19 February 2009

KRISIS PERLEMBAGAAN NEGERI PERAK

Terlebih dahulu saya bermohon beribu kemaafan kerana lama meninggalkan saudara tanpa kemaskini halaman ini. Situasi semasa memerlukan saya sepenuh masa menangani beberapa permasalah akibat rampasan kuasa (coup d"etat) oleh UMNO BN pada 5 februari 2009.

Ini sejarah hitam bagi rakyat negeri Perak apabila dengan zalim dan rakusnya Timbalan Presiden UMNO, Najib Tun Razak mengadap DYMM Sultan Perak pada pagi 5 Feb. 2009 untuk merompak hak rakyat tersebut melalui pintu belakang.

Pada 2 Feb 2009 (Isnin) , saya mengadap DYMM Sultan Perak di Istana Kinta bagi mempersembahkan 2 pucuk salinan surat perletakan jawatan YB Jamaluddin(Behrang) dan YB Osman (Changkat Jering) bertarikh 30 Jan 2009, dan surat dari YDP Dewan (Speaker) YB Sivakumar kepada SPR memohon di laksanakan pilihanraya kecil kedua-dua DUN tersebut.

Ketika itu UMNO-BN di ketuai oleh Najib Tun Razak masih dalam proses memerangkap beberapa wakil rakyat PR khususnya YB Dato' Nasaruddin (ADUN Bota yang telah menyeberangi ke PKR) pada 25 Jan 2009, dan ADUN Jelapang YB Hee Yit Fong.

Perhubungan dengan YB Jamaluddin dan YB Osman telah terputus mulai 26 Jan 2009. Keluarga dan orang terdekat termasuk ketua umum PKR, DSAI, juga gagal. Hanya setelah surat perletakan jawatan dikemukakan baharulah kedua mereka muncul bersama Najib Tun Razak. Semasa kemelut itu juga YB Dato Nasaruddin (BOTA) dilapurkan hilang dibawa oleh 2 orang ADUN UMNO yang kononya mereka diarah menjemput YB Dato Nasa bertemu Raja Muda. Dia akur dengan pelawaan palsu tersebut dan bersetuju bersama kedua-dua adun umno menaiki pacuan empat roda dan trus hilang entah kemana, khabarnya dilarikan kepada dakapan Najib Tun Razak.

Dilaporkan oleh isteri YB Dato' Nasa, Datin UMI bahawa suaminya hilang mengikut dua orang adun umno pergi bertemu Raja Muda tetapi rupa-rupanya untuk dibelutkan oleh umno agar YB Dato' Nasa kembali semula kepada umno-BN walaupun telah bersumpah dikhalayak ramai 10,000-15,000 orang pengundi Bota pada 30 Jan 2009 untuk tidak akan berganjak dan kembali kepada UMNO. Pertemuan YB Dato Nasa denga saya di pejabat MB pada 29 Jan 2009 bersama ahli-ahli exco dan pimpinan PKR Perak juga menjanjikan benda yang sama. Bila ditanya oleh warga media adakah YB Dato Nasa akan kembali kepada UMNO oleh kerana pertukaran Pengerusi Perhubungan UMNO negeri kepada Najib Tun Razak, namun jawab YB Dato Nasa, "Insya Allah, tidak".

Ketika itu kedapatan YB Hee dari Jelapang juga turut lesap dan putus hubungan, sehingga YAB ketua Menteri Pulau Pinang selaku SU Agong DAP memberi amaran mana-mana ADUN DAP yang putus hubungan dalam tempoh 24 jam di kira telah meletak jawatan.

Ketika itu, keputusan SRP pula menafikan hak dan permohonan YB Speaker untuk diadakan PRK di Behrang dan CGKT Jering. Maka tiada pilihanraya kecil, ini pula atas desakan dan campur tangan UMNO BN mengarahkan pengerusi SPR yang baru dilantik (tetapi diberi amaran kerana bertanggungjawab tersungkurnya UMNO BN di KT ) untuk jangan diadakan PRK di Behrang dan Cgkt Jering. (Bertentangan dgn Perlembagaan Persekutuan 113). Untuk pengetahuan semua, SPR tidak boleh menolak mana-mana permohonan dari mana-mana Speaker di Malaysia untuk isytihar PRK apabila ada surat dari wakil rakyat tersebut yang meletak jawatan. Peranan SPR dalam Perlembagaan Malaysia hanyalah sebagai pelaksana sahaja dan bukanya pemutus untuk tolak atau meragukan mana-mana surat yang pada pandangan Speaker adalah sah.

