04 June 2009

Nizar Fail Rayuan Ke Mahkamah Persekutuan 8 Jun

Walaupun masih belum menerima penghujahan bertulis keputusan Mahkamah Rayuan 22 Mei yang mengesahkan Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar, namun ini tidak menghalang langkah Mohammad Nizar Jamaluddin untuk memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

"Kita masih belum menerima penghujahan bertulis daripada Mahkamah Rayuan. Walau bagaimanapun setelah berbincang dengan peguam pihak kami akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan pada hari Isnin 8 Jun depan," kata Nizar.

Tambahnya pasukan peguam beliau akan memohon agar rayuan beliau akan didengar oleh panel penuh sembilan hakim.

Hakim Mahkamah Rayuan Md Raus Sharif sebelum ini berkata penghakiman bertulis akan dikeluarkan pada 29 Mei.

Bagaimanapun faks daripada pejabat Mahkamah Rayuan memberitahu bahawa mahkamah tersebut masih dalam proses menyediakan penghakiman bertulis tersebut menurut peguam Nizar, Leong Cheok Leng.

"Kita berharap akan menerima dokumen tersebut pada minggu ini supaya kami dapat bersedia untuk proses rayuan kepada Mahkamah Persekutuan," katanya.

Nizar mempunyai tempoh masa sebulan daripada tarikh keputusan secara lisan untuk memfailkan rauian beliau.

Beliau akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang apabila Parlimen menyambung sidang 15 Jun depan. (TV Antara)

Tiada niat bersama Umno, BN

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa memperjelaskan bahawa kepemimpinan tertinggi parti itu tidak pernah mempunyai sebarang niat atau perancangan untuk bersama dengan Umno atau BN.

Sebaliknya, kata beliau, ia hanyalah spekulasi semata-mata.

"Saya percaya adik-adik saya dalam Dewan Pemuda PAS bersama-sama saya dalam agenda ini," katanya ketika berucap merasmikan muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) di markas PAS di Taman Melewar Gombak malam ini.

"Akan kita pertahankan parti ini dari sebarang unsur yang cuba merobek dan menggangu keutuhan jemaah kita," katanya sambil menambah bahawa Islam yang diperjuang parti itu berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

"Al-Quran dan al-Sunnah yang megajar kita untuk mengenal siapa musuh dan siapa kawan, ketika mana hendak berperang dan ketika mana pula hendak untuk berdamai," katanya.

Sehubungan itu, katanya, prinsip dan dasar Islam yang perjuangkan oleh PAS tidak sesekali akan berganjak.

"Namun kaedah dan uslub (pendekatan) boleh berubah," tambah Nasharuddin yang dikaitkan dengan kumpulan pro-muqabalah yang cenderung berkerjasama dengan Umno.

Beliau akan mempertahankan jawatan timbalan presiden PAS dalam muktamar parti itu Jumaat ini - berdepan dengan dua pencabarnya - Datuk Husam Muda dan Mohamad Sabu - kedua-dua naib presiden PAS.

Perkukuh saf Pakatan Rakyat

"Kita akan perkukuhkan saf kita sendiri dan juga saf Pakatan Rakyat yang telah kita isytiharkan sebagai wadah politik kita untuk berdepan dengan Umno dan BN," katanya.

Bagaimanapun, Nasharuddin menasihat Pemuda PAS supaya jangan lupa bahawa "kita sebagai da'i (pendakwah) bertanggungjawab kepada mad'u (orang didakwah)".

"Semua di luar sana adalah mad'u kita. Kita akan terus ajak mereka untuk bersama dengan kita, berbincang, berdialog tanpa mengira siapa mereka dan ideologi politik atau kefahaman apapun yang mereka miliki," tegasanya.

Menurutnya, PAS juga mesti menjadi sebuah parti yang perlu dijenamakan semula.

"Bukan sekadar sebagai parti pembangkang tetapi PAS kini adalah sebuah parti Islam yang bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negara dalam masa terdepan dan membawa kepimpinan alternatif kepada seluruh rakyat Malaysia, dengan izin Allah.

