07 June 2009

PAS Perak desak henti rundingan dengan Umno

PAS Perak menggesa kepimpinan PAS pusat agar tidak meneruskan rancangan untuk mengadakan rundingan sulit dengan Umno demi kepentingan sokongan terhadap parti tersebut bagi memenangi pilihanraya umum yang ke-13.

"Saya cadangkan jangan ada rundingan sulit dengan Umno sama ada di peringkat negeri atau pusat.

"Lupakan sahaja Umno, tetapi dalam masa yang sama, jangan sisihkan orang Umno," kata Dr Khairudin Abdul Malik.

Katanya, kemelut politik yang berlaku di Perak sejak Februari lalu, adalah disebabkan oleh rampasan kuasa 'ala Fiji dan Zimbabwe' yang dilakukan oleh Umno.

Beliau berkata demikian sewaktu membahaskan ucapan dasar presiden yang bertemakan "Islam Memimpin Perubahan".

Dr Khairuddin juga menyatakan keyakinan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat mampu merampas kembali negeri tersebut, kerana jasa dan khidmat gabungan tersebut sudah berada di dalam minda rakyat Perak.

Kemampuan PAS dan Pakatan Rakyat mentadbir dalam masyarakat majmuk di Perak, turut memberi keyakinan kemenangan parti dalam pilihanraya akan datang, tambahnya.

Sementara itu, Yang dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengingatkan pemimpin-pemimpin PAS yang cenderung untuk bergabung dengan Umno supaya tidak berbuat demikian.

"Umno bukan jenis boleh buat kawan. Dia (Umno) spesis tikam belakang. Bergabung dengan Umno seperti merelakan orang Melayu terdedah kepada ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin," katanya.

Wan Abdul Rahim turut mengingatkan bahawa kerjasama dengan Umno sangat ditentang keras oleh Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Malaysiakini.

PAS Perak lancar kempen bubarkan Dun Perak

SHAH ALAM, 6 Jun :- Kira-kira jam 4.20 petang Stadium Malawati bergema dengan laungan takbir dan bubarkan Dun Perak apabila barisan pimpinan yang berada di pentas dipakaikan 'arm band' hitam bertulis "Bubarkan Dun" oleh perwakilan Perak.

Sejurus itu juga seluruh hadirin berdiri untuk memberi sokongan apabila Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa diberi penghormatan untuk melancarkan kempen pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak sempena persidangan Muktamar Tahunan ke-55 hari ini.

Pelancaran tersebut biarpun berlangsung tidak sampai sepuluh minit namun ia meninggalkan kesan atau catatan sejarah kepada semua perwakilan dan hadirin.

Ini dapat disaksikan apabila secara sepontan dewan bagaikan berada di 'medan tempur'.

Suasana dewan bertambah semangat apabila Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli mengetuai hadirin melaungkan "bubar Dun Perak".

Sebelum itu, Nasharuddin yang bangun berucap dengan penuh semangat berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk pertahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

"Hari ini sudah sampai ke peringkat maksimum ditunjukkan rakyat Perak. Kesabaran mereka terbukti dalam pilihan raya di Bukit Gantang.

"Cuma rakyat Perak tidak turun di jalan raya walaupun hak mereka dicabul dan dirampas kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Sehubungan itu katanya, hari ini sekali lagi pimpinan PAS dan rakyat mendesak Dun Perak dibubarkan secepat mungkin. Harakahdaily.

Tahniah kepada yang terpilih .

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama-sama barisan kepimpinan parti yang baru, Timbalan Presiden Ust. Nasharuddin Mat Isa (dua dari kiri). Bagi jawatan Naib Presiden YB. Salahuddin Ayub (kiri), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kanan) dan Datuk Mahfuz Omar (kanan) pada Muktamar PAS di Stadium Malawati Shah Alam. (Gambar Mstar)


Nasharuddin kekal timbalan presiden

Nasharuddin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan timbalan presiden PAS dalam pemilihan parti itu semalam.

Pengumuman kemenangan beliau mendapat tepukan gemuruh para perwakilan, walaupun sebelum ini - sehingga saat-saat akhir - Husam dikatakan menang jawatan tersebut.

Nasharuddin mendapat 480 undi, Datuk Husam Musa (281) dan seorang lagi calon, Mohamad Sabu mendapat 261 undi.

Ekoran kekalahan beliau, Husam dan Mohamad Sabu yang sebelum ini merupakan naib-naib presiden PAS, tidak lagi memegang sebarang jawatan tinggi parti di peringkat pusat.

Pengerusi pemilihan, Datuk Mustafa Ali mengumumkan keputusan tersebut pada kira-kira jam 10 pagi ini.

Bagi jawatan naib presiden pula, pemenangnya - seperti yang dijangkakan - ialah Salahuddin Ayub yang mendapat 824 undi, Tuan Ibrahim Tuan Man (871) dan Mahfuz Omar (636).

Dua lagi calon - Mujahid Yusof Rawa mendapat 277 undi manakala Nik Amar Nik Abdullah memperolehi 333 undi

Mujahid bagaimanapun berjaya terpilih menganggotai Jawatankuasa Pusat PAS.

Berikut adalah senarai 18 ahli Jawatankuasa Pusat PAS ialah:

Datuk Mohd Nizar Jamaluddin - 854
Idris Ahmad - 799
Kamaruddin Jaffar - 769
Datuk Seri Azizan Abdul Razak - 653
Datuk Dr Hassan Ali - 642
Dr Hatta Ramli - 638
Abdul Ghani Shamsudin - 637
Datuk Abu Bakar Chik - 622
Mohamad Hanipa Maidin - 619
Amiruddin Hamzah - 606
Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali - 589
Abdul Ghani Abdul Rahman - 584
Dr Zulkifli Ahmad - 576
Syed Azman Syed Ahmad Nawawi - 530
Hashim Jasin - 522
Mazlan Aliman - 513
Taib Azamuddin Mohd Taib - 508
Mujahid Yusof Rawa - 448

Mustapa juga turut mengumumkankeputusan jawatan timbalan pengerusi tetap yang dimenangi oleh Husin Ismail yang mendapat 609 undi.

Dua lagi calon - Ishak Surin mendapat 200 undi manakala Tengku Puji Tengku Abdul Hamid memperolehi 199 undi.

Jawatan pengerusi tetap dimenangi Abu Kassim Abdullah tanpa bertanding.

Lebih 1,000 perwakilan mengundi semalam dan pengiraan selesai sehingga awal pagi ini.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal sebagai presiden tanpa bertanding.

Muktamar ke-55 PAS sedang berlangsung selama tiga hari di Shah Alam. Malaysiakini.

Nasharudin Mat Isa menang Timbalan, Naib Salahudin, Tuan Ibrahim dan Mahfuz

SHAH ALAM, 6 Jun : - Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Muktamar PAS ke-55, Dato' Mustafa Ali mengumumkan, Ustaz Nasharudin Mat Isa menang jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan, Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Bagi jawatan Naib Presiden, Salahudin Ayub, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Mahfuz Omar menewaskan dua lagi pencabar, Mujahid Yusof Rawa dan Nik Amar Nik Abdullah.