06 July 2009

Bila hukuman hudud boleh disabitkan?

Ahmad Baei Jaafar

Setelah kita menyenaraikan jenis-jenis kesalahan di bawah hukuman hudud sebelum ini, pada kali ini mari kita halusi satu daripada kesalahan hudud sebagai contoh kes. Fokus kita adalah pada kesalahan zina iaitu bagaimana seseorang itu boleh disabitkan sebagai berzina dan bagaimana dia boleh dihukum dengan hukuman hudud?

Zina diharamkan oleh Islam berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah amalan kotor dan seburuk-buruk perjalanan hidup” (Surah Isra’: 32).

Sebenarnya dalam ayat tersebut Allah melarang seseorang itu menghampiri zina, bukan hanya sekadar melarang perbuatan zina semata-mata. Namun pada hari ini larangan itu tidak diambil perhatian terutama remaja.

Dalam masyarakat kita hari ini lelaki dan perempuan dilihat bebas bergaul. Batasan agama sudah tidak diambil kisah apatah lagi apabila mereka hidup berjauhan daripada ibu bapa. Terdapat beberapa kes yang kita temui di taman perumahan khususnya di apartmen, beberapa lelaki senang-senang membawa teman wanitanya bermalam di rumahnya.

Pernah juga ditemui di rumah atau apartmen yang disewa oleh wanita bujang, turut dikunjungi oleh lelaki pada waktu malam. Malah ada juga yang dibenarkan tidur di mana-mana antara bilik di rumah tersebut. Pada mereka perbuatan itu tidak salah selagi tidak berzina.

Mereka yang terlibat dalam kes ini lazimnya tidak dapat dikesan jiran setaman kerana kehadiran mereka ke rumah itu bagaikan suami isteri. Kecuali jiran yang peka dengan keadaan sebenar jirannya, ada kemungkinan akan membuat laporan kepada pihak berwajib. Namun sebahagian besarnya tidak berani untuk melakukan sesuatu kerana takut dikatakan “menjaga tepi kain orang.”

Penulis pernah bertemu dengan beberapa orang yang dikesan dalam kes seumpama ini. Apabila disoal tentang hukum agama, ternyata mereka berada dalam keadaan terkeliru. “Kami tidak buat apa-apa, salah ke macamni?” jawab salah seorang daripada mereka. Ada juga yang berkata, “Ayah saya tahu kedudukan kami, dia pun tidak pernah marah.”

Sebenarnya keberadaan mereka di dalam rumah sebegitu boleh dikategorikan sebagai berkhalwat dan ia satu kesalahan dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri ini.
Dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995, antara lain menyebut bahawa mana-mana lelaki dan perempuan yang bukan suami isteri berada dalam keadaan yang mencurigakan dalam sesuatu tempat adalah melakukan kesalahan khalwat.

Dalam Enakmen Jenayah Syariah Kedah memperuntukkan pada 9(1) “Mana-mana orang lelaki yang didapati bersekediaman atau bersekedudukan atau berkurung atau bersembunyi yang mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat di mana-mana tempat dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya selain daripada isterinya adalah bersalah atas kesalahan khalwat dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.”

Khalwat kerana Jahil
Apabila ditangkap baru dia tersedar bahawa khalwat adalah satu kesalahan. Kejahilan umat Islam terutama remaja dalam hal ini amat dikesali. Barangkali inilah antara sebabnya mengapa masih berlaku gejala sosial dalam masyarakat Islam kini.

Bayangkan kalau berkhalwat sudah dikira satu kesalahan, apatah lagi kalau mereka berzina. Jadi, mereka yang peka atau sensitif dengan hukum Allah ini pasti tidak akan berkhalwat kerana dalam keadaan itu peluang ke arah zina sudah terbuka luas.

Menurut pengamal undang-undang Syariah, kes yang banyak diputuskan dalam mahkamah syariah adalah melibatkan kesalahan khalwat berbanding kesalahan zina. Hal ini kerana kesalahan zina sukar dibuktikan kecuali dengan pengakuan pihak terbabit.

Siapakah di dunia ini pada zaman ini yang sanggup mengaku salah apabila dia benar-benar bersalah? Kalau boleh, mereka akan menutupnya kerana malu atau takut dihukum. Kalau adapun yang mahu mengaku salah, hanya apabila telah didesak dengan pelbagai cara. Sesetengahnya terpaksa mengaku salah apabila kesnya berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwa.

Kalau begitulah keadaannya bagaimana hukum hudud boleh dilaksanakan di negara ini? Sedangkan kebanyakan hukum hudud yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah adalah dengan pengakuan sendiri sama ada pihak lelaki mahupun perempuan.

Sabit Kesalahan Zina
Saya ingin mengajak anda menghayati kisah berikut; pada satu hari Dolah membawa Joyah ke hotel di ibu kota dan bermalam di situ. Pada malam itu Dolah berjaya memujuk Joyah untuk melakukan hubungan seks. Tanpa rasa bimbang dan takut diserbu pihak berkuasa, berlakulah drama seks antara mereka sampai pagi. Tiga bulan kemudian Joyah didapati mengandung. Dan sembilan bulan kemudian, Joyah dengan rasa bangga bersalin anaknya dengan selamat. Tetapi pada tahap ini, Joyah menangis sedih kerana anaknya terpaksa didaftarkan sebagai anak tanpa bapa. Hal ini kerana Joyah gagal menunjukkan sijil nikah mereka.

Ya, cuba anda bayangkan jika hukum hudud telah dilaksanakan sekarang di negara ini, bagaimana mereka berdua boleh disabitkan sebagai berzina? Bolehkah mereka berdua dihukum setelah disedari oleh pegawai pendaftar kelahiran?

Sebenarnya dalam Islam, untuk mensabitkan kesalahan zina adalah dengan salah satu daripada tiga sebab iaitu:

1. Pengakuan sendiri oleh lelaki atau perempuan
2. Wanita mengandung sedangkan dia belum berkahwin
3. Empat orang saksi terhadap kejadian zina tersebut.

Pengakuan sendiri
Terdapat banyak peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah bagi menyokong sebab pertama. Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah di masjid, dia mengaku dengan katanya, “Wahai Rasulullah aku berzina,” maka Baginda berpaling muka daripadanya. Maka dia beralih tempat bagi menghadap muka Baginda lalu mengulangi kata, “aku berzina,” Baginda sekali lagi berpaling daripadanya. Dia mengulangi perbuatan yang sama sehingga cukup empat kali.
Setelah pengakuan yang keempat Baginda terus bertanya, “apakah kamu gila?” Tidak jawabnya. “Adakah kamu sudah berkahwin?” Ya sudah katanya. Sabda Rasulullah s.a.w kepada sahabat yang hadir: “Bawalah dia dan rejamlah,” (Muttafa’ alaih).