Maka pada 4 Feb 2009, selaku MB serta ketua DUN, saya mengadap DYMM memohon perkenan agar dibubarkan DUN Perak untuk mengembalikan hak rakyat Perak membuat pilihanraya baru dan secara sahnya memilih kerajaan baru. DYMM Sultan menyatakan akan mengkaji dan menghubungi saya kemudian, saya akur. DYMM Tuanku mengucapkan kepada saya, "Innallaha maa Sobirin" (Sesungguhnya Allah bersama orang2 yang sabar) dengan senyuman sambil menggoyang-goyangkan kedua tangan Tuanku.

Kesokan harinya 5 Feb 2009, (khamis) jam 10.00 saya bersama-sama YAB PM Pak Lah berada di Bgn Serai merasmikan majlis mekanisasi pertanian penanaman padi seluas sekitar 200 ekar secara moden oleh Sime Darby. Namun keseluruhan berita telah digelapkan walaupun ada liputan media meluas. Jam 11.45 pagi saya menerima perintah DYMM Sultan untuk mengadap di Istana Kinta. Maka saya memohon laluan dari YAB PM dan terus menuju Istana . Sesampainya di Istana, DYMM Sultan telah sedia menanti bersama Penasihat Undang-undang, (LA).

Saya terus angkat sembah dan duduk (cukup luar biasa sebab yang biasa apabila dititah atau mohon mengadap, sayalah yang akan menunggu DYMM Sultan didalam bilik khas). DYMM menyatakan kepada saya:-

1. Kesemua 27 ADUN BN telah dipanggil mengadap dan setuju trus dengan BN

2. Adun Bota (YB dato Nasa) telah bersetuju kembali kepada UMNO-BN

3. Ketiga Adun Behrang, Cgkt jering dan Jelapang juga telah dipanggil mengadap dan bersetuju keluar PR dan menjadi ahli Bebas serta menyokong BN, menjadikan 31 orang. (28 +3)

4. Maka sekarang BN ada majoriti dan PR cuma ada 28 ADUN.

Saya sudah terlintas dihati yang sesuatu tak kena akan terjadi makanya ,
saya mohon mencelah dari DYMM Sultan dan mengambil masa sekitar 15 minit untuk mengutarakan hujah dan point berikut:-

i. Saya hanya memohon perkenan kebawah DYMM Tuanku untuk dibubarkan DUN Perak dalam hak dan kuasa yang dianugerahkan saya sebagai MB dan ketua DUN.

ii. Kembalikanlah hak rakyat untuk memilih kerajaan baru yang sah dan bermaruah.

iii. Saya mahu mendaulat dan memartabatkan institusi Istana sebagai institusi ulung dan teragung di kacamata rakyat.

iv. Bila DUN dibubarkan, rakyat akan lihat bahawa Tuanku cukup adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak sekali gus rakyat akan menjulang dan menghormati institusi Istana kerana mengembalikan hak rakyat untuk membuat pilihan semula. Ini Keadilan yang kita laung-laungkan.

v. Saya ajak DYMM Tuanku Sultan meredhai dan bersyukur di atas anugerah Ilahi dalam sambutan Jubli Perak dengan Allah SWT memanjangkan usia DYMM Tuanku hingga ke 82 tahun. Saya seru agar merealisasikan kesyukuran atas nikmat ini dengan mengembalikan hak rakyat serta pengampunan dari Allah SWT

vi. Saya nyatakan dengan jelas jika Tuanku bubarkan DUN, rakyat akan turut bersyukur dan berterima kasih tidak terhingga kepada Tuanku dan rakyat akan menjulang institusi Istana.

vii. Disebaliknya saya nyatakan bahawa jika hak rakyat ini tidak diberi (dengan tidak membubarkan DUN) maka dikhuatiri rakyat akan menghina dan hilang hormat kepada institusi di Raja dan Tuanku sendiri.

