13 February 2009

Kuasa Sulit Sultan?

Terima kasih kepada Prof.Aziz Bari yang pakar itu kerana Sultan mempunyai kuasa sulit. Dalam konteks politik di Perak, maka Sultan menggunakan kuasa sulitnya jadi ia tidak boleh dipertikaikan.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk mempertikaikannya, jauh dari memperkecilkannya. Kenyataan seperti ini tidak pernah didengar apatah lagi dihebohkan sedemikian rupa di media.

Selama ini sebagai rakyat marhaen, kita patuh dan taat kepada sistem undang-undang manusia yang mana Sultan adalah ketua pemimpin. Tetapi tidak terlintas Sultan mempunyai kuasa sulit sebegitu.

Dalam cerita melayu dulu-dulu, Sultan mempunyai kuasa sakti, ada berbagai-bagai bentuk samada melalui kerisnya atau melalui selimpangnya. Kuasa sakti itu pula diguna apabila berdepan dengan kesulitan.

Kesulitan atau kekacauan dapat diselesaikan apabila kuasa sulit itu digunakan. Dalam cerita moden orang putih dan Jepun umpamanya. Banyak hero-hero yang mempunyai kuasa sulit. Ia diguna dalam keadaan terdesak saja. Kuasa-kuasa sulit dapat dilihat sebagai api yang keluar dari tangan atau mulut untuk memhembus dan membakar musuh- Cerita Ultraman. Badan boleh bertukar menjadi sasa, gagah dan mempunyai kuasa yang luar biasa dari enjin-enjin ketika tersedar – Incredible Hulk.

Pada satu masa cerita-cerita ini sangat popular di Malaysia. Pernah juga ada kes budak mati terjatuh dari tingkat atas rumah flat kerana cuba terbang menggunakan sayap superman atau meniru gaya spiderman bergayut. Ini contoh yang klasik kuasa-kuasa sulit yang ada ada watak-watak manusia istimewa yang mempunyai kuasa sulit untuk menyelamatkan dirinya dan menyelamatkan manusia lain yang berada dalam keadaan sulit.

Berbalik kepada kuasa sulit sultan, sebagai marhaen kita tidak tahu setakat mana kuasa sulit sultan boleh berperanan untuk membantu rakyat jelata yang marhen. Kita tidak tahu adakah kuasa itu berada di atas undang-undang atau di atas perlembagaan British dulu. Hebat dan kuat macam mana kuasa sulit itu juga tidak tergambarkan.

Sebagai rakyat marhaen, ingin juga lihat supaya kuasa-kuasa sulit itu dikeluarkan sekali-sekala untuk ditunjuk kepada rakyat, paling tidak biar rakyat gerun pada sultan. Ia boleh menimbulkan rasa pada rakyat untuk terus takut, segan serta hormat pada sultan. Mungkin masa zaman penjajah kuasa itu belum ada, kalau tidak sudah tentu ia boleh diguna untuk mengusir penjajah.

Tetapi apa yang dibimbangkan ialah kuasa sulit sultan itu dapat dirasai oleh semua rakyat jelata. Lebih membimbangkan lagi apabila ada pihak yang merasa teraniaya kesan penggunaan kuasa sulit itu. Jika keadaan ini berlaku, adakah sultan-sultan boleh mengeluarkan kuasa sulit mereka untuk menentangnya apabila askar dan polis sudah tidak mampu lagi?.

Cuba lihat Pulau Batu Putih sudah hilang dari peta Malaysia, kenapa Sultan tidak menggunakan kuasa sulit menghalang Pulau Batu Putih dari menjadi milik Singapura?. Bahkan Singapura sendiri terlepas dari peta Malaysia itu pun tidak termampu ditahan oleh apa yang disebut sebagai kuasa sulit sultan.

Setakat ini sudah ada dua benda ajaib yang belum di ketahui oleh UNESCO untuk dijadikan bahan sejarah. Pertama ialah "kontrak sosial" dan kini ke dua ialah "kuasa sulit sultan". Pernah suatu ketika fasilitator BTN di tanya, di manakah dokumen kontrak sosial di simpan?. Fasilitator tersebut jawab ia disimpan dalam bilik kebal di Wisma Putra. Jawapan tersebut ditertawa oleh perserta BTN. Orang zaman sekarang sudah cerdik mereka tidak boleh lagi ditipu tanpa fakta dan bukti.

Kenapa ia disimpan begitu!. Keluarkan biar rakyat jelata tahu dan dapat kesan dari kedua-dua benda ajaib tersebut supaya masyarakat dapat dibentuk untuk hidup harmoni dan aman damai tanpa rasa prejudis antara satu sama lain.