Berdasarkan hadis ini, walaupun pengakuan dilakukan oleh orang yang terlibat, masih diperlukan pengakuan sebanyak empat kali. Ini bagi memastikan dia serius dan melakukannya bukan kerana tertekan.

Dalam hadis lain daripada Amran bin Husain dia berkata, seorang wanita, Jahniah dalam keadaan mengandung hasil perzinaan datang menemui Rasulullah lalu mengaku dengan katanya, “wahai Rasulullah aku telah terlanjur, hukumlah aku. Maka Baginda memanggil walinya dan berkata, “jaga elok-elok anakmu.” Setelah bersalin, dilakukan seperti yang diminta. Maka nabi pun meminta wanita itu memakai pakaian menutup tubuhnya, kemudian diperintahkan supaya dia direjam sehingga mati. Rasulullah melakukan solat jenazah ke atas jenazahnya.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi).

Wanita Bujang Mengandung
Bagi wanita yang mengandung sedangkan dia belum berkahwin, pensabitannya tidak perlu kepada empat kali pengakuan. Dan untuk itu juga, pihak berkuasa tidak perlu mengharapkan mereka datang membuat aduan sendiri. Sebaliknya mereka boleh ditangkap dan didakwa sebagai berzina. Cuma dalam keadaan itu terdapat dua keadaan yang diputuskan ulama:
Jika wanita itu mendakwa dia dipaksa atau dia tidak tahu tentang zina, tidak boleh disabitkan dengan hukuman hudud untuknya. Demikian pendapat Imam Syafii, Abu Hanifah dan Ahmad al-Hanbali.

Wanita itu tetap dihukum hudud kecuali jika dia dapat mendatangkan bukti bahawa dia dirogol. Demikian pendapat Imam Malik.

Empat Saksi
Sabit kesalahan zina apabila terdapat empat orang saksi terhadap kejadian zina itu. Saksi adalah menjadi penentu jika tidak terdapat sebab pertama dan kedua. Firmah Allah, “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara wanita kamu, maka buktikan dengan empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.” (Surah al-Nisa’: 15).

Hadis daripada Abi Hurairah menyebut bahawa Saad bin Ubadah bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu jika aku dapati lelaki lain bersama isteriku, lalu aku bertenang sehingga dibawakan kepadaku empat orang saksi? Baginda bersabda, ya betul,” (Riwayat Syafii, Ahmad, dan Malik).

Berdasarkan hadis itu, sebagai suami mereka harus bertenang, jangan membuat tuduhan melulu apabila melihat sesuatu yang meragukan terhadapa isteri. Kalau suami sendiri begitu kedudukannya, bagaimana orang lain, tentulah tidak wajar bertindak melulu. Begitu juga jika dakwaan itu datang daripada saksi yang tidak cukup syarat, dakwaan itu seharusnya ditolak sahaja.

Dalam hal ini jika dakwaan tanpa empat orang saksi, maka dakwaan itu dianggap palsu dan pendakwanya dianggap sebagai pembohong. Jadi, dakwaan itu bukan sahaja tidak boleh disabitkan, bahkan pendakwa itu boleh disebat dengan 80 kali sebat.
Pembuktian saksi boleh diterima apabila:

Empat saksi melihat sendiri perbuatan zina berlaku antara lelaki dengan perempuan tersebut.
Mereka membuat pengakuan menyaksikan zakar lelaki berada dalam faraj wanita.
Saksi tersebut akan disoal tentang apa yang difahami tentang zina, bagaimana berlaku zina, tempat berlaku zina, masa berlaku zina, dan perempuan yang dizinai itu.

Jika berlaku percanggahan dalam persaksian itu antara empat saksi tersebut, saksi itu akan ditolak dan kesalahan zina itu tidak boleh disabitkan dan hukum hudud tidak boleh dikenakan. Oleh sebab itu saksi dalam kes ini tidak boleh bertindak merancang dan berpakat bagi memerangkap mangsa.

Realiti Masa Kini
Berdasarkan sebab-sebab yang boleh mensabitkan zina hingga boleh dikenakan hukuman hudud, saya mengajak anda padankannya dengan kisah di atas. Sebab yang manakah boleh disabitkan pasangan itu?

Jelas di sini, empat orang saksi sudah tentu tidak boleh mengesan kesalahan mereka. Meskipun mereka dibantu oleh pegawai hotel untuk menunjukkan biliknya, namun mereka tidak mampu nampak perbuatan zina itu. Jadi pasangan itu boleh bebas sampai ke pagi.

Katalah empat pegawai penguat kuasa berjaya memecah masuk bilik itu, mereka sudah tidak nampak aksi seks itu kerana mereka sudah bangun, malah pasangan tersebut berjaya menyorok di tempat berasingan. Jadi, kesalahan zina itu tidak boleh disabitkan dan hudud tidak boleh dikenakan terhadap mereka walaupun ujian DNA menunjukkan mereka telah berzina.

Dalam kes itu juga, pasangan itu tidak mahu membuat pengakuan berzina, malah sanggup mengguna peguam untuk menyelamatkan mereka daripada tuduhan itu. Jika mereka mengaku kemudian setelah dibicarakan, kesalahan zina itu juga tidak boleh disabitkan dengan hukuman hudud.

Katalah pasangan itu selamat daripada diberkas penguat kuasa, hingga anak yang dikandungi itu berjaya dilahirkan, maka sebab kedua tidak boleh digunakan lagi. Waktu dia mengandung tidak siapa yang berjaya mengesannya kecuali bahagian pendaftaran sewaktu hendak membuat pendaftaran kelahiran anaknya. Bukti kelahiran anak tidak termasuk dalam sebab yang membolehkan mereka disabitkan kesalahan itu walaupun hakikatnya mereka berzina. Kalau begitu, hudud tidak akan boleh dilaksanakan dalam keadaan ini.

Peranan Ulama Mendidik Iman
Sekadar andaian, barangkali itulah sebabnya mengapa para ulama pada ketika itu sehingga ke hari ini tidak begitu secara serius mengetengahkan hukum hudud. Mungkin pada mereka kalau hudud dilaksanakan pada hari ini, akan berleluasalah perzinaan kerana peluang untuk sabit zina seperti mustahil.

Mungkin umat Islam pada zaman Rasulullah yang terdidik iman, mampu mengaku salah apabila terjebak dalam kancah zina. Mereka sanggup mengadu dan meminta dihukum atas keinsafan. Tapi bagaimana dengan umat pada hari ini, iman senipis kulit bawang, tidak mungkin mereka akan mengadu dan minta dihukum.

Pada hari ini, ramai wanita yang mengandung di luar nikah. Maka untuk mengelak daripada hukuman hudud, mereka akan mengaku dirogol. Ya, kerana tidak ada iman, mereka boleh buat apa sahaja.

Selain itu, tanpa iman ramai lagi lelaki dan wanita akan merancang untuk berzina. Hal ini kerana pada mereka, kalau melakukannya di hotel atau di rumah yang tertutup tidak mungkin dijejaki oleh empat orang saksi kerana Islam tidak benarkan mengintai.

