat Imam Ibnu Majah di atas, Imam Ahmad dan al-Hakim turut meriwayatkan hadis dengan lafaz doa yang sama. Al-Hakim mengatakan bahwa hadis yang diriwayatkan dengan lafaz ini adalah sahih dari segi sanad walaupun Imam Bukhari dan Imam Muslim tidak meriwayatkan dalam kitabnya dan ia turut dipersetujui oleh Imam al-Dzahabi. Terdapat juga sesetengah penulis yang tidak amanah telah memotong lafaz ini apabila meriwayatkan hadis ini kerana ia menyebabkan tafsiran mereka terhadap hadis ini kepada tawassul dengan dzat atau kemuliaan Rasulullah s.a.w. tidak dapat dilakukan.

Sebenarnya para ulama telah mengkategorikan hadis tentang orang buta ini di dalam bab mukjizat-mukjizat Nabi yang mana doa baginda sememangnya mustajab. Ini membuktikan bahawa rahsia kembalinya penglihatan orang buta tersebut adalah terletak kepada berkatnya doa Rasulullah s.a.w. dan merupakan salah satu mukjizat baginda. Lantaran itu setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. tiada orang buta yang kembali pulih penglihatan mereka sekiranya mereka membaca lafaz doa tersebut seperti di dalam hadis di atas.

Oleh itu kedua-dua hadis yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. ini tidak menunjukkan kepada maksud tawassul menerusi zat atau kehormatan Rasulullah dan tidak boleh dijadikan sandaran untuk menguatkan pendapat mereka. Selebihnya mereka menggunakan hadis-hadis yang lemah (dha’if) dan ada juga yang palsu (mawdhu’) untuk mendokong pegangan mereka. Apabila dikritik kerana menggunakan hadis dha’if maka mereka menyatakan ada ulama yang membenarkan penggunaannya dalam bab fadhaail al-amal (keutamaan melakukan sesuatu amal) atau targhib (anjuran untuk melakukan sesuatu amalan) dan tarhib (amaran terhadap sesuatu amalan). Namun penggunaan hadis dha’if dalam isu tawassul ini bukan termasuk bab fadhaail al-amal mahupun targhib dan tarhib. Tetapi ia adalah hal-hal berkaitan akidah dan penetapan hukum-hakam (iaitu menetapkan hukum sunat terhadap amalan tawassul menerusi zat atau kehormatan Nabi) dan penggunaan hadis dha’if adalah sama sekali tidak dibenarkan dalam skop sebegini. (Sila rujuk artikel penulis tentang hadis Dha'if di http://akob73.blogspot.com/2008/10/bolehkah-beramal-dengan-hadis-dhaif.html )

Sesetengah pihak menuduh mereka yang menolak tawassul melalui zat dan kemuliaan Rasulullah s.a.w. termasuk di dalam golongan yang tidak mencintai dan menghormati Rasulullah s.a.w.. Pada dasarnya bukti kecintaan yang kukuh kepada Rasulullah s.a.w. adalah dengan mematuhi segala perintahnya, berpegang teguh kepada sunnahnya dan menghindari segala larangannya serta amalan-amalan bid’ah. Mereka yang benar-benar cintakan Rasulullah sentiasa akan menekankan betapa pentingnya konsep ittiba’ al-Rasul. Ittiba’ al-Rasul bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalat dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan. Ittiba’ bukan sekadar bukti kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. bahkan ia merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Ali ‘Imran (3) : 31]

Rasulullah bersabda: “Tinggalkan apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan.” [Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi] Justeru dalil-dalil yang diguna-pakai untuk membolehkan tawassul dengan zat dan kehormatan para Nabi s.a.w. serta orang-orang soleh yang telah meninggal dunia penuh dengan keraguan bahkan terlalu rapuh. Oleh itu ikutlah saranan Rasulullah s.a.w. untuk berpegang dalil-dalil yang jelas dan sah dalam isu ini iaitu dengan memanjatkan doa kepada Allah S.W.T. tanpa sebarang perantaraan yang tidak dibenarkan syarak. Firman Allah S.W.T.: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” [al-Baqarah (2) : 186]

NOTA TAMBAHAN

Baru-baru ini seorang tokoh telah menulis sebuah artikel tentang tawassul menerusi Zat dan kehormatan Nabi s.a.w. di dalam sebuah majalah. Untuk menguatkan pendapat beliau ini beberapa hadis dha’if (lemah) telah digunakan. Hadis-hadis ini telah disemak oleh sahabat penulis, saudara Fathi yang merupakan ahli panel Jabatan Hadis, laman web http://www.al-fikrah.net/

Mufti larang umat Islam percaya sejadah berdiri, boleh bawa kepada khurafat

ALOR SETAR: Mufti Kedah Datuk Badarudin Ahmad menggesa umat Islam agar tidak percaya dengan kejadian sejadah boleh berdiri kerana ia boleh membawa kepada khurafat.

"Kita tidak mahu ada orang yang mengambil kesempatan melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan saya harap umat Islam sentiasa berpegang kepada ajaran Islam dan tidak mudah membuat andaian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini sebagai mengulas satu lagi kejadian kononnya sejadah berdiri yang berlaku di Pasir Mas, Kelantan dan Kampung Teluk Yan dekat sini.

Beliau berkata beberapa petugas Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) telah mengambil sejadah itu untuk dibawa pulang ke pejabat ekoran kejadian tersebut yang telah menjadi tumpuan orang-ramai di kawasan berkenaan.

Selepas kejadian sejadah berdiri di surau Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut di Pasir Mas Kelantan semalam, kes yang sama berlaku di Surau Al-Rahmaniah Kampung Teluk Yan di sini Rabu dan juga di Tanah Liat Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Dalam kejadian di Kedah, seorang murid, Noor Zulaika Mohd Rashid, 9, mendakwa ketika dia dalam perjalanan ke kelas Al-Quran di sebuah rumah penduduk kampung yang terletak di belakang surau tersebut dia ternampak tiga helai sejadah berdiri.

"Saya nampak melalui tingkap surau yang terbuka, ada tiga sejadah yang berada dalam keadaan berdiri tetapi tidak bergerak dan saya terus memberitahu rakan saya," katanya di sini hari ini.

Sementara itu di PULAU PINANG semalam, kejadian serupa berlaku di sebuah surau di Tanah Liat, Bukit Mertajam pada waktu Asar hari ini, di mana empat helai sejadah yang seakan-akan orang sedang duduk dalam tahiyat dan menghadap ke arah kiblat.

Menurut seorang penduduk, Mohd Khalid Abdul Latif, beliau dimaklumkan oleh kawannya kira-kira pukul 5 petang.

