19 October 2009

Kawalan ketat terhadap Masjid al-Aqsa

Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com)


BINGKISAN DARI YAMAN

Dunia Islam dikejutkan lagi dengan insiden terbaru yang berlaku di kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa. Mimbar masjid di seluruh dunia memperkatakan isu yang berlaku baru-baru ini akibat tekanan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel terhadap umat Islam di kota suci itu.

Pihak berkuasa Israel telah mengerahkan sejumlah besar anggota polis di sekitar Masjid al-Aqsa setelah berlaku beberapa pergelutan pihak polis dengan para jemaah di kawasan masjid suci itu.

Keadaan menjadi tegang apabila kaum muslimin yang berusia 50 tahun ke bawah telah dihalang daripada memasuki kawasan Masjid al-Aqsa menyebabkan ramai penduduk kota al-Quds melahirkan rasa tidak berpuas hati lalu meledakkan insiden tunjuk perasaan.

Manakala para jemaah yang sudah berada di dalam kawasan al-Aqsa enggan keluar dan terus beriktikaf di dalamnya sepanjang solat lima waktu. Mereka bimbang tidak dibenarkan masuk semula setelah keluar dari kawasan masjid suci itu.

Solat Jumaat hanya dapat ditunaikan oleh para jemaah di luar kawasan tembok al-Aqsa akibat kepungan dan halangan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel .

Kekacauan terbaru yang berlaku itu dikatakan berpunca daripada tindakan pihak berkuasa Israel yang dikatakan bertujuan menjaga keselamatan para pengunjung Yahudi ke tembok barat Masjid al-Aqsa yang dikuasai mereka.

Dianggarkan lebih kurang 7000 orang Yahudi yang terdiri dari kalangan penganut Judaisme sedang mengadakan upacara ibadat di tembok barat untuk meraikan perayaan Sukkoth. Perayaan yang disambut pada musim luruh ini merupakan salah satu daripada tiga perayaan suci yang disebutkan di dalam kitab Taurat mereka.

Menurut jurucakap polis Israel , Micky Rosenfeld, "Pertimbangan ini dibuat untuk menghindari insiden baru di kawasan ini dan kota lama ( Jerusalem ) bagi mengelakkan batu-batu dilontarkan kepada orang Yahudi yang datang untuk beribadat di Tembok Barat."

Pihak berkuasa Israel juga mendakwa terdapat pihak-pihak tertentu yang memainkan isu ini dan mengapi-apikan bahang permusuhan dengan menyeru penduduk al-Quds supaya bertindak ganas untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Manakala Hamas dalam kenyataan rasminya menyatakan, "Kami tidak akan duduk diam dan kami akan bangkit mempertahankan tempat suci kami."

Hamas juga menegaskan bahawa tindakan prejudis terhadap Masjid al-Aqsa ini adalah satu 'bom jangka' yang bakal meledak di hadapan pengganas Zionis.

Hamas juga menyeru warga Palestin agar berarak beramai-ramai ke Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat sebagai tindakan penentangan secara terbuka menghadapi halangan pihak polis Israel . Manakala Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengajak rakyat supaya melakukan protes secara aman.

"Kami menyeru warga Palestin yang berani, seluruh kaum Arab dan orang-orang Islam agar bangkit mempertahankan tempat-tempat suci kita dan melancarkan intifadhah (gerakan kebangkitan) yang baru untuk mempertahankan kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa," tambah pergerakan Hamas dalam kenyataannya.

Ramai para pengkaji berpendapat, tindakan Israel ini bakal meledakkan Intifadhah ke-3 dalam sejarah kebangkitan rakyat Palestin menghadapi penjajahan Zionis.

Apa yang menambahkan kemarahan rakyat Palestin ialah tindakan pihak polis Israel tidak membenarkan para penganut agama Islam daripada masuk untuk menunaikan solat. Akan tetapi, mereka membenarkan kumpulan ekstremis Yahudi dan para pelancong untuk masuk.

Pihak polis Israel juga mengadakan banyak sekatan di jalan-jalan masuk ke al-Quds dan menghalau rakyat Palestin yang tidak tinggal atau bekerja di kota tersebut daripada memasuki kota al-Quds.

Pergerakan Islam telah dipersalahkan oleh pihak polis Israel kerana menyebabkan suasana tegang sepanjang minggu tersebut. Mereka juga menahan pemimpin gerakan tersebut, Syeikh Raed Salah kerana didakwa telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menaikkan kemarahan awam.

