04 May 2009

Isu Bomoh : Zambry buat laporan Polis terhadap saya

Kenyataan akhbar saya yang diterbitkan dalam Blog ini mendapat respon segera dari Dr. Zambry dengan dia membuat laporan polis seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA yang saya terbitkan di bawah.

Pada kesempatan ini saya ingin memberi penjelasan dan penegasan sekali lagi bahawa saya bukan orang yang mudah mengeluarkan kenyataan tanpa ada bukti dan alasan yanag kukuh. Oleh itu dalam persoalan ini saya mengulangi sekali lagi pendirian bahawa Dewan Negeri telah dimasuki oleh "Bomoh" dan saya mempersoalkan pihak yang bertanggung jawab kepada dewan negeri pada masa ini.

Selain itu saya tidak berhajat menyeret mufti sebagai diberitakan "Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap Adun Titi Serong tersebut yang turut mengheret Mufti Perak yang sebelum ini dihina oleh pembangkang dalam entri berkenaan.". Kalau di Bukit Gantang Mufti sangat cepat mengeluarkan pandangan mengenai hukum orang bukan Islam baca Quran, apalah salah saya kalau saya meminta mufti mengeluarkan pendapatnya menurut hukum Islam kalau Dewan sampai di jampi sedemikian rupa.

IPOH, 3 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Khalil Idham Lim yang didakwa membuat tuduhan melampau kepada beliau dan Barisan Nasional (BN) menerusi satu kenyataan media hari ini.

Zambry yang juga Adun Pangkor berkata tuduhan melampau dan keterlaluan itu turut disiarkan dalam laman blog milik Khalil Idham di idhamlim.blogspot.com.

"Ini sikap seorang Adun yang menjijikkan, memualkan dan tidak mempunyai prinsip agama dengan membuat tuduhan keterlaluan dan melampau.

"Dia membuat tuduhan yang begitu terdesak. Kalau ia pun, ini bukan cara untuk bertindak mengikut suka hati dia. Ini satu tindakan keterlaluan. Saya membuat laporan polis dan telah berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini malam ini.

Zambry mengulas entri bertajuk 'Kenyataan Media Adun Titi Serong' yang disiarkan di laman blog berkenaan.

Entri itu antara lain mendakwa Zambry dan BN telah membenarkan bangunan Dewan Undangan Negeri dimasuki oleh 'bomoh' untuk menjampi kerusi Speaker DUN dan mendesak Mufti Perak supaya mengeluarkan fatwa berhubung perkara berkenaan.

Zambry berkata beliau telah membuat satu laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Kampung Rapat di sini.

Beliau menyifatkan tindakan itu berniat jahat dan cuba menanam serta mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap beliau dan BN dalam keadaan di mana DUN akan bersidang Khamis ini.

"Penipuan ini tidak boleh dibiarkan. Saya telah banyak bersabar termasuk dengan ceramah-ceramah yang dijalankan mereka yang melemparkan fitnah dan tuduhan tidak berasas tetapi kenyataan media pagi tadi satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap Adun Titi Serong tersebut yang turut mengheret Mufti Perak yang sebelum ini dihina oleh pembangkang dalam entri berkenaan.

"Saya tidak boleh bertolak ansur dan tindakan ini sangat tidak bertanggungjawab kerana dia (Khalil Idham) juga merupakan seseorang yang memegang 'Yang Berhormat' ditambah lagi 'orang agama' yang sepatutnya tahu hukum-hakam agama," kata Zambry.

-- BERNAMA

Belum ada Speaker di negara Komanwel terima usul tidak percaya terhadapnya

KOTA BHARU, 3 Mei : - Mungkinkah apa yang dilakukan kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) di Perak sekarang seumpama kata bidalan 'berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap'.

Lebih mengaibkan lagi apabila Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Dr Abdul Rahman Hashim dan setiausaha Dewan Undangan Negeri, Abdullah Antong Sabri tiba-tiba mengambil alih tugas Speaker, V Sivakumar.

