31 May 2009

Amalan BN sekarang sama dengan PKM dulu : Nik Aziz

PULAU PINANG,28 Mei. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Parti Komunis Malaya (PKM) tidak jauh bezanya dengan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan nasionalisma.

Menurut beliau lagi tindakan yang dilakukan oleh BN selama ini adalah mirip kepada apa yang dilakukan oleh PKM.

"Jika pada zaman PKM ramai mereka yang tidak bersalah dan berdosa dibunuh dan dizalimi.Apa bezanya pada zaman ini dimana mereka yang tidak bersalah mudah dizalimi oleh pemerintahan BN. Oleh kerana itu ada persamaan antara PKM yang dahulu dan BN yang wujud sekarang. Kedua-duanya sama saja.

"Oleh kerana itu siapa sahaja yang mengamalkan fahaman nasionalisma maka ia juga adalah serupa dengan PKM yang melakukan kezaliman,pembunuhan,kerosakan dan bermacam-macam lagi ancaman pada zaman darurat dahulu sehingga ramai yang sengsara.

"Kesan yang ditinggalkan oleh PKM pada ketika itu dapat dirasai sehingga sekarang.Begitu juga dengan kerajaan BN yang mengamalkan ISA sebagai satu akta yang menzalimi rakyat yang tidak bersalah.Bukankah ini juga semacam dengan mereka."

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Kampung Guar Jering, Penanti, Bukit Mertajam.

Dalam ceramah itu beliau juga menyentuh mengenai kedudukan BN yang semakin terancam dengan perpecahan yang begitu ketara berlaku semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita lihat apa yang berlaku dalam parti PPP.Mereka mulai berpecah kepada dua presiden.Begitu juga di Trengganu yang berpecah dalam kumpulan Umno yang memerintah negeri disana.

"Di Perak juga berlaku kemelut yang sehingga ini rakyat tidak dapat menerima apa yang telah diputuskan walaupun hak rakyat untuk memilih harus diserahkan kepada rakyat membuat pilihan terbaik," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

(Siasahdaily)

Tragedi runtuhan: Mayat akhir ditemui, operasi mencari dihentikan

PETALING JAYA: Mayat ketujuh dan dipercayai yang terakhir dalam tagedi bangunan runtuh di Seksyen 14 di sini ditemui kira-kira pukul 4 petang ini, menjadikan jumlah korban akibat kejadian itu kepada tujuh orang semuanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata mayat tanpa kepala itu ditemui kirakira lima meter dari kawasan penemuan mayat kelima dan mayat keenam.

"Mayat tanpa identiti itu telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata bedah siasat terhadap mayat itu akan dilakukan esok dan keputusannya dijangka diketahui secepat mungkin.

Ujian DNA akan turut dilakukan oleh PPUM bagi mengenali identiti mangsa dan pihak hospital akan berhubung dengan kedutaan Indonesia mengenai perkara itu, katanya.

Arjunaidi berkata operasi mencari dan menyelamat turut dihentikan pada pukul 5 petang ini bagi memberi laluan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan agensi berkaitan menjalankan siasatan.

"Pihak MBPJ akan melakukan kerjakerja penyiasatan dan pembersihan di kawasan itu," katanya.

Selain itu Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) juga akan menyiasat struktur bangunan itu sehingga hari Jumaat sebelum laporan penuh siasatan itu dihantar kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata penghuni 12 buah rumah berdekatan diarah berpindah sementara kerana pakar menjangka bangunan yang terbabit dalam kejadian itu menghadapi risiko akan runtuh bilabila masa dan boleh membahayakan bangunan dan penduduk di sekitar kawasan itu.

(Berita asal Mstar)

Selamat Mengundi bagi warga Penanti

Walaupun BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil di Penanti hari ini, pemimpin UMNO perlu memberi perhatian kepada keputusan pengundian itu. Perhatikan berapa ramai orang UMNO, MCA, dan MIC di situ yang masih setia kepada BN. Kalau mereka setia sudah tentu mereka tidak akan keluar mengundi, apatah lagi untuk mengundi calon bebas yang akan merugikan masa mereka.

