02 March 2009

Sidang Tergempar DUN Perak : BN pergunakan penjawat awam.

Berikut ini adalah reaksi dari seorang pembaca yang menamakan "kuligomen" bagi mengulas tulisan saya pada tajuk "Kenyataan SU Dewan atau kenyataan siapa ?" yang diterbitkan pada 1 Mac 2009.

Seperti tulisan saya sebelumnya, saya tetap mengatakan SU Dewan telah dikambing hitamkan demi kepentingan politik jahat UMNO dan BN.

Setiausaha DUN Perak Abdullah Antong Sabri selaku seorang Penjawat Awam jelas telah melanggar peraturan Perintah-Perintah Am (General Order), apabila beliau telah membuat kenyataan rasmi dan kenyataan tersebut juga telah dikeluarkan melalui media.

Menurut Perintah2 Am (General Order)
BAB D - Peraturan2 Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993

Peraturan 19 (Membuat Pernyataan Awam)

(1) Seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain—

(a) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan tentang apa-apa isu;

(b) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama Kerajaan ;

(c) membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan ;

(d) mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain.

(2) Seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain—

(a) membuat apa-apa ulasan tentang kelebihan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan ;

(b) memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan perjalanan fungsi Kerajaan;

(c) memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang melibatkan Kerajaan ; atau

(d) menyebarkan apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan sedemikian sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain,

melainkan jika kebenaran bertulis, sama ada secara am atau khusus, telah diperoleh terlebih dahulu daripada Menteri.

(3) Subperaturan (2) tidaklah terpakai bagi apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan yang dibuat, diberikan atau disebarkan jika kandungan ulasan, maklumat atau penjelasan itu telah diluluskan oleh Menteri.

(4) Bagi maksud peraturan ini, “pernyataan awam” termasuklah apa-apa pernyataan atau ulasan yang dibuat kepada pihak akhbar atau orang ramai atau semasa memberikan apa-apa syarahan atau ucapan awam atau dalam apa-apa penyiaran atau penerbitan, tanpa mengambil kira caranya.

Sidang tergempar DUN Perak sah, Keputusan Speaker mengatasi kenyataan Setiausaha.

Krisis politik Perak mengalami kejutan baru - kali ini membabitkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar dan Setiausahanya, Abdullah Antong Sabri yang "bertikai" tentang kesahihan mengadakan sidang tergempar Selasa ini.

Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri mengeluarkan kenyataan bahawa Speaker tidak boleh memanggil satu sidang tergempar dewan itu Selasa ini kerana tindakan itu tidak sah dan tidak boleh diadakan tanpa mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Bagaimanapun beberapa jam selepas kenyataan itu, Sivakumar pula sambil melahirkan rasa terkejut menegaskan, Setiausaha DUN tiada kuasa untuk mentafsir Perintah Tetap Dewan Negeri.

Pada sidang media diadakan kira-kira 7 petang tadi, Sivakumar menegaskan, tugas Setiausaha ialah mematuhi arahan dikeluarkan oleh Speaker.

Dengan merujuk kepada Perkara Perintah Tetap Dewan Negeri (PT), tertakluk kepada usul khas yang dikemukakan, tafsiran Speaker adalah muktamad.

"Bukankah Speaker mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar Dewan?

"Jika hak itu dirampas daripada Speaker, apakah bentuk demokrasi yang kita akan mewarisi pada masa depan.

"Saya merasakan dunia akan gelak terhadap kita jika mana-mana pihak mencampuri atau menghalang kami daripada menghadakan sidang DUN," katanya.

Terdahulu kira-kira 4 petang tadi, dipetik Bernama, Abdullah berkata, mengikut PT Dewan Negeri 8(1) yang perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara XXXVI(1) UndangUndang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan berkehendakkan perkenan Tuanku Sultan untuk memanggil apa-apa sidang Dewan Negeri sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini bagi mengulas kenyataan Sivakumar pada Khamis lepas yang beliau bercadang memangggil satu sidang tergempar DUN Perak pada Selasa ini bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan negeri itu.

Abdullah berkata, beliau telah menerima arahan daripada Sivakumar supaya mengeluarkan notis segera untuk sidang tergempar DUN pada Selasa ini melalui surat Sivakumar yang bertarikh 25 Februari lalu yang turut disertakan notis usul daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu dari Teja, Chang Lih Kang dan Titi Serong, Khalil Idham Lim.

Beliau berkata, walaupun ia sidang tergempar, "dalam apa jua pun keadaan, saya hendaklah menghantar Notis bertulis tersebut berserta dengan warta pemasyhuran memanggil dewan kepada tiap-tiap anggota DUN menarik perhatian mereka kepada pemasyhuran tersebut.

