14 March 2009

Pokok Demokrasi jadi tarikan pelancong asing.

Edisi dalam talian China Press melaporkan bahawa lokasi "Pokok Demokrasi" kini menjadi tumpuan orang ramai apabila mengetahui mengenai kejadian menceroboh plak papan tanda pokok tersebut.

Sejak dirasmikan oleh YAB. Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat, Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin pada 8 Mac lepas, ramai pelancong datang untuk melawat pokok demokrasi tersebut, menjadikannya tempat tarikan pelancongan terbaru.

Kelmarin terdapat tiga orang pelancong luar negara dari California, Australia dan Jerman, yang melawat tempat tersebut.

Hanya 19 peratus Melayu mahu Umno perintah

KUALA LUMPUR, 13 Mac : - Hanya 19 peratus dari responden Melayu yang mahu Umno terus memimpin negara, lapor Malaysian Insider dalam berita bertajuk " Umno corrupt, says survey".

Menurut laporan itu, dalam tinjauan Merdeka Centre yang dibuat ke atas 1,031 responden itu, prospek Umno di kalangan masyarakat Cina dan India jelas lebih buruk lagi.

Hanya satu peratus responden berbangsa Cina dan tiga peratus responden berbangsa India yang mahu Umno terus memimpin negara.

Lebih buruk lagi, tidak ada seorang pun responden Cina yang percaya Umno akan melaksana dan menunaikan janjinya walaupun satu peratus di kalangan mereka yang menaruh harapan kepada Umno untuk membangunkan negara ini.

Tinjauan pendapat itu juga jelas memperlihatkan imej Umno semakin buruk.

61 peratus berpendapat rasuah adalah masalah Umno yang paling serius manakala 13 peratus peratus berpendapat masalah kedua Umno yang paling serius ialah kegagalan parti itu memahami masalah rakyat.

Selaras dengan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak cekap, lemah dan pengecut, para pengundi juga bimbang dengan "pemimpin yang lemah" dan "pentadbir ekonomi yang lemah" dalam Umno.

Dari 1,031 responden itu, 57 peratus adalah orang-orang Melayu, 31 peratus China and 12 peratus India berdasarkan tinjauan rawak.

Kajian Merdeka Center itu dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sementara itu, mengulas isu rasuah Umno di dalam blognya, Dr Mahathir tidak percaya ada ahli-ahli parti itu yang akan didapati bersalah kerana terlibat dengan rasuah politik menjelang pemilihan parti itu bulan ini.

"Saya sinis dan tidak percaya barang seorang pun akan didapati bersalah," katanya.

Mengulas pendedahan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen yang mendedahkan bahawa pihaknya menerima 900 aduan yang sebahagiannya berkaitan dengan politik wang, Dr Mahathir berkata: "Orang ramai tertunggu-tunggu untuk mendengar tentang siasatan dan tindakan yang diambil terhadap mereka yang terlibat.

"Sekarang Mesyuarat Agong yang akan memilih ahli-ahli Majlis Tertinggi akan diadakan tidak lama lagi. Tetapi tidak ada apa-apa pun kedengaran berkenaan 900 aduan tersebut.

"Apakah semua 900 aduan ini sudah didapati tidak berasas dan tidak ada salahlaku oleh sesiapa? Apakah pemilihan calon Majlis Tertinggi bersih seperti kain putih?"

Sekarang, kata bekas Presiden Umno itu, "kita dengar pula tentang sogokan kepada perwakilan yang akan hadir di mesyuarat Agong yang akan undi dan tentukan siapa yang akan pegang jawatan apa di dalam parti.

"Katanya ratusan ribu diberi kepada perwakilan. Benarkah? Takkanlah semua cerita yang didengar tidak berasas?"

Menurut Dr Mahathir, wakil-wakil ke perhimpunan agong Umno bulan ini "boleh disogok dan mereka boleh beri kemenangan kepada orang yang sogok mereka.

"Tetapi ingat. Rakyat sedang memerhati tingkahlaku Umno dan pemilihan yang akan dilakukan," katanya.

Dr Mahathir mengingatkan, jika pada bulan Mac tahun lalu ramai rakyat termasuk juga ahli-ahli Umno yang kecewa telah mengundi parti lawan, dalam Pilihanraya Umum ke-13 mereka ini akan mengundi parti lawan sekali lagi jika mereka lihat Umno sudah diambilalih oleh perasuah.Harakahdaily.