Jika benarlah ulama berfikiran begitu, mungkin ramai yang boleh menerimanya sebagai munasabah dan relevan pada zaman awal kemerdekaan, namun setelah beberapa tahun berlalu, apakah ulama itu tidak cuba menaiktarafkan iman umat Islam? Tentulah tidak wajar iman mereka semakin menurun kalau mereka terus berdakwah secara serius dalam tempoh itu.

Realiti yang dapat dilihat pada hari inilah, iman umat Islam semakin luntur, maksiat semakin menjadi-jadi. Adakah ulama, pendakwah, dan ahli cerdik pandai Islam tidak begitu memainkan peranan mereka ke arah itu?

Tentu tidak munasabah setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan, kefahaman umat Islam terhadap agamanya tidak meningkat. Jika semua agensi agama, ulama, mubaligh dakwah, dan NGO memainkan peranan masing-masing bukan sahaja umat Islam bertambah ini, orang bukan Islam pula semakin faham tentang Islam. Kalau begitu kedudukannya, apakah alasan lagi untuk kita takut untuk melaksanakan hukum Islam sepenuhnya.

Sebenarnya hukum hudud berdasarkan perlembagaan sudah boleh dilaksanakan di negara ini tanpa rasa ragu. Tetapi persoalannya sudahkah ulama cuba meyakinkan pemerintah? Sudahkah ulama menjelaskan faedah sebenar pelaksanaan hudud itu? Hakikatnya, ulama sendiri tidak sanggup mempengaruhi pemerintah dan pada masa yang sama mereka tidak serius dalam mendidik iman umat Islam dan rakyat Malaysia.

Dalam hal ini ulama yang mewakili umat Islam seharus menyahut seruan Allah, “Kamu adalah sebaik-baik umat dikeluarkan untuk kebaikan manusia, kerana kamu berperanan menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman),” (Surah Ali Imran: 110).

Maknanya ulama seharusnya merobah fikiran masyarakat termasuk pemimpin, bukan sebaliknya, pemimpin dan masyarakat yang merobah fikiran ulama. Namun itulah realiti yang berlaku pada hari ini, ulama lebih dipengaruhi oleh pemerintah dan masyarakat. Apabila pemimpin mengeluarkan satu idea, ulama akan sambut dan mencari hujah untuk menyokongnya.

Apakah Jalan Keluarnya
Berdasarkan apa yang dibentangkan di atas, hukum hudud seharusnya boleh digubal mengikut kesesuaian iklim negara kita. Walaupun hukum hudud itu pada masa ini bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tidak perlu digusarkan kerana pada jangka panjang, perlembagaan itu boleh dipinda kemudiannya.

Pada masa yang sama, ulama termasuk NGO perlu bergerak mendidik iman dan takwa. Umat Islam perlu disedarkan tentang iman, Islam, dan ihsan. Rakyat Malaysia seluruhnya perlu diberi penjelasan sebenar tentang kebaikan Islam dan hukumnya.

Kemudian sementara menunggu perlaksanaan sepenuhnya, sebab kedua bagi mensabitkan hukuman hudud boleh diguna sebagai percubaan. Hal ini kerana terlalu berleluasa mereka yang mengandung di luar nikah pada hari ini. Mereka itu seharusnya didakwa dan dihukum dengan yang setimpal bagi menyedarkan orang lain bukan sekadar melindungi di rumah pemulihan akhlak sahaja.

Benar mengikut pendapat di atas, wanita yang rogol tidak boleh sabitkan sebagai zina dan tidak boleh dikenakan hukum hudud. Kes ini samalah juga dengan kes yang empat orang saksi lelaki yang tidak cukup syarat untuk mensabitkannya.

Dalam hal ini perlu dijelaskan bahawa apabila mereka disyaki oleh pemilik hotel terdapat pelanggannya dan kemudiannya berjaya dikesan oleh empat pegawai penguat kuasa agama, hudud tidak boleh disabitkan kerana mereka tidak dapat melihat secara jelas perbuatan zina itu. Walaupun ujian DNA menunjukkan mereka telah berzina, hudud tetap tidak boleh dikenakan kepada mereka.

Sungguhpun begitu, kita kena ingat apabila syarat untuk mensabitkan kesalahan itu tidak dapat dipenuhi, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan, tetapi ada gantinya. Kesalahan mereka wajib dihukum dengan takzir. Hukuman takzir adalah menjadi hak hakim sama hendak mendendanya dengan wang, atau penjara, atau rotan yang jumlahnya tidak menyamai kadar hudud.

Perlu ditegaskan di sini, undang-undang jenayah syariah yang sekian lama dijalankan di negara kita kini adalah berdasarkan takzir. Hukum ini tidak bercanggah dengan Islam kerana syarat untuk sabit hudud tidak dapat dipenuhi. Jadi, hukum takzir hakikatnya adalah undang-undang Islam juga.

Oleh sebab itu, adalah keterlaluan kalau ada dalam kalangan umat Islam yang menentang perlaksanaan undang-undang syariah di sini dengan pelbagai tuduhan liar. Tuduhan bahawa undang-undang itu sebagai tidak Islamik adalah salah kerana takzir juga sebahagian daripada hukum Islam.

India Penang lebih bertuah dari Melayu N.Sembilan

Rozmal bin Malakan

Untung betul jadi orang India di Malaysia ni. Malang sungguh jadi orang Melayu di Malaysia ini. Lebih malang lagi Melayu di Negeri Sembilan, lagi lagi malang Melayu di Rembau.

Melayu di Rembau juga akan kehilangan tanah tempat tinggal mereka. Bukan tanah haram, bukan tanah kerajaan , tapi tanah adat yang diwarisi sejak berates-ratus tahun.

Namun nasib Melayu Rembau tidak mendapat liputan media seperti nasib India di Kg Buah Pala , Pulau Pinang.

Lebih malang lagi Surau yang akan dirobohkan di Rembau kerana memberi laluan kepada pembangunan juga tidak diberi perhatian media. Bukan media asing , bukan CNN , bukan Al Jazeera , tapi Utusan, Berita, TV3, TV1 dan sewaktu dengannya seolah-olah meminggirkan nasib Melayu N.Sembilan.

Kita ni di Malaysia ke , di India atau di Israel ?