"Apabila saya pergi ke surau itu, saya lihat ada sehelai sejadah di bahagian depan seolah-olah seperti imam dan tiga helai sejadah seperti makmum di saf belakangnya. Apa yang mengejutkan saya, di depan sejadah "imam" itu ada seutas tasbih," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Kejadian sejadah berdiri itu merupakan yang kedua di kawasan Bukit Mertajam selepas kali pertama berlaku di sebuah rumah di Taman Mohd Amin pada 2 Okt lalu.

Mohd Khalid, yang bekerja di sebuah kedai makan bersebelahan Masjid Kubang Semang di sini berkata kejadian itu memang sesuatu yang luar biasa.

Katanya, kejadian itu menarik perhatian orang ramai yang tidak henti-henti berkunjung ke surau berkenaan untuk melihat sejadah berdiri tersebut.

"Bagaimanapun, sejadah itu dilipat oleh jawatankuasa surau sebelum masuk waktu Maghrib tadi bagi mengelakkan ia menjadi perkara khurafat. Saya sempat merakamkan kejadian itu dengan telefon bimbit," kata Mohd Khalid.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) Mukim 5, Sungai Semambu, Siti Noriza Abu Bakar berkata kejadian itu disedari apabila ada orang hendak menunaikan solat Asar di surau berkenaan petang tadi.

"Ada dua orang penduduk kampung pergi ke surau itu untuk bersembahyang dan sebaik mereka memasuki surau itu, mereka ternampak empat sejadah dalam keadaan berdiri. Bagaimanapun, mereka terus sembahyang dan lepas itu baru memaklumkannya kepada orang kampung," katanya.

MEMOHON PERKENAN MENGADAP DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

Email : safarizal saleh

21 Oktober 2009 / 2 Zulkaedah 1430

Kepada :

Dato' Samsul Baharin @ Mohd Rofaa Hasan
Dato' Pengelola Bijaya DiRaja,
Pejabat DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan,
33007 Kuala Kangsar.

Y.Bhg. Dato' Pengelola Bijaya DiRaja;

Perkara di atas adalah dirujuk.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) dengan ini memohon perkenan mengadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak bagi merafak sembah bicara sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadualkan pada 28 Oktober 2009 ini.

Tujuan utama kami memohon mengadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak adalah berkaitan krisis yang berlaku di negeri Perak terutama sidang DUN Perak yang terdekat ini.

Rombongan kami jika diperkenankan mengadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak akan diketuai oleh Ustaz Zawawi Hassan, Ketua dan 8 orang Ahli Jawatankuasa Kerja DPPN Pk.

Besarlah harapan kami agar permohonan kami untuk mengadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak mendapat pertimbangan yang sewajarnya.

Bagi pengurusan permohonan ini, pihak kami telah mengamanahkan Saudara Safarizal Saleh, Penolong Setiausaha DPPN Pk ditalian: 013-326 6194 bagi urusan pengurusan.

Sekian dipohon, Wassalam.

Saya yang benar,

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

DR. RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Perak


Gigit polis: Tian Chua hadapi hukuman penjara 6 bulan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret kerana mencederakan penjawat awam dalam satu operasi polis, dua tahun lalu.

Majistret Mohd Faizi Che Abu memutuskan beliau dikenakan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sebanyak RM3,000.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan hukuman tersebut ditangguhkan bagi memberi peluang kepada beliau memfailkan rayuan. Demikian satu berita seperti dilapor oleh Mstar.

Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diberikan masa selama 14 untuk berbuat demikian.

Tian Chua, atau nama sebenarnya Tian Chua Chang, 46, didakwa mencederakan Konstabel Rosyaidi Anuar ketika beliau sedang menjalankan tugasnya pada satu perhimpunan haram di Parlimen, 11 Disember 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lagi kejadian sejadah berdiri di Kedah

ALOR SETAR: Selepas kejadian sejadah berdiri di surau Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut di Pasir Mas Kelantan semalam, kes yang sama berlaku di Surau Al-Rahmaniah Kampung Teluk Yan di sini Rabu.

Kejadian itu disedari oleh seorang murid, Noor Zulaika Mohd Rashid, 9, ketika dia dalam perjalanan ke kelas Al-Quran di sebuah rumah penduduk kampung yang terletak di belakang surau tersebut.

"Saya nampak melalui tingkap surau yang terbuka, ada tiga sejadah yang berada dalam keadaan berdiri tetapi tidak bergerak dan saya terus memberitahu rakan saya," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Mufti Kedah Datuk Badarudin Ahmad menggesa umat Islam agar tidak percaya dengan kejadian sejadah boleh berdiri itu kerana ia boleh membawa khurafat.

"Kita tidak mahu ada orang yang mengambil kesempatan melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan saya harap umat Islam sentiasa berpegang kepada ajaran Islam dan tidak mudah membuat andaian," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata beberapa petugas Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) telah mengambil sejadah itu untuk dibawa pulang ke pejabat ekoran kejadian tersebut yang telah menjadi tumpuan orang ramai di kawasan berkenaan.

Di PULAU PINANG, kejadian serupa berlaku di sebuah surau di Tanah Liat, Bukit Mertajam pada waktu Asar hari ini, di mana empat helai sejadah yang seakan-akan orang sedang duduk dalam tahiyat dan menghadap ke arah kiblat.

Menurut seorang penduduk, Mohd Khalid Abdul Latif, beliau dimaklumkan oleh kawannya kira-kira pukul 5 petang tadi.

"Apabila saya pergi ke surau itu, saya lihat ada sehelai sejadah di bahagian depan seolah-olah seperti imam dan tiga helai sejadah seperti makmum di saf belakangnya. Apa yang mengejutkan saya, di depan sejadah "imam" itu ada seutas tasbih," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Kejadian sejadah berdiri itu merupakan yang kedua di kawasan Bukit Mertajam selepas kali pertama berlaku di sebuah rumah di Taman Mohd Amin pada 2 Okt lalu.

Mohd Khalid, yang bekerja di sebuah kedai makan bersebelahan Masjid Kubang Semang di sini berkata kejadian itu memang sesuatu yang luar biasa.

Katanya, kejadian itu menarik perhatian orang ramai yang tidak henti-henti berkunjung ke surau berkenaan untuk melihat sejadah berdiri tersebut.

"Bagaimanapun, sejadah itu dilipat oleh jawatankuasa surau sebelum masuk waktu Maghrib tadi bagi mengelakkan ia menjadi perkara khurafat. Saya sempat merakamkan kejadian itu dengan telefon bimbit," kata Mohd Khalid.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) Mukim 5, Sungai Semambu, Siti Noriza Abu Bakar berkata kejadian itu disedari apabila ada orang hendak menunaikan solat Asar di surau berkenaan petang tadi.

