03 February 2009

PAS sokong kosongkan kerusi Behrang dan Changkat Jering

IPOH, 3 Feb :- PAS menyokong apa jua keputusan yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat termasuk mengosongkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Behrang dan Changkat Jering berikutan tindakan kedua-dua ADUN yang dikatakan melompat parti.

Perkara ini ditegaskan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa pada sidang media khas jam 12.00 tengah malam, yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, sejurus selesai Mesyuarat Bersama Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Pusat bersama Dewan Harian PAS Perak, dekat sini, tengah malam tadi.

Kata beliau, PAS juga menyokong penuh tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar yang menyerahkan surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN berkenaan, Jamaluddin Mohd Radzi dan Osman Jailu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi 2 Februari lalu.

Nasharuddin menjelaskan, mesyuarat bersama itu hanya membincangkan senario terkini berkaitan kedua ADUN KeADILan yang melompat parti dan pengosongan kerusi Behrang dan Changkat Jering.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin pada sidang media itu memberitahu, beliau telah memanggil semua ADUN Pakatan Rakyat di negeri itu dan menjelaskan senario politik terkini.

Tegasnya, Kerajaan Negeri Perak masih stabil dan berjalan seperti biasa. Sehingga kini, katanya, Pakatan Rakyat memiliki 30 kerusi dan ia makin stabil berikutan sokongan dan simpati rakyat tidak berbelah-bahagi atas musibah yang terjadi.

Kata Nizar, Umno telah mengambil kesempatan atas sejarah hitam "pertuduhan rasuah" kedua-dua ADUN berkenaan sebelum ini dan percubaan sekali lagi oleh Umno itu terbukti gagal.

Ditanya adakah kedua-dua ADUN tersebut akan mengambil perintah injuksi mahkamah, beliau berkata, kemungkinan besar mereka akan berbuat demikian secepat mungkin.

Antara pemimpin utama PAS yang turut hadir pada sidang media itu termasuklah Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali; Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar dan Ahli Jawatan Kuasa Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Pusat, Khalid Abdul Samad.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, berikutan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kini berada di Palestin.Harakahdaily.

Perak: SPR sudah dimaklum kekosongan, wajar panggil pilihan raya kecil

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja menerima notis pengesahan kekosongan mana-mana kerusi termasuk di Perak, yang kini "menuju kontroversi perundangan".

Sama ada seseorang wakil rakyat itu mahu mengambil tindakan mahkamah kononnya pihak tertentu atau parti mereka menggunakan surat letak jawatan yang telah ditandatangani terlebih awal, sebelum kekosongan diumumkan, merupakan satu soal berlainan.


SPR DIMAKLUM

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf ketika dihubungi mengesahkan beliau sudah dimaklumkan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak, Ahmad Adli Abdullah bahawa telah menerima notis kekosongan daripada Speaker.

Malah, kata beliau, Pejabat Pilihan Raya Perak juga ada menerima surat daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri yang dikatakan telah mengosongkan kerusi masing-masing.

Pengarah Pilihan Raya Perak, Ahmad Adli Abdullah ketika dihubungi sebentar tadi juga mengesahkan ada menerima notis kekosongan dan salinan surat daripada kedua-dua ADUN berkenaan.

Bagaimanapun Abdul Aziz tidak menyatakan kandungan surat kedua-dua ADUN berkenaan.

"Esok kami akan mengadakan mesyuarat dan melihat kandungan surat itu," kata beliau kepada mStar Online kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi.

Hari ini adalah cuti di Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persektuuan. Speaker Dewan Undangan Negeri memaklumkan Pejabat Pilihan Raya Negeri pukul 8 pagi tadi.

WAJAR PILIHAN RAYA DIADAKAN

Dalam pada itu, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika dihubungi mStar Online memberitahu, mengikut perundangan pilihan raya, sebaik sahaja notis kekosongan diterima daripada Speaker, pilihan raya kecil wajar diadakan.