"Permasyhuran memanggil dewan dibuat oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan. kata Abdullah.

"Ini adalah berdasarkan PT 1 (Perintah Tetap DUN) yang mengatakan "maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memanggil mesyuarat..".

"PT 10 (1) mengatakan "Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta," katanya.

Beliau berkata, berasaskan PT 10(1) itu, kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.

"Ini adalah kerana Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan memberi kuasa yang jelas kepada DYMM Sultan Perak untuk memanggil DUN bersidang," katanya.

Beliau berkata, Perkara XXXVI (1) memperuntuk "DYMM hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan."

Abdullah berkata, peruntukan di atas adalah peruntukan Perlembagaan yang merupakan UndangUndang Tertinggi di negeri Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak.

Khamis lepas, Sivakumar menerima dua usul dengan yang pertama daripada ADUN Titi Serong Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) yang memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Kenyataan SU Dewan atau kenyataan siapa ?

IPOH :Setiausaha Dewan Negeri Perak, Abdullah Antong Sabri dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini berkata, cadangan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, V. Sivakumar untuk memanggil satu sidang tergempar dewan itu pada Selasa ini adalah tidak sah.

Ia tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap Dewan Negeri serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Pada pandangan saya kalau inilah yang dikatakan kenyataan dari SU Dewan ianya adalah satu kekeliruan dan mustahil boleh berlaku melainkan kenyataan ini adalah kenyataan yang mengkambing hitamkan SU Dewan.

Semua langkah yang diambil jelas tidak menyalahi peraturan dewan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri itulah yang saya ketahui, cuma ada usaha untuk mengagalkan sidang ini oleh Penasihat Undang-undang kerajaan negeri,

Keadaan bercelaru ini saya yakin kerana Setiausaha Dewan, Abdullah Antong Sabri adalah seorang yang memegang dua jawatan yang berbeza tugas dan peranannya.

Abdullah adalah setiausaha kepada Dewan sekaligus Setiausaha kepada Speaker Kerajaan Negeri. Tetapi dia juga adalah setiausaha kepada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri(mesyuarat Exco) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kudeta sekarang.

Bila kenyataan SU Dewan saya baca saya terus membuat kesimpulan pasti ini kenyataan atas arahan pihak tertentu. Saya tahu sangat dia tidak akan melakukan sesuatu tindakan melainkan berpandukan kepada undang-undang dan perlembagaan.

Kenyataan itu sepertilah ucapan pemimpin BN yang bercakap mengenai tidak sahnya sidang ini kerana tidak mematuhi peraturan dan memerlukan perkenan Sultan. Nampak sangat itu bukan asli dari SU Dewan.

Sedangkan sudah berulang kali dinyatakan oleh Sivakumar bahawa ia berpandukan peraturan yang sedia. Tindakannya tidak bersendiri dari awal bersama SU Dewan sehingga tidak disenangi oleh pihak BN. Kotor sungguh cara main BN setakat ini.

Kalau begitu cara mainnya , tunggu cara main kami seterusnya....

Siapa 'kartun', Sivakumar atau Zambry ?

"Dia buat benda tu macam cerita kartun,'' kata Zambry Abdul Kadir seperti disiarkan dalam akhbar utusan malaysia hari ini dalam tajuk berita "Macam ‘kartun’ – Zambry".

Berbagai hujah dan alasan sekali lagi dibentangkan bagi menjawab berbagai pertanyaan dari rakan media. memang mudah dia menjawab bagi menutup dan menghalalkan segala muslihat dan kerja jahat yang dilakukannya bersama Najib sehingga jatuhnya Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat.

Sebenarnya Zambrylah yang jadi kartun dan Sivakumar adalah pelukisnya. Dalam banyak hal kita lihat serangan dan keputusan yang dibuat oleh Speaker menampakkan Zambry sentiasa terdesak dengan jawapan yang menampakkan orang yang hilang punca..

Dalam banyak hal Zambry telah dapat menyampaikan maklumat kepada umum dalam media yang berat sebelah melapor situasi di Perak. Namun dia sebetulnya gagal untuk meyakinkan rakyat kerana kenyataannya tidak ada satu pun yang diiringi dengan tindakan yang konkrit.

Bial tidak ada tindakan pati orang menganggap dia sudah jadi kartun dek lakaran seorang Speaker yang pandai mengambil keputusan tanpa membelakangi peraturan yang sedia ada.

Kelmarin Zambry membuat kenyataan yang membuktikan dialah kartun,kata Zambry seperti yang dipetik berkata :-

1.Keputusan yang diambil oleh Sivakumar jelas bertentangan dengan peruntukan terkandung dalam Peraturan-Peraturan Tetap DUN Perak yang menyatakan bahawa sebarang persidangan DUN hendaklah mendapat perkenan Sultan Perak terlebih dahulu.