Marhaen bimbang untuk jangkamasa panjang, dua benda ajaib itu tidak boleh diguna sepertimana kegagalannya untuk mempertahankan pulau Singapura dan pulau batu putih dari jatuh ke tangan Negara lain.



oleh : muramatsu,UK / http://www.tranungkite.net/v8/

Siapakah yang patut insaf , Nizar atau Zambry ?

Menteri Besar Perak kudeta, Zambry Abd. Kadir ketika diminta mengulas mengenai hasrat Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang mahu mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar tidak lama lagi. berkata ''Saya bersyukur kerana beliau telah sedar dan insaf. Saya mengalu-alukan tindakannya itu''.

Siapakah yang sepatutnya sedar dan insaf dalam perkara ini. Zamry yang memecah tradisi sebagai seorang yang berketurunan India yang pertama menjadi Menteri Besar di Perak. Sebetulnya dialah yang kena sedar dan Insaf kerana dengan cara kudeta dan rampasan kuasa paling kotor dalam sejarah politik Malaysia baru boleh dia menjadi Menteri Besar Perak.

Saya buka bermaksud untuk mengatakan orang berketurunan India tidak boleh menjadi MB Perak. Adakah sudah tidak ada Melayu yang layak dipilih sebagai MB Kudeta.Saya kasihan kepada Dato' Ramly Zahari yang tidak dipilih sedangkan dialah Exco paling kanan di Zaman Tajol Rosli. Sudah 4 penggal dia jadi Exco.

Dalam masa yang sama siapapun dia adakah Melayu, Cina, Asli dan apalagi berketurunan India, pasti rasa malu dengan tindakan rampasan kuasa yang beliau lakukan di Perak.

Bila bertanya orang Pulau Pangkor , semua akan mengakui dia bukannya seorang Melayu.

"Ayahnya dipanggil dengan nama "Kadir maknondi" di Pulau Pangkor. sah dia bukan Melayu ". kata seorang kawan yang baru saya hubungi tadi.

Biarlah kita letakkan persoalan bangsa ketepi dan jauh-jauh. siapapun dia tidak akan dapat menerima kenyataan dengan tindakan Najib dan Zambry yang menafikan hak rakyat Perak dengan merampas hak yang telah ditentukan dalam PR ke 12 yang lepas.

Pemuda Umno ketika berlaku krisis antara Tan Sri Ghazali Jawi dengan Sultan Idris pada tahun 1974 telah memberi pandangan; “Sultan Perak mempunyai hak melantik dan berkenan seseorang memegang jawatan Menteri Besar, tetapi setelah dilantik dan diperkenankan, Sultan tidak ada hak mengikut Perlembagaan Negeri untuk memecat atau memerintahkan supaya meletakkan jawatan. Hak untuk memecat atau memerintahkan seseorang berhenti dari Menteri Besar, ialah Presiden UMNO.”

Zambrylah yang sepatutnya malu, sedar dan insaf , ambilah cermin tiliklah muka kamu, tanyalah diri sendiri, layakkah aku jadi MB Perak ?

Hampir RM 1 Juta setahun 'biayai' tiga penasihat Perak

KUALA LUMPUR, 13 Feb : - "Jumlah tersebut termasuk gaji bulanan RM15,000, elaun percutian (RM20,000), sebuah kereta berserta pemandu, elaun bayaran bil bulanan (RM1,000), elaun pakaian bulanan (RM3,500) dan lesen untuk memiliki senjata api."

"Bagi jumlah keseluruhannya, kerajaan negeri akan berbelanja sebanyak RM720,000 setiap tahun untuk membayar gaji dan elaun tiga penasihat tersebut."

Demikian dinyatakan Exco Kerajaan Negeri Perak , Nga Kor Ming yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Perak, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir yang dituduh menyalah guna kuasanya dengan melantik tiga orang penasihat yang bertaraf exco.

Menurut Nga setiap penasihat tersebut akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM240,000setahun.

"Tidak terdapat sebarang peruntukan dalam perlembagaan negeri Perak yang membenarkan pelantikan seumpama itu dibuat dan ia adalah wang rakyat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut semalam. Beliau diiringi oleh ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim masuk ke Pejabat SPRM.

Turut hadir ialah Pengerusi DAP Perak yangh juga Exco Kanan Kerajaan Negeri, Dato' Ngeh Koo Ham , ADUN Pakatan Rakyat dan para penyokong parti tersebut.

Semalam, Dr Zambry melantik tiga orang penasihat dan seorang ketua penerangan kerajaan negeri. Keempat-empat mereka akan mendapat imbuhan sama seperti ahli exco kerajaan negeri yang lain.

Mereka terdiri daripada Dato' Mohd Najumuddin Elias yang dilantik sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama Islam; Dato' Chang Ko Youn (Penasihat Hal Ehwal Kaum Cina), dan Dato' S Veerasingam (Penasihat Hal Ehwal Kaum India) manakala Dato'Hamdi Abu Bakar dilantik Ketua Penerangan Kerajaan Negeri.-

Penduduk mahu DUN Perak bubar, Merdeka Center.

