07 March 2009

Perhimpunan di IPOH : Emak ADUN juga dipanggil Polis.

IPOH : Emak ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Teja, Chang Lih Kang juga dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Pusat Ipoh pada jam 2.00 petang ini.

Pengesahan diperolihi dari ADUN berkenaan dengan katanya sebuah kenderaan pacuan 4 roda yang didaftarkan atas nama emaknya yang digunakan sebagai pentas untuk satu majlis ceramah yang juga dihadiri oleh YAB. DS. Nizar beberapa minggu lepas telah menyebabkan emaknya dipanggil ke balai polis.

Nik Aziz : UMNO derhaka kepadaraja.

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Kementerian Pelajaran memperkemaskan pengajian pendidikan agama di kalangan pelajar pada semua peringkat sekolah dalam mengatasi masalah keganasan di sekolah.

Beliau melahirkan rasa sedih dengan pelbagai kejadian tidak diingini berlaku sejak kebelakangan ini di sekolah yang membabitkan pelajar sehingga ada yang mengalami kecederaan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya guru serta Kementerian Pelajaran memantapkan lagi pengajian agama di sekolah supaya pelajar dibekalkan ilmu agama yang tinggi, sekali gus mampu mengelak mereka terjebak dalam keganasan.

"Sekolah sekarang asyik dengan kejadian pelajar kena belasah saja. Kalau guru atau Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak memasukkan pengajian agama dalam kepala murid (tidak memantapkan pendidikan agama), ia (masalah keganasan sekolah) tidak akan selesai," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguannya, di sini, semalam.

Dalam kejadian 16 Februari lalu, sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Dalat, di Mukah, Sarawak membelasah seorang pelajar Tingkatan Tiga sebelum rakaman kejadian itu yang dibuat menggunakan telefon berkamera disebarkan di laman web YouTube.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata adalah tidak wajar parti pembangkang sentiasa disabitkan dengan perbuatan derhaka kepada Raja.

Katanya, daripada maklumat yang disiarkan dalam akhbar rasmi Pas minggu lalu oleh seorang penulis, banyak bukti yang menunjukkan Umno juga derhaka kepada Raja.

"Akhbar (perdana) selalu sebut pembangkang iaitu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai penderhaka kepada Raja.

"Saya baca satu tulisan dalam akhbar itu yang memberi banyak maklumat mengenai Umno derhaka terhadap Raja," katanya.

Perdagangan bahasa dan agama : UMNO menjana perniagaan pendidikan.

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Sasterawan dan Pengkritik Sastera Melayu)

Sekarang adalah masa terbaik untuk mengkritik UMNO habis-habisan, sebelum bahasa Melayu, agama Islam dan negara ini menjadi rosak binasa di bawah tadbiran UMNO. Sekarang dengan munculnya gelombang ketuanan rakyat di mana-mana saja orang bercakap tentang politik dan pembangunan ekonomi, maka para pemimpin UMNO memberi amaran satu perang besar akan berlaku sekiranya ketuanan rakyat itu diteruskan. Kata seorang ketua parti UMNO yang juga seorang menteri, para pemimpin UMNO dan pengikutnya akan mati syahid dalam peperangan mempetahankan ketuanan Melayu.

Jika ketuanan Melayu dihapuskan, maka apakah yang ada kepada orang Melayu? Hujah ketua parti UMNO ini hanya untuk mencari sensasi, membangkitkan kemarahan, menyedapkan hati para pemimpin UMNO bahawa mereka masih relevan dalam gelombang kebencian rakyat terhadap mereka. Sebenarnya ketuanan Melayu itu sudah dikuburkan oleh UMNO sendiri apabila para pemimpin mereka kembali ke zaman kolonial untuk memperjuangkan bahasa Inggeris. Apakah rahsia yang membuat UMNO sanggup mati untuk bahasa Inggeris? Wang dan kekayaan.

