04 July 2009

PAS Melaka: Pemuda Umno 'ganas'

Pemuda Umno Bukit Katil, Melaka didakwa bertindak liar dengan memecah peralatan milik PAS dan DAP dan menimbulkan kekecohan sehingga tercedera seorang ADUN Pakatan Rakyat, malam tadi.

Sewaktu kejadian, dua parti Pakatan Rakyat itu sedang berkempen menggalakkan orang ramai mendaftar sebagai pemilih baru di sebuah pasar malam.

Naib Ketua Pemuda Umno bahagian Jailani Khamis "dengan bongkak dan sombong memaki hamun pemimpin DAP dan PAS" yang membuka kaunter pendaftaran di Taman Melaka Baru, kata ketua penerangan PAS Melaka hari ini.

"Antara kata-kata yang keluar dari mulutnya (Jailani) adalah seperti bangsat, YB bodoh, YB tidak tahu undang-undang dan sebagainya," kata Sofi Wahab.

"Bukan itu sahaja beliau turut menghina pekerja Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dengan gelaran seperti lembap, kerja terhegeh-hegeh dan lain-lain.

"Polis juga tidak ketinggalan dicaci oleh beliau."

Menulis di blognya dengan tajuk 'Pemuda Umno ganas serang pemimpin DAP dan PAS', Sofi berkata kumpulan Pemuda Umno bahagian itu kira-kira 40 orang bertindak kasar, termasuk memecah meja dan pemidang kecil.

"Ternyata mereka (Pemuda Umno) cuba menunjukkan kuasa mereka dengan mengambil tindakan sendiri membelakangkan undang-undang.

"Sedangkan terbukti wakil Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan polis yang bertugas di situ tidak mengambil apa-apa tindakan kerana tindakan DAP dan PAS menjalankan kempen daftar pemilih tidak menyalahi undang-undang," katanya.

"Pemuda Umnolah yang membelakangkan undang-undang sehingga sanggup membuat keputusan sendiri menyerang kami."

Dihubungi petang Malaysiakini ini, Jailani bagaimanapun menafikan memaki Pemuda PAS dan polis. Beliau mengakui mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Pemuda DAP.

Sofi, yang berada di tempat kejadian kira-kira jam 8.30 malam, berkata selepas itu berlaku pergelutan kerana Pemuda Umno "bertindak liar cuba menyerang ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong menyokong Pakatan Rakyat."

"Akibatnya Khoo telah luka di kedua-dua belah lututnya," katanya.

Tambahnya, pergelutan itu bagaimanapun dapat dileraikan dalam masa yang pantas apabila beberapa pegawai polis berpakaian biasa bertindak mengheret seorang ahli Pemuda Umno dan memberi amaran supaya tidak ada pergaduhan berlaku.

Turut sama berada di tempat kejadian: ADUN Kesidang yang juga ketua pembangkang DUN Melaka, Goh Leong San; ADUN Bachang, YB Lim Jak Wong; serta dua exco Pemuda PAS Melaka, Abu Iskandar dan Kerol Salleh.

Pemimpin PAS dan DAP kemudian membuat lapan aduan polis di balai Banda Kaba terhadap Pemuda Umno tersebut.

Sumber Malaysiakini dengan sedikit edit/-

Sidang Media jam 9.30 pagi ini

Saya telah memanggil semua ADUN Pakatan Rakyat untuk hadir dalam satu sidang akhbar berkaitan dengan penolakan semua ADUN Pakatan Rakyat kepada semua jawatankuasa dewan negeri yang dilantik secara tidak sah dalam kekecohan dewan negeri pada 7 Mei yang lepas.

Sidang yang tersebut akan diadakan bertempat di Wisma DAP Ipoh pada jam 9.30 pagi ini, semua rakan media dijemput hadir.

Bila hukuman hudud boleh disabitkan?

Ahmad Baei Jaafar

Setelah kita menyenaraikan jenis-jenis kesalahan di bawah hukuman hudud sebelum ini, pada kali ini mari kita halusi satu daripada kesalahan hudud sebagai contoh kes. Fokus kita adalah pada kesalahan zina iaitu bagaimana seseorang itu boleh disabitkan sebagai berzina dan bagaimana dia boleh dihukum dengan hukuman hudud?

Zina diharamkan oleh Islam berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah amalan kotor dan seburuk-buruk perjalanan hidup” (Surah Isra’: 32).

Sebenarnya dalam ayat tersebut Allah melarang seseorang itu menghampiri zina, bukan hanya sekadar melarang perbuatan zina semata-mata. Namun pada hari ini larangan itu tidak diambil perhatian terutama remaja.

Dalam masyarakat kita hari ini lelaki dan perempuan dilihat bebas bergaul. Batasan agama sudah tidak diambil kisah apatah lagi apabila mereka hidup berjauhan daripada ibu bapa. Terdapat beberapa kes yang kita temui di taman perumahan khususnya di apartmen, beberapa lelaki senang-senang membawa teman wanitanya bermalam di rumahnya.

