10 March 2009

Ceramah penerangan bubarkan DUN.


Adun Titi Serong iaitu YB Drs Khalil Idham Lim menegaskan bahawa Umnolah yang sebenarnya gila kuasa kerana tidak dapat menerima pilihan rakyat setelah memerintah selama 51 tahun. Beliau juga menyenaraikan sebanyak 15 bukti bahawa yang menderhaka kepada raja-raja Melayu adalah Umno bukannya Pakatan Rakyat. Ceramah penerangan mengenai keadaan politik di Perak itu telah diadakan di Dewan Dato Ahmad Said, Kg Sg Rokam, Ipoh malam tadi.


Hadir sama dan memberikan ceramahnya dalam majlis itu ialah ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Cai, ADUN Simpang Pulai,Chan Ming Kai,ADUN Teja, Chang Ling Kang dan Penyelia DUN Sungai Rapat, Sdr.Radzi Zainon.

http://ajijoi.blogspot.com/

Memorandum GMP kepada Yang di-Pertuan Agong

Gerakan Mansuh PPSMI

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.

Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.

MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI

Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:

1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius.

Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)?

Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?

4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun!

Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.

5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu.

Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.

6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.

Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.

Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri.

Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu.

Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.

Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai "otak" atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].

HASIL KAJIAN

11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar.

Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato? Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.

APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu 'sudah berjaya' atau 'akan berjaya', para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C).

Kalau cara yang 'mengelat' ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.

GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan 'gila bahasa Melayu'. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong.

Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, 'pendapat' atau 'teori' yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu.

Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.

16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (foreign language) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V.

Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.

Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.

Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.

Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Patik sekalian yang berdatang sembah.

Tak perlu mencari jalan berliku pertahan PPSMI

Dr Awang Sariyan

Saya bersyukur akhirnya pernyataan hati nurani rakyat yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan dapat disembahkan kepada Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.

Saya menyertai ucap sembah menjunjung kasih seluruh pejuang bahasa kepada baginda atas keprihatinan baginda terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang dan tunjang kenegaraan.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.

Saya tidak berminat mengulas soal teknis tentang apa-apa yang berlaku dalam cara penyampaian memorandum perjuangan rakyat itu, kerana yang jauh lebih penting ialah memfokuskan perhatian kepada agenda negara dalam soal mempertahankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam pembangunan negara.

Asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen.

Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI.

Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan.

Oleh itu, seruan Perdana Menteri supaya disegerakan keputusan yang wajar (pasti yang berdasarkan undang-undang negara) tentang PPSMI perlu dilaksanakan oleh badan eksekutif (jemaah menteri).

Polemik yang bersifat pinggiran seperti pencarian dalang di balik perhimpunan membantah PPSMI tidak memberikan faedah apa-apa pun jua, selain semata-mata menayangkan nafsu menjaga kuasa dan memusuhi golongan yang tidak sekelompok dengan pihak berkenaan.

Dapatkah orang yang sihat akalnya menerima tohmah bahawa tokoh seperti Dato' Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato' A Samad Said serta tokoh-tokoh lain yang sepanjang hayatnya tidak hidup atas kurniaan kontrak dan perniagaan sanggup didalangi oleh mana-mana pihak untuk ke hadapan dalam perjuangan menjaga martabat bahasa Melayu?

Yang dapat dibayangkan ialah bahawa kesungguhan hendak mempertahankan dan meneruskan PPSMI itu barangkali ada kaitannya dengan kepentingan agihan kontrak dan habuan yang telah dibuat dalam aspek prasarana pelaksanaan PPSMI. Wallahu a'lam.

Demikian juga, berkali-kali disebut bahawa mengapa sesudah enam tahun pelaksanaannya baru kini timbul penentangan dan hujah bahawa PPSMI menyalahi Perlembagaan dan Akta Pendidikan, seolah-olah pejuang bahasa sengaja menanti saat tertentu dengan niat tertentu untuk menjatuhkan orang yang merasakan dirinya begitu penting. Sahlah bahawa orang yang berhujah demikian sama ada baru bangkit daripada lena yang panjang atau diserang penyakit pelupa yang kronik.

Seawal pengumuman dasar PPSMI pada tahun 2002, individu dan badan-badan bukan kerajaan, dan bahkan parti politik tertentu atau bahagian dalam parti kepemimpinan kerajaan sendiri telah mengadakan seminar, konvensyen, forum, pertemuan dengan pemimpin pelbagai pihak, hatta kedua-dua orang Perdana Menteri, penyerahan memorandum dan hasil kajian empiris, penggunaan media cetak dan media elektronik.

Para pejuang bahasa dengan penuh adab dan kesantunan mencuba menggunakan saluran intelektual dan yang dikatakan "saluran betul" oleh pihak-pihak yang kononnya sangat beradab selama bertahun-tahun, tetapi tidak tampak reaksi yang meyakinkan daripada kerajaan, malah pernyataan demi pernyataan pihak berkuasa cenderung untuk meneruskan dasar yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan negara itu.

Menteri Pelajaran yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan sendiri dan atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda Umno telah dikunjungi oleh pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia di pejabatnya di Jalan Dato' Onn dan telah memperlihatkan keprihatinan pada waktu itu.

Pada hemat saya, kini bukan masanya untuk kita saling mendakwa tentang cara dan kenapa timbul bantahan, atau ada tidaknya dalang di balik bantahan terhadap PPSMI. Fikirkanlah asas proses pembinaan negara yang telah dirancang sejak awal, malah sebelum kemerdekaan, menurut acuan yang munasabah bagi negara kita. Salah satu asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan.