"Minda dan tindakan kita perlu dididik dan bersedia menjadi pentadbir sebenar sebuah kerajaan," tambahnya.

Nasharuddin juga meminta ahli parti itu agar sentiasa berada dalam kancah masalah rakyat dan menangani masalah mereka.

Pertahankan syura

"Bukan hanya menuding jari kepada kerajaan, sebaliknya agresif dalam menyelesaikan kekusutan yang tersimpul dek kerana kesesatan dalam memimpin rakyat," tambahnya.

Nasharuddin juga menasihatkan Dewan Pemuda PAS supaya menampil dan memasarkan politik dan produk dakwah serta mempotretkan kepimpinan bermodelkan Islam dengan sebaik-sebaiknya.

Di samping itu, tegasnya, Pemuda juga hendaklah terus mempertahankan syura (bermesyuwarah)

"Kita perlu memperbetulkan amalan yang biasa dilakukan dan membiasa amalan yang betul.

"Kita mesti berani membuat reinvention dan rebranding yang menepati sasaran dakwah kita.

"Jangan kita berlaga sesama sendiri. Jangan kita berdusta sehingga membungkar rahsia tanzim (organisasi) kita.

"Jagalah adap-adap berjemaah dan jangan sekali-kali membiarkan diri kita dipergunakan musuh sama ada kita sedar atau sebaliknya," tegasnya.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Nasharuddin ditanya sama ada intipati ucapannya bertujuan untuk mempertahankan jawatannya.

Dalam reaksinya, timbalan presiden PAS itu berkata beliau bercakap untuk memperjelaskan dasar parti dan tiada niat sedemikian.

Beliau juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai cabaran Husam dan Mohamad Sabu bagi jawatan timbalan presiden Jumaat ini.

(malaysiakini)

Sampai syurga tapi tidak boleh masuk

Ahmad Baei Jaafar

Peminat drama Melayu mungkin tidak melepaskan peluang menonton drama cerekarama TV3 setiap minggu. Minggu ini saya sempat menonton drama tersebut yang bertajuk "Sampai Syurga" kerana ingin melihat sendiri bagaimana tajuk itu didramakan. Mana tahu kalau dengan drama itu boleh menyedarkan penonton.

Sepanjang menonton itu saya terus mencari di mana sewajarnya "sampai syurga" diberi nama pada drama itu. Namun dari satu babak ke satu babak, tidak saya temui kewajarannya. Cuma pada akhir drama itu, baru tersingkap jawapannya apabila seorang artis (watak utama) mengakhiri sebuah lagu dengan menyebut ayat "sampai syurga".

Siapa yang sampai ke syurga dalam drama itu? Dapatkah anda menjawab persoalan itu dengan tepat? Mungkin ramai yang berkata, si ayah akan sampai ke syurga. Yalah, kerana ayah yang banyak berkorban tetapi tidak dikenang sedikit pun oleh anak sendiri.

Memang sedih apabila melihat sikap si anak orang kampung yang sejak sekolah tidak berminat untuk belajar, tetapi bapa tunggal yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang terus dibebani dengan masalah anaknya itu. Si ayah yang susah terpaksa mencari wang dengan pelbagai cara untuk mengikut kehendak anaknya.

Si ayah terpaksa menjaul jam tangan yang dihadiahkan syarikat kepada kawannya hanya kerana untuk membeli alat pemain karaoke bagi mengelak anak keluar malam. Akhirnya anaknya ponteng sekolah atas alasan tidak boleh menerima pelajaran lagi. Si ayah yang marah dengan sikap anaknya itu akhirnya akur dan menurut kehendak anaknya.

Dipendekkan cerita, dia yang bercita-cita untuk menjadi artis tercapai juga. Tetapi apabila anak itu sudah terkenal, sudah disebut namanya di mana-mana media, dia malu untuk menerima kehadiran ayahnya. Namun ayah tetap akur dan balik semula ke kampung walaupun telah melalui jalan yang sukar untuk menemui anaknya di Bandar. Paling menyedihkan pada saya ayahnya nazak dia masih tidak mahu pulang menemui ayahnya.