Namun kalau calon PKR majoritinya lebih daripada sebelumnya, bererti ramai orang BN sokong PR. Mereka tidak beri undi kepada calon bebas. Jika ini terjadi, pemimpin UMNO negeri dan pusat perlu menilai semula pendekatan mereka dalam mempengaruhi pengundi. Ingatlah propaganda UMNO dan BN dalam media sudah tidak boleh diterima oleh rakyat lagi, apatah lagi tektik memburukkan lawan untuk meraih simpati rakyat.

Masa sudah sampai untuk pemimpin UMNO kembali kepada perjuangan asal seperti yang diasaskan oleh Tengku Abdul Rahman dahulu. Walaupun Tengku pada masa itu melarang ceramah politik menggunakan beberapa ayat al-Quran, namun mereka tidak benci parti lawan dan ahlinya.

Dahulu, Ahli Parlimen pemerintah menanti-nanti ucapan pembangkang, Datuk Asri Muda dalam parlimen. Jika hujjahnya munasabah, mereka turut menyokong terutama UMNO. Pernah Tengku bertemu dengan Asri dan berkata, kita dalam dewan kena bergadoh, dan Pas usulkan perkara mengenai Islam kerana kami tidak boleh membawa usul itu bagi meraikan kawan kami.

Jadi, pandangan pembangkang perlu dinilai dengan mata hati yang jujur bukan nafsu kebencian yang berpanjangan kerana yang ruginya rakyat. Insaflah wahai orang politik kerana anda semua akan amanah Allah di muka bumi ini.
--
Email pada 31 Mei 2009.
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah

Awas, Helah terakhir.

Hanya beberapa jam lagi rakyat di Dun Penanti akan keluar mengundi. Pertarungan yang dijangka hebat pasti juga berlaku meskipun Umno `segan' untuk meletakkan calon mereka, tetapi Umno mempunyai `kuda harapannya' untuk diletakkan bagi menentang musuh ketat Umno iaitu PKR. Seluruh media utama yang dikuasai oleh Umno selaku tunggak kerajaan secara terang-terangan banyak membantu `kuda peliharaan' mereka. Di dalam suasana sedemikian, PKR akan terus istiqomah di dalam memperjuangkan nasib rakyat.

Pada awal permulaan kempen, kelihatan PKR yang dibantu oleh rakan-rakan di dalam PR kelihatan agak lega kerana tiada perkara yang menimbulkan kontroversi di dalam melaksanakan kempen di sana. Isu yang sedikit mencabar PKR hanyalah isu rasuah berupa tawaran wang ringgit dan jawatan KM 1 P.Pinang yang didedahkan oleh Kak Min. Hangat seketika apabila isu ini dimainkan oleh media-media, tetapi di atas kebijaksanaan pimpinan PKR terutamanya di bahagian penerangan dan stretegi, isu ini hanya sekadar menjadi bahan lawak jenaka di Dun Penanti. Kehangatan mulai terasa apabila beberapa penceramah PR ditangkap dan disiasat atas beberapa kesalahan, kononnya. Kemuncaknya, sehari dua ini PKR mendakwa berbagai peraturan dan arahan baru telah dikeluarkan oleh SPR.

Beberapa jam lagi, tibalah saat mengundi. PKR tidak harus melupakan pengajaran lampau khususnya berkaitan pengundi hantu. Memang benar, Umno tidak bertanding tetapi Umno tidak mahu melihat PKR memenangi kerusi tersebut. Kemenangan buat Umno adalah apabila PKR mendapat jumlah undi yang berkurangan. Kepada petugas-petugas PKR, jangan terlalu fokus kepada taktik mereka yang ingin membawa keluar pengundi agar tidak mengundi. Pengundi yang keluar dan tidak mengundi TIDAK BERBAHAYA jika dibandingkan dengan membawa masuk pengundi yang tidak layak mengundi. Ini adalah kerana mereka yang dibawa keluar untuk tidak mengundi itu sudah tentu adalah penyokong-penyokong mereka dan sekiranya mereka keluar mengundi sekali pun, harapan agak tipis untuk mereka mengundi calon PKR. Seharusnya jika berlaku seperti yang dikatakan bahawa ahli-ahli Umno akan dibawa keluar agar tidak mengundi, sudah tentu yang paling susah hati dan kecewa adalah calon bebas terutamanya Kak Min. Tersilap langkah ada calon bebas yang mungkin akan hilang depositnya.

