08 June 2009

Umno macam kucing, kata MB Kedah

SHAH ALAM, 7 Jun: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan Umno umpama kucing, "baik di depan tetapi awas di belakang kita dia akan curi ikan kita."

Azizan berkata demikian ketika membuat ucapan penangguhan di Muktamar PAS ke 55 dekat sini hari ini.

"Menjadi perangai kucing juga dia akan berak di mana-mana sahaja hatta atas sejadah sekalipun," kata Azizan yang disambut gelak ketawa perwakilan
dan pemerhati muktamar.

Namun, Azizan berkata, "kita tetap masih boleh runding dengan Umno ni."

Azizan berkata, sehingga hari ini, Umno masih berusaha untuk mencuri Adun PAS dan berusaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri Kedah.

"Mereka tidak berhenti dari membuat kerja ini," kata Azizan. Siasahdaily.

PAS adalah bahtera yang selamat - Presiden PAS

SHAH ALAM, 7 Jun : - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan 'PAS sebagai bahtera yang selamat' kepada seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati hari ini.

Presiden PAS menegaskan, sesiapa yang meninggalkan bantera itu, pastinya akan tenggelam.

PAS disifatkan demikian kerana parti itu memperjuangkan Islam yang sebenar, tatkala suasana hari ini penuh dengan rasuah, kerosakan akhlak dan masalah ekonomi, katanya.

Kini PAS katanya, sudah diterima pelbagai pihak samda kawan mahupun lawan, samada Islam mahupun bukan Islam.

Dalam ucapan yang sama, beliau menyatakan komitmen bahawa PAS adalah bahtera yang diakui lawan akan kekuatannya, selain akan tetap dengan bahtera tersebut juga.

Beliau turut menjelaskan beberapa isu membabitkan 'tahaluf siyasi' hari ini yang dilakukan PAS dalam mendepani politik nasional.

Penubuhan Kelab Penyokong PAS disentuh selain persefahaman dengan pelbagai pihak dalam isu-isu tertentu ketika adanya krisis tertentu.

Sebelum ini Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat menjadi medan PAS bersepakat dalam kerjasama politik, katanya.

"Allah memerintahkan supaya kita mengutamakan perdamaian kerana matlamat adalah untuk menyelamatkan manusia," ujarnya.

Beliau turut menyatakan PAS tidak boleh menutup ruang kepada mana-mana pihak, sebaliknya terbuka untuk menerima semata-mata untuk memberi kebaikan kepada manusia.

Presiden PAS juga menyatakan, muktamar PAS kali ini berjalan baik "walaupun ada keriuhan tetapi tidak ada kekacauan".

Beliau menyeru sidang muktamar meneruskan perjuangan dengan tema muktamar 'Islam Memimpin Perubahan'. Harakah daily.

Kuliah politik Prof Dr Aziz Bari 8 Jun

KULIAH POLITIK PERAK MENGIKUT PERLEMBAGAAN


Prof Dr Aziz Bari

Tarikh:
8 Jun 2009 (Isnin)


Waktu:
9.30 malam

Tempat:
Pejabat Pas,
Pusat Komersil Tmn Meru 2B,
Ipoh, Perak

Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.

USUL TERGEMPAR: Tubuhkan Suruhanjaya Bebas DiRaja siasat pengambilan secara haram kerajaan Perak

SHAH ALAM, 7 Jun : - Satu usul tergempar mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Diraja siasat pengambilan secara haram kerajaan Pakatan Rakyat Perak diterima sebulat suara.

Usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun, Perak itu diterima untuk dibahaskan setelah menyedari tindakan Umno/BN merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak merupakan perbuatan yang biadap dan tidak menghormati suara rakyat.

Perwakilan Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik yang juga bendahari PAS Perak ketika membawakan usul tersebut menegaskan perlunya penubuhan suruhajaya tersebut bagi menyiasat perbuatan Umno/BN yang merasuah wakil rakyat bagi membolehkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

"Kami mencadangkan usul tergempar ini kerana tidak mahu lagi peristiwa yang berlaku di Perak berulang dinegeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

"Kerana itu kami mendesak supaya Suruhanjaya Bebas DiRaja perlu segera ditubuhkan bagi menyiasat perbuatan rampasan kuasa itu," tegas Dr Khairuddin.