Mengikut skop perundangan, kata beliau, SPR perlu menerima langkah Speaker mengumumkan kekosongan yang tidak boleh dicabar atau diketepikan.

"Mengikut undang-undang (Perlembagaan negeri dan persekutuan), SPR perlu menghormati notis pengesahan kekosongan dan mengadakan pilihan raya kecil dengan sewajarnya (dalam 60 hari)," kata beliau yang juga bekas Setiausaha SPR.

Beliau bersara 30 Disember lalu.

Sama ada penyandang kerusi terbabit mahu mencabar keputusan Speaker ataupun sebaliknya, ia merupakan perkara lain, kata beliau lagi.

KES RUJUKAN

Senario politik negara ini pernah menyaksikan kes penggunaan surat makluman letak jawatan tanpa tarikh pada 1993 - melibatkan ADUN PAS menyertai Barisan Nasional.

Ia membabitkan wakil rakyat Nordin Salleh dan beberapa yang lain menyertai BN pada 1990 dan mahkamah mengisytiharkan surat berkenaan tidak sah.

"Kita pernah ada kes seperti ini sebelum ini, ada kes rujukan," kata Abdul Rashid.

Beliau mengulas polemik ekoran pendirian dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi menafikan mereka meletakkan jawatan dan menyifatkan pengumuman Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar lewat petang semalam mengenainya sebagai satu "pembohongan".

Kedua-dua ADUN tersebut berkata mereka akan menghubungi peguam mereka untuk tindakan selanjutnya.

"Ini satu pembohongan dan kami akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," kata ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi.

Sivakumar telah memaklumkan tentang kekosongan yang wujud kepada Pejabat Pilihan Raya Perak pagi tadi.

ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu turut menafikan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagaimana didakwa oleh Sivakumar.

"Sehingga kini kami masih ADUN PKR dan belum pernah mengisytiharkan untuk keluar daripada parti, (menjadi) calon bebas pun tidak, atau mengumumkan menyertai Umno," kata Jamaluddin dalam reaksinya terhadap kenyataan Sivakumar bahawa mereka menyerahkan meletakkan jawatan kepadanya hari ini setelah dikatakan menghilangkan diri sejak beberapa hari lepas.

Jamaluddin dan Osman berkata surat peletakan jawatan yang dimaksudkan Sivakumar ialah surat yang ditandatangani tujuh Adun PKR pada 8 Mac tahun lepas kerana Pakatan Rakyat bimbang mereka berdua akan menyertai Barisan Nasional (BN).mstar.

Speaker Perak umum kekosongan tidak boleh dicabar

Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar berhubung kekosongan dua kerusi - Changkat Jering dan Behrang - yang akan membuka laluan untuk pilihan raya kecil - adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.

Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tindakan ADUN terbabit, Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi selama lima hari dengan sendirinya telah memaksa Speaker untuk membuat keputusan itu.

Kata beliau, surat peletakan jawatan tersebut sah walaupun tidak bertarikh semasa ditandatangani memandangkan kedua-dua mereka mengetahui kandungan dan kesan yang akan mereka hadapi jika menandatangani surat itu.

"Mereka sedar dan tahu isi kandungan tersebut.

"Mereka juga bukan diacukan pistol ke kepala mereka untuk dipaksa menandatangani surat tersebut," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah dimaklumkan tentang kekosongan kedua-dua kerusi itu oleh Speaker DUN pukul 8 pagi tadi.

"Ke mana mereka selama lima hari ini? Jika benar mereka telah menyertai Umno sekali pun, maklumkan kepada kerajaan negeri.

"Mengapa setelah Speaker umumkan akan hantar surat kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), baru mereka nak melatah," kata beliau ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Jamaluddin semalam yang mahu mencabar Speaker kerana mengumumkan kekosongan yang wujud berdasarkan surat peletakan jawatan yang diterima daripada dua ADUN terbabit di Ipoh pukul 5.45 petang semalam.

