05 May 2009

Keselamatan ADUN PR perlu dipertingkatkan.

Semasa sidang media di Ipoh pada 3 Mei lepas saya juga menjelaskan kepada wartawan mengenai arahan yang saya keluarkan kepada semua ADUN PR mengenai keselamatan mereka yang mesti diutamakan dalam saat-saat akhir menunggu tarikh sidang pada 7 Mei ini.

Demikian juga saya menyarankan supaya pembantu peribadi semua ADUN mesti mengelakkan diri dari sesuatu yang menimbulkan kontraversi dan sesuatu provakasi yang akhirnya dikaitkan dengan ADUN itu sendiri.

Kelmarin saya sekali lagi memohon dari semua ADUN untuk memastikan mereka diberi perhatian oleh pihak yang berada disekeliling ADUN. Rayuan ini saya sampaikan kepada rakan-rakan seperjuangan untuk merancang secara serius bagi memastikan keselamatan ADUN difikirkan dan dirancang sedemikian rupa dalam tempoh-tempoh akhir ini.

Pengorbanan semua pihak amatlah penting untuk melancarkan perjalanan sidang pada khamis ini termasuklah saya sangat mengharapkan keselamatan ADUN diambil perhatian oleh pimpinan, penyokong, teman dan saudara di sekelilingnya mulai dari sekarang walaupun sudah agak terlewat.

Koleksi gambar Perasmian Mesyuarat Agung PAS Gopeng.

Drs. Khalil berucap merasmikan mesyuarat agung PAS Kawasan Gopeng kali ke 21

YDP PAS Gopeng, Hj.Abdul Rahim Ariff memberi ucapan aluan.

Ketibaan Drs. Khalil disambut oleh AJK PAS Kawasan Gopeng.


Ahmad Said: Sejarah Terengganu berulang ?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Saya mula mengikuti perkembangan politik Terengganu sebaik sahaja tamat peperiksaan SPM. Ketika itu, awal 1980’an dan era kebangkitan Haji Abdul Hadi Awang baru bermula.

Di Terengganu, pernah muncul beberapa parti berasaskan Melayu seperti Parti Negara pimpinan Dato’ Onn Jaafar pada tahun-tahun 1960’an, kemudiannya Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah pada awal dan pertengahan tahun 1990’an.

Setakat ini politik Terengganu dikuasai oleh dua parti politik sahaja, sama ada UMNO atau PAS sahaja. Parti-parti lain hanya muncul seketika untuk satu dua pilihanraya dan kemudiannya hilang.

Pihak UMNO menghadapi tentangan begitu hebat dari PAS yang baru bangkit semula selepas tersungkur dalam pilihanraya umum 1978 ekoran ditendang keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1977.

Sejak penghujung tahun 1999 hingga sekarang, muncul pula Parti Keadilan Nasional(keADILAN) sebelum menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR), pimpinan Anwar Ibrahim dan isteri yang cuba mencari pengaruh dikalangan bekas-bekas UMNO Terengganu.

Manakala Parti Tindakan Demokratik (DAP) hanya tenggelam timbul sahaja di Terengganu kerana kaum Cina yang menjadi pendokong kuat parti tersebut adalah kecil sahaja, tidak sampai 10 peratus pun di Terengganu.

Tanpa diduga lebih awal, UMNO akhirnya tumbang buat kali kedua di Terengganu pada pilihanraya umum tahun 1999 ekoran pergeseran dalaman UMNO terutama antara kem Wan Mokhtar (Kemaman) dan Yusof Noor (Besut).

Tetapi UMNO tidak mengambil masa yang panjang selepas tewas di Terengganu

pada tahun 1999. Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri dihantar menjadi ‘nakhoda’ UMNO Terengganu dengan menggantikan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang kemudiannya dihantar menjadi Duta ke Arab Saudi.

Dalam pilihanraya umum 2004, UMNO kembali menang gemilang dibawah pimpinan Pak Lah yang sudah menjadi Perdana Menteri ketika itu. Serangan aura Pak Lah mengatasi kemampuan kerajaan PAS untuk bertahan bagi penggal kedua.

Sejak tahun 2004, Datuk Idris Jusoh ADUN Jertih dari Besut mula dilantik menjadi Menteri Besar dan nakhoda baru UMNO Terenggganu. Namun selepas pilihanraya umum ke-12, Mac 2008 gerhana mula melanda UMNO Terengganu semula bila Idris Jusoh tidak diretui menyambung semula tugasnya sebagai Menteri Besar.