Agaknya, wajarkah si ayah ini sampai ke syurga? Penderitaannya melalui ujian dan dugaan daripada anaknya itu, wajarkah dia dibawa sampai ke syurga? Kekejaman anaknya yang boleh dikatakan derhaka itu, selayaknyakah si ayah itu sampai ke syurga?

Saya bersimpati dengan ayah ini, tetapi penderitaan yang dialaminya itu adalah atas kesilapan dan dosanya sendiri. Wajarkah ayah yang terus menurut kehendak anaknya melakukan dosa dan maksiat, menyanyi dan bergaul bebas dibawa ke syurga? Layakkah si ayah sampai syurga kalau dia tidak pernah mendidik iman anaknya sehingga akhirnya dia menjadi anak derhaka?

Sebenarnya berdasarkan kisah itu, si ayah ini tidak layak untuk sampai ke syurga. Kalaupun ada orang yang hendak mempertahankan kebaikan ayah itu, kononnya dia patuh kepada ajaran Islam, solat, puasa dan sebagainya setiap hari, maka layaklah dia sampai ke syurga. Ya, saya boleh terima pandangan itu tetapi si ayah ini termasuk dalam kategori muflis seperti yang disabdakan oleh Rasulullah.

Maknanya walaupun dia orang baik-baik, tetapi pahalanya habis diberikan kepada orang lain. Anaknya minta dan isterinya minta dan kawan-kawannya minta. Akhirnya stok pahalanya tinggal kosong. Persoalannya, adakah si ayah ini seperti orang baik-baik tersebut?

Ya, kalau si ayah itu seperti orang baik-baik di atas, dia kemungkinan sampai ke syurga tetapi tidak dibenarkan masuk ke dalamnya oleh malaikat kerana dituntut oleh anaknya. Kalau si ayah banyak pahalanya bolehlah diberikan kepada anaknya. Tetapi yang jelas dalam drama itu, si ayah tidak melakukan solat dan ibadah lain. Dalam keadaan itu, sudah tentu dosa anaknya turut diambil oleh si ayah. Begitulah nasib si ayah yang terlalu mengikut kehendak anaknya. Dalam keadaan itu, tentu neraka tempat yang sesuai un?uknya.

Bagi si anak yang secara jelasnya adalah tergolong dalam anak derhaka, yang pastinya dia berdosa apatah lagi dia sering terlibat dengan pergaulan bebas dengan lelaki. Pergaulan dengan lelaki seperti kehidupan suami Isteri. Walaupun berdosa sebesar itu, namun dosanya itu adalah kerana kegagalan si ayah mendidiknya sejak kecil hingga dewasa. Jadi walaupun dia menyanyikan lagu "sampai syurga" tidak akan sampai ke syurga kerana yang pasti tiada pahala ayahnya yang boleh dipindahkan kepadanya ketika itu.

Berdasarkan drama ini, ibu bapa yang mempunyai anak, harus kembali kepada ajaran Islam dan didik mereka sejak kecil dengan didikan yang betul. Didiklah mereka dengan solat, akhlak harus dibiasakan dengan tatasusila yang indah. Manakala anak-anak pula, patuhilah perintah Allah dan ibu bapa dalam segala yang diperintahkan selagi tidak bertentangan dengan kehendak Islam. Ingatlah ibu bapa tidak akan mahu anaknya menderita di dunia ini apatah lagi di akhirat.

Oleh sebab itu sebagai umat Islam, yakinlah bahawa syurga hanya akan menjemput anda semua jika semua ajaran Islam dapat dipatuhi dengan sepenuhnya. Yang haram dijauhi, yang makruh ditinggalkan, yang wajib ditunaikan, yang sunat dikejari, dan yang harus mahu dijadikan ibadah. Lima hukum ini jika dianggap remeh, kononya yang haram "tak apa boleh bertaubat", yang makruh, "tidak mengapa, tidak berdosa", yang wajib "tak buat tak apa nanti kadalah", yang sunat, "tak payahlah bukan wajib". Kata-kata ini adalah do?a yang menyebabkan seseorang tidak berpeluang untuk sampai ke syurga, apatah lagi memasukinya.