Syeikh Raed Salah yang pernah menjalani hukuman penjara selama 2 tahun, baru-baru ini telah mengulangi seruannya agar kaum muslimin mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Manakala perkembangan di Genting Gaza pula menyaksikan lebih 10 ribu rakyat berdemonstrasi mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa yang dikepung pihak polis Israel melebihi tempoh seminggu.

Seorang pemimpin Hamas, Yahya Musa menyatakan dalam ucapannya, "Al-Aqsa bukan sahaja berada dalam bahaya, bahkan ianya bakal dimusnahkan. . al-Aqsa adalah sebahagian daripada akidah kita, ia adalah titik asas pertarungan di antara yang hak dan batil. Sudah tiba masanya umat Arab dan Islam bangun dan mempertahankannya!

Kami sudah bersedia menghadapi pertempuran terakhir dengan Israel dan orang-orang Arab mesti bersatu, kami ingin menyatakan kepada mereka, bahawa kamu semua tiada alasan sekiranya al-Aqsa dimusnahkan… kaum muslimin mesti berarak di jalanan."

Tambah beliau lagi, "Kepada para pemimpin Arab kami mengatakan: Apakah kamu tidak berasa malu menjadi alat mainan di tangan Zionis!?"

Beliau juga mengajak seluruh rakyat meneruskan perjuangan dan menentang pentadbiran di Ramallah sehinggalah presiden Mahmoud Abbas meletakkan jawatan atau digulingkan secara paksa. 'Jenayah' Abbas ini tidak boleh dibiarkan sehingga seluruh bumi Palestin dijual kepada musuh.

Tekanan yang berlaku di sekitar Masjid al-Aqsa pada ketika ini didakwa mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat para pemimpin Palestin di Ramallah.

Sehingga bingkisan ini ditulis, suasana tegang di sekitar Masjid al-Aqsa masih berterusan walaupun pihak polis Israel menambah pasukan keselamatannya.

Dilaporkan para penunjuk perasaan dan orang-orang yang tidak dibenarkan masuk untuk solat terus-menerus melontarkan batu ke arah pihak polis. Pertempuran berlangsung selama lebih 1 jam di kebanyakan jalan-jalan utama menuju ke Masjid al-Aqsa.

Sekurang-kurangnya 4 orang rakyat Palestin dan 5 orang polis tercedera dalam pergelutan itu. Jumlah sebenar yang tercedera masih belum dapat dipastikan.

Tindakan Israel yang melakukan pencerobohan ke atas Masjid al-Aqsa ini bukan sahaja telah meningkatkan penentangan rakyat Palestin, bahkan telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Para khatib di seluruh dunia Islam disarankan agar terus membangkitkan kesedaran di kalangan umat dalam setiap khutbah Jumaat. Adalah tidak wajar, umat Islam terus mendiamkan diri sehingga Masjid al-Aqsa dirobohkan. Ketika itu kita hanya mampu mengeluh melihat Haikal (Kuil) Sulaiman tertegak di tengah-tengah runtuhan Masjid al-Aqsa.


Ceramah Mahfuz Omar 20 Okt 09 Labu, NS

Oleh : Suara N9

CERAMAH UMUM

Bersama :

YB Dato Mahfuz Omar Naib Presiden PAS
YB Anthony Loke Pengerusi DAP N.Sembilan
Sdr Shamsul Iskandar Mat Akin Ketua AMK
Sdr Zulkefly Mohamad Hj Omar Pesuruhjaya PAS N.Sembilan

Selasa 20 Oktober 2009
Jam 9 malam
Di Kg Lambar, Labu, N.Sembilan

Semua Dijemput Hadir



Tiada istilah 'bohong sunat'

http://zailina88. blogspot. com

Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri...

Masih ingatkah lagi pantun lama ini? Sejak kecil, kita sering diajar bahawa bohong adalah perbuatan yang tidak baik atau dalam istilah yang paling mudah difahami, “bohong itu jahat”. Namun dalam kehidupan seharian, terutamanya bagi orang dewasa, bohong kadangkala menjadi suatu perkara yang biasa yang tidak dapat dielakkan. Namun, betulkah kita memang tidak dapat mengelak daripada berbohong?

