13 June 2009

PAS kutuk serangan di Selatan Thailand

KUALA LUMPUR, 12 Jun : - PAS mengutuk keras serangan yang dilakukan ke atas umat Islam di selatan Thailand.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mendesak agar tindakan tegas diambil ke atas pihak-pihak yang melakukan keganasan tersebut.

"PAs mengutuk serangan yang berlaku di Selatan Thailand dan amat kecewa dengan apa yang berlaku. "Kami juga mendesak agar siasatan segera dilakukan dan satu tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak-pihak yang melakukan serangan ini," tegas Hadi. Beliau juga menjelaskan, PAS bersedia untuk memainkan peranan penting untuk menyelesaikan konflik di Selatan Thailand jika mendapat jemputan.

PAS, kata Hadi, tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana pihak di Selatan Thailand. Selatan Thailand bergolak lagi pada 9 Jun lalu bila 11 jemaah ditembak ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Sungai Golok kira-kira pukul 8.50 malam (waktu Malaysia). Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.

Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu. Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka. Harakahdaily.

Puasa dijangka 22 Ogos, Aidilfitri 20 Sept.

Umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa pada 22 Ogos ini dan akan menyambut Aidilfitri pada Ahad 20 September.

Penolong Pegawai Tadbir Unit Falak Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia, Ahmad Taufan Abd. Rashid berkata, jika tarikh itu digunakan, ibadat puasa tahun ini hanya dikerjakan selama 29 hari.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tarikh sebenar puasa dan Aidilfitri tertakluk sepenuhnya kepada perisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kelak.

''Berdasarkan kepada kiraan falak, anak bulan Ramadan tidak akan wujud pada hari rukyah (20 Ogos) kerana tempohnya tidak sampai pada tahap kematangan berikutan jarak antara waktu berlakunya ijtimak (detik pemisahan) antara bulan Syaaban dan Ramadan adalah satu jam sebelum Maghrib," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Berhubung penentuan tarikh Aidilfitri, Ahmad Taufan berkata, ijtimak Ramadan dan Syawal berlaku pada pukul 2.44 pagi pada hari rukyah 29 Ramadan (19 September) dengan usia anak bulan Syawal mencapai lebih 16 jam.

''Oleh itu, menurut kaedah yang diamalkan di Malaysia, anak bulan Syawal dijangka wujud dan boleh kelihatan pada petang hari rukyah 19 September.

''Jika kaedah itu diguna pakai, kita jangkakan umat Islam akan menyambut Aidilfitri pada Ahad 20 September," katanya.

DEBAT PEMUDA PAKATAN TINDAKAN TIDAK BIJAK

Oleh: WFAUZDIN NS

PEMUDA Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, Pas dan DAP merancang untuk mengadakan siri perdebatan berkaitan isu pokoknya iaitu Kerajaan Perpaduan dan hala tuju PR di masa hadapan. Siri perdebatan itu dirancang akan diadakan pada 16 Jun ini bertempat di Dewan MBSA, Sek 11, Shah Alam. Tajuk perdebatan adalah " Pasca Muktamar Pas - Kerajaan Perpaduan?" yang dianjurkan oleh AMK Selangor dan Shah Alam yang melibatkan Ketua Pemuda ketiga-tiga parti berkenaan. Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis juga dijangka hadir sebagai ahli panel.

Meskipun siri perdebatan merupakan satu kaedah yang baik di dalam menjana pemikiran serta bertukar-tukar pandangan, tetapi perdebatan yang diadakan secara terbuka di antara sesama rakan bukanlah satu kaedah yang bijaksana. Adalah lebih baik, bijak serta berhemah sekiranya muzakarah dilakukan terlebih dahulu oleh pimpinan utama ketiga-tiga parti berkenaan bagi merungkai permasalahan yang wujud. Saya merasa pelik mengapa ketika parti Pas khususnya dan melibatkan juga PR menghadapi tekanan sedemikian rupa, pucuk pimpinan masih lagi menangguh untuk memberikan penjelasan terperinci berkaitan apa sebenarnya yang berlaku di dalam muktamar Pas tersebut. Memang telah ada pertemuan baru-baru ini di antara DS Anwar, Tuan Guru Hj Hadi dan Lim Kit Siang, tetapi kelihatannya isu ini tidak dapat diperjelaskan sebaik mungkin. Tidak cukup pertemuan 6 mata bagi menyelesaikan isu ini dan adakah pihak Pemuda PR di dalam PKR, Pas dan DAPtidak dibawa bersama semasa pertemuan penting tersebut? Adakah majlis kepimpinan atau AJK parti masing-masing tidak dibawa bersama bagi mendengar sendiri keputusan yang telah diambil oleh ketiga-tiga pimpinan tertinggi PR itu?