Ekoran situasi ini, UMNO Terengganu mula memberontak kepada Sultan Terengganu. Setelah keadaan menjadi semakin tegang, Ahmad Said ADUN Kijal, Kemanan yang menjadi seteru kepada Idris direstui menjadi Menteri Besar Terengganu yang baru. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Ketua Perhubungan UMNO Terengganu bila keadaan semakin reda.

Bagaimanapun selepas peralihan kepimpinan UMNO baru-baru ini, Ahmad Said yang masih menjadi Menteri Besar Terengganu turut dipinggirkan oleh kepimpinan baru UMNO dengan melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Hishamuddin Hussein, dari Johor sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu menggantikan Ahmad Said.

Ini menjadikan Ahmad Said satu-satunya Menteri Besar yang tidak dilantik menjadi “nakhoda” UMNO di negeri yang diperintahnya. Beliau diturunkan pangkat menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO sahaja.

Lain-lain Menteri Besar terus menjadi “nakhoda” UMNO dinegeri masing-masing. Malah di Perak dan Perlis pun, Menteri Besar Dr. zamri kadir dan Md Isa Sabu yang tidak menjadi Perngerusi Perhubungan UMNO dinegeri masing-masing sebelum ini pun dilantik semula menjadi “nakhoda’ UMNO di negeri masing-masing.

Sekarang ini Ahmad Said bukan sahaja tidak berkuasa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana terpaksa berdepan ADUN-ADUN pilihan bekas Menteri Besar terdahulu tetapi perlu mendapat ‘belas ehsan’ pengikut-pengikut setia Idris Jusoh untuk mengekalkan kerajaannya.

Malah sekarang dalam partinya, dia tidak boleh kawal seperti sebelum ini kerana tidak lagi jadi “nakhoda” di Terengganu. Sebagai Menteri Besar, dia sedang tersepit dalam usaha menyelamatkan kerajaannya. Kesian pada Ahmad Said.

Mahu tidak mahu, mungkin terpaksa menerima huluran kerjasama pembangkang, PAS dan membentuk kerajaan baru jika berterusan diasak serta diboikot oleh ADUN dari kem Idris Jusoh.

Pergolakan yang berlaku dalam UMNO Terengganu sekarang ini mengulangi apa yang pernah dialami sebelum ini pada akhir tahun-tahun 1990’an semasa era kepimpinan Wan Mokhtar yang juga secara kebetulan dari Kemaman.

Saya tidak pasti apa akan berlaku dalam episod-epuisod seterusnya selepas ini. Sama-Samalah kita tunggu… Mungkinkah putaran sejarah sedang berulang semula di Terengganu.

Nota: untuk mengikuti tulisan sebelum ini, sila lawati http://kalamperantau.wordpress.com

Pelantikan Zambry MB Perak tidak ikut perlembagaan

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Feb lepas, menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, adalah tidak mengikut perlembagaan.

Peguam Sulaiman Abdullah, untuk Mohammad Nizar, berkata bahawa Zambry tidak boleh menuntut pejabat Menteri Besar kerana Mohammad Nizar belum meletak jawatan dan pejabat Menteri Besar tidak pernah dikosongkan.

"Pelantikan seseorang ke pejabat Menteri Besar mungkin hanya sah jika pejabat itu dikosongkan.

"Jika pejabat itu tidak dikosongkan, tidak ada pelantikan yang sah dalam undang-undang untuk menduduki pejabat itu, kerana tidak boleh ada dua orang memegang satu jawatan Menteri Besar," kata Sulaiman dalam hujah dua jamnya.

Pada 13 Februari, Mohammad Nizar, 52, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac, tahun lepas, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau pada ketika mana adalah Menteri Besar Perak.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, Mohammad Nizar mengukuhkan bahawa:

* Beliau telah menasihat dan memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengelakkan berlaku sebarang kebuntuan dalam pentadbiran hal ehwal negeri itu memandangkan tiga anggota DUN tersebut telah meletak jawatan;

* Tidak ada pembubaran DUN;

* Tidak ada usul tidak percaya dibentangkan terhadap beliau di DUN;

* Beliau belum meletak jawatan daripada pejabat Menteri Besar. Sulaiman, dalam hujah beliau hari ini juga mempertikaikan bahawa Menteri Besar Perak tidak boleh dilucutkan jawatan oleh Sultan Perak.