Pernah juga ditemui di rumah atau apartmen yang disewa oleh wanita bujang, turut dikunjungi oleh lelaki pada waktu malam. Malah ada juga yang dibenarkan tidur di mana-mana antara bilik di rumah tersebut. Pada mereka perbuatan itu tidak salah selagi tidak berzina.

Mereka yang terlibat dalam kes ini lazimnya tidak dapat dikesan jiran setaman kerana kehadiran mereka ke rumah itu bagaikan suami isteri. Kecuali jiran yang peka dengan keadaan sebenar jirannya, ada kemungkinan akan membuat laporan kepada pihak berwajib. Namun sebahagian besarnya tidak berani untuk melakukan sesuatu kerana takut dikatakan “menjaga tepi kain orang.”

Penulis pernah bertemu dengan beberapa orang yang dikesan dalam kes seumpama ini. Apabila disoal tentang hukum agama, ternyata mereka berada dalam keadaan terkeliru. “Kami tidak buat apa-apa, salah ke macamni?” jawab salah seorang daripada mereka. Ada juga yang berkata, “Ayah saya tahu kedudukan kami, dia pun tidak pernah marah.”

Sebenarnya keberadaan mereka di dalam rumah sebegitu boleh dikategorikan sebagai berkhalwat dan ia satu kesalahan dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri ini.
Dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995, antara lain menyebut bahawa mana-mana lelaki dan perempuan yang bukan suami isteri berada dalam keadaan yang mencurigakan dalam sesuatu tempat adalah melakukan kesalahan khalwat.

Dalam Enakmen Jenayah Syariah Kedah memperuntukkan pada 9(1) “Mana-mana orang lelaki yang didapati bersekediaman atau bersekedudukan atau berkurung atau bersembunyi yang mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat di mana-mana tempat dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya selain daripada isterinya adalah bersalah atas kesalahan khalwat dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.”

Khalwat kerana Jahil
Apabila ditangkap baru dia tersedar bahawa khalwat adalah satu kesalahan. Kejahilan umat Islam terutama remaja dalam hal ini amat dikesali. Barangkali inilah antara sebabnya mengapa masih berlaku gejala sosial dalam masyarakat Islam kini.

Bayangkan kalau berkhalwat sudah dikira satu kesalahan, apatah lagi kalau mereka berzina. Jadi, mereka yang peka atau sensitif dengan hukum Allah ini pasti tidak akan berkhalwat kerana dalam keadaan itu peluang ke arah zina sudah terbuka luas.

Menurut pengamal undang-undang Syariah, kes yang banyak diputuskan dalam mahkamah syariah adalah melibatkan kesalahan khalwat berbanding kesalahan zina. Hal ini kerana kesalahan zina sukar dibuktikan kecuali dengan pengakuan pihak terbabit.

Siapakah di dunia ini pada zaman ini yang sanggup mengaku salah apabila dia benar-benar bersalah? Kalau boleh, mereka akan menutupnya kerana malu atau takut dihukum. Kalau adapun yang mahu mengaku salah, hanya apabila telah didesak dengan pelbagai cara. Sesetengahnya terpaksa mengaku salah apabila kesnya berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwa.

Kalau begitulah keadaannya bagaimana hukum hudud boleh dilaksanakan di negara ini? Sedangkan kebanyakan hukum hudud yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah adalah dengan pengakuan sendiri sama ada pihak lelaki mahupun perempuan.

Sabit Kesalahan Zina
Saya ingin mengajak anda menghayati kisah berikut; pada satu hari Dolah membawa Joyah ke hotel di ibu kota dan bermalam di situ. Pada malam itu Dolah berjaya memujuk Joyah untuk melakukan hubungan seks. Tanpa rasa bimbang dan takut diserbu pihak berkuasa, berlakulah drama seks antara mereka sampai pagi. Tiga bulan kemudian Joyah didapati mengandung. Dan sembilan bulan kemudian, Joyah dengan rasa bangga bersalin anaknya dengan selamat. Tetapi pada tahap ini, Joyah menangis sedih kerana anaknya terpaksa didaftarkan sebagai anak tanpa bapa. Hal ini kerana Joyah gagal menunjukkan sijil nikah mereka.

Ya, cuba anda bayangkan jika hukum hudud telah dilaksanakan sekarang di negara ini, bagaimana mereka berdua boleh disabitkan sebagai berzina? Bolehkah mereka berdua dihukum setelah disedari oleh pegawai pendaftar kelahiran?

Sebenarnya dalam Islam, untuk mensabitkan kesalahan zina adalah dengan salah satu daripada tiga sebab iaitu:

1. Pengakuan sendiri oleh lelaki atau perempuan
2. Wanita mengandung sedangkan dia belum berkahwin
3. Empat orang saksi terhadap kejadian zina tersebut.