"Ada dua orang penduduk kampung pergi ke surau itu untuk bersembahyang dan sebaik mereka memasuki surau itu, mereka ternampak empat sejadah dalam keadaan berdiri. Bagaimanapun, mereka terus sembahyang dan lepas itu baru memaklumkannya kepada orang kampung," katanya. BERNAMA

Tian Chua didapati bersalah tuduhan gigit

Ahli parlimen Batu yang juga pengarah strategi PKR, Tian Chua hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan menggigit seorang anggota polis dan menghalangnya menjalankan tugas.

Tian, 46, yang nama penuhnya Chua Tian Chang, didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007.

Rosyaidi bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur.

Majistret Mohd Faizi Che Abu akan menjatuhkan hukuman selepas mendengar rayuan dari peguam.

On 18 Mei, Mohd Faizi mengarahkan Tian membela diri selepas majistret itu memutuskan bahawa pihak pendakwa mempunyai kes terhadap ahli parlimen Batu itu.

Tian didakwa mengikut Sekseyen 332 Kanun Keseksaan dan boleh berdepan dengan hukuman tiga tahun penjara atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya hukuman penjara melebihi setahun atau jika denda yang dikenakan melebihi RM2,000 maka Tian hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Batu jika selepas semua rayuannya gagal.

Tian ditahan sewaktu Bersih mengadakan protes membantah pindaan perlembagaan untuk melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun. Malaysiakini/-

Laman Blog Majlis Tindakan DUN Dabong

Email : Mr. President

Laman Blog Majlis Tindakan DUN Dabong telah dilancarkan. Ini bagi membolehkan penyaluran maklumat terkini dari DUN Dabong dari semasa ke semasa. Sila lawati Laman Blog ini di http://mtddabong.blogspot.com

Sebarang maklumat, aduan, & cadangan, bolehlah email ke : mtddabong@yahoo.com

Sumbangan anda amat diperlukan, salurkan sumbangan derma untuk Tabung Amal DUN Dabong di No. Akaun BIMB : 03-054-01-002180-2

Sumbangan untuk tabung adalah untuk kegunaan kebajikan, bantuan warga emas, anak yatim, OKU, mangsa bencana alam, aktivit-aktiviti soaial, sukan dan keagamaan di Dun Dabong.




Keindahan Dalam Tidur

By: agussyafii

Setelah anak-anak Insan Mulia (Amalia) mentaqrir (menghapal) surat-surat pendek pada Juz Amma' kami berkumpul. Kami berdiskusi ringan tentang keindahan dalam tidur. 'apa sih enaknya tidur?'tanya saya mengawali diskusi. Ari angkat tangan dan menjawab, 'Kalo tidur itu enaknya tidak mikirin apa-apa kak agus,' Jawaban Ari menimbulkan suara riuh dari teman-teman. Rekapun tak mau kalah, 'kalo saya kak, enaknya sehabis tidur tubuh saya menjadi segar.'kata Reka. Begitulah anak-anak Amalia, selalu bersemangat dalam belajar. Dan saya menjelaskan kepada mereka.

Bahwa diantara sifat basyariah kita adalah haus jika tubuh sudah membutuhkan air, lapar jika tubuh sudah membutuhkan makanan dan lelah serta ngantuk jika tubuh sudah membutuhkan istirahat. Lingkaran hidup harian kita sebagai basyar adalah bangun tidur, makan, minum, bergerak, istirahat dan kembali tidur. Tidur bagi manusia merupakan subsistem dari sistem hidupnya, psikis maupun psikologis. Pada umumnya kita sebagai manusia, tidur bagaikan mati dimana fungsi-fungsi jiwanya tidak bekerja, tetapi pada sebagian orang tidur merupakan saat dimana aktifitas spiritual justru meningkat, sehingga ketika bangun tidur bukan hanya tubuhnya yang segar tetapi juga jiwanya. Orang-orang saleh sering menerima ilham (ruya al haqq) justru ketika sedang tidur seperti yang terjadi pada diri Ibnu Sina, Imam Gazali dan ulama-ulama lainnya.

'Kak Agus, apakah Nabi mengajarkan bagaimana adab menjelang tidur?' tanya lusi.

'Nah, ini dia pertanyaan bagus,' jawab saya. Saya jelaskan kepada anak-anak Amalia bahwa Adab tidur sebagai yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhamad SAW paling tidak ada 9 point yang patut kita perhatikan,' lanjut saya.

1. Tidur cepat. Menurut Aisyah r.a, Rasulullah selalu berangkat tidur di awal malam. (muttafaq `alaih)

2.Tidur dalam keadaan berwudlu`. Rasulullah bersabda.
Apabila engkau mau tidur, berwudlu`lah seperti engkau berwudlu` untuk salat. (muttafaq `alaih)

3. Berbaring diatas lambung kanan dengan berbantal tangan kanan seperti yang dicontohkan Rasulullah, kemudian boleh beralih di atas lambung kiri dan berbantalkan tangan kiri.

4. Tidak mengambil posisi tidur yang mengganggu kesehatan, misalnya terlalu lama tidur tengkurap.

5. Sebelum tidur membaca ayat Kursiy dan akhir surat al Baqarah, surat al Ikhlas, al Falaq dan an Nas, seperti yang diajarkan oleh Rasulullah.

6. Berdoa ketika berbaring dengan doa Rasulullah.

Bismika Allahumma ahya wa amutu
Artinya, Dengan nama Mu ya Alloh aku hidup dan aku mati.

7. Apabila mendapat mimpi buruk di malam hari, atau terkejut, atau merasa takut, disu¬natkan membaca doa.

A`udzu bi kalimatillahi at tammati min ghadlabihi wa `iqabihi wa syarri `ibadihi min hamazatis syaitani an yahdurun

Artinya, Aku berlindung dengan kalimat Alloh (Al Qur`an) yang sempurna dari murka Nya, dan dari siksa Nya, dari kejahatan hamba-hamba Nya dan dari segala gangguan syaitan yang mendatangiku. (HR. Abu Daud).

8. Memeriksa tempat tidur menjelang tidur.

Rasulullah bersabda, Apabila salah seorang diantaramu hendak menempati tempat tidurnya, hendaklah ia mengambil kainnya, memeriksa alas tidurnya, dan bacalah basmalah karena ia tidak mengetahui apa yang ditinggalkan di tempat tidurnya setelah ia pergi.

9. Mengevaluasi diri apa yang telah dilakukan selama ini, baik perbuatan maupun perkataan untuk kemudian segera bertobat, mohon ampun atas segala kesalahannya pada saat itu juga.

Malam semakin larut, anak-anak Amalia terlihat masih semangat diakhir diskusi. Kegembiraan anak-anak Amalia malam itu merupakan keindahan tersendiri dalam belajar. Wajah mereka nampak menguntai senyuman. Tak lupa kami memanjatkan puji syukur kehadirat Alloh SWT atas karuniaNya. bersama-sama kami membaca surat al-'Asr dan menutup dengan doa. 'Terima kasih Ya Alloh, alhamdulillahirobbi l alamin..'

