11 May 2009

Ceramah ADUN Titi Serong di Mesjid Rusila Terengganu




video

Bubar DUN langkah terbaik menyelesaikan kemelut di Perak.

Dunia sedang memerhatikan beberapa proses yang berlaku untuk memastikan siapakah Menteri Besar Perak, malah terbaru ditambah pula dengan siapakah Speaker yang sah menurut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Persoalan-persoalan di atas telah melalui proses yang berlanjutan dari permulaan krisis pada 5 Februari 2009 sehinggalah terakhir pada Sidang DUN 7 Mei yang lepas serta keputusan di mahkamah pada hari ini.

Sesungguhnya apa pun yang akan diputuskan dalam kes tersebut dengan :

1.Persidangan DUN tidak akan menyelesaikan kes ini, malah saya menjangkakan lebih 1000 orang polis mungkin akan digunakan untuk mengawal dewan kalau sidang akan diadakan pada masa akan datang.

2. Proses mahkamah juga nampaknya akan berlanjutan dan tidak dapat menyelesaikan masalah dan kemelut ini, walaupun telah diputuskan oleh pihak mahkamah siapakah pemenangnya namun rakyat tidak akan berpuas hati dengan kemelut ini. Di pihak penyokong Pakatan Rakyat mereka akan terus merasa 'dendam" kerana kuasanya dirampas dalam satu kedeta yang disahkan oleh mahkamah. Bagi penyokong BN mereka pun tahu kerajaan yang mereka dapat adalah dengan cara "curi".

Jadi tidak ada lagi pilihan yang terbaik melainkan dengan mendapat perkenan DYMM Tuanku Sultan Perak bagi pembubaran DUN bagi memberi kepada laluan kepada satu pilihan raya di negeri Perak sekali lagi adakah di tiga DUN yang menjadi pertikaian ataupun melibatkan semua negeri perak iaitu sebanyak 59 DUN.

Bila kuasa dikembalikan kepada rakyat, siapakah pemenangnya akan ditabalkan kelak sebagai Kerajaan Perak yang mendapat pengesahan dari "mahkamah" yang tidak akan dipertikaikan lagi.

Keputusan siapa MB Perak hari ini.

Keputusan perbicaraan kes siapakah MB Perak yang sah akan diumumkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta pukul 2.30 petang ini.

Saya mengulangi pendirian, Mahkamah Malaysia dalam keadaan masih boleh dipercayai, namun janganlah kita terlalu mengharap.

Apapun keputusan pada hari ini yakinlah usaha untuk mendapatkan Perak yang kita menangngi dalam PR ke 12 tahun 2008 yang lepas akan diteruskan mengikut saluran undang-undang yang masih diperuntukkan.

Hee Yit Fong Mencemari Dewan

Tindakan Hee Yit Fong telah mencemari kemuliaan Dewan Negeri Perak. Beliau telah bertindak di luar bidang kuasa. Selagi Tuan Speaker berada dalam dewan, dialah berkuasa. Setiap orang yang berada dalam dewan mesti mengikut perintah atau arahannya. Orang lain, termasuk menteri besar tidak mempunyai kuasa memberi arahan dalam dewan itu.

Inilah merupakan satu amalan pengasingan kuasa yang sangat penting dan perlu terjamin supaya demokrasi tidak dicacatkan oleh mana-mana pihak. Hee Yit Fong (yang sudah letak jawatan dan kes itu belum diselesaikan lagi di mahkamah) telah menganggap dirinya sebagai Timbalan Speaker dan terus membuat kerja-kerja Speaker di tempat duduknya.

Timbalan Speaker yang sah pun tidak ada kuasa untuk mengambil alih tugas Speaker selagi Tuan Speaker masih duduk di tempatnya. Apatah lagi Hee Yit Fong yang penuh dengan kontroversi. Beliau terus mengisytiharkan dirinya sebagai Timbalan Speaker dan mengumumkan bahawa dia akan menggantikan Speaker bagi urusan-urusan seterusnya pada hari tersebut. Ini adalah tidak rasional. Dia tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Ini merupakan satu helah dalam usaha merampas kuasa speaker. Dimanakah dalam undang-undang atau Perintah-perintah Tetap yang memberi kuasa kepada beliau untuk bertindak sedemikian.

Ini merupakan tindakan salah laku beliau dalam konspirasi menjatuhkan Speaker Dewan. Beliau telah mencerobohi bidang kuasa Speaker. Ini merupakan satu lagi penghinaan terhadap Speaker dan Dewan Negeri Perak.

Hee Yit Fong telah melakukan kesalahan dalam usahanya mempengerusi dewan sewaktu Tuan Speaker masih menduduki kerusinya. Bukankah ini merupakan satu tindakan yang tidak senonoh dan keji?