Kerajaan tegas beliau perlu segera menubuhkan suruhanjya ini bagi membolehkan segala perbuatan tidak bermoral yang dilakukan untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak dapat didedahkan kepada umum.

Usul yang dibawakan itu disokong sepenuhnya oleh PAS Kawasan Shah Alam dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat melalui perwakilan mereka yang membahaskan usul tersebut.

Perwakilan Shah Alam, Khalid Samad yang membahaskan usul tersebut menegaskan, penubuhan suruhanjaya tersebut perlu disokong tanda penolakan terhadap Umno/BN.

Beliau juga menyeru semua perwakilan supaya tidak mudah terpedaya dengan agenda yang dimainkan Umno/BN yang cuba memerangkap dengan tawaran-tawaran yang amat menarik.

Selain Khalid, perwakilan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Dzulkifli Ahmad juga menyokong penuh usul tergempar yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno. Harakahdaily.

Apa hak Ibrahim Ali desak laksanakan kajian pimpinan PAS di Kelantan ?

Sekali ini sudah melampau dan tindakan lebih sudu dari kuah apabila Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali mendesak Satu kajian secara ilmiah dan akademik perlu dijalankan oleh rakyat Kelantan bagi menilai semula tahap kepimpinan parti PAS di negeri ini selama 20 tahun pemerintahan parti itu. Beliau juga ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Apakah hak beliau untuk campur tangan dalam pentandbiran dan rumahtangga PAS. Tidakkah dia sudah tahu nyawanya sudah hampir sama dengan nyawa ikan, dan beliau sudah tidak ada lagi tempat di dalam PAS. Ditambah dasar tidak mengenang budi dia sudah benar-benar dibenci oleh pemimpin dan penyokong PAS.

Paling malang UMNO pun bagi saya sangat berhati-hati untuk menerima "raja katak" ini.

Kata Raja katak lagi "Apa yang kita lihat, pemimpin di negeri ini sekarang hanya menghabiskan masa berpolitik sepanjang masa dengan berceramah tanpa henti dan memburukkan pihak lain tanpa berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat,"

Beliau turut menyarankan supaya rakyat negeri ini lebih celik dan melihat sendiri tahap pembangunan negeri pada masa ini.

Nak termuntah meneliti nasihat raja katak diatas, macamlah dia lebih hebat dari Tok Guru Mursyidul Am yang mampu memberi ceramah setiap minggu di hadapan Peja PAS di Kota baharu sehingga mampu mendidik rakyat kelantan kearah takwa kepada Allah SWT.

Tidakkah beliau sedar pilihanraya ke 12 yang lepas sebenarnya adalah lebih dari kajian ilmiah dan akdemik malah merupakan gambaran dari hasrat yang telah dilahirkan dalam bentuk kertas undi bahawa kepimpinan PAS adalah yang terbaik di Kelantan sehingga dari penggal ke 11 pentadbiran di kelantan yang PAS cuma memiliki kelebihan satu kerusi, telah bertambah dan menyisakan cuma 6 kerusi kepada BN.

Kenyataan Ibrahim tidak lebih untuk mencari populariti dalam keadaan dia sudah bersiap meninggalkan dunia politik yang beliau warnai dengan aksi lompat yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapaun setakat ini.

Orang PAS adalah saudara kami dunia akhirat - Wakil Hamas

SHAH ALAM, 7 Jun :-Saya amat berterima kasih kepada saudara-saudara saya di Malaysia, terutama dari PAS kerana telah banyak membantu kami di Gaza Palestin yang bukan sedikit jumlahnya,? tegas Syeikh Marwan dalam ceramah perdana bersama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat di Stadium Malawati Shah Alam, malam tadi.

Menurutnya, sejarah pencerobohan rejim Yahudi ke atas bumi Palestin bukanlah perkara baru, malah sejak lama kerana ia adalah perkara yang Allah S.W.T. sebut dalam kitab suci al-Quran.

Katanya, jika Islam memerintah dunia, maka ia akan sentiasa membawa keadilan kepada semua, tetapi selain Islam sudah tentu penindasan akan terus berlaku tanpa mengenal orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak termasuk harta benda awam menjadi korban seperti apa yang berlaku di Gaza, Palestin.

Walaupun perang senjata telah berkahir, tetapi rakyat Palestin menghadapi perang baru iaitu dikepung dengan tembok besar yang menyusahkan rakyat hingga terpaksa menyeberangi jalan-jalan liku, katanya.