2.Apa yang dibuatnya adalah sesuatu yang tidak mengikut Perlembagaan dan bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan tetapi sengaja tidak menghiraukannya kerana mahu mengikut kata hati.

3.Jika kita baca beberapa perkara dalam Peraturan-Peraturan Tetap DUN Perak, ia jelas menunjukkan bahawa sebarang persidangan DUN yang hendak diadakan hendaklah mendapatkan perkenan Tuanku

4.Zambry berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan Sivakumar mengadakan sidang tergempar itu memandangkan sudah menjadi kebiasaan Speaker itu bertindak mengatasi Sultan.

5.Dia merasakan segala tindakannya mahu mengatasi Sultan. Kalau orang kata 'Singh is King, tak tahulah kalau Siva (Sivakumar) juga King'

6.Dia buat benda tu (sidang tergempar) tetapi halang 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menghadirinya

7.Jika benar Sivakumar mahu membubarkan DUN, ia sepatutnya dibuat secara demokrasi dengan memanggil semua 59 ADUN hadir pada mesyuarat tersebut

8.Rakyat boleh membuat analisis sendiri tentang sikap sebenar pemimpin pembangkang yang selama ini kononnya bersungguh-sungguh memperjuangkan demokrasi di negara ini

9.Mereka (pembangkang) sepatutnya tidak mengamalkan sikap pilih kasih. Dalam konteks ini, kita kena ikut peruntukan undang-undang.

ADUN lawat mangsa ribut di DUN Titi Serong.

TITI SERONG, 28 Feb.:- Hujan lebat disertai dengan angin kencang yang diselang-seli dengan petir telah memusnahkan hampir 25 buah rumah di dalam DUN Titi Serong sekitar jam 5 petang kelmarin.

ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim telah melawat hampir kesemua rumah tersebut dengan ditemani oleh Isterinya malam tadi sehingga lewat malam.

Beliau menyampaikan bantuan segera berbentuk wang tunai kepada semua mangsa yang terlibat.

Sebuah rumah orang kurang upaya (OKU)yang hidup sebatang kara adalah mangsa yang paling teruk mengalami kerosakan rumahnya. Rumah beliau yang separuh usia itu telah ranap menyembah bumi dan dia dipindahkan sementara di rumah jiran yang berdekatan.

Seorang warga yang menceritakan kejadian tersebut mengatakan pada mulanya dia mendengar sekeping demi sekeping zink rumahnya diangkat oleh angin yang seakan puting beliung dan sesudah itu kedengaran bumbung rumahnya semuanya telah diangkat angin.

Semua mangsa yang dilawati didapati dalam keadaan yang memerlukan bantuan segera bagi membaik pulih rumah masing-masing yang kebanyakannya rosak teruk.

"Saya merayu pihak yang bersimpati dengan mangsa ribut dalam DUN saya ini untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan magsa" Kata Khalil dalam kenyataan ringkasnya kepada WM semalam.

Menurut ADUN Titi Serong, petugas pejabatnya akan meneruskan usaha untuk memberi bantuan seterusnsya kepada semua mangsa walaupun dalam keadaan politik tidak menentu di Perak pada masa ini.

Ibu Mertua YAB MB meninggal dunia.

TAPAH : Ibu kepada Datin Seri Fatimah Taat telah kembali ke rahmatullah pada awal malam tadi di kediaman anaknya di sini.

Jenazah akan disembahyangkan pada jam 11.00 pagi ini di Masjid Jamek Daerah Tapah.

Al- Fatihah....

Kalau Speaker salah kenapa cuma ada penafian saja ?

Di Taiping, Zambry terus mendakwa tindakan Sivakumar sekali ini bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan peraturan Perintah Tetap persidangan itu.

Katanya terdapat peruntukan peraturan yang terkandung dalam Perintah Tetap dewan yang jelas menunjukkan sebarang persidangan yang mahu diadakan di DUN hendaklah mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah terlebih dahulu.

Dakwa 'Cerita karut'

"Dia (Speaker) boleh kata dan baca ikut Perintah Tetap (perkara) 8, 11. Cuba dia baca betul-betul dan lihat pula Perintah Tetap (perkara) 36, baca dan sebagainya. Ini tidak, dia ikut suka hati dia saja.Dakwanya.


"Jadi dia buat peraturan ikut peraturan dia sendiri, suka hati dia apa yang dia nak buat. Dia merasakan bahawa tindakan dia mahu mengatasi Sultan dan sebagainya...ada orang kata 'Singh is King' tapi tak tahulah kalau ada yang kata 'Siva is King'," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi piliharaya kecil Parlimen Bukit Gantang di sini Changkat Jering semalam.