Jentera PKR harus fokus kepada penyokong-penyokong PR dan juga mereka yang di atas pagar termasuk pengundi-pengundi baru. Tentukan kesemua mereka datang untuk mengundi. Di samping itu, jangan alpa dan cuai kepada pemantauan terhadap kemunculan pengundi hantu. Mungkin mereka menganggap PKR semestinya fokus kepada ahli-ahli Umno yang dikatakan akan dibawa keluar, oleh yang demikian mereka menjalankan helah dan perancangan yang lain. Kita berharap agar seluruh jentera tidak memandang ringan perkara ini kerana bagi saya `roh' Umno tetap ada di sini. Jika kita selamat dan selesa di hari penamaan calon tanpa Umno, belum tentu kita akan selamat hari ini kerana musuh yang tidak dapat dilihat lebih berbahaya kerana itu adalah `halimunan'.

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

AHLI-AHLI UMNO PENANTI AKAN MENGAJAR PEMIMPIN MEREKA

"Kira-kira 5,000 ahli Umno tidak akan keluar mengundi dalam pilihanraya kecil Penanti esok kerana calon BN tidak bertanding, kata Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman. "Jika mereka keluar (mengundi), ia seolah-olah mengkhianati parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam. "Datuk dan nenek mereka adalah pengundi BN, jadi mereka setia kepada parti," katanya lagi. Di samping itu, katanya, tindakan tidak keluar mengundi itu boleh mengurangkan rasa sombong PKR yang didakwanya mengambil mudah terhadap pengundi."~~Sumber KLPOST/Malaysiakini.

Saya ingin mengambil sedikit petikan di atas untuk renungan kita bersama. Terbukti Umno tidak pernah berubah dan tidak akan berubah. Sifat suka menjadikan ahli-ahlinya seperti `kerbau dicucuk hidung' dan sikap menunjukkan kuasa serta tidak memperdulikan nasib rakyat menjadikan Umno kini parti yang ditolak rakyat. Kepimpinan Umno sudah berubah, tetapi Umno bukan semakin kuat dan berani, bahkan Umno semakin penakut, jiwa yang terlalu lemah, tiada semangat, dan teramat malang sekali pemimpin mereka yang bersikap sedemikian mahukan juga penyokong mereka menjadi seperti mereka.

Apakah ahli-ahli Umno masih sanggup menerima Umno di dalam keadaan sedemikian? Di Dun Penanti, pertaruhannya adalah nasib rakyat. Mereka perlu diwakili oleh pemimpin yang boleh menyelesaikan masalah mereka. Pejuang yang berani tidak akan takut berhadapan dengan sesiapa jika ikhlas untuk berbakti kepada rakyat. Mengapa Umno tidak sanggup menjadi di antara pemimpin yang boleh dipilih sebagai Wakil Rakyat di Dun Penanti? Tidak lain tidak bukan ianya hanyalah semata-mata untuk menjaga air muka pemimpin Umno itu sendiri. Pemimpin seperti ini tidak memperdulikan nasib rakyat asalkan maruah peribadi mereka terpelihara. Rakyat menjadi mangsa akibat mainan politik pemimpin Umno yang penakut ini. Tetapi rakyat di Dun Penanti harus bangun untuk membuktikan kepada pemimpin Umno, katakan pada pemimpin Umno bahawa jika Umno tidak mahu membela nasib kami , kami akan mencari `tuan' lain yang sanggup berjuang untuk kami.

Memang benar mungkin datuk nenek moyang ahli-ahli Umno dahulunya meyokong Umno, tetapi ketika itu bagaimanakah wajah Umno? Apakah sama dengan wajah Umno sekarang? Presiden Umno Tunku Abdul Rahman dan Tun Husein juga merupakan pejuang Umno tetapi akhirnya kedua-dua tokoh besar Umno ini meninggalkan Umno kerana telah melihat Umno bukan lagi pembela nasib Melayu jauh lagi sebagai pembela kepada agama Islam. Pengundi-pengundi di Dun Penanti mesti berani untuk menegur pemimpin mereka yang masih lena dibuai keegoan. Apakah tanpa Umno, pengundi-pengundi akan mati kekeringan? Buktikan bahawa tanpa Umno kamu masih boleh hidup kerana masih ada pemimpin yang berani membela nasib kamu.