Marilah kita menjadi bangsa yang tahu menghormati warisan tamadun bangsa yang telah berakar teguh sejak berabad-abad lamanya. Manfaatkanlah apa-apa jua unsur daripada tamadun luar, termasuk penguasaan bahasa-bahasa asing, tetapi usahlah menjadi bangsa yang rakus akan kemajuan kebendaan sehingga kehilangan roh bangsa dan negara.

Bukalah mata kita seluas-luasnya bagaimana negara-negara maju di seluruh dunia yang tetap mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai wahana komunikasi dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun mereka, meskipun tidak meremehkan bahasa asing yang bermanfaat sebagai alat sokongan kemajuan negara mereka.

------

Prof Dr Awang Sariyan ialah Penyandang Kursi Pengajian Melayu?China Beijing Foreign Studies University .

Mendidik Anak Secara Islam

Menurut perspektif Islam, pendidikan kanak-kanak ialah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka berteraskan nilai-nilai baik yang bersumberkan Al-Quran, Hadis dan pendapat serta pengalaman para ulama. Ia bertujuan melahirkan ” Insan Rabbani” yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.

Falsafah pendidikan sebenarnya menekankan aspek rohani dan jasmani, sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yaang terdiri daripada roh dan jasad. Ianya melibatkan beberapa peringkat, bermula dari dalam kandungan sehinggalah ia lahir dan menjadi dewasa.

Membentuk Dunia Kanak-kanak.

Sebelum anak-anak dilahirkan, ibubapa menyediakan tempat yang sesuai untuk membesarkan anak dengan sebaik-baiknya. Ini bermakna dunia kanak-kanak setelah dilahirkan ialah rumah ibubapa itu sendiri. Untuk mencapai kesempurnaan hidup kanak-kanak, ibu-bapa perlu membentuk suasana harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan rumahtangga terlebih dahulu.

Jika pasangan suami isteri menghayati nilai-nilai keislaman dalam kehidupan rumahtangganya, mudahlah ia mendidik anak-anaknya dengan benih-benih Islam. Sebaliknya, jika pasangan suami isteri gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumahtangga, sukarlah bagi mereka mentarbiyah anak-anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam.

Atas itulah Rasulullah S.A.W mengingatkan bakal-bakal suami agar memilih bakal isteri yang mempunyai kesungguhan dan penghayataan agama, bukan kerana paras rupa, keturunan atau harta semata-mata. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“wanita dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia menguntungkan kamu(lebih utama)”

Ketika Anak Dalam Kandungan

Proses pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian, iaitu:

Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memper-banyakkan bacaan Al-Quran terutama surah Yusuf, Mariam, Luqman dan At-Taubah.
Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.

Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada darah daging yang halal.

Ibu hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititik beratkan oleh Islam sehingga Islam memberikan kelonggaran kepada ibu yang mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.

Ketika mengandung, ibu perlulah menyesuaikan diri dengan perubahan perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu - waktu biasa, terutamanya bagi ibu yang bakal melahirkan anak yang pertama. Mungkin selera makannya hilang, perasaan agak terganggu(sensitif) dan hatinya boleh berdebar-debar kerana bayi dalam kandungannya itu adalah sebahagian daripada dirinya. Ketika ini para suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri serta memberi dorongan yang kuat kepadanya
Setelah Anak Dilahirkan

Setelah anak dilahirkan, hendaklah segera diazankan telinga kanannya dan diiqamatkan telinga kirinya.

Abu Rafi meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:

” Aku melihat sendiri Rasulullah S.A.W mengazankan Hasan B. Ali pada telinganya ketika ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a” (Riwayat Abu Daud dan Termizi)

Sebagai suapan yang pertama, sunat bayi disuapkan dengan manisan seperti madu dan kurma. Abu Musa Al Asyari r.a. dalam sebuah riwayat mengatakan:

“Isteriku melahirkan seorang anak. Bayi itu ku bawa kepada Rasulullah S.A.W.. Baginda menamakannya Ibrahim, kemudiannya disuap dengan buah kurma(yang telah dilumatkan) setelah itu baginda mendoakan keberkatan baginya lalu bayi itu diserahkan kembali kepadaku”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada hari ketujuh kelahirannya, ibu bapa disunatkan bersedekah dengan melakukan ibadah aqiqah untuk anaknya. Seekor kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki. Rambutnya pula sunat dicukur keseluruhannya supaya kepalanya bersih, otaknya cergas dan rambut barunya tumbuh dengan subur dan sihat.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Setiap anak yang baru dilahirkan bergantung kepada aqiqahnya. Hendaklah diaqiqahkan dengan menyembelih kambing pada hari ke tujuh, diberi nama pada hari itu dan dicukur kepalanya”. ( Riwayat Abu Daud, Termizi dan Nasa)

Bagi ibu yang menyusukan anak, ia perlu makan makanan yang halal, bersih, dan berzat. Ketika menyusukan anak, hatinya hendaklah selalu mendoakan kejayaan anaknya. Ketika hendak tidur, dodoikan (lagukan) dengan kalimah memuji Allah dan Rasulnya seperti nasyid dan sebagainya.

Apabila anak sudah mulai pandai bercakap, hendaklah membiasakannya dengan percakapan yang baik-baik seperti selawat, zikir dan lain-lain perkataan yang seumpamanya.

Umur antara 5 hingga 7 tahun.

Pada peringkat umur antara 5-7 tahun, memerlukan teknik pendidikan yang lebih luas dan menyeluruh. Pengisian antara keperluan rohani dan jasmani perlu didedahkan serentak dan diseimbangkan. Teknik pembelajaran dan pengajaran perlu menggunakan kaedah yang sesuai kerana kanak-kanak biasanya akan belajar(mengikut) berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang dilakukan oleh individu disekelilingnya terutama ahli keluarganya.