Wang dan kuasa. UMNO melihat dalam bahasa Inggeris itu limpahan wang ringgit yang amat banyak, yang hanya boleh diraih dengan memperdagangkan bahasa Inggeris. Perdagangan bahasa ini terjadi apabila ketua-ketua UMNO yang memang selesa berbahasa Inggeris (walaupun bukan jenis bahasa Inggeris yang baik) melihat hanya melalui bahasa Inggeris saja perdagangan pelajaran di Malaysia boleh dicapai. Sekarang hampir semua universiti menggunakan bahasa Inggeris untuk memastikan para pelajar dari seluruh dunia boleh menggunakan kemudahan di universiti yang diperjuangkan oleh orang Melayu selama ini.

Kemakmuran baru melalui perdagangan pelajaran dengan menggunakan bahasa Inggeris memberi peluang besar kepada para pemimpin UMNO dan sekutunya untuk mendapat kekayaan dalam pelaksanaan Wawasan 2020. Orang Melayu belum lagi celik mata untuk melihat bahawa perdagangan bahasa Inggeris ini adalah tonggak utama pelaksanaan Wawasan 2020. Teknologi dan tamadun yang kononnya dijadikan prinsip Wawasan 2020 adalah berasaskan bahasa Inggeris, bukan bahasa Melayu. Jangan harap Wawasan 2020 itu akan menguntugkan orang Melayu, tetapi agenda rahsia yang ditutup daripada orang Melayu ini dapat diterima oleh orang Melayu kerana adanya konsep ketuanan Melayu yang dengannya UMNO sanggup mati syahid (mempertahankan ketuanan Melayu yang berasaskan bahasa Inggeris).

Menteri Pelajaran telah memberi jaminan, pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris akan diteruskan dengan penyesuaian yang perlu. Dasar itu tidak akan dihapuskan, kerana dasar itu menjadi tonggak dalam Wawasan 2020. Bagi orang yang tidak berfikir, tentulah aneh apabila Wawasan 2020 dikaitkan dengan bahasa Inggeris. Sebenarnya itulah hakikatnya. Wawasan 2020 telah mengkhayalkan orang Melayu dalam mimpi indah kemakmuran yang mereka akan terima nanti. Mereka tidak tahu dan tidak faham tamadun yang akan dibangunkan dalam Wawasan 2020 itu adalah tamadun Barat yang seluruhnya bersifat kebendaan.

Orang Melayu hendak diseret ke dalam kemajuan kebendaan acuan Barat, seperti Mesir dan lain-lain negeri Arab telah menerimanya. Di Mesir filem-filemnya salin tak tumpah seperti filem Barat, dan ini termasuk ciumannya. Di Malaysia sudah mula diperjuangkan perkara ini, jika filem Melayu/Malaysia mahu diterima di luar negara dalam pasaran global. Cara melakukan hal-hal seumpama ini terbuka luas dalam konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan kerajaan. Melalui Islam Hadhari, Malaysia akan dibangunkan menjadi negara maju yang bertamadun mengikut acuan Barat tadi.

Tamadun itu seluruhnya berbentuk sekular, seperti terbukti daripada cara universiti diuruskan dan dinilai. Melalui Islam Hadhari, penekanan terhadap tauhid dan syariah dikendurkan, tidak lagi diberi perhatian. Kedua-dua aspek Islam ini dianggap menghalang kemajuan kebendaan tadi, oleh itu tidak perlu ditekankan. Kini banyak sekali kita dapati ma’ahad tahfiz dibangunkan, untuk menampung keperluan melahirkan para penghafal Quran. Niat itu baik, tetapi Quran tidak dihidupkan sebagai sumber ilmu, oleh itu di universiti tidak diperkenalkan konsep ilmu yang benar berasaskan ajaran Quran dan Sunnah.