Plak pokok demokrasi menjadi mangsa,

Oleh : Dr. Fikrah/tranungkite

Ketika jam 9.50 pagi, saya terbaca artikel di dalam blog Cina Islam yang memaklumkan bahawa Plak Pokok Demokrasi yang telah dirasmikan oleh Dato Seri Nizar pada 7 Mac lalu, telah menjadi mangsa samseng UMNO. Saya terkejut dengan berita tersebut, dan segera bergegas ke tempat kejadian, melihat vandalisme yang telah dilakukan tersebut.














Setibanya saya di tempat tersebut, mendapati ramai orang sudah berkumpul di sana. Antara yang hadir ialah Menteri Besar Perak sendiri, Dato Seri Nizar, Ustaz Misbahul Munir dan Nga Koh Meng. Terdapat beberapa orang yang berada di situ menemubual Dato Seri tentang kejadian yang berlaku tersebut.

Saya sempat mengambil beberapa gambar, sebagai kenangan terhadap peristiwa hitam tersebut. UMNO begitu takut dengan plak pokok tersebut, sehingga berani (dalam erti kata penakut) memecahkannya. Perangai samseng ini memang jelas di hadapan mata kita, dan ia menyaksikan bahawa perbuatan itu sangat tidak professional.

Apabila DUN diminta dibubar, mereka terasa kurang enak, kerana mereka tahu, mereka pasti akan jatuh dengan cara tersebut. Tetapi, adakah mereka tidak bimbang, kedudukan UMNO semakin teruk pada pilihanraya akan datang? UMNO akan terkubur di bumi Perak, bahkan ditalqinkan oleh orang seluruh rakyat!

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah



MB Nizar dan Speaker lawat plak yang diceroboh.


IPOH: Beberapa individu disyaki telah menceroboh dan merosakkan plak yang dijadikan tugu "Pokok Demokrasi", lokasi berlangsungnya mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar ADUN Pakatan Rakyat pada 3 Mac lalu.

YAB. Menteri Besar Perak, DS. Muhamaad Nizar Jamaluddin dan ADUN yang lain telah melakukan lawatan mengejut pada jam 11.00 pagi bagi melihat sendiri kesan kemusnahan plak yang diceroboh itu.





Exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, sebuah tabung akan dilancarkan bagi mengutip derma bagi membina plak baru yang lebih besar dan cantik bagi menggantikan plak yang rosak itu.

"Plak baru ini akan menggunakan bahasa kebangsaan, Tamil, Cina dan Inggeris bagi memudahkan pelancong memahaminya," katanya.

Ahad 8 Mac lalu, Pakatan Rakyat meletakkan tugu dan menanam lima batang anak pokok hujan-hujan di tapak 'sidang tergempar' DUN tersebut.

Sambil merujuk pokok tempat sidang tergempar itu berteduh sebagai 'pokok demokrasi', setiap anak pokok dilabelkan dengan prinsip pemerintahan Pakatan Rakyat Negeri Perak iaitu wibawa, keadilan, amanah, ketelusan dan kebajikan.

Norza tidak lepas jawatan kerana tuduhan rasuah, juga akan bertanding lagi !

TEMERLOH: Datuk Mohamad Norza Zakaria yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan rasuah, berkata beliau tidak akan melepaskan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno hanya disebabkan oleh kes yang dihadapinya itu.

Sebaliknya, kata Mohamad Norza, beliau akan terus bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan Umno yang akan diadakan hujung bulan ini dan menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan kedudukannya.

Keadaan ini mengambarkan bahawa masalah dalaman UMNO berkaitan rasuah yang dilaporkan oleh Mazlan Harun dan Kadar Ninam Shah yang menegaskan akan mengambil tindakan memohon injunksi mahkamah sekiranya pucuk pimpinan Umno tidak menyelesaikan kes salah laku dan politik wang sebelum pemilihan Umno menjadi semakin serius.

Dua tuduhan rasuah Mohamad Norza itu didakwa dilakukannya pada 6.30 petang 20 Jan lepas di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh.

Sambil menitiskan air mata, Mohamad Norza yang ditemui pemberita selepas kesnya disebut di mahkamah, berkata beliau berasa amat sedih terhadap perkara yang berlaku ke atas dirinya hari ini kerana menganggapkan beliau banyak berjasa kepada parti.