(Email pada 4 Jun 2009)

Selamat "menoreh" UMNO di manek Urai

Oleh: WFAUZDIN NS

SELAMAT Datang Umno ke Manek Urai dan selamat juga diucapkan kepada jentera-jentera Umno yang akan menjadi `orang susah serta fakir miskin' di Manek Urai untuk beberapa minggu ini. Kepada yang bakal menjadi `penoreh sambilan' di Manek Urai, kita harap akan dapat bekerja dengan baik, telus dan berdisiplin tanpa melukakan pokok-pokok getah nanti. Jangan lupa kepada penduduk-penduduk di Manek Urai khususnya kepada penoreh-penoreh getah, anda boleh lah mengambil `cuti' tahun untuk beberapa minggu ini kerana anda akan dapat `penoreh' sementara untuk menyara keluarga anda.

Satu lagi strategi terbaik Umno akan dipamerkan di Manek Urai bagi membuktikan Umno sentiasa membela nasib orang-orang Melayu. Saya tidak pasti samada di masa akan datang terutamanya di Sarawak, apakah Umno/Bn akan turun `bercawat' atau memasang tindik besar di telinga sewaktu turun berkempen di kawasan pengundi orang-orang Penan. Begitulah keadaannya jika pemimpin sudah kehabisan idea bagaimana untuk membantu rakyat bawahan sehinggakan sanggup melakukan perbuatan aneh lagi melucukan.

Apakah pengundi-pengundi di Manek Urai akan menjadi `bodoh' selepas melihat aksi lawak antarabangsa Umno nanti? Kembali kita kepada pesanan Tuan Guru Nik Aziz yang juga MB Kelantan, apabila `diberi gula kita ambil, diberi kain kita pakai, diberi kerbau kita seret, tetapi undi PAS". Kini, kita tambah satu lagi ayat tersebut iaitu `apabila diminta pisau toreh, kita asahkan dan beri pada dia dan kita tidor di rumah, tetapi undi tetap PAS". Saya merasa khuatir bila mengingatkan bagaimana keadaan pokok-pokok getah itu nanti bila berebut-rebut puak-puak Umno dari jauh ini datang untuk menunjukkan kebolehannya menoreh. Lebih dikhuatirkan lagi apabila mereka bercadang pula untuk tidor di rumah-rumah penduduk di Manek Urai. Tidak dapat dibayangkan sekiranya tuan rumah mengajak mereka yang tidor di rumahnya itu sembahyang berjemaah dan menyuruh mereka ini menjadi Imam. Kalau sembahyang Zohor atau Asar boleh berkira juga, tetapi kalau sembahyang Maghrib, Isyak atau Subuh kena lah si Imam berkuat sedikit suaranya. Bayangkan jika yang datang menumpang tidor itu tidak pernah menjadi Imam, tentu melucukan.

Apa pun memang baik sangat Umno berbuat demikian. Maklumlah dengan cara apa lagi Umno nak buktikan kepada pengundi-pengundi di Manek Urai bahawa Umno sekarang ini sanggup bersusah payah bersama rakyat walaupun seminggu dua. Biarkan sahaja Umno dengan gelagatnya itu. Itulah kelebihan Ketua Penerangan Umno yang baru dan diharapkan beliau juga akan turut menoreh bersama nanti. Menteri Penerangan pun boleh turun ke Manek Urai untuk menoreh kerana Rais Yatim adalah orang Jelebu yang kawasannya sendiri pun penuh dengan hutan bukit bakau yang tentunya sudah menjadi kebiasaannya.

Kepada pengundi-pengundi di Manek Urai, gunakanlah peluang ini untuk anda melihat sandiwara semasa oleh Umno. Apa yang penting, selepas Umno `menoreh' di kawasan anda, tentukan kita `toreh' pula Umno di peti undi nanti. Selamat `menoreh' Umno di Manek Urai.