Tidak cukup dengan itu katanya, tentera Zionis menggali lubang-lubang besar di bawah masjidil Aqsa dengan merosakkan kubur-kubur sebahagian para sahabat dan keadaan masjid berkenaan dalam bahaya.

"Kita juga tidak lupa bagaimana mereka memusnahkan masjid, universiti, sekolah, kilang-kilang yang menjadi tempat bekerja, rumah-rumah kediaman, membunuh ahli-ahli parlimen serta tokoh-tokoh pimpinan Hamas termasuk percubaan membunuh Perdana Menteri, Ismail Haniyyeh dengan segala peralatan canggih, sama helikopter, kereta kebal, mortar dan sebagainya.

?Saya secara peribadi amat berdukacita dengan sebahagian negara Arab dan umat Islam, kerana mereka hanya menjadi penonton kepada kejadian yang besar dalam sejarah tamadun manusia,? tegas Syeikh Marwan. Mereka lupa tambah beliau, bahawa Masjidil Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam, tiga masjid utama yang disebut oleh baginda Rasulullah untuk dikunjungi, apa yang penting umat Islam perlu sedar bahawa Yahudi bukan sahaja menjadi musuh kepada Arab, akan tetapi menjadi musuh kepada semua bangsa manusia di dunia ini. Harakahdaily.

PAS mahu Sisters In Islam diharam jika langgar syariat Islam

Muktamar Tahunan PAS Ke-55 menggesa kerajaan mengharamkan Sisters in Islam (SIS) jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Gesaan itu terkandung dalam salah satu yang diterima tanpa bahas hari ini.

Sesi perbahasan sedang berlangsung.

Usul itu dikemukakan oleh PAS kawasan Shah Alam.

Usul itu antara lain berbunyi menyedari bahawa aliran dan pandangan dibawa oleh SIS boleh mengelirukan masyarakat, mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Muktamar PAS sedang membahaskan tiga usul dan ada usul yang diterima tanpa perbahasan. Mstar.



Periksa Semua Projek Era Idris

oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

JABATAN Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu perlu bertindak pro aktif dengan memeriksa semua projek mega atau tidak mega yang dibuat era kepimpinan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, walaupun Menteri Besar (MB), Datuk Ahmad Said hanya mengarahkan tiga projek mega diperiksa.

Tiga projek mega yang diarahkan diperiksa ekoran runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, iaitu Terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Pengarah JKR negeri, Rosly Zainal pula ketika menyambut arahan itu berkata, usaha sedang dibuat untuk mengumpul satu pasukan jurutera untuk memeriksa tahap keselamatan tiga projek mega yang baru siap di negeri ini.

Sepatutnya, walaupun tanpa apa-apa arahan, JKR Negeri Terengganu perlu bertindak menjalankan pemeriksaan berkala terhadap keselamatan bangunan-bangunan dan semua projek yang dibuat dalam era bekas Menteri Besar Terengganu, DSIJ yang dikatakan seorang pemimpin bertaraf dunia.

Tidak usah tunggu arahan. Lagipun, dari kenyataan MB Terengganu, permintaan supaya JKR memantau bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sudah dibuat tetapi belum ada apa-apa tindakan sehinggalah bumbung itu runtuh.

Kalau boleh, JKR Negeri menjalankan siasatan terhadap tahap keselamatan iaitu menjurus kepada aspek teknikal dan reka bentuk serta sama ada pembinaan tiga projek itu mengikut spesifikasi atau tidak.

Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula mestilah terus menjalankan siasatan terhadap pelbagai spekulasi yang mengaitkan pembangunan projek-projek mega di Terengganu dengan unsur-unsur rasuah dan penyelewengan.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga perlu mempunyai jawatankuasa sendiri menyiasat kawan-kawannya, khususnya bekas-bekas Ketua Pemuda Umno bahagian, kalau-kalau mereka juga terkait dan terlibat dengan projek mega yang runtuh ini.

Jangan nanti, selepas JKR dapat jawapan, SPRM tahu cerita sebenarnya, tetapi Hishammuddin masih terkial-kial menerima pelbagai cerita palsu dari kawan-kawannya yang kebulor jawatan di dalam Umno negeri, hingga menyebabkan Hishammuddin tersilap membuat perhitungan.