"Menteri Besar mungkin hanya boleh dilucutkan jawatan setelah undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota DUN itu," kata beliau.

Ini kerana, kata Sulaiman, Menteri Besar itu tidak memegang jawatan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia tetapi memegang jawatan tertakluk kepada keyakinan anggota DUN yang mana (Menteri Besar) bertanggungjawab.

"Peranan Duli Yang Maha Mulia di bawah Artikel 16(6) hanya memutuskan sama ada atau tidak untuk membubarkan DUN, jika Menteri Besar telah hilang undi tidak percaya," kata Sulaiman.

Sulaiman yang sebelum ini tidak bersetuju dengan hujah pencelah, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata bahawa pembubaran DUN tidak hanya tertakluk pada keadaan di mana Menteri Besar telah hilang keyakinan majoritinya.

"Apabila Menteri Besar menghadap Sultan memohon perkenan untuk membubarkan DUN, ia bukan satu pengakuan bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti. Pembubaran boleh dipohon pada bila-bila masa, untuk sebarang sebab, dan bukan terhad pada hilang keyakinan majoriti," katanya.

Sulaiman juga berkata mahkamah hendaklah mematuhi dan mengaplikasikan keputusan Stephen Kalong Ningkan menentang Tun Abang Openg dan kes Tawi Sli, yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Sarawak pada 1966, pada kes ini.

Pada kes itu yang memutuskan bahawa Gabenor tersebut tidak boleh melucutkan Ketua Menteri tersebut dan tidak boleh melantik seorang Ketua Menteri kedua sementara ada seorang lagi memegang jawatan berkenaan, dan bahawa hanya satu jalan untuk Ketua Menteri untuk melucutkan jawatan dengan cara undi tidak percaya dalam Majlis Negeri.

Perlembagaan Sarawak, Perlembagaan Perak sangat jelas bahawa ia tidak ada kuasa untuk melucutkan jawatan Menteri Besar itu dan budibicara untuk melantik dua orang memegang jawatan Menteri Besar itu.

"Peruntukan Artikel 7(1) Perlembagaan Sarawak sama dengan Artikel 16(6) Perlembagaan Perak dan keputusan kes itu masih merupakan satu undang-undang yang baik," kata beliau.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim disambung esok. - TVAntara.

ADUN Titi Serong rasmi Mesyuarat Agung PAS Gopeng.

Drs. Khalil menyampaikan ucapan perasmian.


IPOH , 3 Mei :- Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Gopeng Kali Ke-21 telah diadakan di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Gopeng, Taman Indah Jaya, Ipoh mulai jam 9.30 pagi. Mesyuarat kali ini akan menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan buat PAS Kawasan Gopeng bagi penggal 2009-2011.

Perasmian mesyuarat dilakukan oleh YB Drs. Khalil Idham Lim, Adun Titi Serong yang juga Pengerusi Kelab BBC Negeri Perak. Dalam ucapan perasmiannya Drs. Khalil menyentuh mengenai kesungguhan bekerja didalam parti tidak kira apa jua jawatan yang dipegang dengan membawakan kisah Khalid Al Walid sebagai rujukan.

ADUN Titi Serong memeriksa perbarisan Unit Amal.




Gambar dan berita asal : http://ajijoi.blogspot.com/

Surat Speaker Kepada Tuanku Sultan Perak

Kenyataan Media YB. V.Sivakumar, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 4 Mei 2009.

Surat Speaker Kepada Tuanku Sultan Perak

Saya telah menulis surat kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibuddin Shan pada hari ini. Surat telah dihantar ke Pejabat Istana Kinta lebih kurang jam 11.00 pagi. Saya telah memohon kepada Tuanku Sultan untuk mempertimbangkan supaya persidangan Dewan Negeri Perak ditangguhkan sehingga satu tarikh yang ditetapkan oleh Tuanku Sultan kemudian. Sidang Dewan Negeri Perak dijadualkan bermula pada 7 Mei 2009.

Saya membuat permohonan ini kerana kedudukan Menteri Besar Perak masih dalam pertimbangan mahkamah. Kes Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Dato Seri Hj Mohammad Nizar Bin Jamaluddin sedang dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Saya berpendapat bahawa adalah tidak munasabah sidang Dewan Negeri diadakan dalam kedudukan YAB Menteri Besar Perak yang masih dalam pertikaian di mahkamah.