viii. Saya zahirkan kepada DYMM Tuanku dimanakah maruah kerajaan UMNO BN dengan mengambil 3 orang wakil rakyat (Jamaluddin, Kapt Osman dan Hee) sebagai penyokong mereka semata-mata hendakkan simple majoriti, yang mana 2 daripada mereka (Jamaluddin dan Osman) telah dituduh oleh pimpinan UMNO terdahulu dari itu sebagai mengambil rasuah meluluskan projek perumahan di Perak Tengah bernilai RM180juta dan menerima habuan serta sedekah seks (yang mana projek tersebut tidak wujud pun! Sengaja diada-adakan oleh pihak BPR pusat untuk mejatuhkan kerajaan PR). Kedua mereka akan menghadapi perbicaraan di mahkamah session Ipoh pada 10 Feb 2009. Saya juga katakan kepada DYMM Sultan seandainya pertuduhan ke atas mereka lekat, maka apa akan terjadi kepada kerajaan itu kelak. Dan jika pertuduhan itu digugurkan oleh mahkamah, sudah tentu rakyat jelata akan melihat sebagai campurtangan pihak Istana dan ini akan mencemarkan imej dan kedaulatan Istana.

ix. Saya beri maklum bahawa jika dibubarkan DUN Perak seluruh institusi Istana di Malaysia pasti akan mendapat penghormatan tertinggi dikacamata rakyat jelata dan masyarakat dunia dalam dan luar negeri akan turut menghormati DYMM Tuanku. Kekebalan dan kekuasaan diraja telah lama dirobek dan cuba dihapuskan oleh UMNO sewaktu dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir. Semua institusi kesultanan di Malaysia akan mendapat imej baik dek keputusan bijak dan arif oleh Tuanku.

x. Saya sebut secara verbatim kata-kata DYMM dalam sebuah buku yang Tuanku hadiahkan kepada saya sewaktu menjawat jawatan MB pada bulan Mac 2008 dahulu. Buku berjodol "Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance" (Selected essays and speeches,by HRH Sultan Azlan Shah, edited by Professor Dato' Seri Visu Sinnadurai, tahun 2004, saya bacakan kepada Tuanku berbunyi, "under normal circumstances, it is taken for granted that the Yang di Pertuan Agong would not withold his consent to a request for the dissolution of Parliament. His role is purely formal".

Selepas saya baca ayat tersebut sepatah demi sepatah, maka dengan penuh takzim dan lembut ungkap, saya merayu agar Tuanku berpegang dan mengotakan kata-kata Tuanku tersebut. Bahkan saya sebut bahawa buku tersebut dan kata-kata Tuanku di dalamnya menjadi rujukan penghakiman semua negara Commonwealth sebagai suatu peradaban undang-undang yang luhur.

xi. Saya mengingatkan kepada DYMM Tuanku bahawa banyak negara seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Mesir dan Iran yang dahulunya ada institusi di Raja, namun apabila keputusan Istana berpihak kepada mana-mana kumpulan dan mengenepikan kehendak hak rakyat, maka kini institusi tersebut telah hilang.

xii Saya merayu bahawa pada ucapan sambutan Jubli Perak pada 3 Feb 2009, di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, ucapan Tuanku, ucapan Raja Muda dan juga ucapan saya telah menitik beratkan soal keadilan, hak rakyat dan good governance. Siaran tersebut telah dibuat liputan langsung oleh TV Bernama dan akhirnya saya dengan penuh rendah diri dengan Nama Allah, memohon kepada DYMM Tuanku agar di bubarkan DUN Perak.

Sebaik-baik sahaja habis saya sebut perkara di atas, DYMM Tuanku telah mengangkat sedikit wajahnya dan melihat saya sambil bertitah, "Saya tidak akan bubarkan DUN dan MB kena letak jawatan".

Dengan spontan saya terus mengangkat sembah keampunan seraya berkata, "Ampun Tuanku, patik pohon sembah derhaka".

DYMM Tuanku bangun meninggalkan majlis dan seperti biasa, saya bersalam dengan Tuanku sambil mencium tangan Tuanku dan beredar bersama LA. ( Perbualan saya dengan LA selepas insiden ini akan saya lakarkan sedikit masa lagi).

Maka bermulalah suatu cetusan krisis perlembagaan (Constitutional Crisis) yang amat menyedihkan sehingga kini. Kesemuanya ini berlaku oleh kerana kebiadaban UMNO BN pimpinan Najib altantuya memperkakaskan SPR yang enggan mengisytiharkan PRK di DUN Behrang dan Cgkt Jering dan seterusnya rampasan kuasa ikut pintu belakang oleh Najib altantuya pimpinan UMNO BN. Ini tindakan tidak bermoral UMNO yang merampas hak rakyat.