Pengakuan sendiri
Terdapat banyak peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah bagi menyokong sebab pertama. Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah di masjid, dia mengaku dengan katanya, “Wahai Rasulullah aku berzina,” maka Baginda berpaling muka daripadanya. Maka dia beralih tempat bagi menghadap muka Baginda lalu mengulangi kata, “aku berzina,” Baginda sekali lagi berpaling daripadanya. Dia mengulangi perbuatan yang sama sehingga cukup empat kali.
Setelah pengakuan yang keempat Baginda terus bertanya, “apakah kamu gila?” Tidak jawabnya. “Adakah kamu sudah berkahwin?” Ya sudah katanya. Sabda Rasulullah s.a.w kepada sahabat yang hadir: “Bawalah dia dan rejamlah,” (Muttafa’ alaih).

Berdasarkan hadis ini, walaupun pengakuan dilakukan oleh orang yang terlibat, masih diperlukan pengakuan sebanyak empat kali. Ini bagi memastikan dia serius dan melakukannya bukan kerana tertekan.

Dalam hadis lain daripada Amran bin Husain dia berkata, seorang wanita, Jahniah dalam keadaan mengandung hasil perzinaan datang menemui Rasulullah lalu mengaku dengan katanya, “wahai Rasulullah aku telah terlanjur, hukumlah aku. Maka Baginda memanggil walinya dan berkata, “jaga elok-elok anakmu.” Setelah bersalin, dilakukan seperti yang diminta. Maka nabi pun meminta wanita itu memakai pakaian menutup tubuhnya, kemudian diperintahkan supaya dia direjam sehingga mati. Rasulullah melakukan solat jenazah ke atas jenazahnya.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi).

Wanita Bujang Mengandung
Bagi wanita yang mengandung sedangkan dia belum berkahwin, pensabitannya tidak perlu kepada empat kali pengakuan. Dan untuk itu juga, pihak berkuasa tidak perlu mengharapkan mereka datang membuat aduan sendiri. Sebaliknya mereka boleh ditangkap dan didakwa sebagai berzina. Cuma dalam keadaan itu terdapat dua keadaan yang diputuskan ulama:
Jika wanita itu mendakwa dia dipaksa atau dia tidak tahu tentang zina, tidak boleh disabitkan dengan hukuman hudud untuknya. Demikian pendapat Imam Syafii, Abu Hanifah dan Ahmad al-Hanbali.

Wanita itu tetap dihukum hudud kecuali jika dia dapat mendatangkan bukti bahawa dia dirogol. Demikian pendapat Imam Malik.

Empat Saksi
Sabit kesalahan zina apabila terdapat empat orang saksi terhadap kejadian zina itu. Saksi adalah menjadi penentu jika tidak terdapat sebab pertama dan kedua. Firmah Allah, “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara wanita kamu, maka buktikan dengan empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.” (Surah al-Nisa’: 15).

Hadis daripada Abi Hurairah menyebut bahawa Saad bin Ubadah bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu jika aku dapati lelaki lain bersama isteriku, lalu aku bertenang sehingga dibawakan kepadaku empat orang saksi? Baginda bersabda, ya betul,” (Riwayat Syafii, Ahmad, dan Malik).

Berdasarkan hadis itu, sebagai suami mereka harus bertenang, jangan membuat tuduhan melulu apabila melihat sesuatu yang meragukan terhadapa isteri. Kalau suami sendiri begitu kedudukannya, bagaimana orang lain, tentulah tidak wajar bertindak melulu. Begitu juga jika dakwaan itu datang daripada saksi yang tidak cukup syarat, dakwaan itu seharusnya ditolak sahaja.

Dalam hal ini jika dakwaan tanpa empat orang saksi, maka dakwaan itu dianggap palsu dan pendakwanya dianggap sebagai pembohong. Jadi, dakwaan itu bukan sahaja tidak boleh disabitkan, bahkan pendakwa itu boleh disebat dengan 80 kali sebat.
Pembuktian saksi boleh diterima apabila:

Empat saksi melihat sendiri perbuatan zina berlaku antara lelaki dengan perempuan tersebut.
Mereka membuat pengakuan menyaksikan zakar lelaki berada dalam faraj wanita.
Saksi tersebut akan disoal tentang apa yang difahami tentang zina, bagaimana berlaku zina, tempat berlaku zina, masa berlaku zina, dan perempuan yang dizinai itu.

Jika berlaku percanggahan dalam persaksian itu antara empat saksi tersebut, saksi itu akan ditolak dan kesalahan zina itu tidak boleh disabitkan dan hukum hudud tidak boleh dikenakan. Oleh sebab itu saksi dalam kes ini tidak boleh bertindak merancang dan berpakat bagi memerangkap mangsa.

Realiti Masa Kini
Berdasarkan sebab-sebab yang boleh mensabitkan zina hingga boleh dikenakan hukuman hudud, saya mengajak anda padankannya dengan kisah di atas. Sebab yang manakah boleh disabitkan pasangan itu?