Tambahan pula, saya juga merasa bimbang akan berlaku perselisihan dan pertelingkahan yang sukar dikawal pada hari tersebut. Pada jangkaan saya, kedua-dua pihak akan bertikam lidah mempertahankan pendirian masing-masing. Untuk menjaga keharmonian, kemuliaan dan kehormatan dewan, saya telah memohon kepada Tuanku Sultan menangguhkan persidangan ini buat sementara waktu.

YB. V.Sivakumar
Yang Dipertua Dewan
Negeri Perak Darul Ridzuan

Pembantu ADUN Kuala Kurau dibebas reman.

PARIT BUNTAR : Pembantu Peribadi kepada ADUN Kuala Kurau, Ahmad Adenan Said yang ditahan reman berikutan dengan serangan ke atas dirinya oleh sekuimpulan bersenjatrakan corta dan senjata tajam pada hari Jumaat lepas telah dilepaskan dengan jaminan lisan di balai Polis Parit Buntar pada jam 11.00 pagi tadi. Demikian maklumat yang saya perolihi dari ADUN Kuala Kurau, YB. Ab. Yunus Jamhari sebentar tadi.

'Saya ada bukti bomoh ke DUN Perak'

Seorang wakil rakyat PAS – yang mendakwa menteri besar BN membawa masuk bomoh ke DUN sebelum persidangan penting, Khamis ini – berkata beliau mempunyai “bukti” berhubung dakwaannya itu.

ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim menambah, beliau bersedia memberikan keterangan berhubung kenyataannya itu yang diadukan kepada polis oleh Datuk Zambry Abd Kadir semalam.

"Mustahil saya tidak bersedia memberikan keterangan. Saya keluarkan fakta, takkan saya hendak lari daripada memberikan keterangan.

"Kita ada bukti yang diberitahu (oleh) sumber tertentu. Maka saya buat kenyataan (kepada media)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Diminta menjelaskan lanjut bukti dakwaannya itu, Khalil berkata:

"Sekarang masalahnya, orang memberitahu saya, (itulah) bukti saya. Maklumat daripada orang yang tahu betul cerita ini."

Mengulas laporan polis itu, Khalil berkata Zambry berhak membuat laporan berkenaan bagi mempertahankan dirinya.

"Tetapi (menjadi) hak saya melaporkan (kepada media) dan minta mufti memberikan fatwa.

"Ada, (atau) tak ada pun (perbuatan itu), saya rasa mufti kena beri fatwa dialah, pandangannya macam mana (sama ada) boleh pakai bomoh," katanya. Malaysiakini.

Lelongan Camry Perak kurang sambutan, hanya 7 tender diterima

IPOH: Kereta Toyota Cambry yang menjadi perhatian ketika kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat 'tidak mendapat sambutan' sebagaimana dijangkakan.

Sekretariat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hanya menerima tujuh borang tender untuk membeli 16 kereta Toyota Cambry itu, berusia dua bulan, yang kini dilelong.

Tawaran untuk membeli kenderaan itu pada harga pasaran RM148,000 setiap satu dibuka 28 April lalu dan ditutup tengah hari ini.

Menurut Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Shamshuzaman Sulaiman sebanyak 40 borang telah dikeluarkan sejak minggu lalu

"Mereka yang membida boleh beli kereta berkenaan secara berasingan atau kesemuanya sekali," Shamshuzaman beliau di sini hari ini.

Kata beliau, tawaran tender itu akan diteliti oleh jawatankuasa khas yang terdiri daripada tiga orang.

Keputusannya dijangka diketahui Rabu depan.

Katanya, kereta-kereta itu didaftarkan Januari lalu dan berada dalam keadaan baik dengan hanya telah melalui antara 2,000 hingga 20,000 kilometer perjalanan.

Beliau tidak menyatakan butiran pihak yang membidanya dan harga yang ditawarkan. Kata beliau, jika tiada pembeli sesuai dalam usaha kali pertama itu, pihaknya akan membuka lelongan semula. Mstar.

Perjumpaan khas ADUN/Wakil-wakil parti politik dengan Ketua Polis Negeri Perak.