Mohamad Norza yang ditenangkan oleh beberapa pengikutnya, berkata beliau akan akur dengan apa jua keputusan mahkamah berhubung kes itu nanti.

PAC Perak bermesyuarat 23 Mac ini, MB kudeta dipanggil sekali lagi.

IPOH: Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Negeri Perak akan bermesyuarat pada 23 Mac ini bagi membolehkan kehadiran Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Pengerusinya yang juga merupakan ADUN Canning, Wong Kah Woh, berkata Ahmad Kamal telah menulis surat kepada jawatankuasa itu untuk memohon satu tarikh baru mesyuarat kerana beliau berada di Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam.

"Selain itu, jawatankuasa akan memanggil ketiga-tiga penasihat menteri besar kudeta iaitu Datuk Chang Ko Youn, Datuk S Veerasingam dan Datuk Najmuddin Elias Al-Hafiz serta ketua penerangan negeri Datuk Hamid Abu Bakar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat PAC di sini hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga tidak akan memanggil semula Menteri Besar kudeta, Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Hashim Wong pada mesyuarat akan datang kerana kedua-dua mereka telah menunjukkan ketiadaan niat untuk menghadirinya.

Katanya PAC telah memberi peluang kepada mereka untuk menjelaskan semuanya tetapi mereka gagal untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

Terdahulu, jawatankuasa itu telah pergi ke pejabat ketiga-tiga penasihat menteri besar dan ketua penerangan negeri untuk memastikan ia beroperasi atau tidak.

Pada 5 Mac lalu, Zambry tidak menghadiri mesyuarat PAC tetapi hanya YAB. Menteri Besar Negeriperak yang sah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hadir pada mesyuarat khas itu yang bertujuan untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan penggunaan wang kerajaan sepanjang krisis kepimpinan di negeri itu.

Krisis rampasan kuasa di perak nampaknya dalam satu tindakan yang tanpa sedar juga melibatkan rampasan kuasa mengurus kewangan negeri.

Mahkamah Persekutuan dengar kes Nizar-Zambry Jumaat depan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 Mac ini untuk mendengar kes saman Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar kesahihan pelantikan Datuk Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Tarikh itu ditetapkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 Mac lalu untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan yang akan menentukan isu perlembagaan membabitkan terjemahan Perkara 16 (6) Perlembagaan Perak.

Empat persoalan undang-undang yang dirujuk kepada Mahkamah Tinggi untuk ditentukan ialah:

1. Sama ada perkara bahawa Sultan Perak tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Perkara 16(6) dibaca bersama Perkara 18(2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) boleh diadili?

2. Sekiranya jawapan kepada soalan pertama adalah ya, maka persoalan seterusnya ialah sama ada perkara Sultan Perak tidak memberikan perkenan itu sah di sini undang-undang.

3. Sama ada pelantikan Menteri Besar Perak di bawah Perkara 16(2)(a) dibaca bersama Perkara 18(2)(a) UTKNP oleh Sultan Perak boleh diadili?

4. Sekiranya jawapan kepada soalan ketiga adalah ya, maka persoalan seterusnya ialah sama ada Menteri Besar yang baru itu dilantik secara sah di sisi undang-undang?

Sementara itu, salah seorang peguam Mohammad Nizar, Leong Cheok Keng, berkata beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap perintah rujukan minggu depan.

Pada 13 Feb lalu, Mohammad Nizar, 52, telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah dan Zambry yang dinamakan sebagai responden tidak berhak memegang jawatan tersebut.

Mohammad Nizar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, memohon perintah injunksi bagi menghalang responden, ejen atau kakitangannya daripada bertindak atau melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas Menteri Besar Perak.Mstar.

Najib dituduh pembunuh di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Mac : - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diherdik dengan kata-kata "Kamu pembunuh!" dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo melemparkan kata-kata tersebut terhadap Najib ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 (Pakej Rangsangan Kedua).

Perkara itu juga berlaku sebaik sahaja Najib menggulung perbahasan peringkat dasar rang undang-undang berkenaan.

Gobind pada mulanya menyatakan kehairanannya kenapa kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk membina bangunan dan infrastruktur sedangkan wang itu sepatutnya digunakan untuk memastikan sistem keadilan berjalan dengan baik.

Beliau kemudiannya membangkitkan isu kematian A Kugan di dalam lokap polis di balai polis Subang Jaya.

Sehingga hari ini, katanya, "tidak ada sesiapa pun yang didakwa berikutan kematian Kugan".