Jamaluddin berkata, peletakan jawatan tersebut merupakan satu pembohongan kerana surat letak jawatan yang dimaksudkan Sivakumar itu sebenarnya telah ditandatangani oleh tujuh ADUN PKR termasuk beliau dan Mohd Osman pada 8 Mac lalu kerana kerajaan negeri bimbang mereka akan menyertai BN.

Katanya, surat itu telah diguna pakai untuk mengumumkan kononnya mereka telah meletak jawatan.

Jamaluddin dan Mohd Osman sebelum itu dilaporkan telah hilang dan tidak dapat dihubungi dalam tempoh lima hari minggu lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, tindakan mereka menghilangkan diri itu dengan sendirinya telah menyebabkan hujah-hujah termasuk dakwaan bahawa peletakan jawatan tersebut adalah satu pembohongan dengan sendirinya tidak boleh lagi diguna pakai.

"Ini bukan zaman darurat sehingga menghilangkan diri dan tidak boleh dihubungi.

"Pada saya, hujah-hujah mereka sudah terlambat... lainlah jika mereka tidak menghilangkan diri, mungkin apa yang dipertahankan mereka boleh diambil kira," katanya.mstar.

SPR mesyuarat esok, Pakatan buat siapan pilihan raya kecil

Kerajaan Pakatan Rakyat dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak sudah memulakan persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil membabitkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika kemelut "kesahihan" kekosongannya masih menjadi teka-teki.

Esok, menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusuf, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti perkembangan tersebut - setelah menerima notis kekosongan dan surat, dipercayai mempersoalkan kesahihan notis kekosongan, daripada kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang dan Changkat Jering pagi tadi.

"Saya dimaklumkan Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak bahawa Speaker sudah memaklumkan kekosongan kerusi dan pada masa yang sama, ada menerima surat daripada kedua-dua ADUN.

"Hari ini cuti (bagi Wilayah Persekutuan), jadi kami adakan mesyuarat dalaman esok, sebelah pagi antara 10 dan 11 pagi, dan kami akan teliti kandungan surat itu," kata beliau ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Beberapa pakar perundangan dan penganalisis pula mempersoalkan kesahihan surat letak jawatan yang tidak bertarikh, yang digunakan oleh Speaker DUN Perak untuk mengumumkan kekosongan yang wujud.

Mereka merujuk kepada kes tahun 1982 dan 1993.

Pagi tadi, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika dihubungi memberitahu, suruhanjaya itu perlu menghormati notis kekosongan kerusi dengan memanggil pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

Bagaimanapun katanya, soal kesahihan surat seumpama itu dan sama ada kemungkinan kedua-dua ADUN terbabit boleh mengambil tindakan undang-undang atau mencabar merupakan soal yang berbeza.

PKR, PAKATAN BERSEDIA

Dalam pada itu, Pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman, Badan Perhubungan PKR negeri telah mengadakan mesyuarat petang tadi dan menganggap kedua-dua ADUN, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) bukan lagi wakil rakyat PKR dan komited dengan keputusan yang dibuat oleh Speaker DUN Perak, V. Sivakumar yang mengumumkan kerusi tersebut kini kosong.

"Mereka bukan lagi ADUN PKR. Speaker Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAS telah pun menyerahkan surat secara rasmi memaklumkan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak mengenai kekosongan kerusi tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan memdedahkan perkara-perkara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menerima kunjungan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediamannya di Ipoh dan agenda utama perbincangan adalah pilihan raya kecil bagi dua kerusi yang disandang oleh wakil daripada PKR.

Menurut sumber kerajaan negeri, Anwar dan Nizar mengadakan perbincangan itu selepas jamuan tengah hari.

"Kami percaya selain membincangkan perkembangan semasa, kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil bagi mempertahan kerusi berkenaan," katanya.

Semalam, Sivakumar dalam satu kenyataan media mengumumkan Jamaluddin dan Mohd. Osman telah mengemukakan surat peletakan jawatan mereka sebagai ADUN pukul 5.45 petang.