Ikuti nasib malang Melayu Rembau yang akan diambil tanah mereka di pautan berikut :
http://waghih. blogspot. com/2009/ 06/kisah- sedih-wanita- muallaf-di- rembau.html
http://zulkeflyomar .blogspot. com/2009/ 06/pengambilan- tanah-orang- rembau.html
http://amkns. blogspot. com/2009/ 05/umno-rembau- tak-leh-harap- jaga-hak. html
http://rembau- hari-ini. blogspot. com/2009/ 06/pemilik- tanah-adat- enggan-pindah. html
http://chegubard. blogspot. com/2009/ 07/antara- buah-pala- dan-tanah- adat-rembau_ 02.html
http://chegubard. blogspot. com/2009/ 07/selamatkan- tanah-adat- langsung- tidak.html

KEISTMEWAAN BULAN REJAB

Hari ini kita tinggalkan bab politik, kita bicara bab agama. Sesungguhnya, Islam itu mudah dan Islam tidak pernah menyusahkan umatNya kecuali umat Islam sendiri yang alpa dengan karenah dan jerat di dunia ini.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa sebulan pada bulan Rejab, maka Allah Taala menyeru kepadanya " telah wajib hakmu atasKu, mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggian dan kebesaranKu, tidak akan Aku tolak hajatmu. Engkau adalah jiranKu daripada semua makhlukKu. Engkau kekasihKu daripada semua makhlukKu. Engkau mulia di sisiKu. Berbahagialah kamu, tiada hijab di antara Aku dan engkau".

Sesungguhnya mengerjakan puasa di bulan Rejab ini tidak kira sehari, dua hari atau hingga ke sebulan terlalu banyak keistimewaannya. Berikut saya senaraikan beberapa keistimewaan mengikut hari yang kita puasa:

1) 27 Rejab : diberi pahala seperti puasa enam puluh bulan. Jika disertai dengan ibadat bersedekah,diberi pahala berpuasa seribu tahun.

2) 1 hari Rejab : diberi pahala seperti berpuasa 40 tahun dan diberi minum air syurga serta diberi pahala seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya.

3) 2 hari Rejab : akan digandakan pahala ibadatnya.

4) 3 hari Rejab : akan dibina benteng yang akan menghalang ke neraka pada hari Kiamat.

5) 4 hari Rejab : akan dijauhi bala bencana dan penyakit yang berat serta fitnah dajjal pada hari Kiamat.

6) 5 hari Rejab : akan diamankan daripada azab kubur.

7) 6 hari Rejab : akan dikeluarkan dari kubur pada hari Kiamat dengan muka yang bercahaya.

Begitulah serba sedikit keistimewaan bulan Rejab seandainya kita berpuasa, semoga dengan paparan tersebut membuatkan hati kita lebih dekat kepada Allah Taala. Firman Allah Taala di dalam Al-Quran yang bermaksud: Kamu adalah sebaik2 ummah diturunkan kepada manusia, kamu menyeru melakukan kebaikan, kamu melarang melakukan kejahatan, kamu beriman kepada Allah...

SAYA SEORANG MELAYU BERAGAMA ISLAM
ANAK KOMANDO REJIMEN 1

Senyum makrifat

Oleh Ummu Waheedah

Biasanya bila saya memimpin ibu saya ke mana-mana tempat awam, sering saya dibantu. Sama ada untuk membuka pintu restoran atau bantuan lain yg tidak dipinta. Dan sering juga saya terima senyuman dari mereka yang memandang. Senyum yg sehat bukan senyum mengorat atau senyum menyumpat (sinis), dari baik orang muda, mahu pun yg sudah berusia.Lelaki atau wanita.Tak kira apa bangsa.

Rata2 masih ramai rakyat Malaysia yg hormatkan orang tua. Dari cara memandang dan senyuman kita dapat tahu adanya rasa penghormatan kepada orang tua yg daif, yang sudah bongkok dua. Malah saya biasa dapat harga barang yg lebih murah bila pergi membeli dengan ibu saya. Mungkin orang rasa kesian dengan orang tua atau mungkin kerana berkat menjaga orang tua?

Pernah sekali bayaran makan saya di sebuah restoran Tg Lumpur, Kuantan dibayar oleh seorang wanita yg makan sekeluarga depan meja saya. Tapi saya tak sempat mengucap terima kasih kerana hanya tahu semasa hendak membayar harga makanan, dan diberitahu oleh tuan kedai yang makanan telah dibayar oleh wanita tadi yg telah pulang lebih awal. Mudah2an Allah melimpahkan reqki kepada beliau sekeluarga.

Anjuran buat baik kepada ibubapa.

Firman Allah s.w.t mafhumnya "“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang som bong, takbur dan membanggakan diri.” (an-Nisa': 36)

Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa diberikan keutamaan dalam al-Quran, kerana perintah berkenaan digandingkan dengan perintah tauhid kepada Allah. Firman Allah s.w.t lagi mafhumnya :"Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak me nyembah melainkan kepadanya dan hendaklah engkau ber buat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun per kataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (al-Isra’: 23)

Bagi mereka yang tidak dapat menjaga ibubapa,buatlah sesuatu yang menggembirakan mereka dan janganlah dialunkan ke telinga mereka masalah kita yang bakal merunsingkan mereka. Ibubapa telah berusaha supaya kita tidak digigit nayamuk semasa kecil, jadi janganlah kita biarkan mereka tidur bertemankan nyamuk di kala mereka tua. Tambahan pula dewasa ini ada macam-macam penyakit berpunca dari nyamuk yang dahulunya tiada atau tidak popular.

Senyumlah bila bertemu dan menatap wajah ibubapa kerana senyum si anak adalah senyum makrifat. Ia menggembirakan ibubapa ketika anak itu kecil apa lagi ketika dewasa. Allahu'aklam.

CERAMAH UMUM PRK N41 MANEK URAI

PENCERAMAH :

YB. Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin (AJK PAS Pusat)
YB. Ustaz Nashrudin Daud (Speaker DUN Kelantan)
Ustaz Hamid Derani (Bekas Penceramah UMNO/BN)

Tarikh : 6 Julai 2009 (Isnin)
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Padang Manek Urai Lama, Manek Urai.

Semua dijemput hadir.



Tengku TT tuntut hutang hampir RM1 juta dari Manohara

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohd Fakhry Petra hari ini memfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu untuk memaksa isternya, Manohara pulang kepadanya.

Tengku Mohd Fakhry juga menuntut supaya model Indonesia itu membayar balik hampir RM1juta pinjaman yang diberikannya kepada Manohara ketika perkahwinan mereka.

Permohonan itu difailkan oleh peguamnya, Zainur Rijal Abu Bakar hari ini.

Tengku Mohd Fakhry juga mendapat kebenaran mahkamah untuk menyerahkan permohonan itu di luar bidangkuasanya kerana Manohara kini berada di Indonesia.

Perkara itu akan disebut di mahkamah berkenaan 2 Ogos depan.

Nik Aziz mahu jumpa Najib sebelum berdebat

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhasrat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terlebih dahulu sekiranya cadangan beliau untuk mengadakan debat dengan Perdana Menteri menjadi kenyataan.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pertemuan empat mata itu bertujuan untuk membincangkan garis panduan debat itu.

"Surat rasmi menjemput Perdana Menteri mengadakan perdebatan itu sudahpun dihantar tetapi setakat ini masih belum menerima sebarang jawapan daripada pihak berkenaan, katanya pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini, sekembalinya daripada mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakam) di Kuala Lumpur.