Wassalam,
agussyafii

BN WAJIB MENGHORMATI HAK RAKYAT PERAK

Oleh : AKMAL KAMARUDIN

Sepanjang tempoh umur Pakatan Rakyat Perak, pelbagai imej politik dilakarkan dan pelbagai pergolakan politik berlaku, sekali gus menjana perubahan lanskap politik negari Perak.

Kerjasama erat yang diperlihatkan dalam Pakatan Rakyat Perak amat dicemburui parti lawan yakni Umno/BN

Suasana ini tidak menyenangkan Umno/BN, menyebabkan mereka tegar untuk melakukan pelbagai tindakan tanpa susila. Umno/BN yang begitu tertekan telah merampas kerajaan yang dipilih oleh suara majoriti rakyat melalui pilihanraya yang sah . Sekaligus, Umno/BN telah mencabul suara dan semangat Perlembagaan menyebabkan berlakunya campur tangan kuasa eksekutif dalam badan kehakiman.

Kerajaan Perak pimpinan Pakatan Rakyat yang baru bertunas dan sedang berbakti kepada rakyat telah diracun dengan peras ugut dan rasuah politik.

Lebih parah lagi, bukan sahaja segala jenis peraturan dan ’standing order’ Dewan dilanggari bahkan kedudukan Dewan tempat Dewan Undangan Negeri Perak bersidang telah dicemari dengan peristiwa rampasan kuasa . Tragedi ini merupakan satu episod hitam dalam sejarah politik di Malaysia yang rukun dan berdaulat.

Umno/ BN harus sedar kestabilan politik adalah pemangkin kepada perkembangan ekonomi. Pelbagai persoalan yang mungkin akan mewarnai ekonomi negeri Perak akibat dari kezaliman, keegoan, kerakusan, pencabulan undang- undang, rasuah, penipuan media, penafian hak dan banyak lagi. Siapa yang berani berlabuh dan berdagang, bila Melaka sudah ditawan benggali putih, siapa yang ingin bernaung kalau pemerintahan sudah tidak berdaulat. Akhirnya Melaka yang merupakan pelabuhan antarabangsa tapi kini hanya bahan sejarah untuk dimuatkan di dalam arkib.

Diriwayatkan seorang pemerintah Kisra,Anu Syarwan bin Qubaz keluar berburu bersama dengan tenteranya,oleh kerana beliau memecut kuda terlalu laju sehingga menyebabkan terpisah dari tenteranya.beliau menunggang seorang diri dalam keadaan sangat dahagakan air,lalu beliau sampai di satu kebun buah delima dan dalam kebun itu beliau berjumpa dengan seorang budak, lalu beliau berkata kepada budak itu;berikan kepadaku sebiji buah delima, maka budak itu memberikan sebiji buah delima kepada Anu Syarwan,lantas beliau membelah dan megeluarkan bijinya dan memerahnya,maka keluar air dengan banyak lalu beliau meminumnya, dan mendapati rasanya sangat sedap dan lazat.

Oleh kerana buah delima ini menakjubkan maka beliau berazam untuk merampas kebun delima itu dari pemliknya, lalu beliau berkata kepada budak tadi;berikan kepadaku sebiji buah delima lagi,lalu budak itupun memberi sebiji lagi buah delima kepadanya, dan apabila beliau perah buah itu, air yang keluar terlalu sedikit dan apabila beliau minum rasanya sangat kelat, lalu beliau bertanyakan budak itu,kenapa buah delima ini sangat kelat sedangkan ia dipetik dari pokok yang sama?maka berkata budak itu barangkali pemerintah negeri ini berazam melakukan kezaliman.

Apabila mendengar ucapan budak itu maka Anu Syarwan pun bertaubat di dalam hati daripada melakukan kezaliman.lalu beliau meminta sebiji lagi buah delima, budak itupun memberi kepadanya buah delima dari pokok yang sama,apabila beliau perah, beliau dapati air yang keluar dari buah itu sangat banyak lebih banyak dari buah delima yang pertama tadi dan rasanya lebih sedap dari buah delima yang pertama tadi,beliau kehairanan lantas bertanya kepada budak itu, kenapa buah yang ketiga ini airnya sangat banyak dan rasanya sangat sedap?maka budak itupun menjawab;Barangkali pemerintah negeri ini sudah bertaubat dari kezalimannya.

Apabila Anu Syarwan mendengar ucapan budak itu dan ucapannya betul betul sama dengan apa yang ada di dalam hatinya maka beliau lantas bertaubat dari segala kezaliman yang telah beliau lakukan dan berazam tidak mahu melakukan kezaliman lagi. Apabila beliau mati maka beliau dikenali dengan pemerintah yang adil sehingga ada yang berbangga dengan mengatakan : Saya dilahirkan pada zaman pemerintahan adil (Anu Syarwan bin Qubaz).

Kisah ini menunjukkan tekad Anu Syarwan untuk merampas kebun delima yang sangat lazat yang belum pernah beliau lihat dan rasa, lantas dengan serta merta buah delima mejadi kelat.

Apakah kaitannya cerita Pelabuhan Melaka, Anu Syarwan dan Negeri Perak. Barangkali Umno/ BN ingin menambah koleksi sejarah rampasan kuasa.Bayangkan bagaimana rampasan kuasa rakyat yang sudah berlaku sesudah perkembangan ekonomi negeri Perak pada tahap yang baik di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, sudah pasti kekelatan ekonomi akan berlaku lebih teruk dari kelatnya buah delima.

Akhirnya Anu Syarwan bertaubat dari merampas kebun menyebabkan air perahan buah delima menjadi lebih banyak dan lebih lazat.BN juga mesti bertaubat dengan menghormati pilihan rakyat dengan mengembalikan hak rakyat yang bertungkus lumus,bermandi peluh,menghabiskan wang simpanan dan sebagainya demi untuk memenangkan PR pada PRU 2008, akhirnya BN dengan senang lenang merampas kerajaan PR yang diamanahkan rakyat, maka rakyat mula menitiskan air mata mengenangkan perubahan yang mereka lakukan bertemankan pengorbanan yang sangat tinggi nilainya dinafikan begitu sahaja oleh BN

Walau bagaimanapun, betapa kuat sekalipun cabaran dan ugutan, PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat di negeri Perak, tetap tidak berganjak. Kerjasama erat yang terjalin tetap utuh telah membimbangkan pihak lawan dan disegani oleh kawan.

Lebih menarik, kerjasama ini diperkuatkan lagi dengan penubuhan sekretariat pemuda PR Perak yang akan dilancarkan secara rasmi pada 24 Okt 2009 di pekan Lumut pada jam 10 pagi . Sekretariat ini bertekad membawa suara majoriti orang muda Perak yang semakin hari semakin bosan dengan permainan politik kotor BN. Perbuatan mereka yang suka mengenepikan hasrat rakyat yang memilih PR sebagai pemegang amanah kerajaan Perak telak menconteng arang di muka mereka sendiri. Laungan "kami lebih banyak YB dalam DUN" “mahkamah pilih BN” lebih mengecewakan rakyat, terutama orang muda kerana ia mengenepikan hasrat rakyat yang memilih PR dalam PRU 2008.

Sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada kemelut ini, DUN Perak mesti dibubarkan segera untuk menyerahkan mandat kepada rakyat sebagai hakim.

Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Perak



Pemangku Raja Kelantan minta Petronas bayar royalti petroleum

Email :Nik Noor Azman Ghazali

KOTA BAHARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra menyokong usaha kerajaan Kelantan untuk menuntut bayaran royalti petroleum seperti perjanjian yang telah termaktub antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975.

Baginda bertitah berasaskan data daripada Jabatan Perangkaan yang diedarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, sumbangan Kelantan kepada pengeluaran petroleum seluruh negara bagi tahun 2005 hingga 2008 adalah lebih tinggi daripada pengeluaran negeri Sabah.

"Pengeluarannya adalah sebanyak 5.4 peratus setahun dan mengikut catatan itu pengeluaran petroleum dari perairan Kelantan telah bermula sejak 2005.

"Kerajaan negeri hendaklah meneruskan usahausaha bagi mendapatkan royalti berkenaan seperti kehendak perjanjian yang telah termaktub antara kerajaan negeri dan Petronas," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Baginda bagaimanapun yakin di bawah prinsip dan semangat persekutuan, Petronas akan melaksanakan kehendak perjanjian berkenaan yang mengkehendaki bayaran tunai dilunaskan sebanyak dua kali setiap tahun.

Titahnya pembayaran royalti itu nanti, baik tunggakan mahupun bayaran semasa akan meningkatkan pendapatan bagi Kelantan dan jika perkara itu terlaksana, kerajaan negeri dinasihatkan supaya me;mbelanjakan royalti tersebut dengan sebaik mungkin.

"Beta difahamkan kawasan pengeluaran gas dan minyak bagi beberapa kawasan pelantar yang paling hampir adalah dengan negeri ini.

"Beta juga berharap Petronas dan kerajaan Pusat dapat memikirkan penempatan aktiviti keperluan pelantar, pembaikian dan penyelenggaraan kapal-kapal ini berada di bumi Kelantan berdasarkan ia paling hampir," titahnya.

Menurut baginda, jika pembangunan berkaitan aktiviti pengeluaran minyak di perairan Kelantan dapat dikembangkan sudah tentu ia dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara dan dapat menarik pelaburan luar negara ke Malaysia .

Isu royalti minyak ini timbul apabila Kelantan menuntut sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat berdasarkan pelantar minyak itu dibina di perairan Kelantan.

Kerajaan pusat bagaimanapun sedang meneliti tuntutan Kelantan itu dan kini masih di peringkat kajian secara menyeluruh sama ada Kelantan berhak menerimanya. BERNAMA



Hari ini Nik Aziz 19 tahun mentadbir Kelantan

ANALISA

Hari ini, Rabu, 21 Oktober 2009 adalah ulang tahun ke-19 pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan ulamak.

Sekaligus mengesahkan telah 19 tahun Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan. Ia juga adalah ulang tahun ke-19 bagi pelaksanaan slogan Membangun Bersama Islam yang dijadikan panduan perancangan pembangunan negeri.

Ia satu slogan yang mendahulukan nilai-nilai ad-din di dalam memenuhi harapan rakyat. Ini juga bermakna, selama 19 tahun prinsip pentadbiran berteraskan ubudiah, masuliah dan itqan telah dijadikan amalan oleh seluruh agensi kerajaan negeri Kelantan.

Maka, selayaknya telah berlaku kesan nyata daripada perancangan dan pelaksanaan ke atas tiga aspek perjalanan kerajaan negeri � falsafah kepimpinan, slogan dan prinsip pentadbiran � sekaligus menobatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai menteri besar yang ulung menerajui eksekutif kerajaan negeri.

Justeru itu, sempena mengingati ulang tahun ke-19, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menerajui kepimpinan ulamak mentadbir negeri Kelantan, semua laluan sejarah lepas sewajarnya dijadikan pengalaman, demi menyongsong kejayaan untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

Pengorbanan untuk generasi muda

Laluan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sejak menjawat Ketua Ulamak PAS Pusat dan kini selaku Mursyidul Am PAS amatlah terukir indah di setiap wajah rakyat Kelantan.

Image Ilmunya adalah cahaya, perwatakannya adalah idola dan sentuhan pentadbirannya adalah keberkatan untuk seluruh rakyat.

Justeru itu, ilmu agama yang ada di dadanya sentiasa dicurahkan kepada rakyat Kelantan menerusi kuliah pagi Jumaat, khutbah Jumaat dan ceramah yang segar serta tulisan yang tercetak.

Atas kapasiti keilmuan yang dicurahkan dan ratusan ribu rakyat menelaah ilmunya, layaklah rakyat menobatkan menteri besar yang mengemudi kepimpinan ulamak itu adalah seorang ulamak sebenar bergelar 'Tuan Guru'.

Kerana di sebalik itu, cukup ramai individu ulamak yang kaya ilmu agamanya, tetapi loket di dalam mencurahkan ilmunya untuk diraih oleh rakyat. Justeru itu, tidak mungkin ditemui dalam dekad ini menteri besar seumpama menteri besar Kelantan.

Sesungguhnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah 19 tahun bergelar 'Yang Amat Berhormat Tuan Guru Menteri Besar' yang sentiasa mengorbankan ilmunya untuk rakyat.

Inilah wajah kepimpinan ulamak yang dipaparkan kepada generasi rakyat Kelantan hari ini. Mudah-mudahan �ilmu tuan guru� bakal membina generasi muda masa kini untuk mencipta kejayaan masa depannya.

Berkat taburan ilmu itu, kini Kelantan bukanlah negeri yang terpinggir dengan isu-isu pembangunan. Daripada ilmu yang ditaburkan, Kelantan sudah menjadi negeri yang seiringan dengan negeri lain dari segi pembangunan fizikal dan rohani.

Meskipun, masih ada tohmahan dan cakap-cakap sinis kononnya Kelantan adalah negeri termundur dan ketinggalan dari segi pembangunan sosio-ekonomi, namun kualiti hidup rakyatnya sudah menjawab dengan tepat bahawa kesemua tohmahan itu adalah cakap politik yang berniat memburuk-buruk keupayaan kepimpinan ulamak sejak Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menteri besar.