Beliau telah pun menyerahkan surat secara rasmi memaklumkan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak mengenai kekosongan kerusi bagi dua DUN tersebut pagi tadi.

Bagaimanapun, hari ini kedua-dua wakil rakyat dari PKR yang tidak dapat dikesan sejak 26 Januari lalu menafikan dakwaan tersebut melalui wakil masing-masing bahawa mereka telah meletakkan jawatan sebagai ADUN.

Mereka mendakwa surat yang dimaksudkan oleh Sivakumar adalah surat yang ditandatangani oleh mereka pada 8 Mac lalu selepas pilihan raya umum ke-12.

PENDIRIAN JAMALUDDIN

Jamaluddin ketika dihubungi mStar Online lewat petang tadi memberitahu, beliau menerima keputusan SPR jika mahu mengadakan pilihan raya kecil.

"Kita terima sahaja keputusan SPR jika itu yang dibuat mengikut undang-undang.

"Bagaimanapun saya masih mengadakan perbincangan dengan peguam mengenai tindakan susulan yang mahu diambil," katanya.

Sambil mengesahkan bahawa masih berada di Pahang untuk mengikuti rawatan tradisional bagi mengubati sakit pinggang, Jamaluddin berkata, beliau tidak pernah menyerahkan surat letak jawatan kepada Speaker.

Ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan perundangan jika SPR memanggil pilihan raya beliau memberitahu: "Saya akan berbincang dengan peguam dulu."

Jamaluddin memberitahu, surat letak jawatan yang tidak bertarikh itu telah disimpan kepada Setiausaha PKR Perak pada Mac lalu dan kemudian ia diserahkan kepada pemangku pengerusi PKR negeri.

Surat itu antara lain menyebut mengenai keputusan untuk mengosongkan kerusi yang dipegang dan ditandatangani secara berasingan oleh tujuh ADUN PKR.

Jamaluddin juga mengakui bahawa beliau ada mengemukakan salinan surat yang mempertikaikan keputusan Speaker DUN kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri, Ahmad Adil Abdullah pagi ini.

SURAT LETAK JAWATAN

Mengulas lanjut, Osman berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai surat itu kerana beliau baru sahaja mengambil alih jawatan Pengerusi PKR Negeri Disember lalu.

Katanya, beliau tidak dimaklumkan mengenai surat tersebut sebelum ia dihantar kepada Speaker.

"Saya memang tidak tahu mengenainya. Surat itu dihantar terus kepada Speaker," kata beliau yang turut mendakwa tidak mengetahui penghantar surat terbabit.

Ditanya berhubung kenyataan Jamaluddin dan Mohd. Ismail bahawa mereka masih lagi ADUN, Osman berkata, perkara itu sememangnya menimbulkan dilema.

"Hal itu hanya dapat diselesaikan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Hanya mereka yang boleh memutuskan status kerusi dan ADUN tersebut," katanya.

Bagaimanapun katanya, Jamaluddin dan Mohd Ismail masih lagi ahli PKR kerana mereka tidak menghantar sebarang surat untuk keluar parti.

Keadaan yang tidak menentu mengenai kedudukan keduadua ADUN ini telah menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai mengenai kedudukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mempunyai 32 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) yang menyandang 27 kerusi.

Daripada 32 kerusi itu, DAP mempunyai kerusi terbesar sebanyak 18 kerusi, PKR lapan dan PAS enam.

BN menang 28 kerusi tetapi ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai PKR minggu lepas.

Pada pilihan raya lepas, Jamaluddin menerima 6,771 undi untuk menewaskan calon BN Datuk M. Ramasamy yang mendapat 5,744.

Mohd Osman pula menang dengan majoriti 1,102 undi bagi merampas kerusi DUN Changkat Jering. Beliau memperolehi 9,411 mengalahkan penyandang dari BN yang juga Speaker DUN Perak sebelum itu Datuk Mat Isa Ismail yang memperoleh 8,309 undi.