Zambry menuduh Sivakumar mengetahui tindakannya bertentangan dan tidak mengikut undang-undang serta peraturan yang ada tetapi masih mahu bertindak 'ikut suka hatinya'.

Zambry juga menyifatkan tindakan Sivakumar memanggil sidang tergempar itu seperti cerita 'kartun' kerana dalam masa yang sama Sivakumar menggantungnya dan enam Exco kerajaan negeri dan tiga Adun bebas yang didakwa Sivakumar telah meletak jawatan juga tidak akan diberi notis hadir.

Ketika ditanya sama ada beliau dan enam Exco kerajaan negeri akan menghadiri persidangan itu, Zambry berkata: "mereka patut faham bahawa ia tidak mengikut perlembagaan. Paling penting anda tanya mereka, sama ada apa yang dilakukan mereka betul atau salah, anda tanya mereka".

Sebelum ini, Sivakumar memberitahu pemberita bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.

Siri serangan dan dakwaan dari Zambry dan kumpulannya nampaknya hebat disiarkan dalam media arus perdana tanpa satupun tindakan darinya untuk menepis semua keputusan dari Speaker.

Ini jelas menunjukkan keputusan Speaker adalah menurut undang-undang yang sedia ada, cuma Zambry sahaja yang memutar belit fakta dan kenyataan untuk mempertahankan jawatan yang diambilnya secaras tidak sah itu.

PAC Perak panggil Zambry, Nizar dan Exco

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Perak (PAC) akan memanggil menteri besar dan menteri besar kudeta untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan penggunaan wang kerajaan sepanjang krisis politik di negeri itu.

Selain Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, PAC turut memanggil barisan exco mereka untuk memberi keterangan pada mesyuarat khas yang akan diadakan pada pukul 4 petang, 5 Mac ini.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata PAC boleh mengeluarkan arahan untuk waran tangkap terhadap individu yang enggan hadir, lapor Bernama.

Katanya, PAC yang mengadakan mesyuarat di bilik mesyuarat kewangan negeri di Ipoh kelmarin memutuskan terdapat dua perkara sepanjang krisis kerajaan negeri yang perlu ditangani segera iaitu berkaitan pelantikan tiga penasihat menteri besar kudeta dan ketua penerangan kerajaan negeri.

Beliau memberitahu demikian dalam sidang akhbar di pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Perak semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Canning itu berkata PAC mempersoal pelantikan Datuk Chang Ko Youn sebagai Penasihat Hal Ehwal Masyarakat Cina, Datuk S Veerasingam (penasihat hal ehwal masyarakat India) dan Datuk Najmuddin Elias Al-Hafiz sebagai penasihat hal ehwal agama serta pelantikan Datuk Hamdi Abu Bakar sebagai ketua penerangan kerajaan Perak.

Beliau berkata pelantikan itu dianggap luar biasa dan membabitkan penggunaan sejumlah wang yang besar kerana ia memerlukan pembayaran gaji atau elaun tertentu yang sememangnya menggunakan wang kerajaan negeri.

PAC perlukan penjelasan

"Oleh itu, timbul persoalan yang memerlukan penjelasan daripada pihak berkenaan iaitu apakah dasar undang-undang yang diguna dalam pelantikan itu, rasional dan tujuan pelantikan serta emolumen yang dibayar termasuk gaji, elaun dan kemudahan lain yang disediakan," katanya.

Wong yang juga Setiausaha Publisiti DAP Perak dan Setiausaha kelab penyokong Kerajaan pakatan Rakyat Perak berkata PAC turut mempersoal manfaat daripada pelantikan itu kerana dua daripada mereka iaitu Chang dan Veerasingam bukan Adun, manakala kelayakan dua wakil rakyat iaitu Mohd Najmuddin dan Hamdi sebagai anggota pentadbiran negeri adalah diragui.

"PAC juga akan menuntut penjelasan berhubung kedudukan Zambry dan Mohammad Nizar sebagai menteri besar serta barisan exco masing-masing pada mesyuarat khas itu," katanya.

Beliau berkata dalam keadaan krisis politik sekarang PAC perlu mengambil berat dan memastikan barisan exco mana harus dibayar gaji dan elaun serta kemudahan lain seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Wong berkata jika keadaan memerlukan, PAC juga akan memanggil Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim bagi memberi penjelasan mengenai perkara yang sama.

"Notis pemberitahuan berhubung mesyuarat itu akan dikeluarkan Setiausaha PAC yang juga bertindak sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Abdullah Antong Sabri," katanya.