Sekiranya pimpinan PR menganggap isu ini sudah selesai dengan pertemuan 6 mata tersebut, mengapa perlu atau relevennya debat di antara Pemuda PR ini diadakan? Bukankah nanti akan memperlihatkan pekong masing-masing? Bagaimana nanti mereka boleh berhujah secara berkesan tanpa mengetahui buah butir perbincangan ketiga-tiga pimpinan tertinggi mereka itu? Amat tidak bijak sama sekali siri perdebatan yang hendak diadakan atas tajuk yang dikatakan sudah selesai itu. Jika ingin diadakan juga perdebatan tersebut, mereka yang paling layak dijemput bersama sebagai panel debat adalah Timbalan Presiden Pas Ustaz Nasha sendiri atau Pesuruhjaya Pas Selangor iaitu Dr Hassan Ali dan Setiausaha Pas iaitu Mustafa Ali. Mereka dikatakan `master mind' di dalam isu yang timbul sekarang.

Saya berpandangan terlalu banyak buruk dari baiknya sekiranya debat ini diteruskan. Belum pernah terjadi perdebatan diadakan sesama rakan seperjuangan apatah lagi di khalayak ramai. Mungkin pihak media pun teramat berminat untuk menyiarkan secara langsung perdebatan ini sekiranya diberi peluang kerana mereka mungkin mendapat `peluru' percuma menjelang PRK Manek Urai nanti. Tidak hairan juga Umno khususnya tentu bergembira apabila melihat tenaga Pemuda PR menyengseng lengan bagi mempertahankan hujah parti masing-masing, sedangkan yang membuat onar duduk dengan aman dan tenteram di kerusi jawatan yang dipegangnya. Mudah-mudahan Pemuda PR menilai kembali tindakan mereka yang `kebudak-budakan' itu./ wfauzdin.blogspot.com

ADUN DAP LEBIH BERMORAL DARI KM MELAKA DAN KETUA PEMUDA UMNO

ISU rasuah sememangnya satu isu yang teramat dipandang berat oleh PR, dan isu ini mendapat kesepakatan bersama di dalam PR yang terdiri dari tiga parti yang berlainan dasar untuk ditentang secara habis-habisan. Malahan Ketua Pembangkang DS Anwar sendiri di dalam setiap perbahasan di Parlimen sentiasa menekankan betapa rasuah boleh menghancurkan negara. Itulah yang menjadikan PR dilihat lebih bersih dari Umno/Bn.

Pimpinan PR bukan sahaja akan menentukan setiap pemimpin atau Wakil Rakyat mereka bebas dari rasuah, bahkan PR akan terlebih awal bertindak sekiranya diragui kejujuran atau kebersihan seseorang Wakil Rakyat mereka. Ini tradisi di dalam PR, dan tradisi ini kini menjadi amalan secara sukarela oleh mana-mana Wakil Rakyat dari PR. Wakil Rakyat yang merasakan mereka menjadi sasaran tuduhan rasuah atau penyelewengan lebih rela meninggalkan jawatannya walaupun pada akhirnya terbukti tidak bersalah. Contoh paling dekat adalah apa yang terjadi kepada bekas TKM 1 P.Pinang Fairus yang suka rela melepaskan jawatannya selaku Adun, Exco dan TKM 1 P.Pinang demi menjaga nama baik parti. Akhirnya beliau disahkan tidak bersalah.