Menurut pandangan Islam, pada peringkat ini anak-anak wajar didedahkan dengan latihan menulis, membaca, mengira dan berbahasa. Pendidikan yang wajar didedahkan pada peringkat ini ialah bab ibadah dan akhlak. Misalnya kanak-kanak yang baru meningkat umur mumayyiz hendaklah dilatih mendirikan sembahyang. Seterusnya adab-adab yang mulia hendaklah mula diterapkan dalam bentuk latihan amali seperti:

1.Mendidik anak supaya taat dan beradab kepada kedua ibubapanya; timbulkan kesedaran kepada mereka bahawa pengorbanan ibubapa terhadapnya adalah amat besar dan mereka perlu bersyukur kerana menjadi anak yang masih mempunyai kedua ibubapa. Ini dapat mengeratkan hubungan mesra, rasa kasih sayang antara ahli keluarga.

2.Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan orang yang lebih tua daripadanya; guru merupakan orang yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu manakala orang yang lebih tua adalah orang yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan daripadanya.

3.Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik; anak-anak hendaklah dilatih bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan perkataan yaang baik-baik. Kanak-kanak biasanya begitu sensitif dengan pendengarannya, ia mudah terikut-ikut dengan apa yang didengarnya. Sebab itu jika ibubapa mahu menegur atau memarahi mereka, hendaklah menggunakan bahasa yang paling sopan bukannya dengan bahasa yang kesat, kasar dan keras.

4.Mengajar anak-anak adab bergaul dengan rakan-rakan; anak-anak harus dinasihatkan agar tidak berbangga atau meninggi diri di hadapan rakan sebayanya, jangan sekali-kali menyakiti atau mengambil hak orang lain .

5.Mengajar anak adab makan minum yang baik; sifat atau sikap yang tidak sopan seperti gelojoh ketika makan hendaklah ditegah, sebaliknya anak-anak dilatih dulu dengan adab-adab makan seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan sesudah makan.

6.Mengajar anak adab berpakaian; pakaian yang dipilih hendaklah menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

7.Mengajar adab dan bangun daripada tidur; sebaiknya hendaklah mengadap qiblat, membersihkan diri sebelum dan selepas bangun daripada tidur.

8.Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas, anak-anak perlu diajar cara membuang air kecil/besar dan cara masuk ke dalam tandas seperti membaca doa, menutup kepala,membelakangkan qiblat dan sebagainya.

Anak-anak merupakan amanah Allah yang perlu dididik dengan sebaiknya sejak ia kecil lagi supaya apabila besar kelak menjadi anak yang soleh dan sentiasa taat kepada kedua ibubapanya. Mereka ibarat kain putih dan ibubapa lah yang berperanan mencorak dan melukiskannya dengan warna-warna menarik yang menjadi amalan dan cara hidup Islam.

sumber :deltapapa

Nik Aziz : Gerak kerja pilihanraya satu kewajipan.

BUKIT GANTANG, 9 Mac :-Ahli PAS hendaklah menganggap gerak kerja dalam politik Islam ini bukan sekadar satu kegiatan tetapi mesti menganggap ia satu kewajipan. Ambil iktibar dari doa iftitah : Sesungguhnya solat, ibadahku (kegiatan hidup sehari-hari), hidup dan matiku hanya kerana Allah Taala. Tuan Guru telah berucap dalam majlis Ijtima' Pilihanraya Kecil P059 Bukit Gantang di hadapan para petugas yang datang dari seluruh negeri Perak. Majlis telah dadakan di Markaz PAS Kawasan Bukit Gantang di Bukit Cempedak di sini hari ini.

"Sempena Maulidur Rasul ini kita mesti yakin bahawa PAS sahajalah yang sebenarnya yang menghayati Maulidur Rasul dengan cara kita bekerja untuk menegakkan Islam sebagaimana sirah Rasulllah saw; sedangkan UMNO hanya menghayatinya melalui slogan-slogan cinta Rasul yang sedap didengar tetapi penuh dengan kekosongan," tegas Tuan Guru.

"Apa yang UMNO buat, PAS pun boleh buat. Sebut sahaja, buat bangunan, buat jambatan dan macam-macam lagi; kita boleh buat. Tapi sebaliknya, apa yang PAS buat, UMNO tak boleh buat iaitu pembangunan takwa" kata Tuan Guru lagi.

Oleh kerana itu, takwa adalah sebaik-baik bekalan kerana takwa bermaksud buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Kita mesti taqwa dalam politik, takwa dalam sosial, takwa dalam pendidikan, takwa dalam ekonomi dan sebagainya.

Tuan Guru berkata, takwa akan menjadi pancaindera kepada kita. Ia akan menjadi penyuluh untuk mengenal yang mana halal dan mana yang haram. Mata kita tidak dapat membantu kita mengenal halal dan haram.

Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Ustaz Haji Ahmad Awang. Antara penceramah yang memberi motivasi kepada petugas pilihan raya kecil ialah Ustaz Idris Hj. Ahmad, Ustazah Nuridah Mohd. Salleh dan Datuk Mahfuz Omar.

Ucapan penutup pula diisi oleh Menteri Besar YAB Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin, Haji Asmuni Awi dan Datuk Husam Musa.