Begitu juga dengan Menteri Besar kerajaan kudeta, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir bercadang mencalonkan Speaker baru, Dato' R Ganesan pada persidangan Dun 7 Mei ini.


"Inilah satu keanehan yang berlaku di Perak dan negeri itu akan mencatat sejarah dalam di negara Komanwel jika Speaker membenar undi undi tidak percaya terhadapnya.

"Speaker mempunyai hak mutlak menentukan susunan urusan Dun di mana terdapat beberapa keadaan yang membolehkan Speaker menolak usul yang dibawa mana-mana Adun," kata bekas Speaker Dun Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Beliau yang mempunyai lebih 10 tahun sebagai Speaker berkata, tindakan Adun BN mengemukakan usul tidak percaya kepada Sivakumar secara jelas menggambarkan politik buli yang Umno amalkan masih menebal.

Baru-baru ini Dr Zambry mengemukakan usul kepada pejabat Setiausaha Dun Perak untuk melucutkan Sivakumar dan melantik Speaker baru pada persidangan Dun yang akan bermula Khamis ini.

Wan Rahim yang juga anggota Parlimen Kota Bharu berkata, Sivakumar tidak boleh dipecat selagi beliau mampu menjalankan tugas dengan baik dan mengikut peraturan Dewan atau undang-undang Tubuh Perak.

"Ini kerana amalan Speaker dari kalangan pembangkang bukannya perkara luar biasa di negara Komanwel. Di England pernah berlaku Speaker dari parti Konservatif ketika parti Buruh memerintah.

"Namun Umno tidak bertamadun apabila mahu memecat Speaker kerana alasannya berlainan parti. Mereka sedang bermain sandiwara untuk melantik Speaker lain," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau juga memberitahu pada persidangan Dewan Rakyat sebelum ini, Speaker menolak usul undi tidak percaya yang dibawa Pakatan Rakyat terhadap Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika masih menerajui kerajaan.

Begitu juga katanya di Dun Melaka Speaker menolak usul undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri.

"Usul undi tidak percaya boleh berlaku tetapi bagi Speaker ia merupakan tindakan yang tidak sopan selagi Speaker boleh menjalankan tugas yang diamanahkan," ujarnya.

Beliau menegaskan terpulang kepada Speaker untuk membuat keputusan menerima atau tidak usul yang akan dibawa wakil rakyat BN di Perak.

Ditanya tindakan kerajaan kudeta BN yang mahu menghadkan media membuat liputan di Dun Perak katanya, BN tidak mahu rakyat mendapat gambaran sepenuhnya persidangan yang berlangsung.

Dalam perkembangan yang sama hari ini Sivakumar menjelaskan semua media dibenarkan untuk membuat liputan persidangan Dun Perak bermula 7 Mei ini.

Menurutnya Perintah Perintah Tetap 84 (Dun Perak) kuasa diberi kepada Yang Dipertua Dewan Negeri untuk mengeluarkan kebenaran am kepada wakil mana mana media menghadiri persidangan dewan. Harakahdaily

MB kembali bertugas Rabu ini

PENGKALAN CHEPA, 3 Mei : - Tuan Guru Dato? Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mulai bertugas semula Rabu ini selepas kembali daripada menunaikan ibadat umrah kira-kira jam 4.10 petang tadi.

Beliau bersama isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak serta anak bongsu Nik Asma' Salsabila menunaikan ibadat umrah sejak 20 April lalu. Turut mengiringinya Setiausaha Sulit Khasnya, Rusdi Abdullah.

Kepulangannya disambut Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Dato? Mohd Amar Abdullah, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman, dan Abdul Fattah Mahmood.

Turut kelihatan Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Menteri Besar kelihatan sihat dan ceria sebaik sahaja melangkah keluar dari pintu kenamaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sambil tersenyum dan bersalaman dengan orang ramai. Sesekali beliau turut melambaikan tangan.