Meneruskan pertanyaannya, perkara yang sama juga berlalu dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kata beliau.

Ahli Parlimen Puchong itu merujuk kepada kenyataan pegawai penyiasat kes tersebut, Supt Gan Tack Guan yang bersetuju dengannya di dalam perbicaraan terhadap Raja Petra Kamarudin bahawa Najib adalah saksi penting dalam kes pembunuhan Altantuya tetapi masih belum memberikan kenyataan.

"Seorang pegawai polis bersetuju dengan saya bahawa Najib adalah saksi penting pembunuhan beliau (Altantuya)," katanya.

Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee segera mengingatkan Gobind supaya jangan membangkitkan isu tersebut kerana perkara itu sedang dibicarakan di mahkamah tetapi Ahli Parlimen Puchong itu terus menuntut Najib menjawab persoalan yang dibangkitkannya.

Gobind terus diherdik oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Jamaludin Jarjis.

Ketika itulah Najib hendak bangun meninggalkan dewan. Melihat Najib mahu meninggalkan dewan, Gobind terus memanggil Najib dan menuduh beliau pembunuh: "Saya belum habis dengan kamu. Tolong duduk... Ahli Parlimen Pekan, awak di sini, bangun dan jelaskan.

"Jawab (soalan) saya, kamu pembunuh!"

Najib kembali ke tempat duduknya dan terus berdiam diri. Ketika peristiwa itu berlaku, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan dua anaknya berada di galeri awam sebagai pemerhati persidangan.

Selepas berkali-kali mengarahkan Gobind berhenti membangkitkan perkara itu, Kiandee mengarahkan Ahli Parlimen Puchong itu keluar dewan.

Keputusan Timbalan Speaker itu dibantah oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang dan berlakulah jerit-menjerit antara ahli-ahli Parlimen BN dan pembangkang termasuk menjeritkan perkataan 'bodoh' dan sebagainya.

Gobind kemudiannya bangun dan menyatakan kepada Kiandee :"You should be ashamed of yourself (Anda patut malu dengan diri anda)" dan kemudian diiringi oleh bentara keluar dewan. Harakahdaily.

Najib perlu selesai politik Perak sebelum ajak Pakatan pulih ekonomi - Nik Aziz

KOTA BHARU, 12 Mac : - Dato' Seri Najib Razak wajar menterjemahkan saranannya yang mahu Pakatan Rakyat mengenepikan perbezaan politik supaya terlebih dahulu memulihkan kegawatan politik di Perak.

Ini kerana Timbalan Perdana Menteri itu dilihat banyak pihak sebagai orang yang bertanggungjawab menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di luar lunas demokrasi.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemimpin terbabit perlu mempamerkan keikhlasannya bagi meredakan kecamukan politik di Perak dengan memohon kepada istana supaya dibubar Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak.

Katanya, tiada cara lain lagi dalam situasi sekarang di Perak kerana pertembungan menggunakan undang-undang tidak boleh memuaskan hati semua pihak melainkan dikembalikan semula mandat kepada rakyat.

"Saya hairan kerana banyak pihak menunding jari ke arah Timbalan Perdana Menteri sebagai pencetus kepada krisis yang berlaku di Perak sekarang.

"Jadi bagaimana dengan mudah beliau mahu Pakatan Rakyat mengenepikan perbezaan politik bagi memberi fokus kepada perkembangan ekonomi dan rakyat," katanya di sini.

Semalam Najib dilaporkan mengajak Pakatan Rakyat mengenepikan perbezaan politik untuk bersama-sama kerajaan persekutuan memberi fokus kepada ekonomi dan rakyat.

Beliau mengajak semua pihak supaya berganding bahu dan berusaha gigih untuk mengembalikan ekonomi negara ke landasan pertumbuhan yang lebih kukuh dan mampan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, biarpun ucapan Menteri Kewangan ketika membentang mini bajet kelmarin kelihatan bernas, namun pemulihan politik di Perak patut menjadi keutamaan kerana ia turut memberi kesan kepada perkembangan ekonomi.

Menurutnya juga peruntukan yang disediakan bagi merangsangkan ekonomi negara begitu besar dan ia perlu digunakan secara telus dengan mengamalkan tender terbuka dan bukannya mengutamakan kroni.