Percayalah, jika semua pengundi-pengundi di kalangan ahli Umno yang turun beramai-ramai dan melakukan undi protes dengan menyokong calon PKR, sudah tentu pemimpin Umno yang penakut ini akan dapat belajar betapa bukan semua ahli Umno itu penakut sepertinya. Jika terdapat tawaran berapa banyak sekalipun, jika ada rombongan percuma ke mana-mana sekalipun, dan jika ada imbuhan untuk membeli belah yang ditawarkan, lupakan semua itu. Jangan kerana kebendaan dunia yang sedikit itu bakal menjual maruah diri. Renungkan seketika, apakah dengan semua tawaran itu akan dapat menyelesaikan segala permasalahan rakyat di Dun Penanti? Bagaimanakah nasib anak cucu kita sekiranya kita sendiri terlalu mudah menjual maruah harga diri? Jadilah kita manusia yang berakal dan berfikir dan bukan menjadi `lembu yang dicocok hidung' untuk disembelih.

Di dalam PRK Dun Penanti ini adalah merupakan satu peluang buat ahli-ahli Umno untuk menghukum pemimpin mereka yang penakut itu. Sokongan terhadap PR tidak akan merugikan sesiapa kerana PR lebih mengutamakan rakyat dari pemimpin. PR sanggup berkorban sekiranya rakyat tidak berpuas hati di atas tindakan atau khidmat mereka. Contoh terbaik, bekas Adun Penanti Fairus tidak merasa tamakkan jawatan dan suka rela melepaskan kerusinya apabila melihat dirinya seperti gagal memenuhi cita rasa rakyat di Dun Penanti. Apakah ada pemimpin Umno yang bersikap begitu? Kepada semua pengundi, keluarlah mengundi dengan hati yang tenang dan fikiran yang terbuka. Persetankan hasutan mereka-mereka yang mahu menyusahkan kamu kerana mereka-mereka yang menghasut itu kini senang lenang dengan sokongan kamu kepadanya dahulu. Kini, masa untuk berubah.

Email diterima 30/5/2009,
WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Fatah Harun bidas Ibrahim Ali

Pengarah jentera Pilihan raya PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai, Abdul Fatah Harun menyelar kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali yang dilihat cuba untuk menyatakan sokongan kepada Umno apabila mengeluarkan kenyataan yang sinis terhadap parti yang diwakilinya itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

"Jika betul kenyataannya itu, saya minta Umno atau Barisan Nasional (BN) 'menggunakan beliau sebaik mungkin' untuk berceramah di Manek Urai. Jika BN sendiri mendengar idea atau pandangan beliau, BN sendiri akan terperangkap.

"Kenyataan Ibrahim Ali memang tidak boleh 'dipakai'. Sebenarnya kenyataan Ibrahim Ali ini sudah tidak didengar oleh rakyat Kelantan. Rata-rata pandangan masyarakat melihat sudah banyak pembangunan yang dilakukan sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan. Begitu juga dengan kawasan Manek Urai yang kita lihat sudah banyak perubahan pembangunan yang berlau," tegas beliau sewaktu dihubungi Harakahdaily.

Ibrahim yang bertanding atas tiket PAS dalam PRU-12 yang lalu, dalam kenyataannya menyatakan Pilihan raya kecil Dun Manek Urai adalah landasan terbaik kepada Barisan Nasional (BN) mendedahkan kelemahan PAS mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.

Beliau juga menyatakan PAS gagal membawa perubahan serta memajukan ekonomi negeri itu, sebaliknya PAS berselindung di sebalik kelemahan Umno untuk meneruskan kelangsungan parti itu di Kelantan.

Ibrahim juga menganggap sepanjang PAS menerajui Kelantan, banyak perkara boleh dipersoalkan daripada segi ekonomi, peluang pekerjaan dan hasil negeri yang menurut beliau tidak menampakkan sebarang kesan.


(Berita asal Harakahdaily)

PAS sedang mengkaji untuk menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai dewan

KLANG: PAS sedang mengkaji untuk menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai dewan atau sayap formal bagi mengiktiraf keanggotaan masyarakat bukan Islam dalam parti itu.

PAS sudah membentuk jawatankuasa teknikal bagi mengkaji perkara tersebut secara mendalam.