Justeru itu, kepimpinan ulamak era Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah menobatkan (establishment) 20 nilai pembangunan negeri Kelantan seperti mana berikut:

1. sifat cakna rakyat penuh berkebajikan,

2. bangunan pejabat dan gudang bertambah dan tersergam,

3. prasarana kesejahteraan awam tersirat kukuh,

4. ladang getah dan kelapa sawit luas menghijau,

5. sawah bendang menguning setiap musim,

6. hutan dan lurah sedia ditereskan,

7. kadar kemiskinan menjunam turun,

8. kuasa beli rakyat mampu menyara survival pasaraya,

9. pertambahan kenderaan bersimpang siur,

10. taman perumahan melebar ke serata negeri,

11. bandar lama dan baru makin berkembang,

12. kehadiran pelancong terus melonjak,

13. pesta, ekspo dan karnival terlaksana setiap tahun,

14. gaji kakitangan awam tidak pernah dikurang,

15. pendidikan Islam terbaik dan pelajar cemerlang terserlah setiap tahun

16. kolej, universiti dan sekolah bestari makin bertambah bilangan

17. kilang dan produknya terus beroperasi melonjak peluang ekonomi

18. perancangan pembangunan sentiasa berlaku

19. punca hasil baru terus diterokai

20. baki hutang kerajaan dahulu sudah terlunas. Kesemua nilai pembangunan dinyatakan di atas adalah ukuran mutlak bagi mengiktiraf betapa pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dan sosial sudah berlaku dan tidak terpinggir.

Oleh kerana itu, negeri Kelantan sepanjang 19 tahun di bawah kuasa politik PAS telah melakukan yang terbaik untuk rakyat Kelantan. Di atas 20 establishment itu, amatlah tidak adil untuk meletakkan status pembangunan negeri Kelantan sebagai negeri mundur.

Maka, sempena ulang tahun ke-19 kepimpinan ulamak mengurus-tadbir kerajaan negeri Kelantan ini, diharapkan bersama-samalah kita dapat membuka mata dan telinga untuk menerima realiti, betapa negeri Kelantan hari ini adalah sebuah negeri yang sudah jauh maju setanding dengan negeri-negeri lain di negara ini.

--------------

Penulis adalah Pengarah, Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.

HarakahDaily.Net/-

Bubar DUN, PR Perak sudah bersedia

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Pakatan Rakyat Perak tidak menolak kemungkinan desas desus bahawa Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan akan berlaku dalam masa terdekat.

ImagePesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain ketika diminta mengulas perkara itu memberitahu spekulasi yang sedang bertiup kencang di negeri itu sekarang ini ada asasnya.

Antaranya kucar kacir dalam pentadbiran negeri dan keyakinan BN selepas menang pada Pilihan raya Kecil Bagan Pinang 11 Oktober lalu.

"Kemungkinan besar akan berlaku. Ada beberapa asas untuk saya berkata begitu, antaranya kucar kacir dalam pentadbiran negeri sekarang, contohnya GLC tidak berfungsi, masalah ketua kampung kena pecat dan banyak lagi," katanya ketika dihubungi.

"selain itu, mereka juga sudah berkeyakinan diterima rakyat selepas menang di Bagan Pinang, dan yang paling akhir sokongan rakyat pada pelancaran 1Malaysia yang dilancar Datuk Seri Najib di sini baru baru ini."

Bersedia atas segala kemungkinan yang bakal berlaku, PAS negeri katanya sudah mula menggerakkan jentera mereka bagi memastikan kerajaan negeri Perak kembali kepada Pakatan Rakyat.

"Kita sudah bersedia lama, dan terbaru pada 17 Oktober baru-baru ini kami telah mengadakan taklimat kepada seluruh PAS kawasan sebagai persediaan berdepan pembubaran DUN," katanya.

Mengulas isu sama, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Meng juga yakin BN akan membubarkan DUN perak berasakan kemenangan besar pada PRK Bagan Pinang.

Menurutnya jika benar, ianya bertepatan dengan desakan rayat negeri itu selama ini yang mahu kerajaan negeri dipilih semula oleh mereka.

"Jika benar, ini memang hasrat rakyat. Mengikut pungutan suara gabungan NGO yang diumum minggu lalu, 10 ribu yang ditemuduga, 92.15 peratus bersetuju DUN Perak dibubarkan," katanya ketika ditemui di parlimen pagi tadi.

Beliau yang juga ADUN Pantai Remis berkata, pakatan Perak sememangnya menunggu perkara itu berlaku sebagai penyelesaian terbaik kemelut negeri itu yang sudah berlarutan hampir sembilan bulan lalu.

"Kita bersiap sedia sepanjang masa, kita yakin prestasi 10 bulan memerintah Perak dan sengat kerjasama PAS-DAP-PKR memmbuatkan rakyat akan bersama kita," ujarnya.

Krisis perlembagaan negeri Perak sekali lagi bakal mendapat perhatian apabila Speaker Pakatan, V.Sivakumar dan Speaker BN, R.Ganesan masing-masing memanggil sidang DUN pada tarikh sama 28 Oktober ini.

Kesemua ADUN pakatan mahupun BN telah menyatakan komitmen untuk hadir pada persidangan tersebut berdasarkan notis panggilan dari Speaker masing-masing. _

HarakahDaily.Net/-


Raja tegur pusat lengahkan naik taraf Lapangan Terbang

KOTA BHARU, 21 Okt: Kerajaan Pusat sekali lagi diingatkan pihak istana Kelantan supaya menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kerana ia boleh menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negeri ini.

Sebelum ini gesaan serupa sudah berkali-kali kali dititahkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Namun sehingga kini cadangan itu seolah-olah kurang mendapat perhatian kerajaan pusat kecuali mengubah wajah terminal lapangan terbang beberapa tahun lalu.

Dan semalam gesaan serupa disuara pula Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.

Titah baginda lapangan terbang di Pengkalan Chepa wajar dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa memandangkan kemudahan tersebut dapat membantu perkembangan ekonomi dan sosial di Kelantan.

"Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra perlu dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa kerana ia boleh memberi perkhidmatan penerbangan terus ke negara-negara luar terutama di Asia dan Timur Tengah.

"Beta dimaklumkan syarikat penerbangan Firefly bercadang memperluaskan perkhidmatan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura," titah baginda.

Pada masa yang sama baginda bertitah Kelantan juga memerlukan sebuah pelabuhan komersial yang boleh menjadi pemangkin ekonomi di negeri ini.

Menurut baginda, ketiadaan kemudahan pelabuhan membantutkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

�Beta berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula kelulusan projek pelabuhan di negeri ini sebagaimana yang telah diluluskan dalam RMK-5.

"Beta juga menyarankan kerajaan Persekutuan mempercepatkan perlaksanaan projek pembinaan jalan baru dari Kota Bharu ke Kuala Krai," titahnya.

Titah baginda pelaksanaan projek itu perlu disegerakan kerana ia dapat merangsangkan pembangunan di sepanjang koridor laluan itu di samping mempercepatkan masa perjalanan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Baginda juga turut memuji langkah kerajaan negeri memajukan sektor pertanian bagi menjayakan hasrat Kelantan sebagai jelapang makanan negara.