Itulah matlamat Islam Hadhari yang akan mengelirukan umat Islam nanti, malah kini pun sudah ramai yang terkeliru apabila Islam Hadhari itu dikaitkan dengan kesederhanaan Islam yang menolak keganasan. Itulah yang diminta oleh Amerika Syarikat dan Israel, supaya Islam tidak lagi menjadi cabaran kepada golongan yang menjadi musuh Islam. Dalam konteks inilah kita harus melihat peranan bahasa Inggeris yang dipertahankan begitu rupa oleh para pemimpin UMNO. Orang Melayu nanti tidak saja akan kehilangan bahasa Melayu, tetapi juga agama Islam.

Adalah aneh apabila Perlembagaan Negara yang mengaitkan bahasa Melayu dan agama Islam, cuba dihakis oleh ketua-ketua UMNO dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai tonggak dan asas pembelajaran sains dan teknologi di Malaysia. Ruhnya dan semangat agama dibuang terus untuk memastikan budak-budak sekolah yang keluar nanti terus menyokong UMNO berasaskan kejahilan tentang sejarah dan budaya Melayu dan agama Islam. Jika inilah bentuk kemajuan yang ditaja oleh Wawasan 2020, maka ia harus ditolak sama sekali. (5/3/2009)

Himpunan 100 Ribu.




Bantah PPSMI: Penganjur ikut arahan polis

Perhimpunan membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) esok akan diadakan di Masjid Negara sahaja seperti arahan polis.

Polis semalam melarang mereka berarak ke Istana Negara, selain tidak membenarkan peserta perhimpunan itu berkumpul di Pasar Seni dan pusat membeli-belah Sogo seperti rancangan asal.

Hanya tujuh pemimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dibenarkan membawa memorandum kepada pihak Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad bagaimanapun akan cuba berunding dengan polis sekali lagi bagi membenarkan lebih ramai penyokong bersama-sama ke Istana bagi tujuan itu.

"Kalau tidak boleh, apa boleh buat. Polis bukannya keras sangat.

"(Mereka) masih boleh (diajak) berunding," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat akhir gabungan itu di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) petang ini.

Selain Dr Hassan, Sasterawan Negara A Samad Said, Dr Shahrir Mohd Zain, profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan setiausaha GMP Hasni Abas akan diiringi polis ke istana pada 2 petang.

Executive Talk yang hambar.

Assalamualaikum YB,

Utk maklumat semua, pagi tadi ada Executive Talk yg disampaikan oleh MB KUDETA. Saya pun adalah di antara kakitangan awam yg dijemput hadir dalam majlis itu...tetapi lega rasanya apabila pada masa yg sama saya terpaksa menghadiri satu mesyuarat dgn salah seorang Pengarah sebuah agensi kerajaan. So..saya tk hadir laa ke Dewan Banquet utk dengar "celoteh" MB KUDETA tu.

Tapi walau macam mana pun saya masih mendapat sedikit info tentang apa yg berlaku di Dewan Banquet tadi. Antaranya ialah...Dato' Setiausaha Kerajaan Dr. Abdul Rahman Hashim kelihatan begitu ceria sekali berbanding semasa 11 bulan sebelum ni. Rata2 ramai kakitangan awam yg rasa meluat dgn tingkah laku Dato' SS tu.

Selain dari itu juga kelihatan ramai kakitangan awam yg meninggalkan dewan sejak awal2 lagi...mungkin pada peringkat awal program Executive Talk tersebut mereka sekadar "tunjuk muka" sahaja tetapi jauh di sudut hati mungkin rasa macam terpaksa sahaja. Oleh kerana ramai yg meninggalkan dewan maka tak banyak info lain yg didapati semasa berlangsungnya program itu tadi.

Nah jelas perbezaan semasa DS Nizar dan Pakatan Rakyat memerintah di mana Dewan Banquet tidak dapat menampung kehadiran kakitangan awam dalam apa jua majlis.

Dengar khabar sambutan Maulidurrasul Peringkat Negeri Perak yg dijadualkan berlangsung di Dewan Banquet SUK pada hari Isnin 9 Mac ini nanti, ramai kakitangan awam yg nak boikot...kita tunggu dan lihat.(kuligomen)

Pegawai kerajaan dipaksa ramaikan majlis MB kudeta.