Perjumpaan tersebut diadakan pada jam 10.45 pagi tadi di Bilik Mesyuarat Utama IPK, Ipoh. Pimpinan PAS yang hadir Ustaz Ahmad Awang, Aminuddin Zulkifli, saya sendiri sebagai Ketua Penerangan PAS Negeri dan sdr. Hamidon yang mewakili Dato' Seri Hj Nizar. manakala PKR diwakili oleh Ust Zulkifli Ibrahim dan Sdr. Anuar. DAP tidak ada wakil yang hadir.

Tajuk surat yang dihantar kepada kami ialah Perjumpaan Khas Adun/Wakil-wakil parti politik. Tetapi tidak seorang pun ADUN PAS dan PKR yang menerima surat jemputan untuk hadir. Saya tidak pasti ADUN DAP terima surat atau tidak. Saya juga tidak pasti ADUN BN dipanggil sama ataupun tidak.

Kami tidak tahu apa motif perjumpaan tersebut, dalam surat jemputan tidak ada agenda dan sebab perjumpaan diadakan. Menghormati surat jemputan tersebut, kami menghadirinya dengan andaian ada perbincangan penting atau maklumat penting akan disampaikan oleh Ketua Polis Negeri.

Dalam perjumpaan yang tidak sampai satu jam itu, kami hanya diminta oleh pihak polis yang berupa amaran supaya jangan menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada hari sidang DUN 7 Mei ini. Pihak polis meminta pimpinan parti-parti politik memberi nasihat supaya ahli dan penyokong parti tidak menghadiri perhimpunan tersebut. Pihak polis kononnya mendapat maklumat dan sumber dari internet dan ceramah-ceramah anjuran PR yang mengatakan akan ada perhimpunan besar-besaran 7 Mei di Ipoh.

Dalam perjumpaan tersebut kami menafikan akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada hari tersebut, tidak ada sebab untuk kami menghalang orang ramai hadir kerana perhimpunan tersebut tidak dianjurkan oleh PR. Kononnya ada perhimpunan besar-besaran itu adalah provokasi Zambry Abdul Kadir yang mendedahkan dalam akhbar baru-baru ini. Sebenarnya Zambry ketakutan untuk berhadapan dengan 7 Mei dan takut dengan kebangkitan rakyat yang menuntut supaya DUN dibubarkan. Orang yang takut memang sentiasa menggelabah terhadap apa sahaja khabar angin yang sumbernya pun boleh dipertikaikan. Kami menegaskan kepada pihak polis sepatutnya Zambrylah yang wajar dipanggil oleh pihak polis terhadap dakwaan ini untuk membuktikan kepada polis adanya perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh pembanagkang.

PR sudah memutuskan akan menghadiri sidang DUN 7 Mei walaupun status sidang yang diadakan jelas membelakangkan Speaker, tetapi disebabkan menghormati titah Tuanku, seluruh ADUN PR akan menghadiri sidang DUN 7 Mei untuk mendengar titah ucapan Tuanku.

PR memberi jaminan tidak akan menganjurkan perhimpunan tersebut dan boleh memberi nasihat ahli dan penyokong. Tetapi sekiranya orang ramai hadir juga, itu di luar tanggungjawab PR. Wakil PR menuntut supaya pihak polis menggunakan kebijaksanaan yang berhemah apabila berhadapan dengan perhimpunan seumpama itu. Polis ada kuasa untuk menyuraikan perhimpunan, tetapi sekiranya perhimpunan itu sekadar berhimpun cara aman, tidak ada kekacauan dan rusuhan yang boleh dianggap membahayakan keselamatan, pihak polis hendaklah mengunakan budi bicara.

Kami menegaskan orang ramai yang akan hadir pada 7 Mei itu adalah didorong oleh keinginan mereka sendiri yang ingin tahu perkembangan 7 Mei. Mereka juga hadir untuk memberi sokongan moral kepada ADUN-ADUN PR, bukan untuk membuat kekacauan. Kekacauan timbul kerana provokasi orang lain. Kami juga menegaskan pihak polis tidak ada kuasa menghalang orang ramai yang mendapat kebenaran Speaker sebagai pemerhati dalam persidangan tersebut, dan pihak polis hendaklah merujuk Speaker untuk mendapatkan senarai pemerhati dan media yang mendapat kebenarannya bukannya merujuk Dato' SUK.

http://misabah.blogspot.com

Bomoh : Siapa yang jijik dan siapa yang terdesak?