Walaupun hujan turun dengan lebat tetapi para peserta ijtima' tetap setia menunggu sejak pagi lagi bagi mendengar amanat-amanat yang disampaikan oleh pimpinan parti sehingga majlis tamat pada jam 1.30 petang. http://intanhijau.blogspot.com
Gambar :http://al-futhuhat.blogspot.com

Tarik balik visa 70,000 pekerja Bangladesh bakal ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyeru kerajaan agar menarik balik dengan segera visa yang dikeluarkan kepada 70,000 pekerja Bangladesh yang dijangka tiba di sini tidak lama lagi.

Naib presiden MTUC, A. Balasubramaniam berkata, pekerja di negara ini kini sudah kehilangan pekerjaan dan kedatangan pekerja asing akan meburukkan lagi keadaan.

Malahan, beriburibu rakyat Bangladesh di negara kini menghadapi masa depan yang muram akibat tidak ada pekerjaan dan kurang pekerjaan, katanya kepada Bernama di sini.

Katanya, adalah lebih baik visa mereka yang akan datang dibatalkan semasa mereka masih lagi di negara asalnya daripada menunggunya tiba di sini.


Beliau mengulas kenyataan Kaunselor Buruh Bangladesh Talat Mahmud Khan bahawa 70,000 pekerja Bangladesh yang memiliki visa dijangka tiba di sini untuk memulakan kerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Sementara itu, sumber-sumber pasaran buruh memberitahu Bernama bahawa masalah ini bukan mudah diatasi kerana pekerja tersebut telah mengeluarkan banyak wang untuk memperoleh visa daripada ejen daripada syarikat penyumberan, dan kemungkinan wang mereka tidak akan dipulangkan.

Pekerja itu terpaksa membayar antara RM9,000 dan RM10,000 untuk visa dan levi.

Kini terdapat lebih 250 syarikat penyumberan berdaftar di Malaysia.

Masalah ini lebih menyulitkan kerana pekerja ini telah meminjam wang daripada saudara mara dan peminjam wang bagi membayar visa berkenaan.

"Dalam keadaan begini, jika visa itu dibatalkan, pekerja berkenan akan kehilangan semua wang dan ini tidak boleh diterima dan juga mencemarkan imej Malaysia dalam pasaran buruh dunia," kata sumber-sumber itu.

Balasubramaniam juga mencadangkan bahawa kedua-dua kementerian Sumber Manusia dan Dalam Negeri memanggil mesyuarat segera dengan semua pihak berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah ini.

Beliau berkata, kelemahan besar dalam mengeluarkan visa di Malaysia kini ialah visa diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri sementara Kementerian Sumber Manusia hanya bertindak sebagai penasihat. BERNAMA

PAS umum calon Bukit Gantang 26 Mac

PAS akan mengumumkan calon untuk bertanding kerusi Parlimen Bukit Gantang 26 Mac ini, kata Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang hari ini.

"Kita akan mengumumkan calon PAS tiga hari sebelum tarikh penamaan calon.

"Perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat PAS pusat semalam," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Bagaimanapun menurut beliau, PAS negeri belum selesai menyenarai pendek nama-nama yang dicalonkan oleh kepimpinan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Bukit Gantang. "Ada kawasan DUN yang hanya menyerahkan senarai nama saat-saat akhir. Saya belum sempat mengemaskinikan senarai nama itu lagi.

"Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi saya akan menyemak senarai nama yang telah diserahkan itu," katanya.

Parlimen Bukit Gantang terdiri daripada tiga DUN, iaitu Trong, Changkat Jering dan Kuala Sepetang.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Roslan Shaharum daripada PAS awal bulan lalu akibat sakit jantung.

Penamaan calon akan diadakan 29 Mac manakala hari pengundian, jika ada pertandingan, akan berlangsung pada 7 April.

Jelas beliau, selepas mengemaskinikan senarai nama calon itu barulah ia akan diserahkan kepada PAS pusat untuk memilih calon yang sesuai.

"PAS pusat hanya akan bermesyuarat mengenai calon selepas Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pulang dari luar negara pada 20 Mac ini," ujarnya.

Difahamkan Abdul Hadi akan berlepas ke Iran bagi menghadiri seminar dari 12 hingga 20Mac.

Ditanya mengenai agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat PAS pusat semalam, Ahmad berkata, ia membincangkan mengenai gerak kerja dan persiapan jentera pilihan raya parti.

"Kita juga ada membincangkan mengenai persiapan jentera PAS untuk membantu Parti Keadilan Rakyat di Bukit Selambau," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad berkata, jentera pilihan raya PAS telah dilancarkan oleh Hadi pagi tadi di markas PAS di Bukit Chempedak yang terletak dalam DUN Changkat Jering.

Turut hadir Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Naib Presidennya, Datuk Husam Musa. Mstar.

Fenomena tinggal bercampur serumah di UK

Oleh : Muhaimin Sulam

Fenomena pelajar Malaysia di UK duduk satu rumah bercampur antara lelaki perempuan adalah perkara biasa. Ada yang campur serumah sesama orang Malaysia dan ada juga campur serumah dengan pelajar internasional.

Satu rumah bersama lelaki Afrika dan Sepanyol, campur perempuan Jerman dan ada gadis Melayu. Tiada siapa yang hendak sibuk membuat laporan kepada ibu bapa mereka di tanahair. Di sini tiada pasukan pencegah maksiat ataupun ustaz yang sukarela memberikan pemantauan terhadap hal ini.

Alasan yang paling mudah ialah 'darurat'. Entah ustaz atau ulama mana yang buat hukum sedemikian. Namun, rata-rata menjadikan alasan 'darurat' itu sebagai satu jalan mudah duduk satu rumah bercampur lelaki dan perempuan. Latar belakang pendidikan agama seperti sekolah agama atau dari keluarga orang yang dihormati seperti anak haji atau ustaz bukanlah satu jaminan untuk menghalang fenomena ini berlaku.