Bagaimanapun baginda menyarankan sektor itu perlu difokuskan kepada penggunaan teknologi moden berskala besar dan berorentasikan eksport.

Tambah baginda, penekanan bioteknologi dalam pertanian juga perlu untuk menjadikan sektor berkenaan lebih berdaya maju.

"Beta juga berharap petani, penternak, nelayan serta meraka yang terlibat dalam sektor pertanian mendapat kefahaman dengan pelancaran konsep �Bertani Satu Ibadat," titah baginda. _

HarakahDaily.Net/-

Sekolah beli pokok 880% lebih mahal

Kementerian Pelajaran membelanjakan hampir RM60,000 untuk kerja membekal, menanam dan penyelenggaran taman sebuah sekolah di Pasir Puteh, Kelantan kerana membayar harga pokok-pokok yang terlalu mahal, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2008.

Laporan tersebut yang dibentangkan di Parlimen Isnin lalu, mendedahkan bahawa kementerian telah membeli pokok dan tanaman senitaman bagi Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, Pasir Putih, Kelantan dari pembekal tempatan secara pembelian terus.

Menurut laporan tersebut, kementerian berkenaan, sebagai contohnya, telah membayar sehingga RM4,550 bagi 13 pokok kemboja dan RM9,000 bagi 12 pokok pinang merah.

Bagaimanapun, selepas semakan dibuat dengan pembekal tempatan lain yang menawarkan perkhidmatan yang sama, laporan itu berkata, didapati kementerian tersebut boleh membeli pokok yang sama dengan harga yang jauh lebih murah.

Sebagai contohnya, pokok kemboja dan pinang merah - bagi jumlah yang sama - masing-masing boleh dibeli dengan harga RM585 dan RM1,560.

Oleh itu, kata laporan tersebut, kementerian berkenaan telah membelanjakan antara 470 peratus hingga 880 peratus atau empat hingga lapan kali lebih mahal daripada harga pasaran.

Berdasarkan laporan tersebut, kementerian tersebut telah membayar RM37,450 bagi pokok-pokok tersebut, sedang ia sepatutnya dalam menjimatkan sekurang-kurangya RM31,000.

Malaysiakini/-


PKR Perak tidak letak harapan pada Jamaluddin dan Osman

PKR Perak tidak akan meletakkan harapan kepada dua wakil rakyatnya yang berpaling tadah kepada BN untuk kembali menyokong mereka semata-mata untuk membolehkan DUN negeri itu dibubarkan.

Walau timbul desas-desus menyatakan ADUN Behrang dan Changkat Jering telah berhubung dengan PKR negeri, parti itu tidak akan melayan apa-apa tuntutan mereka itu yang didakwa mementingkan "kepentingan sendiri", kata Ketua penerangan PKR Perak, Zulkifli Ibrahim.

Menurutnya lagi, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) serta Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dipercayai masih merupakan wakil rakyat bebas.

"Mereka ada berhubung dengan PKR negeri, itu maklumat yang kita dapat tapi kita tak dapat sahkan," kata Zulkifli ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Zulkifli juga berkata PKR perlu menolak sekiranya benar Jamaluddin dan Mohd Osman telah berhubung dengan PKR negeri untuk kembali menyokong parti tersebut.

"Saya nampak ia lebih kepada kepentingan peribadi, lebih-lebih lagi Behrang," kata Zulkifli lagi.

Beliau turut mendakwa Jamaluddin telah membuat beberapa rundingan melibatkan jawatan dengan BN, setelah keluar daripada PKR.

Menurut Zukifli lagi, rundingan yang dibuat oleh Jamaluddin itu adalah untuk membolehkan masyarakat setempat terus menyokongnya walaupun telah keluar dari parti.

Perbicaraan kes rasuah

Zulkifli mendakwa, Jamaluddin telah meminta kepimpinan BN negeri meletakkan dua orang calon ketua kampung di Behrang yang diketahui sebagai penyokong bekas wakil rakyat PKR tersebut.

"Dia kata kalau Umno tidak letakkan orang dia jadi calon ketua kampung, dia ugut untuk tidak akan sokong usul bajet negeri," kata Zulkifli lagi yang menjelaskan mengenai insiden yang diketahuinya berlaku kira-kira dua bulan lalu.

"Sekarang dua orang ketua kampung itu memang orang (Jamaluddin)," katanya lagi.

Kata Zulkifli lagi, kes rasuah yang masih berjalan terhadap mereka akan tetap digunakan oleh BN untuk menekan kedua-duanya.

Jamaluddin dan Mohd Osman masing-masing telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada akhir Ogos tahun lalu atas tuduhan menerima rasuah masing-masing membabitkan RM100,000 dan RM5,000.

Zulkifli menegaskan, Pakatan Rakyat Perak kini harus menumpukan terhadap usaha jangka panjang dan bukannya bertindak semata-mata untuk memastikan DUN Perak dibubarkan.

Katanya lagi, walaupun Pakatan Rakyat di negeri itu sememangnya mahu pilihan raya peringkat negeri diadakan, tetapi tidak semestinya dengan mengembalikan sokongan Jamaluddin, Mohd Osman serta seorang lagi wakil rakyat DAP yang telah meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Dalam masa sekarang, kita tidak boleh letakkan harapan kepada mereka... Kalau mereka masih memihak kepada kita, mereka boleh sokong kita.

"Tapi saya tak rasa begitu sebab kalau mereka sokong, sudah tentu kerana sebab mereka berkepentingan," kata Zulkifli lagi.

Malaysiakini/-

AMK: BN 'rampas' perjuangan Pakatan

Angkatan Muda PKR (AMK) mengakui perjuangan 16 September yang sering disebut-sebut oleh Pakatan Rakyat akhir tahun lalu telah "dirampas" oleh BN apabila tarikh tersebut diumumkan sebagai satu cuti umum.

Ketua pergerakan itu, Shamsul Iskandar Mat Akin bagaimanapun berpendapat, pengumuman itu juga merupakan satu bentuk sokongan kerajaan BN ke atas usaha-usaha yang dilakukan Pakatan Rakyat untuk membina kesamarataan di antara semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

"Ini turut memberi peluang kepada rakyat untuk membina kefahaman bahawa Pakatan kini telah sudah berupaya menjadi kerajaan," katanya.

Shamsul berkata BN juga kini tidak lagi mempunyai idea baru untuk diketengahkan sehingga "terpaksa mengambil idea Pakatan Rakyat."

"Bukan sahaja ini memberi sokongan kepada perjuangan Pakatan selama ini, mereka juga nampaknya telah hilang punca untuk mendepani tuntutan daripada pemimpin BN serta rakyat di sana dengan memberikan cuti umum ini," katanya lagi.