Jelas di sini, empat orang saksi sudah tentu tidak boleh mengesan kesalahan mereka. Meskipun mereka dibantu oleh pegawai hotel untuk menunjukkan biliknya, namun mereka tidak mampu nampak perbuatan zina itu. Jadi pasangan itu boleh bebas sampai ke pagi.

Katalah empat pegawai penguat kuasa berjaya memecah masuk bilik itu, mereka sudah tidak nampak aksi seks itu kerana mereka sudah bangun, malah pasangan tersebut berjaya menyorok di tempat berasingan. Jadi, kesalahan zina itu tidak boleh disabitkan dan hudud tidak boleh dikenakan terhadap mereka walaupun ujian DNA menunjukkan mereka telah berzina.

Dalam kes itu juga, pasangan itu tidak mahu membuat pengakuan berzina, malah sanggup mengguna peguam untuk menyelamatkan mereka daripada tuduhan itu. Jika mereka mengaku kemudian setelah dibicarakan, kesalahan zina itu juga tidak boleh disabitkan dengan hukuman hudud.

Katalah pasangan itu selamat daripada diberkas penguat kuasa, hingga anak yang dikandungi itu berjaya dilahirkan, maka sebab kedua tidak boleh digunakan lagi. Waktu dia mengandung tidak siapa yang berjaya mengesannya kecuali bahagian pendaftaran sewaktu hendak membuat pendaftaran kelahiran anaknya. Bukti kelahiran anak tidak termasuk dalam sebab yang membolehkan mereka disabitkan kesalahan itu walaupun hakikatnya mereka berzina. Kalau begitu, hudud tidak akan boleh dilaksanakan dalam keadaan ini.

Peranan Ulama Mendidik Iman
Sekadar andaian, barangkali itulah sebabnya mengapa para ulama pada ketika itu sehingga ke hari ini tidak begitu secara serius mengetengahkan hukum hudud. Mungkin pada mereka kalau hudud dilaksanakan pada hari ini, akan berleluasalah perzinaan kerana peluang untuk sabit zina seperti mustahil.

Mungkin umat Islam pada zaman Rasulullah yang terdidik iman, mampu mengaku salah apabila terjebak dalam kancah zina. Mereka sanggup mengadu dan meminta dihukum atas keinsafan. Tapi bagaimana dengan umat pada hari ini, iman senipis kulit bawang, tidak mungkin mereka akan mengadu dan minta dihukum.

Pada hari ini, ramai wanita yang mengandung di luar nikah. Maka untuk mengelak daripada hukuman hudud, mereka akan mengaku dirogol. Ya, kerana tidak ada iman, mereka boleh buat apa sahaja.

Selain itu, tanpa iman ramai lagi lelaki dan wanita akan merancang untuk berzina. Hal ini kerana pada mereka, kalau melakukannya di hotel atau di rumah yang tertutup tidak mungkin dijejaki oleh empat orang saksi kerana Islam tidak benarkan mengintai.

Jika benarlah ulama berfikiran begitu, mungkin ramai yang boleh menerimanya sebagai munasabah dan relevan pada zaman awal kemerdekaan, namun setelah beberapa tahun berlalu, apakah ulama itu tidak cuba menaiktarafkan iman umat Islam? Tentulah tidak wajar iman mereka semakin menurun kalau mereka terus berdakwah secara serius dalam tempoh itu.

Realiti yang dapat dilihat pada hari inilah, iman umat Islam semakin luntur, maksiat semakin menjadi-jadi. Adakah ulama, pendakwah, dan ahli cerdik pandai Islam tidak begitu memainkan peranan mereka ke arah itu?

Tentu tidak munasabah setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan, kefahaman umat Islam terhadap agamanya tidak meningkat. Jika semua agensi agama, ulama, mubaligh dakwah, dan NGO memainkan peranan masing-masing bukan sahaja umat Islam bertambah ini, orang bukan Islam pula semakin faham tentang Islam. Kalau begitu kedudukannya, apakah alasan lagi untuk kita takut untuk melaksanakan hukum Islam sepenuhnya.

Sebenarnya hukum hudud berdasarkan perlembagaan sudah boleh dilaksanakan di negara ini tanpa rasa ragu. Tetapi persoalannya sudahkah ulama cuba meyakinkan pemerintah? Sudahkah ulama menjelaskan faedah sebenar pelaksanaan hudud itu? Hakikatnya, ulama sendiri tidak sanggup mempengaruhi pemerintah dan pada masa yang sama mereka tidak serius dalam mendidik iman umat Islam dan rakyat Malaysia.

Dalam hal ini ulama yang mewakili umat Islam seharus menyahut seruan Allah, “Kamu adalah sebaik-baik umat dikeluarkan untuk kebaikan manusia, kerana kamu berperanan menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman),” (Surah Ali Imran: 110).

Maknanya ulama seharusnya merobah fikiran masyarakat termasuk pemimpin, bukan sebaliknya, pemimpin dan masyarakat yang merobah fikiran ulama. Namun itulah realiti yang berlaku pada hari ini, ulama lebih dipengaruhi oleh pemerintah dan masyarakat. Apabila pemimpin mengeluarkan satu idea, ulama akan sambut dan mencari hujah untuk menyokongnya.