Beliau cuba mewujudkan sub-dewan dalam dewan negeri yang mulia ini. Dia dan kuncu-kuncunya berkerumun di satu tempat dalam dewan dan terus cuba membuat usul untuk lucutkan Speaker dan perlantikan Speaker baru. Bagaimanakah kita boleh menganggap tindakan beliau itu adalah sah? Ia adalah menyalahi prinsip-prinsip demokrasi dan amalan-amalan konvensyen parlimen yang diterima pakai oleh semua negara-negara komenwel. Kalau ini dibenarkan, maka konsep sub-dewan ini akan wujud dalam Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri yang lain. Bolehkah kita mengawalnya jika kita membenarkan ' duluan' seperti yang berlaku di Dewan negeri Perak? Dalam kata lain, jika di Perak boleh, maka ia boleh juga dibuat dalam dewan-dewan mulia yang lain.

Tambahan pula, mengikut Perintah-perintah Tetap 6(1), Tuan Speaker hendaklah mempengerusikan persidangan-persidangan Dewan dan dalam ketiadaannya, apabila diberitahu oleh Setiausaha Dewan, Dewan boleh memanggil mana-mana ahli mempengerusikan persidangan tersebut .........

Perintah-perintah Tetap jelas mengariskan bahawa selagi Tuan Speaker masih duduk ditempatnya dialah mejadi pengerusi. Hanya dalam ketiadaanya pihak lain boleh ditugaskan untuk membuat kerja-kerja Speaker.

Dalam kes ini, Speaker masih berada di tempat duduknya dari 9.45 pagi sehingga berlakunya insiden yang paling memalukan iaitu beliau diheret keluar dari tempat duduknya oleh pihak polis. Oleh yang demikian, tidak ada ruang untuk Hee Yit Foong untuk mengambilalih tugas Speaker walaupun untuk sedetik.

Sebagai kesimpulan, oleh kerana persidangan tidak dimulakan oleh Tuan Speaker dan Hee Yit Fong telah bertindak di luar bidang kuasanya maka usul perlucutan speaker dewan dan perlantikan speaker baru adalah tidak sah. Tambahan pula, kesemua usul-usul itu telah pun ditolak oleh Speaker dalam kamarnya sehari sebelum tarikh persidangan iaitu 6 Mei 2009. Blog speaker Suara Perak.
Blog Suara Perak.

Benarkah media buat laporan tidak adil seperti dakwa Zambry ?

Zambry Abdul Kadir hari ini melahirkan rasa kecewa dengan dakwaan kononnya segelintir media yang didakwanya membuat laporan yang tidak memberi gambaran sebenar punca kekecohan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis lalu.

"Laporan dan gambar-gambar yang disiarkan tidak menunjukkan siapa yang sebenar memulakan kekecohan... saya minta media membuat laporan yang adil dan objektif, dakwa Zambry seperti yang dilapor oleh Bernama hari ini.

Namun persoalannya adakah benar dakwaan itu dan salahkah media melaporkan apa yang disakssikannya sendiri walaupun tidak dapat memuaskan hati semua pihak dan sekali ini kena ke atas "batang hidung" BN.

Sejak awal kita menyaksikan Bangunan Dewan Negeri Perak telah dikepung dan diceroboh oleh pihak keselamatan yang begitu ramai. Sehinggakan menyebabkan menimbulkan perasaan syak dan wasangka yang tidak baik apakah yang sebenarnya yang diingini oleh pihak yang menjaga bangunan tersebut. Bukankah itu adalah penyebab awal yang mencetuskan ketegangan di bangunan dewan negeri.

Banyangkan kami ADUN yang sah dipilih oleh rakyat terpaksa melalui kawalan yang paling ketat lebih ketat dari menaiki kapal terbang. Pengalaman saya menaiki kapalterbang yang paling ketat adalah di China tetapi saya rasa peristiwa di DUN Perak lebih ketat dari itu.

Sebelum masuk ke dalam dewan, ADUN diwajibkan mendapatkan pas berwarna merah dan ini sangat menyusahkan kami sebagai orang yang diaamahankan untuk datang bersidang . Inilah dalam pengalaman saya setelah Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Perak sejak Mac 2008 kawalan seketat itu diadakan di Dewan Negeri.

Saya yakin ADUN BN bukan dalam keadaan tertekan kerana mereka sangat mengetahui dia ada pengawal yang diimport begitu ramai dari seluruh negara. Malah saya mempunyai maklumat jelas seorang polis dari Pahang didatangkan untuk menjayakan kerja jahat ABN di Dewan Negeri.

Mangsanya kami ADUN Pakatan Rakyat, sabotaj terhadap kami sampai kekemuncaknya dengan perencanaan yang sangat teliti. Segala jenis plan A hingga Z difikirkan sehingga ada bukti menyatakan boleh kita lihat dibeberapa gambar semacam pistol telah dibawa masuk ke dalam dewan.