PARIT BUNTAR : "Kami dipaksa untuk meramaikan majlis yang dihadiri oleh MB kudeta beberapa hari lepas " Demikian antara pengakuan seorang pegawai kerajaan yang mahu namanya dirahsiakan. Itulah keadaan sebenar yang berlaku kepada pegawai kerajaan yang berada disekitar Daerah Kerian pada 4 Mac lepas akibat dari tindakan untuk meramaikan majlis pertemuan dengan MB Kudeta yang diadakan di Dewan Merdeka selepas mereka mengadakan mesyuarat Exco di sini.

Seorang pegawai yang lain meluahkan rasa terkejut dengan kawalan ketat yang diberikan kepada Zambry pada hari itu, menurutnya dia sempat melihat MB Kudeta di kawal oleh pasukan keselamatan dengan begitu ketat dibanding MB DS. Nizar selama 10 bulan lebih menjadi MB tidak ada pun kawalan begitu diberikan kepadanya.

Selain itu sebuah ambulan diarahkan diletak dalam keadaan berjaga-jaga sedangkan ambulan yang diperlukan untuk menjalankan tugas harian tidak mencukupi. Ada yang bertanya apakah peranan ambulan tersebut. Atau mungkin sebagai langkah berjaga-jaga kalau ada yang tercedera akibat kena balingan kasut.

Pokok Demokrasi akan disahkan pada 8 Mac ini.

IPOH : Pakatan Rakyat Perak mengeluarkan T shirt yang dicetak dengan kalimat "BUBAR DUN" dibahagian hadapan dan "KEMBALIKAN KUASA RAKYAT" dibahagian belakang untuk dijual dengan harga RM 13 sehelai mulai hari ini. Demikian satu kenyataan akhbar yang daidakan disini hari ini.

Selain itu diumumkan pada hari Ahad ini 8 Mac pada jam 11.00 pagi akan diadakan majlis menamakan "pokok demokrasi" tempat berlangsungnya sidang pada 3 Mac yang lepas. Pada masa yang sama juga akan diadakan upucara menanam 5 pokok yang baru sebagai simbol 5 prinsip Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat.

Majlis tersebut akan dihadiri oleh DS. Muhammad Nizar Jamaluddin,YB. Lim Kit Siang dan Pengerusi Keadilan Perak, Hj. Osman. Semua ADUN Pakatan Rakyat Perak juga dijangka hadir..

Pada sebelah malam hari yang sama pula di Dewan Tao Boo Keong Jalan Kampar Ipoh akan diadakan Malam Demokrasi yang dijangka bermula pada jam 8.00 malam. Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dijangka hadir termasuk DS. Nizar yang akan menyampaikan ucapan masing-masing.

Peguam Sivakumar fail rayuan keputusan mahkamah

IPOH: Kumpulan peguam yang mewakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang tidak membenarkan Sivakumar diwakili oleh peguam yang dilantiknya sendiri.

Peguam Leong Cheok Keng berkata notis rayuan berkenaan difailkan serentak hari ini di Mahkamah Tinggi di sini dan juga di Mahkamah Rayuan di Putrajaya oleh peguam Philip Koh.

"Speaker telah dinafikan hak untuk memilih peguamnya sendiri dan saya fikir ia adalah satu perkara cukup serius bagi Mahkamah Rayuan untuk menimbangkannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini Sivakumar memfailkan saman terhadap Penasihat Undang-undang negeri kerana mendakwa bertindak tanpa kuasa Speaker dalam prosiding 3 Mac lalu.

Semalam Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim memutuskan Sivakumar hanya boleh diwakili oleh Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri dan bukannya peguam swasta dalam permohonan bagi mengisytiharkan sebagai tidak sah dua keputusan beliau yang melibatkan Menteri Besar Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, enam anggota exco dan tiga wakil rakyat Bebas.