Terbaru pula, Adun Jawi juga dari P.Pinang wakil DAP iaitu YB Tan Beng Huat telah pun menyerahkan surat perletakan jawatannya selaku Adun tetapi dengan bersyarat. Beliau hanya akan meneruskan perletakan jawatannya sekiranya segala tuduhan rasuah yang dilaporkan ke atasnya didapati tidak berasas. Inilah sikap pemimpin yang sukar untuk kita cari, apatah lagi mahu mencari pemimpin seperti ini di kalangan Umno/Bn. Di dalam Umno, terbukti terlibat dengan rasuah setelah disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno pun masih memegang jawatan di dalam parti dan kerajaan. Ali Rustam masih menjadi KM Melaka, dan KJ pula tetap dengan jawatannya selaku Ketua Pemuda Umno. Itu belum dikira yang lain-lain lagi termasuk yang pernah Tun Mahathir perkatakan.

Berdasarkan itu, mana mungkin PR boleh menghormati Umno apatah lagi ingin mewujudkan kerjasama dalam aspek apa pun. Bagaimana ingin bekerjasama dengan Umno untuk menghapuskan rasuah jika pemimpin mereka sendiri redha dengan puak-puak rasuah di dalam parti mereka sendiri? Sebab itulah ramai di kalangan rakyat terkeliru dalam bentuk apakah kerjasama yang ingin dipraktikkan oleh Pas dengan Umno ini. Mampukah kita membersihkan `najis-najis' rasuah yang sudah sebati di dalam parti tersebut? Tidakkah kita melihat sendiri betapa rakan-rakan kita di dalam PR begitu komited menentang rasuah berbanding dengan Umno/Bn, tetapi mengapa kita terliur sangat hendak berada di sisi Umno/Bn? Untuk tujuan dakwah? Umno bukan semudah itu untuk kita dakwah mereka, dan kita lihat sendiri entah berapa ramai tokoh-tokoh agama termasuk bekas Naib Presiden Pas sendiri Ustaz Nakhaei cuba untuk `mendakwah' Umno tetapi ke mana perginya ustaz tersebut? Ke mana perginya bekas Imam Besar Masjid Negara Ustaz Firdaus? Ustazah Mashitah usah diceritakanlah kerana beliau pun terlalu banyak termakan budi Umno. Tiba pula giliran bekas Pengerusi Kagat Mej Jen (B) Jamil Khir untuk cuba memperbaiki kerajaan Umno, tetapi awal mula pertama mula beliau sudah terperangkap dengan isu pertukaran agama.

Kita sebenarnya tiada pilihan yang lain selain dari PR. Kita telah semai benih-benih ini sekian lama dengan air mata dan darah rakyat. Almarhum Ustaz Fadzil Noor sampai meninggal dunia masih percaya kepada gabungan yang diasaskannya ini. Bukan sedikit yang menderita untuk menjadikan PR dan Pas seperti sekarang. Oleh yang demikian, lupakan saja idea yang dikatakan `karut' oleh Mursyidul Am itu apatah lagi Umno/Bn tidak pernah memohon maaf kepada Pas terhadap apa yang pernah mereka lakukan terhadap Pas. Jika ada lagi mana-mana pemimpin yang masih berharap agar idea tersebut dapat direalisasikan, sudah tentu rakyat akan menolaknya di dalam pilihanraya akan datang.

Akhirkata, syabas buat Adun Jawi yang berani membuktikan bahawa orang bukan Islam juga kadangkala jauh lebih bermaruah dari orang Islam sendiri. / wfauzdin.blogspot.com

Subash akui lebih tenang selepas memeluk Islam

Oleh AU YEONG HOW

SEBELUM bergelar saudara baru, pengarah M. Subash atau nama Islamnya, Manaan Subash memang sudah lama meminati ajaran Islam yang dianggapnya cukup indah.

Keinginannya untuk mempelajari tentang Islam semakin membuak-buak apabila dia bertemu dengan seorang pengurut tradisional, Ustaz Ibrahim Mat Isa yang mengubati sakit belakang yang dialaminya sejak tahun lalu.

Ketika itu, Subash sering mendapat nasihat, bimbingan dan ceramah agama setiap kali dia berurut lebih sejam dengan ustaz yang cacat penglihatan itu.