Lain-lain artikel sila klik ---> wfauzdin.blogspot.com

69 OKT Sidang DUN 7 Mei Lapor di IPD Ipoh esok.

Kesemua 69 Orang kena Tahan (OKT) pada hari Persidangan DUN Perak pada 7 Mei lepas akan melapor di IPD Ipoh pada jam 10.00 pagi esok. Mereka adalah Ahli Parlimen, ADUN dan penyokong Pakatan Rakyat yang berada diluar dewan pada hari persidangan..

Saya akan berada di lokasi esok hari untuk memberi sokongan kepada mereka yang berkorban demi menghidupkan demokrasi yang telah dimatikan di Perak dan di Malaysia. Sekaligus saya akan menghatar berita-berita terkini untuk tatapan anda dalam blog Cina Islam.

Kepada seluruh penyokong pakatan Rakyat yang berkelapangan, saya menyeru supaya hadir sama untuk memberikan sokongan kepada OKT tersebut.

PAS kenal pasti calon pilihan raya DUN Manek Urai

KOTA BAHARU: PAS sudah mengenal pasti calonnya yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai pada 14 Julai ini, tetapi masih belum mahu mendedahkan nama calon tersebut.

"Kita sudah ada nama calon yang akan diletakkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Manik Urai dan biasanya akan mengumumkan seminggu sebelum pilihan raya," kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS tidak menghadapi masalah dalam menentukan calon kerana ramai calon dari parti itu yang berkelayakan.Pilihan raya Manik Urai diadakan berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaacob, 60, dari PAS pada 22 Mei lalu.

Ditanya pula sama ada beliau memberi sebarang petunjuk dalam pemilihan calon bagi jawatan Timbalan Presiden PAS pada muktamar agung parti itu di Shah Alam Jumaat ini, Nik Aziz berkata beliau menyerahkan kepada para perwakilan dalam menentukan calon tersebut. Mstar.

Raja Muda perkenan bina masjid Cina Muslim.

IPOH – Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah perkenan meluluskan permohonan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Taman Tasek Jaya Ipoh bersama Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh untuk membina sebuah masjid baru di Taman Tasek Jaya Ipoh.

Baginda bertitah, kerajaan yang diterajui oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 10 Ogos 2005 telah bersetuju merizabkan kawasan seluas 3,776 meter persegi di Taman Tasek Jaya bagi tujuan pembinaan masjid itu.

Titahnya, reka bentuk masjid tersebut akan menerima pakai ciri-ciri seni bina kebudayaan Cina.

“Masjid ini akan dapat menjadi pusat ibadat, pusat perkembangan ilmu, pusat maklumat, pusat kemasyarakatan untuk manfaat tujuh kawasan perumahan iaitu Taman Seri Tasek, Taman Tasek Baru, Taman Manikavasagam, Taman Tasek Jaya, Taman Musim Bunga, Taman Tasek Mutiara dan Taman Tasek Berlian.

“Beta suka menyarankan supaya komponen pusat niaga dan kafeteria turut dimasukkan supaya masjid ini memiliki kemudahan yang lengkap,” titah baginda pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 166 di sini, semalam.

Baginda turut mengumumkan geran pelancaran sebanyak RM2 juta yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak untuk pembinaan masjid itu.

Selain itu, baginda menghargai peranan aktif salah seorang ahli Majlis, Tan Sri Datuk Dr Ahmad Azizuddin Zainal Abidin yang berperanan menjadi penasihat utama kepada projek berkenaan di samping Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah dan Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor Al-Hafiz.

Titah baginda, keindahan dan kesempurnaan Islam akan lebih terserlah dan meyakinkan jika kegiatan yang dianjurkan atas nama Islam dapat diterjemahkan kepada masyarakat.

"Islam tidak hanya indah secara teori bahkan lebih terserlah dalam amalan hidup seharian.

“Contoh teladan yang murni dan sifat `kota apa yang dikata’ merupakan pendekatan dakwah lebih ketara dan bermakna berbanding aktiviti berbentuk kuliah dan ceramah," titah Baginda.

Baginda juga mengingatkan rakyat jelata tentang kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa di kalangan umat manusia sebagai rahmat ciptaan Allah SWT yang mesti dimanfaatkan untuk membuktikan bahawa Islam adalah universal.