Bagaimanapun tiada persidangan media diadakan memandangkan beliau masih kepenatan.

Sementara itu, Ahmad melahirkan rasa syukur di atas kepulangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sentiasa dinanti rakyat Kelantan.

"Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah, Tuan Guru begitu sihat dan ceria," ujarnya. Harakahdaily.

Kesilapan dalam solat sering dipandang remeh

Ahmad Baei Jaafar

Suasana pada hari agak menggembirakan sesetengah ibu bapa apabila melihat anak remaja sudah berminat kepada kehidupan beragama. Remaja sudah dilihat mula mahu memenuhi surau dan masjid terutama pada waktu Maghrib dan Isyak.

Mereka mendapat kesedaran beragama semasa di bangku sekolah dan universiti. Arus kesedaran Islam bertiup kencang melawan arus kemodenan masa kini. Remaja kini sudah tidak malu untuk melakukan solat walaupun di tempat selain surau dan masjid.

Mereka sanggup melakukan solat kerana mahu menegakkan agama dalam diri mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Solat ialah tiang agama,” (Riwayat Baihaqi).

Ibu bapa dalam hal ini seharus bersyukur kerana anak mereka tidak lagi seperti terlepas tali, boleh terbang ke mana-mana. Mereka kini sudah boleh dikawal, iaitu dikawal oleh agama.

Walau bagaimanapun kita agak sedih apa melihat sesetengah ibu bapa yang masih liat untuk mendirikan solat. Mungkin seminggu sekali untuk solat Jumaat atau mungkin sesekali melakukannya sewaktu balik ke rumah pak mentua. Mereka lakukannya bukan kerana Allah tetapi kerana malu kepada mentua.

Ingatlah berdasarkan hadis di atas, sesiapa yang mendirikan solat bererti mereka telah mendirikan agama dan sebaliknya sesiapa yang meninggalkan solat bererti dia meruntuhkan agama. Mahukah ibu bapa ini digelarkan sebagai yang meruntuhkan agama?

Menyedari keadaan ini, saya menyeru semua umat Islam agar tidak mengabaikan solat lima waktu kerana itulah identiti umat Islam. Kurang dari lima waktu, kuranglah keislaman mereka. Malah dengan jumlah yang kurang itu hampir-hampir menyamatarafkan mereka dengan orang bukan Islam.

Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan solat suka saya senaraikan di sini beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh umat Islam dalam ibadah. Kesalahan tersebut walaupun yang tidak disengajakan, kalau tidak diperbetulkan akan menjadi kebiasaan yang sukar dibetulkan semula. Oleh sebab itu perhatikan senarai kesalahan berikut:

Sebelum solat – dalam azan muazzin atau lebih dikenali sebagai bilal, mereka melakukan dua kesalahan secara tidak sedar. Walaupun tidak sedar, lafaz azan itu sudah tidak memberi makna dan maksud yang sebenar.

1. “Asy-hadu an la ilaha illah” – mungkin kerana mereka membacanya berdasarkan huruf rumi maka dibunyikan “Asyhadu” dengan assyadu. Perkataan ini tidak memberi apa-apa makna dan tidak menepati lafaz syahadah yang wajib dibaca.

2. “Lailaha illallah” dipanjangkan “ha” pada perkataan “ilaha” menjadi ilahaa. Perkataan ini juga tidak memberi apa-apa makna.

Jadi, semua bilal dan orang yang hendak mengalunkan azan, eloklah membuat latihan menyebutnya agar tidak terus tersilap. Ingatlah azan mengajak orang ramai kepada solat, tetapi kalau tersalah sebut, panggilan itu tidak dinilai oleh Allah.