Nik Abdul Aziz mencabar Najib untuk berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap beliau kerana menyamakan Umno dengan komunis dan ajaran sesat.

Beberapa pemimpin Umno tidak bersetuju dengan debat itu dan menyifatkannya sebagai membuang masa kerana ia tidak akan membawa sebarang manfaat.

Ditanya sama ada jemputan beliau mengadakan perdebatan itu sebagai helah politik untuk mengalih pandangan pemerhati daripada isu kerajaan perpaduan yang dimomokkan oleh pemimpin Umno dan Pas, Nik Aziz berkata: "Isu mengajak Umno berbincang atau berdebat dengan Pas bukannya baru, malah sudah lama sejak Pas ditubuhkan pada 1951 lagi."

Cuma, katanya, pelawaannya yang terbaru untuk adakan perdebatan itu setelah Pemuda Umno membuat laporan polis mengenai ucapannya dan menurutnya isu itu tidak akan selesai selagi tidak diadakan perdebatan.

"Cuma saya nak tanya dua perkara saja, kenapa (Umno) tolak Islam dan di manakah tidak kena dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Pas, terutama di Kelantan," katanya. - Bernama

Gambar dan peristiwa

Ceramah PRK Manik Urai di UPU Manik Urai Lama.

Penjelasan Isu Perak sempena Majlis Makan laksa kumpul dana PRK Manik Urai bagi DUN Pulai Condong Kelantan.

Ceramah Umum di UPU Sg. Pasir, Sungai Petani.

Ceramah di Nibong Tebal.


Ceramah sempena Jamuan Makan Malam Pemuda PAS Nibong Tebal Pulau Pinang pada 28 Jun bersama Naib Presiden PAS, Dato' Hj. Mahfuz Omar dan Timbalan Pengerusi Biro Antara Kaum PAS Pulau Pinang, En. Ong Chuan Jin.

Drs. Khalil hadir ceramah penutup Himpunan Pemuda Besut.


BESUT, 4 July :-Penutup Perkhemahan Pemuda Besut (Himp-BEST) 2009 berakhir malam tadi dengan diadakan ceramah umum di Pantai Air Tawar. Penceramah jemputan ialah Ketua Penerangan PAS Negeri Perak yang juga ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani.

Walaupun sebahagian ceramah diwarnai dengan hujan lebat namun hadirin masih berada disekitar tempat ceramah khusus dibawah bangunan sekitar trapak ceramah untuk mencengar ceramah sehingga tamat pada sekitar jam 11.45 malam.

Perkhemahan yang bermula pada petang Jumaat 3 Julai dan berakhir Sabtu 4 Julai itu adalah program besar pertama dianjurkan Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut (DPPKB) selepas mesyuarat agung tahunannya, April lalu.

Menurut Ketua DPPKB, Ustaz Zulkifli Abdul Kadir, perkhemahan itu dimulakan dengan kuliah maghrib oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu yang juga ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah. Beliau juga telah merasmikan himpunan itu.

1.6 juta tempah tiket percuma hadiri peringatan terakhir Jacko

LOS ANGELES: Sejumlah 1.6 juta orang menempah tiket untuk menyaksikan majlis terakhir memperingati raja pop, Michael Jackson di bandar raya ini Selasa ini, selepas ia ditutup semalam.

Bagaimanapun, majoriti mereka akan kecewa kerana hanya 11,000 tiket diedarkan berikutan tempat yang terhad di Arena Staples Center, manakala 6,500 tiket lagi untuk menyaksikannya menerusi siaran langsung di sebuah lagi panggung di bandar raya ini.

Promoter konsert, AEG yang memiliki Staples Center dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya kini sedang meneliti kemungkinan tiket berkenaan dicetak semula menerusi komputer atau wujud penipuan.

AEG bercadang menghantar emel selepas jam 11 pagi (1800 GMT) ini kepada mereka yang bertuah memperoleh tiket berkenaan yang semuanya diberi percuma.

Penganjur berkenaan berkata, pihaknya akan memilih secara rawak 8,750 peminat yang bertuah dengan setiap pemenang memperoleh dua tiket.

Pihak penganjur bagaimanapun meminta orang ramai dan peminat raja pop itu supaya menyaksikan upacara itu menerusi televisyen. - AFP

Husam: Manek Urai gelombang tumbangkan BN

Exco Kelantan, Datuk Husam Musa mahu menjadikan kemenangan di Manek Urai sebagai satu arus yang membawa gelombang untuk menumbangkan BN yang menguasai kerajaan persekutuan.

"Kita mahu hantar mesej bahawa rakyat sudah tidak mahu menerima BN. Dan BN Harus bersiap sedia keluar daripada Putrajaya.

"Dan Manek Urai adalah sebahagian daripada strategi untuk menaikkan gelombang kebangkitan rakyat itu," kata Husam.

Beliau menegaskan demikian dalam satu majlis "Amanat Tok Guru untuk Anak Manek Urai" di sebuah hotel di ibunegara malam tadi.

Majlis tersebut - anjuran Persatuan Anak Kelantan di perantauan (Perakan) dengan kerjasama urusetia penerangan Kerajaan Kelantan - dihadiri kira-kira 400 pengundi Manek Urai dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Terdapat 867 anak Kelantan daripada Manek Urai yang tinggal sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan turut mengingatkan agar rakyat negeri itu supaya pulang mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

'Ujian kepimpinan Nik Aziz'

Katanya, ini kerana mengundi merupakan satu kewajipan untuk meneruskan pemerintahan Islam di negeri yang terkenal dengan jolokan 'Serambi Mekah".

"Sebagaimana difardukan solat, begitulah kewajipan mengukuhkan kerajaan Islam Kelantan agar gagasan Islam tidak pupus dan lupus tidak kira dalam pilihanaraya kecil atau pilihanraya umum," katanya.

Turut hadir di majlis tesebut termasuk Bendahari PAS pusat, Mohd Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai; Pengerusi Perakan, Abdul Fatah Mahmood;

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim; dan calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah.

Husam yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat menyifatkan pilihanraya kecil ini juga sebagai satu ujian Allah untuk menguji kepimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, Umno cuba untuk memperlekehkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah yang tidak dilihat mempunyai sijil kelulusan yang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sebaliknya kata Husam, pengundi di Manek Urai mementingkan calon yang mempunyai tingkah laku yang baik dan melihat perangai calon yang bertanding.

"Mereka mahu calon seperti (Allahyarham) Pak Su Wei (Ismail), iaitu orang yang boleh dilihat (dalam masyarakat), tak kunci pintu rumah dan mudah mesra dengan rakyat. Berkhidmat untuk rakyat tidak perlu sijil tapi komitmen," katanya.

Jelas isu royalti minyak

Menurut Husam lagi, PAS Kelantan akan menjelaskan isu royalti minyak kepada pengundi sebagai satu isu yang akan menjadi strategi kempen di Manek Urai.