Titahnya, ciri-ciri budaya yang pelbagai adalah cermin kekayaan Maha Pencipta dan Islam tidak menolak budaya yang tidak bercanggah dengan prinsip ajarannya.

“Selagi budaya tersebut tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam, perkembangannya tidak harus disekat atau dihalang.

“Kegagalan mentafsir kepelbagaian budaya dan bahasa merupakan satu kelemahan yang perlu diatasi," titahnya.

Justeru itu, Baginda berkata, persepsi Islam jangan sama sekali disempitkan, penjelasan antara konsep dan hubung kait agama dengan budaya dan kumpulan etnik perlu difahami.

"Agama Islam untuk umat dunia tanpa ada sempadan kaum atau budaya Islam bukannya hanya milik Melayu," titah Baginda.

Komen Cina Islam:

Dalam Persidangan Bajet DUN Penggal ke 12 , semasa memnjadi pembahas pertama mewakili Pakatan Rakyat saya telah menyatakan mengenai perkara ini dengan jelas dan supaya dipercepatkan. Alhamdulillah perkara tersebut telah di Perkenan oleh DYTM Raja Muda Perak .

Dalam Ucapan tersebut saya menyebut "(21). Saya juga mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mempercepatkan penubuhan Masjid Cina Muslim yang pertama di negeri Perak. Kewujudan Masjid ini dengan ciri rekabentuk dan unsur tertentu akan menambahkan lagi kehebatan Islam sebagai agama yang sejagat, khususnya membuktikan bahawa Islam bukan hanya milik sesuatu bangsa. "

(Berita asal/Sinar Harian perak 3 Jun 09)

Kenyataan Akhbar Mampat Berkenaan Stadium Runtuh

Kenyataan Media
03 Jun 2009 / Rabu

Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera

Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) merasa sangat terkejut dan sedih terhadap kejadian yagn berlaku kepada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 Jun 2009. Kejadian Stadium runtuh merupakan satu bencana diatas ketidak telusan pengurusan sehinggakan stadium yang dibina runtuh hanya selepas setahun ianya dirasmikan.

MAMPAT ingin melahirkan keraguan yang sangat tinggi, bagaimana sebuah stadium yang dibina dengan kos yang melebihi RM 250 juta dan dikatakan antara yang tercanggih, boleh runtuh hanya selepas setahun sebulan ianya dirasmikan oleh DYMM Sultan Mizan. Adalah memeranjatkan dan memalukan bagimana binaan yang menelan belanja sedemikian rupa boleh runtuh dan rosak sehingga melebihi 60% struktur banggunan.

Persoalan yang wujud terlalu banyak. Orang ramai tertanya-tanya bagaimanakah sebuah stadium yang dirasmikan oleh DYMM boleh runtuh. Apakah kualiti CF yang dikeluarkan oleh JKR ??? Adalah JKR mengeluarkan CF ’cap ayam’. Siapakah yang menandatangani pengeluaran CF ini ?.

Rakyat menjadi sesal dan kesal dengan kejadian tersebut kerana pembinaannya adalah menggunakan ”hasil Royalti” yang ”DIROMPAK” oleh Kerajaan Persekutuan daripada Rakyat Terengganu. Daripada rungutan dan aduan rakyat Terengganu kepada MAMPAT, pelbagai maklumat diberikan kepada kami. Antaranya, mereka menyatakan terdapatnya campurtangan orang-orang politik dan peranan mereka dalam menentukan kemasukan kontraktor ke 3 yang dikatakan ada masalah ’bklacklist’ dan pembekal juga dikaitkan dengan orang yang sama yang menentukan kemasukan kontraktor ke 3 tadi.

MAMPAT juga difahamkan bahawa terdapat tuntutan V.O sebanyak RM 30 juta sebelum Pilihanraya Mac 2008 yang lalu. Alasan tuntutan yang digunakan adalah untuk kerja-kerja baik pulih kerja-kerja ’ringan’. Namun MAMPAT tidak tahu kenapa dan bagaimana kelulusan ’ mee segera’ boleh dilakukan dan kemanakah duit-duit dibelanjakan kerana tak nampak apakah yang dimaksudkan dengan ’kerja-kerja’ ringan tersebut.