Inilah antara petikan berita yang disiarkan bagi meyakinkan khidmat bomoh tidak digunakan sehingga kenyataan saya dipetik sebagai mana dikatakan oleh Zambry sebagai."Ini sikap seorang ADUN yang menjijikkan, memualkan dan tidak mempunyai prinsip agama dengan membuat tuduhan keterlaluan dan melampau."

Beliau juga mengatakan "Dia membuat tuduhan yang begitu terdesak. Kalau ia pun, ini bukan cara untuk bertindak mengikut suka hati dia. Ini satu tindakan keterlaluan.

Namun ingin saya bertanya adakah tindakan menggunakan bomoh untuk menjampi dewan sesuatu yang tidak menjijikkan, dan merupakan satu tindakan yang tidak terdesak ? nampaknya semua pembaca blog kesayangan ini punya hati budi dan pemikiran yang waras siapakah yang sebenarnya yang sering menggunakan khidmat bomoh, PAS atau UMNO ?

PAS, jangan kacau PKR di Penanti

Mursyidul am PAS berkata beliau tidak mahu anggota parti itu membuat kacau dan membelakangi perjanjian dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat dengan menuntut PAS meletakkan calon pada pilihanraya kecil DUN Penanti.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga menteri besar Kelantan, berkata PAS perlu berpegang pada janji yang dibuat dengan PKR berhubung pengagihan kerusi pilihanraya yang dibuat sebelum ini, lapor Bernama.

"Kalau itu kawasan PKR, hak dialah. Kita kena balik kepada perjanjian. Kita orang Islam pentingkan janji, jangan buat kacau, janji mesti sempurna.

"Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri (kerusi) kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah," beliau dipetik berkata di kediaman beliau di Pulau Melaka hari ini.

Nik Abdul Aziz mengulas desakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin supaya pimpinan parti itu menimbangkan untuk meletak calon PAS bertanding di DUN Penanti.

Kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas timbalan satu ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin, 16 April lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 Mei dan hari pengundian 31 Mei.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi
pendirian parti itu untuk menyokong calon PKR Mansor Othman dan keputusan itu adalah muktamad.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor, antaranya, PKR telah bertanding di kawasan berkenaan pada pilihanraya umum tahun lepas dan memenanginya.

BN akan memutuskan hari ini, sama ada akan bertanding atau tidak pada pilihan raya kecil kali ini. Malaysiakini.

Saya tidak dijemput untuk hadir pertemuan dengan Polis hari ini.

Saya menerima panggilan talipon dari kebanyakan akhbar utama tanah air dalam pelbagai bahasa bertanyakan mengenai pertemuan dengan pihak Polis yang kononnya akan diadakan di Ipoh pada hari dan jamnya pun saya tidak pasti. Kebanyakan bertanya mengenai adakah saya di jemput dan bagaimana pula dengan ADUN Pakatan Rakyat yang lain adakah mereka dijemput sama?

Setakat hari ini saya masih tidak menerima apa-apa surat yang memanggil saya untuk hadir dalam pertemuan yang didakwa oleh pemberita-pemberita itu. Dan sepengetahuan saya ADUN PR lain juga tidak dipanggil sama. Alasan saya ialah kelmarin semasa kami bertemu dalam sidang akhbar di Ipoh mereka yang hadir masih belum menerima surat tersebut.

Apabila Ust. Misbahul Munir menalipon saya pagi tadi bertanyakan adakah saya akan hadir yang juga telah mengesahkan kepada beliau bahawa saya tidak akan hadir kerana tidak ada surat rasmi dari pihak berkenaan.

Saya juga memaklumkan kepada beliau bahawa ADUN-ADUN PR tidak menerima suarat panggilan walaupun dia mengatakan tajuk surat adalah lebih kurang yang saya ingat " Pertemuan ADUN PR dan pemimpin PR...".

Kebetulan jadual harian saya pada hari ini agak ketat. Sejak pagi saya sudah ada temujanji. Sekitar jam 9.45 pagi saya melawat tapak cucian kereta yang terkena projek landasan keratapi berkembar sesudah itu bergegas ke Mesjid Bagan Tiang untuk solat jenazah.

Balik dari solat jenazah saya bergegas ke Pasar Awam Parit Buntar untuk meninjau permasalahan mereka sekali lagi. apalagi saya mesti menunaikan janji dengan mereka untuk datang pada hari ini.