Zambry dan enam anggota Exconya memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang mereka daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri antara 12 bulan dan 18 bulan sebagai tidak sah dan terbatal manakala ketigatiga Anggota Dewan Undangan Negeri iaitu Jamaluddin Md Radzi (Behrang), Kpt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi masing-masing tidak kosong dan mereka masih wakil rakyat yang sah.

Sementara itu, polis memanggil Sivakumar ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pagi ini bagi memberi keterangan berhubung laporan terhadapnya bersabit tindakan beliau menggantung dan melarang Dr Zambry dan barisan exconya daripada menghadiri sidang DUN Perak.

Bagaimanapun hanya peguam Sivakumar iaitu Anggota Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran dan Anthony Augustin yang hadir bagi memaklumkan ketidakhadiran Speaker itu yang dikatakan kini sedang bercuti di luar Perak.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah memanggil Sivakumar untuk memberi keterangan berhubung tindakannya menggantung Zambry selama 18bulan dan enam exconya selama 12 bulan daripada menghadiri sidang DUN Perak pada 18 Februari lepas.mstar.

PENJELASAN AGUS MENGENAI KONTROVERSI SIDANG DUN BAWAH POKOK

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan di bawah pokok baru-baru ini adalah satu perkembangan politik yang luar biasa di Malaysia. Pensyarah Sains Politik UKM, Prof. Madya Mohammad Agus Yussoff, adalah antara banyak pihak yang dihubungi oleh media untuk memberikan komennya. Bagaimanapun, komen Agus yang sepenuhnya tidak disiarkan oleh pihak media. Ini menyebabkan Agus dilanda kontroversi.

Di bawah ini adalah kenyataan penuh Agus yang diemailkan kepada blog ini untuk tatapan sahabat-sahabat sekalian. Moga-moga kekeliruan sebelum ini difahami oleh semua pihak, di manakah silap dan puncanya. – Ruhanie Ahmad.

Assalamualaikum wrth,

Terima kasih kerana telah dua kali berturut-turut dalam dua minggu ini laman blog Datuk menulis nama saya dan mengulas pandangan saya tentang isu politik semasa. Pertamanya, ulasan terhadap ranacangan Hujah di TV9 antara Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dengan Tan Sri Isa Samad. Keduanya, ulasan Datuk tentang pandangan yang saya berikan kepada wartawan mengenai kesahihan persidangan DUN Perak di bawah pokok -- yang Datuk namakan 'pokok demokrasi.'

Pertama sekali, perlu saya nyatakan bahawa saya tidak ingat kepada wartawan dari akhbar atau stesen TV manakah yang saya katakan bahawa sah sidang DUN diadakan di atas pokok. Ini kerana pada hari itu, terlalu ramai wartawan yang menghubungi saya untuk bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan dengan perkembangan politik semasa.

Kedua, saya mengaku saya berkata bahawa sah diadakan sidang DUN, bukan sahaja di bawah pokok, tetapi juga di atas pokok. Kepada wartawan yang sama juga saya jelaskan beberapa perkara berkaitan dengan rasa isi saya tentang politik supaya dituliskan, jika boleh, kerana saya sedih melihatkan krisis politik yang berlaku. Namun, apa yang saya katakan kepada wartawan berkenaan tidak dimasukkan secara sepenuhnya, melainkan disensasikan dengan satu kenyataan -- SIDANG DI ATAS POKOK PUN SAH.

Saya memang menyatakan sidang sah diadakan di mana-mana, tapi dengan tiga syarat utama seperti berikut: (i) sidang itu mengikuti Peraturan Tetap Dewan; (ii) sidang tersebut mengikuti undang-undang Tubuh Negeri, dan (iii) sidang berkenaan ditetapkan oleh Speaker. Malangnya, ketiga-tiga syarat yang saya nyatakan ini tidak dilaporkan oleh pihak akhbar.