Selain itu suka diingatkan juga bahawa, waktu untuk azan adalah ditentukan oleh muazzin manakala untuk melakukan solat hendaklah ditentukan oleh imam. Maka dalam hal ini bilal perlu memastikan iman bersedia dan mendapat keizinannya.

Waktu solat – terdapat beberapa orang susah hendak masuk niat untuk memulakan solat. Kadang-kadang dia terpaksa mengangkat takbir berkali-kali untuk membolehkan niatnya masuk pada waktu itu. Sikap atau tabiat itu menjadi sebab terlambatnya dia mengikut imam. Padahal niat adalah kerja hati yang datangnya bagaikan angin lalu sahaja, tidak perlu mengambi masa yang panjang.

Mengikut hukum fiqah, apabila seseorang itu mengangkat takbir dengan niat yang betul, takbir dan niat itu sudah diterima. Maka kalau dia mengulangi kali kedua, maka takbir kedua itu menyebabkan solatnya terbatal. Jadi, apabila dia meneruskan solat dengan takbir itu, solatnya tidak dikira oleh Allah. Oleh sebab itu dia perlu ulangi takbir dan niat baru, yang ketiga.

Selain itu takbiratul ihram iaitu dengan menyebut “Allahu Akbar". Lazim yang berlaku dalam kalangan umat Islam ialah mereka memanjangkan “baar” pada perkataan akbar. Dengan memanjangkan “akbar” itu tidak lagi memberi makna “Allah Maha Besar”. Jadi berhati-hati menyebutnya.

Seterusnya dalam membaca surah al-fatihah, mereka terlalu sangat hendak membetulkan sebutan makhraj sehingga jadi berlebih-lebihan. Antaranya ialah membaca “alhamdulillah” ditekankan bacaan pada alham sehingga berbunyi seperti alkham atau alhom. Ini juga telah merosakkan makna al-Fatihah yang asal.

Semasa iktidal juga terdapat kesilapan menyebut pada membaca “samiallahu liman hamidah”. Selalu juga kita dengar sesetengah orang membaca dengan memanjangkan bacaan haamidah. Dengan memanjangkan perkataan pada “ha” memberi erti wanita yang memuji - isim fail muannas. Padahal yang asalnya “hamidah” ialah feil madhi yang memberi erti memuji-Nya.

Panduan ini penting untuk diamati supaya solat yang dikerjakan setiap hari dinilai oleh Allah dengan sebaiknya. Wallahu a’lam.

Ustaz Latif YDP PAS paling muda di Kelantan

KUALA KRAI, 3 Mei : - Mungkin satu tranformasi baru berlaku di Kelantan apabila golongan muda diberi peluang menerajui pentadbiran PAS kawasan.

Sedangkan kebiasaannya Yang Dipertua (YDP) PAS terdiri daripada mereka yang agak berusia.

Namun di Kuala Krai perwakilan memilih Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, 38 sebagai YDP baru PAS apabila menewas penyandangnya pada mesyuarat agung yang diadakan semalam.

Pada pemilihan itu Abdul Latif mengatasi bekas anggota parlimen Kuala Krai, Ustaz Ibrahim Mahmood. Manakala Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaacob mengekalkan jawatan sebagai Timbalan YDP apabila menewaskan pencabarnya, Ustaz Zulkefli Yaacob.

Ismail Jalil pula menang sebagai Naib YDP apabila berjaya mengatasi Mohd Razali Abdullah.

Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Ismail Sulaiman, Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Mahadi Mat Zain dan Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Norizan Mohd Zain.

Manakala di PASIR PUTEH, tiada perubahan dalam kepimpinan PAS kawasan itu biar pun berlaku pertandingan agak sengit bagi kesemua jawatan utama.

Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad kekal sebagai YDP apabila mengatasi dua pencabarnya iaitu anggota parlimen Pasir Puteh, Ustaz Mohamad Hussin dan Adun Selising, Drs Saiful Baharin Mohamad.

Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat juga mengekalkan jawatan sebagai Timbalan YDP apabila menewaskan tiga pencabarnya iaitu Yuganu Yunus, Zarir Yaakub, Sidi Ahmad Taib.

Manakala Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim menang di kerusi Naib YDP apabila berjaya mengenepikan Ibrahim Ismail dan Adnan Othman.

Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Wan Leh Wan Dollah. Ketua Dewan Pemuda, Mohd Nazlan Abdullah dan Ketua Dewan Muslimat, Hajah Kalthom Othman.

Sementara itu, di PENGKALAN CHEPA, Dato' Mohd Amar Abdullah mengekalkan jawatan YDP kawasan tersebut, timbalannya Haji Yusof Ludin, manakala naib YDP, Haji Osman Awang yang berjaya mengatasi Dr Izani Hussin.

Wan Ubaidah Omar kekal sebagai Ketua Dewan Muslimat dan Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz - ketua Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa.

Seramai 230 perwakilan dari tiga Dun iaitu Cempaka, Kijang dan Panchor hadir pada mesyuarat tersebut yang diadakan di Kompleks Purnama, semalam.

Sementara itu Mohd Amar berkata, PAS Pengkalan Chepa mencatat sejarah apabila pertama kali berlaku pertandingan merebut jawatan utama iaitu Naib Yang Dipertua. Harakahdaily.

Semua media dibenar buat liputan sidang DUN Perak - Speaker

IPOH, 3 Mei :- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar hari ini membuat ketetapan bahawa semua pihak media akan dibenarkan untuk membuat liputan persidangan DUN Perak yang dijadual bermula pada 7 Mei ini. Demikian menurut Kenyataan Media secara bertulis yang diedarkan kepada rakan media semasa Sidang Media ADUN Titi Serong di Pejabat DAP Ipoh pagi tadi.

Sivakumar berkata semua media termasuk yang dihalang untuk membuat liputan sebelum ini diminta untuk membuat permohonan bertulis di Pejabat Speaker, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan mulai pukul 9 pagi esok.

"Saya akan mengeluarkan surat kebenaran kepada media-media mengikut pertimbangan saya.

"Di sini, saya menggunakan Perintahperintah Tetap 84 (DUN Perak) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Negeri untuk mengeluarkan kebenaran am kepada wakil manamana jurnal menghadiri persidangan dewan.

Perintah-perintah tetap ini juga membolehkan Yang Dipertua Dewan untuk membatalkan kebenaran yang diberi," katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Sivakumar berkata arahan itu dikeluarkan untuk menjamin prinsipprinsip demokrasi dan kebebasan media.

Beliau berkata rakyat harus mengetahui apakah yang berlaku dalam persidangan secara telus.

"Tidak ada sebab untuk menghalang manamana media untuk membuat liputan. Rakyat berhak mengetahui segala gerakgeri wakil rakyat mereka di dalam Dewan Negeri," katanya.

Kenyataan Media ADUN Titi Serong.

Drs. Khalil sedang memberikan kenyataan dalam sidang media pagi tadi.

IPOH, 3 Mei :- Ekoran dari 5 kediaman ADUN Pakatan Rakyat "diganggu" oleh pihak keselamatan, satu sidang media dilakukan di pejabat DAP Ipoh oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak Pakatan Rakyat yang juga ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim pada jam 11.30 pagi tadi.

Selain itu Sidang Media itu juga dihadiri oleh Exco Kerajaan Perak pakatan Rakyat, Hj. Zainuddin Yusuf dan Thomas Su.Manakala ADUn yang hadir ialah, Chang Lih kang (Teja),Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Lim Phek Her(Mengelembu)

Berikut ini adalah Kenyataan Media ADUN Titi Serong..

Setakat ini ADUN Pasir Pinji, Mengelembu, Kepayang , Teja dan Buntong telah didatangi oleh sekumpulan pegawai Polis dengan berkenderaan van dan kereta. Mereka mengambil gambar dalam keadaan mencurigakan dan menimbulkan perlbagai persoalan dari ADUN berkenaan, keluarganya dan jiran tetangga.