Apakah Jalan Keluarnya
Berdasarkan apa yang dibentangkan di atas, hukum hudud seharusnya boleh digubal mengikut kesesuaian iklim negara kita. Walaupun hukum hudud itu pada masa ini bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tidak perlu digusarkan kerana pada jangka panjang, perlembagaan itu boleh dipinda kemudiannya.

Pada masa yang sama, ulama termasuk NGO perlu bergerak mendidik iman dan takwa. Umat Islam perlu disedarkan tentang iman, Islam, dan ihsan. Rakyat Malaysia seluruhnya perlu diberi penjelasan sebenar tentang kebaikan Islam dan hukumnya.

Kemudian sementara menunggu perlaksanaan sepenuhnya, sebab kedua bagi mensabitkan hukuman hudud boleh diguna sebagai percubaan. Hal ini kerana terlalu berleluasa mereka yang mengandung di luar nikah pada hari ini. Mereka itu seharusnya didakwa dan dihukum dengan yang setimpal bagi menyedarkan orang lain bukan sekadar melindungi di rumah pemulihan akhlak sahaja.

Benar mengikut pendapat di atas, wanita yang rogol tidak boleh sabitkan sebagai zina dan tidak boleh dikenakan hukum hudud. Kes ini samalah juga dengan kes yang empat orang saksi lelaki yang tidak cukup syarat untuk mensabitkannya.

Dalam hal ini perlu dijelaskan bahawa apabila mereka disyaki oleh pemilik hotel terdapat pelanggannya dan kemudiannya berjaya dikesan oleh empat pegawai penguat kuasa agama, hudud tidak boleh disabitkan kerana mereka tidak dapat melihat secara jelas perbuatan zina itu. Walaupun ujian DNA menunjukkan mereka telah berzina, hudud tetap tidak boleh dikenakan kepada mereka.

Sungguhpun begitu, kita kena ingat apabila syarat untuk mensabitkan kesalahan itu tidak dapat dipenuhi, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan, tetapi ada gantinya. Kesalahan mereka wajib dihukum dengan takzir. Hukuman takzir adalah menjadi hak hakim sama hendak mendendanya dengan wang, atau penjara, atau rotan yang jumlahnya tidak menyamai kadar hudud.

Perlu ditegaskan di sini, undang-undang jenayah syariah yang sekian lama dijalankan di negara kita kini adalah berdasarkan takzir. Hukum ini tidak bercanggah dengan Islam kerana syarat untuk sabit hudud tidak dapat dipenuhi. Jadi, hukum takzir hakikatnya adalah undang-undang Islam juga.

Oleh sebab itu, adalah keterlaluan kalau ada dalam kalangan umat Islam yang menentang perlaksanaan undang-undang syariah di sini dengan pelbagai tuduhan liar. Tuduhan bahawa undang-undang itu sebagai tidak Islamik adalah salah kerana takzir juga sebahagian daripada hukum Islam.

--
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah

Peringatan kepada kaum lelaki

Ahmad Baei Jaafar

Saya ingin berkongsi ilmu dengan temanku dan pengunjung blog ini terutama kaum lelaki. Saya sesekali duduk di saf belakang dalam masjid. Suatu hari seorang lelaki gemok solat di hadapan saf saya (lebih kurang 3 meter), waktu dia sujud, ternampak sebahagian lutut dan pahanya. Saya jangkakan mungkin lelaki gemuk sahaja, tetapi rupa-rupanya lelaki biasapun keadaannya sama. Di sini saya mula risau kerana saya juga memakai kain pulaikat ketika solat. Ini menyebabkan saya cuba lakukan sendiri di rumah seperti lazimnya. Sebenarnya kerisauan itu bersangkutan dengan hukum sah atau tidak solat itu.

Saya merujuk kembali kepada kitab tua yang pernah dipelajari dahulu. Jika anda ada kitab Sabilul Muhtadin, mukasurat 183 Jilid1, cuba rujuk perenggan berikut: "Syahdan, disyaratkan pula pada menutup aurat itu dari atas dan pada sekalian pihak kelilingnya, maka tidak diwajibkan menutup dia dari bawah. Maka jikalau sembahyang seseorang pada tempat tinggi maka kelihatan kepada orang auratnya dari bawah maka iaitu tidak mengapa. Bersalahan apabila kelihatan auratnya dari atas seperti leher bajunya atau pada kelilingnya seperti pada tangan bajunya maka iaitu tidak memadai, (maka batal sembahyang)."

Berdasarkan contoh di atas, saya percaya untuk wanita kerana bahagian leher dan tangan adalah aurat wanita. Contoh ini juga mungkin tidak melibatkan wanita Melayu kerana pakaian wanita kita lebih bersopan iaitu memakai telekong. Cuma mungkin ketika sujud, tapak kakinya jika terbuka boleh membatalkan solatnya.