"Semua tender projek kerajaan perlu dibuat secara terbuka, berasaskan merit, dan track record syarikat yang diberi kontrak kerajaan bagi memastikan ia mendatangkan manfaat kepada rakyat dan bukan segelintir pihak sahaja," katanya.

Mengenai bon syariat yang diumumkan dalam mini bajet tersebut bagi memperkasakan ekonomi Islam, kata beliau sepatutnya kerajaan melihat dalam konteks yang lebih luas mencakupi akidah Islam.

"Apa salahnya selain tumpuan kepada ekonomi Islam, kerajaan pusat juga mengutamakan akidah Islam sebagai dasar bagi memulihkan seluruh sistem dalam masyarakat termasuk aspek sosial dan keadilan di Malaysia," katanya.

Menurut beliau titik pertemuan tiga bangsa utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India hanya dapat disatukan melalui akidah dan syariat Islam.

Kata beliau sekiranya kerajaan sukar untuk melihat contoh pelaksanaan pentadbiran berasaskan Islam, modelnya sudah ada di Kelantan sekarang.

Antaranya penghapusan judi, larangan hiburan melampau, sistem pajak gadai Islam (al Rahn), bantuan Ladang Rakyat, skim Takaful Armalah dan Takaful Kifaalah sudah dilaksana di Kelantan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, program kebajikan itu diterima semua kaum di negeri ini.

Katanya juga Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah mengagungkan sesuatu bangsa melainkan menjadikan Islam sebagai teras kepada perpaduan nasional dan keadilan sejagat.Harakahdaily.

Mahkamah Rayuan: Sivakumar boleh diwakili peguam peribadi

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar boleh diwakili oleh peguam peribadi.

Panel tiga hakim memutuskan perkara itu selepas mendapati tiada peruntukan yang menyatakan Speaker mesti diwakili oleh penasihat undang-undang negeri kerana di bawah Akta Tatacara Kerajaan, Speaker bukan seorang pegawai kerajaan negeri.


Keputusan Panel hakim tersebut ternyata memberikan suatu keadilan dan semua hujah yang dikemukakan oleh Panel peguamnya dalam sebutan kes kali pertama adalah benar cuma nampaknya hakim yang berada di Ipoh itu sudah ada suatu keputusan yang ingin diambilnya.

Kalaulah ada yang mengarahkan keputusan hakim supaya sivakumar hendaklah dipaksa menggunakan khidmat Penasihat undang-undang negeri, siapakah mereka itu?

Adalah tersangat ganjil hakim reduan tidak tahu yang speaker bukannya penjawat awam. Siapapun boleh dilantik kejawatan itu malah ianya bermusim seperti jawatan ADUN lain walaupun iannya boleh diambil dari bukan kalangan ADUN. Bila bubar DUN habislah jawatan itu.

Menafsirkan speaker sebagai penjawat awam sepertilah pemikiran budak-budak sekolah tadika dan sekolah rendah. Ada otak tapi kurang berakal.

Natijah dari kes ini bolehlah diambil pengajaran bahawa benarlah bahawa tindakan yang dilakukan oleh Speaker sering mengikuti undang-undang, dia malah dinasihati oleh pakar undang-undang dan pengamalnya .

Masalahnya BN dan UMNO menerima nasihat dari nafsu gelojoh dan serakah, tidak sabar dang angkuh dengan melanggar dan menafsirkan undang-undang untuk kepenting periuk nasi mereka.

Enam pengunjung blog didakwa hina Sultan Perak

KUALA LUMPUR: Enam pengunjung laman blog didakwa di Mahkamah Sesyen di empat bandar utama hari ini kerana kesalahan menghantar komen menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam laman blog.

Keenam-enam mereka didakwa di bawah Seksyen 233(1)(9) Akta Kommunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka adalah Azrin Md Zin, 33, Muslim Ahmad, 54, Nor Hisham Othman, 36, Chan Hon Keong, 27, Khoo Hui Shuang dan Rutinin Suhaimin, 36.

Daripada enam terbabit, hanya Azrin yang mengaku bersalah.

Di KUALA LUMPUR, Azrin, seorang pembantu makmal dijatuhkan hukuman denda RM10,000 atau lima bulan penjara selepas mengaku bersalah kerana menghantar komen menghina Sultan Perak di sebuah laman blog pada 12 Februari lalu. Dia adalah orang pertama yang dituduh di bawah akta tersebut.

Sementara itu, Muslim yang bekerja sendiri mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan menghantar tiga komen yang menghina Sultan Perak Februari lalu.