Oleh itu saya sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat (BBC-PR) yang juga ADUN Titi Serong bersama-sama ADUN PR yang lain menyatakan :-

1.Membantah tindakan semacam "provokasi" untuk menakut-nakutkan ADUN Pakatan Rakyat sebelum Sidang DUN pada 7 Mei depan.

2.Mempersoalkan apakah tujuan rumah ADUN berkenaan dilawati secara tidak diundang dan apakah tujuan gambar dan kehadiran ramai polis.

3. Kami akan sentiasa mematuhi undang-undang yang sedia ada dan sanggup berkerjasama dengan pihak keselamatan tetapi bukan dengan cara "tidak diundang" dan kami tidak tahu menahu dengan kehadiran mereka kalau tidak dimakulum oleh keluarga dan jiran.

4. Apakah kesalahan dan tindakan melanggar undang-undang yang telah dilakukan oleh ADUN Berkenaan ?

5. Pada kesempatan ini saya mempersoalkan tindangan Zambry dab BN membenarkan Dewan Negeri dimasuki oleh "bomoh" untuk menjampi kerusi speaker. Oleh itu saya mendesak Mufti Kerajaan Negeri Perak untuk mengeluarkan fatwa mengenai perkara tersebut.

3 Mei 2009,
Di Ipoh Perak.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak
Pakatan Rakyat (BBC-PR)

BN malu di Bukit Gantang : Penamaan calon dihadkan kepada 5000 sahaja

Kehadiran penyokong BN dalam penamaan calon PRK Bukit Gantang yang lepas menyaksikan suatu jurang kehadiran yang sangat nyata. bayangkan ramai yang menganggarkan paling ramai kehadiran pihak BN hanya 5000 malah ada yang menganggarkan cuma paling banyak 3000 orang sahaja di pihak BN.

Sebaliknya kehadiran pihak Pakatan Rakyat saya anggarkan mencecah 30,000 orang. Malah satu hal yang tidak dapat dinafikan kehadiran sejumlah lautan manusia sebegitu ramai bukanya dari imbuhan wang minyak kereta atau makan free untuk mereka, tetapi mereka datang khusus yang beragama islam atas hasrat peribadi mendapat keredhaan Allah SWT semata-mata. Bagi yang bukan Islam mereka bersatu untuk menyaksikan kejatuhan BN secepat mungkin. Mereka bergerak seawalnya beberapa hari sebelum penamaan calon untuk menghadirkan diri dalam hari penamaan calon tersebut.

Di pihak BN pula diakui atau tidak mereka datang dengan upah yang diharapkan didunia semata-mata. Tiada makan percuma atau imbuhan wang mustahil mereka boleh datang. Kerana itu belanja yang sangat besar diperlukan bila BN ingin berdepan dengan lautan penyokong Pakatan Rakyat yang datang cuma dengan semangat dan bagi yang beragama Islam mengharapkan "pahala".

Kerana itu saya sangat yakin bahawa peraturan yang dibuat dengan menghadkan jumlah kehadiran sebanyak 5000 orang sahaja kepada parti yang bertanding jelas membuktikan BN dalam keadaan yang terdesak sehingga SPR dan Polis diperkudakan untuk mengeluarkan peraturan "tidak masuk akal itu".

Kosongkan kerusi? ADUN Kota Alam Shah umum 19 Mei

Isteri: Manoharan dijadual menemui Karpal sebelum umum pendirian rasmi

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah dari DAP, M. Manoharan disahkan isterinya bahawa beliau sedang mempertimbangkan dengan serius untuk melepaskan kerusi tersebut atas alasan tidak berupaya memberi khidmat dengan berkesan kepada pengundinya sejak Mac 2008.

