05 October 2009

PAS yakin tentera bersama rakyat

BAGAN PINANG, 4 Okt: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yakin aanggota tentera yang akan mengundi dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang akan bersama-sama rakyat untuk mempertahankan negara ini dari serangan politik wang.

"Rakyat semakin berubah dan semakin berani menentang cengkaman kuasa mereka yang berkeras dengan rasuah dan politik wang.

"PAS yakin, anggota-anggota tentera pasti akan bersama-sama rakyat mempertahankan negara kita dari serangan rasuah dan politik wang," kata beliau yang juga pengarah pilihan raya PAS bagi pilihan raya kecil tersebut.

Menurut Salahuddin, pilihan raya kecil Bagan Pinang adalah peluang kepada anggota-anggota tentera untuk menyatakan bahawa mereka tidak lagi boleh menerima wabak rasuah yang boleh mengancam nyawa mereka.

"Menentang rasuah adalah soal mempertahankan nyawa bagi angkatan tentera.

"Rasuah boleh mengakibatkan pembelian peralatan pertahanan yang mengancam nyawa seperti membeli kereta kebal yang disesuaikan harganya dengan kepentingan perasuah dan kemudiannya dipasang senjata berat sehingga tidak boleh digunakan untuk tujuan pertahanan.

"Perkara sedemikian, jika benar berlaku seperti yang dilaporkan sebelum ini, membuktikan bahawa rasuah akhirnya mengancam nyawa anggota-anggota tentera," kata beliau.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, belanjawan untuk pertahanan adalah antara yang tertinggi setiap kali belanjawan negara dibentangkan.

"Kita tidak menentang peruntukan yang tinggi itu kerana PAS amat menekankan supaya angkatan tentera kita mempunyai peralatan pertahanan yang terbaik dan canggih.

"Yang kita persoalkan ialah kenapakah kita terus mendengar annggota-anggota tentera menjadi korban kepada alat pertahahanan yang bermutu rendah atau terlalu tua usianya seperti kes helikopter Nuri dahulu yang digelar keranda terbang," kata beliau.

Salahuddin menggesa anggota-anggota tentera membuktikan kepada dunia bahawa mereka bukan kuda tunggangan untuk kepentingan kuasa pihak yang rakus dengan rasuah dan politik wang.

"Selama ini kita dengar Barisan Nasional (BN) begitu yakin akan menang mudah jika terdapat undi pos dari anggota-anggota tentera sehingga (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) mendapat majoriti majoriti 22,922 undi di Pekan dalam pilihan raya 2004, antaranya setelah Kem Tentera Batu 10 Kuantan dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Pekan sedangkan dalam pilihan raya 1999, beliau menang dengan majoriti hanya 241 undi sahaja.

"Mengapa perkara itu berlaku? Saya dukacita dengan kata-kata yang mendakwa bahawa di mana ada undi pos, di situ pemimpin BN selamat.

"Saya tidak mahu anggota tentera kita dituduh bersubahat dengan para pemimpin BN sedangkan ramai dari mereka yang mengadu tidak pernah diberi peluang mengundi sedangkan kertas undi untuk mereka telah diundi oleh entah siapa," katanya.

Sebab itulah, tegas beliau, anggota-anggota tentera mesti mengambil peluang dari pilihan raya Bagan Pinang ini untuk mempertahankan maruah dan nama baik mereka.

Ditanya mengenai kehebohan yang tersebar luas yang mendakwa bahawa taktik "pujuk dan ugut" akan digunakan untuk memastikan tentera mengundi BN, Salahuddin yakin anggota-anggota tentera tidak boleh diperbodohkan sebegitu rupa.

"Saya yakin mereka akan bangkit mempertahankan habis-habisan maruah mereka yang diserang oleh taktik jahat sedemikian rupa dan bersama-sama kebangkitan rakyat yang memerangi rasuah dan politik wang," tegas beliau.

Berdasarkan daftar pemilih setakat 4 September lalu, daripada sejumlah 13,664 orang yang layak mengundi di Bagan Pinang, seramai 4,604 merupakan pengundi pos.

Mereka adalah dari Pusasda Kem Si Rusa, 2 KAD Kem Sunggala, IJED Kem Kg Sawah, IPDA Port Dickson, 1 Kompeni KPD Kem Si Rusa, 1 WKSP Bgd Kem Sg Sawah, Sekolah Pertukangan Perintis dan Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI) Port Dickson.

HarakahDaily.Net/-



Bagan Pinang bukti Umno berpura-pura tentang rasuah, kata Nik Aziz

KOTA BHARU, 4 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap Umno-BN berpura-pura dalam usaha membanteras rasuah dan politik wang, bahkan konsep "1Malaysia; Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan" seolah-olah menghalalkan rasuah dan politik wang.