Mengapa berbohong? Jawapan yang paling tepat, kerana mahu menyelamatkan diri sendiri daripada sesuatu keadaan! Yang biasa berlaku, kita tersepit dalam sesuatu situasi dan situasi itu berlaku kerana kelalaian atauy kesalahan sendiri. Sekiranya kesulitan itu berlaku kerana kesilapan orang lain, tentulah kita tidak berbohong kerana kita dapat mencari pihak lain untuk diletakkan kesalahan itu.

Tetapi sebaliknya apabila kesalahan itu berpunca daripada kita sendiri, maka kita terpaksa mereka-reka alasan supaya kita tidka dipersalahkan. Apabila ‘terlalu bijak’, mereka-reka alasan, maka terjadilah pembohongan. Nampak mudah, bukan?

Bohong bermaksud memberitahu susuatu yang tidak benar dan kita tahu bahawa hal itu tidak benar. Atau dengan kata lain, berdusta. Dari sudut pandangan Islam, sudah tentu hukumnya haram. Jika kita memberitahu orang sesuatu perkara yang kita sendiri tidak tahu bahawa hal itu tidak benar, perbuatan itu bukanlah bohong namanya.

Jangan Berbohong

Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Saya dengar Rasulullah SAW bersabda, “Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak..” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat. Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina. Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah SAW berwasiat kepadanya, “Hanya dengan satu perkara: ‘Laa Takzib! (Jangan berbohong!).’ Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu. “Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab: Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum,” fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.”

Kalangan orang munafik

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya. (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah).” (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada hadis yang disebutkan di atas, dapat kita fahami bahawa pembohong dikategorikan sebagai seorang munafik dan tempat mereka dalam neraka paling bawah. Maka wajar jika Rasulullah SAW menyatakan bahawa berdusta atau berbohong itu termasuk dalam dosa besar.
Dalam hadis riwayat Abdullah Umar, Rasulullah SAW pernah menegaskan mengenai empat sifat orang munafik iaitu:
1.Apabila diamanahkan, dia mengkhianati amanah itu2.Apabila bercakap, dia berbohong3.Apabila berjanji, dia mungkiri4.Apabila berkelahi, dia berlaku zalim atau melampau-lampau
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, Rasulullah AW bersabda yang bermaksud, “Benar itu membawa kebaikan dan kebaikan tiu membawa ke syurga. Yang bercakap benar, akan ditulis benar, yang bohong akan mendorong seseorang itu kepada kejahatan. Kejahatan itu akan membawa seseorang ke neraka dan apabila orang itu bercakap bohong, maka dia akan ditulis sebagai seorang yang pembohong.”

Selain itu, hayati juga firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud, “Jangan kamu mengikuti sesuatu kamu tidak tahu mengenainya. Pendengaran dan penglihatan serta hati – semua anggota itu akan tetap ditanya mengenai segala yang dilakukannya.”

Oleh itu, secara moralnya, jika kita tidak tahu sesuatu perkara dengan jelas atau tidak sahih akan kebenarannya, jangan pandai-pandai bercakap apa-apa, kerana kita berkemungkinan boleh ditudih berbohong.

Bohong yang dibolehkan

Walaupun pada prinsipnya, berbohong hukumnya haram, tetapi dalam keadaan tertentu, Islam memberikan kelonggaran. Namun, ia bukan dalam konteks yang terlalu ketat. Rasulullah SAW ada menyatakan, seseorang yang berbohong dengan niat ingin mendamaikan orang lain atau untuk tujuan kebaikan dalam masyarakat, dia tidak dikira berbohong. Dalam suatu riwayat, Ibnu Kalsum berkata, beliau tidak pernah mendengar Rasulullah SAW memberi kelonggaran untuk bercakap dalam hal yang tidak betul, kecuali dalam tiga perkara :
1.Ketika peperangan2. Untuk mendamaikan anggota masyarakat atau organisasi yang bertelagah3. Dalam perhubungan suami isteri
Dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah r.a., sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik.” (Hadis riwayat Bukhari)

Umat Islam pada hari ini masih lagi terumbang-ambing, lemah, miskin dan berpecah belah meskipun Islam sesungguhnya amat menggalakkan perpaduan, kesatuan, persefahaman dan keharmonian dalam kehidupan sejagat. Dalam erti kata lain, Islam melarang umatnya bergaduh, berperang apalagi bertengkar sesama sendiri sehingga melibatkan perbuatan mencederakan, membunuh dan sebagainya. Inilah sebabnya mengapa Islam memuliakan seorang manusia yang berusaha untuk mendamaikan orang yang bertelagah meskipun terpaksa dilaksanakan dengan cara menipu (perkara yang harus) demi menjalinkan semula ikatan persaudaraan tersebut agar keadaan kembali menjadi aman dan damai.