Saya juga ditanya oleh pihak akhbar, adakah perkenan Sultan diperlukan? Saya jawab, perkenan Sultan adalah wajib sekiranya sidang lepas adalah prorogue (dihentikan), tetapi, tidak perlu sekiranya sidang lepas 'was adjourned' (ditangguhkan). Hal ini dilaporkan oleh media berkenaan.

Selepas itu saya ditanya, sah atau tidaknya persidangan tersebut? Saya jawab persoalan ini sukar untuk dijawab dalam bentuk afirmatif kerana ia sudah menjadi satu krisis politik dan bukan lagi undang-undang. Jadi, payah untuk diselesaikan secara undang-undang, melainkan melalui penyelesaian politik. Alasan saya ialah, sekiranya melalui tindakan undang-undang, kedua-dua pihak yang bertelagah sukar untuk menerima keputusan mahkamah. Maksudnya, jika mahkamah memutuskan PR yang menang, maka BN sudah tentu tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Sekiranya mahkamah memutuskan BN menang, PR pula sudah tentu tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Maka konflik ini berterusan. Dan ini tidak baik untuk mahkamah, untuk rakyat dan untuk kestabilan politik negara.

Atas alasan itu, saya pun menyatakan rayuan saya supaya kedua-dua pihak yang bertikai dalam krisis ini mengambil dua pendekatan utama (kenyataan saya ini langsung tidak dilaporkan). Pertama, berunding dan bersedia untuk berkompromi dengan apa cara sekalipun untuk membentuk kerajaan gabungan dengan melupakan segala sejarah pahit antara hubungan mereka. Kedua, menyatakan bahawa pemimpin politik perlu berjiwa besar, berunding bersama-sama dan kedua-duanya sekali -- YAB Dr Zambry dan YAB Ir Nizar mengadap Tuanku Sultan memohon perkenan baginda untuk memperkenankan pembubaran Dewan.

Dalam percakapan telefon dengan pihak akhbar tersebut juga, saya tegaskan apapun keputusan DUN dan perundingan antara BN dan PR, DUN tidak akan terbubar kecuali dengan perkenan Tuanku Sultan atau telah tamat tempohnya selama lima tahun.

Begitulah antara lain, inti percakapan telefon saya dengan wartawan tentang krisis di Perak ini. Tapi, betul seperti Datuk kata, ia telah disiarkan dalam bentuk laporan terpilih yang mungkin tidak disengajakan. Apapun, kesannya tentu tidak baik kepada saya. Tidak baik kerana ia tidak menggambarkan hasrat sebenar saya untuk memberi pendidikan politik kepada rakyat. Tidak baik kerana ia tidak melaporkan pandangan sebenar saya supaya pemimpin politik kita -- sama ada dari BN atau PR -- berunding bagi membincangkan pendekatan terbaik bagi menyelesaikan krisis ini.

Jadi, apa yang perlu saya buat? Saya memilih untuk tidak berkata apa-apa, melainkan tadi pagi saya bercakap dengan wartawan NST untuk menagdu hal tentang statement saya yang dikeluarkan secara tidak lengkap. Saya juga memberitahu kepada dua kenalan rapat saya (orang politik) mengadu hal tentang isu ini yang sudah terlalu banyak dikupas oleh pemerhati, ahli akademik, peguam dan orang politik sehingga ia sudah menjadi semakin kompleks.

Sebenarnya, saya berbuat demikian kerana saya bimbang sekiranya krisis ini berlanjutan, ahli politik akan lupa untuk memberikan keutamaan kepada krisis ekonomi yang kita hadapi. Saya bimbang sekiranya kita terus berpolitik mempertahankan pandangan parti masing-masing, rakyat akan terabai dan kesejahteraan negara terjejas. Saya cukup bimbang tentang hal ini sekiranya ia boleh menjejaskan kestabilan yang kita nikmati.