Ini jelas apabila Umno memilih Tan Sri Isa Samad yang disabitkan rasuah sebagai calon bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang 11 Oktober nanti dan ianya mendapat sokongan kerajaan terutama Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin.

"Itu menunjukkan ia (usaha Umno-BN berjuang hendak menghapuskan rasuah dan politik wang) sekadar buat-buat.

"Kerajaan sekarang yang bercita-cita menghapuskan rasuah itu sebenarnya sekadar buat-buat saja, bukan sebenar, bahkan mereka menunjuk-nunjuk di hadapan rakyat saja, hakikatnya mereka terbabit dengan rasuah," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata, selagi manusia tidak takut kepada neraka maka sehingga itulah mereka akan melakukan maksiat termasuk melakukan rasuah, pembunuhan, terbabit dengan dadah atau melakukan penangkapan dengan menggunakan ISA terhadap mangsanya.

Image "Semuanya itu berpunca daripada orang tidak ingatkan kepada akhirat. Kalau mereka ingatkan kepada akhirat, mereka tidak akan menderhakai Allah.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahli Jawatankuas PAS Pusat Datuk Haji Husam Musa menyokong kenyataan yang dibuat Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pemimpin seperti Tan Sri Isa sepatutnya tidak lagi mendapat tempat sebagai calon mana-mana parti termasuk BN.

"Akan tetapi oleh kerana BN masih menganggap bahawa politik wang dan rasuah adalah sesuatu yang tidak apa-apa, sesuatu yang tidak merupakan kesalahan besar, maka sebab itu mereka memilih Isa.

"Dan ini mengukuhkan lagi anggapan umum bahawa BN memang mendukung konsep politik wang dan politik rasuah," katanya kepada pemberita sele[as menghadiri majlis meraikan keluarga mangsa ragut (yang meninggal) dari Bachok di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

"Saya fikir pengundi-pengundi Bagan Pinang (bagi Pilihan Raya Kecil pada 11 Oktober nanti) adalah pengundi yang terpelajar dan ada kesedaran politik.

"Mereka walau pun menyokong BN tetapi calon BN adalah satu calon yang tidak menggambarkan sebuah harapan untuk memilih pemimpin-pemimpin yang benar-benar bersih, saya yakin pengundi BN di Bagan Pinang akan mengundi calon Pakatan Rakyat.

"Kita serahkan atas kebijaksanaan para pengundi Bagan Pinang untuk memilih satu calon yang bersih.

(Gambar:Husam, Zulkefly dan Isa di Bagan Pinang)

"Dan saya yakin tempoh kempen yang ada (itu) membolehkan rakyat Bagan Pinang menilai (sendiri) calon mana yang patut mereka sokong untuk memimpin mereka," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Pasir Hanifa Ahmad menyifatkan bahawa Umno-BN tidak ada moral.

Beliau mengulas sikap rakyat yang tidak mahu mengekalkan calon (wakil rakyat) yang tidak bersih, namun apa yang berlaku sekarang termasuk di Bagan Pinang, orang perasuah pun dicalon dan dipilih untuk menjadi wakil rakyat.

"Itu tradisi Umno-BN. Umno-BN tidak ada moral.

"Ini kerana calon Umno-BN di Bagan Pinang itu telah pun didapati bersalah oleh Umno (sendiri) dan bukan oleh mahkamah.

"Jawatankuasa Disiplin Umno telah menghukum pihak berkenaan telah menggunakan politik wang, membeli (meraih sokongan), maka dilucutkan jawatan naib presidennya pada ketika itu.

"Dan sekarang ini diletakkan balik (diangkat semula). Ini bermakna, kalau Umno buat apa pun, tak apa. No pragmatism, apa pun tak apa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasir Mas semalam selepas menyaksikan sekumpulan lebih 1,000 orang mengadakan demontarasi aman menggesa Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali supaya meletakkan jawatan kerana menghentam PAS.

"Rakyat sekarang ini dah cerdik. Pengundi-pengundi di Malaysia ini semuanya boleh diaktakan lapan puluh peratus berkelulusan menengah/SPM dan dengan itu dapat berfikir dengan matang.

"Kalau inilah calon (yang didapati bersalah oleh Umno), yang diletak sebagai calon (kemungkinan akan menjadi wakil rakyat ditakdirkan menang), kalau dia boleh menipu Umno, maka saya fikir dia boleh menipu rakyat, mudah saja, itu logiknya.

"Sesungguhnya kita (PAS dan Pakatan Rakyat) mahukan calon yang bersih dan yang boleh memberi keyakinan kepada rakyat umum bahawa calon itu bekerja untuk rakyat dan untuk Malaysia seluruhnya," katanya.


HarakahDaily.Net/-