Akhirnya, tanggal 15 Disember lalu, Subash memeluk Islam. Walaupun ahli-ahli keluarga menentang pada awalnya, tetapi setelah melihat kesungguhan Subash, mereka akhirnya merestui kehendak murninya itu.

"Kehidupan saya berasa lebih tenang, fokus dan terarah selepas saya memeluk Islam. Saya memilih agama Islam kerana ia menganjurkan konsep Yang Esa," katanya selepas majlis pratonton filem Jomlah C.I.U.M di sini, semalam.

Filem ini mengisahkan usaha seorang ustaz buta untuk membina sebuah surau untuk membawa golongan muda-mudi yang sesat ke jalan yang diredhai Allah.

Ustaz yang menghadapi masalah kewangan berasa terharu apabila mengetahui sami Buddha (Mannaan Subash) dan rahib Kristian (aktres Kenchana Devi) sanggup menolongnya untuk membina surau tersebut.

Menariknya, watak ustaz buta itu dipegang sendiri oleh Ustaz Ibrahim setelah Subash sendiri menawarkan watak itu kepadanya.

Ustaz Ibrahim Mat Isa

Sementara itu, Ustaz Ibrahim memberitahu, dia mengenali Subash apabila pelakon itu sering mendapat rawatan urutnya dan kagum dengan minatnya yang ingin mempelajari tentang Islam.

Katanya, selepas selesai menjalani rawatan, Subash akan menghabiskan masa berbincang mengenai Islam.

"Saya akan bercerita tentang Allah, Nabi Muhammad dan lain-lain kepadanya. Saya akan memberi banyak penjelasan jika dia mempunyai kekeliruan," katanya.

Ibrahim berkata, dia bersyukur kerana dapat menemani Subash ke Jabatan Agama Islam untuk mendaftarkan diri sebagai saudara baru, tahun lalu.

Presiden PAS perlu minta maaf dengan DAP, PKR - Karpal

PULAU PINANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu meminta maaf kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mencadangkan perbincangan isu kerajaan perpaduan dengan Umno kerana jelas ia tidak jujur, kata Pengerusi DAP Karpal Singh.

Katanya DAP mengkritik para pemimpin PAS setiap kali mereka mengeluarkan kenyataan yang melampau.

"Hadi Awang telah memalukan pakatan pembangkang dan selepas ini beliau kena berfikir dua kali sebelum bercakap," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS dalam nada penuh emosi dan marah dipetik sebagai berkata bahawa pemimpin ini (pemimpin PAS) mahu merosakkan parti itu.

"Malah Nik Aziz secara terbuka mengkritik rakannya dalam PAS kerana menyokong agenda perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno," katanya.

Katanya DAP juga tidak membiarkan walaupun Abdul Hadi yang mencadangkan perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno baru-baru ini.

Di ALOR SETAR, Pengerusi Dewan Perhimpunan Melayu Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah membidas Nik Abdul Aziz kerana menyifatkan anggota parti itu yang mempertahan cadangan Hadi untuk membentuk kerajaan perpaduan sebagai "boneka Umno."

"Sebagai seorang muslim yang baik, beliau sepatutnya bercakap benda yang baik dan lebih baik mendiamkan diri jika nak cakap benda buruk," katanya ketika dihubungi.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Nik Aziz yang menyifatkan orang PAS yang terus mempertahan cadangan Abdul Hadi sebagai boneka Umno.

Khalid berkata idea mewujudkan kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS adalah perkara baik selaras dengan kehendak Islam.

"Islam tidak pernah menggalakkan umatnya berpecah belah malah menyuruh mereka bersatupadu. Agama mesti didahulukan, bukannya parti," kata Khalid.

Idea kerajaan perpaduan disuarakan oleh Abdul Hadi pada Muktamar Pas Ke55 Ahad lepas tetapi ditentang Nik Aziz. BERNAMA

Siri Ceramah Isu Semasa di Ipoh.

Kesan Zikir Terhadap Otak Manusia

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabk an untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain.. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas..

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.