MEDIA MENANTI MB

Setiausaha Politik Menteri Besar Misbahul Munir Masduki sementara itu ketika dihubungi berkata, Mohammad Nizar tidak akan membuat sebarang kenyataan kepada media pada hari ini kerana sibuk dengan persiapan menyambut perayaan Jubli Perak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah esok.

Beliau berkata, pada petang ini Menteri Besar akan menghadiri majlis kesyukuran bacaan Yassin dan tahlil di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.

Esok pula akan berlangsung istiadat mempersembah ucapan dan taat setia dan istiadat pengurniaan khas Darjah Dato' Seri Azlanii (D.S.A.) kepada 25 penerima yang akan diadakan di Istana Iskandariah dan sebelah petangnya, majlis pelancaran setem memperingati Jubli Perak dan pameran setem akan diadakan di Dewan Bandaran, Ipoh.

Menurut Misbahul, media mungkin berpeluang mendapat kenyataan daripada Menteri Besar selepas tamat majlismajlis berkenaan.mstar

Kenyatan Terkini : Kerajaan Perak makin kukuh .

Apabila DYMM Tuanku Sultan Perak memperkenankan YAB Menteri Besar Perak, Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin untuk mengadap sekitar jam 10 pagi tadi sesungguhnya situasi ini menggambarkan kepada pengamal undang-undang yang sedia ada di negara dan negeri ini pasti akan merujuk kepada DYMM Sultan Perak adalah bekas Ketua Hakim Negara.

Setiap dokumen yang dikemukakan kepada DYMM Tuanku dalam hal yang berkaitan dengan peletakan jawatan ADUN Behrang dan Changkat Jering adalah sesuatu yang pasti tidak boleh melanggar konvensyen dan amalan undang-undang yang sedia ada kerana Baginda sangat arif atas sifatnya sebagai bekas seorang Hakim Negara..

"Patik sebagai rakyat yang berada di bawah payung Kerajaan DYMM Tuanku tersangat yakin dengan kearifan DYMM Tuan Sultan dalam masalah ini."

Kerana itu setelah YAB Menteri besar Perak mengemukakan dokumen dan memberi penjelasan yang dikehendaki oleh DYMM Tuanku pagi tadi dan semuanya diperkenan oleh Tuanku bererti Kerajaan Pakatan Rakyat adalah terbukti kukuh malah lebih kukuh setelah timbul isu yang hangat diperkatan ini.

Kenyataan Pengerusi BBC Perak.
Jam 5.18 petang/2 Feb 2009.

Kenyataan BBC Perak.

Bagi meredakan dan menafikan tohmahan yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab termasuk media massa yang cuba mengambarkan kepada rakyat bahawa Kerajaan negeri Perak berada dalam keadaan yang dipetik mengatakan, rapu, dihujung tanduk dan sebagainya, maka saya selaku Pengerusi kelab penyokong Kerajaan mengeluarkan kenyataan ringkas ini.

Dalam keadaan semua pihak bersiap untuk menyambut Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah, saya menyesali segala tohmahan kepada kerajaan yang dipayungi oleh Baginda.

Kenyataan ini adalah rentetan dari pertemuan ahli BBC di Pejaba BBC pagi ini.

1. Kami dengan ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa Kerajaan Negeri Perak pada waktu ini dalam keadaan yang disifatkan itu. Malah kami ingin tegaskan bahawa Kerajaan Perak masih lagi utuh, kuat dan segala urusan berkaitan pentadbiran berjalan seperti biasa.

Ini dibuktikan dengan kehadiran seluruh pegawai kerajaan dari seluruh pelusuk negeri dalam majlis perhimpunan Bulan Excutive Talk pagi tadi.

2. BBC dengan ini meyatakan sikap berdiri teguh dibelakang YAB Menteri Besar Perak dan Kerajaan Negeri bagi meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang.