Memang mereka bukan berniat untuk tinggal bercampur tetapi kebanyakan mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelak hal itu berlaku.

Darurat

Penggunaan istilah 'darurat' sering digunakan bagi mengesahkan semua tindakan. Seperti buka tudung bagi pelajar perempuan kerana khuatir keselamatannya diancam kerana konon wujudnya sentimen anti-Islam di sini. Makan daging yang tidak disembelih oleh orang Islam. Tidak sembahyang Jumaat kerana ada kelas. Cuma satu sahaja yang mungkin tidak dibuat: makan babi! Itupun barangkali kerana orang Melayu sudah dididik membenci babi sejak kecil lagi.

Alasan lain adalah kerana untuk menjimatkan duit perbelanjaan. Meskipun pihak kerajaan memberikan elaun yang mencukupi tetapi sering dijadikan alasan untuk menyatakan sebaliknya. Sesetengahnya mengatakan duduk bercampur satu rumah samalah seperti tinggal dalam satu hotel. Macam-macam alasan yang diberikan. Semuanya untuk mengesahkan tindakan mereka tinggal bercampur lelaki perempuan dalam satu rumah sebagai tidak salah.

Aku percaya, mereka tidak akan buat perkara itu jika berada di Malaysia. Mungkin kerana cara itu tidak diterima dalam budaya tanahair. Ia seperti lebih kepada faktor budaya dari faktor agama. Jika faktor agama, mereka tidak akan berbuat demikian. Seolah-olah agama Islam hanya sesuai diamalkan di sesetengah tempat.

Jika berkesempatan menonton rancangan televisyen 'Friends', itulah gambaran kehidupan remaja dan anak-anak muda di Barat. Mereka yang berumur melebihi 17 tahun ke atas bebas daripada kawalan ibu bapa mereka. Mereka boleh tinggal serumah dengan teman lelaki atau perempuan mereka. Itu adalah jaminan dalam undang-undang mereka.

Mereka boleh berkeluarga dan mempunyai anak tanpa nikah. Yang perlu mereka mendaftarkan nama kepada Majlis Perbandaran (City County) sebagai pasangan untuk mendapatkan beberapa faedah (benefit) kebajikan daripada kerajaan seperti elaun anak, elaun susu dan sebagainya.

Selain itu, ada faktor lain yang menyebabkan fenomena itu berlaku. Antaranya nasihat dan pandangan daripada beberapa pelajar senior yang memesongkan pemikiran mereka. Memang yang datang belajar ke UK ini kebanyakannya bijak, IQ tinggi dan pintar belaka. Namun, itu tidak memadai untuk menjadi pendinding kepada budaya baru yang memuja kebebasan.

Bijak mereka bukan pada memahami hakikat kehidupan beragama tetapi kepada mata pelajaran sahaja. Mereka kalah dengan 'hujah bodoh' sesetengah pelajar senior. Oleh kerana mereka orang baru, kebanyakan 'nasihat bodoh' akan ditelan tanpa so
al jawab. Kejutan budaya menyebabkan sesetengah pelajar muda terperangkap kepada kekeliruan yang merosakkan diri mereka.

Asrama Campur

Sesetengah universiti, tidak ada konsep asrama yang berasingan antara lelaki dan perempuan. Bagi mereka, tiada perbezaan antara lelaki dan perempuan. Ini mungkin hasil daripada perjuangan hak sama rata tanpa mengenal gender. Satu rumah yang berkongsi bilik air, ruang tamu dan dapur biasanya untuk lima atau enam orang.

Setiap orang mempunyai bilik yang berasingan. Hampir semua rumah di UK terdapat hanya satu bilik air sahaja meskipun rumah tersebut mempunyai tiga atau empat bilik. Ada yang menyebut macam filem P. Ramlee, �Pendekar Bujang Lapuk�. Mereka tinggal satu rumah tetapi diasing-asingkan dengan bilik. Paling tidak dalam filem itu, si Bujang Lapuk tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya kerana ada Pendekar Mustar yang mengawal rumah tersebut.

Tiada larangan untuk pelajar lelaki masuk ke bilik pelajar perempuan begitu juga sebaliknya. Mereka melayan lelaki dan perempuan sama. Oleh itu, mereka bebas untuk datang ke bilik kawan meskipun pada malam hari. Tiada siapa yang melarang. Semua sudah besar panjang dan bijak pandai.

Tidak ada yang sibuk menjaga tepi kain orang. Yang penting kawan serumah itu tidak mengganggu ketenteraman dan keselesaan dirinya untuk belajar di bilik mereka. Jika tidak, mereka boleh lapor kepada pihak universiti. Biasanya tindakan akan dibuat oleh pihak universiti atas alasan mengganggu orang lain.

Kadangkala mereka berasa susah hati kerana terpaksa berkongsi satu peti ais dengan penghuni lain yang menyimpan babi dalam peti tersebut. Bayangkan ayam halal bercampur dengan daging babi dalam satu peti ais.

Walau bagaimanapun, setiap pelajar mempunyai hak untuk memohon rumah yang tidak bercampur antara lelaki dan perempuan. Itu bergantung kepada kekosongan ataupun budi bicara pihak pengurusan penginapan universiti.

Ramai ibu bapa di tanah air tidak mengetahui keadaan kehidupan anak mereka di sini. Bahkan, jika mereka mengetahui anak mereka duduk bercampur, mereka mungkin diberikan pandangan yang mengelirukan oleh anak-anak mereka di sini. Akhirnya, ibu bapa di tanah air seperti terpaksa �merestui� keadaan anak mereka. Ibubapa diyakinkan bahawa keadaan mereka benar-benar darurat, terpaksa dan tiada pilihan.