KUALA LUMPUR, 13 Feb : - Kini tampil pula kajian pendapat umum kendalian Merdeka Center selepas kajian dibuat Penganalis Politik dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, berhubung kemelut yang berlaku di Perak dan memperolehi keputusan yang sama - majoriti penduduk Perak mahu DUN dibubarkan.

Dua pertiga pengundi Perak mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya tergempar diadakan di negeri itu ekoran krisis politik sejak penghujung bulan lalu.

Kajian pendapat umum kendalian Merdeka Center, yang dikeluarkan hari ini, menunjukkan hampir 74 peratus mahukan DUN dibubarkan manakala 76 peratus pengundi juga ingin melihat "pilihan raya menerusi rakyat" diadakan untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

Hanya 21 peratus responden mengatakan bahawa pihak istana mempunyai "hak" untuk menentukan kerajaan bagi rakyat jelata.

"Malah, 62 peratus lagi responden merasakan bahawa peranan istana dalam kes ini (perubahan kerajaan) tidak mencerminkan kehendak rakyat negeri Perak," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Merdeka Center.

Hanya 29 peratus yang mengatakan peranan istana menggambarkan kehendak rakyat.

Pendapat umum itu dikendalikan oleh firma tersebut antara 6 dan 8 Februari lalu untuk mengukur percepsi pandangan orang ramai berhubung perkembangan politik di Perak dan seramai 507 pengundi berdaftar di Perak dipilih untuk mengambil bahagian dalam kajian tersebut.

Mengenai penyelesaikan kepada krisis politik ini, seramai 33 peratus responden mahu pilihan raya yang baru dilangsungkan, 35 peratus lagi mengatakan pilihan raya kecil wajar diadakan di kawasan yang Adunnya keluar parti manakala 28 peratus mahu kerajaan baru dibenarkan terus memimpin negeri itu. Harakahdaily.

Ir. Nizar, Kami kerajaan buangan.

IPOH, 12 Feb,:-Kita akan failkan kes memohon dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 11.30 pagi esok untuk isytiharkan Kerajaan Haram tidak sah dan Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang sah dan saya mohon bagi sokongan dan tidak buat apa-apa provokasi. Demikian antara kenyataan akhbar YAB Menteri Besar Perak, DS. Muhammad Nizar Jamaluddin di Kediaman Menteri Besar di sini sebentar tadi.

"Kita juga secara prinsip kenderaan yang digunakan akan diserahkan dan diletakkan di kediaman Menteri Besar sebagai menghormati undang-undang yang ada. Tidak ada apa-apa elemen, tidak menjejaskan kepada apa-apa kes kami yang dibuat sebelum dari ini, kerana itu kenderaan diserahkan di sini sehingga keputusan dari mahkamah diputuskan' Katanya..

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Pakatan Rakyat yang lain.

Beliau juga memaklumkan akan menyerahkan kediaman Menteri Besar dalam masa terdekat, secara rasmi akan keluar dengan terhormat, dan menyewa tempat dekat dengan anak-anak yang bersekolah. Keputusan ini juga tidak memudaratkan proses mahkamah kami.

"Pakatan Rakyat akan hadir dalam Majlis Jubli Perak pada 14 Februari ini, bersama dengan pimpinan dan seluruh Sultan, pembesar negara termasuk Sultan Brunei." Umum beliau.

Menganai kenapakah difailkan kes di Mahkamah Kuala Lumput, Ir. Nizar mengatakan "kami merasakan oleh beberapa hal yang perlu diambil kira, kita dinasihatkan oleh peguam kita "

Sebahagian wartawan yang hadir.


Menteri Besar juga menjelaskan kenderaan diletakkan di sini sehingga selesai kes mahkamah dan akan gunakan kenderaan peribadi .

Mengenai tempat mesyuarat dan pertemuan lain beliau menyatakan akan diadakan tempat lain yang difikirkan sesuai, Dia mengistilahkan Kerajaan pakatan Rakyat sebagai "kerajaan buangan".

Bila menjawab berkenaan dengan perhimpunan di Kuala Kangsar,Ir. Nizar itu menegaskan Pakatan Rakyat tidak terlibat dengan apa-apa perhimpunan sedemikian rupa dan beliau menafikan PR terlibat dalam menghimpunkan rakyat untuk perhimpunan itu.

Menjawab soalan berkaitan kes di mahkamah, Dato' Ngeh Koo Ham berkata akan dibuat esok pada jam 11.30 di Mahkamah Tinggi Jalan Duta dengan satu team peguam seramai 12peguam yang telah dipanelkan.