Menariknya, apabila pandangan 'atas pokok saya' disiarkan, sesetengah blog -- ada yang memuji dan ada mengeji saya -- memetik dan menyiarkan kenyataan saya ini. Dengan itu, saya dapati bahawa hasrat asal saya untuk memberikan pandangan 'to educate' orang kita tentang politik supaya 'berbaik dan bertenang' sudah menjadi sebaliknya. Ini semata-mata kerana laporan terpilih yang Datuk maksudkan itu.

Tidak mengapalah soal saya dipuji atau dikeji. Itu hal yang kecil, tapi yang pastinya, saya harap Datuk sendiri, sebagai seorang bekas pemimpin UMNO, perlu memainkan peranan bukan lagi untuk mencurahkan api kepada keresahan rakyat, tapi jadilah sebagai pembimbing yang boleh membawa ketenangan kepada suasana politik yang panas hari ini.

Saya tidak boleh berperanan seperti Datuk kerana saya tidak mempunyai blog sendiri dan belum lagi berhasrat untuk mempunyainya. Saya juga tidak berhasrat untuk menjadi orang politik, dan seboleh mungkin sehingga ke tahap ini, saya hanya mahu menjadi pengulas politik yang memberikan pandangan politik berdasarkan ilmu yang saya punyai.

Kepada Datuk dan juga untuk peringatan kepada diri saya sendiri, satu perkara yang perlu kita ingati ialah pesanan Voltaire, ahli falsafah Perancis yang terkenal. Kata beliau, kesilapan kita ialah kerana "kita tidak belajar dari sejarah (baca: pengalaman)."

Sekian, terima kasih.

MOHAMMAD AGUS YUSSOFF

Kes saman Nizar dirujuk ke Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan untuk merujuk isu perlembagaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dalam kes saman Menteri Besar negeri Perak Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin terhadap Datuk Dr Zambry Abdul Kadir akan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Ia diputuskan oleh Hakim Lau Bee Lan sebentar tadi.

Bagaimanapun, kes tersebut akan diteruskan di Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai persoalan yang timbul dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri berkenaan.

Hakim Lau Bee Lan berkata, berdasarkan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 terpakai kepada Undan-undang Tubuh Negeri Perak.

"Berdasarkan peruntukan itu mahkamah mempunyai kuasa untuk merujuk isu mengenai prosedur tubuh kerajaan Negeri Perak ke Mahkamah Persekutuan berhubung perlembagaan negeri,"katanya.

Mahkamah juga meminta, peguam kedua-dua belah pihak membantu beliau untuk memutuskan apakah isu undang-undang yang berkaitan dengan peruntukan perundagan sebelum dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim memberi masa selama sejam untuk kedua-dua belah pihak menyediakan persoalan-persoalan yang timbul sebelum dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Kes itu diambil alih Lau Bee Lan selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Ariff Md Yusof menarik diri daripada mendengar permohonan tersebut. mstar.

Tazkirah Jumaat : Bersyukurlah

Sesugguhnya sangat banyak nikmat yang telah dikurniakan kepada kita oleh Allah Rabbul Jalli. Setiap saat dan detik kita melalui pelbagai nikmat yang dianugerahkan oleh Allah tanpa kita sedari. Kerana ini Allah menyatakan kepada makhluknya jika sekiranya kita cuba menghitung tentang nikmatNya yang telah dikurniakan kepada kita nescaya tidak dapat dihitung dan terhitung.

Tuntutan bersyukur adalah suatu amalan terpuji yang akan membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT. Dengan bersyukur membuktikan seseorang itu adalah hamba Allah. Selagi tidak timbul rasa bersyukur dengan nikmat yang diperoleh sedikit atau banyak, selagi itu seseorang itu masih jauh dengan rahmat Allah.

Firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7 :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".