Ia diumumkan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf.

"Saya yakin harapan ini akan menjadi realiti selepas Muktamar PAS bulan depan," katanya pada Konvensyen Kelab Penyokong PAS Nasional 2009 hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Aziz ketika ditemui pula berkata, beliau mengalu-alukan syor tersebut sambil berkata, tindakan tersebut sepatutnya telah dilakukan dari dulu lagi.

"Sudah lewat, sepatutnya sudah lama dilakukan," kata beliau yang juga Menteri Besar Kelantan.

Menurut Mujahid, Kelab Penyokong PAS terdiri daripada lebih 20,000 ahli daripada kauam India, Cina, Siam dan Iban.

Ia ditubuhkan pada tahun 2004.

Mujahid percaya kajian mengenai pindaan perlembagaan bagi tujuan itu akan siap dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan.

Bagaimanapun katanya, isu tersebut tidak akan dibawa ke Muktamar Tahunan PAS minggu depan.

"Kemungkinan perkara ini akan disentuh dalam ucapan dasar Presiden PAS dan kemudian dibincangkan oleh perwakilan," katanya.

(Berita asal Mstar)

PPP : Satu kapal 2 nahkoda.

KUALA LUMPUR: Di sebalik krisis kepimpinan, Datuk M. Kayveas mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) hari ini.

Kayveas menyandang jawatan itu sejak 1993.

PPP pimpinan Kayveas mengadakan proses penamaan calon pemilihan pusat hari ini, selama tiga jam bermula 9 pagi tadi.

Ia diadakan di Ibu Pejabat PPP di Jalan Kg. Attap di sini.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah yang dipilih oleh kumpulannya sebagai Presiden PPP mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti tersebut di Sentul. Mstar.

Penanti: 5,000 ahli Umno tidak mengundi

Kira-kira 5,000 ahli Umno tidak akan keluar mengundi dalam pilihanraya kecil Penanti esok kerana calon BN tidak bertanding, kata Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.

"Jika mereka keluar (mengundi), ia seolah-olah mengkhianati parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

"Datuk dan nenek mereka adalah pengundi BN, jadi mereka setia kepada parti," katanya lagi.

Di samping itu, katanya, tindakan tidak keluar mengundi itu boleh mengurangkan rasa sombong PKR yang didakwanya mengambil mudah terhadap pengundi.

BN memutuskan tidak meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut atas alasan kekosongan kerusi tersebut adalah usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

BN juga mendakwa pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas timbalan ketua menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin.

Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Terdapat seramai 15,384 pengundi di DUN Penandi di mana 72.6 peratus daripadanya adalah Melayu, 24.2 peratus Cina, 2.4 peratus India dan 0.7 peratus kaum lain.

Zainal Abidin juga menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa pihaknya merancang membawa ahli Umno Penanti melawat Padang Besar, Thailand supaya mereka tidak mengundi Ahad ini.

Katanya, Umno bahagian Permatang Pauh tidak pernah menempah bas untuk tujuan tersebut.

"Khabar angin yang sedang disebarkan mengenai perkara itu adalah sengaja untuk memburuk-burukkan imej Umno.

15 majlis kenduri

"Kalau tidak percaya, lihatlah pada hari mengundi adakah bas yang buat rombongan.

"Tetapi saya tahu ada 15 majlis kenduri di Penanti, Ahad ini. Jangan kata, kenduri itu ditaja oleh Umno," katanya.

Zainal Abidin (foto) berkata, beberapa blog telah menyiarkan laporan tersebut sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, beliau memberi jaminan Umno tidak akan mengadakan rombongan pada hari mengundi Ahad ini.

"Kalau ada satu atau dua bas, itu bukan Umno yang taja, mereka dah buat rancangan awal sempena musim cuti sekolah," katanya.

Zainal berkata, ahli Umno tidak keluar mengundi kerana calon BN tidak bertanding di Penanti.

Katanya, tindakan Mohammad Fairuz mengosongkan kerusi Penanti menyebabkan pengundi di kawasan berkenaan terpaksa mengundi tiga kali dalam tempoh 15 bulan.

Kali pertama, katanya ialah pilihanraya umum lalu, diikuti peletakan jawatan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan kini peletakan jawatan Mohd fairuz. Malaysia