Jesteru, Presiden Umno dan timbalannya, patutlah menimbang semula perlantikan Hishammuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu kerana kemelut politik Terengganu bukan disebabkan Datuk Ahmad Said sebaliknya disebabkan ‘ada kisah pembangunan projek mega’ yang mahu diselidungkan dari pengetahuan umum.

Hari ini, selepas bumbung stadium runtuh, ia mendedahkan banyak perkara. JKR kena siasat. SPRM kena siasat. Orang-orang politik kena siasat dan yang penting, jika ada bukti, hadapkan mereka ini ke muka pengadilan kerana mereka ‘tidak amanah ketika diberikan amanah’ untuk pembangunan negeri.

JKR tidak perlu menunggu arahan kerajaan negeri, tetapi mestilah mempunyai inisiatif untuk mengambil tanggungjawab mencegah lebih baik dari mengubati manakala SPRM juga sepatutnya tidak menunggu sehingga bumbung stadium runtuh baru hendak sibuk-sibuk merakamkan gambar-gambar bagi tujuan penyiasatan.

PAC di peringkat negeri dan PAC di peringkat Parlimen juga perlu turun menjalankan siasatan. Jangan cuba menyembunyikan sesuatu. Jika ia tidak disiasat dan tidak dibendung, penyakit ini akan terus merebak dan akhirnya, bukan sahaja bumbung stadium runtuh, malahan, kerajaan juga akhirnya akan runtuh.

Sehingga hari ini, selepas kejadian bumbung stadium runtuh, tidak kedengaran suara Geng 10 yang membidas Datk Ahmad Said melantik bekas pemandu ambulan menjadi pengerusi sebuah syarikat kerajaan negeri (GLC).

Tetapi lebih baik rasanya memberi tempat kepada orang yang tidak berpendidikan tinggi jika nyata mereka tidak menyeleweng, daripada meletakan seseorang yang mendakwa bertaraf dunia tetapi melantik kontraktor yang hanya mampu memasang bumbung yang boleh bertahan, setahun sahaja.

Ramai yang merindui cerita Geng 10 yang cukup hebat menyerang kepimpinan Menteri Besar. Mereka sepatutnya turut menyerang mereka yang bertanggungjawab membina stadium yang bumbungnya boleh runtuh sedangkan mereka melantik kontraktor dari luar Negara.

Geng 10, di manakah pakar-pakar strategi yang mereka ada kerana pakar-pakar ini sepatutnya digunakan untuk menjalankan kerja-kerja yang baik dan bukan membuat kerja menghantar sms bernada ugutan dengan niat mahu memboikot persidangan DUN Terengganu.

Ingat! Semua pihak yang bertanggungjawab, hendaklah menjalankan pemeriksaan terhadap semua projek terdahulu dan jika perlu, siasat juga siapa sebenarnya kontraktor yang mendapat projek ini…hem,hem,hem….orang kampong semua dah tahu!

Influenza H1N1: Malaysia catat kes ke-7

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan kes ketujuh positif Influenza A(H1N1), melibatkan seorang pelajar perempuan warga Australia yang datang ke Malaysia bersama-sama ibunya untuk menziarah saudara mara mereka di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata mereka tiba di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) dari Melbourne, Australia pada pukul 7 pagi semalam melalui penerbangan Air Asia X D7 2723.

"Beliau didapati mempunyai suhu badan yang tinggi semasa saringan demam menggunakan thermoscanner di LCCT, dan daripada pemeriksaaan lanjut oleh pasukan perubatan bertugas, beliau memberi riwayat telah mula demam, batuk dan sakit tekak sejak sehari sebelum tiba di Malaysia," kata Dr Mohd Ismail.

Katanya pelajar itu yang didapati mempunyai tandatanda jangkitan influenza terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8.15 pagi dan dimasukkan ke wad khas pada 9.50 pagi dan disahkan menghidap jangkitan influenza A(H1N1) itu pada pukul 10.34 malam hari yang sama.

Menurut beliau, pelajar itu telah diberikan rawatan antiviral dan kini dalam keadaan stabil.

Semalam, Malaysia mengesahkan kes keenam positif Influenza A(H1N1), melibatkan seorang pelajar Malaysia yang menetap di New York dan pulang ke tanah air pada Rabu lepas dan keseluruhan tujuh kes ini adalah kes import.