Kini kenyataan-kenyatan dari pimpinan UMNO yang menyanggah dan mengecam hebat tindakan jahat Najib altantuya membuat rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak, seperti dari Tengku Razaleigh, Tun Dr Mahathir, Rais Yatim dan ramai pakar perlembagaan seperti Dr Abd Aziz Bari dari UIAM, menyatakan bahawa saya masih MB yang sah disegi undang-undang dan kes seperti ini pernah terjadi kepada Almarhum Sultan Idris pada tahun 1974, yang mana almarhum Sultan tidak boleh menyuruh atau memecat MB ketika itu Allahyarham Tan Seri Ghazali Jawi (bapa YB Tajol Rosli). Tuanku terpaksa bernazar untuk menyimpan misai dan janggut selagi MB ketika itu tidak mahu letak jawatan.

Akhirnya Perdana Menteri ketika itu Tun Hussein Onn terpaksa masuk campur dan mengarahkan MB letak jawatan. MB ikut perintah PM tetapi bersyarat. Lepas itu barulah Almarhum Tuanku Sultan mencukur janggut misainya di Pangkor. Cerita ini masyhur. Semua orang tahu bahawa Tuanku Sultan ketika itu juga akur kepada ketetapan di dalam Perlembagaan Perak. Krisis ini berpanjangan.

http://kamparinn.blogspot.com/

Nazri buta undang-undang, anggap tindakan Speaker komidi.

KUALA LUMPUR, 18 Feb.:- Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz, mengeluarkan ulasan awal mengenai penggantungan Zambry dan 6 Exco yang melakukan rampasan kuasa di Perak dengan berkata tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar, melarang yang terlibat daripada menghadiri sesi Dewan sebagai satu komedi.

Sebetulnya ulasan dari Nazri lah satu komedi dan menunjukkan kejahilannya mengenai peraturan dewan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Perak. Sambil menyifatkan perlakuan Speaker itu juga mempersendakan Dewan berkenaan, tetapi realitinya Nazri lah yang buta undang-undang dan mempersendakan peraturan dewan yang ada di Perak.

Nazri juga mempersendakan tindakan V.Sivakumar dengan berkata, "Speaker bertindak sendiri menjadi hakim dan juri sedangkan beliau tidak langsung mempunyai bidang kuasa itu" . satu kenyataan yang tidak bertanggung jawab dan tidak menghormati langsung undang-undang sesebuah negeri.

Pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini hari ini Nazri sepatutnya terlebih dulu merujuk dengan teliti asas dan peraturan yang ada sehingga Jawatankuasa hak dan kebebasan bertindak terhadap Zambry dan 6 Exco kudeta.

Kenyataan akhbarnya dengan menggunakan perkataan "komedi",dan "beliau langsung mempunyai bidang kuasa itu" adalah kalimat yang sengaja memperkecilkan tindakan yang dilakukan Speaker dan ahli jawatankuasa hak dan kebebasan yang sah menurut undang-undang.

SPRM diminta siasat Timbalan Speaker Dun, dua bekas exco Perak

IPOH, 18 Feb.:- Satu laporan dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta penyiasatan ke atas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dan dua bekas ahli exco kerajaan negeri kerana didakwa menerima imbuhan untuk keluar dari parti masing-masing sehingga menyebabkan kerajaan pakatan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat di Perak tumbang baru-baru ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat , Khalil Idham Lim Abdullah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Titi Serong, membuat laporan kepada SPRM berhubung perkara itu petang tadi bagi meminta SPRM menyiasat Timbalan Speaker, Hee Yit Fong daripada DAP dan dua bekas exco, Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jailu, kedua-dua daripada PKR didakwa menerima sejumlah wang supaya menyokong Barisan Nasional.

Khalil ditemani oleh Exco Kerajaan Negeri Perak pakatan Rakyat, Chen Fook Chye dan ADUN Pakatan Rakyat lain iaitu, Lim Phek Her (Menggelembu), Siva Subramaniam(Buntong) dan Khsvinder Singh (Malim Nawar). Hadir sama ialah Ketua Pemuda PAS Tambun Sdr. Azrul.




Drs. Khalil ditemani oleh Azrul, Yb.Khesvinder, Yb. Chen , dan Yb.Siva dan Yb. Lim(terlindung).

Beliau kelihatan sampai di perkarang pejabat SPRM di sini pada jam 3.00 petang dan telah memberi keterangan kepada pegawai SPRM sehingga jam 6.00 tadi.

Ketika menjawab soalan wartawan, Khalil menjelaskan keputusan melaporkan kepada SPRM adalah diambil dalam mesyuarat kelab penyokong Kerajaan negeri Perak yang dipengerusikannya.