Bagaimanapun Manoharan, yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hanya akan mengumumkan keputusan muktamad selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh 19 Mei ini.

Ketika dihubungi mStar Online, isteri Manoharan, S. Pushpaneela berkata, suaminya memikirkan kemungkinan tersebut sejak beberapa bulan yang lalu kerana merasakan adalah tidak adil selepas tidak dapat berkhidmat sepenuh masa di bahagian itu yang dimenanginya 8 Mac 2008.

Tengah hari tadi Pushpaneela menemui Manoharan di Pusat Perlindungan Tahanan di Kamunting.

"Beliau (Manoharan) ada berkata sedang memikirkan dengan serius untuk melepaskan kedudukan kerusi DUN (Kota Alam Shah) dan biar diadakan pilihan raya kecil bagi pengundi di kawasan Kota Alam Shah memilih wakil rakyat baru.

"Suami saya merasakan serba salah kerana tidak dapat bersama mereka (pengundi) untuk membantu dan menyelesaikan masalah mereka secara peribadi," kata beliau lagi.

Katanya, Manoharan lebih sedih kerana tidak dapat memberikan khidmat dengan baik kepada mereka yang telah mengundi beliau walaupun tidak melihat wajahnya dalam pilihan raya umum ke-12.

Kelmarin Pushpaneela memaklumkan bahawa sama ada Manoharan mahu meletakkan jawatan ataupun sebaliknya hanya akan dimaklumkan hari ini selepas menemui beliau di Kamunting.

Malah pada hari yang sama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikannya dengan menyifatkan laporan tersebut sebagai hanya satu spekulasi semata-mata.

Kota Alam Shah yang terletak di Selangor dimenangi oleh Manoharan dengan majoriti 7,184 undi.

Manoharan, seorang peguam, memperoleh 12, 699 undi manakala Ching Su Chen calon BN-Gerakan mendapat 5,515 undi.

Walaupun dalam tahanan ISA, Manoharan bertanding dalam pilihan raya umum dan menang kerusi tersebut.

Beliau antara satu-satunya tahanan ISA yang bertanding dan memenangi pilihan raya umum 2008.

Beliau merupakan antara lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA sejak Disember 2007.

Empat yang lain ialah P. Uthayakumar, R. Kenghadharan, V. Ganabatirau dan T. Vasanthakumar.

Bagaimanapun Kenghadharan dan Ganabatirau telah pun dibebaskan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri awal bulan lalu.

Mengulas lanjut pertemuan hari ini, Pushpaneela berkata, Manoharan merasakan bahawa selepas beliau telah gagal dalam semua usaha untuk bebas daripada tahanan ISA dan berkhidmat kepada pengundinya, sudah tiba masa untuk melepaskan kerusi tersebut.

Katanya, Manoharan telah menulis surat kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 13 Januari 2008 ketika itu beliau masih Perdana Menteri; Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak (semasa memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri) sebanyak tiga kali; (bekas) Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar (lapan kali) dan Sultan Selangor dua kali selain tuntutan mahkamah.

"Semua usaha itu telah gagal dan sepanjang 17 bulan lalu adalah tempoh yang memeritkan dan oleh itu, beliau (Manoharan) akan membuat keputusan rasmi selepas menemui Pengerusi parti (DAP) pada 19 Mei ini," katanya.

Pushpaneela ketika ditanya tentang nasihat peribadi beliau kepada suaminya, memberitahu: "Saya memaklumkan kepada beliau jangan putus asas dan biar terus kekal sebagai ADUN, dan saya akan jaga kawasan."

Tambah Pushpaneela, beliau juga memaklumkan bahawa akan meneruskan tanggungjawab sebagai "wakil rakyat" sementara Manoharan masih ditahan di Kamunting.

"Tetapi beliau merasakan tidak adil dan serba salah kerana tidak dapat bersama mereka (pengundi) apabila memerlukan bantuan," katanya lagi.Mstar.