MAMPAT merasa sangat terkilan kerana MAMPAT difahamkan bahawa pihak JKR telah sedia maklum bahawa terdapat kerosakan pada struktur banggunan stadium terutama pada atap sebanyak 1 %. MAMPAT difahamkan ianya pernah dikeluarkan didalam blog-blog pada tahun lepas. MAMPAT juga telah mengeluarkan gambar-gambar tersebut di dalam blog kami di www.mampat.blogspot.com . Ketidakcaknaan ini telah menyebabkan berlakunya ’celaka’ ini.

MAMPAT yakin pasti terdapatnya unsur-unsur penyelewengan di dalam pembinaan Stadium ini. Oleh itu, MAMPAT menyeru kepada Pihak SPRM untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan yang secepatnya sepertimana tindakan pantas yang dilakukan terhadap keruntuhan pasaraya di Selangor baru-baru ini. MAMPAT tidak mahu kertas siasatan di ”senyapkan” begitu sahaja sebagaimana kertas siasatan SPRM terhadap kehilangan Royalti yang dilakukan MAMPAT sebelum ini. Begitu juga siasatan kes banner ” Kami nak Deris, Natang”, yang sehingga sekarang rakyat tertunggu-tunggu keputusannya.

MAMPAT juga mendesak agar ditubuhkan ’ satu badan bebas ’ bagi menyiasat kes ini. Ini disebabkan MAMPAT yakin dengan penglibatan orang-orang politik, kes ini akan ” disenyap dan didiamkan ” sahaja. Untuk itu, MAMPAT merafak sembah kepada DYMM Tuanku untuk melihat kes ini secara mendalam.

Ampun Tuanku,

MAMPAT merafak sembah memohon Tuanku untuk mengarahkan supaya penubuhan badan ini, demi ” Hak dan Maruah Rakyat Terengganu”.

Terengganu Kita, Hak Kita Bersama
Kembalikan Hak dan Maruah Rakyat Terengganu

wassalam

Mohamad Fauzi bin Abu Samah
Pengerusi

Dr Mansor angkat sumpah sebagai Exco pagi tadi

PULAU PINANG, 3 Jun : - Dr Mansor Othman yang baru memenangi Pilihanraya Kecil Penanti pada 31 Mei lalu mengangkat sumpah sebagai Exco di kediaman rasmi Sri Mutiara, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato' Seri Utama Dr Abdul Rahman Abas jam 9.45 pagi tadi.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan TYT mengantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Mohamad Fairus Khairudin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang meletakan jawatan untuk melanjutkan pelajaran serta membersihkan nama daripada fitnah.

Turut hadir menyaksikan acara tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Sementara itu majlis angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan diadakan berasingan pada tarikh yang akan ditetapkan.

Pagi ini juga Dr.Mansor dikatakan akan mengotakan salah satu piagamnya untuk membuka Pusat Khidmat dalam masa 48 jam di jalan masuk Taman Guar Perahu.

Pusat Khidmat baru itu juga sebagai mengantikan Pusat Khidmat Fairus yang terletak di Jalan Tanah Liat, Bukit Mertajam. Harakahdaily.

Harapan besar rakyat terhadap perwakilan muktamar PAS

Mohd Rashidi Hassan

Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke 55 berlangsung minggu ini, di Stadium Malawati, Shah Alam. Muktamar kali ini adalah antara yang terbesar dan terpenting dalam sejarah politik PAS.

Muktamar kali ini, bakal menentukan kepimpinan PAS masa hadapan di peringkat Pusat bagi sesi 2009-2011. Termasuk menentukan kepimpinan Dewan Ulama PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Muktamar bermula hari ini dengan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di Taman Melewar, manakala esok akan berlangsung Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat di Muzium Negeri Selangor di Shah Alam dan Dewan Muslimat PAS di bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Sudah tentu muktamar ini mempunyai tarikan dan tumpuan besar, bukan sahaja daripada ahli, penyokong PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, malah ianya bakal menjadi tumpuan rakyat Malaysia seluruhnya.