"Apabila Osman, Jamaluddin dan Hee tidak terlibat dengan perlantikan jawatan penting dalam kerajaan rampasan kuasa, membuktikan dia bukan disogok dengan jawatan tetapi dengan sejumlah wang" Kata Khalil.

Zambry digantung 18 bulan ,Semua Exco Kudeta 12 bulan dari hadiri sidang DUN.

IPOH, 18 Feb.:- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar mengumumkan penggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, selama 18 bulan dan enam enam Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri selama 12 bulan daripada menghadiri sesi Dewan berkuatkuasa serta merta pada jam 7.00 tadi di sini.

Keputusan itu dibuat selepas Zambry dan Exco beliau tampil dihadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada jam 2.30 petang tadi.

Mereka sebelum ini diberi notis oleh Setiausaha Dewan, Hj. Abdullah Antong supaya membela diri berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh bahawa majlis angkat sumpah mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10,YAB. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.

Selain Sivakumar, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dianggotai Husin Din (Pas-Selingsing), Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai), Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (DAP-Kepayang) dan Sum Chok Leng (DAP-Bercham), manakala wakil tunggal Barisan Nasional (BN) ialah Datuk Hasbullah Osman (Temenggor).

Saman Nizar: Mahkamah tetapkan Isnin untuk sebutan

KUALA LUMPUR, 18 Feb. :— Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan Isnin ini bagi sebutan untuk mempertimbangkan tiga isu yang dibangkitkan pada hari pertama prosiding undang-undang yang difailkan oleh Menteri Besar Perak, YAB.Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang mencabar pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru..

Tiga isu itu ialah sama ada Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof patut menarik diri daripada mendengar saman itu, mengenai sama ada kes itu patut dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk penentuan daripada segi persoalan undang-undang dan mengenai kedudukan Penasihat Undang-undang Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid untuk mewakili Dr Zambry dalam saman itu.

Mohamad Ariff menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan See Mee Chun memaklumkan mahkamah yang beliau perlu mendapatkan arahan mengenai pendirian Pejabat Peguam Negara mengenai tiga isu itu.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan hari ini selepas Mohammad Nizar memfailkan saman itu Jumaat lepas.

Hadir di mahkamah ialah Mohammad Nizar, yang diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai Sulaiman Abdullah. Dr Zambry diwakili oleh Ahmad Kamal manakala See mewakili Pejabat Peguam Negara dan Datuk Mohd Hafarizam Harun adalah peguam pemerhati bagi Umno.

Mohammad Nizar memohon semakan kehakiman untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah dan bagi injunksi untuk menghalang Dr Zambry atau ejennya daripada menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Besar.

Kereta Timbalan Speaker masih dirumahnya.

Sehingga kelmarin saya mendapat maklumat dari jiran sebelah rumah ADUN Jelapang yang melompat ke BN , Hee Yit Fong yang rumah Hee masih kosong dan dia langsung tidak balik ke rumahnya. Dia melaporkan ada kelihatan seseorang membersihkan kereta dan bahagian hadapan rumah berkenaan.

Semua kereta rasmi Exco telahpun dikembalikan oleh semua Exco pakatan Rakyat dan diletak di dalam pagar kediaman rasmi Menteri Besar di sini. Langkah ini adalah sebagai menghormati surat rasmi yang dikirim oleh Setiausaha Kerajaan Negeri supaya rumah dan kereta rasmi itu dikembalikan sebelum 27 Februari.

Persoalannya kenapakah kereta rasmi Timbalan Speaker itu masih berada di rumah Hee Yit Fong yang beralamat di Jalan 19 Taman Ehsan Tasik. Siapakah yang akan menghantar kembali kereta itu ke Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Sampai bilakah kereta itu akan tersadai di situ sedangkan ianya adalah milik rakyat. Harapan kita urusan mengembalikan atau diambil oleh pihak yang menjaga kereta rasmi di pejabat SUK disegerakan bagi menyelamatkan kereta rakyat itu.

Laporan kepada SPRM jam 3.00 petang ini.

IPOH, 18 Feb.:- Satu laporan Rasuah terhadap ADUN Jelapang, Hee Yit Fong, ADUN Changkat Jering, Osman Jailu dan ADUN Behrang, Jamaluddin Md. Radzi akan dibuat di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Ipoh pada jam 3.00 petang ini.

laporan itu akan diketuai oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak pakatan Rakyat yang juga ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim bersama ADUN pakatan Rakyat yang lain.

dijangka hadir sama ialah para pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat yang lain.

Penasihat Agama MB Kudeta dah keluar nasihat !