Kadang kala akupun pelik juga, ada juga ibu bapa yang membenarkan anak mereka tinggal bercampur. Mungkin kerana jiran mereka tidak tahu atau kawan-kawan satu kampung tidak tahu. Jika tahu, tentu mereka akan malu. Maknanya, mereka hanya malu pada jiran atau rakan-rakan sekampung, satu pejabat atau setaman mereka.

Satu perkara yang menarik di UK adalah masyarakat mereka amat menghormati cara hidup dan kepercayaan termasuklah agama seseorang, termasuklah Islam. Malangnya, terdapat juga sebilangan orang Islam yang malu untuk berfikiran dan bertindak sebagai seorang Muslim. - tajdid

Pengharaman Umno kali ke-2?

06 Mar 2009 10:43AM
Oleh : Mohd Sayuti Omar

TERSIMPUL persoalan besar dalam kepada apakah Umno akan diharamkan untuk kali kedua? 21 tahun lalu Umno telah diistyharkan sebagai pertubuhan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Keputusan dibuat oleh Hakim Datuk Harun Hashim. Gara-gara keputusan mahkamah itu menyebabkan Umno yang ditubuhkan di Istana di Johor Baharu pada 11 Mei 1946 hakikatnya telah berkubur.

Ramai yang tidak tahu Umno yang ada hari ini adalah Umno Baru ciptaan Dr Mahathir Mohamad. Proses pengharaman Umno begitu tektikal sekali. Ia bermula dengan kumpulan 11 membawa masalah Umno ke mahkamah. Sekumpulan 11 ahli Umno meminta mahkamah supaya membatalkan pemilihan Umno pada tahun itu dan diadakan semula kerana ianya tidah sah apabila cawangan haram ikut sama mengambil bahagian.

Disebabkan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan hal dalaman sesebuah pertubuhan, mahkamah tidak ada pilihan lain melainkan mengistyharkan Umno sebagai pertubuhan tidak sah. Pengharaman Umno itu menimbulkan tanda tanya kerana ada yang berpendapat ianya disengajakan kerana ingin menjaga kedudukan dan kuasa seseorang.

Yang jelasnya pengharaman itu sungguh menyayatkan hati orang Melayu.

Apakah perisitwa itu akan berulang kembali? Umno baru dikatakan dicipta Mahathir untuk menghalang Tengku Razaleigh Hamzah berkecimpung dalam Umno itu akan menerima gilirannya dan akan menemui maut di mahkamah juga.

Ilusi ini timbul ekoran tindakan dua anak tokoh Umno, Harun Idris dan Sulaiman Ninamshah, iaitu Mazlan dan Kadar bercadang untuk mendapat injuksi mahkamah bagi menghalang perhimpunan agung Umno pada 24 hingga 28 Mac ini. Mazlan adalah ahli Umno bahagian Subang manakala Kadar adalah ahli Umno bahagian Muar.

Mereka menjelaskan hasrat itu dalam satu sidang akhbar khas yang mendapat perhatian banyak media. Tindakan itu akan diambil sekiranya Umno gagal menyelesaikan beberapa kes salah laku dan dakwaan rasuah wang yang berlaku semasa pemilihan di peringkat bahagian tahun lepas.

Cadangan Mazlan dan Kadar itu membimbangkan. Walaupun media massa Umno cuba menyembunyikan kenyatan akhbar itu namun ia sudah mula diperkatakan umum hari ini.

Suara-suara cemas dan bimbang sudah pun kendengaran. Seorang demi seorang pemimpin Umno bingkas mengulas dan mengutuk hasrat Kadar dan Mazlan itu. Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan bakal diambil itu sebagai mencemarkan nama baik parti.

Mereka yang ada kepentingan dan bakal mendapat keuntungan besar dengan perhimpunan agung Umno pada 24 hingga 28 Mac depan tidak begitu senang dengan hasrat Mazlan dan Kadar itu. Ini kerana penangguhan itu akan menjejaskan impian mereka untuk menguasai Umno.

Tindakan diambil Mazlan dan Kadar itu wajar untuk membersihkan Umno daripada segala dosa dan noda. Antara salah laku yang mereka dakwa ianya dilakukan sendiri oleh Presiden Umno Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Mohd Najib Razak. Salah laku terhadap kedua mereka ini sudah pun dilaporkan kepaa SPRM dan Jawatankuasa Disiplin Umno sendiri September tahun lepas.

Bagaimana pun laporan itu tidak mendapat tindakan positif dan ia mengecewakan kedua anak tokoh Umno itu yang mana disebabkan itu juga mereka berfikir untuk mengambil tindakan mahkamah mendapatkna injuksi menghalang perhimpunan parti itu. SPRM sehingga kini tidak memberi apa-apa maklumat berhubung laporan mereka itu. Sikap double standard SPRM sangat jelas dalam hal ini.

Sudah tentu kalau injuksi diperolehi perhimpunan terpaksa ditangguhkan. Penangguhan itu memberi kesan besar di mana pelan peralihan kuasa tidak dapat dilaksanakan seperti mana dirancangkan. Implikasi daripada injuksi itu juga nanti ia menyebabkan Umno akan ke mahkamah sekali lagi.

Sudah pasti jika Mazlan dan Kadar mendapat injuksi menyebabkan pihak Umno, (Presiden) terpaksa meminta mahkamah membatalkan injuksi berkenaan untuk membolehkan perhimpunan diadakan. Apakata kalau mahkamah megekalkan injuksi berkenaan, ianya tentu akan menimbulkan kesulitan dan menyebabkan Umno akan nahas? Satu tragedi besar dan hitam mungkin akan berlaku.