Ditanya mengenai perasaan bila ingin keluar dari Kediaman Rasmi, katanya " perasaan saya nak keluar seperti berhijrah sebentar dan balik semula ke Markah ".

Ir. Nizar juga menyatakan keyakinannya akan kembali ke kediaman rasmi .

Mengulas Isu pelantikan 4 orang setaraf exco beliau mengatakan ia diputuskan sebelum sebelum exco mesyuarat dan wang rakyat telah dibazirkan dengan pelantikan itu..

Menteri Besar Pakatan Rakyat itu ketika diminta mengulas mengenai calon Bukit Gantang beliau menjawab " belum lagi, terlalu awal ".

Banner menarik di Changkat Jering.

CHANGKAT JERING, 12 Feb.:- Setelah beberapa hari Osman Jailu mengumumkan keluar dari Pakatan Rakyat dan menyokong BN dengan mengatakan dia Bebas, banner-banner seperti di bawah mula diletakkan di banyak tempat di Changkat Jering.

Pagi tadi semasa saya meninjau kawasan berkenaan sempat saya rakam kan banner istemewa itu untuk tatapan pengunjung blog cina islam.




Sidang akhbar jam 3.00 petang ini di Kediaman MB

Satu sidang akhbar akan di adakan bertempat di kediaman Menteri besar perak pada jam 3.00 petang ini. Pihak Media telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Salah guna kuasa Zambry, dilapor ke SPRM .

IPOH, 12 Feb.:- Satu laporan salah guna kuasa oleh Menteri Besar Kudeta Perak, Zambry Abdul Kadir telah dilakukan oleh Pimpinan Parti Pakatan Rakyat di Pejabat Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 11.05 minit pagi tadi .

Pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir ialah Exco Kerajaan Negeri, Dato' Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming, ADUN yang hadir pula ialah, Khalil Idham Lim (Titi Serong), Chang Lih kang(Teja), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Loke Chee Yan (Kepayang), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi),dan Siva Subramaniam (Buntong). Hadir sama ialah Ketua Pemuda PAS Perak, Ust. Norazli Musa, Ketua Wanita PKR Perak, Pn Fatmawati dan penyokong PR yang lain.

Kehadiran rombongan dinanti oleh sekitar 30 orang wartawan dan berbagai akhbar.

Dalam kenyataan bertulis yang diedarkan dan sidang akhbar yang di sampaikan di perkarangan pejabat SPRM Nga Kor Ming menyatakan tujuan laporan dibuat ialah kerana salah guna kuasa Zambry melantik 4 orang bertaraf exco yang akan melibatkan perbelanjaan sekitar RM 250,000 . Jumlah untuk setahun ialah RM 1 Juta.

Perlantikan itu menurutnya menyalahi Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan masih belum diluluskan dam Mesyuarat MMK. Selain itu juga belum mendapat perkenan DYMM sultan Perak.

"Pada hari pertama beliau masuk pejabat beliau mengumumkan dasar untuk membantu rakyat, tetapi jelas apa yang beliau umumkan adalah untuk kepentingan kroni dan salah guna kuasa " Kata Yb. Nga.

Kelmarin Zambry mengumumkan pelantikan tiga Penasihat Menteri Besar dan Ketua Penerangan kerajaan negeri yang dilantik berkuat kuasa serta merta.

Nga Kor Ming ditemani oleh Khalil Idham Lim membuat laporan kepada dua orang pegawai SPRM yang memperkenalkan diri sebagai Firdaus dan Yap.

Selamat datang ke Bukit Gantang.

Pagi tadi saya sempat membuat tinjauan sebentar ke Parlimen Bukit Gantang dalam perjalanan ke Ipoh. Suasana untuk menghadapi pilihanraya masih tidak hangat . Maksud saya bendera hanya sedikit-sedikit sahaja yang dinaikkan oleh kedua belah pihak.

Yang hangat diperkatakan oleh kedua-dua pihak ialah soal siapakah calon yang hendak dipertandingkan. Masing-masing sibuk bermesyuarat mencari ayam tambatan bagi memenangkan parti masing-masing.

Sepatutnya jentera parti jangan hanya sibuk bincang siapakah calon. Hangatkan sedikit suasana awal ini dengan bendera-bendera walaupun ianya adalah bekas pakai di PR yang lepas.

Terutamanya PAS yang akan mempertahankan kerusi ini, tidak sepatutnya bendera PAS belum dinaikan lagi. Ayuh gerak kan jentera untuk memasangnya secepat mungkin. Bukan esok atau lusa maksud saya sekarang !

Tempat-tempat strategik mesti ditawan lebih awal, jangan marah kepada lawan kita kalau dia sudah meletakkan benderanya lebih awal.

Menaikan bendera lebih awal juga bermaksud kita bersedih dengan perginya Ahli Parlimen, Hj. Roslan.