Penyokong kami dinafikan hak, sebenarnya dialah "pengawal" dan peniup semangat yang mahu masuk kedewan dengan aman dan damai, namun semua tempat duduk yang kosong telah diisi oleh pasukan polis termasuklah galeri pemerhati juga dipenuhi dengan polis.

Sebenarnya BN sudah takut untuk berdepan dengan ADUN Pakatan rakyat dan penyokongnya. Ketakutan itu kata anak saya yang berumur 10 tahun adalah di tahap "gaban" maksudnya melampau.

Sekarang Zambry takut kepada Media termasuk milik BN. Di pagi Jumaat selepas sidang saya sempat melihat berita di tv 1 yang sebelum ini jadi pengampu BN ditahap gaban. Terkejut saya dengan gambaran yang menunjukkan kepada saya cukup adil dan menggambarkan suasana yang sebenar.

Maka tunggulah hayat BN yang semakin pendek dan siap untuk dikuburkan dalam Pilihanraya apa saja. Media pun sudah bosan untuk menjadi "pengampu" BN seumur hidup, nanti orang pun tidak beli macam mana nak bayar gaji pekerja.

Krisis politik Perak: Campur tangan Sultan penentu penyelesaian?

Di sebalik krisis politik Perak yang telah masuk bulan ketiga sekarang, penganalisis-penganalisis berpendapat parti-parti politik perlu berkompromi manakala Sultan perlu campur tangan walaupun raja "berada di atas politik".

Penganalisis politik Dr. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, kekecohan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Khamis lalu tidak sepatutnya berlaku dalam konteks demokrasi diamalkan di negara ini.

“Kita tak seharusnya sampai ke tahap mentaliti politik yang negatif seperti yang berlaku dalam Parlimen di Taiwan,” katanya.

Jelasnya, imej negara tercalar atas kekecohan yang berlaku dan kemelut politik yang melanda Perak tidak akan selesai sehingga pilihan raya umum yang ke-13 jika tiada langkah segera diambil.

“Sudah tiba masanya baginda (Sultan Perak) campur tangan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Saya melihat Sultan wajar mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan pendirian baginda berhubung keputusan yang telah dibuat (melantik Menteri Besar BN, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir).

“Walaupun Sultan berada di atas kuasa politik tapi dalam situasi seperti ini, saya melihat campur tangan itu perlu untuk meredakan kemelut politik di Perak,” kata beliau kepada mStar Online.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Sivamurugan yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia berkata, baginda boleh mengisytiharkan darurat di Perak dan menyerahkan urus tadbir negeri itu kepada kerajaan Persekutuan untuk sementara waktu. “Langkah ini boleh diambil kerana pentadbiran di Perak telah menjadi kucar-kacir dan rakyat yang mangsa. Pemimpin politik ini perlu berhenti bertelagah,” katanya.

“Rakyat Perak dijangka menterjemahkan melalui pilihan raya, mereka akan undi Pakatan Rakyat sebagai undi protes kepada BN yang dilihat merampas Perak daripada Pakatan Rakyat,” katanya.

Tambahnya, bagi menyelesaikan konflik politik itu salah satu pihak perlu mengalah, tetapi sama ada BN mahupun Pakatan kelihatan tidak akan mengalah dengan mudah.

“Jalan penyelesaian terbaik adalah kita harus serahkan kepada mahkamah. Sememangnya akan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah Isnin ini.

“Amalan berpolitik keterlaluan yang berterusan hanya merugikan negara dan rakyat akan terus mangsa,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin pula menyifatkan insiden tersebut sebagai satu lagi rampasan kuasa selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Februari lalu.

“Apa yang berlaku semalam tidak betul dan salah dari sudut perlembagaan. Mereka (kerajaan Barisan Nasional) tidak boleh memecat Speaker dan pelantikan penggantinya yang baru (dari BN) juga tidak sah," katanya.

Jelasnya, kekecohan itu juga memberi tanggapan negatif masyarakat luar negara terhadap negara ini.

“Bukan sahaja ekonomi Perak akan terjejas, malah ada kemungkinan pelabur-pelabur asing akan was-was mengenai kestabilan politik di negeri itu.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada industri pelancongan ekoran urus tadbir yang tidak sempurna,” katanya. Sumber dengan edit dari Mstar.

Ceramah Isu DUN di Ipoh malam ini

Ceramah Isu terkini DUN Perak dan PPSMI akan diadakan di Surau Taman Meru 2B ,Jelapang jam 9.00 malam ini. Penceramahnya ialah Dato' Seri Nizar Jamaluddin, Cikgu Azmi Hamid, Tan Sri A. Samad Said dan Peguam Hanipa Maidin. Semua di jemput hadir.