Tetapi pada lelaki, jika dengan hanya pakai kain sarung, kepala lutut dan pahanya dijangkan boleh dilihat oleh orang di belakangnya, maka solatnya boleh batal. Perkara ini memang menjadi budaya orang Melayu. Jadi bagi mengelak solat itu terbatal, saya suka mencadangkan sepuya kita memakai seluar panjang di dalam kain sarung itu. Kita mungkin pernah lihat orang Arab dan India memakai jubah dan di dalamnya dipakaikan seluar panjang. Inilah jalan yang selamat bagi kaum lelaki.

--
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah

Anwar salahkan media, nafi DAP Kedah keluar pakatan pembangkang

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menafikan DAP Kedah telah keluar daripada pakatan pembangkang semalam kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pas Kedah.

Sebaliknya, beliau menyalahkan media yang didakwanya sengaja menggembar-gemburkan dan memperbesarkan isu itu.

"Ini media, surat khabar saudara yang bangkitkan. Kalau dalam Barisan Nasional, banyak perbezaan dalam banyak perkara tetapi tak pula diperbesarkan. Pakatan Rakyat ini pakatan miskin (yang) tak ada media yang besar. Itu bezanya," kata kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Anwar bagaimanapun berkata beliau yakin isu itu dapat diselesaikan dalam suasana yang baik antara anggota pakatan pembangkang.Ketika ditanya sama ada beliau mengetahui keputusan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk merobohkan pusat penyembelihan babi haram di Kampung Berjaya di itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu berkata beliau telah dimaklumkan dan tahu bahawa pusat penyembelihan berkenaan akan dipindahkan ke kawasan lain.

Kelmarin, DAP Kedah mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pas di Kedah ekoran tindakan meroboh satu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di Alor Setar.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis Thomas Su berkata beliau bagaimanapun menyerahkan keputusan sama ada DAP Kedah kekal dalam pakatan pembangkang kepada pemimpin pusat parti itu.

Pengarah pilihan raya PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pula berkata isu DAP Kedah itu bukanlah sesuatu yang besar.

"Kita pernah berdepan dengan kenyataan Karpal Singh (Pengerusi DAP) yang meminta Anwar meletak jawatan, itu jauh lebih besar. Jadi itu semua proses yang akan mematangkan diri kita," katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang pula berkata beliau menunggu laporan penuh daripada DAP Kedah tetapi menyifatkan perkara itu sebagai tidak serius.

Karpal Singh ketika ditemui pula berkata isu berkenaan boleh diselesaikan."Saya tidak fikir masalah itu serius sehingga mampu memecahbelahkan pakatan pembangkang," katanya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob, yang mempengerusikan satu mesyuarat sekretariat pakatan pembangkang hari ini, berkata isu itu akan dibincangkan oleh Majlis Presiden pakatan pembangkang esok.

Di Kota Baharu, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas berhubung isu itu kerana menganggapnya satu masalah dalaman di negeri Kedah. BERNAMA -mStar Online-

Nik Aziz hantar surat pelawaan debat kepada Najib hari ini

KOTA BHARU, 2 Julai (Hrkh) � Biar pun Dato' Seri Najib Razak menolak pelawaan untuk berdebat dengan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun Menteri Besar Kelantan tetap menghantar surat kepada Perdana Menteri.

Surat tersebut dipos hari ini yang dialamatkan kepada Jabatan Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Mursyidul Am PAS itu menandatangani surat berkenaan sebaik sahaja selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri pagi tadi.

Surat dua muka surat itu antara lain memuatkan penjelasan terhadap kenyataannya sebelum ini yang menyamakan ajaran Ayah Pin atau komunis dengan Umno kerana menolak Islam.

Katanya, ia sekadar mematuhi kaedah al-balaaghah iaitu penggunaan perumpamaan atau kiasan semata-mata.


"Jauh dari segi maudhu' ia bertujuan untuk menjelaskan bagaimana aliran asal sekularisme yang menolak agama khususnya Islam dari pemerintahan.

"Ini punca sebenar atau ibu kepada segala kesesatan. Apabila sekularisme itu adalah faham yang sesat, maka tidakkah faham kebangsaan yang merupakan cabang dari ajaran sekular bawaan Umno juga turut sesat," soalnya

Menurutnya seperti yang sedia maklum, perdebatan diterima oleh Islam dan diterima oleh demokrasi. Ia perkara fitrah dan perkara sedunia.

Contoh terdekat ialah perdebatan antara Obama dengan saingan beliau dari parti Republikan.

Begitu juga katanya debat antara calon-calon Presiden Indonesia terkini yang sedang berlangsung di Jakarta antara regu Susilo Bambang Yudhono berganding Boediono, Megawati Soekarnoputri bersama Prabowo Subianto dan Jusuf Kalla berpasangan Wiranto.

"Jika di Eropah dan negara negara demokrasi lain debat lebih ditumpukan kepada perkara-perkara cabang yang bersifat keduniaan semata-mata, maka apa salahnya jika kali ini kita perbahaskan perkara pokok yang menyentuh aqidah?