- Di BUTTERWORTH, Chan mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghantar komen yang menyerang dan berunsur lucah di sebuah laman web yang mempunyai pautan dengan laman web Sultan Perak.

Seorang lagi, Khoo tidak hadir ke mahkamah dan dipanggil semula untuk sebutan kes pada 15 April ini.

- Di PETALING JAYA, Nor Hisham meminta dibicarakan atas tuduhan menghantar komen yang memfitnah Sultan Perak.

Mahkamah membenarkan dia dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 14 April.

- Di KOTA KINABALU, seorang jurujual telefon bimbit, Rutinin mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang sama.

Mahkamah menetapkan 25 dan 26 Mei ini untuk perbicaraan dan membenarkan Rutinin dijamin RM10,000. Mstar.

Wasiat Al-Banna ke-8, Jauhi bicara aib orang lain

Oleh : Fahri Abdullah al-Masri

"Jauhkan daripada membicarakan keaiban orang lain atau melukai mereka dalam bentuk apa pun dan jangan berbicara kecuali yang baik," kata Hasan al-Banna.

Imam Hasan al-Banna menyeru umat Islam, khasnya para da'ie agar menjaga lidah dan semua ini boleh dilakukan dengan meneropong kesilapan dan kelemahan diri mereka sendiri.

Apabila seseorang itu kerap bermuhasabah, meneropong kesilapan dirinya sendiri, mereka akan kurang membicarakan aib orang lain. Dengan ini, terciptalah dunia yang aman.

Bagaimanapun, perihal aib ini adalah termasuk dalam kategori aib peribadi. Namun, dalam hal salahlaku pemerintah yang melakukan kesilapan dalam pentadbirannya, maka hal ini tidaklah termasuk dalam perbincangan ini.

Ini kerana, perihal salahlaku pemerintah itu mestilah dicegah agar mudaratnya tidak akan melimpah ke atas masyarakat manusia seluruhnya.

Sepotong hadis Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa, "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup keaibannya di akhirat kelak."

Jadi, inilah antara kaedah untuk menghalang rahsia dan aib kita didedahkan Tuhan di hari akhirat kelak.

Ada sebab-sebabnya kenapakah kita suka membuka rahsia keaiban orang lain. Kebanyakannya sikap ini bermula daripada perasaan dengki dan iri hati.

Lalu, meluap-luaplah perasaan untuk menjatuhkan maruah, imej dan reputasi orang lain di dalam kerjaya mereka misalnya.

Padahal, keaiban dan kelemahan seseorang itu memang berlaku dalam urusan Allah. Tuhan sendiri telah menyatakan bahawa manusia itu dicipta dalam serbu kekurangan dan mereka tidak sempurna.

"Wa khuliqal insanu dha'ifan - dan diciptakan manusia itu dalam keadaan daif."

Kita sendiri mesti ada kelemahan. Maka sebab itulah persaudaraan itu penting agar dengan itu kelemahan kita akan ditampung oleh kekuatan orang lain. Dan, kekuatan kita menampung kelemahan orang lain.

Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Apa yang menjadi masalah ialah manusia itu sendiri berasa dirinya cukup sempurna lalu dia angkuh dengan pemberian Tuhannya.

Maka jelaslah di sini bahawa bahaya lidah berpunca daripada hati yang tidak bersih, suka menghina orang lain kerana berasa dirinya sudah baik.

Sekali peristiwa, tersebutlah kisah di mana Tuhan mahu mencipta makhluk yang baru, iaitu Nabi Adam a.s. Pada ketika itu, diriwayatkan bahawa Iblis pada ketika itu digelar Azazil dan dia menjadi guru kepada para malaikat lantaran kelebihan ilmunya.

Iblis berasakan bahawa tiada orang yang boleh menandingi kesolehannya, kewarakannya dan ilmunya. Sehinggalah dengan tiba-tiba tercipta Adam a.s.

Ekoran cemburu, dengki dan iri hati itulah, maka Iblis sampai sanggup menghina Adam a.s dengan katanya, "Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakan dia daripada tanah!"

Demikianlah kata Iblis ketika dia diperintahkan Tuhan untuk sujud bersama-sama malaikat ke atas Adam a.s itu.

Jelas di sini. Ketika hati tidak bersih, jiwa dibalut rasa angkuh, maka lidah pun secara tidak langsung akan lebih mudah menghina orang lain.