Hanya 5,000 boleh iringi calon

SPR, polis setuju hadkan rombongan hari penamaan calon elak masalah.

PETALING JAYA: Dalam usaha mengawal persekitaran luar kawalan pada hari penamaan calon, parti-parti politik yang bertanding 'dilarang' membawa penyokong mengiringi calon tidak lebih daripada 5,000 orang.

Pendekatan itu akan dikuatkuasakan semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang bulan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis telah mencapai persetujuan mengenai soal itu semasa satu pertemuan Khamis lalu.

Justeru, SPR menyerahkan kepada polis untuk melaksanakan pendekatan tersebut.

"SPR dan polis merayu dan berharap parti-parti politik yang bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil mulai sekarang supaya mengehadkan kehadiran para penyokong yang mengiringi calon pada hari penamaan calon tidak melebihi 5,000 orang," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online.

Aspek itu juga telah disentuh pada pertemuan dengan parti-parti politik 23 April lalu tetapi soal bilangan hanya dipersetujui Khamis lalu dalam pertemuan dengan polis.

Beliau memberitahu, walaupun 5,000 penyokong dibolehkan mengiringi calon sehingga kawasan pekarangan pusat penamaan calon, hanya 50 orang sahaja akan dibenar memasuki khemah tetamu khas di dalam pusat penamaan calon.

Lazimnya, himpunan ribuan penyokong calon menjadi tumpuan ketika pilihan raya kecil.

Sambil menyifatkan bilangan yang diputuskan itu sebagai munasabah, kata beliau, SPR menyerahkan kepada polis untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melaksanakan pendekatan tersebut.

"Oleh kerana perkara ini tidak disebut dalam mana-mana peraturan pilihan raya, jadi apa yang SPR boleh buat ialah mengharap dan merayu kepada parti-parti politik agar memastikan kehadiran tidak melebihi 5,000 orang.

"Bagaimanapun apabila polis melaksanakan pendekatan ini di luar kawasan (pusat penamaan calon), terserah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan mengikut kuasa dan tanggungjawab mereka," katanya.

Wan Ahmad mengakui bilangan penyokong yang hadir semakin bertambah dan tidak terkawal sehingga menyusahkan orang ramai dan pasukan keselamatan sejak kebelakangan ini.

"Kalau tidak dibuat sekarang, jumlah mereka yang hadir pada hari penamaan calon akan bertambah... mungkian beribu-ribu orang dan ia akan terus bertambah," kata beliau dengan merujuk kepada suasana semasa pilihan raya kecil sejak awal 2007, khususnya di Ijok, Selangor; Permatang Pauh, Pulau Pinang, Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah.

Kata Wan Ahmad, pihaknya mahu mengambil langkah-langkah proaktif sebelum keadaan bertambah buruk pada masa depan.

Jelas beliau, parti-parti politik sebenarnya telah diminta mengambil langkah mengawal emosi dan perlakuan para penyokong tetapi keadaan tidak berubah.

"Apa yang kita boleh buat ialah merayu kepada parti-parti politik yang bertanding mematuhi keputusan yang dicapai ini," katanya.

"Kami memerlukan kerjasama parti-parti politik... kerjasama sangat diperlukan," katanya.

Selain pendekatan itu, SPR telah memutuskan untuk melarang parti-parti politik mendirikan pondok panas dan berkempen pada hari pengundian berlangsung.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula menyifatkan nasihat yang diputuskan oleh SPR itu sebagai langkah baik untuk mengawal situasi semasa pilihan raya kecil khususnya penamaan calon.

"SPR sudah memberikan nasihat dan kami berharap mereka akan mematuhi nasihat ini," kata beliau sambil menambah bahawa Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah akan memaklumkan parti-parti politik mengenai pendekatan baru ini.

Musa juga menghadiri pertemuan dengan SPR Khamis lalu. Mstar.