Sesiapa yang mengharapkan nikmatnya bertambah, wajiblah bersyukur dengan apa yang dia perolehi. Jangan kita seolah menjadi orang yang berjalan dalam kegelapan malam sedangkan kita tahu bahawa kita lagi terang lagi bersuluh bahawa segala nikmat itu semuanya datang dari Allah SWT. Oleh itu ancaman yang amat keras kepada sesiapa yang telah sengaja membutakan pandangan mata dan hatinya tentang segala nikmat yang dicecapinya. Marilah kita menghindarkan diri dari azab Allah yang amat pedih seperti yang dijanjikan. Kepada siapa ? kepada orang yang tidak mahu bersyukur kepada segala nikmatnya.

Dalam ayat yang lain Allah menyebut akan mengigati makluknya jika makluk ingat kapada Nya dan memerintahkan kita bersyukur kepada Nya. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 152:
فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُواْ لِي وَلاَ تَكْفُرُونِ

"Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) -Ku."


Bersyukur kepada Allah SWT bukan sekadar dengan sedar dan insaf sahaja nikmat itu dari Allah SWT. Atau sekadar mengucapkan " ALHAMDULILLAH "Lebih dari itu bersyukur hendaklah diterjemahkan dalam seluruh amalan kehidupan kita seharian. Orang yang bersyukur pasti ibadahnya bertambah. Pengamalan Islamnya sesempurna mungkin. Seluruh hidupnya adalah mengarah kepada tuntutan ibadah yang diperintah oelh Allah SWT.

Sebagaimana jika bersyukur dalam terjemahan sebagai terimakasih kepada sesama manusia yang memberikan sesuatu jasa atau benda kepada sesama mahluk. Tentunya terima kasih dalam artinya yang sebenar bukanlah hanya ucapan "terimaksih" tetapi diterjemahkan dalam bentuk kerja yang makin baik jika dia seorang pekerja. Ini sesama manusia apatah dengan Allah SWT.

Bersyukur dengan segala nikmat, nikmat manakah yang paling besar dan utama ? Tentunya nikmat yang paling besar ialah "nikmat iman" yang telah kita perolehi. Alhamdulllah Allah jadikan kita salah seorang yang beriman kepada Nya dengan tergolongnya kita sebagai individu Islam. bayangkan masih banyak yang tidak merasakan nikmat ini dan mati dalam keadaan tidak beriman kepada Allah Yang Maha Esa.

Anugerah keimanan ini tidak lain dari Allah SWT. Sebab itu telah jenuh Rasulullah berdakwah kepada pamannya yang dikasihi Abu Talib supaya dia masuk Islam namun dia mati dalam keadaan tidak mengucap dua kalimah syahadah. Sedihnya Nabi Muhammad saw. sehinggakan turunnya ayat dalam Surah Al Qashash ayat 56 :
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk."

Bersyukurlah kepada Allah dengan kembali kepada ajaran Islam sepenuhnya, beramallah dengan Islam seluruhnya. Berjuanglah dengan Islam dan jauhkan dari perjuangan yang tidak berlandaskan kepada Islam dan mengajak kepada kezaliman.

Janji Allah SWT adalah benar bahawa kita akan dimasukan ke dalam syurgaNya yang penuh dengan nikmat jika sekiranya kita besyukur . Syurga yang tidak pernah kita bayangkan betapa hebat nikmatnya seperti yang di gambarkan oleh Rasulullah dalam satu hadits qudsi :Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: Dari Nabi saw., beliau bersabda:

"Allah berfirman: Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang saleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terbesit dalam hati manusia"

Firman Allah SWT dalam Surah As Sajdah ayat 17 :
فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاء بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

"Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. "

Marilah kita bersyukur kepada Allah SWT tanpa bertangguh-tangguh dengan kembali segera kepada landasan yang benar, iaitu landasan Islam yang murni dengan tidak bercampurkan dengan sebarang idealogi karut dan menyesatkan. Terimalah Islam keseluruhannya tanpa menolak separuh dan menerimanya separuh. Jika kita telah menerima nikmat Nya keseluruhannya tanpa menolaknya separuh dan menerimanya separuh , Maka wajiblah kita menerima Islam keseluruhannya.

Bersyukurlah...bersyukurlah....