"Masalah yang saya bawa ini adalah perkara aqidah yakni persoalan tunjang yang menyentuh kedua-dua kepentingan secara bersekali, dunia dan akhirat.Jika tidak betul aqidah, sembahyangpun tidak diterima," katanya.

Sabtu lalu Menteri Besar Kelantan itu mencadangkan diadakan debat dengan Perdana Menteri bagi membincangkan sejauh mana perjuangan Umno tidak menyimpang dari agama.

Bagaimanapun ramai pemimpin Umno termasuk dua mantan perdana menteri menasihatkan Najib tidak melayan pelawaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Kemudian beberapa hari selepas itu Najib membuat kenyataan tidak menerima debat tersebut.

Menteri Besar Kelantan menjelaskan demokrasi yang sekular tidak pedulikan masalah aqidah. Persoalannya ialah istilah agama dan bukannya isu perlembagaan atau undang-undang.

Isu debat timbul ekoran pemuda Umno membuat laporan polis terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyifatkan Umno lebih kurang sama dengan ajaran Ayah Pin kerana menolak agama dalam perjuangan. - mj-HarakahDaily.Net-

Rais patut tukar kepada siaran langsung ulasan Parlimen

Sebagai langkah supaya tidak mengelirukan satu Malaysia dan rakyat didahulukan maka sebaiknya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim patut menukar nama siaran langsung Parlimen kepada siaran ulasan langsung Parlimen.
Iklan

Siaran langsung dari Parlimen pada pukul 10.00 pagi setiap kali ada persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Parlimen disiar melalui televisyen saluran RTM1 bermula selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Walaupun bekas Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek cuba membuat perubahan siaran televisyen RTM dengan mengadakan siaran langsung Parlimen selama satu jam tetapi siaran soal jawab di Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu disiar hanya 30 minit dan selebihnya 30 minit lagi ulasan daripada Ahli Parlimen terpilih.

Sejak Rais ambil alih kementerian tersebut, siaran tersebut bertambah 'double standard'. Rakyat hanya boleh melihat dan mendengar menteri menjawab pertanyaan sedangkan apabila sampai kepada soalan tambahan terutama daripada pembangkang siaran tersebut beralih kepada ulasan Ahli Parlimen yang dijemput khas di studio RTM di Parlimen.

Malah ada sampai kepada peringkat rakyat yang mengikuti siaran tersebut di televisyen tidak memahami apa yang menteri jawab di Parlimen kerana siarannya melompat-lompat. Kejap di Dewan Rakyat, sekejap ulasan Ahli Parlimen di studio.

Rakyat yang mengikuti siaran Parlimen menjadi bingung kerana sikap berat sebelah keterlaluan Rais terhadap pembangkang. Rakyat diutamakan menjadi mangsa Rais. Oleh sebab itu Rais perlu tukar nama siaran tersebut supaya tidak menambah kekeliruan rakyat terhadap sistem Parlimen dan demokrasi.

Perkara ini turut dibangkit oleh Ahli Parlimen Sri Gading, Dato' Mohamad Aziz dari Umno semalam, katanya sebelum soal jawab Dewan Rakyat bermula: �Saya difahamkan, Tuan Yang di-Pertua, siaran langsung TV1 ini sekarang ia secara berpilih-pilih � setengah jam itu.�

Sampuk Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran dari DAP katanya: �Pembangkang langsung tidak ada."

Tambah Mohamad: �Saya difahamkan secara berpilih-pilih. Saya mendapat SMS (sistem pesanan ringkas) daripada rakyat � tidak perlu saya jelaskan siapa, ada dua tiga SMS.

"Dia kata sudah tidak seronoklah. Biarlah macam yang lepas juga iaitu pada permulaan, daripada awal hingga pukul 10.30 pagi.

"Kalau ada pergaduhan dan sebagainya biarlah rakyat menilai. Itulah sifat pembangkang, dia suka menghentam dan sebagainya. Penilaiannya kepada rakyatlah. Jadi, tidak perlulah RTM merasa bimbang apa-apa. Ini pandangan sayalah, Tuan Yang di-Pertua, daripada hasrat rakyat.�

Kulasegaran juga mengambil kesempatan membangkitkan perkara tersebut katanya: �Saya berpendapat apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Sri Gading itu ada kena kerana baru-baru ini saya difahamkan bila pembangkang sedang berucap tiba-tiba dia pergi kepada interviu.

"Jadi, kami dapat banyak laporan di mana... "There must be more openness" dalam Parlimen dan RTM, bukan satu konsep One Malaysia ini apa maknanya?" - mns-HarakahDaily.Net-

Lim: DAP pusat perlu setuju sebelum keluar Pakatan

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata DAP Kedah menarik balik sokongannya terhadap kerajaan PAS Kedah kerana hilangnya rasa kepercayaan antara kedua belah pihak.