Memandangkan kepada senrio hari ini tidak mustahil perisitwa tahun 1988 itu akan berulang sekali lagi. Juteru bagi mengelakkan ini adalah elok kalau Umno mendengar dan memenuhi tuntutan yang dikehendaki oleh kedua ahli berkenaan. Mereka perlu menyelesaikan salah laku dan dakwaan politik wang yang mencecah lebih 100 kes itu.

Masa masih ada untuk menyelesaikan problem itu. Tidak baik Umno cuba menyapu segala permasalahannya ke bawah karpet kerana lama kelamaan ia akan berkulat menyebabkan karpet yang mahal itu akan rosak. Natijah dari kedegilan itu menyebabkan orang ramai juga semakin hilang kepercayaan kepada Umno. Umno memerlukan ketelusan dan ketulusan pemimpinnya.

* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisa n buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot. com - Pengarang

Tanam pokok juga derhaka ?

IPOH: Menteri Besar Kudeta Negeri Perak, Zambry Abdul Kadir menuduh tanpa asas tindakan Pakatan Rakyat membina tugu berbentuk plak di bawah pokok hujan di tempat berlangsungnya Sidang Tergempar DUN Perak pada 3 Mac lepas serta menanam lima batang pokok sebagai yang disifatnya tanda dan kemuncak penderhakaan kepada institusi Raja.

Beliau mengaitkan sekali lagi ini sebagai tanda penderhakaan apabila Pakatan Rakyat menentang pelantikan beliau sebagai menteri besar oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, serta mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa perkenan baginda.

Dengan melindungi fakta sebenar kenapa sidang itu diadakan di bawah pokok dan kenapa ianya sah disegi undang-undang, Zambry "berkokok" ke hulu dan kehilir dengan kawalan ketat dari pasukan keselamatan.

"Kita lihat mereka mengatakan itu adalah tempat dan pokok demokrasi, tetapi bagi saya ia adalah tempat 'patik mohon sembah derhaka' sebenarnya. Itulah punca dan kemuncak yang mereka lakukan," dakwanya selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul dan pelancaran Bulan Dakwah peringkat negeri oleh Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Mengenai penanaman tambahan lima pokok , beliau berkata, pihak Pakatan Rakyat mengetahui bahawa kawasan tanaman itu adalah kawasan rizab jalan dan terletak di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sehubungan dengan itu beliau mempertiakai tindakan itu adakah sudah mendapat kelulusan MBI atau belum .

Kenyataan Zambry hari ini adalah jelas menggambarkan beliau dam dilema dan ketakutan dengan sambutan yang kuat dari rakyat berbilang bangsa dan agama kepada Pakatan Rakyat setelah dia dan kuncu-kuncunya melakukan kudeta di Perak.

Malam tadi dalam pelancaran Gerak Kerja Pilihanraya P 059 Bukit Gantang seramai hampir 30,000 orang memenuhi dataran ceramah yang disediakan. Saya cabar UMNO untuk kumpul penyokongnya seramai itu dalam tempoh terdekat !

Yakinlah Zambry semakin menghampiri hari-hari akhir sebagai Menteri Besar yang tersingkat usianya dalam sejarah politik Perak malah di Malaysia.

Keghairahan penyokong UMNO sendiri nampak tidak menyebelahi Zambry dan tindakannya. Kalau benar tindakannya dan kenyataan rakyat menyebelahinya, kenapakah pada 3 Mac cuma "samseng tahi minyak" yang datang mempertahankan dewan dari kami memesuki dewan.

Itupun mereka sudah berundur namun ahli-Ahli Yang Berhormat terpaksa akur dengan benteng FRU yang diarah oleh tukang arah yang tidak sepatutunya.

Pokok Demokrasi terus jadi tumpuan.

Pada jam 2 petang tadi saya menerima sms dari ADUN Canning, YB.Wong Kah Woh dia berada di pokok demokrasi yang dirasmikan kelmarin oleh YAB. Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat.

Beliau memaklumkan kepada saya pada masa itu terdapat sekitar 20 orang yang berada disitu untuk mengambil gambar .

Ternyata pokok tersebut terus mendapat perhatian khususnya sejak ianya dirasmikan kelmarin dengan peletakan sebuah plet tugu kecil yang menjelaskan secara ringkas sejarah yang tercatat disitu.

Semuga ianya terus kekal terpelihara sebagai satu khazanah sejarah demokrasi modern di Perak khususnya.

Perutusan Maulidur Rasul: Laksana ajaran Nabi dalam pemerintahan

Dr Haron Din

MENGINGATI Rasulullah s.a.w. adalah dituntut oleh syarak. Cara tuntutan itu adalah umum, apa sahaja yang boleh dilakukan dengan tujuan untuk mengingati Rasulullah, bukan semata-mata kerana jasmaninya tetapi kerana risalah atau mesej yang dibawa untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia hingga ke akhirat. Iklan

Pada zaman mutakhir ini umat Islam umumnya, tidak lagi menghayati petunjuk-petunjuk Rasulullah s.a.w., malah mereka juga terasing daripada menghayati perjuangan baginda, menyebabkan Islam terpinggir dan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.tidak lagi menjadi idola

Oleh itu, amat perlu diadakan sambutan yang bersesuaian dengan keadaan zaman ataupun perayaan-perayaan yang dilakukan selama ini seperti perarakan atau ceramah-ceramah agama sudah menjadi sesuatu yang ritual. Kadang-kadang ia tidak memberi makna yang sepatutnya bagi ditimba oleh orang-orang Islam.