Pihaknya akan menaikan poster besar berhubung isu tersebut, sebagai isyarat "harapan rakyat Kelantan terhadap tuntutan royalti" tersebut.

Mengulas mengenai lawatan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang mengunjungi Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS bulan lalu, Husam berkata: "Lee kata parti PAS kuat disebabkan anak-anak muda dan orang yang berpelajaran menyokong perjuangan PAS."

Menurut Husam lagi, dasar keadilan untuk semua kaum, yang menjadi dasar parti, menyebabkan PAS diterima oleh semua kaum.

Dengan keadilan tersebut, tambah Husam, Lee menganggap, Kelantan akan berbuat baik dengan negara berjiran dengan Malaysia dan negara serantau.

"Ini kerana dasar PAS adalah Islam yang diterima umum. Kalau Kelantan boleh diiktiraf oleh negara luar, kita maju setapak lagi," katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa

PAS akan mencapai kemenangan di Manek Urai.

Manakala Nik Aziz pula, ketika berucap di majlis itu, menggesa pengundi Manek Urai agar pulang mengundi pada 14 Julai ini - dengan apa cara sekalipun - untuk memberi kemenangan kepada PAS.

Islam sebagai cara hidup

"Kena balik, tak boleh naik bas, naik motosikal. Tak boleh naik motosikal, jalan kaki," katanya berseloroh sambil disambut gelak ketawa para hadirin.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan menasihatkan Umno supaya menjadikan Islam sebagai cara hidup.

"Bumi yang kita duduk ini, Tuhan buat. Udara yang kita bernyawa (dengannya) yang ada sukatan tertentu, ada oksigen, Tuhan buat... Sayur-sayuran yang kita tanam, kita makan, pun Tuhan buat.

"Semua benda yang manusia berkehendak, Tuhan buat belaka, tiba-tiba kita tolak Islam. Islam bukan datang daripada PAS. Islam datang daripada Allah Taala," katanya.

Sementara itu Pengerusi Perakan, Abdul Fatah Mahmood berkata kemenangan PAS di Kelantan pada 1990 adalah kerana anak Kelantan di perantauan menelefon ibu bapa dan keluarganya di kampung supaya mengundi PAS.

Beliau yang juga exco kerajaan negeri Kelantan berharap agar pengundi Manek Urai di luar mengambil langkah yang sama dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

"MU (Manek Urai) adalah langkah awal untuk memenangi piliharaya umum yang ke-13 dan (seterusnya) Pakatan Rakyat dapat menerajui kerajaan persekutuan," katanya.

Manakala calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi turut memeriahkan perrtemuan dengan berucap selama lima minit untuk memperkenal dirinya.

Beliau juga meminta agar pengundi di luar Kelantan, dapat pulang ke kampung untuk memberi sokongan kepada parti PAS dan seterusnya mengekal kerusi tersebut. Malaysiakini/-

Kemelut PAS-DAP Kedah diselesai di peringkat negeri - Kit Siang

ALOR SETAR: Ketegangan yang timbul antara DAP Kedah dengan kepimpinan kerajaan negeri itu akan cuba diselesaikan di peringkat negeri.

Sehubungan itu, Penasihat parti berkenaan, Lim Kit Siang berkata beliau sendiri akan berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk membincangkan tentang perkara itu secepat mungkin.

"Saya akan berjumpa dengan menteri besar dan merangka (penyelesaian) untuk mengatasi masalah ini supaya kerajaan pakatan dapat diperkukuhkan.

"Kalau tak dapat selesai di peringkat negeri, seluruh Malaysia pun akan bertanya adakah pakatan boleh jadi pilihan yang kredibel," katanya dalam sidang media di sini Sabtu.

Katanya, selepas berbincang dengan DAP Kedah, beliau kini lebih memahami dan mendapati bahawa DAP negeri mempunyai alasan tersendiri untuk keluar dari pakatan pembangkang di negeri itu.

"Isu penutupan tempat penyembelihan babi itu cuma salah satu sebab. Selain itu mereka juga mendakwa pandangan atau pendapat DAP di Kedah tidak diambil kira...apa saja masalah yang dihadapi seeloknya diselesaikan di peringkat negeri," katanya.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan keputusan DAP Kedah untuk keluar dari Pakatan Pembangkang, Lim berkata "Sama ada saya setuju atau tidak, itu perkara lain".

Katanya, apa sahaja masalah yang timbul perlu diselesaikan dengan baik kerana ia bukan hanya melibatkan DAP dan Pas sebaliknya semua parti dalam Pakatan.

Strategy UMNO/BN untuk melemahkan Pakatan Rakyat

PAS LENGGONG LENGGONG PERAK

Menoleh kepada sejarah Kelantan dalam isu perlantikan YDP MPKB dengan kesah mengunci pintu pejabat kepada persidangan DUN bawah pokok di Perak. Kesah SUK Terengganu Cik Mat Jusuh kepada SUK Perak. Kesah ada pegawai persekutuan dalam urusan dengan pegawai kerajaan negeri diselangor hinggalah yang terbaru kini ialah di kedah perobohan pusat sembelihan babi dan perumahan di kampong buah pala.

Peristiwa-peristiwa tersebut merupakan sebahagian kecil dari karenah yang dilakukan oleh umno dalam mengganggu urusan kerajaan negeri yang dikuasai oleh PR. Banyak lagi peristiwa dan tindakan yang mereka lakukan. Kelakuan yang sedemikian rupa kerana kebanyakan pegawai kerajaan yang terbibat itu tidak professional malah mereka juga merupakan ahli umno. Kerana itu mereka akan berusaha menjadi dalang dalam sebarang urusan pekerjaan yang bersifat talam dua muka. Mereka akan menjadi duri dalam daging serta gunting dalam lipatan.

Bn/umno melalui kader-kader mereka dalam kerajaan akam menjalankan strategi halus mereka untuk mengujudkan suasana tak harmoni dalam pentadbiran kerajaan negeri itu. Perobohan pusat sembelihan babi itu sebagai contoh terbaik. Persoalannya bila rumah itu didirikan. Semasa kerajaan PR atau dalam masa BN. Kalau dalam masa kerajaan PR pasti sesuatu yang tak kena disitu. Kenapa pengusaha rumah tersebut mendirikan rumah tersebut di tanah kerajaan? Itu memang salah dan silap pengusaha rumah tersebut. Tapi kalau dibina zaman bn memerintah maknanya PR yang terpaksa menanggung karenah itu. Kerana itu jarum bn akan digunakan atas nama perbandaran mereka merobohkan konon atas arahan kerajaan negari dan MB kedah akan terpaksa menjawb begian-begian sehingga wujud cakap-cakap yang boleh mengeruhkan keadaan. Suasana ini yang amat diingini dan dinanti.