Beliau juga menyifatkan tindakan keluar dari gabungan Pakatan Rakyat sebagai sesuati yang serius yang memberi implikasi yang besar.

"Apabila DAP Kedah bertindak keluar dari kerajaan negeri Kedah, ia menunjukkan tidak ada komunikasi dan rasa hormat dari kerajaan PAS Kedah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, DAP Kedah tidak pernah meminta sebarang anugerah atau gelaran gDatuk tetapi ia tidak senang dengan kurangnya rasa hormat PAS terhadap DAP di Kedah, tidak sepertimana penghormatan yang diberikan kepada PAS di Pulau Pinang.


Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh DAP Kedah itu bukan muktamad kerana ia perlu dipersetuju oleh jawatankuasa kerja pusat (CEC) terlebih dahulu.

Bagaimanapun, kata Lim, belum ada tarikh yang ditetapkan oleh CEC untuk bermesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut.

"Hanya selepas menerima surat rasmi yang mengesahkan keputusan jawatankuasa DAP Kedah itu, maka baru saya akan memanggil mesyuarat CEC untuk membuat keputusan muktamad mengenai perkara itu," kata Lim yang ketua menteri Pulau Pinang.

Semalam, pengerusi DAP Kedah, Thomas Su berkata, jawatankuasa DAP Kedah memutuskan keluar dari gabungan Pakatan Rakyat di Kedah.

Katanya, keputusan itu buat ekoran kegagalan kerajaan PAS Kedah memberi layanan saksama kepada semua rakyat negeri itu.

Dua punca utama menyebabkan keputusan itu dibuat ialah tindakan merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya dan 50 peratus kuota perumahan bumiputera di negeri itu.-MalaysiaKini-

Pemuda PAS selar Khairy isu wacana

Pemuda PAS menyelar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berhubung usaha mengadakan perbincangan ilmiah kedua-dua sayap tersebut - didakwa digambarkan sebagai "kerjasama PAS-Umno" - yang disifatkannya "dolak-dalik politik."

"Cara Khairy ulas tidak kena dengan jemputan (Pemuda PAS), lari topik. Cara dia (Khairy) mengulas itu seolah-olah ada kerjasama antara PAS dan Umno.

"Itu political swing (dolak-dalik politik) dialah. Kita faham. Kita lihat rakyat juga faham (maksud sebenar kita)," kata Setiausa Pemuda PAS Kamaruzaman Mohamad.

Susulan reaksi ahli parlimen Rembau itu, Kamaruzaman diminta mengulas sama ada Pemuda Umno "ikhlas" menyambut tawaran dewan tersebut untuk menganjurkan wacana ilmiah berhubung isu "Benarkah Perjuangan Umno Tidak Bertentangan dengan Islam."

Semalam, kedua-dua sayap itu bersetuju menjayakan program tersebut dengan menubuhkan satu jawatankuasa yang sedang menetapkan masa, tarikh, tempat dan format yang akan ditetapkan kemudian. Tajuk tersebut dipercayai belum muktamad.


Penganjuran program itu diumumkan oleh Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dalam sidang media bersama Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim di lobi Parlimen.

Khairy - yang tidak hadir di sidang media itu - kemudian menyambut baik pelawaan Pemuda PAS dan melihatnya sebagai perkembangan besar yang selama ini sukar dijayakan kerana sering "diganggu parti lain dalam pakatan pembangkang".

Beliau dilaporkan menyifatkan tindakan dewan itu sebagai langkah berani dan menepati pandangan pergerakan tersebut yang mahu melihat terjalinnya kerjasama antara PAS dan Umno.

Diminta mengulas kesesuaian program itu buat masa ini, Kamaruzaman berkata: "(Soal) masa tidak ada masalah. Cadangan itu selari dengan cabaran debat mursyidul am PAS (Datuk Nik Aziz Nik Mat) kepada perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak).

"Ia selari dengan hasrat Tok Guru. Isunya kesediaan Umno (menerimanya)."

Penganjuran program ini boleh mengundang pelbagai tafsiran salah susulan isu kerajaan perpaduan yang belum reda dalam PAS sehingga pernah menonjolkan keretakan besar antara beberapa pemimpin utamanya.

Ditanya sama ada Pemuda PAS mendapat tekanan daripada pemimpin atasan parti sehingga mengeluarkan kenyataan susulan berhubung wacana ilmihnya dalam tempoh enam jam selepas ia diumumkan, Kamaruzaman menafikannya.

"Tidak ada setakat ini," katanya, yang juga ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Susulan beberapa laporan berita yang disifatkannya "putar belit", Kamaruzaman berkata: "Media ini biasalah. Kita kata A, akan jadi A tambah B tambah C. Akhirnya B dengan C lebih banyak daripada A.

"Kita perjelaskan perkara itu bahawa media salah lapor (tentang wacana ilmiah)."

Beliau mengaku mendapat banyak panggilan daripada akar umbi parti bertanyakan hal itu akibat pemberitaan tersebut.-MalaysiaKini-