Oleh demikian, saya mencadangkan supaya kalau benar-benar mengaku semuanya itu kerana hendak mengikuti jejak Rasulullah, maka ada baiknya diubah, ditambah sambutan itu dengancara pemerintah itu sendiri mengisytiharkan setiap tahun yang diadakan sambutan keputeraan Baginda, sekurang-kurangnya satu dari ajaran baginda dilaksanakan dalam pemerintahan.

Sebagai contoh, kalau Rasulullah s.a.w. amat memerangi arak, maka satu tahun diambil tahun 'pengharaman arak' untuk selamanya, manakala tahun hadapan pula satu lagi diambil untuk dilaksanakan, contohnya, seperti menutup aurat. Maka dilaksanakan perintah itu dengan sebaiknya oleh pemerintah. Bagi tahun ketiga pula, sebagai contoh, mengharamkan judi.

Ertinya, jika setiap tahun diadakan sambutan, diambil sekurang-kurangnya satu ajaran itu, maka ternampaklah kita ini serius dan wujud perubahan yang baik sempena Maulidur Rasul itu.

Manakala, satu hal lain pula, pihak yang berkuasa atau badan amal yang berwibawa, perlu mengadakan penyelidikan yang rapi tentang beberapa episod daripada sejarah hidup Rasulullahyang boleh dijadikan modul hidup atau praktikal modul untuk dilaksanakan, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi kamu ada sejarah Rasulullah itu contoh teladan yang amat baik untuk dilaksanakan."

Namun, selama ini hampir tidak pernah dilakukan penyelidikan sedemikian di Malaysia dalam hal ini.

Atas sebab-sebab itu, seperti dinyatakan tadi perlunya beberapa pendekatan dan ajaran Rasulullah s.a.w. itu diambil satu daripadanya setiap tahun bagi memberikan kemanfaatan kepada seluruh ummah.

* Dato' Dr Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS _

Salam Maulidur Rasul 1430.

“Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad SAW) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah yang beruntung” (QS. Al-‘Araf: 157).

Kelahiran Nabi Muhammad SAW jatuh pada hari ini , yang menurut catatan sejarah pada 12 Rabi‘ul Awwal, lebih dari sekadar kelahiran seorang insan ke dunia ini. Kelahirannya juga merupakan kelahiran kebenaran dan kekuatan yang membenteras kejahilan atau kebatilan di muka bumi ini.

Namun sebagaimana diketahui, begitu berat perjuangan Rasulullah SAW bersama orang-orang beriman untuk menegakkan kebenaran dan membenteras kejahiliyahan. Bukan hanya harta dan fikiran yang dikorbankan, tetapi juga umur dan nyawa. Segenap waktu hidup mereka habiskan untuk menegakkan dan mempertahankan kebenaran. Tidak sedikit juga yang menemui ajal dalam merintis perjuangan demi perjuangan menegakkan kebenaran.

Kerana itu, sepatutnya kita menghargai perjuangan Rasulullah SAW bersama orang-orang beriman. Jangan kita semai kembali dan pelihara bibit-bibit jahiliyah, seperti pembohongan, janji-janji yang tidak di tepati, tidak amanah, rasuah, dan menyelewengkan perjuangan untut kepentingan diri sendiri. Sebab, semua itu adalah unsur-unsur kegelapan dan jahiliyah. Hidup dalam kegelapan akan menyesatkan.

Sedangkan kebenaran adalah cahaya yang selalu menerangi jalan hidup manusia di dunia ini hingga akhirat nanti.

Kedatangan Mauludur Rasul tahun 1430 untuk kali ini sepatutnya sudah cukup mengajak kita untuk muhasabah diri masing-masing. banyak manakah kerja amal yang kita lakukan untuk bekal hari kematian yang akan muncul tiba-tiba. Atau cukupkah kita dengan amal soleh sebagai pesiapan hari yang pasti itu.

Sebagai muslim sejati nukilkan pada kehidupan ini wangian yang semerbak wanginya untuk diri sendiri. Walau di sana ada manusia yang buta mata dan telinganya serta tersumbat hidungnya untuk menciumnya, yakinlah Allah mencium segalanya jika ianya satu amal yang ikhlas untukNya.

Teruslah melangkah bukan kerana pandangn manusia namun semata-mata kerana Allah memandang kamu.

Siapa sebenarnya yang berhak mohon bubar DUN ?

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tiada hak untuk memohon perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, dakwa Menteri Besar Perak Kudeta, Zambry Abdul Kadir.

Menurut Zambry, Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan bahawa hanya Menteri Besar yang mempunyai hak menghadap Sultan Perak untuk memohon perkenan baginda bagi membubarkan DUN.

Sedangkan tanpa beliau menyedari dia lah yang terlebih dulu melanggar perkara 16(6) dengan mengangkat sumpah setelah melakukan kudeta sebelum Menteri Besar yang sah terlucut jawatannya.

Zambry berkata demikian dalam kenyataan satu muka surat yang difaks kepada Bernama di sini malam ini sebagai mengulas kenyataan YAB. Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat, Mohammad Nizar, hari ini bahawa beliau akan memohon perkenan untuk menghadap Sultan Azlan Shah bagi menyembahkan tiga usul, termasuk memohon pembubaran DUN, yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di bawah pokok di Ipoh Selasa lepas.

Mohammad Nizar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang dilaporkan berkata pihaknya akan mengemukakan surat dan dokumen berkaitan hasil persidangan berkenaan kepada Sultan Perak Selasa ini.