3. BBC juga mengambil sikap untuk bersedia dari sekarang untuk menghadapi Pilihanraya kecil Changkat Jering dan Behrang.

4. Sehubungan dengan itu kami menyeru kepada seluruh rakyat dan penyokong Pakatan Rakyat untuk bersedia mengerakkan jentera PR masing-masing bagi memastikan kemenangan kepada calon Pakatan Rakyat dalam PR kecil tersebut.

Drs. Khalil Idham Lim
Pengerusi kelab penyokong Kerajaan Perak
IPOH,
Pada ; 2 Feb 2009.

MB : Hari ini kita sibuk dengan perjanjian.

IPOH, 2 Feb :-Saya mengajak semua kakitangan kerajaan untuk mendengar dan memanfaatkan tazkirah dari penceramah jemputan, Dato’ Dr. Harun Din Al Hafiz yang pernah digam dan dipadamkan walaupun pernah didengar tiap-tiap minggu. Hari ini kita bersyukur beliau masih berkemampuan. Demikian antara ucapan aluan YAB Menteri Besar Perak, Ir.Muhammad Nizar Jamaluddin dalam Majlis Perhimpunan dan Executive Talk di Dewan Banquet di sini pagi ini.

“Mudah-mudahan ceramah dan amanah dapat dijiwai dan dibawa ke pelusuk kampung dan pejabat masing, dan mudah-mudahan kita seiring dengan makhluk Allah yang lain yang tidak ingkari perintah Allah.

“Hari ini sibuk dengan perjanjian, tidak apa kita cerita lain”. Jelas Ir. Nizar sambil lebih jauh dari itu beliau mengajak melihat perjanjian dengan Allah s.w.t.

Dalam ucapan Dr. Harun Din beliau mengatakan bahawa mati sebenarnya adalah permulaan kepada suatu kehidupan yang lebih abadi.

Hadir sama dalam perhimpunan bulanan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr. Abdul Rahman Hashim , Pegawai Kewangan Negeri, Jamaluddin Amini, Exco Kerajaan Negeri, Ngeh Kor Ham, Chen Fok Chen dan Hj. Zainuddin Yusuf, ADUN serta pegawai Kerajaan yang lain.

Acara dimulai dengan upacara menaikkan bendera dan menyanyikan lagu Negaraku, diikuti dengan lafaz ikrar penjawat awam yang di ketuai oleh Pengurus Besar Perbadanan Pertanian Perak, Hj. Mohd Hatta Yazid.

MB Mengadap DYMM Sultan, Speaker telah maklum kepada SPR.

IPOH, 2 Feb : -YAB Menteri Besar Perak telah diterima mengadap oleh DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan kira-kira jam 10 pagi tadi di istana Kinta di sini. Menteri Besar terpaksa bergegas ke Istana dan meninggalkan Majlis Perhimpunan Bulanan Ezecutive Talk di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan

Difahamkan Ir. Nizar telah menunjukkan semua dokumen berkaitan dengan pengosongan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering kepada DYMM Tuanku.

Dalam Perkembangan lain pada awal pagi tadi Speaker Kerajaan negeri dengan peruntukan yang ada telah menfakskan surat kepada Suruhanjaya Pilihanraya mengenai peletakan jawatan dua ADUN tersebut.







Dua perkara penting hari ini.

Setelah kita menerima berita peletakan jawatan ADUN Behrang dan Changkat Jering seperti yang diumumkan , terdapat dua perkara penting yang akan berlaku pada hari ini.

PERTAMA : Speaker DUN Perak, V. Sivakumar dengan peruntukan kuasa dan undang-undang yang sedia ada akan memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang bagi diadakan semua Pilihan raya.

SPR tidak boleh mengambil kira dakwaan bekas ADUN tersebut mengenai surat peletakan jawatannya. Fokus sekarang ialah Pilihan raya kecil setelah diwartakan oleh SPR.

KEDUA : YAB Menteri Besar Perak, Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin dijangka mengadap DYMM Sultan Perak bagi memaklumkan kedudukan politik semasa sebagai sifatnya ketua kerajaan yang sah.