Sedangkan, jelas wujud arahan di dalam al-Quran yang memerintahkan kita agar jangan hina orang lain. Ini kerana, mungkin yang dihina itu lebih baik daripada si penghina.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan itu) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujurat: 11 - 12]

Perbaiki hubungan persaudaraan.

Maka, wasiat Hasan al-Banna yang ke-8 ini barangkali sumber, asas dan dasarnya digali daripada surah al-Hujurat yang merincikan nilai-nilai moral dan akhlak yang sepatutnya dijunjung dan diwarisi oleh umat Islam seluruhnya.

Dengan menjaga lidah, maka hubungan persaudaraan terpelihara. Ini kerana, masing-masing orang tidak akan mencederakan perasaan orang lain melalui kata-kata.

Dan, inilah sebenarnya yang diperjuangkan oleh Hasan al-Banna. Iaitu, mengembangkan rasa persaudaraan Islam sejagat. Dengan lidah persaudaraan terhakis dan melalui lidah jugalah ikatan persaudaraan kembali terjalin.

Hubungan ukhwah, perpaduan antara Islam ini jangan dilihat dari sudut yang kecil saja seperti hubungan kejiranan dan hubungan di tempat kerja semata-mata.

Yang lebih mustahak, ialah kita menyelami hasrat dan keinginan Imam Hasan al-Banna ini yang mahukan Islam itu menjadi 'ustaz' kepada alam ini. Pada tahap itu, umat Islam di dunia adalah murabbi, pengasuh dan pendidik di dunia.

Demikianlah tingginya cita-cita beliau itu. Jadi, hubungan ukhwah persaudaraan Islam ini tentunya bersifat menjelajah ke antara benua, merentas sempadan negara-negara Islam. Mungkin, yang lebih utama ialah bagaimanakah mahu membentuk ikatan persaudaraan antara pemimpin-pemimpin dan umat Islam seluruhnya.

Kita melihat, tiadanya kesepakatan antara Negara-negara Islam sendiri dalam isu Palestin yang ditindas. Umat Islam di Patani dan lain-lainnya.

Tapi, tiada pula percakaran dan pertengkaran yang besar-besar antara Negara-Negara Islam. Kalau pun ada, ia melibatkan kes perang Iraq dan Iran pada satu masa dahulu. Maka hendaknya persefahaman antara pemimpin negara Islam dapat dijalin bersama bagi menyatukan tindakan mereka pada masa hadapan.

Berkatalah yang baik-baik sahaja.

Akhirnya Hasan al-Banna berwasiat, jika kita ingin berbicara, maka pastikanlah bahawa isi dan inti percakapan itu cuma yang sarat terisi dengan kalimah yang baik-baik sahaja, menyeru ke arah kebaikan dan mengajak orang-ramai meninggalkan segala yang merosakkan amalan, fikiran dan jiwa dan anggota tubuh badan.

Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, ".. sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka katakanlah hal-hal yang baik atau lebih baik diam sahaja." Apabila seseorang itu berdiam, dia akan terus-menerus berzikir, berwirid. Semua ini menunjukkan bahawa waktu seseorang Muslim itu sangat berharga dan setiap masa yang berlalu tidak digunakan ke arah yang tidak berfaedah.

Apabila berbicara, mereka mengungkapkan hal-hal yang baik-baik. Jika berdiam diri, mereka akan berzikir secara rahsia.

Plak Pokok Demokrasi dirosakkan.


Tinggal kenangan, pagi ini plak ini didapati pecah berkecai.


IPOH : Plak Papan Tanda Pokok Demokrasi yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, DS. Muhammad Nizar Jamaluddin pada 8 Mac yang lepas didapati rosak teruk dan pecah berkecai dipercayai telah dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Demikian saya dimaklumkan melalui talipon oleh seorang warga Ipoh yang melawat tempat itu pagi ini.

Beliau mempercayai papan tanda itu telah sengaja dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.

Papan tanda itu diletakkan di situ sebagai memperingati satu Mesyuarat Tergempar DUN Perak yang berlangsung pada 3 Mac yang lepas. Mulai itu pokok tersebut mendapat perhatian dan mendapat kunjungan ramai dari berbagai pihak.

Setelah plak diletakkan, lebih ramai pengunjung yang datang untuk bergambar di pokok itu. Blog ini pernah melaporkan sehingga 10 hingga 20 berada di pokok dalam satu-satu waktu tertentu.