Begitu juga untuk menjaga akidah, sekiranya seseorang dipaksa untuk mengucapkan sesuatu yang berlawanan dengan akidah, maka dia boleh berbohong. Namun, pembohongan itu dengan syarat, hatinya tetap dalam Islam. Hal ini mengingatkan kita kepada kisah yang menimpa Ammar Yassir yang terpaksa mengaku kembali menyembah berhala apabila dia diseksa teruk dan selspas melihat ibunya Sumayyah dan bapanya, mati ditikam Abu Jahal kerana mempertahankan akidah. Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai kedudukan Ammar selepas itu, menyatakan bahawa Ammar tetap terpelihara akidahnya kerana dia dipaksa berbuat begitu dan hal itu di luar kerelaannya.

Berkata Imam an-Nawawi yang mengulas hadis ini, “Hadis ini dengan jelas telah mengharuskan beberapa bentuk pendustaan jika ada maslahah/kepentinga n. Para ulama telah membuat batasan bagi pembohongan yang diharuskan. Batasan yang terbaik ialah yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali yang menjelaskan; percakapan ialah jalan untuk mencapai maksud-maksud tertentu. Jika suatu maksud yang baik dapat dicapai dengan berkata benar, tidak harus lagi berdusta kerana pendustaan tidak diperlukan ketika itu. Namun jika maksud yang baik itu tidak ada cara untuk mencapainya melainkan dengan berbohong, maka ketika itu berbohong adalah harus jika maksud yang ingin dicapai itu hukumnya adalah harus. Jika maksud itu wajib, maka berdusta ketika itu juga wajib (kerana tidak ada cara lain lagi untuk mencapainya) .

Contohnya ada seorang muslim bersembunyi dari seorang lelaki zalim dan kita mengetahui tempat persembunyiannya. Kemudian si zalim itu bertanya kita tempat lelaki muslim itu bersembunyi. Ketika itu wajib kita berbohong (yakni tidak harus kita bercakap benar dengan memberitahunya) . Contoh lain kita ada menyimpan barang milik seseorang muslim, lalu ditanya tentangnya oleh seorang zalim yang ingin merampasnya, maka wajib kita berdusta untuk menyembunyikannya (bagi mengelak ia dirampas). Malah kata Imam al-Ghazali, jika kita memberitahu si zalim itu dan barang itu dirampasnya, wajib kita menggantikannya.

Namun langkah yang lebih berhati-hati ialah dengan kita melakukan at-Tauriyah iaitu berselindung, yakni tidak secara direct berdusta/berbohong. Maksud at-Tauriyah ialah kita bercakap dengan bahasa yang zahirnya nampak macam berdusta, tetapi secara terselindung (yakni biat di hati) kita tidak berdusta. (Lihat; al-Azkar, Imam an-Nawawi, kitab Hifzul-Lisan. *Terjemahan dilakukan secara bebas).

Suami isteri berbohong

Berbohong antara suami isteri pula, hanya dalam keadaan tertentu sahaja, maksudnya dalam perkara yang tidak menyentuh prinsip. Umpamanya, suami memuji masakan isteri kerana ingin ambil hati isteri, sedangkan masakan isterinya tidak kena langsung dengan seleranya. Atau isteri puji suaminya kacak, walaupun hakikatnya suami tidak setampan mana. Tetapi asalkan dengan niat menjaga keharmonian rumahtangga dan eratkan hubungan suami isteri, hal itu dibenarkan.

Kelonggaran dalam berbohong diistilahkan terutamanya oleh orang Melayu sebagai ‘bohong sunat’. Hakikatnya, dalam Islam tiada istilah ‘bohong sunat’, yang ada hanya kelonggaran yang diharuskan dalam keadaan tertentu. Sekiranya dapat mengelak daripada bohong, hal itu lebih digalakkan. Justeru, kelonggaran yang diberi atau dibenarkan untuk berbohong harus digunakan secara tepat untuk menyelesaikan hal rumahtangga.