Pakatan Rakyat telah menimbulkan isu sambutan Hari Malaysia dengan giat ketika cuba meraih sokongan pemimpin BN di Sabah dan Sarawak, dalam usahanya mengambil alih kerajaan persekutuan menjelang 16 September tahun lalu.

Katanya lagi, pengumuman cuti umum itu hanyalah sebahagian kecil daripada usaha Pakatan selama ini untuk memberi lebih pengiktirafan kepada Sabah dan Sarawak dalam persekutuan Malaysia.

Bayaran royalti

Tambahnya, pengumuman cuti umum itu juga tidak memberi gambaran sebenar berhubung sambutan Hari Malaysia, sedangkan dua negeri tersebut masih terpinggir dalam bidang ekonomi.

"Najib melihat kepada (retorik) sambutan Hari Malaysia dan bukannya pengisian hari tersebut. Pengumuman cuti umum ini hanya untuk memperingati penggabungan Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia," katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan persekutuan sebaliknya perlu memberi bayaran royalti sewajarnya kepada Sabah dan Sarawak, sebagai pulangan daripada sumber petroleum daipada negeri berkenaan.

Shamsul menjelaskan, sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, ketidakseimbangan ekonomi antara semenanjung dan Sabah serta Sarawak akan terus berlanjutan.

"Dari segi kemiskinan Sabah masih dianggap negeri miskin, termasuk Sarawak. Negeri ini juga masih ketinggalan dari segi pendidikan dan infrastruktur," katanya lagi.

Tuntuan untuk menaikkan kadar royalti minyak Sabah dan Sarawak daripada 5 peratus kepada 20 peratus itu merupakan salah satu modal PKR bagi meraih lebih banyak sokongan di dua negeri berkenaan.

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah berjanji untuk menyemak semula perjanjian antara kerajaan negeri berkenaan dengan kerajaan persekutuan yang dibuat pada 1976, untuk menaikkan kadar royalti berkenaan.

MalaysiaKini/-

'Rasul Melayu' dipenjara 10 tahun, 6 sebatan

Ketua ajaran sesat "Rasul Melayu", Abdul Kahar Ahmad hari ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad turut memerintahkan Abdul Kahar, 59, dihantar menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam Baharu pada enam bulan terakhir pelaksanaan hukuman penjara itu.

Mahkamah memerintahkan agar hukuman bagi kelima-lima kesalahan itu dijalankan secara berasingan berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 16 September lalu.

Abdul Kahar dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam kali sebatan bagi tuduhan di bawah Seksyen 7 iaitu menjelaskan doktrin palsu dengan menyatakan bahawa sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar sahaja dan ibadah Haji sekarang ini adalah sia-sia dan merugikan.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi kesalahan mengisytiharkan diri sebagai Rasul Orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam, mengikut Seksyen 8 (a).

Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi tuduhan di bawah Seksyen 10 iaitu mempersendakan dengan perkataan amalan yang berhubung dengan Agama Islam iaitu menyatakan: "Sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran ini adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tidak perlu tonggang tonggek dan membebel seorang-seorang."

Bagi tuduhan di bawah Seksyen 12 iaitu menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari dan melanggar arahan Mufti, Abdul Kahar dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM3,000 atau setahun penjara.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi tuduhan di bawah Seksyen 13 iaitu menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa iaitu mengaku dirinya Rasul yang diutuskan oleh Allah untuk orang Melayu, menyatakan bahawa sembahyang lima waktu tidak wajib, memadai hanya melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran dan menyatakan bahawa ibadah Haji itu tidak perlu ditunaikan di Mekah serta boleh dikerjakan di mana-mana sahaja di bumi Allah.

Abdul Kahar yang tidak bekerja didapati melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah beralamat No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang, Ampang, Gombak, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005.

Sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman, Abdul Kahar yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan tenang manakala anggota keluarganya yang turut hadir di mahkamah dilihat menangis teresak-esak sambil berpelukan.

Hakim Abu Zaky yang mengambil masa hampir dua jam membacakan penghakiman setebal 55 muka surat berkata, dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah perlu melihat
kepada keseriusan kes seperti itu yang semakin berleluasa pada masa ini selain mengutamakan kepentingan awam.

Beliau berkata mahkamah juga perlu mempertimbangkan hukuman yang boleh mencegah dan memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga masyarakat Islam supaya tidak melakukan kesalahan yang serupa.

"Mengenai dakwaan tertuduh bahawa dia jahil dan tidak berpendidikan tinggi, mahkamah berpendapat tertuduh tidak seharusnya menyebarkan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam dan mahkamah percaya tertuduh adalah seorang dewasa yang waras dan boleh berfikir.

"Pada umur 59 tahun, tertuduh sepatutnya tunjukkan kematangannya, namun tindakan tertuduh amat sukar diterima oleh mahkamah lebih-lebih lagi tertuduh beragama Islam sejak lahir, mempunyai keluarga dan sepatutnya sebagai ketua keluarga kena jalankan tanggunjawab seperti memastikan keluarga tunaikan solat lima waktu, tetapi sebaliknya tertuduh telah persenda ajaran Islam dan isytihar diri sebagai Rasul Melayu," katanya.

Tindakan tertuduh bukan sahaja satu penghinaan kepada agama Islam tetapi juga kepada ajaran Nabi Muhammad S.A.W, katanya.

Mengenai pengakuan Abdul Kahar bahawa dia sudah bertaubat atas perbuatannya itu, beliau berpendapat tertuduh hanya menyatakan keinsafannya selepas ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

"Mahkamah juga berpendapat pihak pembelaan gagal mengemukakan bukti dokumen
akujanji (menyatakan bahawa dia telah insaf dan bertaubat) yang ditulis sendiri oleh tertuduh, lahir dari hati tertuduh sendiri dan tanpa paksaan dari mana-mana pihak," katanya.

Mengenai rayuan pihak pembelaan terhadap pelaksanaan hukuman sebat, Hakim Abu Zaky berkata sejak akhir-akhir ini sering timbul polemik dan kekeliruan di kalangan masyarakat yang menyamakan hukuman sebatan jenayah syariah sama dengan sebatan jenayah sivil.

"Sebatan syariah tidak zalim sama sekali kerana ia diibaratkan seperti denda yang dikenakan oleh seorang guru kepada muridnya dan ibu bapa kepada anak yang bertujuan untuk mengajar," katanya.

Beliau berharap tertuduh gunakan peluang di pusat pemulihan kelak untuk bertaubat, mendalami agama Islam dan perbaiki diri.

Pihak pendakwaan diwakili Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abd Hamid dan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Muhamad Nazri Basrawi dan Zusyarafain Md Yusof manakala peguam syarie Norazmi Mohd Arif mewakili tertuduh. - Bernama

MalaysiaKini/-