Awas BN tidak tidur untuk mencari jalan menidurkan PR

Berinteraksi secara terus dan telus adalah kunci kesepakatan dalam PR

Rakyat sekarang bijak dan PR perlu bijak menggunakan kebijaksanaan rakyat untuk menolak rancangan jahat umno/bn melalui aksi pegawai kerajaan yang menjadi ahli umno.

Contoh terbaik ahli umno yang menjadi pegawai kerajaan ialah Jamil Khair . Bagaimana boleh lantik dia jadi menteri kalau dia tidak umno? Ramai lagi dan majority rakyat tahu keadaan ini.

CINA, INDIA DAN SIAM, MERIAHKAN KARNIVAL DURIAN DAERAH KUBANG PASU BERSAMA PEMIMPIN PAS

Oleh : Siti Balqis Abd Samad

BANDAR DARULAMAN - Karnival Durian Daerah Kubang Pasu 2009, Bersama Pemimpin PAS yang dianjurkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan serta Lajnah Buruh, Petani dan Nelayan kerjasama Dewan Pemuda Pas Kubang Pasu yang berlangsung semalam berjalan dalam suasana meriah.

Menurut Zulkifli Zainuddin, Ketua Dewan Pemuda Pas Kubang Pasu, juga sebagai Pengarah program sambutan dari masyarakat daerah Kubang Pasu terhadap program yang dianjurkan amat memberangsangkan sejak pagi lagi, walaupun jadual ditetapkan bermula jam 5.00 hingga 6.30 petang”.

“Kami menjangka kehadiran program Karnival Durian ini mencecah sehingga 1,500 orang yang terdiri dari pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan Siam., katanya.

Program Karnival Durian ini adalah julung kali dianjurkan oleh Pas Kubang Pasu yang turut dihadiri oleh tatamu jemputan khas iaitu Datuk Hj Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS seta AJK Pas Kubang Pasu dan tokoh masyarakat setempat.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Kubang Pasu, Hj Taib Abd Rahman berkata, berdasarkan kepada sokongan dan sambutan program yang diadakan pada kali ini di luar jangkaan, pihak Lajnah optimis untuk menganjurkan program yang lebih besar pada tahun 2010 nanti.





“Insya allah, pihak kami akan memperluaskan skop penganjuran program ini pada tahun depan atas nama Festival Durian Daerah Kubang Pasu. Di mana ia bukan semata-mata sebagai pesta makan beramai-ramai, malah ingin membuka peluang kepada kaum tani dalam daerah ini memperdagangkan produk berasaskan durian seperti mana yang dihasratkan oleh YAB Menteri Besar Kedah, katanya.

Taib berkata, pihaknya akan merangka pelan tindakan yang lebih komprehensif bagi memastikan penganjuran Festival Durian tahun depan menepati objektif dan sasaran yang ditetapkan.

Di samping itum pihak penganjur juga merakam penghargaan di atas sokongan semua pihak termasuk JKR Daerah Kubang Pasu, MDKP serta individu yang telah membantu dan menyokong menjayakan program ini.

Bakar al-Quran di masjid

Zailina Mahmud
petikan harian metro

KOTA SARANG SEMUT: Belum sampai 24 jam dibebaskan dari penjara, seorang lelaki yang juga penagih dadah dipercayai membakar 30 naskhah al-Quran yang disimpan dalam sebuah masjid di Kampung Tualang, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, bekas banduan berusia 30-an yang baru dibebaskan dari penjara pada pagi sebelumnya itu memasuki masjid berkenaan sebelum mengambil 30 al-Quran itu yang diletakkan di atas rak dan membakarnya di ruang solat.

Kejadian itu hanya disedari jemaah yang mahu menunaikan solat Subuh beberapa jam selepas itu.

Siak masjid berkenaan, Abdul Hamid Shafie, 70, berkata dia terkejut apabila penduduk kampung memaklumkan mengenai kejadian itu sebaik dia tiba untuk menunaikan solat Subuh.

“Sebaik tiba, saya nampak ramai penduduk berkumpul di pekarangan masjid sementara asap memenuhi ruang solat. Saya sangkakan masjid terbakar, bagaimanapun dimaklumkan ada individu menceroboh masjid dan membakar al-Quran,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, semalam.

Katanya, sepanjang usianya dia tidak pernah mendengar ada pihak sanggup membakar al-Quran dalam masjid.

“Mujur api tidak marak kerana al-Quran itu dibakar di atas simen, jika tidak pasti masjid ini rentung. Perbuatan ini bukan saja mencemarkan rumah Allah, tetapi menunjukkan sikap keji lelaki terbabit,” katanya.

Abdul Hamid berkata, masjid itu tidak berkunci kerana ia bertujuan memudahkan penduduk atau orang luar menunaikan solat pada bila-bila masa.

Menurutnya, lelaki itu yang juga penduduk kampung itu pernah melakukan tindakan hampir sama tiga bulan lalu apabila dia mencampakkan beberapa naskhah al-Quran dalam kolah masjid.

Tindakannya itu menyebabkan penduduk mengutip al-Quran itu sebelum menjemurnya sehingga kering.

“Dia kerap keluar dan masuk penjara. Apabila melihat al-Quran itu terbakar, kami tahu ia perbuatannya kerana dia baru saja dibebaskan dari penjara atas kesalahan mencuri.

“Saya tidak faham mengapa lelaki itu sanggup bertindak demikian. Mungkin dia hilang pertimbangan dan tidak dapat mengawal diri,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan masjid berkenaan kini hanya memiliki senaskhah al-Quran yang tidak sempat dibakar lelaki itu.

Abdul Hamid berharap ada pihak tertentu untuk menyumbangkan al-Quran untuk kemudahan jemaah di masjid itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu, ketika dihubungi, berkata polis sudah menahan lelaki terbabit Selasa lalu dan direman sehingga hari ini.

http://zailina88. blogspot. com

DADAH MENGUGAT KEDAULATAN BANGSA

Fakhrol Ekram Abdul Razak

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan akhirat.

Kedaulatan negara dan bangsa di negara ini terletak dalam tangan orang Islam kerana orang Islam adalah kumpulan majoriti yang menjadi teras kekuatan bangsa dan pemerintahan di negara ini. Persoalan besar timbul ialah sampai bila kita boleh mendakwa bangsa kita sebagai mempunyai hak ketuanan di negara ini?.

Berdasarkan pemerhatian ternyata kekuatan ketuanan umat Islam semakin merosot dan semakin tercorot. Dalam keadaan politik orang Melayu atau orang Islam yang semakin terlucut kekuasaan itu kerana berpecah belah, maka pada masa yang sama juga orang Islam paling ramai terjebak dalam gejala sosial terutamanya nya menagih dadah. Sekali imbas terdapat orang Islam kelihatan hidup tidak boleh dipisahkan dengan menyedut dan menagih dadah.