Dr Mohd Ismail berkata ibu pelajar Australia itu tidak menunjukkan tanda jangkitan dan sedang diletakkan di bawah kuarintin rumah.

Pesawat Air Asia tersebut dilaporkan membawa 258 orang penumpang dan pesakit terbaru ini duduk di kerusi 31A.

Kementerian Kesihatan meminta semua penumpang pesawat tersebut terutamanya yang duduk di tiga baris di hadapan, belakang, kiri dan kanan agar menghubungi kementerian di talian 03-88810200 atau 03-88810300 antara pukul 8 pagi dan 9 malam.

Pada masa ini, beliau berkata seramai 143 kontak sedang diletakkan di bawah kuarintin rumah dan kesemuanya berada dalam keadaan sihat tanpa gejala jangkitan ini.

Kontak-kontak ini melibatkan kes ketiga, keempat, kelima, keenam serta kes ketujuh yang melibatkan seorang kontak.

Katanya kementerian sedang mengesan kontak-kontak lain termasuk penumpang penerbangan yang sama dengan kesemua kes tersebut.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sehingga 8 pagi ini, turut melaporkan dua lagi negara iaitu Barbados dan Arab Saudi dengan masing-masing satu kes Influenza A(H1N1).

Pada masa yang sama, sejumlah 22,092 kes dengan 125 kematian dari 69 negara telah dilaporkan. Mstar.

Husam akan terus berjuang untuk PAS

Bekas Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa menegaskan beliau akan tetap meneruskan perjuangan bersama PAS.

Beliau yang tewas pertandingan jawatan Timbalan Presiden menegaskan kekalahan bukan bererti segala pandangan politiknya akan terhenti sebaliknya percaya rakan-rakan yang memenangi jawatan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan meneruskan pandangan beliau.

Husam menjelaskan, sejak awal lagi beliau sudah menjangka akan mengalami kekalahan dan menawarkan diri untuk menyatakan pandangan politiknya.

Beliau menolak tanggapan mengatakan pandangan politiknya ditolak perwakilan kerana calon-calon Naib Presiden dan AJK PAS Pusat mempunyai pandangan yang sama dengan beliau.

"Saya menerima kekalahan ini dengan hati yang terbuka dan sudah menjangkakan sejak awal akan tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden.

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakan saya, Nasharudin Mat Isa yang berjaya mengekalkan jawatan yang disandang.

"Saya akan tetap bersama PAS dan akan terus berjuang untuk memastikan PAS bersama Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan pusat dalam pilihan raya umum ke-13 atau pada bila-bila masa," tegas beliau dalam satu sidang media sebentar tadi.

Husam juga menjelaskan, kekalahan beliau tidak akan memberikan kesan kepada pemerintahan Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan kerana PAS tidak memerintah berdasarkan individu sebaliknya kerana kekuatan parti.

Beliau untuk sekalian kalinya menegaskan penolakan sebarang perundingan untuk bersama Umno sebaliknya akan memastikan PAS menggantikan parti tersebut.

"Saya tidak faham kenapa ketika rakyat menolak Umno dan menerima PAS, kita mahu bersama mereka... sepatutnya mereka datang kepada kita bukan kita pergi kepada mereka. PAS perlu ganti Umno bukan bersama Umno," tegas beiau.

Biarpun tewas, Husam tetap menjadi buruan media untuk mendapatkan pandangan politiknya yang bernas dan tajam. Ini terbukti ketika turun ke pentas untuk ke tandas, beliau dikejar wartawan untuk mendapatkan respons dan komen mengenai keputusan pemilihan. Harakahdaily.

Nizar terkejut

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin terkejut ketika diumumkan sebagai AJK PAS Pusat dengan memperolehi jumlah undi terbanyak 854.

Beliau ketika ditemui berkata tidak menyangka akan diundi oleh perwakilan kerana menganggap dirinya masih baru dalam PAS.

Katanya, kemungkinan ada konflik diantara calon di peringkat Timbalan Presiden PAS yang menyebabkan perwakilan berbelah bagi sehingga mereka mahu menumpukan penyatuan dan menimbulkan semula suasana tersebut.

Bagaimanapun beliau tetap mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh perwakilan yang telah memberikan keyakinan untuk memikul tanggugjawab yang berat dalam PAS Pusat.

"Sebagai orang baru saya kena belajar daripada AJK yang lama," katanya.