IPOH, 18 Feb. :- Parti politik sepatutnya mengelak daripada menggunakan ayat al-Quran untuk kepentingan mereka termasuk ketika berceramah mengenai perubahan pentadbiran kerajaan negeri atau menjelang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Penasihat Hal Ehwal Agama Islam kepada Menteri Besar Kudeta , Datuk Najmuddin Elias Al-Hafiz, berkata penyokong parti politik juga tidak wajar melaungkan takbir sewenang-wenangnya kerana takbir dikhususkan sebagai tanda kebesaran Allah.

Itulah antara nasihat awal yang dikeluarkan Penasihat Agama MB Kudeta. Nasihatnya nampak macam mengampu untuk menjaga periuk nasi bukannya untuk jaga agama Islam yang Syumul.

Beliau berkata, ayat al-Quran atau takbir adalah kalimah tinggi dan patut digunakan secara berhati-hati.

"Ayat al-Quran atau takbir tidak wajar digunakan sebagai benteng politik untuk menyampaikan maksud bagi kepentingan parti."satu kenyataan yang seolah meneruskan fahaman sempit untuk memisahkan antara agama dan politik.

Penasihat agama itu juga melahirkan perasaan tidak senang dengan terdapat segelintir orang bukan Islam yang membaca ayat Al Quran dengan terjemahan dalam bahasa Melayu.

Sebetulnya perkara ini pernah di sebutkan oleh saya dalam sidang dewan suatu masa dulu. Kita hairan bila orang melayu dan UMNO tidak mahu guna hujah Al Quran, tetapi dengki dan sakit hati dengan kesanggupan orang bukan Islam yang menggunakan Al Quran.

Mereka tidak memutar belit kan Al Quran, sedangkan UMNO lah yang memutar belit Al Quran sehingga Islam pun dicabuli dengan rekaan Islam Versi baru iaitu"Islam Hadhari".

Zambry dan 6 Exco kudeta dipanggil Speaker hari ini.

IPOH, 18 Feb. :- Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan oleh Speaker DUN Perak, V. Sivakumar telah mengeluarkan surat rasmi melalui Setiausaha Dewan, Hj. Abdullah Antong supaya Menteri Besar dan 6 Exco kudeta Perak untuk dihadapkan di hadapan jawatankuasa tersebut petang ini jam 2.30 petang.

Kelmarin Zambry telah dipanggil bersama dengan 2 orang wartawan akhbar cina untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa yang sama.

Setelah dua proses pengadilan dilakukan oleh Jawatankuasa tersebut kita menjangkakan satu keputusan rasmi akan ditentukan oleh jawatankuasa bagi menentukan hukuman yang setimpal dengan salah laku dan kesalahan yang dilanggar oleh pihak terbabit sesuai dengan peraturan 72(3) Peraturan Dewan, dan pelanggaran Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak perkara 16(6) dalam hal berkaitan pelantikan Menteri Besar.

Pelanggaran kepada undang-undang yang sedia oleh pihak yang tidak sabar untuk mendapatkan kuasa jelas telah menimbulkan keadaan politik yang tidak menentu di Perak dan rasa tidak puas hati.

Dimanakah Raja Ahmad ?

Kemelut yang berlaku di Perak dengan rampasan kuasa mendapat ulasan dari banyak pihak dan kejayaan rampasan kuasa ini memberi harapan kepada pimpinan UMNO yang senior untuk mendapat tempat dalam beberapa pelantikan penting dalam kerajaan Perak kudeta.

Paling penting sesudah jawatan Menteri Besar terdapat lagi jawatan Exco dan satu kejutan bila Zambry mewujudkan jawatan yang menyalahi undang-undang Perak yang sedia ada dengan melantik 4 orang penasihat bertaraf exco.

Setakat ini kita menyaksikan ADUN Kubu Gajah, Raja Ahmad Zainuddin masih tidak terlibat dengan apa-apa jawatan penting adakah Exco dan penasihat yang saya maksudkan.

Kemelut yang berlaku di kawasannya sendiri masih belum berakhir. Pemilihan Ketua bahagian Larut masih belum selesai.

Komen dan ulasan mengenai isu yang sedang berlaku di Perak nampaknya tidak memaparkan komen dari Raja Ahmad, adakah disengajakan atau dia tidak berminat hendak beri komen.

Dari Ahli Parlimen dia di bawa balik bertanding ke DUN, dengar khabar dialah antara exco yang akan dilantik sekiranya BN menang. Namun impian tidak menjadi kenyataan !
.