Menurut statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2008, jumlah penagih dalam negara kita adalah seramai 12,352 orang yang merangkumi penagih lama dan baru. Secara umumnya 75% penagih dadah adalah umat Melayu. Pada setiap hari kira-kira 17 orang penagih baru dikesan. Selain daripada itu pada masa ini terdapat 29 buah Pusat Serenti di seluruh negara yang menampung kira-kira 10,000 orang penagih dadah sebagai tempat rawatan dan pemulihan. Menurut sumber agensi itu lagi, hanya kira-kira antara 20-25% penagih dadah yang menghuni di Pusat Serenti berjaya dipulihkan. Manakala yang lainnya gagal untuk dipulihkan, di mana hidup terumbang ambing, lemah serta terjebak menghidap HIV dan AIDS.

Apa yang membimbangkan, sebahagian besar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah daripada golongan belia. Sedangkan golongan inilah pewaris meneruskan kesinambungan kepimpinan keluarga, masyarakat dan negara. amat bimbang, sebilangan orang Islam yang hidup bergelumang dengan dadah, HIV dan AIDS ini dari segi jangka panjangnya akan melemahkan kedaulatan bangsa dan menghapuskan hak ketuanan Islam di negara ini.

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
(Ar-Rum:41)

Penglibatan besar orang Islam dalam menagih dadah, terjerumus dalam HIV/AIDS dan gejala sosial lain memberi amaran awal bahawa dalam masa jangka panjang ketuanan Islam akan menjadi bangsa yang hina, dan merempat di negara sendiri. Bagi mengelak ancaman kelemahan orang Islam, maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian insaflah dan renunglah peringatan Rasulullah SAW yang sabdanya:

Mafhumnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya ia tiada mampu, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya ( nasihatnya ). Sekiranya ia tiada mampu juga, maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya ( tidak meredhai perbuatan tersebut ). Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman”.
(Hadith Riwayat Muslim)

Sejajar dengan peringatan Rasulullah SAW ini, umat Islam sekalian untuk sama-sama bertindak iaitu:

Pertama: Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid/Surau, Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung, PERSATUAN PEMUDA-PEMUDA, PERSATUAN BELIA,PEKIDA, DAN PELBAGAI NGO DAN KERAJAAN dan pemimpin masyarakat akar umbi di seluruh negara perlu memperhebatkan peranan dan sanggup turun padang membantu, membimbing, mendekati dan memberi keyakinan hidup kepada keluarga yang menghadapi krisis akhlak ini. Sedarlah bahawa perbuatan mencerca dan menghina mereka yang menghadapi ujian Allah SWT adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan menambahkan lagi penderitaan mereka.

Kedua: Ibu bapa sebagai tunjang keluarga mesti bertanggungjawab memastikan agar diri dan ahli keluarga sentiasa melaksanakan perintah Allah SWT dengan sempurna dan istiqamah. Ketahuilah bahawa beristiqamah dalam ibadah mampu menghindarkan anak-anak dari ancaman dadah dan gejala sosial lain.

Ketiga: Semua anggota masyarakat bertanggungjawab untuk sama-sama memburu pengedar-pengedar dadah dan mereka yang bersyubhat. merasa sangat sedih terhadap segelintir mereka yang mengaku beriman, namun menjadi pengikut syaitan menghancurkan kaumnya sendiri.

Menyeru umat Islam di negara ini, marilah kita sama-sama menginsafi tentang kedudukan dan penglibatan umat Islam dalam gejala sosial yang mengaibkan maruah ummah masa kini. Salah satu wabak yang pada masa ini sangat mencemaskan seluruh penduduk dunia ialah mengenai peningkatan penghidap Selsema Babi atau Wabak Selsema H1N1.

Oleh itu, sebagai langkah pencegahan, marilah kita berganding bahu memastikan kebersihan diri dan alam sekitar seperti membasuh tangan dengan air serta sabun secara kerap dan menyeluruh, menutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin, makan makanan halal dan berkhasiat disamping senaman untuk kekuatan sistem pertahanan badan, segera mendapatkan rawatan perubatan jika demam, selesema atau batuk, mendapatkan bantuan keluarga, jiran, dan rakan sekerja untuk tugas-tugas tertentu, dan menunaikan solat Hajat yang berterusan sebagai doa dan ikhtiar menolak bala bencana serta ujian Allah SWT yang menimpa umat Islam dan manusia yang lain.

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan- Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
(At-Tahrim:6)

WALLAHUALAM…

Tarikh penting Islam tahun 2010 / 2011

anuarani

TARIKH-TARIKH PENTING DALAM ISLAM TAHUN 2010 / 1431 - 1432 H BAGI MALAYSIA
HARI PERAYAAN / KEBESARAN ISLAM

12 Rabiulawal 1431 / 26 Feb 2010 Maulidur Rasul
27 Rejab 1431 /10 Julai 2010 Israk dan Mikraj
* 1 Ramadhan 1431 / 11 Ogos 2010 Awal Ramadhan/Berpuasa
17 Ramadhan 1431 / 27 Ogos 2010 Nuzul Al-Quran
* 1 Syawal 1431 / 10 September 2010 Hari Raya Puasa/Idul Fitri
1 Zulhijjah 1431 / 8 November 2010 Awal Zulhijjah
* 10 Zulhijjah 1431 / 17 November 2010 Hari Raya Korban/Idul Adha
1 Muharam 1432 / 7 Disember 2010 Awal Muharam/Maal Hijrah
* Tertakluk kepada perubahan

Sumber :
Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

TARIKH-TARIKH PENTING DALAM ISLAM TAHUN 2011 / 1432 - 1433 H BAGI MALAYSIA
HARI PERAYAAN / KEBESARAN ISLAM

12 Rabiulawal 1432 / 15 Feb 2011 Maulidur Rasul
27 Rejab 1432 / 29 Jun 2011 Israk dan Mikraj
*1 Ramadhan 1432 / 1 Ogos 2011 Awal Ramadhan/Berpuasa
17 Ramadhan 1432 / 17 Ogos 2011 Nuzul Al-Quran
*1 Syawal 1432 / 30 Ogos 2011 Hari Raya Puasa/Idul Fitri
*1 Zulhijjah 1432 / 28 Oktober 2011 Awal Zulhijjah
*10 Zulhijjah 1432 / 6 November 2011 Hari Raya Korban/Idul Adha
1 Muharam 1433 / 27 November 2011 Awal Muharam/Maal Hijrah

* * Tertakluk kepada perubahan

Sumber :
Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

HIMPUNAN PEMUDA PAKATAN RAKYAT

PENCERAMAH :

YB Dato' Husam Musa ( Exco Kerajaan Kelantan )
Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi (Ketua Pemuda PAS Pusat)
Sdr. Shamsul Iskandar Mohd. Akim (Ketua Angkatan Muda PKR)
YB. Ustaz Latif Abdul Rahman (Ketua Pemuda PAS Kelantan)
Sdr. Suhaizan Kayat

Tarikh : 5 Julai 2009 (Ahad)
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Sungai Sok, Manek Urai.

Semua dijemput hadir.