Namun sebenarnya ramai yang menggunakan kelonggaran ini untuk tujuan yan gsalah. Umpamanya suami berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri dan mengambil pendekatan ‘bohong sunat’, kononnya supaya mereka suami isteri tidak bertelagah.

Berbohong satu pengkhianatan

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya, “Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berbohong ialah menyampaikan sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan sebenarnya. Gejala pembohongan adalah amat keji dan sangat dibenci apalagi yang dibohongi itu adalah orang ramai, maka sudah tentu bahaya dan dosanya lebih berat. Oleh itu Islam menganggap perbuatan berbohong atau berdusta adalah satu perbuatan munafik. Selaku ibu bapa adalah tidak wajar untuk membohongi anak-anak dengan alasan untuk memujuk mereka atau menahan mereka daripada sesuatu kemarahan. Hal ini kerana ia akan menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa menjadikan segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan tidak berkesan.

Jangan dibudayakan

Dalam konteks hubungan majikan atau ketua denga para pekerja, bohong boleh berlaku jika majikan tidak menjelaskan hal sebenarnya mengenai pentadbiran syarikat yang merosot. Tetapi jika majikan berbuat demikian kerana tidak mahu para pekerja bimbang dan pada masa yang sama ingin mencari jalan untuk membaiki keadaan, hal itu dianggap satu kelonggaran.

Namun sekiranya keadaan gagal dikendalikan, tidak wajar majikan atau ketua terus berbohong dan menyembunyikan hal sebenar keran itu seperti menganiaya pekerja.

Tidak kurang juga yang sering berlaku dalam organisasi, perbalahan sesama pekerja yang mungkin akan membawa mudarat jika tidak ditangani dengan segera. Justeru, jika pembohongan tertentu dapat menyelamatkan keadaan dan mewujudkan keharmonian sesama pekerja, ia dibolehkan.

Namun, bohong jangan dibudayakan kerana ia lambat-laun akan merosakkan keharmonian dan boleh meruntuhkan masyarakat. Walaupun ada kelonggaran berbohong, jika boleh dielakkan, adalah lebih baik dielakkan!


Meriah : Lebih 10,000 hadir Majlis Aidilfitri PAS Perak.

BATU Gajah, 18 Okt :-Sambutan Aidilfitri Pas Perak yang diadakan di Arena Square, Batu Gajah telah menerima kunjungan yang luarbiasa daripada orang ramai. Kehadiran pimpinjan dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat dari seluruh Perak menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Pakatan Rakyat. Mereka bertali arus sejak awal sehingga jalan masuk ke tempat jamuan didapati sesak dan kenderaan berjalan perlahan.

Jangkaan kehadiran oleh pihak penganjur hanya sekitar 6,000 orang telah tersasar apabila lebih daripada 10,000 orang yang bertali arus mengunjungi Arena Square tanpa henti sehingga jam 3 petang.

Jamuan yang bermula jam 11.30 pagi telah kehabisan makanan yang diperuntukkan untuk 10,000 orang seawal 1.30 tengahari lagi. Antara menu yang habis awal ialah Nasi, satey, cendol dan lemanag. Makanan tambahan berupa bihun sup terpaksa dimasak disitu oleh Ust Faisol bagi tidak menghampakan kunjungan ramai yang tanpa henti daripada seluruh pelusuk negeri Perak.

Dalam ucapan ringkasnya Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein amat berbesar hati dengan sokongan serta kunjungan orang ramai ke majlis hari raya yang dianjurkan disitu.

Selain itu ucapan tahniah dan penghargaan patut diberikan kepada Jawatankuasa Pelaksana yang diketui oleh Setiausa PAS Perak, Ust. Misbahul Munir masduki dan Bendahari PAS Perak , Hj.Abd. Rahim Arif. Memilih tempat yang selesa dan penyusunan gerak keraja petugas yang teratur telah menyebabkan program berjalan lancar sehingga akhirnya.

Bersempena dengan Jamuan itu diselitkan juga dengan pelancaran "orang muda gengkita" oleh Dewan Pemuda PAS Perak, ianya disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Perak.

Selain itu kelihatan hadir sama untuk meraikan kehadiran tetamu ialah ADUN-ADUN PAS Perak, mereka ialah YB. Mohd.Zainuddin, YB. Ramli Tusin, YB. Khalil Idham Lim dan YB. Anuar Sudin.