Muktamar menjadi tarikan dan tumpuan utama bukan semata-mata kerana wujudnya pertandingan jawatan-jawatan tertinggi dalam PAS semata-mata.

Yang terutama sekali, rakyat khususnya majoriti umat Islam-Melayu, mahu melihat bagaimana hasil muktamar nanti, PAS boleh meletakkan dirinya sebagai alternatif kepada Umno.

Alternatif bukan sekadar menggantikan Umno sebagai parti dominan orang-orang Islam-Melayu, tetapi sebagai pengganti peneraju negara, dengan menjadi parti paling utama dalam gabungan baru dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk tidak lama lagi.

PAS kali ini berada di posisi yang terbaik untuk mengorak langkah ke hadapan. PAS mempunyai elemen kepimpinan yang menepati cita rasa rakyat, iaitu pemimpin yang berilmu, komited, bersih, jujur serta amanah.

Sejarah politik tanah air menunjukkan keampuhan kepimpinan dan dasar-dasar perjuangan PAS, bahawa sejak sebelum merdeka lagi PAS sudah berada di persada politik untuk memperjuangkan Islam, hak rakyat dan keadilan sejagat.

Hari ini PAS bukan lagi dianggap sebagai parti Islam yang hanya memperjuangkan nasib orang Islam-Melayu sahaja. PAS bukan parti kampung, PAS bukan lagi parti untuk kelompok bangsa atau agama yang tertentu sahaja.

PAS kini mempunyai ribuan pendokong dan penyokong dari kalangan bukan Melayu dan bukan Islam yang menerima dasar-dasar serta perjuangan PAS di bawah kepimpinan ulama.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Mursyidul Am PAS dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, selaku Presiden PAS, merupakan dua tokoh ulama yang disegani dan didukungi masyarakat berbilang kaum dalam negara.

Ketokohan kedua-duanya, dan ketelusan pemerintahan kerajaan negeri di bawah kepimpinan mereka, menghasilkan keyakinan yang cukup mendalam di kalangan rakyat Malaysia.

Walaupun kerajaan negeri di bawah kepimpinan keduanya sebelum ini, diserang dengan pelbagai kecaman dan tohmahan dari parti lawan, disekat bantuan perkapita, ditarik royalti minyak dan dihalang daripada menerima kemasukan pelabur asing, namun kerajaan negeri di bawah teraju PAS terus mendapat sokongan rakyat.

Rakyat memberikan sokongan jitu, tanpa berbelah bahagi kepada PAS apabila mereka melihat kesederhanaan Menteri-Menteri Besar dari PAS. Rakyat yakin dengan kebersihan kerajaan dari sebarang elemen rasuah.

PAS mampu menerajui kerajaan dengan gaya pemerintahan yang cukup sederhana, telus, tulus dan bebas daripada rasuah.

Yang utama sekali, selain menjaga kepentingan orang-orang Islam-Melayu, kerajaan negeri PAS tetap memberikan layanan, mengutamakan kebajikan dan kesamarataan bagi rakyat yang bukan Melayu atau bukan Islam.

Keunikan ini tercetus daripada ideologi Islam yang menjadi asas utama perjuangan PAS. Sesiapa sahaja yang menerajui PAS, seharusnya terus berpegang utuh dengan dasar-dasar seperti yang digariskan dalam Perlembagaan PAS.

Kejituan dan keunikan ideologi ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada PAS untuk merealisasikan dan memposisikan dirinya untuk seluruh rakyat Malaysia, sesuai dengan slogan 'PAS untuk semua' atau 'PAS for all'.

Jelas, PAS tidak lagi boleh berundur kebelakang. PAS harus terus maju, menjadi parti alternatif kepada Umno, melangkah gagah untuk meneraju kepimpinan negara.

Kepada perwakilan muktamar PAS dari seluruh negara diucapkan 'Selamat Bermuktamar'.

(Harakahdaily)